Followers

Tuesday, November 03, 2009

Murid prasekolah naik 87% pada 2012

Oleh MUZDALIFAH MUSTAPHA
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Kerajaan menyasarkan peningkatan 87 peratus pendaftaran kanak-kanak prasekolah kepada 447,556 murid pada 2012 berbanding 342,706 murid pada tahun ini.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, langkah meningkatkan jumlah kanak-kanak mengikuti pendidikan prasekolah itu merupakan usaha menjadikan sistem pendidikan negara terus relevan.

Menurutnya, pada masa sama, ia bagi mencapai matlamat menjadikan prasekolah sebagai salah satu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Kementerian Pelajaran.

“Pertambahan 104,850 murid itu adalah penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun yang mengikuti pembelajaran prasekolah kerajaan dan swasta,” katanya menjawab soalan Abd. Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, pihaknya memantapkan kemahiran berbahasa serta pembentukan sahsiah positif di kalangan kanak-kanak prasekolah mengikut kurikulum yang dikuatkuasakan sejak 2003 sama ada di sekolah kerajaan mahu pun swasta.

Katanya, kurikulum prasekolah sedia ada akan ditambah baik termasuk cadangan memanjangkan 50 peratus tempoh interaksi dalam bahasa Inggeris.

Menurutnya, 4,194 kelas prasekolah baru pula akan dibina menjelang 2012 selain menggalakkan penyertaan pihak swasta melalui cadangan pemberian insentif.

Tambah beliau, kementerian juga memberi latihan kepada guru prasekolah kerajaan dan swasta melalui Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme.

“Penyeliaan serta pemantauan bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dijalankan dari semasa ke semasa.

“Bukan itu sahaja, pelbagai program kesedaran bagi menggalakkan penyertaan ibu bapa terutama di luar bandar serta yang berpendapatan rendah akan dijalankan,” katanya.

Menjawab soalan tambahan Abd. Rahman mengenai masalah murid-murid normal yang keciciran membaca, menulis dan mengira (3M), Muhyiddin berkata, beliau yang menyedari perkara itu.

Menurutnya, masalah tersebut berlaku ekoran perbezaan kawasan pendidikan seperti di dalam dan luar bandar.

Bagaimanapun, jelasnya, kerajaan mengambil inisiatif menyediakan peruntukan RM48 juta melalui Bajet 2010 bagi memperbaiki kelemahan aspek keperluan, kemudahan dan latihan yang tidak mencukupi itu.

Menjawab soalan tambahan Dr. Tan Seng Giaw (DAP-Kepong), Muhyiddin berkata, program Permata di seluruh negara telah menunjukkan prestasi cemerlang dan kementerian bercadang mengembangkannya.

Sumber : http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=1103&pub=Utusan_Malaysia&sec=Pendidikan&pg=pe_01.htm

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.