Pages

Thursday, April 09, 2009

Pindaan Akta Pendidikan Lahirkan Guru Berijazah

KOTA KINABALU 25 Julai - Kesemua 27 Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara akan mengeluarkan guru berijazah selepas pindaan terhadap Akta Pendidikan 1996 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada 18 Ogos ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, pindaan tersebut antara lain bertujuan menaik taraf dan memperkasa status IPG, meningkatkan lagi imej profesion perguruan serta kualiti pendidikan di negara ini.

Menurutnya, peningkatan keupayaan IPG itu juga sekali gus dapat mengurangkan beban yang kini dipikul oleh universiti tempatan untuk mengeluarkan guru berijazah.

"Ini adalah antara langkah kementerian dalam usaha kita mencapai kadar 100 peratus guru berijazah di sekolah menengah dan 50 peratus di sekolah rendah menjelang 2010.

"IPG selepas ini akan menjadi sebuah 'fakulti' terbesar dalam mengeluarkan guru berijazah dan para pensyarahnya pula terbuka luas untuk proses kenaikan pangkat," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui selepas Majlis Wacana Profesional Memartabat Profesion Perguruan di IPG Gaya di sini malam tadi.

Razali berkata, para pensyarah di IPG yang kebanyakannya pada kedudukan pangkat DG44 akan berpeluang naik sehingga DG54 iaitu sama taraf dengan jawatan seorang Profesor Madya dan Jusa C yang sama kedudukan dengan seorang Profesor di universiti.

"Sekarang ini telah ada laluan ke arah itu dan kita yakin status pensyarah di IPG akan turut mengalami perubahan melalui pindaan-pindaan yang dilakukan terhadap beberapa Seksyen di bawah Akta Pendidikan 1996," ujarnya.

Sumber: Utusan Malaysia Online 26/7/2008

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.