Followers

Sunday, November 13, 2011

Bacakanlah buku pada anak

Perkembangan intelektual kanak-kanak merujuk kepada proses keupayaan pembelajaran yang diperolehinya semasa dia membesar. Sesetengah ibu bapa mungkin tertanya mengapa anak-anak rakan mereka lebih bijak daripada anak mereka walaupun menghadiri tadika yang sama.


Atau pun mengapa kanak-kanak lain yang berumur setahun telah mula bercakap sedangkan anak mereka tidak. Anda harus ingat bahawa setiap kanak-kanak berkembang pada kadar yang berbeza. Namun, jika anda mengesan perkembangan anak anda adalah lebih perlahan, terdapat beberapa ujian yang diguna oleh pakar psikologi untuk menilai perkembangan intelektual (IQ) anak anda.
Ujian-ujian yang lazim digunakan:

  1. - Stanford-Binet
  2. - Ujian kecerdasan minda Peabody Picture
  3. - Ujian kosa kata Bayley Scales of
Kecerdasan diwarisi?

Ramai beranggapan bahawa otak dan seterusnya, kecerdasan ditentukan oleh genetik. Namun, kajian baru menunjukkan perkembangan otak kanak-kanak boleh dipengaruhi oleh persekitaran semasa zaman kanak-kanaknya seperti pemakanan, perubatan, emosi, dan sokongan intelektual yang optimum. Otak seseorang kanak-kanak mudah terpengaruh dengan pengalaman yang berbeza dan seterusnya menyebabkan perkembangan otak dalam cara yang berbeza. Apabila anak membesar, keupayaannya untuk menguasai bahasa, menyelesaikan masalah, dan berinteraksi dengan orang lain dipengaruhi oleh pengalamannya semasa dia masih kecil. Pengalaman yang baik akan membantu perkembangan otak yang baik, sementara pengabaian dan penderaan akan menyebabkan kanak-kanak lebih cenderung kepada pelbagai masalah seperti IQ yang lebih rendah ataupun gangguan emosi.

Ibu bapa adalah penjaga anak, justeru mereka merupakan individu utama untuk membantu anak belajar dan berkembang dari segi mental. Rangsangan dan interaksi merupakan aspek yang paling penting untuk perkembangan otak. Berikut adalah cara-cara yang boleh menggalakkan anak anda untuk belajar dan berkembang dengan baik:

1. Apabila dia mula "bercakap". Anak anda sering memerhatikan gerak-geri anda kerana dia tertarik kepada pelbagai bunyi yang dihasilkan oleh peti suara anda. Balas bunyi-bunyian anak anda dan berikan senyuman, bercakap dengannya dan namakan objek yang anda pegang atau biasa dimain olehnya. Membaca bersama juga membantu anak mempelajari kepentingan bertutur, walaupun dia masih tidak faham atau tidak dapat mengulangi perkataan-perkataan tersebut.

2. Apabila dia mula menunjukkan minat terhadap apa yang dilihat. Anak anda ingin tahu tentang perkara di sekitarnya. Galakkan sifat ingin tahu anak dan membantu merangsangkan pemikiran dan pembelajarannya dengan menggunakan alat permainan seperti blok yang berbeza bentuk dan warna. Tunjukkan gambar-gambar haiwan, buah-buahan, sayur-sayuran atau kenderaan kepadanya. Anda juga boleh menceritakan kepadanya tentang perkara yang dialami oleh anda setiap hari.

3. Apabila dia mula bergerak. Anda boleh membantu merangsang sensasi sentuhannya menggunakan objek atau alat permainan yang berlainan tekstur, saiz dan bentuk. Anda juga boleh menggantung alat mainan bergerak pada katil bayi untuk membantu memperkembangkan kemahiran motor anak dengan menggalakkan pergerakan tangan dan kakinya semasa dia cuba menyentuh objek tersebut. Apabila dia mencapai umur 13-17 bulan, anda boleh memegang tangannya dan berjalan bersama-sama sambil membenarkan dia menerokai alam sekelilingnya. Cuba memberi peluang kepadanya untuk berjalan sendiri, tetapi anda harus memastikan persekitaran tersebut adalah selamat untuk berbuat demikian.


Pemakanan

Selain daripada rangsangan dan interaksi, pemakanan yang sihat adalah penting untuk pertumbuhan dan perkembangan otak. Sesetengah nutrien seperti phospholipids, omega 3 dan omega 6, docosahexaenoic acid (DHA) dan arachidonic acid (AA) penting untuk perkembangan otak yang baik. Nutrien-nutrien ini terdapat dalam soya, telur, ikan berlemak seperti tuna dan sardin, serta walnut.
Taurine, choline dan zat besi adalah micronutrien yang penting untuk menyambung rangkaian antara sel-sel otak. Sumber makanan yang mengandungi nutrien termasuk kekacang, sayuran berdaun hijau, bijirin penuh, brokoli, kuning telur dan daging.
Nutrien lain yang turut penting seperti antioksidan (lutein, selenium, vitamin A, C dan E) dan zink, adalah berfungsi untuk melindungi sel-sel otak. Anda boleh memperolehi nutrien ini daripada buah-buahan dan sayur-sayuran, teh, prun dan juga keju.
Jangan lupa anak anda perlu makan pelbagai jenis makanan untuk mendapatkan semua nutrien yang diperlukan untuk tumbesaran dan perkembangan. Produk susu adalah sumber makanan yang baik yang mengandungi pelbagai nutrien. Ibu harus mendapatkan formula susu yang telah dan diuji secara saintifik di kalangan kanak-kanak.


Profesor Dr. Norimah A. Karim ialah pakar pemakanan dan Woo Pei Jun merupakan pensyarah serta pakar psikologi perkembangan.

  1. Rencana ini adalah sumbangan Program Pemakanan di bawah Program Asuhan Positif oleh Persatuan Pediatrik Malaysia dengan kerjasama Persatuan Pemakanan Malaysia, dan disokong oleh geran pendidikan daripada Abbott Nutrition International. Untuk maklumat lanjut, sila ke laman web www.mypositiveparenting.org.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.