Laksana pelbagai kaedah P&P ikut kategori murid
IKUTI pandangan Dekan Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof Dr Saedah Siraj, mengenai keperluan kaedah pengajaran dan pembelajaran berbeza bagi mengatasi masalah penguasaan kemahiran asas membaca, menulis dan mengira (3M) di kalangan murid sekolah seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Khairina Yasin.
KEGAGALAN atau ketidakupayaan sebahagian murid sekolah rendah menguasai kemahiran asas 3M adalah antara cabaran getir dunia pendidikan hari ini.
Biarpun sukar mengenal pasti angka sebenar murid dikategorikan bermasalah itu setakat ini, ramai pakar pendidikan bimbang implikasinya yang mungkin boleh menyebabkan mereka hilang minat ke sekolah.
Jika kelemahan murid menguasai 3M ini tidak diatasi sejak Tahun Satu, masalah itu akan berlarutan apabila mereka memasuki Tahun Dua dan seterusnya.
Di manakah silap atau apakah kekurangannya? Dalam memperbetulkan keadaan, tidak dinafikan banyak usaha dilaksanakan Kementerian Pelajaran bagi menangani masalah penguasaan 3M ini di kalangan murid.
KAEDAH P&P berbeza perlu meningkatkan penguasaan 3M di kalangan murid. |
Antaranya mengadakan kelas pemulihan, kelas khas untuk kanak-kanak istimewa, latihan guru berpendidikan khas, perluasan kempen membaca dan penempatan kaunselor di setiap sekolah.
Namun, keberkesanan pelaksanaannya tidak menyeluruh dan belum mampu memberi perubahan besar terhadap perkembangan penguasaan kemahiran 3M di kalangan murid terbabit.
Dalam sesetengah keadaan, kurangnya komitmen pengurusan sekolah antara penyebab pendidikan murid tergolong dalam kategori ini, gagal mencapai matlamatnya.
Menyisihkan murid terbabit daripada mengikuti pendidikan seperti rakan lain hanya akan menyulitkan langkah mengatasi masalah mereka kemudian hari.
Ada juga yang menegaskan kepentingan peranan ibu bapa dalam membantu anak menguasai kemahiran asas berkenaan, namun ia tetap tidak membebaskan guru daripada membantu murid yang lemah itu.
Berdasarkan kajian sebelum ini, keperluan langkah penyaringan dan pengesanan awal murid yang belum menguasai 3M penting bagi mengenal pasti pelaksanaan program pemulihan bersesuaian dengan mereka.
Langkah awal itu membolehkan murid dikelompokkan berdasarkan punca sebenar kelemahan mereka menguasai 3M sama ada akibat persekitaran, pemakanan atau kesihatan.
Pemerhatian mendapati murid lemah 3M boleh dikelompokkan lima kategori, iaitu anak Orang Asli, kanak-kanak istimewa atau pendidikan khas, murid menghadapi masalah psikologi, kanak-kanak terbiar dan mereka yang sememangnya berketurunan tidak boleh membaca atau dungu.
Setiap kelompok murid terbabit memerlukan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) berbeza bagi memastikan kelemahan pembelajaran mereka dapat diatasi secara berperingkat.
Pencarian kaedah P&P mengikut kelompok perlu ditekankan Kementerian Pelajaran kerana jika dilaksanakan secara tunggal, ia tidak boleh diguna atau diaplikasikan kepada semua murid yang gagal menguasai 3M.
Keadaan ini wajar dikaji semula di peringkat akar umbi dengan merujuk faktor mempengaruhi masalah penguasaan 3M dalam setiap kelompok murid terbabit sebelum menentukan kaedah P&P yang tepat dan bersesuaian.
Dalam kes anak Orang Asli contohnya, kesukaran memberi fokus kepada apa yang diajar menyebabkan mereka gagal menguasai 3M.
Hubungan antara pemikiran dengan pergerakan mata agak lambat berikutan wujudnya gangguan yang menjejaskan fokus mereka terhadap pembelajaran.
Bagi menanganinya, penggunaan alat muzik dalam proses P&P disifatkan antara kaedah sesuai untuk meningkatkan penguasaan kemahiran asas itu di kalangan anak Orang Asli.
Ini kerana mereka amat peka terhadap deria pendengaran. Oleh itu, alat muzik adalah perantara sesuai diguna pakai guru bagi menarik tumpuan kelompok murid masyarakat minoriti itu terhadap pengajaran guru.
Malah, banyak kajian luar negara membuktikan penggunaan alat muzik mengikut etnik atau budaya berjaya membangunkan kemahiran 3M di kalangan murid sekolah.
Bagi kes murid istimewa atau pendidikan khas, kepekaan ibu bapa terhadap proses pengembangan anak dituntut bagi membolehkan kelemahan mereka dikesan sejak awal.
Murid disleksia antara kelompok murid yang gagal menguasai 3M, namun disebabkan pengetahuan ibu bapa yang rendah mengenai penyakit itu menyebabkan masalah berkenaan tidak dipandang serius.
Malah, ramai ibu bapa termasuk golongan profesional cuba menafikan anak mereka berdepan masalah berkenaan hingga merasakan tidak perlu dibantu.
Murid disleksia melihat sesuatu dengan pandangan yang berbeza terutama berkaitan pembelajaran. Sebagai contoh, mereka tidak dapat diajar abjad dengan cepat kerana ada huruf yang akan ditinggalkan disebabkan pemikiran tidak dapat 'membaca' huruf berkenaan.
Dalam usaha menangani masalah ini, kaedah P&P haruslah lebih khusus dan perlu dipraktikkan guru yang mahir mengenainya.
Selain guru dan murid, keberkesanan program pemulihan ini memerlukan kerjasama dan penggemblengan tenaga semua pihak, termasuk sekolah dan ibu bapa.
Apa yang penting, pelaksanaan tindakan progresif menangani masalah penguasaan 3M di kalangan murid ini sepatutnya sejak awal lagi, bukan pada peringkat mereka sudah terlalu jauh tercicir.
Sumber :http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Pendidikan/20091103073642/Article
Berita Harian Online, 3 November 2009
Salam.... Sekadar berkongsi pendapat.... Agaknya kita ni pun terlalu meletakkan harapan yang terlalu tinggi terhadap kanak-kanak sekarang ni.... sedar tak pada umur 6 tahun kita dah begitu mengharap anak-anak kita sudah boleh membaca dan mengira dengan lancar serta pandai serba serbi pada usia sebegitu muda....
ReplyDeleteSedar tak anak-anak sekarang semakin haru biru, terlibat dengan gejala sosial dan sebagainya? Hal ini kerana mereka memberontak kerana tekanan.... Saya taknak cakap salah cikgu ke maka bapak ke.... Tapi saya tengok la.... Dalam kita menolak dan memaksa anak-anak kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi pandai, kita sebenarnya menjadikan mereka semakin bodoh....
Perasan tak anak-anak sekarang makin tak reti menguruskan diri.... Tak reti nak beza baik dan buruk.... Mereka terlalu didesak untuk menguasai akademik tetapi dari segi sosial mereka ketinggalan....
Cuba la bandingkan zaman kita belajar dulu dengan kanak-kanak zaman sekarang belajar.... Kecik2 kita dulu dah pandai memasak, menjahit dan membuat kerja2 rumah... Kita dilatih terlebih dahulu untuk belajar menghormat orang tua, pandai menguruskan diri dan patuh kepada nilai2 murni agama... Kita belajar mengenal sikap yang baik dan buruk terlebih dahulu sebelum belajar mengenal huruf....
Tapi zaman sekarang cikgu2 dan ibu bapa terlalu mengejar akademik.... Camne ni? Teori kata belajar sambil bermain.... Tapi realiti, main takde.... Belajar 3M tu sampai pandai.... Camne tu ke? Sepandai mana kita nak anak kita tapi terlalu bodoh sampai tak tahu nak menghormati guru, rakan dan org2 tua?
Cuba la banding pendidikan prasekolah di negara lain dengan kita.... Kita ni teori je hebat tapi praktikal hancur! Cuba la bincang pasal benda ni dengan guru2 dan orang2 yang cerdik pandai.... Pelaksanaan dasar pendidikan pun dah tak betul... Macam mana negara nak maju?
Inilah masalah yang timbul apabila para intelektual dalam bidang prasekolah di Malaysia hanya mereka yg tahu teori tetapi tiada pengalaman atau praktikal dalam bidang ini...
ReplyDelete