Followers

Wednesday, April 14, 2010

Bidang kuasa beban guru dibincang

Utusan Malaysia 5 April 2010

KUALA LUMPUR 4 April - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji beban guru di seluruh negara masih lagi di peringkat perbincangan bagi menentukan anggota dan bidang kuasanya.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata, selepas perkara itu diputuskan, pihaknya akan membentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

"Kita akan tentukan dahulu siapa anggota jawatankuasa tersebut, bidang kuasanya serta perangkaan kasar tindakan yang diambil kepada menteri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Yayasan Guru Malaysia Berhad di sini hari ini.

Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan, Abdullah Mahmood.

Rabu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara.

Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.

Dalam pada itu, Alimuddin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata, penubuhan koperasi tersebut membolehkan organisasi itu terus membela kebajikan 129,124 orang ahlinya.


Keberkesanan Kurikulum Baru Bergantung Keupayaan Guru - TPM

Rabu April 14, 2010, Kosmo Online.

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keberkesanan kurikulum baru sekolah akan banyak bergantung kepada keupayaan guru meningkatkan amalan pendidikan dalam kelas.

Beliau berkata strategi pengajaran dan pembelajaran perlu menggunakan pendekatan proses penyelidikan secara membina, pembelajaran mengikut konteks, penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik fokus kepada pelajar.

"Ini termasuk uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesai masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.

"Saya berharap dengan pelaksanaan kurikulum baru ini, para guru kita akan menjadi lebih inovatif dalam cara mengajar dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif dan memupuk potensi inovasi pelajar," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2010 di Pusat Konvensyen Sunway Piramid di sini hari ini.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kurikulum baru itu akan menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses pengajaran dan pembelajaran, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua.

Beliau berkata kurikulum baru itu akan membuka ruang kepada pelajar untuk menerokai dan menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran melalui uji kaji, reka cipta dan penyelidikan.

"Pendekatan baru ini bukan sahaja diguna pakai dalam mata pelajaran sains tetapi juga kemahiran hidup dan keusahawanan," katanya.

Muhyiddin berkata usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara tidak akan sempurna tanpa dimasukkan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).

Beliau berkata penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih berkesan dan merangsang minda.

Usaha untuk mendorong kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan, katanya juga memerlukan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, ahli akademik dan industri, pakar dan pengamal pendidikan untuk mengusahakan dan merangsang proses pemupukan itu dan meningkatkan potensi inovasi pelajar melalui pendidikan berkualiti.

"Pendek kata, kita perlu menjana pemikiran kreatif dan memupuk budaya inovasi dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dan kita perlu lakukan ini sebagai sebuah komuniti pendidik yang kreatif dan inovatif," katanya.

Muhyiddin berkata menyedari hakikat ekonomi baru dan pelbagai cabaran yang menanti, kerajaan perlu menilai semula model pembangunan modal insan Malaysia.

Katanya sistem pendidikan negara, daripada peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi, perlu ditumpukan untuk mengeluarkan individu berwibawa dan tenaga kerja yang kompetitif di masa depan.

"Kita perlu menyediakan persekitaran yang sesuai untuk memupuk kreativiti dan inovasi yang akan membolehkan transformasi lebih besar terhadap ekonomi dan sosial negara kita. Jika berbuat sebaliknya, kita akan merisikokan keupayaan daya saing dan kemakmuran ekonomi kita," katanya.

Oleh yang demikian, katanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, fokus kerajaan ialah menambah baik model pembangunan modal insan negara dengan menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan. - BERNAMA

Tuesday, April 13, 2010

Ucapan TPM sempena Majlis Pelancaran Pemberian Geran Permulaan Prasekolah Swasta Di Bawah NKRA Pendidikan di Rawang pada 12 April 2010

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN
PEMBERIAN GERAN PERMULAAN PRASEKOLAH SWASTA
DI BAWAH BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NASIONAL (NKRA) PENDIDIKAN
BERTEMPAT DI TADIKA WAWASAN GEMILANG, SUNGAI BUAYA, RAWANG, HULU SELANGOR
PADA 12 APRIL 2010 JAM 10.00 PAGI
__________________________________________________________
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.
Y.Bhg Tan Sri Dr Zulkurnain Hj Awang
Y. Bhg Tan Sri Alimuddin bin Hj Mohd Dom
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pelajaran,
Puan Sharipah bt. Hamzah, Pengusaha Tadika Wawasan Gemilang, dan
Para hadirin sekalian,
1. Alhamdullillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W. T. kerana dengan izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam satu majlis yang bersejarah ini. Sesungguhnya, majlis pada pagi ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Pendidikan iaitu Sub NKRA Prasekolah. Saya berasa gembira dalam tempoh empat bulan pertama sahaja, dua daripada empat sub NKRA Pendidikan telah berjaya dilancarkan. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam mengkotakan apa yang telah dirancang dalam Program Transformasi Kerajaan, dengan penekanan kepada Gagasan 1 Malaysia, Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan.
2. Seperti pepatah Melayu, untuk melentur buluh biarlah dari rebungnya, pepatah ini membawa pengertian yang amat jelas bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi.
3. Menyedari kepentingan di peringkat awal kanak-kanak, maka Prasekolah telah dijadikan salah satu sub NKRA dalam bidang pendidikan. Harus diingat, walau pun Malaysia telah berjaya mencapai kadar enrolmen prasekolah yang boleh dibanggakan berdasarkan laporan UNESCO 2008 : International Pre-school Enrolment Rate, iaitu berada dikedudukkan ketujuh diperingkat antarabangsa namun didapati taburan lokasi kanak-kanak yang mengikuti kelas prasekolah ini masih tidak seimbang, contohnya di kawasan miskin bandar maupun di kawasan pedalaman, masih terdapat kanak-kanak yang belum mendapat pendidikan prasekolah. Dalam sub NKRA ini, sasaran utamanya adalah untuk meningkatkan kadar enrolmen kanak-kanak prasekolah yang berumur 4+ dan 5+ tahun kepada 87 peratus menjelang tahun 2012 dengan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, terdapat empat agensi utama yang menjalankan pendidikan prasekolah iaitu Kementerian Pelajaran sendiri, pihak KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasioanl di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta pihak swasta. Dari segi statistik didapati sehingga kini, KPM telah menyediakan sebanyak 7511 kelas prasekolah, KEMAS sebanyak 8,525, JPNIN 1643 dan prasekolah swasta yang berdaftar sebanyak 6378 Ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak lebih kurang 2.9 peratus (69.9%) daripada kadar enrolmen pada tahun 2009 iaitu 67 peratus.
5. Saya berbangga dengan peningkatan kadar ini, namun pada masa yang sama kita tidak boleh hanya berbangga dengan kuantiti, oleh itu dalam inisiatif NKRA Pendidkan, KPM telah menegaskan semua agensi yang melaksanakan pendidikan prasekolah perlulah memberikan pendidikan prasekolah yang berkualiti, kerana kita tidak mahu masa depan kanak-kanak ini terjejas sekiranya pendidikan prasekolah hanyalah dikatakan prasekolah makan sahaja...pergi sekolah untuk makan, dan apabila melangkah ke Tahun 1, ...A, B, C pun masih belum kenal.
6. Dalam Sub NKRA Prasekolah, sebanyak 7 strategi telahpun dirancang bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dapat ditingkatkan, bukan saja untuk prasekolah KPM, tetapi juga prasekolah yang dilaksanakan oleh agensi-agensi lain. Antaranya strategi utama yang telah diperkenalkan adalah penggunaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Dalam kurikulum ini, penekanan diberikan kepada Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris. Kalau sebelum ini, di prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN hanya menekankan penggunaaan Bahasa Malaysia untuk mendidik anak-anak kita, tetapi dengan KSPK ini, pemberatan penggunaan bahasa ialah 50 peratus Bahasa Malaysia dan 50 peratus Bahasa Inggeris. Perkara ini akan dapat mendedahkan kanak-kanak prasekolah kepada Bahasa Inggeris dengan lebih awal dan diharapkan dengan cara ini, anak-anak dapat menguasai Bahasa Inggeris pada peringkat ini.

Tuan-Tuan dan hadirin sekalian,
7. Saya yakin dengan kualiti guru-guru prasekolah KPM terdiri daripada guru-guru siswazah terlatih, namun di luar sana masih terdapat ramai guru prasekolah yang tidak mendapat latihan yang sewajarnya. Maka di bawah NKRA ini, saya telah bersetuju dan memutuskan pihak KPM memberi latihan kepada guru-guru prasekolah sama ada agensi Kerajaan yang lain maupun swasta serta mencadangkan kelayakan minima guru prasekolah pada masa akan datang supaya setara dengan kelayakan guru prasekolah KPM. Harapan saya, dengan kriteria minima dan latihan yang diberikan ini akan dapat memastikan bahawa pendidikan prasekolah berkualiti dapat diberikan kepada rakyat.
8. Bukan itu saja yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada pendidikan prasekolah. Perlu saya tekankan di sini, dari segi geran per kapita yang disediakan kepada kanak-kanak prasekolah agensi kerajaan juga akan diseragamkan sebanyak RM100 seorang kanak-kanak setahun. Dan pada masa yang sama, pihak Kementerian sedang berusaha untuk meningkatkan kadar bantuan makanan kanak-kanak prasekolah daripada RM1.50 sedia ada kepada kadar yang lebih tinggi di semua agensi kerajaan di seluruh negara.


Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Saya sering gusar dengan data yang tidak konsisten, maka saya juga berbangga Kementerian saya telah pun berjaya menyediakan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan, dengan satu klik saja saya boleh akses kepada maklumat prasekolah semua agensi kerajaan dan swasta di seluruh negara. Syabas kepada semua pihak yang sama-sma telah membangunkan sistem ini, walaupun, masih dalam peringkat ujian rintis tapi ini merupakan satu inovasi dalam pendidikan prasekolah. Data yang tepat ini membolehkan kita merancang strategi yang lebih berkesan terutamanya perancangan peluasan prasekolah kerana didapati prasekolah masih diperlukan di kawasan luar bandar, pedalaman dan tidak ketinggalan kawasan miskin bandar.
10. Selain itu, saya juga difahamkan bahawa satu Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan juga akan ditubuhkan bagi memantau dan menyelaras semua dasar dan pelaksanaan prasekolah Kerajaan dan Swasta yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran dan dianggotai oleh Ketua Pengarah KEMAS dan JPNIN serta pihak swasta. Kalau selama ini, prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN bergerak secara bersendirian, tetapi dengan adanya jawatankuasa ini, maka semua dasar-dasar berkaitan prasekolah dapat diselaraskan.

PERKONGSIAN PINTAR KERAJAAN-SWASTA
Para hadirin sekalian,
11. Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti tidak seharusnya diletakkan di atas pihak kerajaan sahaja. Strategi seterusnya, saya rasakan begitu penting sekali adalah meningkatkan perkongsian pintar kerajaan dan pihak swasta dalam pembangunan pendidikan pada semua peringkat daripada prasekolah sehinggalah ke peringkat menengah. Strategi ini selaras dengan Model Ekonomi Baru yang inginkan penglibatan pihak swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Dengan cara ini, akses kepada pendidikan khususnya pendidikan prasekolah dapat diperluaskan.
12. Dalam usaha meningkatkan perkongsian pintar kerajaan dan swasta supaya lebih banyak pendidikan prasekolah ditubuhkan, beberapa pendekatan baru telah diwujudkan, antaranya mempercepatkan tempoh kelulusan daripada agensi-agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk penubuhan prasekolah swasta daripada 40 hari kepada 7 hari sahaja. Dengan mempermudahkan proses ini, harapan kerajaan lebih banyak lagi pihak swasta akan menubuhkan prasekolah khususnya di kawasan berkeperluan tinggi. Dan sekali lagi, saya tegaskan mana-mana guru prasekolah swasta yang belum pernah mengikuti latihan atau tiada sijil pendidikan prasekolah akan diberikan kursus latihan secara percuma,
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Satu inisiatif baru yang Kerajaan perkenalkan sebagai galakan kepada penubuhan prasekolah oleh pihak swasta adalah pemberian geran permulaan dalam bentuk kewangan kepada pengusaha prasekolah yang mula beroperasi pada tahun ini serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Geran permulaan ini diharap akan membantu pengusaha baru prasekolah membuka lebih banyak prasekolah terutamanya di kawasan-kawasan miskin bandar dan luar bandar yang mana kawasan – kawasan ini tidak dicapai oleh pihak kerajaan.
14. Pada majlis ini, saya amat berbesar hati memaklumkan bahawa geran sebanyak RM10,000 diberikan kepada setiap prasekolah yang layak, dan sehingga hari ini sebanyak 426 prasekolah swasta layak menerimanya. Pada tahun ini sahaja Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak anggaran RM4.9 juta untuk tujuan ini dan seterusnya pada tahun yang akan datang, jumlah ini dijangka akan terus meningkat kepada RM5 juta setahun. Tahniah kepada semua penerima geran ini dan saya berharap dengan pemberian geran ini, akan meningkatkan usaha Tuan/Puan dalam meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah yang disediakan.
15. Saya akur mungkin akan ada tohmahan pihak-pihak tertentu, dalam keadaan kegawatan ekonomi, mengapa kerajaan sanggup memberi geran kepada prasekolah swasta, dengan tegas dan telus saya nyatakan bahawa ini bukannya gimik pilihraya tetapi ini adalah komitmen Kerajaan di bawah NKRA Pendidikan untuk memberi pendidikan berkualiti untuk semua seperti yang terdapat dalam Pelan Hala Tuju Transformasi Kerajaan yang telahpun dilancarkan pada Januari lepas. Saya yakin perkongsian pintar swasta–kerajaan ini, akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak. Pada masa yang sama juga, Kerajaan juga akan berusaha untuk memberi bantuan yuran prasekolah kepada murid-murid yang ibu bapanya telah berdaftar dengan e-Kasih serta ingin belajar di prasekolah swasta.
16. Tidak ada jalan mudah ‘no short cut’ untuk mencapai kejayaan. Kita mahu melihat agar anak didik warga Malaysia akan terbela tak kira dari apa golongan sosio ekonomi. Kerajaan akan sentiasa membantu namun pihak yang bertanggungjawab hendaklah sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya. Kepada penerima geran, anggaplah pemberian geran permulaan merupakan satu tanggungjawab memberikan yang terbaik kepada anak didik anda warga Malaysia. Berikanlah peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk belajar dengan kualiti terbaik dengan yuran yang berkemampuan.
17. Saya juga ingin menasihatkan agar penerima geran permulaan prasekolah swasta pada hari ini, untuk terus berusaha mempertingkatkan usaha murni mendidik warga Malaysia dengan pendidikan yang berkualiti.
18. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini, khususnya Tadika Wawasan Gemilang ini yang sudi menjadi tuan rumah dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menjayakan majlis ini.
19. Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Pemberian Geran Permulaan Prasekolah Swasta.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sumber: http://www.moe.gov.my/?id=25&aid=815