STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA
KEPADA KANAK-KANAK PRASEKOLAH
Oleh:
Zailani Zakaria, Mohd Zafaren Zakaria, Zuraydah Zainal, Siti Hajar Saaidah & Hamidah Misdar
Latihan Ilmiah untuk Program Sarjana Pendidikan Prasekolah
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor (2012)
ABSTRAK
Kertas
konseptual ini membincangkan beberapa strategi pengajaran kemahiran membaca
kepada kanak-kanak prasekolah. Memandangkan isu ketidakbolehbacaan dalam
kalangan kanak-kanak prasekolah tidak pernah selesai, maka wajarlah isu ini
dibincangkan secara lebih mendalam bagi menambah baik stategi pengajaran yang
sedia ada. Dua isu yang diutarakan dalam kertas konseptual ini ialah berkenaan murid
yang tidak minat mempelajari kemahiran membaca dan masalah murid yang boleh
membaca tetapi tidak memahami maksudnya. Tiga strategi pengajaran kemahiran membaca turut
dibincangkan iaitu mengajar membaca melalui kaedah fonik, mengajar membaca
melalui teori kecerdasan pelbagai, dan mengajar membaca melalui penggunaan
perisian multimedia. Sehubungan itu, beberapa implikasi dan cadangan diutarakan
bagi membantu para guru, ibu bapa dan golongan yang terbabit dengan dunia awal
kanak-kanak sebagai satu usaha membantu mereka memilih strategi yang sesuai dan
berkesan untuk mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak prasekolah.
Kata
kunci: Strategi
pengajaran, kanak-kanak prasekolah, kemahiran membaca.
Abstract
This
conceptual paper discusses a few strategies pertaining to the teaching of
reading skills among preschoolers. Since the issue of illiteracy among these
students has not been resolved, this issue should be further discussed to
improve the teaching and learning strategies. Two main issues are discusses in
this conceptual paper. The first one is regarding the pupils who have no
interest in learning how to read and the other is the problem of not
understanding what is read. Three
teaching strategies pertaining to reading are discussed, which are; teaching
reading through phonics, teaching reading through multiple intelligence and
teaching reading through multimedia courseware. In connection with this, a few
implications and ideas have been proposed in this paper to help teachers,
parents and those who are involved in early childhood education. It is hoped
that this paper would shed some light on how to go about teaching reading
skills to the preschoolers.
Keywords:
Teaching Strategies, Preschool Children, Reading
Skill.
PENGENALAN
Membaca merupakan
aktiviti penting dalam kehidupan manusia. Maklumat yang diperolehi melalui
pembacaan dapat digunakan sebagai panduan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka
(Tamam Timbang et al. 2010). Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada aspek
yang diberi tumpuan utama dalam Tunjang Komunikasi dalam Kurikulum Standard
Prasekolah Kebangsaan 2010 dan perlu dikuasai kanak-kanak sebelum mereka
menamatkan pendidikan prasekolah. Husin Fateh Din & Nazariyah Sani (2012)
juga menerangkan Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat
kemahiran bahasa yang penting dalam proses pembelajaran bahasa dan merupakan
lanjutan daripada kemahiran asas mendengar dan bertutur. Yahya, Roselan &
Naffi (2009) dalam Yahya Othman et al. (2012) menyatakan bahawa belajar membaca
merupakan asas penting dalam penguasaan kognitif dan persekitaran sosial
manusia.
Oleh kerana itu,
setiap kanak-kanak prasekolah mesti menguasai kemahiran membaca sebelum mereka
melangkah ke alam pendidikan formal. Khairuddin Mohamad (2011) berpendapat
kemampuan murid membaca dan memahami sesuatu bahan sangat berkait dengan
kejayaan dan keberkesanan sistem pendidikan kita masa kini. Namun demikian, isu
membaca tidak pernah lapuk untuk diperkatakan biarpun masyarakat kita mengalami
arus perubahan dalam dunia globalisasi, serta bergelumang dengan dunia
teknologi maklumat dan perkomputeran, namun hakikat kepentingan membaca tidak
boleh diabaikan Mohd Sofee (2007) dalam Tamam Timbang et al. (2010). Menurut Khairuddin
Mohamad (2011), masalah ketidakupayaan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca
kini menjadi antara agenda besar negara dalam Hala Tuju Program Transformasi
Kerajaan. Sebanyak 93 peratus rakyat Malaysia celik huruf namun begitu negara
masih berdepan dengan masalah literasi apabila pada tahun 2008 terdapat 13
peratus daripada enrolmen murid tahun satu belum menguasai kemahiran literasi.
Justeru
itu, strategi pengajaran berkesan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan
kanak-kanak hendaklah diaplikasikan semasa mengajar kanak-kanak membaca. Menurut
Yahya Othman et al. (2012), kemahiran membaca yang dikuasai di sekolah membantu
pelajar membaca dengan berkesan. Beliau juga menyatakan untuk mencapai matlamat
tersebut, kaedah mengajar yang sesuai perlu diamalkan oleh guru agar proses
penguasaan kemahiran tersebut dapat berlaku dengan mudah dan berkesan. Untuk
mencapai objektif agar semua murid mampu membaca dengan berkesan, maka pada
peringkat awal persekolahan kaedah membaca yang digunakan perlu sesuai dengan
kemampuan dan minat murid agar memberikan impak kepada proses pembelajaran. Menurut Yahya Othman (2012)
dalam kajiannya, kaedah fonik merupakan salah satu
kaedah mengajar asas membaca yang sesuai diaplikasikan pada peringkat
prasekolah dengan harapan memudahkan lagi penguasaan asas membaca dalam
kalangan kanak-kanak prasekolah.
MENGAJAR
MEMBACA MELALUI KAEDAH FONIK
Isahak Haron (1979) telah memperkenalkan kaedah gabungan bunyi kata. Perkataan bunyi kata mutakhir ini kemudiannya telah ditukar kepada
fonik. Dengan kerjasama Jabatan Pendidikan
Negeri Terengganu, kaedah ini dijalankan
secara rintis di beberapa buah sekolah. Melalui kaedah ini secara amnya,
kanak-kanak terus diperkenalkan kepada bunyian suku kata seperti “ba, bi, bu” (Sabrina
Abdul Rahim 2010). Kaedah ini juga telah
mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam dan diguna pakai di seluruh prasekolah di negara
tersebut. Guru-guru yang terlibat menyatakan lebih berminat menggunakan kaedah
tersebut berbanding kaedah abjad.
Bahasa
Malaysia mempunyai banyak perkataan yang terbahagi kepada suku kata tersendiri
yang tidak menggunakan “blending”. Oleh itu, ramai guru dan pengkaji
menyarankan penggunaan kaedah bunyi suku kata untuk mengajar membaca di
peringkat awal (Isahak. 1979; Nooraihan. 1984; Nik Eliani. 1997; Sabrina Abdul
Rahim. 2010; Sheerman et al. 2006; Howard P. Parette et al. 2009). Melalui
kaedah ini, kanak-kanak akan lebih mudah
mengenal huruf dan suku kata yang tersebut. Menurut Ishak Haron (1976),
kanak-kanak diperkenalkan kepada abjad sebelum diajar bunyian kepada abjad
tersebut. Kemudian mereka diajar bunyi kepada cara mengeja bagi hampir setiap
suku kata yang boleh dibentuk dari abjad tersebut. Seterusnya, barulah murid
diperkenalkan kepada perkataan yang menggunakan kombinasi ejaan suku kata
tersebut, seperti “buku, kaki, kubu” (Sabrina Abdul Rahim 2010) dan (Yahya
Othman et al. 2012).
Kaedah fonik
digunakan untuk melatih murid mengenal huruf melalui padanan huruf dengan
bunyi. Kaedah ini baru sahaja diperkenalkan dalam sistem guruan. Namun, kaedah
ini telah lama diperkenalkan dalam pengajaran bacaan bahasa Inggeris. Terdapat
pelbagai pendapat mengenai cara pelaksanaan pengajaran membaca menggunakan
kaedah fonik. Antaranya yang dikemukakan oleh Hasnah dan Habibah (2010), Othman
dan Nik Eliani (2009), Bielby (1999), Heilman (1993), Goswani dan Byrant (1990)
dan Gunning (1988). Hasnah dan Habibah (2010) menyenaraikan beberapa langkah
pelaksanaan kaedah fonik seperti berikut:
1.
Pada asasnya kaedah ini adalah untuk mengajar murid-murid
melihat hubungan
antara
simbol (huruf) dan bunyi (hubungan fonem-grafem) supaya mereka dapat membaca
(membunyikan) perkataan-perkataan baharu yang mereka hadapi.
2.
Murid diperkenalkan dengan bunyi huruf dan bukan nama
huruf.
3.
Jadi, lambang huruf terus dikaitkan dengan bunyinya.
Misalnya ‘a’ dibunyikan
‘aa...’, ‘t’ - ‘teh’, ‘s’ - ‘ss’. ‘u’ -
‘uu...’, ‘z’ - ‘zz...’ dan sebagainya. Murid-murid
akan dilatih membunyikan huruf secara
terasing dan kemudiannya
menggabungkan dengan bunyi-bunyi huruf
yang lain bagi membentuk suku kata
dan perkataan.
4.
Apabila mereka sudah mengetahui hubungan tiap-tiap huruf
dengan bunyinya, suku kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘tu’, ‘ka’, ‘lu’,
‘mi’ dan sebagai.
5.
Contoh lain seperti huruf “a” tidak dieja tetapi terus
dibunyikan sebagai [a], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain.
Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ba] + [ta] dan seterusnya
disebut sebagai [bata].
6.
Kemudian baru digabung suku-suku kata ini menjadi
perkataan-perkataan - ‘dada’, ‘batu’, ‘kata’, ‘lalu’ dan sebagainya. (Yahya
Othman et al. 2012).
Menurut
Othman dan Nik Eliani (2009), terdapat beberapa langkah asas mengajar bunyi
huruf. Langkah asas berasaskan objektif yang berkaitan. Objektif pertama
pengajaran ialah murid boleh menyebut bunyi dan mengenal pasti huruf berkaitan.
Bagi mencapai objektif tersebut beberapa aktiviti wajib telah dicadangkan untuk
dilaksanakan, antaranya ialah:
1.
Perkenalkan bunyi huruf yang akan diajar (tanpa
menunjukkan simbol/huruf
tersebut).
Sebut bunyi dengan jelas beberapa kali.
2.
Tanyakan murid bunyi yang didengar dan minta murid
menyebut bunyi dengan betul. Ulang sebut bunyi sehingga mantap.
3.
Perkenalkan simbol/huruf yang diajar sambil menyebut: “Ini bunyi…”.
Jangan guna perkataan ‘huruf’.
4. Ulang sebut
bunyi sambil menunjukkan simbol beberapa kali.
5. Melakonkan aksi
asas latihan asosiasi. Pastikan satu bunyi untuk satu aksi (Yahya
Othman et al. 2012)
dan (Traci M. Cihon 2008)
Selain
itu, aktiviti pilihan juga turut dicadangkan Traci M. Cihon (2008) dan Howard P. Parette et al. (2009). Mereka
menyarankan agar guru melakukan aktiviti latihan asosiasi secara praktikal
(bermain) dan rangsang pendengaran dengan gambar-gambar bermula dengan bunyi
yang diajarkan. Manakala dalam objektif kedua pula diharapkan murid dapat
mengecam bentuk huruf. Aktiviti wajib yang dicadangkan adalah seperti berikut; sentuh
huruf berpasir mengikut cara huruf ditulis, dan bentuk huruf menggunakan
plastisin, Manakala aktiviti pilihan pula seperti mewarna huruf, membuat kolaj
– gunting huruf mengikut bentuk, membuat mozek – menampal kertas warna atas
huruf, mengecat menggunakan jari, dan menulis. Kajian ini disokong oleh kajian Yahya
Othman et al. (2012) dan Mr Barry Sheerman Et al. (2006). Bagi objektif ketiga,
murid diharapkan dapat menggabung bunyi huruf. Antara aktiviti wajib yang
dicadangkan adalah: menunjukkan konsep gabungan huruf konsonan dan vokal, minta
murid gabung huruf secara praktikal melalui aktiviti lihat dan buat, dengar dan
buat serta lihat dan baca (Mr Barry Sheerman et al. 2006) dan (Noraidah Farah
et al. 2010).
Bielby
(1999) dalam kajiannya menyatakan semua guru perlu berbincang dengan murid tentang
cara menyesuaikan bunyi huruf dengan perkataan. Istilah ‘mengajar fonik’
digunakan secara umum untuk mengajar murid-murid di peringkat awal secara
bersistematik bagi membunyikan huruf secara rutin untuk mengekod perkataan.
Murid diajar membunyikan huruf secara lantang kemudian menggabungkan bunyi.
Guru mendengar apa yang dibunyikan oleh murid. Pendekatan ini membolehkan murid
membunyikan huruf baharu dengan mudah dan cepat. Menurut beliau lagi, fonik
memberikan cara yang positif dalam mengenal pasti bunyi huruf baharu dan boleh
mengembangluaskan kecekapan grafafonik. Kaedah fonik ini boleh diguna pakai
dalam jangka masa panjang. Kajian ini turut disokong oleh Yahya Othman et al. (2012).
Heilman
(1993) dalam kajiannya menyatakan bahawa
belajar untuk mengenal pasti perkataan merupakan satu-satunya cara untuk
menyelesaikan masalah mengenal huruf. Oleh yang demikian, murid perlu
mempelajari hubungan antara kiu visual (huruf) dan bunyi yang diungkapkan
(hubungan fonem-grafem). Setelah melalui latihan berulang kali, maka perkataan
pun dikenal pasti. Perkataan yang sudah dikenal pasti ini tidak lagi memerlukan
usaha murid untuk membuat pengecaman. Tahap ini disebut sebagai belajar
membaca. Belajar untuk membaca adalah tugas sukar kerana mempelajari gabungan
bunyi dan huruf sangat asing pada pengalaman lalu murid (Yahya Othman et al.
2012).
Goswani dan
Byrant (1990) dalam kajian Campbell (1995) mengenai kesedaran fonemik,
menyimpulkan bahawa kemajuan dalam belajar membaca mungkin merupakan faktor
utama dalam menyedari fonem. Oleh yang demikian, kegiatan membaca dan menulis
menjadi penting. Murid pula boleh secara aktif membina pengetahuan mereka
tentang kaitan huruf dan bunyi (Yahya Othman et al. 2012).
MENGAJAR
MEMBACA MELALUI TEORI KECERDASAN PELBAGAI
Menurut
teori kecerdasan pelbagai yang
diperkenalkan oleh Howard Gardner, setiap individu mempunyai kecerdasan yang
berlainan. Menurut Howard Gardner (1983), kecerdasan adalah kebolehan menyelesaikan
masalah atau mencipta produk yang dihargai oleh sesuatu budaya. Menurutnya
setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya tujuh kebolehan mental yang
berasingan atau bebas iaitu kecerdasan. Sehingga kini beliau mengenal pasti sembilan
jenis kecerdasan yang antaranya ialah, kecerdasan pertuturan atau linguistik,
kecerdasan logikal atau matematik, kecerdasan ‘visual’ atau ‘spatial’,
kecerdasan muzikal atau irama,
kecerdasan ‘bodily’ atau kinestetik, kecerdasan interpersonal, kecerdasan
intrapersonal, kecerdasan ‘naturalist’
dan kecerdasan ‘existentialist’ (Zainiah Mohammed Isa 2004) dan (Johari Bin Hassan dan Nur Aimi
Binti Mohd 2008).
Johari Bin Hassan
dan Nur Aimi Binti Mohd (2008) dalam kajiannya menyatakan Friedrich Froebel (1782-1852)
telah mengasaskan program ’taman asuhan kanak-kanak’ kerana percaya bahawa
pembelajaran yang paling berkesan adalah sesuatu yang berlaku dalam keadaan
yang menggembirakan. Froebel menyatakan bahawa kanak-kanak akan merasa gembira
dan lebih mudah untuk belajar sekiranya mereka belajar sambil bermain. Melalui
aktiviti yang disediakan, secara tidak langsung kanak-kanak berpeluang melatih
kemahiran yang sedang berkembang. Ini membuktikan corak aktiviti yang
dijalankan kepada kanak-kanak boleh membantu mereka memahami dan memperolehi
sesuatu kemahiran tertentu daripada persekitaran mereka. Melalui cara yang
sedemikian, potensi kanak-kanak akan dapat dipupuk sama ada dari aspek
kognitif, psikomotor, afektif dan nilai-nilai kerohanian. Kenyataan ini di
sokong oleh kajian Zulkifli Mohamed Irpow (2003 ).
Bagi menerapkan kecerdasan pelbagai ini dalam kaedah
mengajar membaca, guru perlu mengetahui jenis kecerdasan yang cenderung
dikuasai oleh kanak-kanak dan menyediakan kaedah pengajaran yang berasaskan
kecenderungan kanak-kanak tersebut. Perkara ini disokong oleh kajian Spiegal
(1998) dan Zainiah Mohammed Isa (2004) bahawa program literasi yang seimbang
ialah guru memilih cara dan tugasan yang sesuai untuk setiap kanak-kanak serta
fleksibel terhadap keperluan kanak-kanak.
Kecerdasan Linguistik
Menurut
Gardner (1980) dan Zainiah Mohamamed Isa (2004), kanak-kanak yang kekuatannya
terletak kepada linguistik, kebolehan mereka adalah menggunakan bahasa untuk
melahirkan idea atau pendapat dan menghargai serta memahami bahasa yang indah. Guru
boleh menggalakkan kanak-kanak menulis buku ceritanya atau jurnalnya sendiri.
kanak-kanak boleh membawa gambar atau melukis gambar pada sehelai kertas bagi
tujuan penceritaan. Guru akan menuliskan apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak
mengenai gambar tersebut jika kanak-kanak belum boleh menulis. Sudah tentu
bahan yang dihasilkan sendiri seperti
ini akan merangsang kanak-kanak untuk belajar membaca hasil karyanya dan jika
bahan tersebut dipamerkan di bilik darjah akan menggalakkan kanak-kanak lain
untuk turut membaca.
Kecerdasan
Visual Spatial
Menurut Johari
Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd (1980), kanak-kanak yang cenderung kepada
visual spatial berkebolehan melihat, menggambarkan atau membayangkan sesuatu
gambar dan objek. Mereka lebih mudah mengingati gambaran objek dalam pemikiran
mereka (Zainiah Mohammed Isa 2004).Bagi kanak-kanak visual spatial ini
pengajaran huruf menggunakan kad imbasan boleh dilaksanakan. Bagi kaedah abjad
yang mempamerkan benda-benda yang bermula dengan sesuatu abjad tertentu serta
kaedah pandang dan sebut di mana gambar tersebut akan dilabelkan dengan ejaan
bagi membolehkan kanak-kanak membayangkan huruf dan objek tersebut di layar
ingatan mereka.
Gambar-gambar
yang dilabelkan sepatutnya sentiasa dipamerkan di bilik darjah kerana ini dapat membantu kanak-kanak membaca.
Begitu juga perabut dan alat-alat di dalam bilik darjah dilebalkan dengan
terang dan mudah dilihat pada aras mata kanak-kanak akan menggalakkan pembelajaran
bacaan yang spontan (Zainiah Mohammed Isa 2004). Persekitaran yang kaya dengan
percetakan ini patut digalakkan sehingga ke peringkat rendah dan menengah
kerana ini amat membantu kanak-kanak spatial untuk mempelajari sesuatu.
Begitu juga
buku-buku bergambar yang menggunakan warna yang menarik perlu disediakan di
peringkat awal bagi menarik minat kanak-kanak terhadap pembacaan. Teknik
‘rebus’ di mana gambar kecil akan diletakkan di atas perkataan bagi memberi
akan mempercepatkan pembacaan. Teknik ‘rebus’ ini juga turut dinyatakan dalam
kajian Howard P. Parette et al. ( 2009) tetapi dengan nama yang lain. Selain
dari itu, penggunaan buku-buku bersifat interaktif dapat menggalakkan
kanak-kanak belajar membaca secara berdikari kerana program-program ini mampu
membimbing kanak-kanak untuk membaca secara berdikari.
Kecerdasan
Kinestetik
Menurut
Gardner (1980) dan Zainiah Mohammed Isa (2004), kanak-kanak yang berkecerdasan
kinestetik boleh memanipulasi objek dan berkebolehan menggunakan pelbagai
kemahiran fizikal. Kanak-kanak ini
belajar dengan mudah melalui membuat dan suka menggunakan anggota badannya
untuk melakukan sesuatu. Bagi memenuhi keperluan kanak-kanak berkecerdasan
kinestetik ini,bilik darjah sepatutnya menyediakan banyak bahan-bahan yang
bersifat terbuka untuk dimanipulasikan oleh kanak-kanak seperti bahan menulis, melukis,
bahan kraf dan playdoh, blok mainan dan
juga alat-alat manipulatif yang lain.
Penggunaan
setiap anggota badan dan deria semasa melakukan aktiviti-aktiviti akan
menambahkan pemahaman dan menyebabkan proses pembelajaran akan lebih menarik.
Kanak-kanak boleh diminta membentuk huruf menggunakan anggota badan mereka.
Belajar mengingati bahasa berirama dan lagu sambil melakukan aksi-aksi pastinya
menarik dan bermakna kepada mereka. Aktiviti melakonkan semula cerita dalam
bahasa isyarat dan penggunaan bahasa badan amat berkesan kepada kanak-kanak
kinestetik. (Howard P.
Parette et al. 2009). Begitu juga aktiviti-aktiviti pergerakan seperti tarian,
pergerakan berirama, senaman dan sukan juga perlu diberi keutamaan.
Aktiviti-aktiviti permainan yang melibatkan kanak-kanak bergerak di dalam bilik
darjah seperti mencari huruf tersembunyi, mencari objek yang bermula dengan
sesuatu huruf dan sebagainya juga amat menyeronokkan kanak-kanak.
Tidak
ketinggalan latihan menulis semula ejaan tertentu akan mengukuhkan ingatan kanak-kanak kinestetik terhadap
ejaan seperti kajian yang dijalankan oleh Edwards L.(2003), mendapati kanak-kanak
tahun satu yang diajar ejaan melalui latihan menulis perkataan-perkataan dapat
mengeja lebih banyak perkataan dengan betul berbanding kanak-kanak yang
berlatih menyusun huruf atau kanak-kanak yang berlatih mengeja dengan menaip di
komputer.” (Zainiah Mohammed Isa 2004). Cara ini berkesan kerana kanak-kanak
menggunakan anggota badannya untuk mempelajari sesuatu atau dikatakan sebagai
belajar dengan melakukan.
Kecerdasan Muzikal
Kanak-kanak
berkecerdasan muzikal atau irama pula peka kepada muzik, suka menyanyi dan bermain
alat muzik (Gardner 1980; Zainiah Mohammed Isa 2004). Bagi kanak-kanak
yang berkecenderungan kecerdasan muzikal ini, penggunaan pantun-pantun
tradisional dan bahasa berirama akan mendapat perhatian mereka. Mereka sepatutnya
digalakkan mencipta lagu-lagu mereka sendiri dan tuliskan lagu-lagu tersebut
untuk dibaca oleh mereka. Guru perlu menyediakan buku-buku yang mengandungi
bahasa berirama untuk dibaca oleh kanak-kanak di masa lapang mereka.
Koleksi
rakaman pantun-pantun, lagu-lagu ataupun bahasa berirama boleh disediakan
kepada kanak-kanak untuk dimainkan di dalam kelas. Aktiviti nyanyian dan bahasa
berirama akan merangsang kanak-kanak untuk membaca bahan bercetak yang
berkenaan. Kanak-kanak muzikal juga amat gemar bermain alat-alat muzik dan
mencipta irama dan lagu mereka sendiri. Mereka sepatutnya diberikan galakan untuk mencipta irama dan lagu mereka
sendiri. Ini akan memberi kepuasan bagi mereka kerana memberi peluang kepada
kanak-kanak ini untuk melahirkan idea dan kreativiti mereka (Zainiah Mohammed
Isa 2004).
Kecerdasan
Matematikal
Kanak-kanak yang bercerdasan matematikal suka melakukan kajian, menyelesaikan masalah, bertanyakan soalan, meneroka corak geometri dan berkebolehan menggunakan serta mengaplikasikan nombor (Gardner 1980; Zainiah Mohammed Isa 2004).
Kanak-kanak yang bercerdasan matematikal suka melakukan kajian, menyelesaikan masalah, bertanyakan soalan, meneroka corak geometri dan berkebolehan menggunakan serta mengaplikasikan nombor (Gardner 1980; Zainiah Mohammed Isa 2004).
Armstrong (1994)
dan Zainiah Mohammed Isa (2004) menyatakan, kanak-kanak bercerdasan matematikal
menyukai buku yang mengandungi pengulangan dan persamaan. Bagi kanak-kanak seperti
ini pengulangan perkataan yang sama atau penggunaan perkataan yang boleh
ditekannya akan menggalakkan pembacaan. Begitu juga penggunaan gambar yang
menjadi petunjuk atau pembayang bagi cerita amat baik untuk menggalakkan
pembacaan kanak-kanak.
Oleh sebab kanak-kanak logikal matematikal
gemar meneka dan menyelesaikan masalah, teknik bacaan yang berasaskan phonetik
boleh diperkenalkan bagi kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini ini akan gemar
mencantumkan konsonan dan vokal bagi membentuk perkataan. Pengulangan dan
penambahan daripada huruf serta perkataan yang telah biasa dipelajari
memudahkan kanak-kanak membentuk perkataan serta ayat yang akan mempercepatkan
pembelajaran bacaan mereka (Johari Bin
Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd 2008).
Program
komputer yang menyediakan latihan mengeja serta memperkenalkan huruf dan
perkataan dapat menarik minat minat kanak-kanak ini untuk belajar membaca.
Mereka memang sukakan cabaran dan biasanya program tersebut disediakan secara
bertahap-tahap yang mampu mencabar kebolehan kanak-kanak dan pada masa yang
sama memberikan rasa kejayaan pada kanak-kanak tersebut. Pernyataan ini
disokong oleh kajian Rohaty Majzub dan
Kamisah Buang (2010). Seterusnya permainan huruf seperti teka silang
kata, ‘Sahiba’ dan lain-lain permainan bahasa juga akan menarik minat
kanak-kanak yang logikal matematikal ini.
Kecerdasan Interpersonal
Kanak-kanak
yang mempunyai kecerdasan interpersonal boleh memahami dan berinteraksi secara
berkesan dengan orang lain. (Gardner 1980) dan (Zainiah Mohammed Isa 2004). Oleh
itu, membaca bagi kanak-kanak
interpersonal lebih merupakan aktiviti pergaulan sosial. Mereka lebih gemar
membaca bersama-sama rakan atau mengajar kanak-kanak yang lain membaca
perkataan yang mereka tahu. Menurut Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd
(2008), kanak-kanak ini hendaklah digalakkan membaca bersama rakan yang lain
atau tugaskan mereka membaca dengan kanak-kanak yang masih lemah dalam
pembacaan. Mereka akan gembira melakukan tugasan yang diberi ini. Melalui program ini sipembaca akan mendapat manafaat daripada pembacaaan manakala yang mendengar bacaan pula berasa
lebih selesa membaca dengan rakan dan lebih mudah belajar membaca melalui rakan
mereka.
Dengan
memberi kebebasan menggunakan alat-alat penulisan pula, kanak-kanak
interpersonal ini akan suka menulis pesanan dan bertukar-tukar nota dengan
rakan. Satu sudut di papan kenyataan boleh digunakan sebagai tempat kanak-kanak
meninggalkan pesan atau mendapat maklumat mengenai apa-apa peristiwa yang
berlaku kepada rakan-rakan didalam kelas seperti harijadi, rakan-rakan yang
tidak sihat, dan kejayaan-kejayaan kanak-kanak di dalam kelas. Ini sudah tentu
akan memeriahkan suasana disamping menggalakkan komunikasi dan pembacaan
(Zainiah Mohammed Isa 2004).
Kecerdasan Intrapersonal
Menurut Gardner (1980) dan Zainiah Mohammed Isa (2004), kanak-kanak intrapersonal boleh memahami diri dan pemikirannya sendiri dan menggunakan pengetahuan ini dalam merancang dan menentukan halatuju dirinya sendiri.Bagi kanak-kanak yang intrapersonal pula, guru hendaklah menyediakan bahan-bahan bacaan yang mereka minati dan tempat yang agak tersorok dan senyap bagi mereka membaca. Biarkan mereka membaca secara selesa mengikut tahap kebolehan mereka sendiri dan bantu mereka dengan perkataan yang agak sukar apabila diminta. Dengan kebebasan yang diberi kanak-kanak intrapersonal biasanya boleh mengajar diri mereka sendiri membaca (Armstrong 1994).
Begitu juga faktor pemilihan buku
yang sesuai dan menarik minat kanak-kanak adalah kunci bagi menggalakkan
pembacaan kanak-kanak intrapersonal khasnya, dan kepada semua kanak-kanak
amnya. Buku-buku yang sesuai dan menarik minat ini juga dapat menyemaikan
nilai-nilai estetik dalam diri kanak-kanak dan seterusnya menanamkan minat
kanak-kanak kepada buku serta tabiat membaca yang berterusan ( Johari Bin
Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd. 2008).
MENGAJAR MEMBACA MELALUI PENGGUNAAN PERISIAN MULTIMEDIA.
Menurut Auzar (2012), penggunaan
komputer dalam pembelajaran membaca menunjukkan keberkesanan yang signifikan
berbanding dengan pembelajaran membaca secara tradisional. Penggunaan perisian
dalam pembelajaran membaca juga berjaya meningkatkan kemahiran membaca
murid-murid secara signifikan. Menurut Zamri Mahamod dan Nur Aisyah Mohamad
Noor (2011), strategi pengajaran menggunakan perisian multimedia dapat membantu
pelajar menguasai pembelajaran secara
dua hala tanpa bergantung sepenuhnya kepada guru. Dengan bantuan media, pelajar
mampu belajar secara aktif, kendiri dan anjal. Melalui strategi pembelajaran
aktif, proses pengajaran menggalakkan penglibatan aktif pelajar melalui
hubungan dua hala dengan perisian. Hal ini kerana pelajar terlibat secara aktif
melalui aktiviti membaca, menyelesaikan masalah dan penaakulan.
Zoraini Wati Abas (1993)
menyatakan bahawa kaedah pembelajaran berbantukan komputer berorientasikan
penggunaan aplikasi multimedia guruan berpotensi untuk merangsang dan menarik
minat murid untuk mendekati sesuatu mata pelajaran. Murid bukan sahaja terpegun
kepada kecanggihan pembinaan komputer itu sendiri, malah tertarik kepada paparan
grafik, interaktif, warna, persembahan dan kesan bunyi yangmengasyikkan.
Pelbagai kajian di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kigdom telah
menunjukkan bahawa pengajaran berbantukan komputer atau Computer Assisted
Learning (CAL) dan Computer Language Learning (CALL) telah membantu dalam
menarik minat kanak-kanak dalam pembelajaran literasi (Chapelle 1997; Chun
1997; Ehsani 1998; Hegelheimer & Chapelle 2000; Kramsch 1999; Zehapi 1993).
Howard P. Parette et al
(2009) menyatakan dalam kajiannya bahawa
guru juga boleh menghasilkan perisian sendiri. Antara perisian yang paling
sering digunakan oleh guru ialah ‘Microsofft Power Point’. Ini adalah kerana ia
dapat mempersembahkan pengajaran dalam keadaan menarik melalui paparan grafik
yang boleh ditambah dengan kesan bunyi dan aktiviti yang interaktif (Jewitt 2009).
Langkah perisian yang dicadangkan oleh Howard P. Parette adalah
seperti berikut:
1.
Guru
hendaklah mengajarkan perkataan dengan menggunakan bantuan gambar yang sesuai.
Pemilihan gambar mestilah tepat dan biasa dilihat oleh kanak-kanak agar boleh
membantu mereka mempelajari perkataan baru.
2.
Paparan
slaid pertama sepatutnya hanyalah perkataan yang ingin diperkenalkan.
Contohnya, slaid memaparkan perkataan “ ibu”. Guru akan menyebut, “ini
perkataan ibu”
3.
Kemudian
dalam slaid yang sama, di bawah perkataan “ibu” akan muncul gambar ibu secara
perlahan-lahan.
4.
Seterusnya,
guru akan berkata “ semua murid lihat di
sini…” pada slaid ke-2, langkah 3 akan diulang sekali lagi.
5.
Seterusnya,
pada slaid ke-3, perkataan “ ibu” dan
gambar ibu akan muncul serentak. Guru akan menyebut, “ini perkataan ibu”
6.
Slaid ke-4,
perkataan “ ibu” dan gambar ibu akan muncul serentak tetapi gambar ibu semakin
kabur. Guru akan menyebut, “ini perkataan ibu”
7.
Slaid ke-5,
perkataan “ ibu” dan gambar ibu akan
muncul serentak tetapi gambar ibu semakin lebih kabur. Guru akan menyebut, “ini
perkataan ibu”
8.
Slaid ke-6,
hanya perkataan “ ibu” sahaja yang
muncul dan tiada gambar ibu. Guru akan menyebut, “ini perkataan ibu”
9.
Pada slaid
ke-7, guru akan mengulang langkah 3.
10. Seterusnya guru akan berkata “ sekarang giliran kamu pula, cuba
sebut ini perkataan apa?”, slaid ke-8 ini memaparkan perkataan “ibu” dan gambar
ibu yang kabur tetapi masih boleh dilihat oleh kanak-kanak.
11. Apabila kanak-kanak dapat menjawab dengan betul, guru hendaklah
berkata “ betul, ini perkataan ibu” sambil memberikan pujian. Untuk kanak-kanak
yang tidak dapat menjawab dengan betul, guru hendaklah berkata “ ini perkataan
ibu”
12. Seterusnya, slaid ke-9 memaparkan perkataan “ibu” dan gambar ibu
yang terang. Guru akan bertanya sekali lagi, “ ini perkataan apa?”. Seterusnya
langkah 11 akan diulang oleh guru.
13. Pada slaid ke -10, hanya paparan perkataan ibu tanpa gambar ibu.
Guru akan berkata “ ini perkataan apa?”.
Sekiranya murid dapat menjawab dengan betul, pujian hendaklah diberikan.
14. Seterusnya, guru bolehlah meneruskan dengan mengajar perkataan
yang hampir serupa seperti “ ubi” dan “abu”. Ini membolehkan kanak-kanak
membezakan perkataan dan mengenalpasti perbezaannya.
Pada akhir sesi
pembelajaran, penilaian ke atas kanak-kanak perlu dilakukan. Perkataan “ibu”,
“ubi” dan “abu” akan di paparkan tanpa gambar pada slaid. Guru akan bertanya “
yang mana satukah perkataan ibu?”. Murid
akan memilih perkataan yang ditanya dengan menunjukkan menggunakan jari pada slaid.
Pujian hendaklah diberikan untuk jawapan yang betul dan guru akan meminta murid
menyebut perkataan yang ditunjukkan.
Paivio (1986) menyatakan bahawa
kanak-kanak yang diajar dengan menggunakan perisian multimedia sebenarnya telah
didedahkan kepada dua mod pembelajaran
iaitu melalui visual dan verbal. Mod ini akan dapat meningkatkan ingatan dan
kefahaman kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak telah diberi peluang membina
makna apa yang dibaca menerusi penghasilan gambaran visual. Namun demikian menurut
Weinstein dan Mayer (1986) dan Carreker (2002), kanak-kanak tidak berupaya
secara efektif menghasilkan gambaran visual jika tidak dibantu oleh guru
menerusi galakkan atau pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.
ISU-ISU DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA
Membaca adalah
suatu medan ilmu yang perlu dikuasai untuk memenuhi keperluan pembelajaran
kanak-kanak. Menurut Husen Fateh Din et al. (2011), Murid-murid yang boleh
membaca sebelum menjejakkan kaki ke alam persekolahan lagi selalunya dianggap
sebagai bijak. Sebenarnya kebolehan ini bukan petanda awal tentang
kebijaksanaan kanak-kanak itu. Namun persepsi masyarakat selalunya begitu.
Mampu membaca dan mahir membaca merupakan perkara yang berbeza. Noraidah Farah Sazuanee Awang (2010) pula
menyatakan, membaca membawa maksud membunyikan huruf-huruf yang ditulis serta melihat dan memahami apa-apa yang
tertulis. kemahiran membaca adalah merujuk kepada keupayaan seseorang membaca
dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul. Secara ringkasnya
tujuan utama seseorang kanak-kanak perlu menguasai kemahiran membaca supaya
mereka dapat mengenal dan membezakan setiap huruf dan perkataan seterusnya
dapat membaca serta memahami pelbagai bahan bacaan yang dibaca (Husen Fateh Din
et al. (2010).
Isu
pertama: Apakah cara untuk mengatasi
masalah kanak-kanak tidak minat belajar membaca?
McGee dan Richgels (1990) dalam Rahimi Md Saad (2006) menyatakan bahawa
membaca dan menulis adalah kemahiran sukar dikuasai dan bukan semulajadi untuk
dipelajari. Proses membaca memerlukan kesediaan untuk mempelajarinya. Isunya di
sini, disebabkan proses membaca dilihat sebagai aktiviti yang sukar oleh
kanak-kanak, maka bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah kanak-kanak tidak
minat untuk belajar membaca?
IRA & NAEYC (1998) menyatakan,
“ ........kebanyakan cara mengajar membaca di peringkat awal
adalah tidak bersesuaian dengan tahap umur dan perkembangan kanak-kanak tadika,
malah cara yang digunakan lebih sesuai untuk mengajar kanak-kanak yang lebih
tua ataupun orang dewasa yang semestinya tidak memberi kesan kepada kanak-kanak
di peringkat awal”
Perkara ini turut disokong oleh Stanford, P.( 2003) seperti berikut,
“ Di dalam bilik darjah yang
tradisional, guru-guru berdiri mengajar di depan kelas, menulis di papan hitam,
menyoal murid-murid mengenai kerja-kerja yang diberikan dan menunggu
murid-murid menyiapkan kerja-kerja bertulis mereka”
Zainiah Mohamed Isa (2004) dalam kajiannya
menyatakan penggunaan kaedah pengajaran
yang tidak sesuai kepada kanak-kanak, akan menimbulkan rasa bosan, tertekan dan
seterusnya hilang keyakinan diri. Sebaliknya, sekira kanak-kanak merasa seronok
dengan proses pengajaran yang dijalankan, mereka akan meneruskan aktiviti
kerana merasa yakin dengan kejayaan diri sendiri dan ini tentunya akan
memudahkan proses pembelajaran berlaku. Dengan ini, kaedah pengajaran yang
digunakan terhadap kanak-kanak mestilah bersesuaian dengan tahap umur,
perkembangan serta tahap kebolehan individu. Gardner (1983) menyatakan
keperluan individu yang berlainan dari segi tahap perkembangan dan
kecenderungan perlu diambil kira dalam membuat perancangan pengajaran.
Menurutnya lagi, setiap individu mempunyai kecenderungan kecerdasan yang
berbeza. Stanford, P. (2003) pula menyatakan
pengajaran menggunakan kecerdasan pelbagai menyediakan pelbagai peluang
untuk kanak-kanak untuk belajar. Jika hanya satu kaedah pengajaran digunakan
untuk membaca, maka kita telah menyekat kanak-kanak belajar mengunakan
kaedah-kaedah yang mereka telah mahir dan ini amat merugikan.
Tidak dapat dinafikan penggunaan teori kecerdasan
pelbagai sesuai untuk digunakan mengajar membaca di dalam bilik darjah dan
ianya memberi kesan yang mendalam terhadap proses pembelajaran kanak-kanak. Ini
bersesuaian dengan kenyataan Amstrong (1987),
“ Apabila kanak-kanak melalui pengalaman
yang menyeronokkan yang melibatkan rasa kejayaan semasa peringkat awal belajar
membaca, mereka juga turut memperolehi kejayaan dalam akademik yang berterusan
dalam kehidupan mereka” .
Oleh yang demikian, adalah penting bagi guru mengambil kira kecenderungan kecerdasan kanak-kanak di dalam perancangan
kurikulum bagi pengajaran membaca. Kaedah belajar sepatutnya datang dari
kanak-kanak dan bukan guru yang menentukan sesuatu kaedah.
Isu kedua :
bagaimanakah cara mengatasi murid
yang boleh membaca perkataan, namun tidak memahami maksud perkataan tersebut?
Goodman
(1981), Linda B Gambrell, Cathy Collin Block dan Michael Pressley (2002)
menyatakan bahawa matlamat akhir pengajaran dan pembelajaran membaca yang utama
ialah kefahaman. Laporan kajian Belize Development Trust (2002) menunjukkan 92%
kanak-kanak boleh membaca tetapi 50% atau lebih daripadanya kurang faham dengan
apa yang dibaca. Keadaan ini disahkan pula dengan laporan Snow Catherine E
(2002) yang menyatakan salah satu masalah yang kini dipandang serius dan
menjadi topik perbincangan di kalangan penyelidik di Amerika ialah pelajar
sekolah rendah, menengah dan peringkat tertinggi tidak mempunyai kemahiran atau
kecenderungan membaca dengan faham terhadap bahan yang mereka pelajari.
Berikutan itu kajian terbaru (ibid) dalam pengajaran membaca menunjukkan secara
signifikan bahawa keadaan ini boleh diperbaiki semasa pengajaran awal
kanak-kanak dan didapati pengajaran membaca faham perlu diajar kepada
kanak-kanak bagi membekalkan mereka dengan pengetahuan asas membaca-faham.
Rio Sumarni et al ( 2003) menyatakan dalam kajiannya bahawa
keupayaan membaca-faham jelasnya memang memerlukan kemahiran yang pelbagai.
Faktor yang menyumbang kepada membaca-faham dapatlah diringkaskan kepada beberapa
komponen yang besar seperti keupayaan kognitif (memori, tumpuan dan keupayaan
visualisasi), kemampuan linguistik (perbendaharaan kata, pengetahuan sedia,
strategi pembelajaran, keupayaan memahami bahasa pertuturan dan mentafsir
perkataan), motivasi dan kaedah pengajaran. Kesemua faktor yang tersebut sukar
untuk diatasi kerana beberapa perkara berikut:
1.
pengajaran
dan pembelajaran membaca di kalangan kanak-kanak prasekolah tidak menekankan
aspek pemahaman berlaku kerana bagi guru apa yang penting ialah kanak-kanak di
prasekolah boleh membaca dengan lancar. Hakikat ini disokong oleh Sally Rings
(1994) yang menyatakan bahawa pendekatan behavioristik dalam pembelajaran
membaca di sekolah adalah merupakan pedagogi yang terlalu dominan.
2.
Pengajaran
dan pembelajaran membaca secara tradisi yang sedang berlaku di bilik darjah
hari ini juga mengabaikan keupayaan membentuk gambaran visual di kalangan
kanak-kanak dan sebaliknya menekankan pembelajaran mengenal simbol dan
kemahiran membaca mengikut urutan. Oleh kerana kanak-kanak tidak didedahkan
dengan penggunaan strategi pembelajaran membaca secara gambaran visual ini maka
hasil pembelajaran membaca di prasekolah hanya mampu membaca dengan lancar dan
tidak faham.
Rio Sumarni et al. (2003) dalam kajiannya, penggunaan
perisian multimedia dilihat boleh mengatasi atau sekurang-kurangnya dapat
memperbaiki faktor penyumbang masalah keupayaan membaca dan memahami perkataan.
Membaca dan memahami perkataan boleh
dibantu menerusi multimedia kerana bahan dipersembahkan bukan sahaja dalam
bentuk teks tetapi juga dalam bentuk visual (input visual) atau audiotori
(input verbal) atau kombinasi antara keduanya. Hubungan di antara teks dan imej
sebagai elemen dalam proses membaca yang diketengahkan oleh teori dual koding.
Paivio (1986) memberi penjelasan bahawa kanak-kanak yang didedahkan dengan dua
mod pembelajaran (melalui visual dan verbal) akan dapat meningkatkan ingatan
dan kefahaman. Kanak-kanak yang diberi peluang membina makna apa yang dibaca
menerusi penghasilan gambaran visual. Namun demikian menurut Weinstein dan
Mayer (1986) dan Carreker (2002) kanak-kanak tidak berupaya secara efektif
menghasilkan gambaran visual jika tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau
pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.
IMPLIKASI
Kemahiran membaca sangat penting
dikuasai oleh kanak-kanak kerana melalui pembacaan mereka dapat meningkatkan
pencapaian mereka dalam pelajaran, meluaskan pengetahuan, mencari dan mengumpul
maklumat-maklumat yang diperlukan dan lain-lain lagi (Howard P. Parette 2010).
Faktor yang mempengaruhi kemahiran membaca adalah dengan meningkatkan kemahiran
kognitif dan juga umur kanak-kanak mula belajar membaca. Ini kerana
pendedahan awal kanak-kanak tentang
kemahiran komunikasi dan literasi memberi kesan terhadap kesediaan kanak-kanak
untuk belajar membaca (Mr Barry Sheerman et al. 2005).
Antara kaedah yang berjaya meningkatkan
kemahiran membaca adalah kaedah fonik (Mr Barry Sheerman et al. 2005; Traci M. Cihon 2008; Sabrina Abdul Rahim
2010; Yahya Othman et al 2012), kaedah
mengajar kecerdasan pelbagai, (Spiegal 1998;
Zainiah Mohammed Isa 2004; Johari Bin Hassan 2008) dan mengajar menggunakan perisian multimedia (Rio Sumarni et al 2003;
Rohaty Majzub & Kamisah Buang
2010; Howard P. Parette et al 2009).
Guru memainkan peranan penting dalam
meningkatkan tahap kemahiran membaca
kanak-kanak prasekolah. Oleh itu, guru perlu mempelbagaikan kaedah dan teknik pengajaran bacaan supaya
kemahiran membaca dapat dikuasai dengan baik. Spiegal
(1998) dan Zainiah Mohammed Isa (2004) menyatakan bahawa program literasi yang
seimbang ialah guru memilih cara dan tugasan yang sesuai untuk setiap kanak-kanak
serta fleksibel terhadap keperluan kanak-kanak tersebut. Justeru, guru perlu
mengenal pasti jenis kecerdasan yang cenderung dimiliki oleh kanak-kanak dan
menyediakan kaedah pengajaran berasaskan kecenderungan kanak-kanak tersebut.
Ini kerana dengan mengambil kira kecenderungan murid, bermakna guru telah
menyediakan pembelajaran mengikut
kebolehan dan keupayaan murid yang pelbagai. Dengan pengajaran yang kreatif dan menarik, sesuai
dengan keperluan murid serta bantuan bahan yang bersesuaian pembelajaran akan menjadi lebis berkesan.
CADANGAN
Amstrong (1987) menyatakan bahawa apabila kanak-kanak melalui pengalaman
yang menyeronokkan yang melibatkan rasa kejayaan semasa peringkat awal belajar
membaca, mereka juga turut memperolehi kejayaan dalam akademik yang berterusan
dalam kehidupan mereka. Justeru, kanak-kanak mestilah didedahkan dengan cara
pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan dengan mengambil kira
kemampuan dan kecenderungan mereka. Hasil analisis daripada kajian lepas,
terdapat tiga strategi pengajaran kemahiran membaca yang dilihat sesuai digunakan untuk mengajar
murid prasekolah iaitu kaedah fonik, kaedah teori kecerdasan pelbagai dan
penggunaan perisian multimedia.
Barry Sheerman et al. (2006) menjelaskan
bahawa fonik ialah satu kaedah yang penting dalam pengajaran membaca kanak-kanak.
Yahya Othman et al. (2012) pula menegaskan tahap kemahiran mengajar kaedah
fonik bagi guru-guru peringkat prasekolah perlu dipertingkatkan dari semasa ke
semasa. Walau bagaimanapun, guru masih
perlu untuk mempelbagaikan gaya pengajaran seperti corak interaksi dalam
kalangan kanak-kanak. Rohaty Majzub dan Kamisah Buang (2010), Noraida Farah
Sazuanee (2010) dan Sabrina Abdul Rahim (2010), pula menjelaskan perisian
“Bacaan Mudah” seharusnya digunakan kepada kanak-kanak yang berada pada
peringkat permulaan dan pengenalan dalam pembacaan. Kanak-kanak juga boleh dilibatkan dalam
proses pembinaan bahan yang ingin diguna pakai dalam usaha meningkatkan
kemahiran membaca dalam kalangan mereka. Adalah penting bagi guru untuk mengambilkira kecenderungan
kecerdasan kanak-kanak dalam perancangan kurikulum bagi pengajaran membaca. Menurut Zainiah
Mohamed Isa (2004), kecerdasan pelbagai bukan sahaja memberikan cara-cara yang
menarik untuk kanak-kanak belajar mengikut kecenderungan masing-masing bahkan
kanak-kanak akan turut mendapat keyakinan diri dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru. Kajian oleh Johari Bin Hassan (2008), mendapati rata-rata guru mengajar kemahiran membaca
menggunakan kaedah kecerdasan pelbagai.
KESIMPULAN
Berdasarkan
kajian yang dijalankan didapati
strategi-strategi pengajaran yang dibincangkan dalam kertas konseptual
ini memberi gambaran yang jelas bahawa golongan pendidik awal kanak-kanak
hendaklah bijak memilih strategi pengajaran berkesan yang boleh membantu
kanak-kanak prasekolah menguasai kemahiran membaca sebelum melangkah ke alam
pendidikan yang lebih formal. Yahya Othman et al. (2010) menyatakan bahawa
kaedah fonik yang dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu dalam pengajaran membaca
dalam kalangan kanak-kanak prasekolah didapati sangat berkesan.Menurutnya lagi,
kaedah ini juga didapati berupaya mempercepatkan proses kemahiran membaca
berbanding penggunaan kaedah suku kata
dan seterusnya meningkatkan motivasi dan minat murid untuk membaca
pelbagai jenis bahan bacaan.
Dari
Aspek pandangan Zainiah Mohamed Isa (2004), adalah penting bagi guru untuk
mengambilkira kecenderungan kecerdasan kanak-kanak di dalam perancangan
kurikulum bagi pengajaran membaca. Menurutnya lagi, kecerdasan pelbagai bukan
sahaja memberikan cara-cara yang menarik untuk kanak-kanak belajar mengikut
kecenderungan masing-masing bahkan kanak-kanak akan turut mendapat keyakinan
diri dan keberanian untuk mencuba
sesuatu yang baru. Prose pembelajaran juga menjadi lebih menarik dan berkesan
bagi menyediakan kanak-kanak untuk mencapai potensi diri masing-masing.
Rohaty
Majzub dan Kamisah Buang (2010), merumuskan pengajaran menggunakan modul bacaan berasaskan multimedia boleh
membantu meningkatkan penguasaan dalam kemahiran membaca dengan lebih cepat
berbanding belajar membaca tanpa menggunakan modul bacaan yang khusus. Kementerian
Pendidikan Malaysia melalui transformasi kurikulum dalam Kurikulum Standard
Prasekolah Kebangsaan 2010 menyatakan
bahawa bahan yang digunakan dalam pengajaran kemahiran bahasa perlu bersesuaian
dengan peringkat perkembangan kanak-kanak.
Justeru itu, guru perlulah bijak dan kreatif dalam memilih strategi
pengajaran yang berkesan dan mampu menarik minat untuk mempelajari kemahiran
membaca. Kesimpulannya, apa-apa juga
kaedah yang digunakan untuk mengajar kanak-kanak membaca, perlulah memberi
inspirasi berkekalan dan membaca juga harus menjadi satu matlamat utama dalam
pengajaran di sekolah (Mr Barry Sheerman, 2006).
RUJUKAN
Husin
Fateh Din & Nazariyah Sani. 2012. Bahasa
Melayu II Akademik. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
Husin
Fateh Din, Nazariyah Sani, Mastura Mohamed Barawi & Siti Hajar Idrus. 2012.
Literasi Bahasa Melayu. Puchong:
Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.
House Of
Common Education And Skills Committee. 2005. Teaching Children to Read. Eighth
Report of Session 2004-2005. London: The Stationery Office Limited.
Howard
P. Parette, Howard P. Parette, Craig
Blum, Nichole M. Boeckmann, Emily H.
Watts. 2009. Teaching word recognition to young children who are at risk using
microsoft powerpoint TM coupled with direct instruction. Early
Childhood Education Journal 36(5): 393-401.
Johari
Bin Hassan. 2008. Kecerdasan pelbagai
di kalangan kanak-kanak prasekolah serta
strategi pengajaran yang digunakan untuk mengajar kanak-kanak prasekolah. Suatu
kajian kes. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.
Kementerian
Pelajaran Malaysia. 2010. Kurikulum
Standard Prasekolah Kebangsaan.
Khairuddin
Mohamad. 2011. Literasi Bahasa Melayu. Shah
Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.
Noraidah
Farah Sazuanee binti Awang. 2010. Meningkatkan kebolehan membaca dalam
kalangan kanak-kanak melalui pendekatan kaedah fonik
menggunakan perisian
"bacaan mudah“.
Prosiding Kajian Tindakan Prasekolah 2010, hlm.34 -
43.
Rio
Sumarni Shariffudin, Abdul Hafidz Hj. Omar, Dayang Hjh. Tiawa Awang Hj. Hamid.
2003. Reka Bentuk dan Keberkesanan Perisian Multimedia Membaca-Faham Berasaskan
Gambaran Visual bagi Kanak-kanak Prasekolah. Prosiding Seminar Memperkasakan Sistem Pendidikan. (Unpublished).
Rohaty
Majzub & Kamisah Buang. 2010. The development and testing of
preschool bahasa Malaysia reading intervention module using multimedia. Prosiding World Conference on Learning,
Teaching and Administration, hlm. 595 – 598.
Sabrina Abdul
Rahim. 2010. Keberkesanan kaedah gabungan bunyi dan kata dalam meningkatkan
kemahiran membaca kanak-kanak prasekolah. Prosiding Kajian Tindakan Prasekolah
2010, hlm.
148-157.
Shahariah
Zainal. 2011. Pendekatan bermain dalam kemahiran mengenal huruf kecil bagi pendidikan prasekolah. Kertas
Konseptual. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan.
Tamam Timbang,
Zamri Mahamod, Nik Mohd. Rahimi Yusoff & Jamaludin Badushah. 2010. Masalah
membaca murid-murid sekolah rendah kerajaan di Brunei Darussalam: Satu kajian kes.
Jurnal Pendidikan Malaysia 35 (2):
77-85.
Traci M. Cihon.
2008. Using visual phonics as a strategic intervention to increase literacy
behaviors for kindergarten participants at-risk for reading failure. Journal of Early and Intensive Behavior
Intervention 5(3): 138-155.
Yahya Othman,
Aisah Md Daud, Azmey Othman, Dk.Siti Ardiah Pg.Mohiddin & Maszuraimah Muizz
Sulaiman. 2012. Pelaksanaan pengajaran membaca menggunakan kaedah fonik
peringkat prasekolah di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu
2(1): 93-109.
Zainiah Mohamed
Isa. 2004. Mengajar membaca bagi peringkat awal kanak-kanak melalui
teori kecerdasan pelbagai. Prosiding Seminar Antarabangsa UPSI dan UPI.
http://www.scribd.com/doc/55872978/Mengajar-Membaca-Bagi-Peringkat-Awal-Kanak-kanak-Melalui-Teori-Kecerdasan-Pelbagai [23 Mac
2012].
No comments:
Post a Comment
Note: Only a member of this blog may post a comment.