Pages

Jeli Kelapa

Di sini saya kongsi satu lagi resepi yang sesuai dijadikan sebagai bahan pencuci mulut kepada anak-anak di prasekolah. Apa salahnya dalam seminggu diselang-seli dengan buah-buahan. Sepanjang minggu biasanya anak-anak di prasekolah disajikan dengan potongan buah-buahan. Kali ini mari kita variasikan dengan resepi Jeli Kelapa.

Bahan-bahan:

25 gram agar-agar kering
2 biji kelapa pandan ( ambil isi dan airnya )
4 cawan gula pasir
6 liter air
2 sudu kecil serbuk agar-agar Jelly (Konnyaku Jelly)
2 helai daun pandan


Cara-cara membuatnya:

1. Masakkan agar-agar kering dengan 6 liter air bersama daun pandan.
2. Setelah agar-agar hancur, masukkan gula. Masak sehingga gula larut.
( Gula hendaklah terlebih dahulu digaul rata bersama-sama serbuk Konnyaku Jelly).Kemudian, barulah dimasukkan ke dalam periuk.Ia
penting supaya serbuk jelly itu tidak berketul.
3. Setelah gula larut, masukkan air kelapa bersama isinya.
4. Biarkan ia mendidih.
5. Setelah masak, bolehlah masukkan ke dalam acuan.
6. Biarkan sejuk, barulah dimasukkan ke dalam peti sejuk.


Monday, November 08, 2010

MEKAR GAGASAN – SUMPAH GURU 1MALAYSIA

(Dedikasi Buat Para Guru Malaysia )
Disampaikan di Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia
di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 16 Oktober, 2010.

Aduhai, bangsa Malaysiaku

Benarlah, kata sang pujangga
Ilmu itu ibarat pelita, guru itu bagaikan lilin
Rela membakar diri, menebar ilmu
Jasa dan bakti dicurah tanpa jemu
Cahaya melimpah di segenap penjuru.


Aduhai, bangsaku, bangsa Malaysia

Benarlah kata Sasterawan Negara
Guru...Dialah bapa, dialah sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Guru adalah pemimpin, ditauliahkan segala umat
seribu katanya menjadi hikmat.

Seorang Raja yang memerintah negara
Seorang Perdana Menteri yang memimpin bangsa
Seorang Ulama yang menjaga hal ehwal agama
Seorang Peguam yang mengendali bicara
Seorang Jurutera yang merencana pembangunan nusa
Hatta, seorang Tukang Sapu yang kecil pendapatannya, juga
Sejarahnya adalah dimulakan dari seorang guru biasa.

Kami , Guru Malaysia

Teruja pada sebuah ingatan para warga
Menyulam bangga, pabila generasi masih menghargai
Berjasa dan berbakti
Mendidik dan memimpin pada pertiwi
Secebis keringat, namun bekasnya bersemi
Citra dan cita murni profesion kami
Ikrar dan janji sampai ke mati.


Aduhai, bangsaku, bangsa Malaysia

Pelan Induk Pembangunan Pendidikan langkah bemula
Kini melonjak Keberhasilan Kualiti Pendidikan negara
Tranformasi Pendidikan, satu rangka membina bangsa berjaya
Modal insan berperibadi mulia harapan utama
Niat murni, mengangkasa bangsa, dilaksana
Pendidikan Negara Bertaraf Dunia cita-cita bersama.

Aduhai, Guruku, Guru Malaysia

Marilah...! Kita bangkit dari lena yang panjang
Memimpin dan mencipta, bangsa merdeka
Demi Malaysia tanah air tercinta
Bumi merdeka – negara nan berdaulat
Keamanan, kemakmuran, kita harumkan.

Bersatu aku di bawah payung Malaysia
Berdiri kami di bawah pohon Malaysia
Berfikir semua sebagai anak Malaysia
Perpaduan Kebangsaan kita semaikan
Menuai hasil berisi, penuh restu di telapak tangan.

Wawasan pemimpin - 1 Malaysia, harapan mulia
‘ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan ’
Menyentuh kalbu, bertaut kasih pada rindu
Bangsa Malaysia bangkit menjadi bangsa peneraju.

Mari ... ! Mari ...! Kita sebarkan
Agenda Pendidikan negara berteras 1Malaysia
Guru 1Malaysia - Penjana Modal Insan Cemerlang
Guru 1Malaysia - Pembina Negara Bangsa Gemilang
Guru 1Malaysia - Pemangkin Pendidikan Terbilang.

Guru 1Malaysia

Tidak rela, rumah Malaysia nan harmoni ini
Hancur lebur, dek rapuhnya patriotisme bangsa
Mekarnya gagasan 1Malaysia
Perpaduan bangsa, kami ajarkan
Pada anak didik , generasi penerus warisan.

Aduhai, Guru 1Malaysia

Marilah, kita kotakan apa yang dikata
Membulatkan harapan menuju puncak jaya
Menyambung tangan, merealisasikan integrasi bangsa
Kualiti pendidikan kita, menjulang, menyinar di segenap benua.

Sejahteralah negaraku Malaysia, negara berdaulat
Sejahteralah bangsaku Malaysia, bangsa merdeka
1 Malaysia – 1 Semangat - 1 Harapan
Malaysia negaraku berjaya di pentas dunia.


Ini sumpah, Guru Malaysia !

Sederap - serentak, seirama melangkah
Mekarnya gagasan, negaraku Malaysia nan tercinta
Mengotakan janji, menggapai cita-cita.


Terima kasih...

Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Pemimpin tersohor negara - Perdana Menteri dikasihi
Tajam akal menembus kebajikan rakyatnya
Sejarah melakar, memacu anjung pendidikan
Mengukir semangat rasa cintanya pada warga guru
Pendidikan anak bangsa, ditulis pada baris pertama
Profesion keguruan menjadi sanjungan mulia
Memeta wawasan bangsa 1Malaysia.

Terima Kasih...

Y.A.B Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin
Pemimpin nombor dua negara - Menteri Pelajaran disayang
Panglima yang bijak pada tugasnya - Panglima yang setia pada ketuanya
Berpencak, bersilat, turun ke padang
Sehalus kekangan , sulaman santunan menjadi tikar
Tranformasi pendidikan dipastikan melonjak ke hadapan
Pemodenan pendidikan melestarikan wawasan.

Perjuanganmu...wira negara
Bersama semangat kibaran, Sang Saka Bangsa
Bersama semangat kilauan, Keris Panca Warisan
Bersama gerak tindak dan tingkah yang sekata
Tidakpun pernah kalah pada gertak pemusnah nusa
Pengorbanan sejati demi tanah air tercinta.

Terima Kasih...Wira cemerlang pada akal dan budi

Ketulusan, keikhlasan, terpancar bagaikan mentari
Keyakinan, keberanian tersebar di genggaman tangan sakti
Pendidikan 1Malaysia, menjana tranformasi.

Wahai, Guru Malaysia !

Panggilan keramat ‘Cikgu’
menggamit rindu, pada kita yang pernah berguru
Budimu yang diapungkan di dulang ilmu
Dikenang dan diingati selalu
Segunung Budimu , Selaut Kasihku.

‘Cikgu’ ! Jasa dan budimu bagai gemilang kilauan permata biru
Walaupun terbenam di sebalik pepasir membeku
Namun namamu tetap berseri, di sudut sanubariku.

Terima Kasih, Cikgu !


Nukilan:

Cg. HJ.MEGAT MD.SALEH MD ARSHAD
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK)
Kementerian Pelajaran Malaysia , Putrajaya

Abdul Ghafar Mahmud Dilantik Ketua Pengarah Pelajaran Baru

KUALA LUMPUR: Pengarah Institut Aminuddin Baki Datuk Abdul Ghafar Mahmud dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran yang baru bagi menggantikan Tan Sri Alimuddin Mohd Dom yang bersara wajib pada Ahad.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata pelantikan itu, yang berkuat kuasa hari ini, adalah selaras dengan peruntukan 144(3) Perlembagaan Persekutuan.

"Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin telah memperkenankan pelantikan beliau (Abdul Ghafar) sebagai Ketua Pengarah Pelajaran Gred Utama Turus III," katanya dalam kenyataan di sini, Ahad.

Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, berkata pelantikan itu dibuat berdasarkan pengalaman luas yang dimiliki Abdul Ghafar dalam bidang pendidikan, pengetahuan selain kompetensinya.

"Saya percaya pengalaman, pengetahuan serta komitmen beliau akan membolehkannya melaksanakan tugas seperti mana yang diperuntukkan oleh Akta Pendidikan 1996," kata Muhyiddin.

Muhyiddin turut merakamkan penghargaan kerajaan terhadap sumbangan Alimuddin sepanjang 34 tahun berkhidmat dalam bidang pendidikan.

Abdul Ghafar, 56, merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dari University of East Anglia, Norwich, United Kingdom dan Sarjana Muda Sastera dari Universiti Malaya.Beliau memulakan perkhidmatan awam sebagai Pegawai Perkhidmatan Pelajaran pada 1 Mei 1977.

Sepanjang perkhidmatannya dalam bidang pendidikan, Abdul Ghafar telah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Atase Pendidikan di Jabatan Penuntut Malaysia, Washington, Amerika Syarikat (1989), Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kokurikulum, Kementerian Pelajaran (2007) dan Ketua Nazir, Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti, Kementerian Pelajaran pada 2008. - BERNAMA, Isnin November 8, 2010.

Monday, November 01, 2010

Puding Kastard Jagung

Ini merupakan salah satu cadangan hidangan yang boleh disediakan di kelas prasekolah.

bahan-bahan:
1 cawan tepung kastard
6 cawan santan dari 1 biji kelapa
1 cawan gula
1 tin jagung dalam tin (cream style)
secubit garam

Cara-cara membuatnya:
1. Kisar kelapa parut dengan pengisar.
2. Ambil 6 cawan santan.
3. kisarkan jagung dalam tin supaya jagungnya menjadi lebih halus. Ini adalah penting agar puding itu cantik masa memotongnya.
4. Masukkan santan ke dalam periuk yang berisi tepung kastard.
5. Kacau tepung kastard dengan santan hingga sebati.
6. Masukkan gula.
7. Setelah sebati, kacau di atas dapur dengan api perlahan.
8. Apabila mendidih dan pekat, matikan api.
9. Masukkan ke dalam acuan.




Friday, October 29, 2010

Kursus Peningkatan Profesionalisme Bahasa Inggeris Bagi Guru Prasekolah Negeri Sembilan Siri 2/2010

Tarikh : 26-28 Oktober 2010
Tempat : Golden Straits Villas Beach Resort, P.Dickson.
Penganjur : Bahagian Pendidikan Guru & JPNS.
Perasmian Penutup: Tuan Mohd Isah Bin Ismail
( Ketua Sektor Pengurusan Akademik,Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan)

Ketua Setiausaha Baru Kementerian Pelajaran Malaysia


Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pelajaran Y.Bhg Dato' Dr. Rosli bin Mohamed telah dilantik sebagai Ketua Setiausaha KPM berkuatkuasa 29 Oktober 2010.

Beliau menggantikan Tan Sri Dr Zulkurnain Awang yang dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) mulai tarikh yang sama. Pelantikan Dr Rosli diumumkan oleh Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Sidek Hassan dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Rosli, 52 tahun, berkelulusan Ijazah Doktor Falsafah dalam bidang Pemasaran Strategik dari University of Hull, Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan dari University of Leeds, United Kingdom dan Ijazah Sarjana Muda dalam bidang Perhutanan dari Universiti Putra Malaysia.

Beliau menyertai perkhidmatan awam sebagai pegawai tadbir dan diplomatik pada 3 Januari 1983 dan berpengalaman dalam bidang pengurusan ekonomi dan perancangan pembangunan menerusi karier perkhidmatannya di pelbagai kementerian.

Jawatan pertama yang disandangnya ialah sebagai penolong pengarah bahagian perindustrian, kementerian perdagangan dan perindustrian dari 1983 hingga 1988 sebelum menjadi penolong setiausaha, bahagian perhubungan antarabangsa dan logam, kementerian perusahaan utama.

Dari tahun 1991 ke 1992, Dr Rosli menjadi pegawai projek kanan, Institut Tadbiran Awam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan kemudiannya sebagai penolong pengarah, bahagian perjawatan juga di JPA dari 1992 ke 1993. Beliau kemudiannya menjadi penolong setiausaha, bahagian kemajuan perindustrian perhutanan dan kayu kayan, kementerian perusahaan utama sehingga 1995.

Dr Rosli juga pernah berkhidmat sebagai ketua penolong pengarah kanan, seksyen tenaga, unit perancang ekonomi (UPE), Jabatan Perdana Menteri dan beberapa bahagian lain di UPE sehingga pertengahan tahun ini. Pada 24 Mei 2010, beliau dilantik sebagai timbalan ketua setiausaha (pengurusan), kementerian pelajaran. - Bernama

Friday, August 13, 2010

Rawatan Segera Atasi Hiperaktif


Kanak-kanak yang terlampau aktif berkecenderungan menunjukkan simptom ADHD.


DUDUK diam! Jangan nakal-nakal!'' Mungkin itu adalah ayat biasa yang diungkapkan oleh seorang ibu kepada anak-anak yang sedang 'mengganas'.

Bayangkan mainan yang bersepah di serata ceruk rumah serta tabiat suka melompat dari meja atau sofa selalunya membuatkan si ibu mudah 'naik hantu'.

Jika itu yang sering dilakukan oleh anak-anak, tidak perlu khuatir kerana ia adalah sebahagian daripada proses normal bagi seorang kanak-kanak aktif dan cergas yang sedang membesar.

Jika si kecil gagal memberi tumpuan serta tidak fokus apatah lagi jika mereka juga hiperaktif, cuai, gagal menguruskan apa sahaja, mudah terganggu serta tidak boleh bermain atau melakukan sesuatu dengan senyap, ibu bapa perlu beri perhatian.

Malah bukan sekadar itu, dia juga sering bercakap sendirian, kurang fokus serta kurang sabar dalam menyelesaikan masalah.

Jika anak-anak mengalami simptom- simptom tersebut segeralah berjumpa doktor, kata Perunding Psikiatrik Pusat Perubatan Gleaneagles Intan, Dr. Nor Hamidah Mohd. Salleh

Menurut beliau, simptom itu sebenarnya dipanggil ADHD atau Gangguan Hiperaktiviti dan Kurang Daya Tumpuan yang merupakan satu masalah tidak normal pada bahagian otak yang membuatkan kanak-kanak bersikap terlampau aktif sejak lahir lagi.

Kanak-kanak yang mempunyai gejala ADHD, lebih mudah terganggu dengan bunyi-bunyian dan benda-benda di sekeliling mereka.

Lazimnya, mereka tidak boleh memberi tumpuan untuk tempoh jangka panjang. Ini kerana mereka mudah berasa bosan dan gelisah sekiranya berada dalam keadaan senyap atau tidak melakukan sebarang aktiviti

''Keadaan ini sebenarnya boleh dikesan pada peringkat awal lagi kerana mereka akan berkelakuan mengikut gerak hati sendiri,'' ujarnya ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Bagaimanapun tegas Dr. Nor Hamidah, simptom tersebut tidak mudah didiagnosis disebabkan tidak boleh dibezakan seperti penyakit-penyakit lain.

''Jika anda meletakkan 10 budak nakal dan 10 kanak-kanak ADHD dalam satu kumpulan, anda masih tidak nampak perbezaannya. Bagi kanak-kanak nakal biasa, mereka masih boleh dikawal manakala ADHD amat susah dikendalikan sehinggakan kita menyangka mereka menghadapi masalah tingkah laku," ujarnya lagi.

Tegasnya lagi, dalam permasalahan itu, tiada punca utama ditemui berkaitan sindrom tersebut walaupun faktor genetik dan ketidakseimbangan bahan kimia di dalam otak mungkin menyumbang kepada terjadinya masalah itu.

Bagaimanapun, jika tidak diberi rawatan lebih awal, 60 peratus daripada individu ini akan membesar sebagai orang dewasa yang bermasalah sehingga mendorong melakukan perkara yang menyalahi undang-undang.

Terang Dr. Nor Hamidah lagi, disebabkan ADHD mempengaruhi genetik, seseorang bapa boleh mewariskan sindrom ini kepada anak lelaki mereka.

''Keadaan ini juga menjadikan kanak-kanak lelaki lebih cenderung mengalami ADHD sebanyak tiga kali ganda berbanding kanak-kanak perempuan,'' ujarnya lagi.

Satu kajian ke atas kanak-kanak Malaysia berumur di antara 5 - 15 tahun menunjukkan seramai 4.3 peratus mempunyai ciri-ciri ADHD.

Kebanyakannya dihidapi oleh kanak-kanak lelaki berbanding perempuan.

Katanya, masalah itu boleh dipanggil penyakit yang tidak nampak kerana secara realiti, mereka sihat malah kebanyakan mempunyai tahap setara individu biasa dan lebih menakjubkan sebilangan besar mempunyai kebolehan serta bakat seni luar biasa.

''Kanak-kanak ini sebenarnya tidak sakit. Mereka hanya mengalami ketidakseimbangan sistem neuro di dalam otak menjadikan mereka sukar mengawal diri. Penyakit ini juga bukan berpunca daripada pemakanan, pengambilan gula berlebihan, alahan atau terpengaruh dengan televisyen.

Bagaimanapun katanya, ADHD perlu dirawat segera sebaik disedari kerana ia menyebabkan beberapa masalah sampingan seperti perasaan rendah diri, kurang yakin dan lemah pencapaian akademik.

''Dalam situasi ini, ibu bapa seharusnya tidak kecewa jika anak mereka didapati mengalami masalah ini, bawalah mereka bertemu pakar supaya tingkahlaku ini tidak terbawa-bawa ke alam dewasa dan mereka sebenarnya masih berpotensi menjalani hidup normal seperti individu lain," katanya.

Dalam keadaan ini, tegas Dr Nor Hamidah, ada beberapa teknik yang boleh diguna pakai oleh ibu bapa ketika di rumah untuk dipraktikkan.

'' Berikan arahan satu persatu dengan jelas supaya mereka memahami arahan tersebut dan menjelaskan padanya kesan dan akibatnya.

Sekiranya mereka membuatkan sesuatu dengan baik berikan pujian supaya menaikkan rasa harga diri.

Bagaimanapun, biasakan mereka untuk melakukan kerja-kerja asas dirumah bagi membiasakan mereka.

Malah terang Dr. Nor Hamidah lagi, tidak salah jika sebagai ibu bapa wujudkan satu sistem memberi hadiah untuk menggalakkan mereka berkelakuan dengan baik.

Apabila disekolah minta bantuan guru supaya tempatkan mereka dengan kedudukan di hadapan kelas.

Sumber: Utusan Malaysia 12 Ogos 2010.

KANAK-KANAK DAN SENI TIGA DIMENSI ( 3-D)

PENGENALAN

Apabila kanak-kanak menggunakan media tiga dimensi, mereka membentuk kerja seni yang mempunyai kedalaman, ketinggian dan kepejalan, warna dan bentuk.Penggunaan seni tiga dimensi ini merangkumi membentuk “playdough” atau plastesin, kolaj dan kerja kayu. Playdough boleh disediakan dengan menggunakan bahan seperti tepung, minyak masak dan dimasak. Ia juga boleh didapati di pasaran. Melalui playdough ini, kanak-kanak berpengalaman menggentel, menguling atau meleper. Dalam ertikata lain, mereka dapat memaksimumkan kemahiran motor halus mereka.

MEMBENTUK DAN MENGUKIR

Bermain dengan playdough ini, kanak-kanak berpeluang menghasilkan bentuk-bentuk yang mereka inginkan dengan penuh kreatif dengan cara mereka tersendiri.

Kanak-kanak sedang bermain playdough

Selain dari playdough, kolaj adalah gabungan bahan-bahan seperti kertas tisu, butang, kulit cengkerang dan lain-lain disatukan pada bahan untuk binaan seperti kotak tisu, tin minuman dan kotak susu. Melalui kolaj ini, kanak-kanak berpeluang menghasilkan satu rekaan yang menarik dan tersendiri Beberapa perkara yang harus diberi perhatian sebelum memulakan aktiviti. Ia juga merupakan kombinasi bahan-bahan secara kreatif yang dilekat bersama-sama dengan menggunakan glu atau gam. Kanak-kanak yang mencipta kolaj dapat meneguhkan kesedaran mencipta bentuk, tekstur bahan dan juga warna.

Wood working” atau kerja kayu, memerlukan alat-alat yang berkualiti, pengajaran yang tepat dan sangat mementingkan keselamatan. Selain dari itu, penyeliaan yang rapi perlu dititikberatkan agar semua peraturan-peraturan dipatuhi (Rajah 5.3). Bagi aktiviti ini, kayu dari jenis yang lembut dan paku yang berkepala besar boleh digunakan bagi membolehkan kanak-kanak melakukan kerja kayu.

Bagi kanak-kanak yang lebih kecil, adalah lebih baik jika digantikan kayu dengan styrofoam yang tebal bagi supaya mereka mudah melakukan kerja-kerja gergaji dan ia lebih lembut.Kanak-kanak ini sedang membuat aktiviti pertukangan kayu dan mereka ini harus diawasi


TAHAP UMUR

Menurut Shirrmacker (1998), terdapat empat peringkat pengalaman yang dilalui oleh kanak-kanak apabila bermain dengan playdough:

a.


Peringkat 1 (dua tahun).



Bertanya soalan apakah playdough ini dan akan meneroka dan memegang dan merasa bentuknya samada lembut atau keras, sama ada boleh dileperkan atau dicubit-cubit dan dileperkan dan sebagainya.

b.


Peringkat 2 (tiga tahun).



Bertanya soalan apakah yang boleh dibuat dengan playdough ini dan memulakan proses mengguling, meleper dan menguli.

c.


Peringkat 3 (empat tahun).



Akan menunjukkan apa yang telah dibentukkan walaupun bentuk yang dihasilkan dengan secara tidak sengaja.

d.


Peringkat 4 (lima tahun).



Pasti dengan tentang apa yang akan dibentukkan.

Bahan dan Peralatan

Kanak-kanak belajar melalui kehidupan harian dan persekitaran di tadika. Bahan dan peralatan yang disediakan perlu dirancang dan direkabentuk bagi membantu pertumbuhan dan perkembangan serta meningkatkan kreativiti kanak-kanak.

Keperluan menyediakan sesuatu yang kreatif, baru dan pelbagai dapt meransang kanak-kanak untuk mencuba dan menghasilkan sesuatu rekaan.

Bahan-bahan terbuang, bahan kitar semula, bahan berkos rendah dan bahan semulajadi boleh digunakan bagi menambah hasil yang kreatif. Dengan bahan-bahan yang pelbagai ini, kanak-kanak akan terdorong untuk menyampaikan idea mereka dengan tersendiri.

Peranan Guru

Guru perlu menghargai idea kanak-kanak sebagai sesuatu yang bernilai. Ini adalah kerana orang dewasa kerap tidak mengindahkan atau mengenepikan idea kanak-kanak. Guru patut banyak memberi peluang dan kebebasan kepada kanak-kanak mencuba sesuatu, merekacipta atau membuat projek. Seseorang guru yang kreatif atau cenderung menjadi kreatif boleh memupuk atau meningkatkan daya kretiviti kanak-kanak dalam pemikiran. Oleh itu, seseorang guru yang kreatif akan bertindak sebagai fasilitator dalam proses pembelajaran di samping pemberi motivasi dalam pembelajaran bagi kanak-kanak.

Guru perlu menghormati idea kanak-kanak walupun ia luar biasa, aneh atau berbeza. Guru juga perlu menggunakan penyelesaian masalah secara kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di samping menggalakkan mereka berfikir. Mereka perlu diberi masa untuk berfikir dan elakkan dari memberi jawapan kepada semua permasalahan.

Selain dari itu, guru juga boleh menggalakkan kanak-kanak berfikir dengan bertanyakan soalan–soalan seperti:

  • “Apa yang anda buat?"
  • “Mengapa anda buat begitu?”
  • “Kenapa tidak anda buat begini?”

Pelbagai jawapan yang akan diberikan oleh kanak-kanak dan guru harus bijak melayan kerenah mereka.

AMALAN YANG BERSESUAIAN

Dalam konteks DAP (Developmental Appropriate Practise), seni tiga dimensi ini adalah sesuatu yang konkrit yang dapat memberi gambaran yang kukuh terhadap sesuatu yang dipelajari. Oleh itu, sebagai guru prasekolah haruslah menjalankan amalan yang sesuai bagi memberangsangkan minda serta dapat meningkatkan prestasi serta kebolehan kanak-kanak.

Kesediaan Kanak-kanak

Terdapat 3 peringkat yang dikemukakan oleh Eva Essa dalam Early Childhood Curriculum, menyatakan bahawa kanak-kanak akan melukis apa yang mereka ketahui dan lukisan mereka akan menggambarkan sesuatu peringkat. Terdapat 3 peringkat iaitu:

  1. Peringkat menconteng di mana kanak-kanak 2 hingga 4 tahun akan membuat contengan dan tanda-tanda yang mewakili sesuatu, contoh bentuk bulat mewakili buah, segi empat mewakili kereta dan sebagainya;
  2. Peringkat preskematik di mana kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun melukis sesuatu yang ada dalam ingatan mereka tetapi tidak begitu tepat, contoh alat permainan di padang permainan; dan
  3. Peringkat skematik di mana kanak-kanak berumur 7 tahun akan melukis sesuatu yang lebih tepat seperti gambar rumah saya.

Sumber : Kreativiti dan Pembelajaran Kanak-kanak, Modul OUM.

Tuesday, July 27, 2010

Pendidikan awal rumah panjang


KEMUDAHAN prasekolah amat diperlukan oleh anak-anak pedalaman dan kini hasrat tersebut dapat dinikmati bersama, seperti di Rumah Panjang Kampung Sapak ini.


KETIKA ibu bapa di rumah panjang sekitar Kapit, Sarawak berpeluang menginap dengan selesa di Rumah Arau untuk menjaga anak mereka yang menghadiri pendidikan prasekolah, lain pula cerita bagi mereka di rumah-rumah panjang sekitar Sri Aman. Mereka lebih bernasib baik kerana kelas prasekolah dibuka di rumah panjang demi manfaat ibu bapa dan anak-anak.

Bagi Lia Ateng dari Rumah Ajun, sebuah rumah panjang Iban di Kampung Sapak, Pantu, hari Ahad setiap minggu persekolahan sebelum ini merupakan hari yang menyedihkan baginya.

Pada hari itu, ibu berusia 34 tahun ini terpaksa berpisah dengan anak lelakinya Sulaiman Rosline, 5, yang terpaksa ke asrama Sekolah Kebangsaan (SK) Pantu sejauh empat jam perjalanan dengan bot berikutan ketiadaan kelas prasekolah di kawasan rumah panjangnya.

Kesedihan itu terpaksa dilalui oleh Lia demi masa depan anaknya walaupun mengetahui terpaksa menunggu sehingga dua minggu untuk mendengar semula gelak tawa, suara dan melihat ragam anaknya.

"Bayangkan emosi seorang ibu melihat anak semuda itu menangis setiap kali dihantar kerana enggan berpisah dengan keluarga? Kadangkala saya berasa bersalah melihat emosi anak saya setiap kali menghantarnya ke asrama," katanya.

Namun Lia tidak perlu berduka sejak akhir bulan lepas apabila Kementerian Pelajaran mewujudkan sebuah kelas prasekolah di rumah panjangnya.

Kelas prasekolah itu merupakan satu daripada empat yang dibuka oleh kementerian dengan tiga lagi masing-masing di Rumah Panjang Long Latei (Baram), Rumah Panjang Lubin dan Rumah Panjang Amit (kedua-duanya di Sebauh).

Kelas prasekolah bernilai RM400,000 di Kampung Sapak memberi kemudahan kepada 220 penduduk di tiga buah rumah panjang iaitu Rumah Ajun, Rumah Udin dan Rumah Sadut yang majoritinya didiami petani.

"Saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana prihatin dengan kehendak pendidikan anak-anak di kawasan pedalaman Sarawak," kata Lia yang kelihatan gembira sambil memeluk anak lelaki kesayangannya.

Kegembiraan itu turut dikongsi Minah Ambi, 25, yang lega kerana kelas prasekolah itu memudahkan mereka memantau pendidikan awal anak-anak tanpa perlu bimbang tentang kebajikan harian mereka.

"Saya selalu risau bila mengenang anak-anak yang terpaksa tinggal di asrama pada usia lima tahun. Pada usia semuda itu memang mereka belum lagi boleh hidup bersendirian di luar," katanya.

Ipah Kanang, 60, pula berkata, kemudahan kelas prasekolah di rumah panjang ibarat pucuk dicita ulam mendatang bagi ibu bapa yang mahu anak-anak mereka mendapat pendidikan awal.


KOMUNITI rumah panjang kini dapat menyaksikan anak-anak mereka yang berusia lima tahun mengikuti sistem pendidikan awal.


Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran memberi jaminan bahawa kelas prasekolah seumpamanya bakal diteruskan dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).

"Inisiatif ini akan diteruskan bagi memastikan semua kanak-kanak mendapat pendidikan tidak kira di mana sahaja mereka berada," kata Muhyiddin semasa merasmikan kelas prasekolah Kampung Sapak baru-baru ini.

Muhyiddin berkata, kelas prasekolah di rumah panjang itu ialah di luar kelaziman kerana buat pertama kalinya sebuah kelas prasekolah dibina di luar kawasan sekolah.

Kementerian Pelajaran mencadangkan tambahan 1,153 buah kelas prasekolah di seluruh negara dengan kos RM300 juta untuk tempoh dua tahun dalam RMK-10.

Kelas-kelas prasekolah itu dijangka menyumbang kepada sasaran kerajaan dalam meningkatkan kadar penyertaan murid prasekolah empat tahun dan lima tahun daripada 67 peratus tahun lalu kepada 87 peratus pada tahun 2012.

Dalam pada itu kerajaan negeri Sarawak melihat pembukaan kelas prasekolah di rumah panjang sebagai bukti keprihatinan kerajaan Persekutuan terhadap masalah yang dihadapi masyarakat di pedalaman Sarawak. Menteri Perumahan dan Pembangunan Bandar Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Abdul Taib Mahmud pada majlis pembukaan kelas prasekolah itu berkata, dengan adanya kemudahan itu anak-anak di kawasan luar bandar akan dapat menikmati pendedahan pendidikan awal dengan lebih baik. - Bernama

Sunday, July 25, 2010

Program Permata dokumenkan garis panduan

IPOH 24 Julai - Program Asuhan dan Didikan Kanak-Kanak (Permata) telah mengambil inisiatif untuk mendokumenkan beberapa garis panduan kurikulumnya bagi meningkatkan standard dan kualiti asuhan serta didikan kanak-kanak.

Isteri Perdana Menteri yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar Permata Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, garis panduan tersebut penting bagi memastikan terdapat keseragaman terhadap pelaksanaan aktiviti serta kualiti pada peralatan pembelajaran luar atau dalam yang disediakan.

"Permata telah mengambil langkah untuk mendokumenkan beberapa garis panduan bagi membantu rakan-rakan pelaksana yang berminat mengguna pakai kurikulum Permata.

"Antaranya adalah garis panduan peralatan luar, prosedur operasi standard, panduan pelaksanaan aktiviti anak Permata dan beberapa dokumen lagi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Pusat Anak Permata Negara (PAPN) di sini hari ini.

Bagi memastikan teknik pembelajaran dapat disampaikan dengan lebih berkesan katanya, Permata juga telah menyediakan peluang kepada pendidik mengikuti Kursus Asas Permata selama enam minggu.

"Pelaksanaan taska Permata ini dianggap sebagai usaha agresif kerajaan dalam melahirkan modal insan terbaik yang bermula dari pendidikan awal.

"Justeru Permata sentiasa memastikan kurikulumnya dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan jati diri yang diingini bagi memupuk perpaduan berorientasikan suasana Malaysia," katanya.

Sementara itu berucap merasmikan Sambutan Hari Semai Bakti anjuran Badan Amal dan Usaha Isteri-Isteri Wakil Rakyat (Baiduri) Barisan Nasional (BN) Perak, Rosmah menyeru sektor korporat dan swasta mengikut langkah kerajaan menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan orang kurang upaya (OKU) yang berkelayakan dan berkebolehan tanpa mengambil kira kekurangan fizikal mereka.

Sumber: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=0725&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm&arc=hive

Thursday, July 22, 2010

Mari Bercerita


Siti ke Pasar Tani

Pada hujung minggu, Siti mengikut ibunya ke pasar tani. Seawal pagi, Siti sudah bangun dan mandi. Ibu Siti memandu kereta ke sana. Di pasar kelihatan ramai orang sedang sibuk membeli barang dan kedengaran riuh-rendah suara peniaga. Ada yang menjual ikan, daging, sayur-sayuran dan buah-buahan. Ibu dan Siti pergi ke bahagian orang yang menjual daging ayam.

Semasa berjalan ke tempat tersebut, Siti dapat melihat ada orang menjual ketam, udang dan pelbagai jenis ikan. Ada ikan yang besar tetapi dipotong menjadi kecil. Ada juga banyak ikan kecil yang dijual dalam longgokan. Setelah ibu membeli daging ayam, mereka pergi membeli sayur-sayuran. Ibu juga tidak lupa membeli buah oren dan epal. Apabila ibu selesai membeli, mereka pulang ke rumah. Siti berasa sungguh gembira dengan pengalaman yang diperolehnya pada hari itu.




Roti Penuh Kasih Sayang

Muhammad seorang anak yang bijak dan aktif. Dia suka makan roti bersalut mentega kacang dan coklat. Tetapi, dia tidak mahu makan roti yang tidak dibuang keraknya. Dia berkeras bila ibu dan bapanya memujuk dia makan keseluruhan roti. Dia membiarkan roti tersebut di dalam piring tanpa diusik. Dia merajuk dan terus duduk menonton televisyen. Tiba-tiba Muhammad melihat slot iklan yang memohon sumbangan bagi mengurangkan kesengsaraan penduduk di Semenanjung Gaza, Palestin yang menjadi mangsa kekejaman rejim Zionis. Ada sekumpulan kanak-kanak menangis kelaparan. Dia terkejut melihat mereka berebut sekeping roti kosong dan hanya dapat makan secubit roti. Air mata Muhammad mengalir perlahan. Dia berasa berdosa kerana tidak menghargai rezeki yang ada lalu berlari mendapatkan ibu bapa dan meminta maaf. Bapa Muhammad tersenyum.

“Apabila kita bersyukur dengan rezeki yang Tuhan berikan dan tidak membazir, kita adalah manusia yang penuh kasih sayang. Di luar sana ramai yang kelaparan. Jadi, belajarlah menginsafi kehidupan orang lain.” Muhammad mula faham mengapa ibu bapanya selalu memaksa dia makan keseluruhan roti kerana kerak roti pun sedap juga.

Saling Sayang-menyayangi

Suatu hari umi membawa anak-anaknya Sara dan Izzah bersiar-siar di taman bunga. Setelah penat berjalan, mereka berehat seketika di sebuah bangku yang telah disediakan. Sambil berehat, mereka menikmati bekal yang dibawa dari rumah. Tiba-tiba Sara bersuara. “Umi kenapa kucing itu bergaduh?” umi tersenyum lantas menjawab, “Mereka bukan bergaduh. Mereka sedang bergurau senda.” “Umi, mereka saling sayang menyayangi tak?” tanya Sara lagi. “Mestilah. Haiwan pun tahu menyayangi adiknya. Kita mesti saling sayang menyayangi tidak kira sesiapa pun.

Lebih-lebih lagi keluarga dan saudara mara kita.” balas umi. Sara menganggukkan kepala tanda faham apa yang diperkatakan oleh uminya. Menjelang petang, mereka bersiap-siap untuk pulang. Di waktu malam, Sara mencium kedua-dua pipi adiknya yang sedang tidur sambil berkata, “Izzah, kakak terlalu sayangkan adik. Kakak akan sentiasa menyayangi adik sampai bila-bila.” Umi yang sedang melihat gelagat anaknya tersenyum dan terus memeluk Sara sambil berkata, “Umi pun sayangkan Sara dan Izzah .


Padah Suka Makanan Manis

Sara kanak-kanak periang tetapi cerewet makan. Dia cuma makan aiskrim dan gula-gula. Ibu Sara selalu nasihatkannya kurangkan makan makanan kegemarannya itu. “Sayang, gula-gula dan aiskrim tidak memberi khasiat pada badan kita. Sara jangan makan banyak-banyak sangat.” pesan ibu Sara. Suatu hari, Sara diserang sakit gigi. Sara menangis sekuatnya kerana terlalu sakit. “Ibu tolong Sara. Sakit.” Ibunya terus membawa Sara ke klinik gigi.

“Sara, awak selalu makan makanan manis ya?” tanya doktor gigi. Sara hanya menganggukkan kepala. “Gigi awak berlubang. Awak kena kurangkan aiskrim dan gula-gula. Awak kena makan lebih banyak buah-buahan dan sayur-sayuran dan mesti gosok gigi setiap kali lepas makan atau sebelum tidur,” pesan doktor gigi. Sara hanya membawa Sara ke menunduk dan diam mendengar nasihat doktor. Selepas dirawat, ibu pasar raya. “Lihat! Buah oren ini segar. Tentu sedap. Lagipun buah ini kaya dengan vitamin C. Betik ini pun Sara hanya mengangguk sedap juga. Kaya pula dengan vitamin A. Kita beli ya Sara.” kata ibu Sara. sambil tersenyum. “Aku tidak mahu sakit lagi. Aku kena dengar cakap ibu dan ingat pesan doktor gigi.”

Dengar Kata Mama

Syazwan baru berumur empat tahun. Dia aktif dan nakal. Oleh kerana Syazwan belum bersekolah, dia asyik bermain dengan alat permainannya tidak kira kecil atau besar. Syazwan selalu membuat mamanya marah apabila membuat sepah. Berulang kali mamanya menyuruh Syazwan supaya menyimpan semula alat permainannya tetapi dia tidak mahu mendengar kata. Suatu hari, Syazwan mengeluarkan semua alat permainan tanpa pengetahuan mama. Tidak lama selepas itu, mamanya datang. Belum sempat mama menegur, Syazwan terus berlari kerana takut dimarahi. Malangnya, Syazwan terpijak salah satu alat permainan dan kepalanya terhantuk di tiang katil. Mama terus mendapatkan Syazwan dan berkata, “Itulah sebabnya mama marah kalau Syazwan sepahkan mainan. Tengok, apa sudah jadi.” Syazwan bernasib baik kerana hanya mengalami luka kecil di kepala. Sejak daripada itu, Syazwan pasti mengemaskan alat permainannya kerana tidak mahu perkara sama berulang lagi. Mama pun gembira kerana Syazwan sudah mahu mendengar kata.

Sumber: http://www.majalahpama.com.my/info.asp?kb=11&sec=cerita