Pages

Sunday, December 27, 2009

PERANAN IBU BAPA DALAM MENINGKATKAN POTENSI ANAK-ANAK

Memanglah menjadi hasrat setiap pasangan ibu bapa untuk melihat anak-anak mereka berjaya dalam hidup. Mereka ingin melihat tiap seorang daripada anak mereka mencapai kesejahteraan dari segi fizikal, mental, sosial dan juga rohaniah. Mereka sentiasa memikirkan masa depan zuriat mereka. Ini adalah satu jihad.Dalam satu hadis , rasulullah s.a.w bersabda , yang bermaksud : "seorang anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrah dan ibu bapanyalah yang mencorakkan sama ada ia menjadi seorang Yahudi , Nasrani , atau Majusi ". Apabila membincangkan soal untuk mempertingkatkan potensi intelek seseorang kanak -kanak , aspek -aspek lain seperti perkembangan fizikal , sosialnya ,dan rohaniahnya tidak boleh diketepikan. Perkembangan dalam satu bidang akan mempergaruhi perkembangan dalam bidang yang lain. Umpamanya , perkembangan aspek komunikasi yanng optimum akan mempertingkatkan kemahiran sosial si anak. Ini kemudiannya akan mempengaruhi kemahiran inteleknya , meningkatkan daya kreatif dan menonjolkan bakat semulajadi yang diwarisi dari ibu bapa atau nenek moyangnya. Peranan ibu bapa dalam usaha untuk mempertingkatkan potensi anak mereka boleh diwujudkan melalui konsep keibu - bapaan berkesan atau effective parenting. Konsep ini bertujuan untuk mencorakkan perwatakan atau personaliti si anak itu supaya ciri -ciri tingkah laku yang ditunjukkanya adalah baik dan sesuai dengan kehendak ibu bapa, keluarga , masyarakat dan negara .Ibu bapa merupakan sebaik -baik contoh kepada anak -anak. Mereka perlu sentiasa menarik perhatian anak mereka kepada perwatakan dan tingkah laku yang baik agar si anak dapat menjiwakannya. Dasar kependudukan baru negara menekankan kewujudkan satu generasi yang sihat , dinamik , produktif serta mempunyai nilai -nilai hidup dan moral yang tinggi. Negara memerlukan tenaga kerja yang mahir dan berfikiran positif. Ibu bapa mestilah mempunyai pengetahuan tentang perkembangan kanak -kanak , strategi pendidikan dan strategi pengubahsuaian tingkah laku supaya dapat mempengaruhi dan mencorakkan perkembangan anak mereka sepertimana yang di cita -citakan. Faktor -faktor yang mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu bolehlah dibahagikan kepada dua , iaitu faktor persekitaran luar dan faktor dalam diri si anak itu sendiri. Persekitaran luar merangkumi suasana di mana si anak diasuh dan berkait rapat dengan faktor -faktor seperti taraf sosioekonomi , budaya serta hubungan dengan adik -beradik serta kawan -kawan di sekelilingnya , peralatan di rumah atau di sekolah dan media massa. Faktor dalam diri sendiri termasuklah taraf kesihatan , taraf pemakanan pengamatan atau persepsinya terhadap dunia luar , pengamatan terhadap diri sendiri (sama ada dia berasa rendah diri atau sebaliknya ) , dan ciri -ciri serta bakat semula jadinya

yang sedikit sebanyak terdapat dalam baka yang diwarisinya . Setiap komponen yang memain peranan dalam mempengaruhi perkembangan dan tingkah laku seseorang kanak -kanak itu perlu difahami oleh ibu bapa. Mereka perlulah bijak mengenal pasti ciri -ciri kekuatan yang ada pada anak mereka di samping menumpukan perhatian pada sebarang kelemahan yang ada pada seseorang kanak -kanak itu boleh diatasi atau sekurang -kurangnya diperbaiki dengan menggunakan strategi -strategi tertentu. Kekuatan atau bakat yang dikenal pasti boleh dipupuk dan dipertingkatkan lagi dengan memberi galakan serta peluang untuk si anak itu meningkatkan potensinya . Setiap pemgalaman yang memberinya kepuasan dan kejayaan akan menambahkan lagi perasaan yakin pada diri sendiri dan ini pula akan memberinya lebih kekuatan untuk berhadapan dengan cabaran -cabaran baru yang bakal menguji daya inteleknya . Keupayaan intelek (intellectual capacity ) seseorang itu adalah kurniaan Allah s.w.t yang tiada siapa boleh memahami. Kebiasaannya , kita hanya boleh menilai kebolehan atau prestasi seseorang itu pada sesuatu ketika sahaja. Manusia sentiasa berubah dari segi kebolehan , tingkah laku dan sikap. Perubahan - perubahan ini adalah akibat pengaruh -pengaruhi luar , pengaruh -pengaruh dalam dirinya atau perasaannya pada peringkat trimester kedua kehamilan sehingga dua tahun selepas kelahiran. Pertumbuhan otak berkembang pesat pada waktu ini. Bayi yang baru lahir hanya tidur , bangun

untuk menyusu dan mula mengenal persekitarannya melalui deria-deria yang dimilikinya. Daya pemikirannya meningkat dengan peredaran masa dan pada usia tiga tahun dia sudah boleh berlari, melompat, bercakap menggunakan ayat yang penuh, bergaul mesra dengan rakan sebaya dan makan minum serta memakai baju tanpa pertolongan orang lain. Perasaan ingin tahu sangat ketara ini dan dia bertubi-tubi mengemukakan pelbagai soalan kepada ibu bapanya dan sesiapa sahaja yang rapat dengannya bagi memenuhi kehausan pengetahuan pada dirinya.

Jika hakikat imi disedari, maka mudahlah difahami mengapa penjagaan yang rapi dan perhatian yang secukupnya harus diberikan daripada peringkat janin lagi untuk memastikan pertumbuhan dan perkembangan bayi yang optimum. Kesihatan ibu yang hamil adalah suatu aspek penting yang perlu diberikan perhatian serius. Ibu hamil yang menghidap penyakit atau mengamalkan tabiat hidup yang moden mengancam kesihatan seperti merokok, meminum arak, mengambil dadah atau ubat-ubatan yang dicegah dan juga mereka yang terdedah kepada unsur sinar-X boleh menjejaskan pertumbuhan dan perkembangan janin yang didalam kandungan. Demikian juga halnya dengan bayi yang dilahirkan secara kecemasan. Kekurangan bekalan oksigen ke bahagian otak-nya atau serangan penyakit yang boleh merosakkan otaknya akan menjejaskan perkembangan dan pertumbuhannya. Amalan -amlan yang sihat yang boleh mempertingkatkan kesihatan ibu hamil perlu diberikan perhatian. Di negara kita , kadar kematian di kalangan bayi akibat keadaan -keadaan yang sepatutnya boleh dicegah masih lagi berada di tahap yang tinggi. Ini tidak seharusnya berlaju memandangkan teknologi untuk mencegah atau merawat penyakit -penyakit ini telah ada dan mudah pula di dapati.

Pengawasan terhadap perkembangan dan pertumbuhan bayi selepas lahir dari semasa ke semasa adalah penting kerana ini merupakan satu -satunya cara untuk mengenal pasti sebarang keadaan yang luar dari kebiasaan Walaupun kerajaan telah menyediakan program - program bagi mengawasi perkembangan kanak -kanak , usaha -usaha ini tidak akan berjaya tanpa kesedaran pihak ibu bapa tentang peranan mereka dalam mengawasi perkembangan dan tumbesaran anak mereka. Kunci kepada perkembangan dan tumbesaran yang optimum seseorang kanak -kanak itu ialah taraf kesihatan yang tinggi tanpa sebarang kecacatan atau penyakit yang serius. Andainya seseorang anak itu pekak atau buta ibu bapa haruslah bijak mengenal pasti kekuatan dan kelemahan sianak itu dan mengetahui strategi-strategi berkesan yang boleh digunakan untuk memaksimumkan potensi anak mereka.

Anak yang menghidap penyakit perlulah mendapat rawatan segera agar doktor dapat mengenal pasti penyakit tersebut diperingkat awal serangannya dan mencarikan ubat yang sesuai. Usaha-usaha untuk mempertingkat ketahanan diri sianak supaya tidak selalu diserang penyakit juga perlu dijalankan.

Amalan, sikap san nilai-nilai yang ada pada ibu bapa banyak dipengaruhi oleh orang tua mereka sendiri. Mereka harus memikirkan sama ada ciri-ciri ini sesuai dengan keadaan, masa dan juga sifat-sifat yang terdapat pada anak mereka. Umpamanya, mendisiplinkan anak dengan cara merotan mempunyai kesan yang negetif terhadap anak itu. Sebaliknya, banyak kaedah positif lain yang boleh meningkatkan daya pemikiran dan kematangan sosial sianak. Caragayanya keibubapaan sudah semestinyalah sedikit sebanyak akan mempengaruhi seseorang anak apabila dewasa dan seterusnya menjadi ibu atau bapa pula. Kajian menunjukkan bahawa ramai ibu bapa yang sewaktu kecilnya menjadi mangsa penganiayaan orang tua mereka cenderung untuk menganiayai anak-anak mereka sendiri.

Keperluan dan citarasa seorang kanak-kanak berubah dari semasa ke semasa. Umpamanya, jenis makanan yang digemarinya akan berubah-ubah mengikut seleranya. Corak pakaian, permainan dan cara berkomunikasi dengannya juga perlu diubahsuai mengikut kematangan fikirannya. Tingkah lakunya sering berubah-ubah.Tabiat yang dianggap lazim pada satu peringkat usia mungkin tidak manis atau tidak lagi sesuai apabila umur meningkat. Umpamanya, tabiat menghisap jari biasanya akan hilang dengan sendirinya bagi kebanyakan kanak-kanak tetapi jika ia berterusan sehingga usia enam tahun keatas, ini mungkin ada kaitannya dengan suasana yang kurang selesa baginya. Ibu bapa boleh menolong mengikis tabiat anak yang kurang manis jika mereka mengetahui asas kelakuan yang ditunjukkan serta kaedah modifikasi tingkahlaku.

Kanak-kanak yang baru memulakan persekolahan dalam tahun satu mempamerkan berbagai-bagai corak perwatakan. Seseorang guru yang cekap memerhatikan tingkah laku anak-anak muridnya boleh mengagak sama ada suasana dimana kanak-kanak itu dibesarkan merupakan suasana yang baik dengan segala keperluannya dipenuhi atau sama ada kanak-kanak itu datang dari kalangan keluarga yang kurang sejahtera, serba kekurangan dan kerap tidak dapat memenuhi keperluannya.

Mendisiplinkan anak adalah satu proses yang berterusan. Setiap detik dalam kehidupan anak itu merupakan satu pengalaman. Oleh itu, perwatakannya dari semasa akan terbentuk daripada setiap pengalaman yang bermula dari dalam rahim ibunya dan berterusan sehingga akhir hayatnya. Oleh itu , ibu bapa memain peranan untuk memastikan agar anak mereka sering didedahkan kepada pengalaman - pengalaman positif yang meninggalkan kenangan -kenangan manis kepadanya supaya dia dapat menyedari bakat yang ada padanya dan berbangga terhadap setiap pencapaiannya.

Kanak -kanak tidak sunyi daripada dilanda perasaan hiba , sama ada di sebabkan kehilangan orang yang disayanginya atau penyakit yang memerlukan rawatan di hospital dan berbagai -bagai lagi peristiwa yang menyedihkan. Tetapi , melalui belaian kasih dan cara berkomunikasi yang berkesan , pengalaman - pengalaman sedih ini boleh meneguhkan iman dan perwatakannya. Pengalaman -pengalaman ini merupakan detik peristiwa yang boleh memberikan pedoman dan pengajaran yang berguna dalam hidupnya. Umpamanya , kanak -kanak yang kematian ayahnya akibat kemalangan boleh dibantu jika ibu , datuk ,nenek dan saudara mara terdekat mencurahkan kasih sayang dan perhatian serta memberi nasihat - nasihat dan pandangan -pandangan positif yang boleh menolong mencorakkan personalitinya. Dia mungkin akan menjadi lebih cekal dan berfikiran lebih matang jika dibandingkan dengan kanak -kanak lain yang belum pernah mengalami situasi yang sebegitu mencabar. Sebaliknya , jika si anak tidak mendapat sokongan emosi dan perhatian yang amat -amat diperlukan , kesedihannya mungkin akan berlanjutan dan akan menjejaskan perkembangan sosial dan inteleknya.

Kanak -kanak pekak , buta , yang cacat anggota atau yang mempunyai masalah perubatan seperti sawan memerlukan kemahiran keibubapaan yang khusus. Ibu bapa yang terlibat perlu mengorbankan masa mereka untuk menjalani latihan -latihan dan membelanjakan wang ringgit untuk mendapatkan keperluan keperluan seperti alat pendengaran , cermin mata rawatan perubatan atau terapi. Malah , mereka mungkin perlu peka terhadap kemajuan - kemajuan dalam teknologi pendidikan khas (special aducation ) melalui majalah - majalah , buku -buku serta latihan - latihan khas untuk melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan -pengetahuan yang boleh digunakan bagi melatih anak mereka. Ibu bapa juga perlu tahu tentang perkhidmatan untuk kanak -kanak cacat sama ada yang ditawarkan oleh badan -badan kerajaan , swasta atau pertubuhan -pertubuhan sukarela. Kadangkala , ada baiknya ibu bapa sendiri menganggotai organisasi -organisasi yang menyediakan perkhidmatan -perkhidmatan khas untuk kanak -kanak cacat dan yang bermasalah agar mereka dapat berhubung dengan pihak -pihak yang berkenaan yang boleh mengaturkan keperluan -keperluan khas untuk anak -anak mereka.

Rumusan

Untuk mempertingkatkan potensi anak -anak , ibu bapa perlu mempunyai sikap dan amalan positif serta pengetahuan yang boleh membantu mempengaruhi perkembangan anak mereka dengan lebih mendalam lagi terutamanya dari segi kekuatan dan bakat semula jadi yang dimilikinya. Dengan ini , ciri -ciri positif

yang dimiliki oleh anak mereka dapat di pupuk dan dirangsang untuk mencapai kecemerlangan.

Sumber: http://home.hamidarshat.com/TENTANG%20KANAK-KANAK.htm

Usia awal masuk sekolah?

Oleh Suliati Asri
suliati@hmetro.com.my

ROMBAK semula sistem pendidikan dengan mengubah kemasukan murid sekolah rendah daripada usia tujuh tahun seperti yang dipraktikkan sekarang kepada enam tahun.

Itu saranan Naib Canselor, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) , Profesor Datuk Dr Aminah Ayob kepada Kementerian Pelajaran untuk merombak sistem pendidikan agar kanak-kanak memasuki sekolah pada usia enam tahun.

Dr Aminah mengesyorkan rombakan itu kerana kanak-kanak zaman milenium kini bersedia memasuki alam persekolahan seawal usia enam tahun berikutan mendapat pelbagai pendedahan.

Beliau berkata, lebih banyak faedah yang boleh diperoleh jika memasuki sekolah rendah dalam usia awal.




Kajian mendapati lebih 90 peratus kanak-kanak berusia empat hingga lima tahun mendapat pendidikan prasekolah di negara ini.


Justeru, tidak timbul mengenai persediaan mereka memasuki sekolah rendah pada umur enam tahun kerana mereka didedahkan ilmu ketika belajar di prasekolah.

Malah, katanya, dengan pelbagai kaedah pembelajaran terkini dan dibantu peralatan moden menyebabkan kematangan kanak-kanak zaman ini melebihi daripada generasi seusia mereka, 20 atau 30 tahun lalu.

Bagaimanapun, ibu bapa mempunyai pendapat masing-masing mengenai syor Dr Aminah itu.

Persoalannya, adakah usia enam tahun itu terlalu awal untuk memasukkan mereka dalam alam persekolahan?

Tidakkah sampai satu tahap nanti mereka bosan dan tidak lagi mahu ke sekolah kerana mendapatkan pendidikan formal terlalu awal?

Eksekutif pemasaran, Mohd Zaki Mansur, 34, berkata cadangan itu memang banyak manfaat terutama kepada perkembangan otak mereka.

Bagaimanapun, menurutnya, dari segi jangka panjang, ia bukan satu langkah yang bijak kerana kanak-kanak cepat bosan dan malas ke sekolah.

"Memberi pendidikan lebih awal kepada kanak-kanak sangat baik kerana mereka dapat menerima apa yang dipelajari serta mempraktikkannya.

"Mereka juga lebih bijak dan sentiasa ingin menerokai sesuatu yang baru," katanya.

Namun, apa akan jadi ketika mereka berusia lapan atau sembilan tahun kerana dia bimbang mereka bosan dengan rutin harian dan enggan ke sekolah.

"Ketika menghantar anak mendapatkan pendidikan awal di pusat pembelajaran kanak-kanak, saya cukup kagum dengan perkembangan anak.

"Dia lebih bijak dan sentiasa mahu melakukan sesuatu perkara seperti yang dilakukan di pusat pembelajaran kanak-kanak itu," katanya.

Tetapi, ketika belajar di sekolah rendah, anaknya menunjukkan sindrom malas ke sekolah dan tidak minat belajar seperti di tadika.

"Anak saya sering mengeluh penat selain mengatakan dia sudah pandai dan boleh melakukan apa yang dipelajarinya.

"Dia tidak lagi mempunyai semangat ke sekolah seperti ketika di hantar ke tadika," katanya.

Pegawai tadbir, Halimah Abdul Kadir, 28, membantah cadangan Dr Aminah kerana menganggap dalam usia enam tahun, mereka belum mampu mempelajari ilmu dengan lebih formal.

"Memang benar, apabila kita menghantar anak lebih awal ke sekolah, mereka cepat pandai.

"Tetapi, harus diingat, sistem pembelajaran di pusat pembelajaran kanak-kanak dan sekolah rendah sangat berbeza.

"Pembelajaran di sekolah rendah lebih formal dan serius berbanding di tadika kerana mereka tidak dipaksa melakukan sesuatu," katanya.

Selain itu juga, dengan memulakan persekolahan pada usia enam tahun, ia akan menghilangkan fokus kanak-kanak itu untuk belajar.

"Mereka akan merasakan bahawa mereka sudah tahu semua yang diajarkan di sekolah. Ini menyebabkan mereka lebih berminat bermain," katanya.

Sementara itu, guru tadika, Izzawati Faizal, 23, berkata kaedah pembelajaran di sekolah menyebabkan murid-murid bosan dan hilang minat belajar.

"Justeru, kaedah pembelajaran di sekolah jangan terlalu formal dan memaksa mereka belajar," katanya.

Mengulas mengenai langkah ibu bapa gemar menghantar anak ke tadika, katanya ia langkah yang baik bagi melahirkan kanak-kanak pintar dan berdaya saing.

"Mereka juga lebih matang dan bersedia mengikuti pembelajaran di sekolah rendah pada usia enam tahun," katanya.

Katanya, walaupun belajar di tadika ketika berusia tiga tahun, ia tidak membosankan mereka, sebaliknya memberikan banyak manfaat.

"Dengan memperoleh pendidikan seawal usia empat tahun, seterusnya memasuki alam persekolahan formal pada usia enam tahun, mereka ini lebih matang menerima ilmu.

"Mereka sudah bersedia dari mental dan fizikal untuk memasuki alam sekolah kerana mendapat didikan di tadika," katanya.

Walaupun menyokong cadangan Dr Aminah, dia meminta Kementerian Pelajaran mengkaji perkara itu sebelum membuat sebarang ketetapan bagi menguntungkan semua pihak.

Pukul pilihan terakhir

Sumber: Harian Metro Online

MENDIDIK anak perlu ada kemahiran tersendiri. Bukan semua ibu bapa mahir dalam mendidik anak dan bukan semua mereka faham erti kehidupan.

Sebagai insan yang baru mengenal dunia, mereka tentu memerlukan bimbingan dan tunjuk ajar daripada ibu bapa yang memerlukan tahap kesabaran serta disiplin yang tinggi.

Nabi Muhammad s.a.w mendidik anak dan cucu baginda mengguna serta mengutamakan pendekatan lemah lembut dan penuh dengan kasih sayang.

Panduan berikut mungkin dapat memberi bimbingan dalam mendidik anak:






  • Jika anak melakukan kesalahan, beritahu secara terus terang. Ada kalanya, ibu bapa hanya mencari salah anak tanpa menunjukkan cara yang betul.

  • Ibu bapa atau guru harus memberikan maklum balas kepada setiap perbuatan anak sama ada betul atau salah. Jika perbuatan mereka betul, berikan dia 'pengukuhan positif' dalam bentuk pujian atau ganjaran. Jika salah, berikan 'pengukuhan negatif', seperti teguran atau hukuman.

  • Jika ada anak yang berkata: "Apa yang saya buat selama ini, semuanya salah."

    Kata-katanya boleh direnung. Mungkin sebelum ini, kita tidak pernah mengiktiraf perbuatan anak yang betul sebaliknya, hanya menegur apabila perbuatannya salah.

    Jika mereka sentiasa ditegur kerana kerap melakukan kesalahan, anak juga mungkin cenderung untuk melakukan kesalahan.

  • Memujuk dengan cara lemah lembut dan berhikmah atau kreatif. Cara itu membuatkan anak berfikir walaupun akalnya tidak mampu membuat tanggapan lebih jauh, sekurang-kurangnya dia tahu membezakan antara yang betul dan sebaliknya.

  • Menggunakan isyarat tertentu sebagai cara mengajar yang memberi kesan mendalam.

  • Mencela keburukan perangai (bukan kekurangan diri untuk tujuan menghina dirinya) boleh menimbulkan rasa insaf anak.

  • Memulau atau tidak mempedulikannya dalam jangka waktu tertentu antara cara mengajarnya supaya dia berfikir sejenak supaya dia belajar mengenai kesalahan diri.

  • Pilihan terakhir adalah memukul atau merotan. Tindakan ini diambil selepas kaedah di atas tidak berkesan. Menghukum dengan memukul atau merotan bukanlah sewenang-wenangnya, tetapi menggunakan kaedah sewajarnya.

  • Jangan sekali-kali meninggalkan konsep 'mendidik'. Orang yang mengajar itu lebih baik daripada orang yang berkeras.

  • Tanggungjawab mencorak masa depan anak memang tidak terletak di tangan ibu bapa semata-mata. Pengaruh luar sama ada positif atau negatif tetap memainkan peranan besar.

    Ada antaranya tidak dapat ditangani lalu memberi kesan buruk berpanjangan dalam kehidupan. Biar apapun alasan, orang dewasa yang sebenarnya lebih banyak menentukan sama ada anak itu hanya perlu dibelai atau mesti dipukul bagi memenuhi tanggungjawab atau mendisiplinkannya.

  • Faktor kecerdikan emosi ibu bapa dan pendidik perlu diasah selalu kerana fitrah manusia berasa perlu dilindungi dan dikasihi untuk ketenangan akal fikiran dan jiwa.

    Demikian juga anak yang memerlukan keprihatinan orang dewasa dalam setiap kegiatan kehidupan. Oleh itu, ibu bapa atau guru perlu mengemas kini pengetahuan dalam mendidik dan memanfaatkan bidang ilmu terkini dalam pendidikan anak.

  • Anak perlukan contoh keperibadian untuk diikuti. Ibu bapa pula adalah peribadi terhampir dengan mereka yang boleh menampakkan usaha, kesusahan dan pencapaian kepada anak.

  • Menghormati keperluan, kehendak dan perasaan anak adalah satu tanggungjawab. Namun, setiap kita mesti tahu membezakan antara keperluan dengan kehendak.

    Keperluan mesti dipenuhi, namun kehendak tiada batasnya kerana kehendak lebih berasaskan kepada nafsu. Kehendak dan kerenah perlu diubah suai supaya boleh menjadi bimbingan.

  • Anak perlu diterima seadanya tanpa syarat dengan segala kebaikan dan keburukan, kebolehan serta kekurangannya. Ibu bapa juga mesti belajar menerima dan mengiktiraf perasaan dan pandangan anak walaupun ia bercanggah dengan pandangan mereka.

  • Jangan sesekali terlalai untuk memberi pujian dan menghargai perlakuan baik anak kerana itu akan menjadi insentif nombor satu dan ingatan bermakna, meskipun tanpa hadiah yang dinilai dengan wang ringgit.

    Pasti ada kalanya anak melakukan kesilapan. Ambillah kesilapan sebagai pengajaran dan permulaan menuju kejayaan.

  • Anak menunjukkan pelbagai ragam yang sebahagiannya menggugat kesabaran. Emosi negatif anak mesti ditangani dan dibelai dengan ilmu. Usaha berterusan perlu untuk menjauhkan mereka daripada terus terbawa-bawa tingkah laku demikian hingga besar dan mempengaruhi sikap mereka.

  • Kepincangan dalam perkembangan emosi boleh menjejaskan perkembangan kanak-kanak secara keseluruhan, terutama dari segi mental. Apabila mental mereka terjejas, ia tentu membantutkan perkembangan anak yang menjadi harapan ibu bapa untuk berjaya.
  • Didik anak sopan santun

    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



    ORANG kita sangat bangga apabila dilabelkan sebagai bangsa yang peramah, berbudi bahasa dan bersopan santun. Gambaran ini seolah-olah menjadi ‘lambang rasmi’ masyarakat kita.

    Ini juga sebabnya ramai melenting marah (termasuk kepada pelakon Adlin Aman Ramli yang melakonkan watak lelaki sombong dalam iklan LRT) bagi kempen Budi Bahasa Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan apabila ia ditayangkan beberapa tahun lalu.

    Malah, ramai tidak berpuas hati dan mempertikaikan hasil tinjauan rambang majalah Reader’s Digest disiarkan pada Jun 2006 yang meletakkan Kuala Lumpur di tangga ketiga daripada 35 ibu negara paling kurang berbudi bahasa selepas Bucharest dan Mumbai.

    Walaupun ramai bersetuju dengan keputusan itu (berdasarkan pemerhatian dan pengalaman peribadi), lebih ramai menganggap ia pendedahan kurang tepat yang memburukkan nama masyarakat kita.




    Namun seperti biasa, isu yang cepat timbul, cepat pula tenggelamnya dan kita masih meneruskan gaya kurang bersopan seperti dilaporkan dalam tinjauan berkenaan.


    Siapa antara kita kerap menerima ucapan terima kasih apabila tolong menekan butang ‘buka’ pada lif atau memegang pintu supaya orang lain juga dapat masuk atau keluar?

    Adakah ucapan terima kasih ini lancar keluar dari mulut anda apabila orang melakukannya kepada anda? Sebelum kita melabel orang lain kurang sopan, tanya diri sendiri adakah anda orang yang bersopan.

    Tahukah anda, mengumpat atau mengata juga dikategorikan sebagai tindakan tidak sopan? Berapa kali anda memotong barisan ketika mahu membuat pembayaran di pasar raya?

    Pernahkah anda melihat orang mencampakkan wang ke atas meja kaunter dan bukan menyerahkan wang bayaran ke tangan juru wang? Apa perasaan anda jika anda di tempat juruwang berkenaan?

    Apabila anda membuat panggilan telefon, khususnya ke talian rumah, adakah ia dimulakan dengan ucap salam atau terus bertanyakan orang anda cari ada atau tidak.

    Lebih buruk jika anda bertanya ‘awak siapa’ atau ‘siapa ni?’ kepada orang yang menjawab panggilan dan bukan memperkenalkan diri anda terlebih dulu.

    Selain itu, berapa ramai terus memutuskan talian tanpa meminta maaf apabila tersilap membuat panggilan?

    Ini antara serpihan contoh sikap kurang sopan di kalangan masyarakat kita. Kalau masuk bab kebiadaban di jalan raya, lagi panjang isunya.

    Budi bahasa dan kesopanan tidak diwarisi, sebaliknya ia perlu dipelajari dan dijadikan amalan sepanjang hayat, kata Perunding Psikologi Pusat Perubatan Pantai, Dr Khairi Rahman.

    Secara umumnya, orang kita memang miskin dan kedekut untuk meluahkan kata pujian atau penghargaan bukan saja untuk orang sekeliling, bahkan kepada ahli keluarga sendiri.

    Ibu bapa yang kedekut dengan kata-kata penghargaan secara tidak langsung melahirkan anak kurang sopan dan tidak pandai menghargai orang lain.

    “Bagi saya, orang Malaysia pandai menyesuaikan diri mengikut persekitaran. Apabila ada di satu-satu negara, kita berkelakuan seperti orang di sana.

    “Jika penduduk di sana bersopan santun, kita terikut cara mereka. Cuma masalahnya apabila di negara sendiri, nilai berkenaan tidak diteruskan.

    “Budaya masyarakat turut mempengaruhi perkara ini kerana bagi masyarakat Barat, perkataan yang dianggap ‘terlalu mesra’ di sini seperti ‘love, dear dan honey’ adalah biasa yang boleh digunakan kepada sesiapa saja sebagai pengganti nama.

    “Bahkan, ada berpendapat isu bahasa seperti perkataan ‘please’ yang diterjemah kepada ‘tolong’ seolah-olah kita mengharapkan pertolongan orang.

    “Memang tidak dapat dinafikan, budaya murni dan budi bahasa boleh hilang dengan pengaruh persekitaran atau apabila ada dalam komuniti baru.

    “Contohnya di kalangan remaja; walaupun sejak kecil dididik dengan baik tetapi apabila bercampur dengan rakan sebaya, seseorang itu terikut cara rakan supaya dia dapat diterima dalam kumpulan berkenaan.

    “Bagaimanapun dalam soal budi bahasa, tugas utama dipikul ibu bapa untuk dipupuk pada anak sejak kecil. Ia perlu dijadikan cara hidup kerana anak daripada keluarga yang cantik budi bahasanya dan pertuturannya menjadi individu lebih baik,” katanya.

    Dr Khairi berkata, satu perkara yang kadangkala orang terlepas pandang ialah penggunaan bahasa di kalangan ibu bapa atau individu dewasa. Usah mengharapkan anak menggunakan perkataan baik dan sopan jika anda sebagai ibu bapa bercakap kasar.

    Kanak-kanak umpama span yang menyerap segala perkara yang mereka lihat dan dengar. Yang menyedihkan, tabiat buruk itu lebih mudah diikut berbanding tabiat baik.

    Jika sejak lahir terdedah kepada bahasa kasar, mereka menganggapnya sebagai perkara normal dan bahasa sama boleh digunakan apabila bercakap dengan orang lain.

    “Sesetengah ibu bapa menggunakan perkataan ‘aku’ dan ‘engkau’ ketika bercakap dengan anak tanpa menyedari ia perkataan ganti diri yang kasar.

    “Ia memberi kesan negatif kepada anak kerana mereka juga menggunakan perkataan ‘aku’ dan ‘engkau’ di kalangan adik beradik dan rakan.

    “Cara terbaik ialah menggunakan perkataan ‘saya’ dan ‘awak’ atau nama sendiri. Bagi ibu bapa, mereka boleh gunakan perkataan ‘ibu’ atau ‘ayah’ apabila bercakap dengan anak.

    “Ini secara tidak langsung mengajar anak menggunakan ganti nama diri yang sopan selain meletakkan mereka sebagai individu yang perlu dihormati,” katanya.



    Sekolah peradaban

    Semua masyarakat ada kesopanan tersendiri dan sejak berabad lalu ia menjadi antara perkara utama dalam hidup, khususnya di kalangan keluarga diraja dan golongan bangsawan.

    Ini sebabnya golongan bangsawan Barat dulu menghantar anak mereka ke sekolah peradaban yang mengajar mereka menjadi individu beradab.

    Ia tidak hanya memberi penekanan terhadap pertuturan, tetapi mereka turut diajar tata tertib di meja makan, termasuk cara mengunyah makanan!

    Penulis tidak pasti sama ada sekolah seumpama ini wujud di Malaysia tetapi menurut Dr Khairi, jika ibu bapa menjadikan adab sopan sebagai cara hidup seperti dituntut agama, anak akan mempunyai akhlak baik dan terpuji dengan hanya dididik di rumah sendiri.

    “Jangan sayang untuk menghukum anak jika mereka menunjukkan perlakuan biadap. Ibu bapa boleh mengamalkan sistem ‘ganjaran’ dan ‘hukuman’ untuk merangsang sikap baik pada anak.

    “Ganjaran boleh dalam bentuk pujian, pelukan atau memberi peluang anak membuat satu-satu pilihan, tetapi elak memberi mereka wang.

    “Mulakan pembentukan akhlak ini ketika anak masih kecil kerana sikap biadab sukar dikikis apabila mereka remaja,” katanya.

    Ada yang mengaitkan kekurangan adab sopan dengan kemiskinan. Dr Khairi berkata, hidup susah dan kemiskinan memang boleh mempengaruhi bahasa digunakan ibu bapa.

    Perasaan kecewa, sedih dan tertekan kadangkala membuatkan seseorang hilang kewarasan dalam memilih perkataan baik walaupun mereka tidak bermaksud untuk bercakap kasar.

    Kurang kemahiran berkomunikasi dan pendidikan juga boleh menyumbang kepada perkara ini. Memang diakui tidak ramai ibu bapa membuat persediaan awal untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi sebelum mempunyai anak.

    Ramai beranggapan kemahiran menjadi ibu bapa wujud secara automatik selepas mempunyai anak, sedangkan semuanya perlu dipelajari.

    Benarkah kanak-kanak yang datang daripada keluarga kasar berkemungkinan menjadi pembuli? Ya. Buli tidak hanya melalui perlakuan, tetapi ia boleh ditunjukkan melalui percakapan.

    Bagaimanapun, si pembuli kanak-kanak mungkin tidak tahu ia satu kesalahan jika dia dibesarkan dalam keluarga yang tidak sunyi daripada cercaan, maki, marah dan bercakap menggunakan perkataan tidak elok.

    Malah, tidak mustahil individu yang dibesarkan dalam persekitaran negatif juga ‘menurunkan’ persekitaran sama kepada isteri dan anak mereka. Jadi, masalah kurang ajar dan tidak bersopan berterusan dalam keluarga.

    Ada orang dibesarkan dalam suasana sangat negatif iaitu menjadi mangsa untuk dipersalahkan bagi setiap keadaan, malah ibu bapa menganggap mereka sebagai pembawa malang.

    Persekitaran begini menyebabkan si anak tidak yakin pada diri sendiri kerana percaya mereka tidak berguna dan hanya membawa malang kepada keluarga.

    “Anak yang dibesarkan dalam persekitaran begini mungkin tidak menjadi insan biadab tetapi biasanya bersikap sarkastik iaitu percakapan mereka sentiasa menyakitkan hati.

    “Mereka boleh membuktikan perkara sebaliknya jika dapat lari daripada persekitaran yang negatif ini seperti belajar di sekolah berasrama, masuk ke universiti atau bekerja di tempat lain. Bagaimanapun, tidak ramai berpeluang lari ke persekitaran baru.

    “Pada masa sama, mereka boleh menjadi individu narsisisme iaitu bersikap mengagumi diri sendiri dengan berkata ‘aku buat itu dan ini, demi engkau aku bersusah payah ....’ Ini sikap tidak normal ditunjukkan seseorang yang kurang mendapat pengiktirafan positif.

    “Kadangkala rasa ego mendorong seseorang itu menjadi narsisisme sebagai cara meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya,” kata Dr Khairi.

    Sebaliknya, anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang boleh berubah menjadi individu kurang ajar disebabkan pengaruh persekitaran.

    Ini sebabnya ibu bapa perlu sentiasa memantau dan menegur anak hingga mereka besar dengan cara berhemah tanpa memalukan mereka.



    Kesan bersikap biadap

    Biasanya kesan negatif hanya dirasai orang di keliling individu berkenaan yang membuatkan mereka rasa sakit hati, geram, hilang ‘mood’ untuk bekerja atau marah. Pada si pelaku, mereka tidak merasai apa-apa kerana sikap itu menjadi sebahagian daripada dirinya.

    Jika si pelaku adalah kanak-kanak, ibu bapa menerima tempiasnya kerana ia jelas memberitahu masyarakat bahawa ibu bapa itu tiada budi bahasa. Ini kerana kanak-kanak adalah cermin kepada perlakuan ibu bapa dan ahli keluarga di rumah.

    “Individu kurang ajar tidak sedar mereka banyak melukakan hati orang lain. Pun begitu, mereka sebenarnya boleh ‘diajar’. Jika mereka bersikap sarkastik, perlu ada orang mampu mematahkan percakapan mereka; seperti pepatah Melayu ‘bertemu buku dengan ruas’.

    “Bukan bertujuan menjadi biadap, tetapi untuk menyedarkan mereka. Namun ia bukan mudah, justeru ramai akan menghindarkan diri daripada individu kurang ajar begini dan hanya berkomunikasi apabila perlu.

    “Bagaimanapun, mereka boleh berubah menjadi individu bersopan santun dalam keadaan tertentu seperti ketika bercinta bagi memberi imej positif kepada pasangan.

    “Perubahan ini tidak kekal kerana ia dilakukan bukan tujuan mahu berubah, sebaliknya untuk memiliki sesuatu. Biasanya mereka kembali ke perangai asal selepas berkahwin,” katanya.

    Individu kurang sopan juga sangat sukar mengungkapkan perkataan maaf. Meminta maaf tandanya mengakui anda silap dan mahu menjernihkan keadaan.

    Penyelidik percaya jika anda sanggup meminta maaf dengan ikhlas, sama ada permohonan maaf anda tidak diterima tetapi anda masih menerima manfaatnya. Selepas meminta maaf, jiwa dan fikiran anda berasa lebih tenang.

    “Setiap orang perlu sentiasa menilai diri sendiri dari semasa ke semasa, terutama apabila usia meningkat. Hanya dengan cara ini kita boleh berubah.

    “Ibu bapa perlu menerima hakikat bahawa anak sekarang mempunyai lebih pengetahuan. Malangnya, ada ibu bapa sukar menerima perubahan walaupun tahu ia membabitkan perkara baik.

    “Dalam hal ini anak boleh menunjukkan teladan baik melalui cucu, banyakkan berdoa kepada Allah atau bawa ibu bapa berjumpa kaunselor mahupun pakar psikologi.

    “Ada kala mereka memerlukan pihak ketiga untuk berubah. Jangan harapkan perubahan berlaku sekelip mata kerana adab sopan adalah ilmu dan kemahiran yang perlu dipelajari sepanjang hayat.

    “Tidak salah kita meniru budaya baik kaum lain. Contohnya, orang Jepun diajar untuk bersikap baik dan manis bukan saja kepada orang lain, tetapi diri sendiri. Begitu juga penduduk Thailand. Apabila kita mampu menghargai diri sendiri, kita juga lebih mudah menghormati orang lain,” katanya.

    Menurutnya, tiada istilah terlewat untuk berubah. Usaha ini lebih mudah pada pasangan muda yang ada anak kecil selagi mereka mengamalkan ajaran agama dan tidak jemu untuk belajar menjadi ibu bapa yang lebih baik berbanding ibu bapa mereka.

    Banyak ayat al-Quran yang menitikberatkan persoalan pembinaan akhlak yang baik, antaranya firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasullullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang berharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari akhirat dan dia banyak mengingati Allah.”

    Pada ibu bapa yang tua, belajar untuk menerima perubahan secara berperingkat. Kita tidak rugi jika melakukan perubahan positif, malah ia antara langkah untuk menjadi datuk dan nenek yang lebih disayangi cucu.

    Bak kata imam al-Ghazali, kita mesti belajar untuk hidup beradab, bukan menjadi biadab.

    Tidak cukup zat

    Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN
    Harian Metro Online

    MEMUPUK tabiat pemakanan kanak-kanak yang sihat adalah cabaran besar kepada ibu bapa. Mana tidaknya, untuk memupuk tabiat pemakanan sihat bermakna ibu bapa perlu mengubah gaya pemakanan mereka supaya boleh menjadi teladan kepada anak.


    Perkara ini yang sukar kerana ibu bapa kurang pengetahuan dalam soal khasiat pemakanan dan jumlah kalori diperlukan setiap hari.

    Kebanyakan ibu bapa berasakan memadai jika anak mahu makan tanpa mengambil kira makanan yang menjadi pilihan si kecil.

    Di sini letaknya kesilapan kita kerana tabiat pemakanan yang kurang sihat boleh terbawa-bawa hingga dewasa dan menjadi semakin sukar diubah.


    Sebenarnya tabiat pemakanan kanak-kanak terbentuk ketika mereka masih kecil iaitu sebelum memasuki alam persekolahan.


    Pada peringkat umur begini, ibu bapa perlu memainkan peranan dengan membentuk gaya pemakanan keluarga seimbang dan menyihatkan supaya ia dapat diteruskan apabila anak dewasa kelak, kata Presiden Persatuan Pemakanan Malaysia, Dr Tee E Siong.

    Menurutnya, tabiat pemakanan anak mula berubah dan di luar kawalan ibu bapa sebaik mereka mula bersekolah dan menceburi banyak aktiviti luaran.

    Malah, faktor sekeliling seperti pengaruh rakan sebaya turut menyumbang kepada perubahan tabiat makan anak, terutama jika mereka diberi duit saku yang lumayan untuk membeli makanan sendiri.

    “Lebih awal tabiat makan yang baik dipupuk, lebih baik. Usah tunggu anak berumur 14 atau 15 tahun untuk membentuk tabiat makan mereka kerana sudah terlewat iaitu pada usia ini mereka ada kecenderungan tersendiri terhadap makanan.

    “Ketika ini juga ibu bapa sering terlepas pandang perkembangan ditunjukkan anak kerana mereka boleh berdikari dan tidak memerlukan banyak perhatian.

    “Semua ibu bapa tahu pemakanan seimbang penting, tetapi tidak menyampaikan pengetahuan itu kepada anak. Ramai kanak-kanak tidak dibekalkan dengan pengetahuan mengenai jenis makanan yang perlu diambil atau dielak.

    “Contohnya apabila kita melarang mereka makan makanan manis, perlu diterangkan rahsia di sebalik larangan itu. Makanan manis bukan saja merosakkan gigi, tetapi boleh menyebabkan kegemukan dan pelbagai masalah kesihatan lain.

    “Bukan khasiat makanan saja yang menjadi isu, kanak-kanak juga sering makan tidak tentu masa dan apabila mereka makan biasanya ia dalam keadaan tergesa-gesa, terutama jika ada perkara di luar meja makan yang menarik perhatian,” katanya ketika pelancaran buku panduan Eat Right Grow Right dengan kerjasama GlaxoSmithKline.

    Beliau berkata, kanak-kanak memang banyak makan makanan snek, sama ada di sekolah atau di rumah.

    Jika di sekolah, biasanya mereka makan ketika rehat atau sementara menunggu bas sekolah mahupun ibu bapa menjemput mereka balik ke rumah.

    Isu penting di sini ialah jenis makanan yang dibeli kerana kebanyakan kanak-kanak lebih tertarik kepada makanan ringan atau kurang menyihatkan.

    Ramai ibu bapa tidak sedar, snek menyumbang satu pertiga daripada jumlah kalori harian. Jika pilihan snek itu mengandungi banyak kalori, kanak-kanak mungkin mengambil kalori berlebihan dalam satu hari apabila dicampur dengan makan pagi, tengah hari dan malam yang boleh menyumbang kepada masalah kegemukan.

    Sebaliknya, pengambilan snek seperti keropok boleh menjejaskan selera anak, terutama jika diambil sebelum waktu makan, menyebabkan anak tidak mahu makan makanan disediakan.

    Ini antara penyumbang kepada masalah tidak cukup zat di kalangan kanak-kanak yang tidak disedari ibu bapa.

    Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan Ketiga 2006 ke atas 21,000 kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun menunjukkan 13.2 peratus kanak-kanak di negara kita kurang berat badan, 5.4 peratus alami masalah berlebihan berat badan dan 15.8 peratus pula terbantut tumbesaran.

    Walaupun keadaan di Malaysia tidak seteruk di negara lain, ia perlu diawasi supaya tidak menjadi satu ‘wabak’ apabila mereka dewasa.

    Tokoh pendidikan negara, Profesor Diraja Ungku Aziz, menggariskan empat aspek utama untuk mencapai kejayaan dan satu daripadanya mengamalkan pemakanan sihat dan seimbang dengan melebihkan pengambilan sayur-sayuran serta buah-buahan.

    Pada kanak-kanak, pemakanan seimbang sangat penting bagi memastikan tumbesaran berlaku dengan baik. Malah, ia memberi kesan besar terhadap perkembangan penglihatan dan emosi.

    Isu lain yang perlu diberi perhatian ialah keinginan untuk kelihatan kurus dan cantik, terutama di kalangan remaja perempuan.

    Yang membimbangkan, ada ibu bapa tidak sedar anak mereka yang kurus dan kecil sebenarnya mengalami masalah kekurangan zat.

    Antara tanda kekurangan zat ialah:




  • Berat badan menurun dengan ketara

  • Kerap mendapat jangkitan seperti batuk, demam dan selesema

  • Masalah kesihatan kemudian hari (kesan jangka panjang)

    Kini yang lebih dibimbangkan ialah masalah kegemukan pada kanak-kanak. Ini adalah masalah global, termasuk di negara maju.

    Tanda terlebih zat lebih mudah diperhatikan iaitu:

  • Menjadi gemuk atau terlalu gemuk

  • Risiko mendapat penyakit gaya hidup yang dialami orang dewasa seperti tekanan darah tinggi, kencing manis, strok, penyakit jantung, kanser meningkat dan mempunyai potensi diserang penyakit pada usia muda

  • Kematian awal akibat penyakit

    Kata Dr Tee, bagi individu yang ada masalah berat badan, berdiet saja tidak berguna kerana setiap orang (termasuk kanak-kanak) perlu tahu kandungan makanan yang diambil sama ada wajar diambil atau perlu dielak. Pada masa sama, mereka perlu memulakan hidup lebih aktif.

    Mengamalkan pemakanan berkhasiat dan gaya hidup sihat (cergas) dapat mengurangkan risiko penyakit berbahaya pada masa depan.

    Kaji selidik Pusat Informasi Pemakanan Asia (AFIC) terhadap kanak-kanak 10 hingga 12 tahun di empat bandaraya Asia, termasuk Kuala Lumpur, mendapati gaya hidup kanak-kanak Malaysia agak membimbangkan kerana rata-ratanya tidak aktif.

    Tabiat ini terbawa-bawa hingga dewasa dan dikhuatiri mereka menjadi individu pasif dan menjejaskan perkembangan keseluruhan kanak-kanak berkenaan.

    Kegemukan pada zaman kanak-kanak boleh berlanjutan hingga dewasa jika tiada langkah kawalan diambil. Yang membimbangkan, mereka juga mempunyai kecenderungan tinggi untuk individu obes.

    Kaji selidik itu juga menyatakan, 30 peratus kanak-kanak Malaysia menghabiskan lapan jam sehari menonton televisyen ketika cuti sekolah.

    Malah, kanak-kanak kita juga termasuk dalam kategori kurang aktif kerana hanya terbabit dalam aktiviti yang tidak memerlukan banyak pergerakan dan mengeluarkan peluh seperti permainan elektronik dan komputer.

    Ini adalah senario menyedihkan kerana secara tidak langsung menggambarkan gaya hidup ibu bapa sendiri. Ibu bapa perlu menjadi model baik untuk diteladani kerana corak kehidupan secara perlahan-lahan menjadi darah daging kepada kehidupan anak.

    Tahukah anda, makanan dan aktiviti cergas boleh menjadi ejen yang mengeratkan hubungan kekeluargaan? Kanak-kanak sukakan aktiviti berkaitan dengan makanan, antara caranya memberi anak peluang memilih makanan digemari dan sebagai balasan babitkan mereka ketika mengemas rumah sebagai senaman ringan!
  • Bermain bentuk anak cemerlang

    HIDUP sebagai kanak-kanak dalam persekitaran hari ini nyata mencabar. Persaingan antara mereka cukup ketara terutama untuk mencapai kecemerlangan dalam kelas.

    Pada masa sama, ramai ibu bapa yang berasa kanak-kanak kini bukan saja perlu bijak belajar malah perlu membabitkan diri secara aktif dalam aktiviti kokurikulum untuk menjadikan mereka individu serba boleh.

    Perunding Persatuan Terapi Permainan dan Ekspresif Selangor (Sapet), Andrew Ng berkata, dalam mengejar kepelbagaian tuntutan itu, ibu bapa mesti memastikan anak mereka dapat menggunakan potensi mereka sepenuhnya dengan memberi peluang bermain.

    "Justeru, jadual yang seimbang dan terurus penting dalam gaya hidup kanak-kanak. Dengan menguruskan jadual anak dan memperuntukkan masa untuk tujuan tertentu, kanak-kanak akan lebih fokus kepada tugas yang perlu dilakukan," katanya yang juga Pengarah Play & Expressive Arts ini.





    Menurut pakar psikologi perkembangan Piaget (1962), bermain merapatkan jurang antara pengalaman konkrit dan pemikiran abstrak.


    Ia memperlihatkan kepentingan bagi kanak-kanak untuk belajar menerusi permainan, sama ada dalam bentuk permainan kreatif, sukan, riadah, seni, muzik, tarian, penceritaan, permainan boneka atau drama.

    "Hakikatnya, ibu bapa perlu menguruskan masa anak mereka dan memasukkan aktiviti kokurikulum seperti bermain secara bebas dan bersukan dalam jadual mereka.

    "Ini bertujuan menggalakkan kecemerlangan akademik serta perkembangan fizikal, mental, sosial dan pembangunan diri.

    "Kita mengetahui kanak-kanak yang aktif dalam aktiviti fizikal seperti sukan dan permainan juga menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang akademik. Hubungan ini terjalin menerusi pembangunan deria-motor ketika melakukan aktiviti fizikal, khususnya ketika bermain dan bersukan.

    "Selain itu, kita mengetahui aktiviti fizikal dapat meningkatkan kemahiran matematik dan menggalakkan pembangunan fizikal kanak-kanak menerusi pertumbuhan otot, tulang dan sendi bagi membolehkan mereka mencapai potensi sepenuhnya," katanya yang juga ahli panel sesi dialog Nestle(R) Milo(R) baru-baru ini yang membincangkan keperluan untuk memperuntukkan masa bermain melalui sukan dalam gaya hidup kanak-kanak.

    Menerusi peruntukan masa untuk anak bermain setiap hari, menurutnya, ibu bapa menyediakan saluran yang baik untuk mereka mengasah bakat serta kemahiran fizikal dan mental anak masing-masing.

    Kanak-kanak yang bersukan sering berhadapan dengan pelbagai pilihan dan keputusan mengenai cara untuk mengatasi sesuatu rintangan atau halangan. Mereka turut terdedah kepada keadaan untuk mengatasi sesuatu situasi mencabar.

    Menurut Ng, semua itu memerlukan pemikiran kognitif, kreativiti dan kemahiran untuk menyelesaikan masalah. Begitu juga dalam permainan, seseorang kanak-kanak bukan sahaja aktif secara fizikal, tetapi juga terbabit secara kognitif dalam banyak latihan mental.

    Di samping itu, interaksi dalam permainan secara berkumpulan menerusi sukan akan menanam nilai seperti semangat setia kawan, saling menghormati antara satu sama lain dan patuh kepada peraturan permainan.

    "Ini penting untuk pembangunan sosial kanak-kanak apabila mereka menghadapi situasi sama dalam persekitaran kerja apabila mereka dewasa.

    "Ketika bermain, kanak-kanak juga terdedah kepada peluang yang membolehkan mereka belajar dan menemui ciri baru dalam diri mereka sendiri.

    "Tahap kesedaran, pemahaman dan pembangunan diri sendiri dipertingkatkan menerusi pengetahuan yang lebih baik mengenai kekuatan dan kelemahan mereka, apa yang disukai dan tidak disukai, serta keupayaan sebagai seorang insan.

    "Semua ini sedikit sebanyak akan membantu membentuk mereka menjadi insan yang peka, yakin dan sihat apabila dewasa," katanya.

    Seperti yang ditekankan pendidik terkenal Friedrich Froebel (1782 - 1852) dari Jerman, kanak-kanak bermain bukan sekadar untuk bersukan, tetapi membawa banyak makna dan kesan.

    Pengalaman selama bertahun-tahun sebagai pakar terapi membolehkan pendidik terbabit membuat kesimpulan permainan dan sukan sebahagian daripada pembangunan yang penting kepada pertumbuhan menyeluruh kanak-kanak untuk menjadikan mereka individu serba boleh pada masa depan.


    Sumber: Harian Metro Online

    Makan secara sihat

    Oleh Rosmaliana Aida Mohd Adnan
    rosmaliana@hmetro.com.my

    KANAK-KANAK yang membesar memerlukan banyak zat daripada pengambilan dietnya untuk sentiasa cergas ketika menjalankan aktiviti seharian mereka.

    KANAK-KANAK yang membesar memerlukan banyak zat daripada pengambilan dietnya untuk sentiasa cergas ketika menjalankan aktiviti seharian mereka.

    Malah tabiat pemakanan yang mementingkan sarapan pagi perlu dititikberatkan ibu bapa terhadap anak selain makan tengah hari dan malam secara teratur.

    Tidak dapat dinafikan bukan mudah untuk menerap amalan bersarapan, terutama di kalangan kanak-kanak, apatah lagi jika ibu bapa sendiri tidak menunjukkan teladan baik dan sering meninggalkan sajian penting itu.

    Oleh itu, pemilihan hidangan bagi sarapan, terutama bahan yang kaya karbohidrat dapat membekalkan tenaga serta mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari.

    Pakar Pemakanan, Amanda Tan, berkata ibu bapa memainkan peranan penting dan perlu menunjukkan pola pemakanan seimbang dengan berpandukan rantaian piramid makanan yang mementingkan pengambilan karbohidrat berbanding makanan berminyak.

    Menurutnya, pelbagaikan pilihan makanan anak merangkumi bijirin, sayuran serta produk tenusu supaya mereka tidak mudah jemu dengan diet diberikan.

    "Sediakan hidangan dalam kuantiti sederhana serta ajar anak untuk makan dengan perlahan bagi mengelakkan mereka terlebih makan," katanya ketika ditemui di Muzium Roti High5 Bread Town, Shah Alam, Selangor baru-baru ini.

    Menurutnya, perbezaan jumlah pengambilan kalori dalam makanan harian kanak-kanak bergantung kepada peringkat umur serta jantina mereka.

    Amanda berkata, keperluan kalori bagi kanak-kanak lelaki lebih tinggi berbanding kanak-kanak perempuan sepanjang pembesaran mereka.

    Sebagai contoh, kanak-kanak lelaki berusia tujuh hingga 10 tahun mengambil sejumlah 1,970 kalori (kcal) dalam diet makanan harian berbanding kanak-kanak perempuan seusia mereka yang hanya memerlukan 1,740 kalori saja.

    Keadaan ini berbeza disebabkan aktiviti yang dilakukan kanak-kanak lelaki kebanyakannya lebih membakar kalori berbanding kanak-kanak perempuan.

    Sementara itu, mengikut laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia, dianggarkan 22 juta kanak-kanak berusia kurang lima tahun mengalami masalah berat badan berlebihan.

    Di Malaysia pula, sebanyak enam peratus murid sekolah berusia enam hingga 12 tahun mengalami masalah obesiti kerana pengambilan jumlah makanan tidak terkawal.

    Ia berkemungkinan akibat faktor pemakanan kanak-kanak yang tidak dilatih dengan kaedah pemakanan sihat dan betul, sebaliknya disogok dengan makanan ringan yang tidak berkhasiat.

    Tidak dapat dinafikan makanan dan minuman ringan sangat sinonim dengan kanak-kanak sehingga ramai kanak-kanak kini mudah dihinggapi penyakit yang biasanya menyerang orang dewasa antaranya obesiti.

    Ia petanda tidak baik apatah lagi dengan usia yang masih kecil, mereka sepatutnya didedahkan dengan pemakanan berzat dan seimbang untuk membantu mencapai maksud sihat sepenuhnya.

    Tidak salah untuk makan di warung atau gerai tetapi cuba ubah menu yang diambil kepada hidangan yang kurang dari segi kandungan lemak, minyak serta gula.

    Malah ibu bapa boleh menukar menu minuman segera kepada minuman lebih menyihatkan seperti teh ais ataupun barli, manakala roti canai, laksa lemak dan nasi minyak kepada capati, sup mi dan nasi biasa.

    Hidangan berkenaan lebih menyihatkan jika dibandingkan dengan makanan lain, sekurang-kurangnya ia dapat mengawal pengambilan kalori seharian.

    Resipi mudah sarapan pagi untuk kanak-kanak:

    1. Sandwic
    Bahannya:

    Roti
    Daging
    Salad
    Keju

    Campuran daging, salad dan keju diletakkan atas roti dan kemudian dihiris mengikut bentuk diingini.


    2. Susu kocak pisang


    Bahannya:

    1 gelas susu
    Sebiji pisang

    Campurkan kedua-dua bahan dan kisar bersama. Sedia untuk diminum.


    3. Croissant tuna

    Bahannya:

    Roti croissant
    1 tin tuna mayonis
    Salad dan tomato

    - Belah croissant kepada dua bahagian.
    - Sapukan tuna ke atasnya dan tambah salad serta tomato. Hidangkan.

    Sumber: Harian Metro Online

    Rawatan awal boleh ubah masa depan

    GLOBAL Developmental Delay merujuk kepada masalah kanak-kanak yang yang mempunyai perkembangan akal, minda dan tumbesaran tubuh yang tidak serupa atau setimpal dengan kanak kanak lain yang seusia dengan mereka.

    Kanak-kanak berkenaan mungkin mempunyai sifat fizikal seperti budak lain, tetapi memiliki minda dan akal seperti kanak-kanak yang lebih muda.

    Misalnya, kanak-kanak terbabit berusia lapan tahun, tetapi minda dan akal mereka seperti anak berumur tiga tahun.

    Keadaan ini mungkin disebabkan pelbagai masalah terutama ketika berada dalam kandungan seperti kekurangan darah dan bersalin pramatang, masalah genetik atau chromosomal atau penyakit pada ibu.

    Pensyarah Kanan dan Perunding Psikiatri Kanak-Kanak, Remaja dan Dewasa, Universiti Malaya, Dr Subash Pillay, berkata kanak-kanak berkenaan mungkin akan mempunyai masalah pembelajaran, penggunaan duit, kekurangan pengetahuan am dan masalah mengenali perkara yang betul atau salah.

    Malah, mereka juga mungkin tidak memahami secara mendalam mengenai tahap kesihatan diri sendiri dan tidak boleh berdikari.

    Menurutnya, kebiasaannya mereka memerlukan bantuan dari pelbagai segi terutama terapi kerja dan pertuturan.

    Dr Subash berkata, ibu bapa perlu memahami kanak-kanak seperti ini tidak suka melakukan sesuatu di luar bidang kemampuan mereka.

    Justeru, ketegasan dalam mendidik mereka penting kerana sekiranya berlembut, kanak-kanak itu akan mengambil mudah mengenai sesuatu perkara.

    "Kanak-kanak ini perlu diajar melakukan aktiviti harian dengan sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

    "Jangan sesekali berkata 'tak apa, biar mak bantu' kerana ada sesetengah perkara, ibu bapa perlu membiarkan anak rasai sendiri pengalaman untuk melakukannya," katanya.

    Di samping itu, kebanyakan ibu bapa takut mendapatkan rawatan pakar psikiatri kerana bimbang pandangan masyarakat.

    Ini menyebabkan kebanyakan daripada mereka lebih terarah mendapatkan rawatan secara tradisional, bagaimanapun ia hanya akan melambatkan proses rawatan kanak-kanak berkenaan.

    Bagaimanapun menurutnya, penting untuk mendapatkan rawatan pada peringkat awal supaya pakar terbabit boleh mengenali masalah dihadapi serta memberikan rawatan sewajarnya.

    Masalah berkenaan tidak mempunyai rawatan tertentu yang mujarab, namun rawatan awal mungkin dapat mengubah masa depan kanak-kanak berkenaan.

    Memastikan kehidupan kanak-kanak dihargai

    APAKAH elemen utama penting bagi tumbesaran optimum kanak-kanak?

    Menerusi aspek kesihatan, keselamatan dan pendidikan, Kempen Kehidupan Kanak-Kanak: Kehidupan Setiap Kanak-Kanak Adalah Berharga dilancarkan baru-baru ini untuk memastikan semua kanak-kanak di Malaysia mempunyai permulaan kehidupan yang sempurna.

    Majlis pelancarannya dilakukan penaung kempen yang juga Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin.

    Menurutnya, kanak-kanak membesar serta menjadi matang dari segi mental, emosi dan fizikal dengan kadar lebih cepat jika dibandingkan sedekad lalu.

    Sumber: Harian Metro Online


    "Ini mungkin disebabkan kemajuan dalam perubatan moden, penambahbaikan nutrisi, masyarakat global dan tentunya, penyebaran media yang berleluasa.

    "Kempen ini diharap dapat mendidik ibu bapa mengenai cabaran dihadapi kanak-kanak serta melengkapkan mereka dengan pengetahuan penting dan kemahiran diperlukan dalam kepesatan persekitaran zaman ini, untuk membesarkan kanak-kanak yang seimbang," katanya.

    Menurutnya, kempen terbabit turut aktif mencari rakan kerjasama strategik dengan agensi kerajaan berkaitan serta organisasi bukan kerajaan untuk membangunkan program berorientasikan kemasyarakatan dalam aspek kesihatan, keselamatan dan pendidikan iaitu tiga teras utama kempen.

    Salah satu inisiatif pertama kempen terbabit adalah Bulan Kehidupan Kanak-Kanak yang bertujuan mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan pencegahan untuk kanak-kanak.

    Ia adalah kerjasama antara Wyeth (Malaysia) Sdn Bhd (Wyeth), Persatuan Pediatrik Malaysia dan Rakan Hospital terpilih.

    Wyeth turut menghasilkan Parenting Guide yang menawarkan nasihat dalam pelbagai subjek untuk membantu membesarkan kanak-kanak riang dan sihat. Antara bidang nasihat termasuk cara memastikan kanak-kanak mendapat keperluan nutrisi harian mereka, isu pendidikan dan keprihatinan keselamatan.

    Untuk maklumat lanjut mengenai nutrisi optimum, layari www.wyethnutrition.com.my.

    Mendidik kanak-kanak pintar

    Oleh Suliati Asri
    suliati@hmetro.com.my

    SIAPA yang tidak kagum melihat kebijaksanaan luar biasa dimiliki Adi Putra Abdul Ghani dalam bidang matematik dan kebolehan Gloson Teh You Haeng, 11, penulis blog berbahasa Inggeris paling muda di Malaysia menulis puisi serta menjadi pereka laman web.

    Ia diikuti dengan kepintaran Ainan Celeste Cawley, 9, berdarah campuran Irish-Melayu yang memiliki kepintaran luar biasa dalam mata pelajaran Kimia dan Fizik selain muncul kanak-kanak paling muda di dunia lulus subjek Fizik peringkat 'O' Level.

    Pastinya kebijaksanaan, kebolehan dan kepintaran kanak-kanak yang luar biasa itu sukar dipercaya lebih-lebih lagi mereka adalah warga Malaysia.

    Sering berita kepintaran, kebijaksanaan dan kebolehan kanak-kanak yang sering diuar-uarkan membabitkan anak dari negara luar.

    Bagaimanapun, dengan kecanggihan teknologi dan dunia tanpa sempadan, ia bukan sesuatu yang mustahil dan pastinya jumlah kanak-kanak pintar akan bertambah saban tahun.

    Peningkatan itu pasti menggembirakan kita kerana kebolehan, keupayaan dan kebijaksanaan mereka adalah aset kepada negara pada masa depan.

    Namun, sudahkah kita bersedia dengan sistem pendidikan untuk kanak-kanak pintar ini?

    Walaupun jumlahnya mungkin boleh dibilang dengan jari, tanpa sokongan ibu bapa, masyarakat dan negara, perkembangan mereka mungkin terbantut.

    Adakah kokurikulum dalam sistem pendidikan kita sesuai dan selaras dengan perkembangan minda kanak-kanak pintar ini?

    Jika sistem pendidikan atau kokurikulum yang diajar untuk kanak-kanak pintar ini tidak bersesuaian, ia akan memberi impak negatif kepada perkembangan kreativiti mereka.

    Hasilnya, mereka cepat bosan untuk belajar dan tahap perkembangan IQ akan terbantut.

    Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datin Dr Siti Rahayah Ariffin, berkata belum ada sistem pendidikan khusus untuk kanak-kanak pintar di Malaysia seperti di Barat.

    Sistem pendidikan di negara ini banyak memfokuskan kepada kanak-kanak biasa atau kanak-kanak istimewa seperti cacat penglihatan, pekak dan bisu kerana bilangan mereka lebih besar berbanding budak pintar.

    "Kajian mendapati, dalam kelompok kanak-kanak berusia antara sembilan hingga 15 tahun di negara ini, tiga hingga lima peratus adalah kanak-kanak pintar.

    "Mereka juga tergolong kanak-kanak istimewa kerana kepintaran, bukannya kekurangan mereka.

    "Namun, ketiadaan sistem pendidikan khusus menyebabkan bilangan kanak-kanak pintar yang mampu mengembangkan kepintaran mereka kecil," katanya.

    Dr Siti Rahayah berkata, kanak-kanak istimewa termasuk bisu, pekak atau buta memerlukan pendidikan yang khas kerana perkembangan otak terbatas.

    Katanya, kanak-kanak pintar juga memerlukan sistem pendidikan berbeza kerana perkembangan otak mereka lebih ke hadapan berbanding kanak-kanak biasa.

    "Dalam perkembangan minda kanak-kanak pintar ini, mereka memerlukan perhatian yang lebih seperti kanak-kanak buta atau cacat.

    "Kepintaran yang dimiliki menyebabkan mereka gemar melakukan sesuatu yang kadangkala tidak terfikir oleh kanak-kanak seusia mereka.

    "Jika tiada bimbingan atau sistem pendidikan khusus, perkembangan IQ mereka akan beku dan jumud," katanya.

    Beliau bimbang ketiadaan sistem pendidikan yang khusus bagi kanak-kanak pintar ini akan membunuh kebijaksanaan dan kepintaran mereka.

    "Otak kanak-kanak pintar ini jauh berbeza dengan otak kanak-kanak biasa. Mereka tidak boleh ditempatkan bersama kanak-kanak biasa kerana kebolehan yang dimiliki boleh menyebabkan mereka bosan dan hilang minat belajar

    "Ini juga bagi mengelak kanak-kanak pintar memberontak dan melakukan perkara di luar jangkaan semata-mata untuk menghilangkan kebosanan dan menarik perhatian.

    "Jika kebolehan matematik kanak-kanak pintar setaraf orang dewasa, bagaimana mahu menempatkan mereka dalam kelas bersama kanak-kanak biasa?" katanya.

    Ketiadaan sistem pendidikan bersesuaian bukan saja menyekat, tetapi membunuh kepintaran mereka. Ini pasti merugikan negara.

    "Bagi mengelak situasi ini, ibu bapa kanak-kanak pintar akan mencari sekolah di luar negara dengan perbelanjaan sendiri atau menerima biasiswa yang ditawarkan negara lain dan menjadi warga negara terbabit.

    "Ini akan merugikan negara kerana kita kehilangan bakal pemimpin muda yang berkebolehan dan pintar," katanya.

    Katanya, kerajaan tidak perlu menunggu lebih lama untuk mewujudkan sistem pendidikan khas untuk kanak-kanak pintar.

    Selain modul pembelajaran yang lebih ke hadapan berbanding kanak-kanak biasa, guru yang mengajar juga perlu mempunyai pengkhususan yang tersendiri di samping mempunyai minat mengajar mereka.

    "Dengan kepintaran mereka, kanak-kanak ini inginkan pembelajaran yang lebih daripada guru dan ada kalanya kebijaksanaannya itu melebihi guru terbabit.

    "Ini mungkin mencabar guru kerana apa yang di sampaikan dalam kelas itu sudah ketahui mereka," katanya.

    Sumber: Harian Metro Online

    Anak berdengkur

    Pakar Kanak-kanak:Bersama Dr Syed Nazir Syed Kadir


    DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran ‘comel’ atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.

    Memang ramai kanak-kanak berdengkur yang membabitkan antara tiga hingga 12 peratus kanak-kanak prasekolah. Walaupun berdengkur, tetapi secara umumnya kebanyakan kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami gejala lain.

    Kajian menunjukkan masalah berdengkur membabitkan 11 hingga 12 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun. Kanak-kanak berdengkur sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu dan bunyinya cukup kuat untuk disedari ibu bapa.

    Namun dianggarkan dua peratus daripada kanak-kanak yang berdengkur ini mengalami masalah kerap terjaga ketika tidur (apnea tidur); iaitu satu keadaan yang dianggap antara penyumbang penting kepada masalah kelakuan di kalangan kanak-kanak.





    Bagaimana untuk mengetahui sama ada dengkuran anak anda adalah dengkuran biasa atau apnea tidur? Kanak-kanak yang berdengkur dan tidak mengalami apnea tidur sepatutnya sihat, cergas, tidak mengantuk pada siang hari dan mempunyai corak tidur yang normal. Sebaliknya apnea tidur menyebabkan tidur anak anda terganggu — nafasnya terhenti, mendengus atau tercungap ketika tidur.

    Kanak-kanak yang ada masalah ini mungkin mengalami masalah tingkah laku, mengantuk pada siang hari dan sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.

    Punca

    Dengkuran pada kanak-kanak boleh disebabkan tiga perkara iaitu:

    # Bentuk anatomi — seperti rahang mulut yang kecil atau kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan saluran pernafasan yang kecil.

    # Otot dan saraf yang mengawal otot pada saluran pernafasan tidak bergerak seiringan ketika tidur dan menyebabkan saluran pernafasan tidak terbuka sepenuhnya.

    # Tonsil dan adenoid bengkak (punca paling lazim)

    Mengapa ibu bapa perlu risau jika anak mereka berdengkur?

    Dengkuran boleh menjejaskan kualiti tidur anak anda dan lain-lain keadaan yang membabitkan otak dan jantung. Malangnya ada ibu bapa tidak kisah anak mereka berdengkur, malah ‘bangga’ kerana anak mereka ‘seperti orang dewasa kecil yang berdengkur seperti ahli keluarga’.

    Dengkuran pada kanak-kanak bukan perkara lucu. Ia menandakan kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah dan dengkuran mereka perlu diperiksa.

    Bagaimana dengkuran pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa?

    Prinsip dengkur pada kanak-kanak hampir sama dengan orang dewasa. Dengkuran adalah bunyi pernafasan yang kuat disebabkan getaran udara yang memasuki saluran pernafasan atas. Secara umumnya ia hanya bunyi. Namun ia juga menandakan adanya rintangan pada saluran pernafasan atas yang bermakna rintangan udara untuk melalui saluran ini adalah tinggi.

    Ketika tidur, otot juga berehat sedikit dan ia menyebabkan saluran udara menjadi kecil dan sempit. Namun jumlah udara yang masuk adalah sama, sama ada ketika tidur atau jaga.

    Berdengkur juga boleh menjadi petanda kepada masalah lebih serius seperti apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan atas. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun mengalami masalah ini yang boleh menyebabkan pelbagai keadaan lain.

    Perbezaan antara apnea tidur dan sindrom rintangan saluran pernafasan atas

    Kanak-kanak yang ada masalah sindrom rintangan saluran pernafasan atas kadangkala terjaga kerana dengkuran terlalu kuat atau dengkuran itu menggunakan banyak tenaga mereka. Namun tahap oksigen dan karbon dioksida dalam darah atau tisu kanak-kanak ini tetap sama seperti orang lain.

    Bagi apnea tidur, saluran pernafasan ini kadangkala ‘runtuh’ sehingga menutup saluran pernafasan dan tidak terbuka. Kanak-kanak biasanya terpaksa ‘berjuang’ untuk bernafas kerana udara tidak masuk.

    Akibatnya paras gas oksigen berkurang dan karbon dioksida meningkat yang menyebabkan kanak-kanak terjaga untuk bernafas. Ada kanak-kanak yang terjaga 500 hingga 600 kali semalam hanya untuk bernafas dan kembali tidur.

    Adakah dengkuran yang kronik pada kanak-kanak berbahaya?

    Pakar kesihatan tidak pasti mengenai perkara ini. Berdengkur bukan perkara normal tetapi ia tidak semestinya memerlukan rawatan. Yang pasti, jika anak anda kerap terjaga malam kerana berdengkur, ia menunjukkan dia mengalami masalah apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan yang perlu dirawat.

    Risiko apnea tidur

    Obesiti adalah faktor risiko paling utama. Jika anda baring dan banyak lemak pada leher, ia menambah tekanan pada tisu yang sudah berehat dan membuatkan saluran pernafasan menjadi lebih kecil.

    Kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai risiko apnea tidur mempunyai risiko lebih tinggi. Selain itu kanak-kanak Sindrom Down, ada masalah hipotonia (otot lemah) dan mengalami penyakit neuromuskular lebih berisiko tinggi mendapat apnea tidur berbanding kanak-kanak lain.

    Pada kanak-kanak alahan, lapisan dalaman hidung akan membengkak menyebabkan adenoid membesar, menyempitkan saluran udara dan menyukarkan mereka bernafas melalui hidung. Sesetengah kanak-kanak asma mengalami masalah ini. Dua masalah boleh berlaku serentak walaupun mempunyai mekanisma berbeza. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok juga berisiko tinggi untuk berdengkur.

    Kesan berdengkur

    Dengkur boleh mendatangkan kesan jangka pendek yang menyebabkan anak anda berasa letih selepas bangun tidur. Daya tumpuannya terhad, sukar menumpukan perhatian, berasa resah gelisah pada waktu pagi dan kerap mengantuk.

    Mereka juga mungkin kencing di tilam kerana bagi mereka yang lebih penting ialah keinginan untuk tidur. Ada juga kanak-kanak yang bermimpi buruk.

    Oleh kerana tidur mereka terganggu, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah seolah-olah seperti kanak-kanak yang alami gangguan tumpuan dan hiperaktif. Contohnya kanak-kanak yang melawan rasa mengantuk akan berkelakuan hiperaktif, mula mengacau orang lain dan akhirnya meragam.

    Keesokan harinya, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian dan duduk diam di dalam bilik darjah. Jika diberi rawatan, masalah hiperaktif ini akan hilang.

    Apnea tidur juga menjejaskan pelajaran. Jika tidak cukup tidur, otak tidak mendapat cukup oksigen dan anak anda kehilangan sel otaknya. Dalam tempoh pembangunan minda, keupayaan kognitif kanak-kanak ini akan terjejas.

    Dalam kajian beberapa tahun lalu mendapati kanak-kanak yang tidak cukup tidur kurang cemerlang di sekolah. Kajian juga mengesahkan kesan kekurangan tidur ini boleh berlarutan sepanjang hayat kerana IQ kanak-kanak menjadi rendah.

    Selain itu paras oksigen rendah juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan pada jantung. Lama kelamaan ia mengubah tekanan darah sehingga membuatkan kanak-kanak mengalami tekanan darah tinggi. Pada orang dewasa, keadaan biasanya lebih serius.

    Kekurangan tidur juga boleh mempengaruhi tabiat makan seseorang. Jika kurang tidur, anda cenderung untuk makan lebih banyak keesokan harinya (terutama makanan mengandungi banyak lemak dan gula).

    Jika penat dan tidak bersenam, anda menjadi lebih gemuk dan menyebabkan masalah apnea tidur lebih serius. Ini akhirnya menjadi perangsang kepada masalah kolesterol tinggi, kencing manis dan risiko sakit jantung pada usia yang lebih muda.

    Rawatan

    Rawatan untuk kanak-kanak berbeza sedikit daripada orang dewasa. Pada orang dewasa, oleh kerana masalah dengkur disebabkan obesiti, rawatan menggunakan mesin CPAP (tekanan saluran udara positif berlarutan) boleh membantu.

    Oleh kerana masalah dengkur kanak-kanak berpunca daripada tonsil dan adenoid yang besar, rawatan terbaik ialah menghantar mereka berjumpa pakar bedah telinga, hidung dan tekak. Kira-kira 85 hingga 90 peratus kes berjaya diselesaikan.

    Bagaimanapun masalah ini boleh berulang semula apabila mereka dewasa. Kanak-kanak yang jalani pembedahan akan dipantau 24 jam di hospital.

    Jika pembedahan tidak berjaya (10 peratus terutama pada kanak-kanak obes), mereka boleh diberi rawatan CPAP atau BIPAP (tekanan positif saluran pernafasan dua paras.

    Sumber: Harian Metro Online

    Keistimewaan anak pintar

    Oleh MARIATUL QATIAH ZAKARIA
    Gambar ZAINI HUSIN dan ABDUL RAZAK LATIF


    Zailan Abd. Razak sentiasa memberi sokongan dan tunjuk ajar kepada kedua-dua anaknya, Muhammad Danial dan Marsya Danialla dalam permainan alat muzik.

    SEJUK perut ibu mengandung. Demikianlah perumpamaan Melayu yang boleh digunakan apabila terbaca atau melihat kejayaan yang diperoleh anak-anak hari ini.

    Bagi kedua ibu bapa, rasa bertuah dan berbangga sudah tentu dirasai apabila dikurniakan anak yang memiliki kepintaran serta kebijaksanaan dalam kehidupan.

    Yang pasti keistimewaan yang diberikan-Nya merupakan satu kurniaan yang tidak ternilai dan ia tidak harus dipersiakan.

    Dalam hal ini, ibu bapa harus memainkan peranan penting dalam usaha menjaga serta memelihara keistimewaan yang ada agar bakat dan potensi mereka dapat diketengahkan.

    Sebagai modal insan dan pewaris masa depan negara, kanak-kanak itu perlu mendapat perhatian sewajarnya agar lebih proaktif dan berupaya menyahut cabaran masa depan.

    Pada masa sama, sebagai aset negara, bakat kanak-kanak pintar ini perlu digilap supaya mencapai potensi yang maksimum sehingga mendapat pengiktirafan dunia.

    Kanak-kanak pintar perlu dikenal pasti seawal mungkin untuk diberikan pendidikan yang bersesuaian dengan ciri-ciri unik agar bakat akademiknya sama-sama berkembang.

    Kepintaran merupakan satu situasi yang mana perkembangan seseorang anak pintar adalah lebih pantas berbanding kanak-kanak seusianya.

    Kemampuan mentalnya lebih maju dan mampu menyerap serta mengasimilasikan maklumat dengan cepat dan lebih imaginatif berbanding normal.

    Ada yang membesar lebih pantas dari segi fizikal dan mewujudkan masalah seperti akil baligh sebelum masanya.

    Ada pula yang berhadapan dengan maklumat yang minda mereka belum bersedia di segi emosi.

    Mendidik anak pintar memang mencabar kebolehan ibu bapa. Bagaimanapun, ia perlu dihadapi oleh mereka agar kehidupan anak pintar ini menjadi lebih bererti.

    Zailan Abd. Razak, bapa kepada sepasang cahaya mata, Muhammad Danial Razak Zailan dan Marsya Danialla Razak Zailan pastinya berbangga dan bersyukur kerana dikurniakan anak-anak yang memiliki kepintaran masing-masing.

    Ini terbukti apabila Muhammad Danial serta Marsya Danialla, masing-masing berumur 10 dan lima tahun kini pandai bermain alat muzik.

    Bagi Muhammad Danial, beliau bukan sahaja boleh bermain drum, malah apa jua alat muzik mampu dimainkannya dengan gaya tersendiri.

    Berbeza pula dengan adiknya, Marsya Danialla, kerana dia lebih cenderung bermain alat muzik biola.

    Apa yang mengagumkan ialah masing-masing bermain alat muzik sejak dari kecil lagi, malah mereka tidak bermain berpandukan nota-nota muzik tetapi hanya bergantung kepada daya ingatan serta pendengaran yang tajam.

    Menurut Zailan, kepintaran mereka dalam bidang muzik secara tidak langsung memudahkan kerjanya kerana beliau sendiri merupakan seorang ahli muzik.

    ''Anak-anak saya memang meminati muzik sejak kecil lagi dan boleh dikatakan muzik sudah sebati dengan mereka dan boleh diibaratkan 'irama dan lagu' tidak boleh dipisahkan.

    ''Bagaimanapun saya bersyukur kerana kepintaran mereka dalam bidang muzik sedikit sebanyak memudahkan kerja saya kerana saya sendiri terlibat di dalam bidang muzik. Oleh itu saya dapat membimbing mereka selain menyokong apa yang mereka lakukan.

    ''Ia merupakan satu kredit kepada saya kerana saya sendiri memahami apa kehendak mereka selain menyediakan pembelajaran yang khusus dan lebih mendalam mengenai muzik kepada mereka,'' ujarnya ketika ditemui di akademi muzik miliknya di Subang Jaya, baru-baru ini.

    Jelas Zailan lagi, kepintaran anak-anaknya dalam bidang muzik tidak bermakna pelajaran biasa diabaikan.

    Malah beliau menyediakan pembelajaran yang sempurna untuk anak-anaknya selain memberi kelas tambahan harian.

    Kini apa yang membanggakan, Muhammad Danial bukan sahaja boleh memainkan pelbagai jenis lagu malah beliau juga boleh dikatakan seorang pemuzik profesional kerana telah membuat persembahan di hadapan khalayak.

    ''Kita seharusnya berbangga apabila dikurniakan anak-anak yang pintar tetapi ibu bapa perlu menyediakan pembelajaran yang sempurna dan berterusan dalam usaha mengembangkan lagi bakat yang sedia ada.

    ''Apa pun yang penting kita sebagai ibu bapa seharusnya sokong dengan apa yang diminati oleh anak-anak kita selain tahu bagaimana untuk mengendalikan mereka,'' katanya mengakhiri bicara.

    Sumber: Utusan Malaysia;23 Disember 2009.

    Anak pintar 'bonus' ibu bapa

    ANAK adalah anugerah Allah SWT yang tidak ada tolok banding nilainya. Tiada harta yang paling berharga di dunia melainkan seorang anak yang diamanahkan sebagai penyambung keturunan.

    Tidak mungkin ada yang dapat menyangkal kenyataan bahawa kehadiran anak melengkapkan 'makna' sebuah keluarga.

    Ibarat kain putih yang bersih, ibu bapa diberi tanggungjawab untuk mencorak anak yang dianugerahkan itu untuk menjadi seorang manusia yang beriman dan beramal soleh.

    Bagaimanapun dalam mengharungi cabaran kehidupan hari ini yang semakin moden dan terbuka, mendidik anak menjadi tugas yang semakin sukar sekali gus memerlukan kemahiran dan pengetahuan tersendiri sebagai panduan menjadikan mereka manusia yang berilmu.

    Tetapi sekiranya ibu bapa dikurniakan dengan anak pintar, itu merupakan satu 'bonus' yang seharusnya disyukuri malah mereka tidak seharusnya mendabik dada dengan apa yang diberikan.

    Walaupun begitu, mereka harus pandai serta tahu bagaimana hendak mengendalikan anak pintar kerana sekiranya tersilap 'percaturan' keistimewaan yang dimiliki tidak akan berkembang.

    Presiden Persatuan untuk Kanak-Kanak Bergeliga Malaysia (NAGCM), Zuhairah Ali berkata, hari ini dalam setiap populasi di negara ini, peratusan kanak-kanak pintar ialah dua peratus.

    ''Di Malaysia populasi kanak-kanak yang berumur antara 0 hingga 14 tahun pada tahun 2008 sahaja mempunyai 8.9 juta dan dua peratus daripada angka tersebut ialah 178,000 orang.

    ''Ini bermakna kita mempunyai ramai kanak-kanak pintar tetapi mungkin 'keistimewaan' ini tidak dapat dikesan oleh ibu bapa atau tidak nampak menjadikan mereka ini seperti kanak-kanak normal yang lain.

    ''Sehubungan itu ibu bapa sendiri perlu peka di samping menyokong dan menggalakkan apa yang ingin mereka lakukan,'' ujarnya ketika di temui di Petaling Jaya, baru-baru ini.

    Bagaimanapun jelas beliau, kanak-kanak pintar yang diklasifikasikan tidak semestinya pintar di dalam semua bidang tetapi hanya di dalam sesuatu bidang sahaja.

    Malah kepintaran itu sendiri mempunyai tahap yang berbeza-beza seperti sangat pintar dan sederhana.

    Tambah beliau, secara asasnya kepintaran kanak-kanak ini dapat dikenalpasti dengan memerhatikan perkembangan mental mereka yang lebih cepat berbanding rakan sebaya.

    Sebagai contoh, anak yang berusia 10 bulan sudah pandai membaca ataupun anak yang berusia setahun sudah pandai bermain piano.

    Begitu juga kebolehan kanak-kanak berusia 10 tahun menyelesaikan soalan Matematik peringkat sekolah menengah.

    Mengulas lanjut mengenai ada sesetengah ibu bapa mengatakan kanak-kanak pintar ini tidak sesuai belajar di sekolah biasa sebenarnya salah.

    Ini kerana menurut Zuhairah, mereka yang dikategorikan pintar hanya di dalam bidang-bidang tertentu dan bukannya semua malah usia mereka memerlukan mereka bergaul dengan rakan sebaya dan digalakkan bersekolah seperti kanak-kanak normal untuk perkembangan sosio- emosi masing-masing.

    ''Dalam hal ini, apa yang boleh dilakukan ialah ketika di sekolah, guru-guru perlu memberikan perhatian khusus kepada kanak-kanak pintar ini.

    ''Walaupun hari ini tidak ramai kanak-kanak pintar yang dapat dikesan, tetapi perlu adanya program khas untuk mereka.

    ''Pada masa yang sama, misalnya kanak-kanak tersebut pintar dalam mata pelajaran Matematik, guru perlu mengasingkan mereka ini daripada rakan yang lain hanya khusus untuk mata pelajaran tersebut,'' katanya.

    Beliau yang juga merupakan pemilik Taman Pendidikan Raihan berkata, dalam hal ini ibu bapa juga perlu bersedia dan jangan cepat panik.

    Malah mereka perlu meningkatkan pengetahuan dengan meluaskan pembacaan selain melayari laman web berkaitan.

    Di NAGCM sendiri turut mengaturkan pelbagai program khusus buat ibu bapa dalam usaha menambah ilmu serta memberi pengetahuan yang lebih mendalam bagaimana hendak mengendalikan anak-anak pintar ini.

    Ibu bapa jelas beliau, seharusnya memberikan perhatian yang sewajarnya kepada anak-anak pintar ini dan bukannya hanya membiarkan mereka tanpa sebarang bantuan atau sokongan.

    Menurut Zuhairah lagi, NAGCM sentiasa membuka pintu bagi ibu bapa yang ingin menjadi ahli dan ia tidak hanya untuk ibu bapa yang mempunyai anak-anak pintar.

    Sumber: Utusan Malaysia;23 Disember 2009

    Rangsang otak si kecil

    Oleh BINTU RASYADA A. RAHMAN
    bintu.rahman@utusan.com.my

    Bahagian II (sambungan artikel "Rangsang otak bayi" pada 20/12/2009)

    DAYA sensitiviti kanak-kanak sangat tinggi, menurut Dr. Mastura. Secara semula jadi katanya, kanak-kanak amat sensitif, mudah rasa takut, cepat marah dan selalu dilanda perasaan cemburu.

    Antara sifat semula jadi kanak-kanak yang lain:

    1. Perasaan ingin tahu yang tinggi. Itulah sebabnya kanak-kanak tidak boleh duduk diam dan meneroka sahaja apa yang ada di sekitar mereka. Mereka belajar melalui "first hand experience." Ibu bapa perlu melibatkan anak-anak dengan aktiviti pembelajaran tidak langsung secara praktikal.

    2. Daya imaginasi dan kreativiti yang tinggi. Ia bergantung pada umur kanak-kanak dan perlu dipupuk serta digalakkan. Daya kreativiti yang tinggi dapat menggarap potensi kanak-kanak menjadi seorang yang inovatif. Namun adakalanya kata Dr. Mastura, ibu bapa berpendapat anak suka berbohong. Tapi, sebenarnya mereka tidak berbohong sebaliknya berimaginasi.

    3. Perkembangan bahasa yang cepat. Berlaku dengan pantas dan mereka mudah menguasai sesuatu bahasa asing jika digunakan setiap hari. Bahasa membantu kanak-kanak menyampaikan keinginan dan perasaan. Tindak balas yang positif dan cara komunikasi yang betul dapat membantu kanak-kanak menguasai bahasa yang dipelajari.

    4. Kecenderungan menyusun dan membongkar barang. Apabila otot mula berkembang, kanak-kanak akan terdorong untuk mengumpul, menyusun barang-barang dan kemudian menyepahkan semula barang tersebut. "Kanak-kanak secara semula jadi tidak suka melihat barang yang tersusun rapi. Jika anak suka barang tersusun, mungkin dia ada masalah lain seperti autisme. Jadi, sekiranya ingin menyusun atau mengemas sesuatu barang, jangan lakukan di depan anak," kata Dr. Mastura.

    Bagaimana menjana potensi

    "Sebagai ibu bapa, jangan lupa menyimpan rekod perkembangan dan peningkatan anak," kata beliau.

    Dalam pada itu, Dr. Mastura turut berpesan agar jangan membandingkan antara satu anak dengan yang lain kerana pastinya setiap individu itu berbeza pencapaian dan perkembangannya.

    Yang penting katanya, kenal pasti kekuatan anak dan bantu mereka mengatasi kelemahan atau kekurangan yang dimiliki.

    Selain itu kata beliau, jangan lupa berkomunikasi dan berinteraksi dengan anak sepanjang masa.

    "Untuk menjadi seorang ibu bapa yang responsif dan efektif, kita perlu mendengar luahan anak," katanya.

    Juga perlu sentiasa puji dan beri anak galakan supaya mereka rasa dihargai.

    "Jangan lupa memberi ganjaran seandainya anak berjaya namun jangan berlebihan," katanya.

    Anak juga katanya perlu diberi peluang untuk berdikari dan tidak terlalu bergantung kepada ibu bapa.

    "Sebagai ibu bapa, tunjukkan tauladan yang baik kepada anak. Ingat, setiap perlakuan yang kita lakukan, sentiasa diperhati oleh anak dan tidak mustahil dia akan menirunya kelak," katanya.

    Akhir sekali Dr. Mastura turut berpesan kepada ibu bapa agar menghormati dan hargai perasaan anak.

    "Perkukuh pandangan anak terhadap potensi diri mereka. Jangan kita perlekeh usaha dan pencapaian mereka, tambahan lagi jika di depan orang lain," katanya.

    "Sesungguhnya kekerasan dalam mendidik memberikan kesan yang buruk kepada orang yang dididik terutama kanak-kanak. Barang siapa yang ditarbiah secara kekerasan dan paksaan, maka akan sempitlah pemikiran dan jiwanya lalu jadilah anak itu hilang kecerdasannya, malas, terbawa-bawa kepada berbohong dan berkelakuan jahat."

    Sumber:Mingguan Malaysia; Ahad, 27 Disember 2009.