Rabu April 14, 2010, Kosmo Online.
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri  Muhyiddin Yassin berkata keberkesanan kurikulum baru sekolah akan banyak  bergantung kepada keupayaan guru meningkatkan amalan pendidikan dalam  kelas.
 Beliau berkata strategi pengajaran dan pembelajaran perlu menggunakan  pendekatan proses penyelidikan secara membina, pembelajaran mengikut  konteks, penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik  fokus kepada pelajar.
 "Ini termasuk uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan,  lawatan lapangan dan aktiviti menyelesai masalah yang membolehkan  aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.
 "Saya berharap dengan pelaksanaan kurikulum baru ini, para guru kita  akan menjadi lebih inovatif dalam cara mengajar dan menggunakan  pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif dan memupuk potensi  inovasi pelajar," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang  Kemuncak Pendidikan Malaysia 2010 di Pusat Konvensyen Sunway Piramid di  sini hari ini.
 Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kurikulum baru itu  akan menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam  proses pengajaran dan pembelajaran, membabitkan semua mata pelajaran,  adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan  berkualiti untuk semua.
 Beliau berkata kurikulum baru itu akan membuka ruang kepada pelajar  untuk menerokai dan menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran melalui  uji kaji, reka cipta dan penyelidikan.
 "Pendekatan baru ini bukan sahaja diguna pakai dalam mata pelajaran  sains tetapi juga kemahiran hidup dan keusahawanan," katanya.
 Muhyiddin berkata usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek  kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara tidak akan  sempurna tanpa dimasukkan peranan teknologi maklumat dan komunikasi  (ICT).
 Beliau berkata penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan  pembelajaran telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih  berkesan dan merangsang minda.
 Usaha untuk mendorong kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan,  katanya juga memerlukan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta,  ahli akademik dan industri, pakar dan pengamal pendidikan untuk  mengusahakan dan merangsang proses pemupukan itu dan meningkatkan  potensi inovasi pelajar melalui pendidikan berkualiti.
 "Pendek kata, kita perlu menjana pemikiran kreatif dan memupuk budaya  inovasi dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dan kita perlu lakukan  ini sebagai sebuah komuniti pendidik yang kreatif dan inovatif,"  katanya.
 Muhyiddin berkata menyedari hakikat ekonomi baru dan pelbagai cabaran  yang menanti, kerajaan perlu menilai semula model pembangunan modal  insan Malaysia.
 Katanya sistem pendidikan negara, daripada peringkat prasekolah  hingga pengajian tinggi, perlu ditumpukan untuk mengeluarkan individu  berwibawa dan tenaga kerja yang kompetitif di masa depan.
 "Kita perlu menyediakan persekitaran yang sesuai untuk memupuk  kreativiti dan inovasi yang akan membolehkan transformasi lebih besar  terhadap ekonomi dan sosial negara kita. Jika berbuat sebaliknya, kita  akan merisikokan keupayaan daya saing dan kemakmuran ekonomi kita,"  katanya.
 Oleh yang demikian, katanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk  Seri Najib Tun Razak, fokus kerajaan ialah menambah baik model  pembangunan modal insan negara dengan menggabungkan lebih banyak aspek  kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan. - BERNAMA