Apabila anak berbohong secara kerap ia adalah petanda awal masalah yang lebih serius.
KANAK-KANAK berbohong. Inilah satu kenyataan yang perlu dihadapi oleh kebanyakan ibu bapa. Tiada arahan atau galakan diperlukan.
Berbohong seakan sudah sebati dalam jiwa sesetengah kanak-kanak. Memperbesarkan masalah, memutar-belitkan kebenaran, mereka cerita dan menafikan kenyataan adalah antara yang akan dilakukan sewaktu bercakap bohong.
Namun, jika kekerapan seseorang anak berbohong menjadi kompulsif dan tanpa sebab, ibu bapa mungkin perlu 'campur tangan'.
Apabila kitaran penipuan bermula, ia akan menghilangkan kepercayaan orang lain terhadap si anak, sekali gus menyukarkan kitaran tidak sihat ini dihentikan.
Oleh sebab itulah, ibu bapa perlu bertindak meneroka sebab anak berbohong dan perlu mencari jalan penyelesaian untuk memperbaiki tabiat buruk itu.
Mungkin ramai yang tidak tahu berbohong juga adalah petanda awal kepada masalah yang lebih serius.
Berbohong cara kompulsif biasanya dikaitkan dengan penderitaan anak ekoran gangguan masalah sosial pada peringkat awal. Khasnya akibat penyakit Gangguan Hiperaktif dan Kurang Daya Tumpuan (ADHD) dan gangguan perilaku.
Dalam sesetengah kes, tabiat berbohong secara kompulsif turut disertakan dengan masalah kelakuan yang lain. Ini termasuk mencuri, ponteng sekolah, bersikap ganas, agresif dan kemahiran bersosial yang lemah.
Masalah seperti ini biasanya bercambah daripada rasa tidak selesa dalam situasi bersosial, bertindak secara spontan dan tidak menumpukan perhatian.
Apabila berlaku situasi seperti ini, penglibatan pakar-pakar kaunseling misalnya, amat penting untuk membantu kanak-kanak ini. Kaunselor-kaunselor dapat menolong melengkapkan ibu bapa dengan gaya mendidik serta pemahaman terhadap anak yang lebih spesifik.
Mengapa berbohong?
Terdapat beberapa sebab mengapa kanak-kanak bercakap bohong secara kompulsif.
Takut
Perasaan takut adalah pendorong biasa untuk seseorang memberanikan diri berbohong. Takut dimarahi ibu atau takut kebebasan yang diberikan akan dirampas. Ketakutan yang rasional atau tidak juga boleh memberi kesan pembohongan serupa. Sebab apa yang diimpikan oleh anak hanyalah 'perlindungan' sementara daripada hukuman.
Namun, terdapat dua perkara penting di sini. Pertama, anak yang berbohong besar kemungkinannya tahu mereka telah melakukan sesuatu kesalahan. Kedua, ibu bapa perlu menerima pembohongan itu kerana anak sememangnya takut berdepan dengan reaksi mereka.
Tidak hairanlah apabila teriakan bertalu-talu, sikap pemarah dan ibu bapa yang terlalu melindungi anak membuatkan mereka ketakutan. Memberi peluang untuk berkompromi dan mendengar sebelum menyalahkan anak membolehkan komunikasi dua hala berlangsung.
Tabiat
Kata orang, semakin kerap kita mempraktikkan sesuatu, semakin mudahlah ia bertukar menjadi satu tabiat. Begitu juga dengan bercakap bohong. Pembohongan berulang biasanya diperkukuhkan dengan pendekatan yang agresif. Salah satu kaedah paling efektif untuk menyelesaikan pembohongan berkala adalah memberi peluang kepada anak untuk menarik balik kata-kata bohong itu. Ini harus dilakukan tanpa rasa takut akan akibat yang bakal dihadapinya.
Meniru
Sebahagian besar anak 'terpanggil' untuk berbohong setelah melihat orang lain melakukannya. Dilema yang dihadapi oleh ibu bapa adalah mampukah mereka melindungi anak daripada berbohong. Seandainya sukar untuk ibu bapa mengawal anak daripada meniru pembohongan di luar rumah, maka buangkanlah tabiat berbohong anda terlebih dahulu. Lebih berkesan jika mereka tidak meniru tabiat berbohong di rumah dan menjadikannya tabiat.
Perlukah saya menghukum?
Terdapat beberapa perkara yang perlu ibu bapa pertimbangkan sebelum menjatuhkan hukuman ke atas kesalahan anak.
1. Hukuman sememangnya direka untuk mengurangkan perilaku yang teruk. Masalahnya, hukuman tanpa kasih sayang dan arahan yang betul adalah sia-sia. Dalam sesetengah situasi, hukuman pula menyumbang kepada tindakan melampau dan penderaan.
2. Menghukum anak atas pembohongan yang berobjektifkan ketakutan atau akibat meniru bukan satu kaedah efektif dalam jangka masa panjang. Sebaliknya, mengenal pasti punca masalah adalah lebih praktikal berbanding berdepan dengan simptom-simptomnya.
3. Hukuman patut dijadikan pilihan terakhir dan bukan dilakukan mengikut emosi. Penggunaan bahasa dan pendekatan yang lebih lembut biasanya lebih berkesan. Beritahu anak dalam nada rendah seperti, "Tahu tak, mak dan ayah rasa kecewa apabila Atan berbohong?"
Yang penting, ketahuilah niat setiap ibu bapa adalah untuk melihat anak bercakap benar. Justeru, gunakanlah pendekatan yang lebih baik agar anak belajar daripada kesilapannya.
nnn Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://webhome.idirect.com/~readon/lies.html.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.