Oleh: Zailani Zakaria & Asiah Munajam (2013).
Pendahuluan
Usia awal kanak-kanak
merupakan masa emas (golden ages), di mana 80% perkembangan otak kanak-kanak
mencapai kesempurnaan. Pada masa ini kanak-kanak
harus dirangsang dengan baik untuk membangunkan
kecerdasan pelbagai. Perkembangan dunia pendidikan mula membuat orang dewasa sedar
akan pentingnya pendidikan kanak-kanak sejak awal dan pelbagai sekolah juga
menggunakan pelbagai model pendekatan pembelajaran untuk menarik perhatian
kanak-kanak. Salah satu pendekatan pembelajaran yang digunakan ialah Pendekatan
Reggio Emilia.
Pendekatan Reggio Emilia bagi pendidikan
awal kanak-kanak telah menarik perhatian pendidik, penyelidik dan sesiapa saja
yang tertarik pada pendidikan awal kanak-kanak dengan amalan yang terbaik. Bahkan Persatuan Antarabangsa bagi Pendidikan Awal Kanak-Kanak (NAEYC) telah
menyemak semula dari amalan yang sesuai dengan tahap perkembangan (DAP). Garis
panduan ini juga disertakan contoh-contoh dari pendekatan Reggio Emilia. Ketika
ini, Pendekatan Reggio Emilia telah diterima pakai di Amerika Syarikat,
Britain, New Zealand, Australia dan banyak negara lain.
Pada tahun 1988 muncul dua orang tokoh
yang sinonim dengan pendekatan Reggio Emilia ialah Lella Gandini dan Baji Rankin. Lella Gandini merupakan seorang penulis dan guru
berbangsa Itali. Beliau melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat Phd. Kemudian beliau telah dilantik sebagai penasihat
kepada pendekatan Reggio Emilia dalam
Program Pendidikan Awal Kanak-kanak di Amerika Syarikat. Lella juga seorang penulis
dan editor kepada penerbitan dalam
Bahasa Inggeris dan Itali mengenai Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Cerita
Rakyat Itali. Baji
Rankin pula merupakan seorang Pengarah Eksekutif NMAEYC, agensi peneraju bagi T.E.A.C.H.
Early Childhood, New Mexico. Baji mengkaji Pendekatan Reggio Emilia dan
komited membina program pendidikan awal
kanak- kanak.
Pendekatan
Reggio Emilia percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui interaksi dengan orang
lain, termasuk ibu bapa, kakitangan dan rakan-rakan di persekitaran pembelajaran
yang aktif. Pendekatan Reggio Emilia melihat anak-anak mempunyai sikap berdaya
saing, kreatif, ingin tahu, imaginasi, intensif dan mempunyai keinginan untuk
berinteraksi dan berkomunikasi dengan orang lain.
Susur galur
perkembangan REA di Amerika Syarikat
Pada tahun
1988, Persidangan Tahunan National Association for the Education of Young
Children (NAEYC) telah diadakan dan dihadiri seramai 25 peserta khusus untuk membincangkan
pendidikan dan penjagaan awal menurut perspektif Itali. Lella Gandini
& Baji Rankin memberi input berkaitan sebuah bandar kecil di Utara Itali,
Reggio Emilia yang membangunkan pendekatan tersendiri untuk pendidikan dan
penjagaan awal kanak-kanak (1 tahun – usia prasekolah). Siri pameran
bergerak diadakan di New England, New York dan Massachusetts.
Kemudian pada tahun 1990, Filippini,
seorang pendidik Itali telah berkongsi idea baru mengajar kanak-kanak dalam
Persidangan NAEYC di Washington DC. Respon daripada orang ramai agar REA dapat
dilihat dan didengar secara lebih mendalam. Pada hari ini,
REA menjadi sumber rujukan dalam pendidikan dan penjaga awal kanak-kanak kepada
Amerika Syarikat dan negara-negara lain di dunia.
Sejarah Awal
Reggio Emilia di Amerika Syarikat
Pada tahun
1987, REA tiba di Amerika Syarikat melalui pameran bergerak. 1988,Pembentangan
REA di Persidangan Tahunan NAEYC.1990,Pendidik awal kanak-kanak Amerika
Syarikat melawat Regio Emilia dan mempelajari tentang REA dan pada tahun 1991
Prasekolah RE diiktiraf oleh Majalah ‘Newsweek’
sebagai ‘The Best in The World” sehingga
penghujung tahun 90-an REA masih menjadi pendebatan utama di antara AS guru,
pengarah program, pendidik awal kanak-kanak, penggubal dasar kerajaan, dan
ahli-ahli pertubuhan kebangsaan yang terlibat dengan pendidikan dan penjagaan
awal kanak-kanak.
Sejarah
Pendekatan Reggio Emilia
Kaedah atau
pendekatan pendidikan Reggio Emilia Approach (REA), terutama untuk kanak-kanak berbeza daripada pendekatan konvensional. Pendekatan REA ini komited dan mencipta
keadaan pembelajaran yang menggalakkan dan memudahkan kanak-kanak untuk membina
kekuatan berfikir sendiri melalui penggabungan seluruh bahasa ekspresi,
komunikasi, dan kognitif (Edward & Forman, 1993). REA ini adalah sebuah
sistem yang kompleks, namun sangat menarik perhatian dunia pendidikan
kanak-kanak selama 50 tahun terakhir ini. Pendekatan Reggio Emilia boleh dipandang
sebagai sumber atau inspirasi untuk membantu pendidik, orang dewasa, dan kanak-kanak
ketika mereka bekerjasama untuk membangunkan program pendidikan mereka sendiri.
REA diasaskan oleh Loris Malaguzzi
dan penduduk di kawasan sekitar Reggio Emilia di Itali selepas Perang Dunia Kedua.
Saat itu, kerana jumlah pekerja lelaki berkurangan akibat perang, para wanita
terpaksa menjadi tenaga kerja di kilang-kilang dan industri. Ditambah dengan
keadaan yang penuh dengan kehancuran dan
kemusnahan harta benda, penduduk Reggio Emilia merasa perlu ada pendekatan baru
terhadap cara mengajar anak-anak mereka. Mereka merasa bahawa pada tahun-tahun
awal perkembangan kanak-kanak mereka membentuk diri mereka sebagai seorang
individu. Bermula dari pemikiran inilah lalu diciptakan sebuah program yang
berprinsip rasa hormat, tanggungjawab dan kebersamaan melalui penerokaan di dalam
persekitaran yang menyokong dan memperkaya minat kanak-kanak.
Kurikulum REA
Visi
Reggio Emilia tentang kanak-kanak sebagai pelajar yang berkebolehan telah menghasilkan kanak-kanak yang cerdas mengikut
model kurikulum REA ini. Kurikulum yang dibina adalah berdasarkan kepada kepentingan
kanak-kanak. Topik untuk kajian diambil daripada perbualan kanak-kanak,
masyarakat atau keluarga melalui peristiwa, serta kepentingan yang diketahui kanak-kanak
misalnya takungan air, bayangan, dinosaur, dan lain-lain lagi.. Pasukan
perancangan adalah komponen penting dalam membuat kurikulum. Guru bekerjasama
untuk merumuskan hipotesis tentang kemungkinan arah dari suatu projek,
bahan-bahan yang diperlukan, dan mungkin orang dewasa dan sokongan serta
penglibatan masyarakat.
Kurikulum ini bertujuan untuk kemajuan
kanak- kanak tetapi kurang ruang lingkup dan urutan. Guru mengikuti kepentingan
kanak-kanak dan tidak memberikan arahan fokus dalam memberikan pengajaran.
Pendekatan Reggio Emila mempunyai keyakinan yang kuat bahawa kanak-kanak
belajar melalui interaksi dengan orang lain, termasuk ibu bapa, kakitangan dan
rakan-rakan di persekitaran belajar yang ramah.
Kanak-kanak digalakkan untuk
menggambarkan pemahaman mereka melalui salah satu dari bahasa simbolik,
termasuk gambar, patung, bermain drama, dan menulis. Mereka bekerja
bersama-sama menyelesaikan masalah-masalah yang timbul. Guru sebagai pemudah cara
dan kemudian mengamati perdebatan mengenai sejauh mana kanak-kanak mampu
menyelesaikan masalah. Semakan gambar (dan idea) dilakukan jika perlu, dan guru
membiarkan kanak-kanak untuk mengulangi kegiatan dan mengubah setiap hasil
kerja dalam tujuan kolektif pemahaman topik yang lebih baik. Guru terlibat
dalam proses penerokaan dan penilaian, dan memerhatikan semua hasil
perkembangan kanak-kanak dalam menyelesaikan masalah mengikut pemahaman mereka.
Teras kurikulum Reggio Emilia adalah
perancangan projek sebagai hasil dari minat kanak-kanak terhadap sesuatu
perkara. Projek ini terhasil dari pengalaman pertama yang dirancang oleh guru
untuk membantu kanak-kanak menjelajah adat budaya mereka atau persekitaran
fizikal sekitar mereka atau hasil dari kejadian spontan seperti idea
kanak-kanak atau soalan kepada guru. Hampir setiap pengalaman yang
membangkitkan minat kanak-kanak boleh menjadi asas projek. Projek dilakukan
secara mendalam dan terperinci, menggunakan variasi dalam kaedah penyelidikan
dan sebuah gambaran pilihan dan sebuah bentuk grafik. Untuk melengkapkan proses
penyiasatan atau penyelidikan melalui projek jangka panjang ini adalah
kreativiti kanak-kanak dalam menggunakan bahan untuk menunjukkan dan
menyampaikan pembelajaran mereka, menggunakan bahasa.
Setiap langkah aktiviti kanak-kanak,
guru memerhati, berbincang dan menafsirkan bersama hasil pemerhatian mereka, yang
seterusnya membuat pilihan yang baru untuk ditawarkan kepada kanak-kanak. Dengan
membincangkan dalam kumpulan dan memerhati semula pengalaman-pengalaman dan
idea-idea kanak-kanak akan membesar dengan pemahaman mereka.
(Dengan catatan bahawa banyak perkara
terjadi di dalam kelas selain melakukan projek, sementara projeknya sendiri
memerlukan sebahagian waktu dalam sehari. Waktu lain dihabiskan dalam aktiviti
prasekolah tradisional, misalnya permainan drama dalam ruang yang sebenar,
permainan angka, waktu membaca, menulis, bermain dengan penuh semangat ,
tanggung jawab di sekolah dan hanya bercakap dengan rakan-rakan).
Sokongan dan
Penglibatan Orang Dewasa
Reggio Emilia
menganggap kanak-kanak adalah penting
dalam masyarakat. Penglibatan masyarakat juga diperlukan sebagai ahli
jawatankuasa sekolah yang memberikan pengaruh ketara pada polisi kerajaan dan
daerah.
Ibu bapa sebagai 'cermin peranan
masyarakat', baik di peringkat sekolah mahupun peringkat kelas. Ibu bapa
diharapkan menyertai dalam perbincangan tentang polisi sekolah, perkembangan
kanak-kanak, kurikulum perancangan dan penilaian. Kerana majoriti ibu bapa yang
bekerja pada siang hari, pertemuan diadakan di malam hari sehingga semua dapat
ikut menyertai.
Beberapa Ciri
Utama Awal Kanak-Kanak dalam Program Reggio Emilia:
1. Peranan persekitaran
sebagai guru ketiga
a. Dalam
pendekatan Reggio Emilia, para pendidik sangat prihatin dengan apa yang ada di
persekitaran sekolah mereka dan dalam mengajar kanak-kanak. Oleh kerana itu,
perhatian yang sangat besar diberikan untuk ruang kelas. Hal ini sering merujuk pada
persekitaran sebagai guru ketiga.
b. Keindahan
estetika dalam kelas-kelas dianggap sebagai bahagian penting sebagai wujud dan
menghargai kanak-kanak serta persekitaran pembelajaran mereka.
c. Suasana
kelas yang ceria.
d. Guru mengatur
persekitaran yang menggalakkan kanak-kanak untuk melakukan penerokaan yang
panjang dan penyelesaian masalah, dibuat dalam kelompok kecil, di mana terdapat
kerjasama dan persaingan.
e. Dokumentasi hasil
kerja kanak-kanak, tanaman, dan koleksi yang telah mereka buat dipamerkan dalam
kelas.
2. Beberapa
Bahasa Simbolik Kanak-kanak
a. Seni
digunakan sebagai bahasa simbolik yang akan digunakan untuk mengekspresikan
pemahaman mereka dalam projek yang telah mereka lakukan.
b. Sesuai
dengan teori Howard Gardner mengenai kecerdasan majmuk, pendekatan Reggio
Emilia menggunakan integrasi seni grafik sebagai alat untuk mengembangkan
kecerdasan linguistik, sosial, dan kognitif.
c. Persembahan
konsep dan hipotesis dalam beberapa bentuk seperti cetak, seni, pembinaan,
drama, muzik, dilihat sebagai hal yang penting untuk pemahaman anak-anak.
3. Dokumentasi bersistematik
dan kolektif
a. Mendokumentasikan
dan memaparkan hasil kerja kanak-kanak, di mana kanak-kanak mengekspresikan,
membangun, dan membina perasaan serta idea-idea dan pemahaman mereka
b. Serupa
dengan pendekatan portfolio, dokumentasi hasil kerja kanak-kanak dalam proses
perkembangan dipandang sebagai alat penting dalam proses pembelajaran untuk kanak-kanak,
guru, dan ibu bapa.
c. Gambar kanak-kanak
terlibat dalam pengalaman, kata-kata mereka apabila mereka membincangkan apa yang mereka lakukan,
perasaan, pemikiran, tafsiran pengalaman kanak-kanak melalui media visual
dipaparkan sebagai persembahan grafik dinamik pembelajaran.
d. Guru bertindak
sebagai perakam untuk kanak-kanak,
membantu mereka melayari dan meninjau kembali kata-kata dan tindakan dengan menunjukkan apa yang telah mereka pelajari.
4. Projek
jangka panjang
a. Menyokong
dan memperkayakan anak-anak melalui projek jangka pendek (satu minggu) dan
jangka panjang (sepanjang tahun sekolah), di mana dalam mengerjakan projek ini
kanak-kanak akan memberi respons, dirakam, bermain, meneroka, membina dan menguji
hipotesis, dan menyatakan apa yang
terjadi.
b. Projek yang
berpusat pada kanak-kanak, mengikut minat mereka, akan menambah wawasan baru.
c. Selama
projek berlangsung, guru membantu kanak-kanak membuat keputusan tentang arah
kajian, cara-cara kumpulan akan melakukan penyelidikan terhadap topik, media
perwakilan yang akan menunjukkan dan memaparkan topik.
5. Guru sebagai
penyelidik
a. Peranan guru
dalam pendekatan Reggio Emilia sangat kompleks. Bekerja sebagai wakil guru,
peranan yang pertama dan utama adalah belajar bersama kanak-kanak. Guru adalah
penyelidik, sumber daya dan panduan apabila guru meminjamkan kemahiran mereka
kepada kanak-kanak.
b. Peranan guru
menjadi pendidik yang mendengar, melihat, dan mendokumentasikan pekerjaan dan
pertumbuhan kanak-kanak di dalam kelas dan merangsang pemikiran anak-anak.
c. Guru
mempunyai komitmen untuk menggambarkan bagaimana akan mengajar.
d. Di kelas,
guru bekerja berpasangan dan kerjasama, berkongsi maklumat dan memerhati bersama
pembantu.
6. Hubungan
Rumah dengan Sekolah
a. Kanak-kanak,
guru, ibu bapa dan masyarakat yang interaktif
serta bekerja sama.
b. Komunikasi
dan interaksi dapat memperdalam penyelidikan kanakk-anak dan membina teori tentang
dunia di sekitar mereka
c. Program
dalam pendekatan Reggio Emilia adalah berpusat pada keluarga. Visi dari
pendidikan didasarkan pada hubungan yang memberi tumpuan pada setiap
kanak-kanak dalam kaitannya dengan orang lain dan berusaha untuk menghidupkan
dan menyokong hubungan timbal balik kanak-kanak dengan kanak-kanak yang lain,
keluarga, guru, masyarakat, dan alam sekitar.
Prinsip
Pembelajaran
Pendidikan
berdasarkan pada komunikasi dalam hubungan guru -kanak-kanak, ibu bapa – kanak-kanak,
guru - ibu bapa. Hal ini mewujudkan
persekitaran belajar yang sangat kaya bagi semua pihak yang terlibat. Dalam
pendekatan Reggio Emilia, guru adalah seorang penyelidik dan sekolah dipandang
sebagai tempat kajian dan berkongsi
pembinaan nilai dan makna.
Pendekatan
Reggio Emilia banyak diterima sebagai program pra-sekolah.
A.
Prinsip-prinsip Reggio Emilia yang berpusat pada kanak-kanak.
1. Kanak-kanak
harus mempunyai kawalan atas pembelajaran mereka.
2. Kanak-kanak
harus dapat belajar melalui pengalaman menyentuh, bergerak, mendengar dan melihat.
3. Kanak-kanak
mempunyai hubungan yang rapat dengan kanak-kanak lain
4. Kanak-kanak
harus mempunyai peluang untuk mengekspresikan diri.
B. Pendekatan
Reggio Emilia memerhatikan perkembangan kanak-kanak dan hubungannya dengan
persekitaran mereka.
Ia dibahagikan kepada
tiga iaitu:
a. Peranan
persekitaran fizikal
Tujuan utama
dalam perancangan ruang baru dan pengubahsuaian yang lama merangkumi integrasi
dari kelas masing-masing dengan sekolah, dan sekolah dengan masyarakat.
Pentingnya persekitaran hidup terletak pada keyakinan bahawa anak-anak boleh
mewujudkan makna terbaik dan memahami dunia mereka melalui persekitaran yang
menyokong; kompleks, pelbagai, berterusan, dan mengubah hubungan antara manusia,
dunia pengalaman, idea-idea dan banyak cara untuk mengungkapkan idea. Ruang
atau tempat yang digunakan dan segala sesuatu harus boleh menarik dan mengundang
minat kanak-kanak namun tetap mengandungi unsur pendidikan. Kanak-kanak dan ibu
bapa juga bekerja sama untuk mengumpulkan dan menguruskan bahan-bahan permainan
di sekitar persekitaran yang akan digunakan.
b. Peranan alam
sekitar sebagai guru
Dalam REA, para
pendidik sangat memperhatikan persekitaran sekolah kerana persekitaran sekolah
ini juga berperanan sebagai mendidik para pelajar. Penampilan dan keadaan kelas
pun akhirnya menjadi keutamaan tersendiri pula. Bahkan, persekitaran sekolah
sering disebut sebagai guru ketiga. Keindahan dan keceriaan persekitaran di
dalam sekolah dianggap sebagai bahagian penting dari rasa hormat kepada pelajar
dan persekitaran pembelajaran mereka.
Suasana di dalam kelas ceria dan penuh
dengan kegembiraan. Guru mengatur agar persekitaran belajar menggalak dan
mencabar pelajar dalam eksplorasi dan penyelesaian masalah, biasanya dalam
kelompok-kelompok kecil di mana kerjasama dan perbezaan pendapat bercampur
namun tetap menyenangkan.
Hasil kerja kanak-kanak, atau tanaman
yang mereka tanaman, atau koleksi barangan yang dikumpulkan kanak-kanak dari
alam dipaparkan di kelas dan persekitaran sekolah agar boleh dilihat oleh
pelajar, guru dan ibu bapa. Terdapat kawasan bersama atau serba guna di sekolah
yang boleh digunakan oleh kanak-kanak untuk pelbagai aktiviti seperti
pementasan drama atau hanya berkumpul dengan kanak-kanak dari kelas lain untuk
belajar bersama.
C. Ibu bapa merupakan komponen penting dalam pendekatan ini.
Ibu bapa
dipandang sebagai rakan kongsi, penyumbang untuk anak-anak mereka. Guru
menghormati setiap ibu bapa sebagai guru pertama dan melibatkan mereka dalam
setiap aspek kurikulum. Hal ini dapat dilihat melalui penyertaan ibu bapa di
dalam kelas. Program Reggio Emilia menggabungkan prinsip-prinsip dalam mengasuh
kanak-kanak dan kehidupan rumah.
Peranan Guru
dalam Pendekatan Reggio Emilia:
a) Membina
pengetahuan dan pemahaman kanak-kanak.
b) Menggalakkan
agar kanak-kanak mengeluarkan idea-idea, cara menyelesaikan masalah dan
konflik.
c) Guru
digalakkan untuk memudahkan kanak-kanak belajar dengan aktiviti perancangan dan
pelajaran berdasarkan kepentingan kanak-kanak, mengajukan soalan untuk lebih
memahami, dan secara aktif terlibat dalam kegiatan bersama kanak-kanak,
bukannya duduk diam dan mengamati kanak-kanak belajar.
d) Menetapkan
kelas dan benda-benda yang ada di kelas agar menjadi tempat yang menyenangkan.
e) Menetapkan
jenis barang-barang di kelas agar dapat membantu kanak-kanak membuat keputusan
mengenai benda-benda yang akan digunakan.
f) mendokumentasikan
perkembangan kanak-kanak melalui visual, videotape, tape recorder, dan
portfolio.
g) Apabila melakukan
projek dengan kanak-kanak, guru juga dapat memperluaskan kanak-kanak belajar
dengan mengumpulkan data seperti gambar, nota, video, dan perbualan yang boleh
dimainkan semula di waktu lain.
h) Membantu
kanak-kanak melihat hubungan yang ada antara pembelajaran dan pengalaman yang
di dapatnya.
i) Guru perlu
tetap aktif, sentiasa bersama dalam kegiatan kanak-kanak untuk membantu
memastikan bahawa kanak-kanak memahami dengan jelas apa yang sedang;diajar.
j) Membantu kanak-kanak
mengekspresikan pengetahuan yang mereka dapatkan atau miliki melalui
bentuk-bentuk persembahan.
k) Membentuk
hubungan yang baik dengan guru-guru lain dan para ibu bapa.
Objektif
Pembelajaran Dalam Pendekatan Reggio Emilia:
a)
Menghubungkan kekuatan idea-idea dan hak-hak kanak-kanak, potensi, dan
sumber-sumber yang seringkali terabai.
b)
Memperkenalkan kajian, penyelidikan, eksperimen dalam pembelajaran dengan
konteks pembelajaran yang aktif, konstruktif dan kreatif.
c) Meningkatkan
profesionalisme guru, menyokong suatu kesedaran yang tinggi terhadap
nilai-nilai kerjasama dan kebermaknaan hubungan antara kanak-kanak dan
keluarganya.
d) Menjadikan
topik utama dari nilai-nilai penyelidikan, pemerhatian, interpretasi dan
dokumentasi dari pengetahuan yang dibina dari proses berfikir kanak-kanak.
e) mengatur
kunjungan terbimbing ke dalam program pendidikan, pameran budaya, seminar, dan
kursus-kursus dalam issue pendidikan dan budaya awal kanak-kanak
Struktur
Program
Tidak semua
kanak-kanak diharapkan dapat melakukan perkara yang sama dan perbuatan merekalah yang dinilai. Mereka melakukan
aktiviti dalam kumpulan-kumpulan kecil, sendiri, di dalam atau di luar, atau di
tengah bilik atau di serambi.
Di persekitaran prasekolah, kanak-kanak
dibahagi dalam kelas-kelas. Satu kelas terdiri daripada 25 kanak-kanak dengan 2
guru pendamping. Kumpulan ini terdiri dari kanak-kanak, guru-guru, dan
keluarganya yang terlibat bersama untuk 3 tahun masa sekolah. Kenaikan tingkat
kelas setiap tahun sesuai dengan keperluan kanak-kanak yang semakin bertambah
dan berdasar pada minat kanak-kanak.
Ketika pelaksanaan projek
berkembang, guru-guru berhati-hati dalam membuat kelompok-kelompok kecil,
biasanya tidak lebih dari 5 orang. Mereka percaya bahawa melakukan aktiviti dalam kumpulan kecil membolehkan kanak-kanak
untuk memahami rentak dan gaya berkomunikasi. Konflik yang berlaku tanpa kawan
sebaya-perlawanan, pembinaan semula
idea-idea dan hipotesis-hipotesis-terlihat tidak hanya sebagai kegiatan belajar
sosialisasi tapi sebagai sebahagian dari proses kognitif.
Keceriaan Kelas:
Banyak
perhatian diberikan untuk paparan dan keadaan kelas dalam pendekatan Reggio
Emilia. Tujuannya adalah untuk mencipta suasana yang menyenangkan, di mana kanak-kanak,
keluarga dan guru merasa difahami dan santai. Persekitaran dipandang sebagai
unsur penting daripada pendidikan dan merupakan cermin dari budaya sekolah dari
masa ke masa. Fokus pada persekitaran mewakili atau merupakan cermin kepada nilai-nilai estetika, organisasi, perhatian,
komunikasi dan interaksi.
Atelier
(Makmal)
Salah satu
inovasi utama dari pendekatan Reggio Emilia adalah Atelier, sebuah studio dan
makmal sekolah. Atelier adalah tempat untuk bereksperimen dengan bahasa visual
tertentu atau pun gabungan, dengan atau tanpa kombinasi dengan bahasa verbal.
Ada mini-ateliers di sebelah setiap kelas, yang digunakan untuk projek-projek
sambungan. Ateliers ini dilengkapi dengan tanah liat, kawat, cat, pena, kertas,
manik-manik, kerang dan pelbagai bahan kitar semula yang digunakan oleh kanak-kanak dalam jangka
pendek mahupun projek-projek jangka panjang dengan tujuan untuk mengekspresikan
seratus bahasa kanak-kanak.
Tujuan keceriaan kelas Reggio Emilia
adalah proses belajar dilakukan dalam suasana bermain yang menyenangkan, tanpa
tekanan dan paksaan, dan anak-anak berada dalam lingkungan eksplorasi yang
sangat kaya. Mereka menjadi seniman, ahli sejarah, penyelidik, dan lain-lain,
kegiatan yang membuktikan bahawa sebenarnya - apabila diberi kesempatan kanak-kanak
akan menunjukkan kepintaran mereka.
Kesimpulan
Teras kurikulum
Reggio Emilia adalah perancangan projek sebagai hasil dari minat kanak-kanak
terhadap sesuatu perkara. Projek ini terhasil dari pengalaman pertama yang
dirancang oleh guru untuk membantu kanak-kanak menjelajah adat budaya mereka
atau persekitaran fizikal sekitar mereka atau hasil dari kejadian spontan
seperti idea kanak-kanak atau soalan kepada guru. Prinsip pembelajaran Reggio
Emilio terdiri dari 3 asas utama iaitu pendidikan yang berpusat pada anak dan memperhatikan perkembangan
kanak-kanak serta hubungannya dengan persekitaran mereka yang dibahagikan
kepada dua iaitu peranan persekitaran fizikal dan peranan persekitaran sebagai guru.
Selain itu, ibu bapa juga merupakan
komponen penting dalam pendekatan Reggio Emilia di mana dalam penyusunan kelas
yang berasaskan Reggio Emilia, proses belajar dilakukan dalam suasana bermain
yang menyenangkan, tanpa tekanan dan paksaan, dan kanak-kanak berada dalam
lingkungan eksplorasi yang sangat banyak. Mereka menjadi seniman, ahli sejarah,
penyelidik, dan lain-lain aktiviti yang membuktikan bahawa sebenarnya - apabila
diberi kesempatan kepada kanak-kanak, mereka akan menunjukkan kepintaran mereka.
Sumber Rujukan:
Roopnarine, J.L. & Johnson, J.E. 2005. Approaches to Early Chilhood Education. 4th edition. Ohio: Prentice Hall.
Informasi yang sangat menarik dan berguna untuk mencari pendekatan baru dalam meningkatkan kualiti P&P kanak-kanak. Terima kasih.
ReplyDeleteTerima kasih cikgu ani, di atas panduan untuk memahami lebih mendalam tentang model REA.
ReplyDeleteSama2...semoga kita semua mendapat manfaat daripada bahan2 yang saya kongsi ini....
ReplyDelete