"MAMA, saya rasa akan kalah, saya tak boleh buat." Bagaimana jika itu jawapan yang diberikan anak anda yang berusia empat tahun apabila anda memintanya menyertai pertandingan sukan.
Jangan marah dan memaksa mereka. Anak anda sebenarnya mungkin berhadapan dengan masalah estim kendiri (self-esteem) yang negatif.
Estim kendiri adalah persepsi individu mengenai nilai dirinya pada pandangan orang lain sama ada keluarga atau rakan. Estim kendiri penting bagi kanak-kanak dalam proses pembentukan dirinya. Memiliki estim kendiri yang positif membantu kanak-kanak membesar menjadi seorang dewasa yang berjaya dalam hidup.
Pensyarah Psikologi dari Jabatan Psikologi Pendidikan dan Kaunseling, Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Mariani Md Nor, berkata kanak-kanak melalui tiga peringkat kehidupan iaitu zaman awal kanak-kanak (0 hingga empat tahun), zaman tengah kanak-kanak (empat hingga lapan tahun) dan zaman akhir kanak-kanak (lapan hingga 11 tahun).
“Apabila kanak-kanak semakin membesar, rasa estim kendiri itu membuatkan mereka berasa perlu untuk mendapat gred yang baik dalam peperiksaan atau menyertai pasukan bola sepak sekolah atau apa saja perkara yang membuatkan mereka bangga,” katanya.
Bagaimanapun, pembentukan estim kendiri ini sebenarnya tidak sama bagi setiap kanak-kanak. Ia bergantung pada asuhan ibu bapa, latar belakang keluarga dan pengalaman awalnya dalam kehidupan seharian.
Justeru, walaupun bukan semua, tidak dinafikan ada kanak-kanak yang ibu bapa bercerai atau tidak mendapat layanan dan kasih sayang yang adil daripada mereka, cenderung memiliki estim kendiri yang negatif.
Malah, estim kendiri yang negatif juga boleh terjadi jika ibu bapa terlalu meletakkan sasaran tinggi dalam keputusan akademik, menjadi mangsa buli di sekolah atau guru yang terlalu cepat melabelkannya sebagai samseng, gangster atau nakal apabila dia membuat kacau di kelas.
Dr Mariani berkata, keadaan ini lebih jelas pada kanak-kanak genius atau kanak-kanak yang dihantar ke sekolah seawal usia empat tahun.
“Kanak-kanak yang dihantar awal ke sekolah, baik dalam pembinaan estim kendiri selagi jadual pembelajarannya tidak terlalu tertumpu pada akademik. Kanak-kanak yang terikat dengan akademik sejak empat tahun akan cepat berasa jemu dan apabila masuk ke sekolah rendah mula mengganggu kawan lain kerana dia sudah tahu apa yang diajar guru.”
“Apa yang diajar sama, mereka mula jemu dan mengganggu kawan. Guru pula cepat melabelkan mereka sebagai budak nakal atau samseng. Semua ini menjejaskan estim kendiri kanak-kanak itu,” katanya.
Anak-anak dengan estim kendiri yang negatif jika tidak ditangani akan menjejaskan pembesarannya dari sudut emosi. Dia tidak akan berpuas hati dengan apa yang dimiliki, misalnya merasakan dia tidak cantik berbanding kawannya selain penuh dengan tanggapan negatif terhadap diri sendiri.
“Kanak-kanak yang memiliki estim kendiri yang negatif sentiasa berfikiran negatif dan sukar menyelesaikan masalah. Dia selalu berfikir dia tidak cukup bagus, dia tidak mampu berbuat apa-apa, pasif, menyendiri dan murung.
“Keadaan yang menjadi lebih buruk jika ibu atau bapa meletakkan label pada mereka. Misalnya, dia mengadu dia gagal peperiksaan, si ibu menambah ha, memang pun kau tu bodoh macam bapa kau,” katanya.
Dr Mariani berkata, meletakkan label kepada anak-anak menyebabkan mereka yang memiliki estim kendiri yang negatif lebih bersikap negatif.
“Kanak-kanak memang nakal dan memarahi mereka sebahagian daripada proses pendidikan. Anak yang dapat menerima kemarahan dengan baik, mungkin merajuk sikit selepas itu dia boleh berbaik semula dengan ibu bapa dan menerima kesalahannya adalah anak yang memiliki estim kendiri yang positif,” katanya.
Katanya, estim kendiri yang tinggi mempengaruhi pergaulan anak, misalnya dia aktif bersukan dan tidak takut bersaing dan penguasaan bahasanya tinggi berbanding anak yang memiliki estim kendiri yang negatif.
Pembinaan estim kendiri itu proses sepanjang hidup tetapi asas pembinaannya dibuat sejak kecil. Ia membantu kanak-kanak menguruskan isu-isu lain dalam kehidupan mereka.
Peranan ibu bapa dalam membentuk estim kendiri anak
Ciri-ciri anak dengan estim kendiri positif
Ciri-ciri anak dengan estim kendiri negatif
sumber: Oleh Hafizah Iszahanid (Berita Harian Online)
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.