Pages

Jeli Kelapa

Di sini saya kongsi satu lagi resepi yang sesuai dijadikan sebagai bahan pencuci mulut kepada anak-anak di prasekolah. Apa salahnya dalam seminggu diselang-seli dengan buah-buahan. Sepanjang minggu biasanya anak-anak di prasekolah disajikan dengan potongan buah-buahan. Kali ini mari kita variasikan dengan resepi Jeli Kelapa.

Bahan-bahan:

25 gram agar-agar kering
2 biji kelapa pandan ( ambil isi dan airnya )
4 cawan gula pasir
6 liter air
2 sudu kecil serbuk agar-agar Jelly (Konnyaku Jelly)
2 helai daun pandan


Cara-cara membuatnya:

1. Masakkan agar-agar kering dengan 6 liter air bersama daun pandan.
2. Setelah agar-agar hancur, masukkan gula. Masak sehingga gula larut.
( Gula hendaklah terlebih dahulu digaul rata bersama-sama serbuk Konnyaku Jelly).Kemudian, barulah dimasukkan ke dalam periuk.Ia
penting supaya serbuk jelly itu tidak berketul.
3. Setelah gula larut, masukkan air kelapa bersama isinya.
4. Biarkan ia mendidih.
5. Setelah masak, bolehlah masukkan ke dalam acuan.
6. Biarkan sejuk, barulah dimasukkan ke dalam peti sejuk.


Monday, November 08, 2010

MEKAR GAGASAN – SUMPAH GURU 1MALAYSIA

(Dedikasi Buat Para Guru Malaysia )
Disampaikan di Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia
di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 16 Oktober, 2010.

Aduhai, bangsa Malaysiaku

Benarlah, kata sang pujangga
Ilmu itu ibarat pelita, guru itu bagaikan lilin
Rela membakar diri, menebar ilmu
Jasa dan bakti dicurah tanpa jemu
Cahaya melimpah di segenap penjuru.


Aduhai, bangsaku, bangsa Malaysia

Benarlah kata Sasterawan Negara
Guru...Dialah bapa, dialah sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Guru adalah pemimpin, ditauliahkan segala umat
seribu katanya menjadi hikmat.

Seorang Raja yang memerintah negara
Seorang Perdana Menteri yang memimpin bangsa
Seorang Ulama yang menjaga hal ehwal agama
Seorang Peguam yang mengendali bicara
Seorang Jurutera yang merencana pembangunan nusa
Hatta, seorang Tukang Sapu yang kecil pendapatannya, juga
Sejarahnya adalah dimulakan dari seorang guru biasa.

Kami , Guru Malaysia

Teruja pada sebuah ingatan para warga
Menyulam bangga, pabila generasi masih menghargai
Berjasa dan berbakti
Mendidik dan memimpin pada pertiwi
Secebis keringat, namun bekasnya bersemi
Citra dan cita murni profesion kami
Ikrar dan janji sampai ke mati.


Aduhai, bangsaku, bangsa Malaysia

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan langkah bemula
Kini melonjak Keberhasilan Kualiti Pendidikan negara
Tranformasi Pendidikan, satu rangka membina bangsa berjaya
Modal insan berperibadi mulia harapan utama
Niat murni, mengangkasa bangsa, dilaksana
Pendidikan Negara Bertaraf Dunia cita-cita bersama.

Aduhai, Guruku, Guru Malaysia

Marilah...! Kita bangkit dari lena yang panjang
Memimpin dan mencipta, bangsa merdeka
Demi Malaysia tanah air tercinta
Bumi merdeka – negara nan berdaulat
Keamanan, kemakmuran, kita harumkan.

Bersatu aku di bawah payung Malaysia
Berdiri kami di bawah pohon Malaysia
Berfikir semua sebagai anak Malaysia
Perpaduan Kebangsaan kita semaikan
Menuai hasil berisi, penuh restu di telapak tangan.

Wawasan pemimpin - 1 Malaysia, harapan mulia
‘ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan ’
Menyentuh kalbu, bertaut kasih pada rindu
Bangsa Malaysia bangkit menjadi bangsa peneraju.

Mari ... ! Mari ...! Kita sebarkan
Agenda Pendidikan negara berteras 1Malaysia
Guru 1Malaysia - Penjana Modal Insan Cemerlang
Guru 1Malaysia - Pembina Negara Bangsa Gemilang
Guru 1Malaysia - Pemangkin Pendidikan Terbilang.

Guru 1Malaysia

Tidak rela, rumah Malaysia nan harmoni ini
Hancur lebur, dek rapuhnya patriotisme bangsa
Mekarnya gagasan 1Malaysia
Perpaduan bangsa, kami ajarkan
Pada anak didik , generasi penerus warisan.

Aduhai, Guru 1Malaysia

Marilah, kita kotakan apa yang dikata
Membulatkan harapan menuju puncak jaya
Menyambung tangan, merealisasikan integrasi bangsa
Kualiti pendidikan kita, menjulang, menyinar di segenap benua.

Sejahteralah negaraku Malaysia, negara berdaulat
Sejahteralah bangsaku Malaysia, bangsa merdeka
1 Malaysia – 1 Semangat - 1 Harapan
Malaysia negaraku berjaya di pentas dunia.


Ini sumpah, Guru Malaysia !

Sederap - serentak, seirama melangkah
Mekarnya gagasan, negaraku Malaysia nan tercinta
Mengotakan janji, menggapai cita-cita.


Terima kasih...

Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Pemimpin tersohor negara - Perdana Menteri dikasihi
Tajam akal menembus kebajikan rakyatnya
Sejarah melakar, memacu anjung pendidikan
Mengukir semangat rasa cintanya pada warga guru
Pendidikan anak bangsa, ditulis pada baris pertama
Profesion keguruan menjadi sanjungan mulia
Memeta wawasan bangsa 1Malaysia.

Terima Kasih...

Y.A.B Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin
Pemimpin nombor dua negara - Menteri Pelajaran disayang
Panglima yang bijak pada tugasnya - Panglima yang setia pada ketuanya
Berpencak, bersilat, turun ke padang
Sehalus kekangan , sulaman santunan menjadi tikar
Tranformasi pendidikan dipastikan melonjak ke hadapan
Pemodenan pendidikan melestarikan wawasan.

Perjuanganmu...wira negara
Bersama semangat kibaran, Sang Saka Bangsa
Bersama semangat kilauan, Keris Panca Warisan
Bersama gerak tindak dan tingkah yang sekata
Tidakpun pernah kalah pada gertak pemusnah nusa
Pengorbanan sejati demi tanah air tercinta.

Terima Kasih...Wira cemerlang pada akal dan budi

Ketulusan, keikhlasan, terpancar bagaikan mentari
Keyakinan, keberanian tersebar di genggaman tangan sakti
Pendidikan 1Malaysia, menjana tranformasi.

Wahai, Guru Malaysia !

Panggilan keramat ‘Cikgu’
menggamit rindu, pada kita yang pernah berguru
Budimu yang diapungkan di dulang ilmu
Dikenang dan diingati selalu
Segunung Budimu , Selaut Kasihku.

‘Cikgu’ ! Jasa dan budimu bagai gemilang kilauan permata biru
Walaupun terbenam di sebalik pepasir membeku
Namun namamu tetap berseri, di sudut sanubariku.

Terima Kasih, Cikgu !


Nukilan:

Cg. HJ.MEGAT MD.SALEH MD ARSHAD
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK)
Kementerian Pelajaran Malaysia , Putrajaya

Abdul Ghafar Mahmud Dilantik Ketua Pengarah Pelajaran Baru

KUALA LUMPUR: Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru bagi menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu, yang berkuat kuasa hari ini, adalah selaras dengan peruntukan 144(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan beliau (Abdul Ghafar) sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Gred Utama Turus III," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Abdul Ghafar dalam bidang pendidikan, pengetahuan selain kompetensinya.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta komitmen beliau akan membolehkannya melaksanakan tugas seperti mana yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996," kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Alimuddin sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008. - BERNAMA, Isnin November 8, 2010.

Monday, November 01, 2010

Puding Kastard Jagung

Ini merupakan salah satu cadangan hidangan yang boleh disediakan di kelas prasekolah.

bahan-bahan:
1 cawan tepung kastard
6 cawan santan dari 1 biji kelapa
1 cawan gula
1 tin jagung dalam tin (cream style)
secubit garam

Cara-cara membuatnya:
1. Kisar kelapa parut dengan pengisar.
2. Ambil 6 cawan santan.
3. kisarkan jagung dalam tin supaya jagungnya menjadi lebih halus. Ini adalah penting agar puding itu cantik masa memotongnya.
4. Masukkan santan ke dalam periuk yang berisi tepung kastard.
5. Kacau tepung kastard dengan santan hingga sebati.
6. Masukkan gula.
7. Setelah sebati, kacau di atas dapur dengan api perlahan.
8. Apabila mendidih dan pekat, matikan api.
9. Masukkan ke dalam acuan.