Pages

Friday, February 01, 2013

PENDEKATAN REGGIO EMILIA: PROVOKASI DAN KERJASAMA DENGAN PENDIDIK AWAL KANAK-KANAK DI AMERIKA SYARIKAT.

Oleh: Zailani Zakaria & Asiah Munajam (2013).

Pendahuluan
Usia awal kanak-kanak merupakan masa emas (golden ages), di mana 80% perkembangan otak kanak-kanak mencapai kesempurnaan. Pada masa ini kanak-kanak  harus dirangsang dengan baik untuk membangunkan kecerdasan pelbagai. Perkembangan dunia pendidikan mula membuat orang dewasa sedar akan pentingnya pendidikan kanak-kanak sejak awal dan pelbagai sekolah juga menggunakan pelbagai model pendekatan pembelajaran untuk menarik perhatian kanak-kanak. Salah satu pendekatan pembelajaran yang digunakan ialah Pendekatan Reggio Emilia.
          Pendekatan Reggio Emilia bagi pendidikan awal kanak-kanak telah menarik perhatian pendidik, penyelidik dan sesiapa saja yang tertarik pada pendidikan awal kanak-kanak dengan amalan yang terbaik. Bahkan Persatuan Antarabangsa bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (NAEYC) telah menyemak semula dari amalan yang sesuai dengan tahap perkembangan (DAP). Garis panduan ini juga disertakan contoh-contoh dari pendekatan Reggio Emilia. Ketika ini, Pendekatan Reggio Emilia telah diterima pakai di Amerika Syarikat, Britain, New Zealand, Australia dan banyak negara lain.
          Pada tahun 1988 muncul dua orang tokoh yang sinonim dengan pendekatan Reggio Emilia ialah Lella Gandini dan Baji Rankin. Lella Gandini merupakan seorang penulis dan guru berbangsa Itali. Beliau melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Phd. Kemudian beliau telah dilantik sebagai penasihat kepada pendekatan Reggio Emilia dalam Program Pendidikan Awal Kanak-kanak di Amerika Syarikat. Lella juga seorang penulis dan editor kepada  penerbitan dalam Bahasa Inggeris dan Itali mengenai Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Cerita Rakyat Itali. Baji Rankin pula merupakan seorang Pengarah Eksekutif NMAEYC, agensi peneraju bagi T.E.A.C.H.  Early Childhood, New Mexico. Baji mengkaji Pendekatan Reggio Emilia dan komited membina  program pendidikan awal kanak-  kanak.
          Pendekatan Reggio Emilia percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui interaksi dengan orang lain, termasuk ibu bapa, kakitangan dan rakan-rakan di persekitaran pembelajaran yang aktif. Pendekatan Reggio Emilia melihat anak-anak mempunyai sikap berdaya saing, kreatif, ingin tahu, imaginasi, intensif dan mempunyai keinginan untuk berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain.

Susur galur perkembangan REA di Amerika Syarikat
Pada tahun 1988, Persidangan Tahunan National Association for the Education of Young Children (NAEYC) telah diadakan dan dihadiri seramai 25 peserta khusus untuk membincangkan pendidikan dan penjagaan awal menurut perspektif Itali. Lella Gandini & Baji Rankin memberi input berkaitan sebuah bandar kecil di Utara Itali, Reggio Emilia yang membangunkan pendekatan tersendiri untuk pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak (1 tahun – usia prasekolah). Siri pameran bergerak diadakan di New England, New York dan Massachusetts.
          Kemudian pada tahun 1990, Filippini, seorang pendidik Itali telah berkongsi idea baru mengajar kanak-kanak dalam Persidangan NAEYC di Washington DC. Respon daripada orang ramai agar REA dapat dilihat dan didengar secara lebih mendalam. Pada hari ini, REA menjadi sumber rujukan dalam pendidikan dan penjaga awal kanak-kanak kepada Amerika Syarikat dan negara-negara lain di dunia.

Sejarah Awal Reggio Emilia di Amerika Syarikat
Pada tahun 1987, REA tiba di Amerika Syarikat melalui pameran bergerak. 1988,Pembentangan REA di Persidangan Tahunan NAEYC.1990,Pendidik awal kanak-kanak Amerika Syarikat melawat Regio Emilia dan mempelajari tentang REA dan pada tahun 1991 Prasekolah RE diiktiraf oleh  Majalah ‘Newsweek’ sebagai ‘The Best  in The World” sehingga penghujung tahun 90-an REA masih menjadi pendebatan utama di antara AS guru, pengarah program, pendidik awal kanak-kanak, penggubal dasar kerajaan, dan ahli-ahli pertubuhan kebangsaan yang terlibat dengan pendidikan dan penjagaan awal kanak-kanak.

Sejarah Pendekatan Reggio Emilia
Kaedah atau pendekatan pendidikan Reggio Emilia Approach (REA), terutama untuk kanak-kanak  berbeza daripada pendekatan konvensional.  Pendekatan REA ini komited dan mencipta keadaan pembelajaran yang menggalakkan dan memudahkan kanak-kanak untuk membina kekuatan berfikir sendiri melalui penggabungan seluruh bahasa ekspresi, komunikasi, dan kognitif (Edward & Forman, 1993). REA ini adalah sebuah sistem yang kompleks, namun sangat menarik perhatian dunia pendidikan kanak-kanak selama 50 tahun terakhir ini. Pendekatan Reggio Emilia boleh dipandang sebagai sumber atau inspirasi untuk membantu pendidik, orang dewasa, dan kanak-kanak ketika mereka bekerjasama untuk membangunkan program pendidikan mereka sendiri.
          REA diasaskan oleh Loris Malaguzzi dan penduduk di kawasan sekitar Reggio Emilia di Itali selepas Perang Dunia Kedua. Saat itu, kerana jumlah pekerja lelaki berkurangan akibat perang, para wanita terpaksa menjadi tenaga kerja di kilang-kilang dan industri. Ditambah dengan keadaan yang penuh dengan  kehancuran dan kemusnahan harta benda, penduduk Reggio Emilia merasa perlu ada pendekatan baru terhadap cara mengajar anak-anak mereka. Mereka merasa bahawa pada tahun-tahun awal perkembangan kanak-kanak mereka membentuk diri mereka sebagai seorang individu. Bermula dari pemikiran inilah lalu diciptakan sebuah program yang berprinsip rasa hormat, tanggungjawab dan kebersamaan melalui penerokaan di dalam persekitaran yang menyokong dan memperkaya minat kanak-kanak.

Kurikulum  REA
 Visi Reggio Emilia tentang kanak-kanak sebagai pelajar yang berkebolehan  telah menghasilkan kanak-kanak yang cerdas mengikut model kurikulum REA ini. Kurikulum yang dibina adalah berdasarkan kepada kepentingan kanak-kanak. Topik untuk kajian diambil daripada perbualan kanak-kanak, masyarakat atau keluarga melalui peristiwa, serta kepentingan yang diketahui kanak-kanak misalnya takungan air, bayangan, dinosaur, dan lain-lain lagi.. Pasukan perancangan adalah komponen penting dalam membuat kurikulum. Guru bekerjasama untuk merumuskan hipotesis tentang kemungkinan arah dari suatu projek, bahan-bahan yang diperlukan, dan mungkin orang dewasa dan sokongan serta penglibatan masyarakat.
          Kurikulum ini bertujuan untuk kemajuan kanak- kanak tetapi kurang ruang lingkup dan urutan. Guru mengikuti kepentingan kanak-kanak dan tidak memberikan arahan fokus dalam memberikan pengajaran. Pendekatan Reggio Emila mempunyai keyakinan yang kuat bahawa kanak-kanak belajar melalui interaksi dengan orang lain, termasuk ibu bapa, kakitangan dan rakan-rakan di persekitaran belajar yang ramah.
          Kanak-kanak digalakkan untuk menggambarkan pemahaman mereka melalui salah satu dari bahasa simbolik, termasuk gambar, patung, bermain drama, dan menulis. Mereka bekerja bersama-sama menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Guru sebagai pemudah cara dan kemudian mengamati perdebatan mengenai sejauh mana kanak-kanak mampu menyelesaikan masalah. Semakan gambar (dan idea) dilakukan jika perlu, dan guru membiarkan kanak-kanak untuk mengulangi kegiatan dan mengubah setiap hasil kerja dalam tujuan kolektif pemahaman topik yang lebih baik. Guru terlibat dalam proses penerokaan dan penilaian, dan memerhatikan semua hasil perkembangan kanak-kanak dalam menyelesaikan masalah mengikut pemahaman mereka.
          Teras kurikulum Reggio Emilia adalah perancangan projek sebagai hasil dari minat kanak-kanak terhadap sesuatu perkara. Projek ini terhasil dari pengalaman pertama yang dirancang oleh guru untuk membantu kanak-kanak menjelajah adat budaya mereka atau persekitaran fizikal sekitar mereka atau hasil dari kejadian spontan seperti idea kanak-kanak atau soalan kepada guru. Hampir setiap pengalaman yang membangkitkan minat kanak-kanak boleh menjadi asas projek. Projek dilakukan secara mendalam dan terperinci, menggunakan variasi dalam kaedah penyelidikan dan sebuah gambaran pilihan dan sebuah bentuk grafik. Untuk melengkapkan proses penyiasatan atau penyelidikan melalui projek jangka panjang ini adalah kreativiti kanak-kanak dalam menggunakan bahan untuk menunjukkan dan menyampaikan pembelajaran mereka, menggunakan bahasa.
          Setiap langkah aktiviti kanak-kanak, guru memerhati, berbincang dan menafsirkan bersama hasil pemerhatian mereka, yang seterusnya membuat pilihan yang baru untuk ditawarkan kepada kanak-kanak. Dengan membincangkan dalam kumpulan dan memerhati semula pengalaman-pengalaman dan idea-idea kanak-kanak akan membesar dengan pemahaman mereka.
          (Dengan catatan bahawa banyak perkara terjadi di dalam kelas selain melakukan projek, sementara projeknya sendiri memerlukan sebahagian waktu dalam sehari. Waktu lain dihabiskan dalam aktiviti prasekolah tradisional, misalnya permainan drama dalam ruang yang sebenar, permainan angka, waktu membaca, menulis, bermain dengan penuh semangat , tanggung jawab di sekolah dan hanya bercakap dengan rakan-rakan).

Sokongan dan Penglibatan Orang Dewasa
Reggio Emilia menganggap kanak-kanak adalah  penting dalam masyarakat. Penglibatan masyarakat juga diperlukan sebagai ahli jawatankuasa sekolah yang memberikan pengaruh ketara pada polisi kerajaan dan daerah.
          Ibu bapa sebagai 'cermin peranan masyarakat', baik di peringkat sekolah mahupun peringkat kelas. Ibu bapa diharapkan menyertai dalam perbincangan tentang polisi sekolah, perkembangan kanak-kanak, kurikulum perancangan dan penilaian. Kerana majoriti ibu bapa yang bekerja pada siang hari, pertemuan diadakan di malam hari sehingga semua dapat ikut menyertai.

Beberapa Ciri Utama Awal Kanak-Kanak dalam Program Reggio Emilia:
 1. Peranan persekitaran sebagai guru ketiga
a. Dalam pendekatan Reggio Emilia, para pendidik sangat prihatin dengan apa yang ada di persekitaran sekolah mereka dan dalam mengajar kanak-kanak. Oleh kerana itu, perhatian yang sangat besar diberikan untuk  ruang kelas. Hal ini sering merujuk pada persekitaran sebagai guru ketiga.
b. Keindahan estetika dalam kelas-kelas dianggap sebagai bahagian penting sebagai wujud dan menghargai kanak-kanak serta persekitaran pembelajaran mereka.
c. Suasana kelas yang ceria.
d. Guru mengatur persekitaran yang menggalakkan kanak-kanak untuk melakukan penerokaan yang panjang dan penyelesaian masalah, dibuat dalam kelompok kecil, di mana terdapat kerjasama dan persaingan.
e. Dokumentasi hasil kerja kanak-kanak, tanaman, dan koleksi yang telah mereka buat dipamerkan dalam kelas.

2. Beberapa Bahasa Simbolik Kanak-kanak
a. Seni digunakan sebagai bahasa simbolik yang akan digunakan untuk mengekspresikan pemahaman mereka dalam projek yang telah mereka lakukan.
b. Sesuai dengan teori Howard Gardner mengenai kecerdasan majmuk, pendekatan Reggio Emilia menggunakan integrasi seni grafik sebagai alat untuk mengembangkan kecerdasan linguistik, sosial, dan kognitif.
c. Persembahan konsep dan hipotesis dalam beberapa bentuk seperti cetak, seni, pembinaan, drama, muzik, dilihat sebagai hal yang penting untuk pemahaman anak-anak.

3. Dokumentasi bersistematik dan kolektif
a. Mendokumentasikan dan memaparkan hasil kerja kanak-kanak, di mana kanak-kanak mengekspresikan, membangun, dan membina perasaan serta idea-idea dan pemahaman mereka
b. Serupa dengan pendekatan portfolio, dokumentasi hasil kerja kanak-kanak dalam proses perkembangan dipandang sebagai alat penting dalam proses pembelajaran untuk kanak-kanak, guru, dan ibu bapa.
c. Gambar kanak-kanak terlibat dalam pengalaman, kata-kata mereka apabila mereka  membincangkan apa yang mereka lakukan, perasaan, pemikiran, tafsiran pengalaman kanak-kanak melalui media visual dipaparkan sebagai persembahan grafik dinamik pembelajaran.
d. Guru bertindak sebagai perakam  untuk kanak-kanak, membantu mereka melayari dan meninjau kembali kata-kata dan tindakan dengan  menunjukkan apa yang telah mereka pelajari.

4. Projek jangka panjang
a. Menyokong dan memperkayakan anak-anak melalui projek jangka pendek (satu minggu) dan jangka panjang (sepanjang tahun sekolah), di mana dalam mengerjakan projek ini kanak-kanak akan memberi respons, dirakam, bermain, meneroka, membina dan menguji hipotesis, dan menyatakan  apa yang terjadi.
b. Projek yang berpusat pada kanak-kanak, mengikut minat mereka, akan menambah wawasan baru.
c. Selama projek berlangsung, guru membantu kanak-kanak membuat keputusan tentang arah kajian, cara-cara kumpulan akan melakukan penyelidikan terhadap topik, media perwakilan yang akan menunjukkan dan memaparkan topik.

5. Guru sebagai penyelidik
a. Peranan guru dalam pendekatan Reggio Emilia sangat kompleks. Bekerja sebagai wakil guru, peranan yang pertama dan utama adalah belajar bersama kanak-kanak. Guru adalah penyelidik, sumber daya dan panduan apabila guru meminjamkan kemahiran mereka kepada kanak-kanak.
b. Peranan guru menjadi pendidik yang mendengar, melihat, dan mendokumentasikan pekerjaan dan pertumbuhan kanak-kanak di dalam kelas dan merangsang pemikiran anak-anak.
c. Guru mempunyai komitmen untuk menggambarkan bagaimana akan mengajar.
d. Di kelas, guru bekerja berpasangan dan kerjasama, berkongsi maklumat dan memerhati bersama pembantu.

6. Hubungan Rumah dengan Sekolah
a. Kanak-kanak, guru, ibu bapa dan masyarakat yang interaktif  serta bekerja sama.
b. Komunikasi dan interaksi dapat memperdalam penyelidikan kanakk-anak dan membina teori tentang dunia di sekitar mereka
c. Program dalam pendekatan Reggio Emilia adalah berpusat pada keluarga. Visi dari pendidikan didasarkan pada hubungan yang memberi tumpuan pada setiap kanak-kanak dalam kaitannya dengan orang lain dan berusaha untuk menghidupkan dan menyokong hubungan timbal balik kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain, keluarga, guru, masyarakat, dan alam sekitar.

Prinsip Pembelajaran
Pendidikan berdasarkan pada komunikasi dalam hubungan guru -kanak-kanak, ibu bapa – kanak-kanak, guru -  ibu bapa. Hal ini mewujudkan persekitaran belajar yang sangat kaya bagi semua pihak yang terlibat. Dalam pendekatan Reggio Emilia, guru adalah seorang penyelidik dan sekolah dipandang sebagai tempat kajian  dan berkongsi pembinaan nilai dan makna.


Pendekatan Reggio Emilia banyak diterima sebagai program pra-sekolah.


A. Prinsip-prinsip Reggio Emilia yang berpusat pada kanak-kanak.
1. Kanak-kanak harus mempunyai kawalan atas pembelajaran mereka.
2. Kanak-kanak harus dapat belajar melalui pengalaman menyentuh, bergerak, mendengar dan                melihat.
3. Kanak-kanak mempunyai hubungan yang rapat dengan kanak-kanak lain
4. Kanak-kanak harus mempunyai peluang untuk mengekspresikan diri.

B. Pendekatan Reggio Emilia memerhatikan perkembangan kanak-kanak dan hubungannya dengan persekitaran mereka.
Ia dibahagikan kepada tiga iaitu:
a. Peranan persekitaran fizikal
Tujuan utama dalam perancangan ruang baru dan pengubahsuaian yang lama merangkumi integrasi dari  kelas masing-masing dengan  sekolah, dan sekolah dengan masyarakat. Pentingnya persekitaran hidup terletak pada keyakinan bahawa anak-anak boleh mewujudkan makna terbaik dan memahami dunia mereka melalui persekitaran yang menyokong; kompleks, pelbagai, berterusan, dan mengubah hubungan antara manusia, dunia pengalaman, idea-idea dan banyak cara untuk mengungkapkan idea. Ruang atau tempat yang digunakan dan segala sesuatu harus boleh menarik dan mengundang minat kanak-kanak namun tetap mengandungi unsur pendidikan. Kanak-kanak dan ibu bapa juga bekerja sama untuk mengumpulkan dan menguruskan bahan-bahan permainan di sekitar persekitaran yang akan digunakan.
b. Peranan alam sekitar sebagai guru
Dalam REA, para pendidik sangat memperhatikan persekitaran sekolah kerana persekitaran sekolah ini juga berperanan sebagai mendidik para pelajar. Penampilan dan keadaan kelas pun akhirnya menjadi keutamaan tersendiri pula. Bahkan, persekitaran sekolah sering disebut sebagai guru ketiga. Keindahan dan keceriaan persekitaran di dalam sekolah dianggap sebagai bahagian penting dari rasa hormat kepada pelajar dan persekitaran pembelajaran mereka.
          Suasana di dalam kelas ceria dan penuh dengan kegembiraan. Guru mengatur agar persekitaran belajar menggalak dan mencabar pelajar dalam eksplorasi dan penyelesaian masalah, biasanya dalam kelompok-kelompok kecil di mana kerjasama dan perbezaan pendapat bercampur namun tetap menyenangkan.
          Hasil kerja kanak-kanak, atau tanaman yang mereka tanaman, atau koleksi barangan yang dikumpulkan kanak-kanak dari alam dipaparkan di kelas dan persekitaran sekolah agar boleh dilihat oleh pelajar, guru dan ibu bapa. Terdapat kawasan bersama atau serba guna di sekolah yang boleh digunakan oleh kanak-kanak untuk pelbagai aktiviti seperti pementasan drama atau hanya berkumpul dengan kanak-kanak dari kelas lain untuk belajar bersama.
C. Ibu bapa merupakan komponen penting dalam pendekatan ini.
Ibu bapa dipandang sebagai rakan kongsi, penyumbang untuk anak-anak mereka. Guru menghormati setiap ibu bapa sebagai guru pertama dan melibatkan mereka dalam setiap aspek kurikulum. Hal ini dapat dilihat melalui penyertaan ibu bapa di dalam kelas. Program Reggio Emilia menggabungkan prinsip-prinsip dalam mengasuh kanak-kanak dan kehidupan rumah.


Peranan Guru dalam Pendekatan Reggio Emilia:
a) Membina pengetahuan dan pemahaman kanak-kanak.
b) Menggalakkan agar kanak-kanak mengeluarkan idea-idea, cara menyelesaikan masalah dan konflik.
c) Guru digalakkan untuk memudahkan kanak-kanak belajar dengan aktiviti perancangan dan pelajaran berdasarkan kepentingan kanak-kanak, mengajukan soalan untuk lebih memahami, dan secara aktif terlibat dalam kegiatan bersama kanak-kanak, bukannya duduk diam dan mengamati kanak-kanak belajar.
d) Menetapkan kelas dan benda-benda yang ada di kelas agar menjadi tempat yang menyenangkan.
e) Menetapkan jenis barang-barang di kelas agar dapat membantu kanak-kanak membuat keputusan mengenai benda-benda yang akan digunakan.
f) mendokumentasikan perkembangan kanak-kanak melalui visual, videotape, tape recorder, dan portfolio.
g) Apabila melakukan projek dengan kanak-kanak, guru juga dapat memperluaskan kanak-kanak belajar dengan mengumpulkan data seperti gambar, nota, video, dan perbualan yang boleh dimainkan semula di waktu lain.
h) Membantu kanak-kanak melihat hubungan yang ada antara pembelajaran dan pengalaman yang di dapatnya.
i) Guru perlu tetap aktif, sentiasa bersama dalam kegiatan kanak-kanak untuk membantu memastikan bahawa kanak-kanak memahami dengan jelas apa yang sedang;diajar.
j) Membantu kanak-kanak mengekspresikan pengetahuan yang mereka dapatkan atau miliki melalui bentuk-bentuk persembahan.
k) Membentuk hubungan yang baik dengan guru-guru lain dan para ibu bapa.


Objektif Pembelajaran Dalam Pendekatan Reggio Emilia:
a) Menghubungkan kekuatan idea-idea dan hak-hak kanak-kanak, potensi, dan sumber-sumber yang seringkali terabai.
b) Memperkenalkan kajian, penyelidikan, eksperimen dalam pembelajaran dengan konteks pembelajaran yang aktif, konstruktif dan kreatif.
c) Meningkatkan profesionalisme guru, menyokong suatu kesedaran yang tinggi terhadap nilai-nilai kerjasama dan kebermaknaan hubungan antara kanak-kanak dan keluarganya.
d) Menjadikan topik utama dari nilai-nilai penyelidikan, pemerhatian, interpretasi dan dokumentasi dari pengetahuan yang dibina dari proses berfikir kanak-kanak.
e) mengatur kunjungan terbimbing ke dalam program pendidikan, pameran budaya, seminar, dan kursus-kursus dalam issue pendidikan dan budaya awal kanak-kanak


Struktur Program
Tidak semua kanak-kanak diharapkan dapat melakukan perkara yang sama dan perbuatan  merekalah yang dinilai. Mereka melakukan aktiviti dalam kumpulan-kumpulan kecil, sendiri, di dalam atau di luar, atau di tengah bilik atau di serambi.
          Di persekitaran prasekolah, kanak-kanak dibahagi dalam kelas-kelas. Satu kelas terdiri daripada 25 kanak-kanak dengan 2 guru pendamping. Kumpulan ini terdiri dari kanak-kanak, guru-guru, dan keluarganya yang terlibat bersama untuk 3 tahun masa sekolah. Kenaikan tingkat kelas setiap tahun sesuai dengan keperluan kanak-kanak yang semakin bertambah dan berdasar pada minat kanak-kanak.
          Ketika pelaksanaan projek berkembang, guru-guru berhati-hati dalam membuat kelompok-kelompok kecil, biasanya tidak lebih dari 5 orang. Mereka percaya bahawa melakukan aktiviti  dalam kumpulan kecil membolehkan kanak-kanak untuk memahami rentak dan gaya berkomunikasi. Konflik yang berlaku tanpa kawan sebaya-perlawanan,  pembinaan semula idea-idea dan hipotesis-hipotesis-terlihat tidak hanya sebagai kegiatan belajar sosialisasi tapi sebagai sebahagian dari proses kognitif.


Keceriaan Kelas:
Banyak perhatian diberikan untuk paparan dan keadaan kelas dalam pendekatan Reggio Emilia. Tujuannya adalah untuk mencipta suasana yang menyenangkan, di mana kanak-kanak, keluarga dan guru merasa difahami dan santai. Persekitaran dipandang sebagai unsur penting daripada pendidikan dan merupakan cermin dari budaya sekolah dari masa ke masa. Fokus pada persekitaran mewakili atau merupakan cermin kepada  nilai-nilai estetika, organisasi, perhatian, komunikasi dan interaksi.


Atelier (Makmal)
Salah satu inovasi utama dari pendekatan Reggio Emilia adalah Atelier, sebuah studio dan makmal sekolah. Atelier adalah tempat untuk bereksperimen dengan bahasa visual tertentu atau pun gabungan, dengan atau tanpa kombinasi dengan bahasa verbal. Ada mini-ateliers di sebelah setiap kelas, yang digunakan untuk projek-projek sambungan. Ateliers ini dilengkapi dengan tanah liat, kawat, cat, pena, kertas, manik-manik, kerang dan pelbagai bahan kitar semula  yang digunakan oleh kanak-kanak dalam jangka pendek mahupun projek-projek jangka panjang dengan tujuan untuk mengekspresikan seratus bahasa kanak-kanak.
          Tujuan keceriaan kelas Reggio Emilia adalah proses belajar dilakukan dalam suasana bermain yang menyenangkan, tanpa tekanan dan paksaan, dan anak-anak berada dalam lingkungan eksplorasi yang sangat kaya. Mereka menjadi seniman, ahli sejarah, penyelidik, dan lain-lain, kegiatan yang membuktikan bahawa sebenarnya - apabila diberi kesempatan kanak-kanak akan menunjukkan kepintaran mereka.

Kesimpulan
Teras kurikulum Reggio Emilia adalah perancangan projek sebagai hasil dari minat kanak-kanak terhadap sesuatu perkara. Projek ini terhasil dari pengalaman pertama yang dirancang oleh guru untuk membantu kanak-kanak menjelajah adat budaya mereka atau persekitaran fizikal sekitar mereka atau hasil dari kejadian spontan seperti idea kanak-kanak atau soalan kepada guru. Prinsip pembelajaran Reggio Emilio terdiri dari 3 asas utama iaitu pendidikan yang berpusat pada anak dan memperhatikan perkembangan kanak-kanak serta hubungannya dengan persekitaran mereka yang dibahagikan kepada dua iaitu peranan persekitaran fizikal dan peranan persekitaran sebagai guru.
          Selain itu, ibu bapa juga merupakan komponen penting dalam pendekatan Reggio Emilia di mana dalam penyusunan kelas yang berasaskan Reggio Emilia, proses belajar dilakukan dalam suasana bermain yang menyenangkan, tanpa tekanan dan paksaan, dan kanak-kanak berada dalam lingkungan eksplorasi yang sangat banyak. Mereka menjadi seniman, ahli sejarah, penyelidik, dan lain-lain aktiviti yang membuktikan bahawa sebenarnya - apabila diberi kesempatan kepada kanak-kanak, mereka akan menunjukkan kepintaran mereka.

Sumber Rujukan: 


Roopnarine, J.L. & Johnson, J.E. 2005. Approaches to Early Chilhood Education. 4th edition. Ohio: Prentice Hall.