Followers

Thursday, August 14, 2008

Guru Oh Guru....( Usman Awang)

Berburu ke padang datar,
Dapat rusa belang kaki;
Berguru kepalang ajar,
Ibarat bunga kembang tak jadi.
(Dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum menjadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetlaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa saja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di lbu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakill seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulang ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Wednesday, August 13, 2008

VISI PRASEKOLAH SK LABU, BATU 10

VISI

Prasekolah Sekolah Kebangsaan Labu
Terus Maju dan Menjadi Prasekolah Cemerlang di Negeri Sembilan Menjelang 2012.

MISI

Bagi meningkatkan potensi individu ke arah menuju kecemerlangan kami akan:

  • Mewujudkan prasarana pendidikan yang lengkap dan kondusif di prasekolah
  • Menyediakan perancangan aktiviti dan pengajaran yang sistematik kepada semua kanak-kanak
  • Memupuk kanak-kanak agar menjiwai nilai murni dan sahsiah yang baik.
  • Melahirkan kanak-kanak yang mampu
  • menguasai aspek 2M,berkeyakinan diri dan berfikiran kreatif melalui pengajaran dan pembelajaran yang menggembirakan.
  • Memupuk nilai murni dan sahsiah yang baik di kalangan kanak-kanak.

Sunday, August 03, 2008

OBJEKTIF PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Menyediakan pengalaman pembelajaran kepada murid-murid yang berumur antara 4 hingga 6 tahun bagi menyuburkan potensi mereka dalam semua aspek perkembangan, menguasai kemahiran asas dan memupuk sikap positif sebagai persediaan masuk ke sekolah rendah.

Saturday, August 02, 2008

PENDIDIKAN PRASEKOLAH

Pendidikan Prasekolah merupakan satu pendidikan asas yang memberikan pengalaman awal yang penting dalam dunia persekolahan kanak-kanak. Ianya dapat membekalkan kanak-knak dengan kemahiran, keyakinan diri dan sikap yang positif.

Pendidikan Prasekolah menitikberatkan pendekatan "Belajar Melalui Bermain" yang mana programnya disesuaikan dengan tahap perkembangan kanak-kanak. Disamping itu prasekolah juga berfokuskan kepada perkembangan kanak-kanak yang menyeluruh, seimbang dan bersepadu.

Konsep Pendidikan Prasekolah adalah merupakan satu program yang menyediakan pengalaman pembelajaran kepada kanak-kanak yang berumur 4 – 6 tahun dalam jangka masa satu tahun atau lebih sebelum masuk ke Tahun Satu di sekolah formal.

FALSAFAH PENDIDIKAN KEBANGSAAN

Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.