Pages

Thursday, June 11, 2009

Umur enam tahun patut dah boleh sekolah

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran supaya mengkaji semula usia persekolahan peringkat sekolah rendah yang ketika ini bermula pada umur tujuh tahun kepada enam tahun ekoran perkembangan minda kanak-kanak yang semakin pantas.

Perkara itu wajar dikaji secara serius kerana keadaan persekitaran pembelajaran untuk kanak-kanak kini semakin baik melalui pelbagai kemudahan yang sempurna.

Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob berkata, negara-negara Eropah termasuk Singapura sudah lama mengamalkan pendidikan di peringkat sekolah rendah bermula pada usia enam tahun.

"Sebenarnya kita sudah terlewat dan kerajaan patut melihat perkara ini," katanya ketika mempengerusikan Majlis Dialog UPSI Bersama Media di sini semalam.

Menurut beliau, negara ketika ini sudah cukup bersedia untuk melaksanakan cadangan tersebut dengan syarat peringkat pra sekolah sudah lengkap.

"Ada ibu bapa yang memasukkan anak-anak mereka ke pra sekolah seawal usia empat dan lima tahun dan mereka terpaksa menunggu lama untuk memulakan persekolahan peringkat rendah," ujarnya.

Sumber: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2009&dt=0611&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_03.htm