Followers

Wednesday, June 30, 2010

Perlu bijak tangani anak hiperaktif

Oleh Siti Zarinah Sahib

2010/06/30

"ANAK saya tak macam anak orang lain. Terlalu aktif, sehingga sukar dikawal," begitu luahan seorang ibu mengenai anak lelakinya yang termasuk dalam golongan kanak-kanak hiperaktif.

Ramai ibu bapa sukar memahami perlakuan anak hiperaktif sedangkan ini amat penting bagi membantu ibu bapa mengendalikan anak mereka dengan baik.

Anak hiperaktif sukar duduk diam, kurang memberi tumpuan kepada sesuatu perkara dan bertindak spontan mengikut kehendak hati serta sukar mengasingkan maklumat yang diterima.

Ibu bapa yang memiliki anak hiperaktif tidak seharusnya kecewa atau menyesal mengenainya, sebaliknya bersyukur dan menganggapnya suatu anugerah dan ujian daripada Allah SWT.

Anak hiperaktif sangat aktif daripada segi fizikal dan mental berbanding kanak-kanak lain. Ingatan mereka kuat, tetapi kelemahan mereka adalah cepat bosan dan kurang memberi fokus kepada sesuatu perkara yang akan menjejaskan ingatan jangka panjang mereka.

Selain mereka lebih pintar dan lebih kreatif berbanding rakan seusianya, mereka bersifat berani. Inilah yang sering menjadi kebimbangan ibu bapa kerana anak hiperaktif jarang mempertimbangkan akibat tindakan yang dilakukannya sama ada membahayakan dirinya atau orang lain.

Oleh itu, kanak-kanak hiperaktif memerlukan pengawasan rapi serta perhatian yang lebih daripada ibu bapa.

Ibu bapa perlu meluangkan lebih banyak masa bersama mereka untuk melayani kerenah yang kadang-kadang di luar jangkaan dan memalukan.

Perkataan yang diungkapkan anak hiperaktif ditambah dengan sifat umum kanak-kanak yang suka berterus terang boleh memalukan rakan di dalam sesetengah keadaan.

Walaupun jika difikirkan, memang apa yang diperkatakan mereka ada kebenarannya, tetapi kebiasaannya tidak berlapik.

Contohnya dengan kata-kata 'Eh, orang tu tak tutup aurat!' di hadapan seorang wanita Muslim, menjadikan ibu bapa malu walaupun ia benar.

Kanak-kanak hiperaktif suka berkawan. Mereka cepat bosan jika tiada kawan untuk berkomunikasi dan bermain. Ibu bapa hendaklah menyediakan dan merancang aktiviti yang pelbagai bagi mengatasi sifat cepat bosan mereka.

Berikut 10 panduan yang diambil daripada sumber www.blog.rahsiaanakpintar.com mengenai cara menangani anak hiperaktif.

1. Disiplinkan anak hiperaktif dari awal dan jangan terlalu mengikut kecenderungan mereka supaya sikap hiperaktif mereka tidak terarah kepada perkara negatif.

2. Sentiasa berwaspada dalam mengawasi anak-anak hiperaktif kerana ada kalanya tindakan mereka membahayakan diri sendiri. Segera menegur dan menasihati anak hiperaktif sekiranya apa yang mereka lakukan bakal mendatangkan akibat buruk.

3. Meluangkan lebih banyak masa untuk berkomunikasi dengan mereka. Jangan sekali-kali menampakkan kebencian kita terhadap mereka walaupun sikap dan tingkah laku mereka kadangkala memalukan serta mencetuskan perasaan marah.

4. Bersabar dan tidak bertindak memukul mereka sekiranya melakukan kesalahan atau melanggar peraturan yang kita tetapkan. Sebaliknya cuba memberi nasihat secara rasional.

5. Tukar perkataan 'jangan' kepada ayat yang lebih mendorong mereka mengikut arahan. Contohnya apabila mereka berlari-lari di dalam rumah, biasanya ibu bapa akan menjerit, "jangan lari", cuba tukarkan kepada perkataan "Farid, boleh tak berjalan, kalau lari nanti jatuh". Apa yang penting, jangan jemu memberi teguran.

6. Jangan mengungkap kata-kata negatif seperti "Kenapa la kamu ni nakal sangat", "Bodoh" atau seumpamanya kepada anak hiperaktif kerana kata-kata ibu bapa adalah doa kepada mereka.

7. Pelbagaikan aktiviti bagi mengelak kebosanan. Ibu bapa perlu kreatif untuk menyediakan aktiviti atau memberi tugas mudah bagi menyibukkan mereka di dalam aktiviti yang bermanfaat. Contohnya, pelihara ikan dan menanam bunga.

8. Cari kelebihan dalam diri mereka dan garap ke arah yang betul. Contohnya jika mereka bijak menghafal dialog di dalam televisyen, ajak mereka menghafal ayat pendek di dalam al-Quran. Hafaz ikut gaya iklan kegemaran atau ikut rentak nasyid (untuk permulaan hafazan).

9. Usaha berterusan mendidik anak hiperaktif hendaklah dilakukan tanpa jemu walaupun ia lebih sukar dan mencabar berbanding kanak-kanak lain. Jangan berputus asa.

10. Dapatkan nasihat pakar sekiranya tahap hiperaktif anak anda membimbangkan.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/myMetro/articles/Perlubijaktanganianakhiperaktif/Article