3 perkara utama terap ilmu kepenggunaan
PUTRAJAYA 28 Mei - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan akan memfokuskan tiga perkara utama dalam menerapkan ilmu kepenggunaan di kalangan murid prasekolah.
Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, fokus tersebut adalah amalan pemakanan sihat, pemuliharaan alam sekitar dan pengurusan kewangan berhemah.
"Bagaimanapun di peringkat awal pembelajaran, kementerian akan lebih menumpukan kepada amalan pemakanan sihat bagi menjamin kanak-kanak membesar dengan tubuh yang sihat dan kuat," katanya dalam ucapan penutup Program Pengguna Cilik Yang Celik, di sini hari ini.
Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha kementerian itu, Datin Mahani Tan Abdullah.
Ismail Sabri berkata, pendidikan kepenggunaan memainkan peranan yang amat penting dalam membina asas perlindungan kendiri di peringkat prasekolah.
Katanya, ini kerana murid prasekolah ibarat permata yang perlu digilap bagi menentukan hala tuju negara pada masa depan.
"Sehubungan itu, konsep penerapan ilmu kepenggunaan bakal menggunakan kaedah belajar sambil bermain. Ia sesuai dengan sifat semulajadi kanak-kanak yang suka bermain, mempunyai perasaan ingin tahu dan suka mencuba sesuatu yang baru," katanya.
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.