KUALA LUMPUR 22 Julai - Prasarana yang mencukupi serta penyediaan guru terlatih perlu sekiranya mahu menjadikan pendidikan prasekolah sebagai dasar pendidikan negara.
Pensyarah Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof. Madya Datuk Dr. Abdul Rahman Daud berkata, cadangan itu merupakan satu langkah yang bijak, bagaimanapun ia perlu disokong oleh kedua-dua perkara tersebut.
"Kerajaan perlu memastikan kelas prasekolah dilengkapi dengan pelbagai alat bantuan mengajar.
''Jika sekadar papan hitam serta cara mengajar bercakap biasa sahaja tidak memadai. Perlu ada alat pembelajaran yang ke hadapan seperti yang kita lihat di luar negara,'' katanya.
Beliau mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam, mengenai cadangan pihak kerajaan menjadikan pendidikan prasekolah sebagai sebahagian daripada dasar pendidikan negara.
Langkah berkenaan bagi memastikan proses pemantapan bahasa Inggeris dapat dimulakan di peringkat awal.
Dalam pada itu, kata Abdul Rahman, langkah menjadikan prasekolah sebagai dasar pendidikan negara juga mampu mengatasi isu kemunduran pelajar.
"Sebelum ini memang tiada satu sistem untuk prasekolah sedangkan ada bermacam-macam prasekolah yang disediakan oleh pihak swasta serta Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas). Bagaimanapun, ada kanak-kanak yang mahu pergi dan ada yang tidak.
"Apabila wujud sistem yang seragam ini pastinya tidak boleh dielak oleh semua kanak-kanak,'' katanya.
Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohd. Ali Hasan berkata, pelaksanaan sistem prasekolah tersebut perlu menitikberatkan kanak-kanak di kawasan luar bandar.
"Jika sistem prasekolah ini dilakukan, perhatian yang lebih mesti diberikan terhadap kanak-kanak di pedalaman. Kalau mahu memastikan semua pelajar di usia muda cemerlang jangan abaikan mereka.
"Melihatkan situasi sekarang pun, pelajar di luar bandar masih lagi ketinggalan. Jadi pastikan dalam pelaksanaan prasekolah ini mereka tidak ketinggalan, jika tidak sia-sia sahaja apa yang ingin dicapai," katanya.
Selain itu, katanya, sekiranya sistem prasekolah dapat diselaraskan antara sekolah kerajaan dan swasta, ia mampu mengurangkan jurang pendidikan.
"Kalau boleh selaraskan tadika swasta dan kerajaan.
''Itu lebih baik kerana selalunya apa yang kita boleh lihat sekolah swasta ini menyediakan prasarana yang lebih baik,'' jelasnya.
Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0723&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_02.htm -Tarikh: 23/07/2009
Adakah anda sebagai guru-guru di prasekolah KPM bersetuju dengan pernyataan terakhir dalam berita akhbar di atas atau sekadar pernyataan tanpa melihat prasarana yang terdapat di prasekolah KPM? Prasekolah KPM kini bergerak maju selaras dengan kehendak yang terkandung dalam Teras Strategik 'PIPP' yang ketiga iaitu memperkasakan sekolah kebangsaan. Salah satu strategi untuk memperkasakan sekolah kebangsaan ialah:
Perluasan Program Prasekolah
• Menambah bilangan kelas prasekolah KPM
• Menggunakan kurikulum Prasekolah Kebangsaan
• Memastikan murid berkeperluan khas mendapat program prasekolah
• Memastikan guru dan pembantu guru mencukupi dan terlatih
Kebelakangan ini, sejak PIPP diperkenalkan memang kami guru-guru prasekolah KPM mengakui kesungguhan pegawai-pegawai PPD atau JPN sering datang ke sekolah dan bertanyakan guru-guru apa lagi keperluan untuk menaikkan taraf prasekolah. Setiap tahun, prasekolah saya mendapat peruntukan yang agak banyak untuk pembangunan prasarana dan tidak malu ataupun bukanlah untuk bermegah-megah tetapi sekadar menyatakan kebenaran bahawa kebanyakan kelas prasekolah di daerah Seremban adalah prasekolah yang terbaik dari aspek pengurusan mahupun aspek P &P. Cubalah anda pergi ke tadika-tadika swasta yang terdapat di daerah anda, nama cukup gah, tapi suasana kebanyakan kelas di tadika-tadika swasta tidak menitikberatkan soal kelas yang ceria dan kondusif. Suasana kelas yang ceria dan kondusif adalah satu aspek yang amat penting dalam membantu perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh. Pada hemat saya, tadika-tadika swasta jauh tidak dapat menandingi prasarana yang disediakan oleh KPM. Mungkin ramai guru-guru prasekolah KPM bersetuju dengan pendapat saya. Para pengusaha tadika swasta pula, janganlah asyik syok sendiri dan berbangga dengan apa yang ada....cuba-cubalah melawat ke institusi prasekolah KPM terutamanya kelas-kelas prasekolah di Negeri Sembilan. Anda pasti terpegun dan kagum.
Sekiranya anda mempunyai pendapat sama ada pro atau kontra mengenai isu ini bolehlah menghantarkan komen anda ke email: anizakaria@gmail.com