Followers

Sunday, December 06, 2009

Guru tuntut imbuhan

Oleh MARZITA ABDULLAH

ALIMUDDIN MOHD DOM

Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru mata pelajaran Bahasa Malaysia pula dituntut oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.

Cadangan itu dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan apatah lagi mereka mengajar bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditanya berhubung perkara tersebut berjanji untuk menimbang dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.

Namun kata beliau, pada masa ini kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk bagi membayar BISP kepada guru-guru yang lain.

Pada masa ini guru-guru yang menerima BISP ialah guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.

``Kita juga perlu memikirkan kewajarannya dan nanti ada pula guru-guru mata pelajaran lain yang turut menuntut perkara yang sama,’’ katanya.

Sesi dialog bersama Ketua Pengarah Pelajaran tersebut merupakan lanjutan daripada sesi penerangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadiri lebih 1,000 warga pendidik dari seluruh negara.

Sesi dialog yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut mendengar pelbagai masalah lain termasuk masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar.

Seorang guru besar dari Selangor mempersoalkan tentang tempoh perpindahan yang singkat guru bahasa Inggeris dari kawasan bandar ke luar bandar.

``Guru bahasa Inggeris dari bandar ini cantik, ada kereta besar, suami pangkat besar tetapi tidak lama di sekolah luar bandar kerana telah minta ditukarkan ke sekolah bandar,’’ katanya.

Justeru beliau mencadangkan agar pihak kementerian mengambil guru dari kawasan luar bandar untuk mengajar mata pelajaran tersebut kerana hanya guru-guru sedemikian yang boleh memahami dan menerima keadaan persekitaran itu.

``Hanya orang luar bandar sahaja yang boleh membantu pelajar luar bandar,’’ katanya.

Pada sesi dialog tersebut pelbagai cadangan turut dikemukakan oleh golongan guru termasuk mengenai tempoh mengajar yang lebih lama untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan tempoh mengajar yang singkat untuk mata pelajaran lain.

Turut ditanya ialah mengenai kegagalan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa Malaysia dan penggunaan sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Melayu untuk mata pelajaran tersebut.

Selain itu turut dipersoalkan ialah kewajaran memberi BISP secara wang tunai kepada guru-guru terbabit sebaliknya mencadangkan agar pemberian baucar buku kepada mereka.

Dalam pada itu Alimuddin berkata, semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh golongan pendidik akan diberi pertimbangan yang serius.

Berhubung pelbagai isu yang berbangkit mengenai perkara baru yang diperkenalkan selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, kementerian mempunyai tempoh dua tahun lagi yang membolehkan pelbagai cadangan dikaji untuk manfaat warga pendidikan semua.

Sumber: Portal Pendidikan Utusan: Ruangan Isu Semasa

Wednesday, November 25, 2009

Guru Berijazah Mengajar di Prasekolah

Oleh Sariha Mohd Ali, Syuhada Choo Abdullah dan Khairul Azran Hussin
bhnews@bharian.com.my

Pengajar terlatih pendidikan awal atasi masalah kuasai 3M

KERAJAAN akan mengambil guru berkelulusan ijazah untuk mengajar prasekolah pada masa depan dalam usaha menyediakan guru terlatih bagi pendidikan awal kanak-kanak, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata, Kementerian Pelajaran turut mengambil langkah menyediakan guru berijazah untuk semua sekolah rendah bagi mendidik murid Tahun Satu hingga Tahun Enam.

Muhyiddin berkata, langkah menyediakan guru terlatih ini boleh mengurangkan masalah penguasaan 3M iaitu membaca, menulis dan mengira di kalangan pelajar.

"Ini satu pendekatan yang kita percaya boleh mengubah situasi pendidikan dalam negara untuk meningkatkan kualiti pembelajaran prasekolah dan sekolah rendah," katanya ketika menjawab soalan tambahan Dr Tan Seng Giaw (DAP-Kepong).

Berikutan itu, Muhyiddin berkata, pengusaha prasekolah swasta juga perlu mematuhi kualiti guru yang disediakan di institusi masing-masing.

Katanya, pemantauan akan dibuat dari semasa ke semasa, termasuk mengadakan pemeriksaan mengejut terhadap prasekolah sektor swasta bagi memastikan ia mematuhi dasar serta menggunakan Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang dikuatkuasakan sejak 2003.

"Bagaimanapun, kerajaan tidak berhasrat menyekat sebarang usaha penambahbaikan dilakukan pengusaha prasekolah swasta selagi ia tidak bercanggah dengan dasar," katanya.

Menjawab kekeliruan Dr Tan mengenai perbezaan antara pendidikan prasekolah dan Permata Negara, Muhyiddin berkata, Permata Negara adalah program asuhan dan didikan awal kanak-kanak sebelum mereka memasuki prasekolah.

"Projek contoh sudah dijalankan di beberapa tempat di seluruh negara dan hasilnya memang baik, malah kementerian akan mengembangkannya secara berperingkat.

"Ini satu lagi cabaran besar kepada kementerian menyediakan tenaga pengajar terlatih bagi membimbing anak yang masih kecil, bukan saja untuk prasekolah tetapi juga pendidikan awal kerana mereka memerlukan bimbingan khusus," katanya.

Terdahulu ketika menjawab soalan asal Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) mengenai langkah menjadikan pendidikan prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara, Muhyiddin berkata, kerajaan sudah menetapkan prasekolah antara bidang keberhasilan utama Kementerian Pelajaran.

Bagi mencapai sasaran itu, katanya, strategi komprehensif dirancang, termasuk menambah baik kurikulum prasekolah dan cadangan 50 peratus waktu interaksi dalam bahasa Inggeris.

Beliau berkata, sebanyak 4,194 kelas prasekolah baru akan dibina menjelang 2012.

Muhyiddin berkata, kerajaan menyasarkan meningkatkan 67 peratus penyertaan kanak-kanak berumur lima tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta tahun ini kepada 87 peratus menjelang 2012.

Berita Harian Online: 3 November 2009

11 000 Pembantu Guru diperlukan

Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my

Laksana tugas perkeranian, kokurikulum

KUALA LUMPUR: Kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan bagi meringankan beban guru yang terpaksa menjalankan 'kerja sosial' di luar tugasan seperti mengemas kini rekod, logistik, kegiatan kokurikulum dan ada antaranya menjalankan kerja penyelenggaraan bangunan sekolah.

Ketika ini, 380,000 guru dikatakan tidak mampu fokus kepada pengajaran di kelas disebabkan terpaksa menjalankan kerja luar tugasan yang dianggap beban tambahan.


Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata jika cadangan itu dilaksanakan, pekerja am ini mengurangkan beban guru serta sebagai persiapan awal menjayakan rancangan program penilaian prestasi sekolah yang dijangka pada 2010 atau 2011.

Katanya, kini sudah ada pembantu guru tetapi cuma disediakan untuk kelas pendidikan khas di sekolah tertentu, sedangkan pembantu itu patut disediakan pada semua 10,000 sekolah di seluruh negara.

"Jika ini dilaksanakan, setiap sekolah akan menerima pembantu guru mengikut jumlah murid.

"Guru tidak lagi perlu memikirkan soal 'kerja sosial' dan boleh fokus kepada pengajaran di dalam kelas dan tidak perlu habiskan banyak masa jalankan tugas di luar bidang kerja.

"Tugas mengajar yang lebih penting, tiada guru yang mahu muridnya gagal, tetapi jika terlalu banyak beban, mereka akan kepenatan dan hilang fokus.

"Bagaimana nak mengajar, sudah tentu kualitinya merosot," katanya pada sidang media di sini, semalam.

Turut hadir Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng dan pemimpin kanan NUTP. Sebelum itu, beliau menghadiri Seminar Pendidikan NUTP yang membincangkan mengenai Penilaian berasaskan sekolah dan Transformasi Pendidikan.

Pembantu guru paling ideal atau minimum diperlukan ialah nisbah 500 (murid): 1 (pembantu) dan berdasarkan jumlah murid serta pelajar mencecah 5.5 juta orang, pembantu guru diperlukan ialah 11,000.

Hashim berkata, pembantu guru tidak mencampuri tugas mengajar, cuma membantu guru dari aspek lain termasuk kegiatan kokurikulum seperti urusan mengendalikan latihan, pertandingan sukan atau aktiviti persatuan.

"Jika tugas itu dijalankan pembantu, tidak timbul masalah kelas ditunda atau digantikan guru lain yang semestinya tidak mengajar di kelas ganti kerana berlainan subjek," katanya.

NUTP juga meminta kerajaan menangguhkan sementara cadangan mewajibkan pelajar lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat mendapatkan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menyifatkan guru tidak mencukupi dan belum tiba masanya untuk dilaksanakan.

"Kena kaji masalah guru di luar bandar. Kita perlukan guru pengkhususan Bahasa Inggeris, bukan setakat tangkap muat. Ini tidak menjamin kualiti, bagaimana ajar murid sedangkan guru pun tak cukup bagus, " katanya.

Berita Harian Online: 21 Jun 2009

Wujud Jawatan Pembantu Guru

KUALA LUMPUR 21 Jun - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah-sekolah bagi menjalankan tugas sosial terhadap pelajar yang sebelum ini terpaksa dilaksanakan guru-guru sendiri.

Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, langkah itu bagi memastikan guru-guru dapat memberi perhatian kepada tugas-tugas mengajar sahaja.

''Sebelum ini mereka terpaksa menguruskan hal-hal sosial pelajar seperti kokurikulum, urusan dokumen pelajar dan aspek luar kelas yang lain, jadi dengan adanya pembantu, mereka tidak dibebankan lagi dengan tugas seperti itu,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penilaian Berasaskan Sekolah dan Transformasi Pendidikan anjuran NUTP di sini hari ini.

Hashim berkata, buat masa sekarang, jawatan tersebut sudahpun diwujudkan sejak lima tahun lalu namun hanya untuk guru-guru kelas pemulihan khas.

Katanya, kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan di sekolah-sekolah dengan nisbah seorang pembantu guru bagi 500 pelajar.

''Langkah ini akan menjamin kualiti pengajaran guru-guru dapat dipertingkatkan terutama apabila kerajaan kini mahu memberi perhatian untuk memperkukuhkan beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu di kalangan pelajar.

''Langkah mewujudkan jawatan ini juga penting apabila berlaku transformasi pendidikan termasuk apabila kerajaan melaksanakan penilaian berdasarkan sekolah kelak,'' katanya.

Menyentuh mengenai cadangan mewajibkan calon SPM lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris, Hashim berkata, NUTP menyokong penuh jika ia dilaksanakan kelak.

Namun, katanya, kementerian perlu mencari mekanisme yang boleh menjamin bahawa langkah tersebut tidak akan menjejaskan pelajar itu sendiri jika gagal menguasai bahasa itu dengan baik.

Utusan Malaysia Online: 22 Jun 2009

Fokus: Bebanan Tugas Guru

Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my


Kementerian perlu lantik pembantu guru selesaikan kerja perkeranian

TANGGUNGJAWAB hakiki guru adalah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan sempurna, bagaimanapun perkhidmatan mereka dikatakan terjejas kerana sebahagian masa digunakan untuk menyelesaikan tugas perkeranian.

Isi guru sarat dengan beban sampingan bukan perkara baru kerana ia pernah dibangkit dan dibincangkan sebelum ini, malah turut dikatakan sebagai antara faktor menyebabkan ada guru mengalami stres.

Berikutan itu, pelbagai cadangan dikemukakan bagi mengatasi masalah itu, antaranya meminta kementerian mewujudkan jawatan pembantu guru, antara lain bertanggungjawab membantu tugas guru di bilik darjah.

Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arshad, berkata 25 persatuan dan kesatuan guru pernah berbincang mengenai cadangan itu dengan Kementerian Pelajaran, September lalu.

"Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail menyatakan jawatan pembantu guru akan dipertimbangkan, namun selepas pemergian beliau, ia seolah-olah tiada kesinambungan dan kami masih menunggu jawapan hingga kini.


SEKOLAH Pendidikan Khas lebih memerlukan khidmat pembantu guru berbanding sekolah lain.

"Jika jawatan itu diwujudkan, ia akan dapat memantapkan lagi persiapan guru untuk mengajar, selain tumpuannya fokus terhadap perkembangan pelajar.

"Sekarang, jika ditanya atau mempersoal mutu P&P, pelbagai alasan guru berikan antaranya faktor masa tidak mencukupi kerana sebahagian masa dihabiskan membuat tugas perkeranian," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Beliau berkata, nisbah ideal seorang pembantu guru mengelolakan dua kelas dan jika perlu ia berdasarkan kapasiti sebenar sesebuah sekolah.

Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan), Setapak, Che Fatimah Che Abdullah, berkata melantik pembantu guru perlu disegerakan kerana sudah terlalu lama ia diuar-uarkan tetapi tiada sebarang keputusan.

Penerima Anugerah Pengetua Cemerlang 2008 itu berkata, jika jawatan itu diwujudkan, jumlahnya perlu mencukupi terutama di sekolah pendidikan khas untuk membantu guru mengajar pelajar kurang upaya.

"Berbeza dengan sekolah biasa, penyediaan bahan peperiksaan di sekolah khas cacat penglihatan perlu dibuat satu persatu kerana menggunakan tulisan 'braille' dan jika ada gambar rajah, guru perlu buat sendiri.

"Proses ini memakan masa sehingga ada guru terpaksa menyelesaikannya hingga larut malam dan mengorbankan hari minggu untuk menghasilkannya, selain tugas menjalankan tugas rutin.

Seorang guru di selatan tanah air yang hanya mahu dikenali sebagai Akila berkata, tugas perkeranian seperti pengurusan fail peribadi pelajar, rekod masalah ponteng, persediaan peperiksaan, pengurusan buku kokurikulum, tugas menaip minit mesyuarat serta laporan aktiviti sekolah, membersihkan bengkel, pemfailan bank soalan perlu diserahkan kepada petugas lain.

Selain itu, tugas pendaftaran, urusan kewangan (pungutan yuran) juga perlu dilakukan pembantu supaya guru benar-benar dapat menumpukan perhatian terhadap proses P&P.

Tanpa pelbagai perkara remeh yang memerlukan masa untuk diselesaikan itu, katanya, guru tiada lagi alasan untuk tidak memberikan komitmen penuh terhadap kualiti penyampaian masing-masing.

Sementara itu, seorang guru Sains di sebuah sekolah di Klang yang enggan namanya disiarkan berkata, kerja perkeranian kini seolah-olah tugasan rutin guru, sedangkan tanggungjawab sebenar menjalankan proses P&P.

Walaupun kerja perkeranian mudah, katanya, ia kadangkala terpaksa dibuat sewaktu mengajar, contohnya melengkapkan urusan kesihatan serta pelbagai rekod berkaitan pelajar.

"Ada ketika berlaku kecemasan, pembelajaran terhenti kerana guru perlu menyelesaikannya. Jika ada pembantu, kelas dapat diteruskan dan ini tidak merugikan pelajar.

"Contoh lain, apabila ada sesuatu dasar baru dilaksanakan, guru juga perlu membuat penilaian dan laporan terhadap setiap pelajar, ia memerlukan masa untuk mengumpul semua data. Ini mengganggu tumpuan terhadap proses P&P," katanya.

Berita Harian Online: 24 Ogos 2009

Usaha Wujud Jawatan Pembantu Guru dalam Proses Perbincangan: Alimuddin

KEMENTERIAN dalam proses perbincangan untuk mewujudkan jawatan pembantu bagi mengurangkan bebanan guru yang selama ini terpaksa membuat kerja perkeranian.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata usaha itu juga selaras dengan pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkasakan Bahasa Inggeris menjelang 2012.

Beliau berkata, pihaknya perlu mendapatkan pandangan semua pihak berkaitan sebelum melaksanakannya, termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, persatuan dan kesatuan guru, pakar pendidikan, pengetua serta guru besar.

“Jika dilaksanakan, untuk peringkat awal, sekolah luar bandar, pinggiran bandar serta yang mempunyai ramai pelajar akan diberi keutamaan.

“Begitu juga kelas dengan ciri tertentu, antaranya sesak dan berprestasi sederhana yang mana gurunya memerlukan bantuan untuk mengendalikan pelajar.

“Kelas bersaiz kecil dan berprestasi tinggi tidak memerlukan khidmat pembantu kerana guru sendiri tidak mempunyai banyak masalah mengajar kerana jumlah pelajar sedikit, selain cemerlang,” katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.

Dalam hal ini, beliau berkata, guru dan pembantu juga boleh berbincang mengenai bahan bantu mengajar perlu disediakan sebelum kelas bermula bagi memantapkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran.

Mengenai pengambilan, Alimuddin menjelaskan kementerian akan merekrut pembantu guru itu dengan memberi latihan dalam tempoh beberapa bulan sebelum mereka memulakan tugas.

“Kerjaya mereka mungkin tidak sebagai pembantu guru selamanya kerana setelah beberapa tahun berkhidmat, peluang turut diberi untuk menjadi guru.

“Sebenarnya usaha ini sudah dijalankan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom. Kita akan jadikannya sebagai model pelaksanaan,” katanya.

Berita Harian Online: 24 Ogos 2009

35 000 Murid Tidak Tahu Membaca dan Menulis

Oleh Mohd Roji Abdullah
mdroji@bharian.com.my

Kerajaan sasar 85 peratus ikuti prasekolah pada 2012

PARIT RAJA: Kementerian Pelajaran mengenal pasti kira-kira 85,000 murid tahun satu masih belum mampu membaca dan menulis, kata Timbalan Menterinya, Dr Mohd Puad Zarkashi.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan mensasarkan 85 peratus kanak-kanak mengikuti kelas prasekolah pada 2012 berbanding hanya 65 peratus sekarang.

"Kementerian Pelajaran sedang berusaha mencapai sasaran 85 peratus itu dulu dan apabila ia menjadi kenyataan, kita akan meletakkan sasaran baru iaitu memastikan setiap kanak-kanak tidak kira di mana di seluruh negara, mendapat pendidikan prasekolah.

"Kami akan bekerjasama dengan pihak lain khususnya Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah untuk menyediakan akses pendidikan yang berkualiti, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Pameran Patriotisme dan Kenegaraan 1 Malaysia anjuran Fakulti Sains, Sastera dan Warisan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), di sini, petang kelmarin.

Pada majlis itu, beliau turut melancarkan dua buku terbitan UTHM bertajuk Darjat Tidak Datang Bergolek: Langit Mana Patut Dijunjung' dan Modul Kenegaraan dan Pembangunan Malaysia.

Mohd Puad berkata, pihak kementerian kini sedang mengkaji pendekatan sesuai untuk memastikan lebih ramai kanak-kanak di kawasan pedalaman mendapat pendidikan prasekolah.

Katanya, walaupun kerajaan belum menetapkan sasaran 100 peratus kanak-kanak seawal usia lima tahun mengikuti pendidikan prasekolah, langkah awal harus diambil untuk memastikan masyarakat pedalaman juga mendapat pendidikan yang sempurna.

Berita Harian Online: 12 September 2009

Tugas Tambahan Jejas Keupayaan Guru

Oleh Azrul Affandi Sobry

Penambahan jawatan staf sokongan amat penting untuk beri fokus tugas mengajar

AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Apa tidaknya, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti � 'sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

Berita harian Online: 29 September 2009

8838 Murid Gagal Kuasai 2M

Oleh Nasuha Badrul Huzaini
bhnews@bharian.com.my

Jabatan Pendidikan Pahang rangka program sesuai atasi masalah

KUANTAN: Seramai 8,838 pelajar sekolah rendah di kawasan bandar dan luar bandar di negeri ini dikesan gagal menguasai kemahiran menulis dan membaca (2M) sehingga menyebabkan mereka menghadapi masalah pengajaran dan pembelajaran dalam kelas.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, berkata daripada jumlah itu, 4,091 pelajar terdiri daripada pelajar Tahun Satu, 2,786 pelajar Tahun Dua dan 1,961 pelajar Tahun Tiga.

“Mengikut statistik dikeluarkan Jabatan Pelajaran negeri, kami mendapati jumlah pelajar yang gagal menguasai kemahiran itu adalah tinggi dan pihak jabatan sudah mengambil tindakan sewajarnya seperti merangka program yang bersesuaian bagi membantu mereka menguasai kemahiran 2M.

"Antara langkah yang diambil adalah dengan mengadakan kelas pemulihan untuk pelajar bermasalah itu dan pihak kami mendapat kerjasama guru pelatih dari maktab perguruan di Lipis bagi tujuan berkenaan.

"Ini penting kerana setiap pelajar Tahun Satu perlu menguasai kemahiran itu bagi membolehkan mereka melangkah ke Tahun Dua dan seterusnya," katanya pada sidang media selepas merasmikan Kem Membaca 1Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Panglima Perang Tengku Muhammad di sini, kelmarin.

Beliau berkata, kegagalan pelajar menguasai kemahiran 2M itu juga menjadi cabaran terbesar kepada guru di negeri ini dan beliau berharap mereka dapat mencari pendekatan yang sesuai bagi mengatasi masalah itu.

"Kementerian Pelajaran menetapkan kemahiran membaca sebagai petunjuk prestasi utama (KPI) dan sasaran yang ditetapkan adalah memastikan semua pelajar yang akan memasuki Tahun Empat mampu menguasai kemahiran 2M itu menjelang tahun 2012.

"Pihak jabatan yakin kami mampu mencapai sasaran yang ditetapkan pihak kementerian itu supaya P&P dapat dijalankan secara berkesan," katanya.

Sementara itu, beliau juga menyarankan supaya hubungan erat antara ibu bapa dan guru dapat dipupuk bagi membolehkan segala masalah berkaitan pelajaran pelajar dapat diselesaikan dengan baik.

"Ibu bapa harus mendidik anak mereka supaya mencintai ilmu pengetahuan dan guru pula berperanan penting dalam proses pembelajaran dan pengajaran, maka kerjasama kedua-dua pihak ini penting bagi menghasilkan pelajar yang berkualiti," katanya.

Berita Harian Online: 4 November 2009

Fokus: Pendidikan Prasekolah

Oleh Khairina Yasin
kayrina@bharian.com.my

PENDIDIKAN prasekolah penting bagi membolehkan kanak-kanak menguasai pengetahuan dan kemahiran asas sejak awal.

Kanak-kanak perlu kuasai pengetahuan, kemahiran asas sebelum memasuki alam persekolahan formal


MENJADIKAN prasekolah sebahagian daripada sistem pendidikan negara bagi mengukuhkan kemahiran bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak sejak awal wajar kerana ia bukan saja dapat mencapai matlamat itu, malah mengimbangi penguasaan pengetahuan asas ketika mereka memasuki alam persekolahan formal.

Fenomena kini, ada sebahagian murid tidak menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira) sekalipun sudah belajar di Tahun Enam kerana ketinggalan dalam pembelajaran, antara lain dikatakan berpunca pencapaian dan penguasaan kemahiran berbeza sejak memasuki Tahun Satu lagi.

Sehubungan itu, pelaksanaan prasekolah untuk semua kanak-kanak sebelum memasuki alam persekolahan sebenar disifatkan mampu membantu perkembangan pendidikan seterusnya, di samping memudahkan proses pengajaran guru di bilik darjah.

Langkah itu juga memberi kesedaran pelbagai pihak, terutama ibu bapa supaya mementingkan pendidikan awal serta mengubah sikap mereka sebelum ini yang memandang ringan terhadap keperluan memberi pendidikan itu.

Kepentingan pendidikan prasekolah tidak dinafikan seperti kata tokoh akademik, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, ia adalah permulaan memasuki dunia pendidikan yang mampu memberi kesan positif kepada proses tumbesaran.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, usaha kerajaan itu adalah langkah pembaharuan terhadap perkembangan pendidikan prasekolah negara.

Malah beliau yakin ia mampu melahirkan murid lebih matang apabila memasuki alam persekolahan, sekiranya penambahbaikan dilakukan terhadap kurikulum dan tenaga pengajar pendidikan peringkat berkenaan.

Bagi mencapai matlamat itu, beliau berkata, keperluan prasarana bagi memenuhi keperluan pendidikan prasekolah juga wajar ditingkatkan dengan memberi keutamaan kawasan luar bandar.

“Kita tidak mahu jurang antara kawasan bandar dan luar bandar semakin melebar jika kemudahan prasarana prasekolah tidak diagihkan dengan seadil-adilnya.

“Sekiranya wujud kekangan dari segi peruntukan sekali pun, kerajaan harus memastikan kawasan luar bandar menerima akses kemudahan itu terlebih dulu berbanding bandar.

“Aspek penyediaan guru prasekolah yang berwibawa juga penting bagi memastikan amalan dan pendekatan pengajaran yang kreatif dan menyeronokkan sesuai dengan peringkat umur kanak-kanak,” katanya kepada Berita Harian.

Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin, menyatakan bahawa kerajaan bakal melaksanakan prasekolah bertujuan meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan kanak-kanak sejak awal.

Mengenai perkembangan prasekolah semasa, pelbagai pihak menjalankan program pendidikan peringkat berkenaan, antaranya iaitu Kementerian Pelajaran dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

Berdasarkan perangkaan, Kementerian Pelajaran melaksanakan program prasekolah di lebih 3,000 daripada kira-kira 7,000 sekolah rendah seluruh negara.

Sementara Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah menerusi Jabatan Kemajuan Masyarakat pula menyediakan 8,316 Taman Bimbingan Kanak-kanak bagi memastikan kanak-kanak luar bandar tidak tercicir dalam pendidikan awal.

Ia juga banyak disediakan pihak swasta bagai cendawan tumbuh selepas hujan dengan mewujudkan kemudahan itu hampir di setiap kawasan perumahan terutama di bandar.

Dari segi keseragaman penguasaan pengetahuan dan kemahiran asas pula, Guru Tahun Satu, Sekolah Kebangsaan USJ 20, Subang Jaya, Selangor, Zurihan Mohd Yusoff, berkata prasekolah penting bagi menentukan perkembangan pendidikan seterusnya.

Beliau berpengalaman 20 tahun mengajar murid Tahun Satu berkata, kanak-kanak perlu mendapatkan pendidikan prasekolah kerana ia memantapkan keupayaan dan persediaan mereka memasuki alam persekolahan formal.

Sambil mengakui wujud perbezaan ketara antara kanak-kanak mengikuti prasekolah berbanding yang tidak menerima pendedahan itu ketika memasuki Tahun Satu, beliau berkata:

“Murid gagal menguasai kemahiran asas membaca dan menulis dengan baik dikenal pasti adalah mereka yang tidak mengikuti prasekolah.

“Keadaan ini menyebabkan mereka terpaksa mengikuti kelas pemulihan bagi menguasai kemahiran berkenaan.

“Pada masa sama, mereka juga berdepan dengan kesukaran untuk bersosial antaranya bersikap malu dan takut bergaul dengan rakan lain.”

Berbanding murid mengikuti prasekolah, Zurihan berkata, mereka lebih berani, selesa, mudah mengikuti proses pembelajaran, mampu berkomunikasi dengan baik, selain menguasai kemahiran asas.

Justeru katanya, usaha kerajaan itu mampu mengubah situasi berkenaan, sekali gus membantu kanak-kanak lebih bersedia memasuki Tahun Satu dan mengatasi masalah penguasaan 3M.

Berita Harian Online: 3 Ogos 2009