Pages

Thursday, July 02, 2009

PERMOHONAN KEMASUKAN KE KELAS PRASEKOLAH KPM

Syarat-Syarat kemasukan Ke Kelas Prasekolah KPM

Syarat-syarat bagi memasuki kelas prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia adalah seperti berikut :

i. Warganegara Malaysia Sahaja - Merujuk kepada peraturan-peraturan (penerimaan kemasukan murid ke sekolah rendah).

ii. Kanak-kanak yang mencapai umur 5 tahun pada hari pertama bulan Januari dalam tahun persekolahan semasa.(1 Jan 2009)

iii. Mengikut pendapatan perkapita berdasarkan pendapatan Garis Kemiskinan.

iv. Merit berdasarkan ranking pendapatan ibubapa/penjaga dari rendah ke tinggi. Kadar jumlah murid bagi setiap kelas ialah tidak lebih daripada 25 orang.

v. Proses pemilihan murid prasekolah KPM hendaklah dibuat oleh Jawatankuasa prasekolah.

Kepada ibubapa/penjaga yang berminat untuk menghantar anak/anak jagaan mereka memasuki kelas prasekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia sila dapatkan borang permohonan dan maklumat lanjut di sekolah-sekolah yang berhampiran tempat kediaman anda.

Kepintaran & IQ

Apakah Kepintaran?
Kepintaran bermakna seseorang boleh hidup dengan :
  • Menyesuaikan diri sewajarnya dengan persekitaran
  • Mempelajari konsep dan idea-idea baru
  • Menyelesaikan masalah

Kepintaran merangkumi kombinasi pelbagai kemahiran untuk hidup secara berkesan:

  • Kemahiran fizikal: Kemahiran pergerakan seperti kemahiran motor
  • Kemahiran mental: Kemahiran memori, pengetahuan, penyelesaian masalah dan ketangkasan memproses maklumat
  • Kemahiran tingkah laku seperti kemahiran berkomunikasi
  • Kemahiran akademik
  • Kemahiran kehidupan seharian

Berapakah jenis kepintaran?

Terdapat pelbagai teori yang cuba menjelaskan perbezaan kepintaran seseorang. Kajian awal oleh Francis Galton menunjukkan bahawa mereka yang berjaya dalam bidang intelek tertentu akan turut berjaya dalam bidang yang lain. Ini menunjukkan kepintaran jenis umum. Charles Spearman meneruskan usaha Galton dan kajian beliau merumuskan bahawa manusia mempunyai kedua-dua jenis kepintaran umum dan khusus. Sebaliknya Howard Gardner pula berdasarkan kajiannya mencadangkan bahawa manusia mempunyai pelbagai jenis kepintaran yang boleh dikategorikan kepada 7 kumpulan utama, iaitu:

  • Kepintaran Muzik
    • Contoh: ahli muzik
  • Kepintaran Kinestetik atau pergerakan badan
    • Contoh: ahli sukan atau penari
  • Kepintaran Logik Matematik
    • Contoh: saintis, pencipta atau ahli matematik
  • Kepintaran Bahasa
    • Contoh: penulis atau ahli bahasa
  • Kepintaran "Spatial"
    • Contoh: pelayar, arkitek, artis atau pemandu pelancong
  • Kepintaran "Interpersonal"
    • Contoh; pakar sakit jiwa, pakar psikologi atau kaunselor
  • Kepintaran "Intrapersonal"
    • Contoh; ahli falsafah, pakar sakit jiwa atau pakar psikologi
  • Kepintaran Rohani
    • Contoh; imam, sami atau pendakwah

Dari manakah punca kepintaran?
Kebanyakan kajian merumuskan bahawa kepintaran adalah kombinasi fakta keturunan dan persekitaran.

Kenapakah manusia mempunyai kepintaran yang berbeza?
Tahap kepintaran seseorang individu berbeza dan ia ditentukan oleh:

  • Kemahiran berfikir dan membuat pertimbangan
  • Asuhan semasa kecil dan interaksi sosial
  • Faktor baka

Oleh kerana setiap individu mengalami perbezaan dalam faktor-faktor di atas, maka tahap kepintaran setiap individu juga berbeza.

Adakah kepintaran berubah apabila seseorang membesar?

Kepintaran kita biasanya stabil di antara umur 25 dan 60 tahun. Biasanya pengetahuan kita kekal selepas 60 tahun, tetapi keupayaan untuk mendapat kemahiran baru mungkin mengambil masa lebih lama apabila kita semakin berusia.

Tanda dan Gejala

Bagaimanakah mengukur kepintaran?
Kepintaran boleh diukur. Terdapat alat dan teknik tertentu untuk menentukan tahap kepintaran seseorang. Ianya digunakan oleh anggota profesional terlatih. Alat tersebut boleh dibuat dalam bentuk ujian aptitud atau ujian pencapaian.

Ujian Pencapaian:

  • Mengukur tahap pengetahuan atau kompetensi seseorang dalam bidang tertentu
  • Menganggap kepintaran adalah kapasiti mental yang boleh diukur melalui analisa pencapaian ujian mental (contoh; ujian IQ)

Ujian aptitud:

  • Mengukur potensi seseorang untuk mempelajari sesuatu tugasan khusus
  • Ia mengandaikan bahawa kemahiran semasa seseorang boleh meramal pencapaian sesuatu tugasan khusus pada masa hadapan

Apakah itu IQ?
IQ adalah singkatan kepada "Intelligence Quotient".
"Quotient" bermaksud suatu ukuran piawai. Oleh itu, IQ adalah suatu ukuran piawai kepintaran yang berasaskan teori-teori kepintaran.
Ujian IQ adalah alat mengukur kepintaran yang biasa diguna pakai.

  • Biasanya IQ dikira sebagai Umur Mental/Umur Kronologi X 100
  • IQ dinilai berdasarkan skor seseorang
  • Kebanyakan orang mempunyai skor IQ di antara 70 - 130
  • IQ sederhana adalah sekitar 100

Apakah yang diuji melalui Ujian IQ?
Pelbagai ujian telah dicipta untuk mengukur kemahiran berkaitan pembelajaran dan umur mental kanak-kanak. Ujian ini biasanya mengukur:

  • Kemahiran pertimbangan tanpa lisan ("Nonverbal reasoning skills")
  • Kemahiran lisan
  • Pengetahuan

Bagaimanakah skor IQ dapat membantu?
Biasanya skor IQ dapat meramal pencapaian akademik Walau bagaimanapun Skor IQ tidak dapat menerangkan indeks lebar kepintaran.

Apakah pengertian skor IQ?
Panduan umum maksud skor IQ adalah seperti di bawah :

  • 130 ke atas - Kepintaran unggul
  • 110-120 - Kepintaran sederhana tinggi
  • 90-110 - Kepintaran sederhana
  • 70-90 - Kepintaran sederhana rendah
  • Di bawah 70 - Terencat akal

Perlu diingatkan, ujian IQ tidak mengukur kemahiran penyesuaian diri secara menyeluruh. Contohnya, seseorang yang mempunyai IQ 130 mungkin tidak mempunyai kemahiran sosial. Manakala seseorang yang mempunyai IQ di bawah paras sederhana mungkin mempunyai kemahiran sosial yang baik.

Apakah fakta lain yang ada hubung kait dengan kepintaran?
Kreativiti

  • Keupayaan menghasilkan idea-idea asli dan baru yang boleh diukur melalui beberapa cara

Kepintaran Emosi, EQ

  • Keupayaan menilai, memahami dan meluahkan perasaan
  • EQ tinggi = Empati tinggi

Kepintaran Kerohanian, SQ

  • Keupayaan untuk memahami diri sendiri dari aspek perkembangan rohani dan menggunakannya untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran

Komplikasi

Isu-isu berkaitan kepintaran

Biasanya kepintaran dikaitkan dengan pencapaian akademik dan pengetahuan sahaja. Ini menjadi satu isu apabila kemahiran "adaptif" diri yang lain seperti kemahiran berkomunikasi, kemahiran hidup dan kemahiran bersosial tidak diambil kira. Kepintaran adalah konsep sosial yang secara umum digunakan untuk mereka yang berpengetahuan luas dan mempunyai status akademik yang baik. Mereka yang tidak digolongkan dalam kategori ini, mungkin dilabelkan sebagai kurang pintar. Biasanya golongan yang sering tersalah label sebagai mempunyai kepintaran rendah termasuklah mereka yang:

  • Tidak menarik
  • Kurang upaya
  • Menunjukkan tingkah laku yang tidak wajar
  • Berat badan yang berlebihan atau gemuk
  • Dilabel dengan sikap negatif seperti pemalas dan jahat
  • Didiagnosis sebagai mempunyai masalah pembelajaran seperti "disleksia" atau "hiperaktif"
  • Miskin
  • Tidak berjawatan tinggi
  • Tidak berpakaian kemas
  • Pendiam

Apakah yang boleh mempengaruhi skor IQ?

  • Emosi
  • Motivasi
  • Pemahaman bahasa
  • Kecederaan otak
  • Kecacatan fizikal
  • Gangguan "sensori"

Rawatan
Bagaimana IQ boleh ditingkatkan?
Mempelajari kemahiran yang meliputi semua aspek kepintaran dan tingkah laku "adaptif".

  • Kemahiran akademik
    • Contoh: pengetahuan atau logik
  • Kemahiran berkomunikasi
    • Contoh: mendengar, meluah atau menulis
  • Kemahiran hidup seharian
    • Contoh: penjagaan diri, kemahiran domestik, kemahiran komuniti, penyelesaian masalah atau keselamatan
  • Kemahiran bersosial
    • Contoh: berkawan atau kemahiran bermain
  • Kemahiran pergerakan

Pencegahan

Bagaimana saya mencegah kemerosotan kemahiran untuk membuat pertimbangan apabila usia meningkat?
Teruskan merangsang minda anda dengan melakukan aktiviti penyelesaian masalah serta sentiasa mencari pengalaman baru.

Rehabilitasi

Bagaimana mengatasi kekurangan kepintaran?
Dapatkan bantuan ahli profesional yang boleh melakukan penilaian formal untuk menentukan sejauh mana kekurangan kepintaran seseorang. Dapatkan cadangan ahli profesional tentang latihan dan aktiviti baik pulih.

Kumpulan sokongan
Anggota profesional yang boleh membantu termasuklah:

  • Pakar Psikologi Klinikal
  • Ahli Psikologi Pendidik
  • Ahli Psikologi Perkembangan
  • Ahli Neurofisiologi Klinikal
  • Pakar Psikiatri Kanak-kanak & Remaja
  • Guru Pendidikan Khas
  • Guru
  • Kaunselor
Sumber: http://www.infosihat.gov.my/penyakit/Remaja/KepintaranIQ.php

Keselamatan di Taman Permainan

Pengenalan
Walaupun menyediakan tempat untuk bergembira, bersenam dan beriadah, taman permainan kanak-kanak boleh menjadi suatu tempat yang berbahaya jika keselamtan tidak di ambil kira. Setiap tahun, anggaran 250,000 kanak-kanak berumur 15 tahun ke bawah di Amerika Syarikat mengalami kemalangan di taman permainan dan memerlukan rawatan kecemasan.

Di Malaysia, dianggarkan 3000 kes kemalangan berlaku di taman permainan setiap 3 bulan. Kemalangan selalunya melibatkan kanak-kanak berumur di antara 5-9 tahun. Kemalangan yang kerap dilaporkan melibatkan kawasan permukaan taman kanak-kanak. (Rujukan : Kemalangan Epidemiology di Malaysia).
http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/PlaygroundSafety3.jpg
Kemalangan kanak-kanak ini boleh berlaku jika mereka :
  • Jatuh atau terpintas dari peralatan permainan, dan jatuh dari tempat tinggi. Kes jatuh ini merangkumi 75% daripada kemalangan di taman permainan.
  • Terhantuk atau terlanggar peralatan permainan atau rakan-rakan ketika sedang bermain.
  • Terluka atau tercalar.
Peralatan permainan yang kerap dikaitan dengan kemalangan adalah buaian, "monkey bars", gelunsur dan jongkang-jongkit.
Langkah-langkah keselamatan di taman permainan kanak-kanak
Ibubapa perlu memastikan anak-anak mereka bermain ditaman permainan yang mempunyai ciri-ciri keselamatan yang sempurna. Jika taman permainan di kawasan perumahan didapati tidak selamat untuk kanak-kanak, sila maklumkan kepada pihak berkenaan.
Di antara ciri keselamatan yang disarankan :
  • Ketinggian peralatan
    • Ketinggian peralatan tidak perlu lebih dari 8 kaki, dan jika lebih, "guard-rails" (tinggi di antara 38 inci) perlu dipasang.
  • Tapak permukaan dan kawasan untuk jatuh
    • Permukaan untuk jatuh perlu merangkumi 6 kaki mengelilingi peralatan permainan terutama di bawah dan di antara buaian, gelunsur dan lain-lain. Elakkan permukaan yang dibuat daripada "asphalt", konkrit, rumput dan tanah. Di antara permukaan yang selamat ialah:
      • Pasir (kedalaman 10 inci)
      • Serpihan kayu proses (kedalaman 12 inci)
      • Tikar-luar getah (rujuk American Academy of Paediatrics Public Education Brochure).
http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/PlaygroundSafety2.jpg
  • Jerangkap
    • Ruangan di antara 3.5 hingga 9 inci diperlukan supaya kanak-kanak tidak terperangkap kepala mereka. (Piawaian Keselamatan Taman Permainan SIRIM).
  • Skru dan pepaku yang menonjol
    • Risiko yang berkaitan merupakan tersangkut pakaian yang mengakibatkan tercekik dan tercucuk yang mengakibatkan luka pada badan dan mata.
  • Terjatuh/Terpintas
    • Pastikan tiada tapak konkrit yang terbiar, curaman, akar kayu atau batu yang boleh mengakibatkan mereka terjatuh atau terpintas.
  • Peralatan berkaitan dengan umur
    • Kanak-kanak pra-persekolahan dan bersekolah perlu diasingkan peralatan permainan mereka.
http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/PlaygroundSafety.jpg
Contoh kawasan permainan yang bahaya
Penyelengaraan taman permainan kanak-kanak
  • Pastikan taman permainan dibaiki dengan baik, tanpa bucu-bucu yang tajam atau bergeriji.
  • Tiada tapak permukaan yang terbiar.
  • Tiada peralatan yang telah lusuh atau hilang.
  • Besi, getah, plastik atau kayu telah diperkemaskan dan tidak mereput.
  • Permukaan perlu sentiasa diselenggara dan bebas dari bucu-bucu tajam.
  • Semua peralatan perlu dipasang selamat dengan permukaan tanah.
  • Semua peralatan perlu sentiasa perketatkan supaya tiada yang longgar.
Pengawasan kanak-kanak
  • Kanak-kanak perlu sentiasa diawasi di taman permainan.
  • Sediakan tempat duduk untuk ibubapa dan penjaga.
  • Perhatikan tingkah-laku seperti bergaduh, tolak-menolak, penggunaan peralatan diluar kawasan permainan yang disediakan.
  • Pastikan kanak-kanak tidak membawa basikal atau berkaitan ke dalam kawasan permainan supaya kemalangan dapat dielakkan.
  • Pastikan kanak-kanak berpakaian sesuai ketika berada di taman permainan untuk mengelakkan dari terjatuh dan pakaian atau rambut dari tersangkut dengan peralatan.

Amalan Kesihatan Pergigian Yang Baik

Kenapa penjagaan kesihatan pergigian penting?
Penjagaan kesihatan pergigian penting untuk mencegah kerosakan gigi dan penyakit gusi di kalangan kanak-kanak. Kesihatan pergigian yang baik membolehkan mereka mengunyah makanan dengan selesa dan bertutur dengan jelas.
Bagaimanakah cara menjaga kesihatan pergigian yang baik?
Amalan penjagaan kesihatan pergigian yang baik merangkumi 3 langkah pencegahan utama seperti berikut:
1. Penjagaaan kebersihan gigi yang baik :
  • http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/P4T1_gohp.gifBerus gigi sehingga bersih setiap hari terutama selepas makan dan sebelum tidur malam.
  • Guna ubat gigi berfluorida untuk kanak-kanak semasa memberus gigi. Picitkan ubat gigi sebesar biji kacang soya
    ( 5 mm ) sahaja untuk anak yang berumur 2 tahun ke atas.
  • Selia atau bantu anak anda memberus gigi sehingga mereka berumur 6 hingga 7 tahun.
  • Berkumur-kumur dengan segera selepas makan atau minum jika tidak berkesempatan memberus gigi.
  • Jangan berkongsi berus gigi.
  • Tukar berus gigi jika bulu berusnya mula kembang.
http://www.myhealth.gov.my/myhealth/bm/$public/story_images/child/P4T1_gohp2.gif
2. Makan secara sihat :
  • Makan makanan yang seimbang. Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.
  • Elakkan menambah gula ke dalam minuman kanak-kanak. Sekiranya menggunakan botol susu, pastikan minuman tersebut tidak mengandungi gula.
  • Jangan sekali-kali mencelup puting botol susu ke dalam gula atau manisan.
  • Elakkan minum minuman berkarbonat kerana kandungan gulanya tinggi.

Sumber: Kem. Kesihatan Malaysia


Estim Kendiri Pengaruhi Peribadi Kanak-kanak

Persepsi individu mengenai nilai diri bergantung pada asuhan ibu bapa, latar belakang keluarga, pengalaman awal dalam kehidupan seharian

"MAMA, saya rasa akan kalah, saya tak boleh buat." Bagaimana jika itu jawapan yang diberikan anak anda yang berusia empat tahun apabila anda memintanya menyertai pertandingan sukan.

Jangan marah dan memaksa mereka. Anak anda sebenarnya mungkin berhadapan dengan masalah estim kendiri (self-esteem) yang negatif.

Estim kendiri adalah persepsi individu mengenai nilai dirinya pada pandangan orang lain sama ada keluarga atau rakan. Estim kendiri penting bagi kanak-kanak dalam proses pembentukan dirinya. Memiliki estim kendiri yang positif membantu kanak-kanak membesar menjadi seorang dewasa yang berjaya dalam hidup.

Pensyarah Psikologi dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata kanak-kanak melalui tiga peringkat kehidupan iaitu zaman awal kanak-kanak (0 hingga empat tahun), zaman tengah kanak-kanak (empat hingga lapan tahun) dan zaman akhir kanak-kanak (lapan hingga 11 tahun).

“Apabila kanak-kanak semakin membesar, rasa estim kendiri itu membuatkan mereka berasa perlu untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan atau menyertai pasukan bola sepak sekolah atau apa saja perkara yang membuatkan mereka bangga,” katanya.

Bagaimanapun, pembentukan estim kendiri ini sebenarnya tidak sama bagi setiap kanak-kanak. Ia bergantung pada asuhan ibu bapa, latar belakang keluarga dan pengalaman awalnya dalam kehidupan seharian.

Justeru, walaupun bukan semua, tidak dinafikan ada kanak-kanak yang ibu bapa bercerai atau tidak mendapat layanan dan kasih sayang yang adil daripada mereka, cenderung memiliki estim kendiri yang negatif.

Malah, estim kendiri yang negatif juga boleh terjadi jika ibu bapa terlalu meletakkan sasaran tinggi dalam keputusan akademik, menjadi mangsa buli di sekolah atau guru yang terlalu cepat melabelkannya sebagai samseng, gangster atau nakal apabila dia membuat kacau di kelas.

Dr Mariani berkata, keadaan ini lebih jelas pada kanak-kanak genius atau kanak-kanak yang dihantar ke sekolah seawal usia empat tahun.

“Kanak-kanak yang dihantar awal ke sekolah, baik dalam pembinaan estim kendiri selagi jadual pembelajarannya tidak terlalu tertumpu pada akademik. Kanak-kanak yang terikat dengan akademik sejak empat tahun akan cepat berasa jemu dan apabila masuk ke sekolah rendah mula mengganggu kawan lain kerana dia sudah tahu apa yang diajar guru.”

“Apa yang diajar sama, mereka mula jemu dan mengganggu kawan. Guru pula cepat melabelkan mereka sebagai budak nakal atau samseng. Semua ini menjejaskan estim kendiri kanak-kanak itu,” katanya.

Anak-anak dengan estim kendiri yang negatif jika tidak ditangani akan menjejaskan pembesarannya dari sudut emosi. Dia tidak akan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, misalnya merasakan dia tidak cantik berbanding kawannya selain penuh dengan tanggapan negatif terhadap diri sendiri.

“Kanak-kanak yang memiliki estim kendiri yang negatif sentiasa berfikiran negatif dan sukar menyelesaikan masalah. Dia selalu berfikir dia tidak cukup bagus, dia tidak mampu berbuat apa-apa, pasif, menyendiri dan murung.

“Keadaan yang menjadi lebih buruk jika ibu atau bapa meletakkan label pada mereka. Misalnya, dia mengadu dia gagal peperiksaan, si ibu menambah ha, memang pun kau tu bodoh macam bapa kau,” katanya.

Dr Mariani berkata, meletakkan label kepada anak-anak menyebabkan mereka yang memiliki estim kendiri yang negatif lebih bersikap negatif.

“Kanak-kanak memang nakal dan memarahi mereka sebahagian daripada proses pendidikan. Anak yang dapat menerima kemarahan dengan baik, mungkin merajuk sikit selepas itu dia boleh berbaik semula dengan ibu bapa dan menerima kesalahannya adalah anak yang memiliki estim kendiri yang positif,” katanya.

Katanya, estim kendiri yang tinggi mempengaruhi pergaulan anak, misalnya dia aktif bersukan dan tidak takut bersaing dan penguasaan bahasanya tinggi berbanding anak yang memiliki estim kendiri yang negatif.

Pembinaan estim kendiri itu proses sepanjang hidup tetapi asas pembinaannya dibuat sejak kecil. Ia membantu kanak-kanak menguruskan isu-isu lain dalam kehidupan mereka.

Peranan ibu bapa dalam membentuk estim kendiri anak

  • Kanak-kanak dapat merasakan emosi di sebalik cara ibu bapa bercakap dengan mereka dan tingkah laku ibu bapa dengan mereka. Tunjuk dan beritahu anak anda menyayangi dan ambil berat mengenai mereka.

  • Memuji, memeluk mereka dan mengkritik dengan membina. Memuji juga dengan membina, misalnya, abang memang pandai tapi mama tahu kalau abang rajin baca buku abang akan jadi lagi pandai.

  • Jangan membezakan kasih sayang misalnya lebih menyayangi anak lelaki dan bersikap kasar dengan anak perempuan.

  • Jangan meletakkan label pada anak. Misalnya, kau ni lembap.

    Ciri-ciri anak dengan estim kendiri positif

  • Mudah bergaul

  • Boleh mendengar pendapat orang lain

  • Boleh dipertanggungjawabkan

  • Tidak takut mencuba perkara baru

    Ciri-ciri anak dengan estim kendiri negatif

  • Kenyataan dan jangkaan negatif

  • Tidak mahu mencuba benda baru

  • Rasa tidak disayangi

  • Menyalahkan orang lain atas kesilapannya

  • Tidak yakin dengan keupayaannya sendiri

  • Mudah dipengaruhi.

  • sumber: Oleh Hafizah Iszahanid (Berita Harian Online)