Followers

Wednesday, December 07, 2011

Festival Kesenian Kanak-kanak Antarabangsa

Festival himpun bakat kanak-kanak 9 negara

Kosmo Online: 30/11/2011 

KUALA LUMPUR — Program Permata akan melancarkan Festival Kesenian Kanak-Kanak Antarabangsa melibatkan 411 peserta dari sembilan negara termasuk Malaysia bertempat di Istana Budaya antara 8 dan 11 Dis. ini.
Penaung Program Permata Seni Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, festival itu akan mengetengahkan bakat kanak-kanak dalam persembahan muzik, tarian dan nyanyian.
“Sudah pasti persembahan yang dibuat dapat memberi keharmonian yang boleh dirasai para penonton melalui irama, melodi dan pergerakan sepanjang festival ini berlangsung,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran festival tersebut dan Ekspo Permata 2011, di sini hari ini.”
Rosmah, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, festival itu akan dimeriahkan dengan tiga acara khas iaitu persembahan Malam Negara Peserta dan Malam Gala di Istana Budaya selain persembahan setempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). — Bernama

Wednesday, November 30, 2011

Galak graduan jadi guru prasekolah

KUALA LUMPUR: Satu usaha lebih serius perlu dirangka di negara ini bagi menggalakkan penyertaan graduan lepasan ijazah dalam bidang perguruan untuk menjadi pendidik kepada kanak-kanak sejak di peringkat prasekolah.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Help, Dr Francis Lee, berkata ketika ini, hanya segelintir guru prasekolah mahupun sekolah rendah di Malaysia mempunyai kelulusan itu dan situasi terbabit agak membimbangkan berikutan ia dikhuatiri mengganggu perkembangan minda dan pembelajaran kanak-kanak.

Menurutnya, penyaluran ilmu daripada graduan yang juga individu berpendidikan tinggi tidak sepatutnya dihadkan hanya kepada sekolah menengah dan ke atas kerana ia adalah proses sama yang perlu diberi perhatian apatah lagi ketika golongan itu (kanak-kanak) membesar.
“Berbanding orang dewasa serta remaja, kanak-kanak sebenarnya lebih mudah menerima ilmu yang disampaikan malah mereka jauh lebih cepat menangkap perkara yang berlaku dan dibincangkan di sekeliling.

“Statistik tahun ini sendiri menunjukkan lebih dua juta kanak-kanak di negara ini tidak mengikuti prasekolah sedangkan pembelajaran di peringkat itu membuka laluan pertumbuhan minda mereka. Justeru, guru berkelulusan tinggi perlu menjadi pendorong sekali gus mengatasi masalah ini,” katanya pada Persidangan Kanak-kanak Kebangsaan 2011 di Pusat Konvensyen Pameran Matrade di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datin Dr Siti Hamsiah Tapsir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa dan Naib Canselor Universiti Help, Datuk Dr Paul Chan.

Sumber: Harian Metro Online, 30 November 2011.

Tuesday, November 29, 2011

Prasekolah diingat patuhi standard piawaian menu makanan

Posted on October 27, 2011, Thursday: Borneopost Online.


KUCHING: Ketua atau penyelia prasekolah (tadika mahupun tabika) di negeri ini diingatkan agar mengambil iktibar serta prihatin terhadap Laporan Audit Negara berhubung standard piawaian menu makanan yang disediakan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di tadika di negeri ini.


Antara Laporan Audit Negara yang dibentangkan baru-baru ini termasuk lebih daripada separuh tadika di Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah tidak patuh kepada menu yang disedia-kan oleh kerajaan.

“Jadi ia merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian kerana kalau dilihat dari segi pendidikan awal kanak-kanak, pertamanya antara yang perlu diteliti bukan sahaja standard kualiti bangunan premisnya tetapi piawaian standard dari segi pemakanan,” katanya.

Menurut Fatimah setiap menu di tadika dan tabika seharusnya perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Kesihatan, yang sudah menjadi prosedur oleh setiap taska sebelum diberi sijil atau lesen beroperasi.

Bagaimanapun kata beliau, ia tidak terhenti di situ sahaja kerana agensi-agensi yang menawarkan pendidikan awal kanak-kanak perlu melakukan pemantauan tahap menu yang diadakan.


Sehubungan itu beliau memberitahu di Sarawak sendiri antara penekanan yang diambil kira di bawah Majlis Pendidikan Awal Kanak-kanak adalah pematuhan standard kualiti.


“Ia bukan sahaja kepada tadika swasta tetapi tadika kerajaan seperti KEMAS, Jabatan Pelajaran serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Tabika Perpaduan),” katanya.


Fatimah menegaskan meskipun perkara itu tidak berlaku di negeri ini tetapi ia harus di-ambil kira.


Laporan Audit Negara itu menyatakan tadika terbabit memberikan ‘doughnut’ kepada kanak-kanak yang sepatutnya diberikan mihun goreng selain dijamu nasi lemak kosong tanpa kacang dan telur.


Selain itu laporan turut mendedahkan Tadika KEMAS di Kedah didapati menjadikan tandas sebagai stor menyimpan makanan.

Read more: http://www.theborneopost.com/2011/10/27/prasekolah-diingat-patuhi-standard-piawaian-menu-makanan/#ixzz1edTJxGOD

Monday, November 21, 2011

Aktif bersenam pintar matematik

KANAK-KANAK aktif memiliki IQ yang lebih tinggi.


BIJAK dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.
Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.
Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.
Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.
Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.
MATEMATIK memerlukan tumpuan yang lebih untuk menguasainya.


Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.
Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.
Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.
Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.

Sunday, November 13, 2011

Pendedahan seni bantu pembinaan personaliti

SEREMBAN 27 Sept. - Pendedahan seni dalam kalangan murid di peringkat prasekolah perlu diberikan keutamaan sekali gus dapat membantu proses pembinaan personaliti dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, mata pelajaran seni dan muzik yang diajar di prasekolah ketika ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid mengenai seni dan muzik namun ia tidak dijalankan secara intensif.

Malah katanya, terdapat prasekolah yang tidak mempunyai peralatan dan kemudahan yang mencukupi untuk memastikan pengajaran seni dan muzik dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada murid-murid.
''Mengikut kajian yang dilakukan oleh Stanford University, Amerika Syarikat, ia mendapati bahawa bidang seni mendidik kanak-kanak dalam membuat penilaian dan perhitungan, penyelesaian masalah dan memupuk aspek pemikiran kreatif.

''Justeru, sekiranya aspek seni diberikan penekanan dalam pendidikan awal kanak-kanak, saya percaya kita mampu membentuk sebuah bangsa Malaysia yang cemerlang, kreatif dan berketerampilan," katanya.
Rosmah yang juga Penaung Permata Negara Malaysia berkata demikian ketika berucap pada program Kasih Dititip Budi Bersemi anjuran Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia daerah (PBPPPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) di Auditorium Tunku Puan Chik, Pusat Penyiaran Tuanku Muhamad (RTM), Sungai Gadut dekat sini hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek dan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPPM), Datuk Sudin Kamari.

Dalam pada itu, Rosmah memberitahu, Program Permata Seni yang dianggotai seramai 150 orang setakat ini telah menunjukkan keberkesanannya dengan pencapaian yang amat membanggakan walaupun kewujudan program itu tidak sampai dua tahun.

''Mereka telah berjaya membuat persembahan di Konsert Permata Seni pada tahun lalu di samping menjayakan pelbagai persembahan lain.

''Insya-Allah pada hujung tahun ini, kami akan mengadakan Festival Seni Kanak-Kanak yang akan disertai oleh lapan buah negara meliputi, Singapura, Filipina, India, China, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Malaysia sendiri," katanya.



Utusan Malaysia: 28 September 2011

Semua guru tabika Kemas miliki diploma 2015

Utusan Malaysia: 30 Oktober 2011

KOTA KINABALU 29 Okt. - Dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan prasekolah, kerajaan menyasarkan kesemua guru taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara memiliki diploma menjelang 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setakat ini seramai kira-kira 2,000 daripada 9,824 guru Tabika Kemas telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma.

"Dalam hubungan ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mempastikan tenaga guru kita dapat ditingkatkan keupayaannya.

"Jadi untuk murid-murid tabika mendapat ilmu pengetahuan mencukupi, kita perlu mempunyai tenaga guru berkebolehan dan berkeupayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam (MUIS) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd. Amin dan Pengarah Kemas Negeri, Anisah Saidin.
Pada majlis itu, seramai 94 warga kerja Kemas Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Menurutnya, pada masa ini guru-guru Tabika Kemas dihantar menjalani kursus dalam cuti di institusi perguruan di seluruh negara.

Dalam pada itu beliau berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pendidikan prasekolah kementerian itu telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

"Pada tahun ini sasaran 9,816 kelas Tabika Kemas telah berjaya dicapai sejak Julai lalu dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang.

"Selain itu, menjelang 2015 kesemua guru-guru tabika dijangka bergred S27," ujarnya.

Guru memupuk kreativiti si kecil



Guru memainkan perangan penting dalam memupuk kreativiti kanak-kanak.



SETIAP kanak-kanak sebenarnya berpotensi menjadi seorang yang kreatif. Bagaimanapun ia turut bergantung kepada pembimbing mereka terutama guru untuk mencungkil daya kreativiti tersebut.

''Sebaiknya usaha ini kena dilakukan oleh guru ketika kanak-kanak berada di peringkat prasekolah lagi,'' kata Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puan Sri Prof. Dr. Rohaty Mohd Majzub.

Beliau memberitahu dua perkara yang perlu diutamakan dalam usaha untuk merangsangkan kreativiti kanak-kanak.

Pertama, ia harus dimulakan pada peringkat prasekolah kerana itu merupakan masa yang cukup sesuai bagi menggalakkan pembangunan kanak-kanak.

Katanya, di situlah letaknya cabaran kepada guru mahupun pengasuh dan ibu bapa untuk menggalakkan kanak-kanak ini melalui pengalaman yang membantu mengembangkan daya kreativiti.

''Keduanya, kumpulan pemikir juga perlu merancang untuk membangunkan modal insan menjelangnya Wawasan 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bermula peringkat prasekolah lagi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucaptama pada Bengkel dan Seminar Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Bengkel sehari itu dianjurkan Fakulti Pendidikan Sains Sosial, Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr. Rohaty berkata, biasanya guru akan tertekan dengan bebanan kurikulum akademik sehingga tidak mempunyai masa untuk membangunkan kreativiti kanak-kanak.

'Tambahan pula tekanan daripada ibu bapa sendiri yang mengharapkan anak-anak mereka lulus cemerlang dalam bidang akademik,'' katanya.

Selain itu, katanya, guru-guru juga menghadapi tekanan masa bagi menyelesaikan tugas-tugas pentadbiran.

Bagaimanapun kata Dr. Rohaty, masih terdapat pelbagai cara untuk guru-guru menggalakkan kreativiti di kalangan kanak-kanak.

''Sediakan satu persekitaran kelas yang membolehkan yang anak-anak muda ini meneroka dan bermain melalui aktiviti kurikulum,'' katanya.

Selain itu katanya, guru-guru perlu bersedia supaya dapat menyesuaikan diri untuk menerima idea yang akan diberikan oleh kanak-kanak.

Guru-guru juga tidak boleh memaksa kanak-kanak untuk menerima idea yang diberikan oleh mereka.

Jelasnya, suasana itu akan dapat merangsang kanak-kanak melaksanakan idea itu dengan lebih seronok tanpa halangan.

"Guru hanya perlu memberikan bimbingan dan jangan cuba untuk menyekat idea itu supaya kanak-kanak ini merasa lebih bebas tanpa rasa tertekan.

''Guru juga tidak boleh terlalu bergantung kepada sukatan pelajaran, bahan bacaan bercetak dan latihan semata-mata,'' katanya.

Katanya, guru sepatutnya menunjukkan yang dia juga seorang aktif berfikir dan bersemangat 
mahu mempelajari sesuatu yang baru.

''Guru juga perlu memberikan lebih masa untuk membolehkan kanak-kanak ini meneruskan projek yang sedang dilakukan sekalipun telah melebihi jadual,'' katanya.

Selain itu katanya, guru juga tidak perlu terikut dengan sukatan pelajaran, bahan bacaan dan latihan kerana ini tidak akan memberi peluang untuk kanak-kanak itu merasai sendiri pengalaman termasuk menggunakan tangannya.

''Guru perlu mengenal pasti perbezaan individu dalam pembelajaran dengan mengambil kira jenis pelajar dan kebolehan mereka,'' tambahnya.

Jelasnya, apa yang penting guru-guru prasekolah sepatutnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menggunakan sepenuhnya ruang bilik darjah bagi menerap dan memupuk kreativiti mereka.

Sumber: Utusan Malaysia 20 Oktober 2011.

Bacakanlah buku pada anak

Perkembangan intelektual kanak-kanak merujuk kepada proses keupayaan pembelajaran yang diperolehinya semasa dia membesar. Sesetengah ibu bapa mungkin tertanya mengapa anak-anak rakan mereka lebih bijak daripada anak mereka walaupun menghadiri tadika yang sama.


Atau pun mengapa kanak-kanak lain yang berumur setahun telah mula bercakap sedangkan anak mereka tidak. Anda harus ingat bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Namun, jika anda mengesan perkembangan anak anda adalah lebih perlahan, terdapat beberapa ujian yang diguna oleh pakar psikologi untuk menilai perkembangan intelektual (IQ) anak anda.
Ujian-ujian yang lazim digunakan:

  1. - Stanford-Binet
  2. - Ujian kecerdasan minda Peabody Picture
  3. - Ujian kosa kata Bayley Scales of
Kecerdasan diwarisi?

Ramai beranggapan bahawa otak dan seterusnya, kecerdasan ditentukan oleh genetik. Namun, kajian baru menunjukkan perkembangan otak kanak-kanak boleh dipengaruhi oleh persekitaran semasa zaman kanak-kanaknya seperti pemakanan, perubatan, emosi, dan sokongan intelektual yang optimum. Otak seseorang kanak-kanak mudah terpengaruh dengan pengalaman yang berbeza dan seterusnya menyebabkan perkembangan otak dalam cara yang berbeza. Apabila anak membesar, keupayaannya untuk menguasai bahasa, menyelesaikan masalah, dan berinteraksi dengan orang lain dipengaruhi oleh pengalamannya semasa dia masih kecil. Pengalaman yang baik akan membantu perkembangan otak yang baik, sementara pengabaian dan penderaan akan menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung kepada pelbagai masalah seperti IQ yang lebih rendah ataupun gangguan emosi.

Ibu bapa adalah penjaga anak, justeru mereka merupakan individu utama untuk membantu anak belajar dan berkembang dari segi mental. Rangsangan dan interaksi merupakan aspek yang paling penting untuk perkembangan otak. Berikut adalah cara-cara yang boleh menggalakkan anak anda untuk belajar dan berkembang dengan baik:

1. Apabila dia mula "bercakap". Anak anda sering memerhatikan gerak-geri anda kerana dia tertarik kepada pelbagai bunyi yang dihasilkan oleh peti suara anda. Balas bunyi-bunyian anak anda dan berikan senyuman, bercakap dengannya dan namakan objek yang anda pegang atau biasa dimain olehnya. Membaca bersama juga membantu anak mempelajari kepentingan bertutur, walaupun dia masih tidak faham atau tidak dapat mengulangi perkataan-perkataan tersebut.

2. Apabila dia mula menunjukkan minat terhadap apa yang dilihat. Anak anda ingin tahu tentang perkara di sekitarnya. Galakkan sifat ingin tahu anak dan membantu merangsangkan pemikiran dan pembelajarannya dengan menggunakan alat permainan seperti blok yang berbeza bentuk dan warna. Tunjukkan gambar-gambar haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran atau kenderaan kepadanya. Anda juga boleh menceritakan kepadanya tentang perkara yang dialami oleh anda setiap hari.

3. Apabila dia mula bergerak. Anda boleh membantu merangsang sensasi sentuhannya menggunakan objek atau alat permainan yang berlainan tekstur, saiz dan bentuk. Anda juga boleh menggantung alat mainan bergerak pada katil bayi untuk membantu memperkembangkan kemahiran motor anak dengan menggalakkan pergerakan tangan dan kakinya semasa dia cuba menyentuh objek tersebut. Apabila dia mencapai umur 13-17 bulan, anda boleh memegang tangannya dan berjalan bersama-sama sambil membenarkan dia menerokai alam sekelilingnya. Cuba memberi peluang kepadanya untuk berjalan sendiri, tetapi anda harus memastikan persekitaran tersebut adalah selamat untuk berbuat demikian.


Pemakanan

Selain daripada rangsangan dan interaksi, pemakanan yang sihat adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan otak. Sesetengah nutrien seperti phospholipids, omega 3 dan omega 6, docosahexaenoic acid (DHA) dan arachidonic acid (AA) penting untuk perkembangan otak yang baik. Nutrien-nutrien ini terdapat dalam soya, telur, ikan berlemak seperti tuna dan sardin, serta walnut.
Taurine, choline dan zat besi adalah micronutrien yang penting untuk menyambung rangkaian antara sel-sel otak. Sumber makanan yang mengandungi nutrien termasuk kekacang, sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, brokoli, kuning telur dan daging.
Nutrien lain yang turut penting seperti antioksidan (lutein, selenium, vitamin A, C dan E) dan zink, adalah berfungsi untuk melindungi sel-sel otak. Anda boleh memperolehi nutrien ini daripada buah-buahan dan sayur-sayuran, teh, prun dan juga keju.
Jangan lupa anak anda perlu makan pelbagai jenis makanan untuk mendapatkan semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan. Produk susu adalah sumber makanan yang baik yang mengandungi pelbagai nutrien. Ibu harus mendapatkan formula susu yang telah dan diuji secara saintifik di kalangan kanak-kanak.


Profesor Dr. Norimah A. Karim ialah pakar pemakanan dan Woo Pei Jun merupakan pensyarah serta pakar psikologi perkembangan.

  1. Rencana ini adalah sumbangan Program Pemakanan di bawah Program Asuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia, dan disokong oleh geran pendidikan daripada Abbott Nutrition International. Untuk maklumat lanjut, sila ke laman web www.mypositiveparenting.org.

Sunday, May 22, 2011

Pendidikan Kunci Jadikan Kanak-Kanak Pemimpin Bertanggungjawab : Rosmah

KUALA LUMPUR: Datin Seri Rosmah Mansor berkata pendidikan khususnya pada usia muda merupakan alat paling penting untuk membentuk kanak-kanak menjadi pemimpin dan warga bertanggungjawab ke arah menjadikan dunia ini lebih baik. Isteri Perdana Menteri berkata pendidikan akan menyediakan kanak-kanak dengan kemampuan dan sistem nilai untuk menjadi pemimpin yang baik selain berkeupayaanuntuk meningkatkan darjat mereka.

Dalam ucap utamanya pada Sidang Kemuncak Wanita Pertama di Palace of the Golden Horses dekat sini Selasa, Rosmah berkata kanak-kanak perlu dididik bukan saja untuk mencapai kemajuan dalam bidang ekonomi dan teknologi tetapi juga untuk memupuk dan membentuk masyarakat harmoni yang mengambil kira kepentingan rakyat. "Saya yakin pendidikan yang bermula di peringkat awal kehidupan seorang kanak-kanak, disusuli bidang kerja dan pembelajaran seumur hidup, bukan sajamerupakan kunci ke arah menjadi seorang dewasa yang berilmu dan kreatif tetapijuga menjadi asas ke arah memupuk nilai, etika dan peranan yang akhirnya akanmembentuk ciri dan pertumbuhan negara serta perpaduan masyarakat," katanya.

Seramai 15 Wanita Pertama menghadiri sidang kemuncak itu yang memberi penekanan kepada masa depan kanak-kanak. Enam lagi Wanita Pertama menghantar wakil mereka.

Sidang kemuncak yang diilhamkan oleh Rosmah itu bertujuan mencari jalan bagaimana keluarga, masyarakat dan kerajaan dapat bekerjasama ke arah mencungkil potensi setiap kanak-kanak.

Ia dirasmikan malam Isnin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan turut dihadiri 20 orang menteri.

Rosmah berkata sejarah membuktikan bahawa negara-negara yang mengabaikan pendidikan kanak-kanak akhirnya sedar bahawa mereka akan rugi dan sukar untuk memajukan ekonomi mereka dan menjadikan masyarakat lebih makmur.

"Pendidikan serta persekitaran sosial adalah pengaruh besar ke arah menyediakan kanak-kanak dengan ilmu, nilai positif dan kemahiran yang sewajarnya," kata isteri perdana menteri.

Beliau berkata memandangkan terdapat bilangan besar golongan muda khususnya di negara-negara membangun, jika mereka ini diasuh dengan betul, mereka akan menjadi kumpulan yang mampu menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan kebajikan di peringkat global.

"Jika tidak mereka akan dipinggirkan dan terdedah kepada unsur radikal, seterusnya dengan mudah direkrut untuk elemen subversif yang boleh membawa kepada domestik dan antarabangsa yang tidak selamat dan tidak stabil.

"Mereka mungkin menjadi liar dan boleh terjebak dalam kehidupan yang menjijikkan dan jenayah," kata Rosmah.

Sambil menyatakan bahawa Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Penjagaan atau ECEC merupakan perkara yang dekat dengan hati beliau, katanya ia memberikan kanak-kanak di bawah umur empat tahun daripada keluarga yang tidak bernasib baik satu permulaan kehidupan awal dan di bawah program PERMATA Negara yang merujuk kepada kanak-kanak sebagai permata negara, setiap kanak-kanak adalah berharga.

Bermula dengan lima buah pusat perintis pada tahun 2007, ECEC kini dilaksanakandi 500 pusat di seluruh negara yang memberikan manfaat kepada lebih 20,000kanak-kanak dari kawasan luar bandar dan miskin di bandar.

Beliau berkata pembinaan sekolah bagi kanak-kanak berbakat antara umur 15 hingga 17 tahun, yang diuruskan terus oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini dalam proses dan pengambilan pertama kira-kira 150 kanak-kanak berbakat dalam akademik akan bermula pada Januari tahun depan.

Rosmah juga menekankan bahawa masyarakat dan negara mempunyai peranan yang samapenting dalam memupuk kanak-kanak menjadi pemimpin yang baik dan dengan itu mereka hendaklah merangka dasar yang menggabungkan stimulasi intelektual, budaya dan dimensi semangat yang boleh memupuk untuk menjadi pemimpin masa depan.

Menurut Rosmah, para guru merupakan sumber paling penting kepada pembelajaran kanak-kanak dan dengan itu, perlu mengambil golongan ini daripada mereka yang terbaik dan paling bijak dalam bidang pengajaran, sokong mereka sebagai profesional dalam bilik darjah dan gunakan imbuhan dan insentif untuk mengekalkan tenaga pengajar ini di sekolah.

Beliau juga berkata dunia kini menghadapi banyak masalah yang sukar dikawal seperti kemiskinan dan kekurangan zat makanan, ketidaksamaan gender, sistem urus tadbir lemah, krisis ekonomi, konflik bersenjata dan ancamann keselamatan yang melanda manusia.

"Jika kita lihat di sekitar kita hari ini, kita lihat dunia dengan terlalu banyak konflik, hampir semua disebabkan oleh manusia. Siapa mereka ini? Bukankahsebelum ini mereka kanak-kanak?

"Apa telah berlaku dalam kehidupan mereka yang menjadikan mereka bertindak begitu tanpa ada perasaan kasihan dan kesal?," tanya beliau. "Lebih separuh penduduk dunia, kebanyakan di negara-negara sedang membangun, hidup dalam kemiskinan, tanpa air bersih, sistem penjagaan kebersihan yang baik dan makanan yang mencukupi. Mereka yang miskin termasuk pelarian yang melarikan diri daripada keadaan konflik dan lebih beribu juta kanak-kanak kurang zat makanan," kata Rosmah. Menurut Laporan Unicef tahun lepas, katanya 24,000 kanak-kanak di seluruh dunia meninggal dunia akibat kemiskinan dan 121 juta kanak-kanak tidak ada akses padapendidikan dan hampir sejuta orang memasuki Abad ke-21 ini, tidak boleh membaca buku dan malah menandatangani namanya. - BERNAMA

Sumber: http://mstar.com.my/cerita.asp?sec=mstar_berita&file=/2010/10/12/mstar_berita/20101012153032

Pakar UKM reka program pembelajaran untuk kanak-kanak pra sekolah melalui MEL

Oleh Kuah Guan Oo

BANGI, 13 Sept 2010 – Sekumpulan lima orang pakar pendidikan dan penyelidik Universti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mereka satu program interaktif yang menyeronokkan bagi menggalak kanak-kanak pra-sekolah membaca dan belajar.


Digelar “MEL” atau “Mari mEmbaca Lagi”, pakej bahan pelajaran yang digubah berasakan penyelididikan itu mengandungi 30 cekera padat (CD), 30 judul cerita dalam buku bercetak (60 judul semuanya) bersama satu buku panduan. Ia dihasilkan oleh pensyarah UKM yang berpengalaman lebih daripada 25 tahun dalam bidang pendidikan.


Pakej MEL untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 8 tahun itu telah menarik minat Oxford Fajar, cawangan Oxford University Press di Malaysia, untuk menyediakan lukisan dan illustrasi untuk buku-buku cerita itu.


Ketua projek MEL, Prof Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman berkata beliau dan beberapa orang rakannya di UKM telah berbincang mengenai kekurangan buku di pasaran untuk kanak-kanak mula belajar membaca dari usia 2 tahun.


Ini telah mengilhamkannya untuk menyediakan bahan bacaan itu dan hasilnya MEL direka dan diterbitkan.


Rakan-rakannya yang terlibat ialah Prof Madya Dr Azlina Ahmad dan Dr Muriati Mukthar, pensyarah kanan di Fakulti Teknologi dan Sains Matlumat (FTSM) UKM, Prof Datin Dr Siti Rahayah Ariffin, dekan Fakulti Pendidikan UKM dan Prof Dr Tengku Mohd Tengku Sembok (kini bertugas di Fakulti Sains dan Teknologi Maritim, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia).


Prof Halimah, seorang professor di FTSM, berkata mereka memperolehi satu geran dari Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (kini Kementarian Sains, Teknologi dan Innovasi) untuk menghasilkan bahan itu.


Walaupun geran itu diberi di bawah Rancangan Malaysia ke-7, mereka telah selesai pakej MEL yang mengaplikasikan penggabungan hibrid antara penggunaan bahan elektronik dan bahan cetak, tahun ini, ditengah-tengah kesibukan kuliah dan tugas lain masing-masing.



Walaupun lambat, hasilnya cukup berkesan seperti yang dibuktikan oleh pelajar Sarjana dan doctor falsasah mereka yang telah menjalankan ujian menggunakan MEL. Ia menunjukkan bahawa kanak-kanak di Tadika dan Taska boleh membaca selepas dua bulan mengikuti pajek itu.


“Apa yabg berbeza dengan MEL ialah ia menarik minat kanak-kanak yang seronok dicabar untuk merasa, tengok, berfikir dan berinteraksi dengan guru, rakan-rakan dan persekitaran mereka,” katanya.


Bagi para guru Taska dan Tadika, pakej MEL merupkan satu cabaran yang besar dalam menyediakan bahan yang dapat mengubah budaya pembelajaran dari pembelajaran hanya secara hafalan fakta kepada budaya berfikir, berkreatif, inovatif dan penyayang.



Pakej MEL dengan CDs dan buku itu adalah fleksibel untuk para guru menggunapakaikan semua bahan pembelajaran dalam lingkungan setahun.


“MEL memperkenalkan konsep pembacaan dan pelajaran awal yang holistic untuk membentuk kanak-kanak dengan identiti Malaysia yang unik dan konsep ini boleh digunapakai di mana-mana di dunia,” ujar Prof Halimah.


Beliau berkata untuk mempastikan pajek MEL itu holistic, beliau dan rakan-rakannya telah menerapkan 5 daripada 8 domain perkembangan generik kanak-kanak berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) iaitu, pengetahuan, etika dan nilai, kesedaran persekitaran, komunikasi dan pembelajaran seumur hidup.


Berasaskan kemahiran-kemahiran tersebut, bahan mempelajaran itu direka dan disusun untuk menitikberatkan perkembangan sosial, kognitif, affektif atau emosi, pisikal atau psikomotor, daya kreatif serta innovasi.


Rancangan mengajar merangkumi pelbagai aktiviti pra membaca, pra menulis, pra matematik dan sains berasaskan domain kognitif seperti bahasa, sains, matematik, muzik, seni kreatif, seni lukis serta kraf tangan berdasarkan tema dan sub-tema mengikut kurikulum pra sekolah Negara.


Buku panduan itu akan membantu para guru, ibu-bapa atau penjaga memahami, mendorong serta melibatkan diri bersama kanak-kanak (konsep keterangkuman ataupun inclusiveness) dalam proses pertumbuhan literasi awal kanak-kanak yang boleh dilanjutkan sehingga kanak-kanak itu menjejak kaki ke dunia pendidikan formal.


“Jadi, tujuan kami adalah menyediakan sebuah panduan berasakan kontinum pertumbuhan literasi awal kanak-kanak yang bermula daripada usaha awal mereka membaca, menulis, mengira, berfikir secara logik, berfikiran saintifik dan berkomunikasi hingga ke peringkat rendah,” kata Prof Dr Halimah.


Oleh sebab cerita selalu menggemarkan kanak-kanak, buku-buku MEL akan membawa mereka ke muzium dan Masjid Kristal atau mereka boleh mengikuti telatah Jojo, Si Tupai Dusun. Mereka juga boleh mengetahui tentang air dan warna yang menceriakan alam sekitar mereka menerusi CDs.


Pakej MEL dimana bahan elektroniknya adalah perisian kursus multimedia dan Internet, dibahagikan ke tiga peringkat. Peringkat pertama adalah untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun, peringkat kedua untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 5 tahun dan peringkat ketiga untuk mereka berusia 5 hingga 7.


Prof Dr Halimah berkata tempoh yang paling sesuai bagi para guru, ibu-bapa dan penjaga untuk menghabiskan pengajaran silibus MEL ialah setahun.


Untuk mengetahui kemajuan kanak-kanak dalam mempelajaran mereka, MEL menyediakan satu checklist bagi para guru, ibu-bapa atau penjaga memantau perkembangan dan kemajuan kanak-kanak itu.



Walaupun Prof Halimah merupakan seorang saintis dan pakar ICT, beliau tidak menjejak kaki ke dunia pendidikan pra sekolah tanpa sebarang pengalaman.


Khuatir tentang anak bongsunya, Riza, yang enggan membaca semasa berusia 4 atau 5 tahun, si-ibu itu mengilham dan merekakan cerita khas seperti kereta biru Riza dan sebagainya untuk menarik minat anak kesayangannya membaca.


Apabila kisah kereta biru yang menjadikan Riza sebagai watak utama, kanak-kanak itu pun mula berminat membaca dan akhirnya beliau dengan bangga melihat anaknya itu menerima ijazah Sarjananya baru-baru ini.


Tetapi, dalam proses mendorong dan mengajar anaknya sendiri Prof Halimah telah mewujudkan satu seri bahan mempelajaran pra sekolah baru yang digelar Bawal pada tahun 1994/5 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Apa yang menyedihkannya Bawal telah diciplak dan dijual di pasaran. Walaupun beliau telah melaporkan kepada DBP, beliau tidak nampak terdapat apa-apa hasil darinya.


“Ada seorang datang menjual Bawal ciplak kepada saya suatu hari, dan apabila saya memintanya periksa nama saya dengan nama yang tercatit di buku Bawal itu, beliau terkejut!” katanya.


Walaupun beliau rugi kerana perbuatan ciplak itu, Prof Halimah amat berpuas hati apabila beliau diberitahu oleh seorang pemudi di suatu persidangan di UKM, “Professor, I membesar dengan Bawal!”


“Cuba anda bayangkan, saya terjumpa seorang pemudi yang membesar dengan Bawal saya!” ketawa beliau.


Prof Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman boleh dihubungi di:
hbz@ftsm.ukm.my
Tel: 603 2891 6349

Sumber: http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/457-ukm-experts-make-it-fun-for-pre-school-children-to-learn.html

Tuesday, March 01, 2011

Berita Harian Online | Jadual kerja anjal guru elak beban tugas lebih

Oleh Syuhada Choo Abdullah


2011/02/28

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan waktu persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tidak menanggung beban kerja berlebihan.

Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata jadual persekolahan selama lapan jam itu dapat memenuhi waktu harian pelajar secara berkualiti, selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.
Melalui pelaksanaan itu, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, pentadbiran sekolah boleh menyusun pelbagai aktiviti berfaedah untuk mengisi jadual waktu petang setiap hari tanpa membebankan pelajar dengan pembelajaran akademik semata-mata.“Antaranya, pelajar boleh menjalani aktiviti sukan dan kokurikulum, menyiapkan kerja rumah di bawah bimbingan dan pemantauan guru, mengikuti kelas tambahan bagi melonjakkan prestasi pencapaian mereka atau memasuki kelas pemulihan untuk mereka yang memerlukan bantuan.

“Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kemahiran menarik pada sebelah petang seperti kelas seni untuk pelajar dalam aliran sains bagi menggalakkan lagi daya kreativiti.

“Dari segi jadual kerja anjal untuk guru, disarankan sebahagian daripada mereka bertugas mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bakinya dari jam 11 pagi hingga 4 petang ,” katanya selepas menghadiri Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, 70 peratus sekolah di negara ini sudah menjalankan sekolah satu sesi tetapi waktu persekolahan hanya dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari menyebabkan ada pelajar mengambil kesempatan ruang masa selepas itu terjebak dengan gejala sosial kerana ibu bapa bekerja.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya guru permulaan diberi tempoh percubaan selama enam bulan di sekolah bagi memastikan kesesuaian sebenar mereka untuk menjadi pendidik dan jika tidak, wajar dicadangkan mereka mencari kerja lain.

Friday, February 11, 2011

Tema: Emosi Saya

Circle Time:

Activity 1:

Talk with the pupils about things that make you happy.
Talk with the pupils about things that make you sad.
Talk with the pupils about what we can do to feel better when we are sad or angry.
Ask each pupils how they are feeling today.

Activity 2:

ACTIVITY: Exploring Feelings (5 - 7 minutes)

Materials: a grocery bag with pictures of faces
showing a variety of emotions such as fear,
happiness, sadness, boredom, pride, anger, etc.
Have the children gather in a circle. Show them
one of the pictures from the bag. Ask if they can
guess what the emotion is and why a person
might feel that way. Perhaps the children will
want to share stories of when they have felt that
emotion. Let each child pull a different picture
from the bag and identify the emotion. Continue
around the circle until each child has had a turn.

Activity 3:

Song: If You're Happy and You Know It


Invite the children to sing along with this
favorite tune. For each verse, let a different child
pick an emotion and choose an action to go
along with it.

If you're happy and you know it, clap your hands

If you're happy and you know it, clap your hands

If you're happy and you know it, then your face will surely show it

If you're happy and you know it, clap your hands

video

video

Guru Tua sanggah Mokhtar Sabah

Saya menyokong kenyataan Guru Tua dari Johor Bharu.....

SAYA ingin memberi reaksi berdasarkan tulisan Mokhtar Sabah dalam Utusan Malaysia bertarikh 8 Februari 2011. Saya ingin memberi pendapat berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan. Saya rasa ramai guru yang terkejut dengan tulisannya. Di sini ingin saya menyangkal beberapa pandangannya.

Siapa guru yang diberi tanggungjawab mengajar enam waktu seminggu? Hanya Guru Besar yang diwajibkan mengajar enam waktu seminggu kerana beban tanggungjawab yang digalas. Guru mana yang purata mengajar 16 waktu seminggu? Rata-rata guru biasa di sekolah saya mengajar 32 waktu seminggu dengan beban tugas lain. Itu belum ganti guru bersalin yang tiada pengganti.

Contohnya Cikgu A.

- Masa mengajar 32 waktu x 30 minit seminggu.

- Guru Kelas

- Guru Data SDM

- Guru Disiplin

- Pengerusi Teknik Zon

- Guru Bertugas Mingguan

- Setiausaha Kelab Guru

- Penolong Ketua Rumah Sukan

(Banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan seperti mengisi Data Sistem Maklumat Murid (SMM) yang berubah-ubah setiap tahun, majlis persaraan, Hari Kantin, Hari Sukan dan lain-lain.)

Kami tersinggung dengan kenyataan Cikgu Mokhtar yang menyatakan guru mengajar lapan jam seminggu bersamaan dengan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

Wahai, Mokhtar Sabah, keluarlah dari bawah tempurung. Tugas guru bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi mendidik murid dari lepas subuh sampai sebelum maghrib. Malahan ada guru yang ikhlas menabur bakti hingga 10 malam. Di padang waktu petang, kalau bukan guru, siapa agaknya?

Mokhtar Sabah menyatakan seorang guru diberi satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Lihatlah contoh Cikgu A di atas. Hanya guru bermasalah yang memegang jawatan minimum. Kalau cikgu tersebut seorang yang bagus, maka makin banyak beban kerja terletak di bahunya.

Kami tidak pernah mengeluh tentang tugas hakiki menanda buku kerja pelajar, kertas ujian dan menyediakan soalan. Kami tahu tanggungjawab kami. Cuma yang kami bincangkan kerja-kerja lain yang membebankan seperti mengisi data yang sepatutnya bukan kerja kami.

Agaknya Mokhtar Sabah tidak pernah bertugas seminggu selepas cuti dan seminggu sebelum naik sekolah semasa cuti sekolah hujung tahun. Cuti kami diambil, tapi kami akur dengan arahan tersebut.

Wahai Mokhtar Sabah, kalau murid sekolah cikgu tak ramai, bolehlah cakap besar. Cubalah mengajar di sekolah yang muridnya lebih 2,000 orang. Agaknya Cikgu Mokhtar datang sekolah bila jam berbunyi 7.20 pagi dan balik 12.50 tengah hari. Cikgu Mokhtar tak bertugas untuk mengawal disiplin murid awal pagi, waktu rehat dan waktu balik? Ingat ya, tugas guru bukan mengajar di kelas sahaja!

Hanya guru yang memahami masalah yang dihadapi oleh guru. Mokhtar Sabah, marilah datang ke Semenanjung, tukar angin untuk merasai apa yang kami rasa. Jangan dijolok sarang tebuan! Walaupun kami terbeban dengan tugas yang banyak, kami laksanakan dengan jayanya. Kami berjaya mengawal emosi dan tak perlu jumpa doktor sakit jiwa!

GURU TUA

Johor Bahru, Johor

Sumber: Forum Utusan Malaysia Online

Forum Utusan: Guru Tidak Terbeban Kerja

Benarkah guru di Sabah banyak waktu rehat seperti dakwaan Mokhtar Sabah di dalam ruangan forum Utusan Malayasia yang pada hemat saya berbicara seperti dirinya bukan seorang guru... Ini yang ingin saya kongsi bersama pembaca blog saya...

SAYA ingin memberi reaksi kepada pandangan saudara Norhisyam Mohamad dari Kuala Kedah di ruangan ini pada 3 Februari 2011 mengenai Jawatankuasa Khas mengkaji beban tugas guru.

Masyarakat Malaysia sering kali diperdengarkan dengan keluh-kesah warga guru yang mengatakan mereka banyak kerja, kerja sampai ke rumah, waktu cuti pun dipanggil bekerja dan seribu macam lagi. Namun tidak ada statistik sebenar yang menunjukkan bahawa warga guru ini adalah benar-benar dalam keadaan tertekan.

Saya telah berkhidmat sebagai guru mulai Disember 1992 sehingga kini. Saya berasa malu dan bersalah jika mengaku terbeban dengan kerja mendidik. Rasionalnya:

* Hampir setiap guru hanya akan diberikan tanggungjawab mengajar minimum dengan enam waktu seminggu dan maksimum 25 waktu seminggu. Secara purata ramai daripada di kalangan guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu. Satu waktu bersamaan 30 minit atau paling lama 40 minit. Secara purata kebanyakan sekolah rendah atau pun menengah menggunakan satu waktu bersamaan dengan 30 minit sahaja. Purata waktu mengajar guru ialah 16 waktu X 30 min= 480 minit atau lapan jam seminggu iaitu bersamaan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.

* Tugas-tugas khas selain daripada kurikulum akan diberikan dengan agihan saksama. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurusan sekolah, seorang guru akan diberikan satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Misalnya, jika seorang guru diberikan tanggungjawab guru kelas atau tingkatan, ketua rumah sukan, ketua persatuan atau kelab dan jawatan berupa tanggungjawab ketua, maka guru tersebut tidak akan diberi tanggungjawab lain kecuali sekolah kekurangan guru.

* Tugas menanda buku kerja pelajar, menanda kertas ujian atau peperiksaan dan menyediakan kertas soalan adalah tugas hakiki guru.

* Guru-guru wajar mengetahui dengan jelas tugas hakiki mereka. Jika tidak mengetahui, sila rujuk kepada SPP [Panduan tugas hakiki Pegawai Perkhidmatan Pendidikan].Tolong rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi, Misi dan Objektif Kementerian Pelajaran. Lihat juga Tonggak 12 dan semua jenis Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan panduan-panduan perkhidmatan guru yang lain.

Guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugas hakiki yang ada kecuali mereka sendiri yang membebankan diri mereka. Alasan saya:

* Ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti jualan langsung, insurans, jualan runcit (kain tudung, baju, kain pasang, tuisyen, kedai burger dan seribu macam lagi). Cuba rujuk laman sesawang seperti Facebook, kita akan jumpa kebanyakan penjawat awam termasuk guru menguar-uarkan produk jualan mereka dalam Facebook.

* Masa mengajar bukanlah berterusan. Pihak pengurusan sekolah tidak akan berlaku kejam. Setiap guru ada masa senggang. Misalnya, jika guru A telah mengajar tiga waktu sebelah pagi, maka pada waktu empat dan lima, lazimnya beliau akan rehat. Ada juga yang tidak mengajar seharian.

* Guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Ada di kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Purata mereka mengajar tidak lebih daripada 14 waktu seminggu kecuali guru yang mengajar Kemahiran Hidup. Ada yang sempat mengambil projek membuat pagar, membaiki kenderaan luar, mengecat kereta luar, membuat pendawaian rumah dan bermacam kerja lagi dalam waktu kerja.

* Ustaz-ustaz juga tidak ketinggalan menyampaikan ceramah berbayar di merata tempat tetapi tugas hakiki mendidik pelajar terabai. Kalau tidak masakan ada pelajar yang masih tidak mengenal huruf jawi dan tidak boleh membaca al-Quran.

* Guru-guru juga sibuk dengan kejohanan sukan diri sendiri, bukan untuk pelajar. Ada yang terlibat dengan kejohanan sehingga semingu lamanya, sedangkan ia hanya peringkat dalaman sahaja. Jika peringkat kebangsaan hanya setakat itu sahaja kerana tidak ada kejohanan sukan dunia untuk warga pendidik. Masalahnya anak murid yang terabai maka berlakulah guru tidak habis silibus.

Saya meminta mana-mana pihak, terutama golongan guru, agar memberi dan menunjukkan bukti imperikal bahawa mereka (lebih kurang 126,171 guru lelaki dan 279,545 guru perempuan) adalah dalam keadaan tertekan. Tunjukkan juga berapa ramai guru yang dirujuk kepada Lembaga Perubatan kerana masalah mental disebabkan ‘Beban Tugas’.

Saya menyeru semua warga pendidik iaitu guru, Pensyarah Guru, Pensyarah IPTA & IPTS agar menilai diri dan memahami fungsi kita sebagai pendidik. Jika kita tidak boleh, maka ada pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kita melepaskan jawatan kita dan carilah kerja yang sesuai dengan kita.

Mokhtar Sabah

Keningau, Sabah.

Sumber: Utusan Malaysia Online arkib 08.02.2011