Followers

Thursday, October 23, 2008

INFO KESIHATAN


Serangga penyebar virus
Biar pun setakat ini belum terdapat vaksin yang boleh mencegah jangkitan virus Chikungunya, pelbagai langkah pencegahan boleh diambil untuk menghindarkan gigitan nyamuk dan menghapuskan sarang pembiakannya.
LINDUNGI diri dan anak anda daripada terkena gigiran nyamuk.



KIRA-KIRA tiga bulan lepas, sebuah perkampungan kecil, Kampung Rasau di Slim River, Perak, menjadi sedikit 'huru-hara' apabila dikejutkan dengan kes jangkitan virus Chikungunya.
Sebaran yang dipercayai menular ke sekurang-kurangnya lima perkampungan berdekatan, sedikit sebanyak menimbulkan rasa takut di kalangan penduduk kampung dan orang ramai.
Demam panas yang berlanjutan, ruam-ruam dan sakit-sakit sendi adalah antara simptom yang dilaporkan oleh mangsa-mangsa yang terjangkit. Jumlah pesakit yang dirujuk ke poliklinik pada ketika itu turut dikatakan meningkat.
Pihak berkuasa pun mengambil tindakan mengasap kawasan berdekatan sebagai langkah menyingkirkan sarang pembiakan nyamuk.
Kes-kes jangkitan ini akhirnya disahkan berpunca daripada virus Chikungunya bawaan nyamuk. Wabak demam Chikungunya pada mulanya dikesan sekitar tahun 1950-an di Afrika.
Malah, populariti demam Chikungunya semakin melonjak apabila kes-kes wabak ini dilaporkan berlaku di Asia dan Afrika sekitar tahun 1960 dan 1982.
Selepas lebih dua dekad, demam Chikungunya sekali lagi kembali menghantui penduduk Asia. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga, demam Chikungunya telah dilaporkan di beberapa negara termasuk India dan sebilangan kepulauan Lautan Hindi. Ini termasuk Mauritius, Reunion, Comoros dan Seychelles.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), wabak demam Chikungunya yang melanda sekitar 151 daerah di India sahaja pada tahun 2006 telah menjejaskan lebih daripada 1.25 juta nyawa.
KAWASAN yang tidak terurus boleh menggalakkan pembiakan nyamuk.



Di Malaysia, virus ini turut kembali 'menyerang' 27 orang penduduk Pelabuhan Klang pada tahun 1999. Pun begitu, Chikungunya mungkin masih satu nama yang jarang disebut-sebutkan oleh pengamal perubatan dunia.
WHO mengkelaskan penyakit ini sebagai 'masalah jangkitan virus yang tersebar menerusi gigitan nyamuk yang terjangkit'. Barangkali kenyataan ini mungkin memberi tanggapan ia seakan demam denggi berdarah? Demam Chikungunya bagaimanapun jarang memberi ancaman kepada nyawa.
Justeru, ujian makmal yang lebih terperinci perlu untuk mengesahkan punca dan jenis penyakit. Di Malaysia, Universiti Malaya (UM) menawarkan ujian serologi untuk mengesan demam Chikungunya.
Awal tahun lalu, para penyelidik dari Jepun dan India dikatakan telah menemui ujian lebih pantas dan berkesan dalam mengenalpasti virus Chikungunya.
UBAT semburan nyamuk dan pengasapan boleh mencegah pembiakan nyamuk.



Profesor Madya Perubatan dari Hospital Kolej Perubatan Midnapore, India, Bikram Saha berkata, teknik diagnosis sedia ada mempunyai had untuk diaplikasikan di negara-negara membangun yang miskin.
"Ini kerana kerja-kerja menguji ini dilakukan di atas peralatan sofistikated, kaedah yang rumit dan kos yang tinggi. Sebaliknya, kajian mendapati, ujian baru ini bukan sahaja lebih sensitif dan spesifik berbanding teknik sedia ada, malah penting untuk digunakan di negara membangun. Sebabnya ia lebih ringkas dan kos efektif," katanya sambil merujuk kepada ujian RT-LAMP.
Namun, ujian ini memerlukan kajian lebih menyeluruh sebelum boleh diaplikasikan oleh pengamal perubatan biasa.
Sementara itu, rawatan menggunakan ubat antiradang dan rehat biasanya memadai untuk melegakan kesakitan dan demam akibat jangkitan virus Chikungunya.
Pesakit boleh sembuh daripada demam Chikungunya tetapi pemulihan menyeluruh mungkin mengambil masa sehingga setahun. Bagi mereka yang masih mengalami kesakitan sendi akibat jangkitan virus Chikungunya, ubat tahan sakit mungkin diperlukan selain menjalani terapi antikeradangan jangka panjang.
nnn Mencegah gigitan nyamuk
*Pakaikan pakaian berlengan dan berseluar panjang untuk menutupi anggota badan.
*Gunakan ubat penyembur nyamuk atau lingkaran nyamuk pada siang hari.