Followers

Sunday, December 27, 2009

Didik anak sopan santun

Oleh NORLAILA HAMIMA JAMALUDDIN



ORANG kita sangat bangga apabila dilabelkan sebagai bangsa yang peramah, berbudi bahasa dan bersopan santun. Gambaran ini seolah-olah menjadi ‘lambang rasmi’ masyarakat kita.

Ini juga sebabnya ramai melenting marah (termasuk kepada pelakon Adlin Aman Ramli yang melakonkan watak lelaki sombong dalam iklan LRT) bagi kempen Budi Bahasa Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan apabila ia ditayangkan beberapa tahun lalu.

Malah, ramai tidak berpuas hati dan mempertikaikan hasil tinjauan rambang majalah Reader’s Digest disiarkan pada Jun 2006 yang meletakkan Kuala Lumpur di tangga ketiga daripada 35 ibu negara paling kurang berbudi bahasa selepas Bucharest dan Mumbai.

Walaupun ramai bersetuju dengan keputusan itu (berdasarkan pemerhatian dan pengalaman peribadi), lebih ramai menganggap ia pendedahan kurang tepat yang memburukkan nama masyarakat kita.




Namun seperti biasa, isu yang cepat timbul, cepat pula tenggelamnya dan kita masih meneruskan gaya kurang bersopan seperti dilaporkan dalam tinjauan berkenaan.


Siapa antara kita kerap menerima ucapan terima kasih apabila tolong menekan butang ‘buka’ pada lif atau memegang pintu supaya orang lain juga dapat masuk atau keluar?

Adakah ucapan terima kasih ini lancar keluar dari mulut anda apabila orang melakukannya kepada anda? Sebelum kita melabel orang lain kurang sopan, tanya diri sendiri adakah anda orang yang bersopan.

Tahukah anda, mengumpat atau mengata juga dikategorikan sebagai tindakan tidak sopan? Berapa kali anda memotong barisan ketika mahu membuat pembayaran di pasar raya?

Pernahkah anda melihat orang mencampakkan wang ke atas meja kaunter dan bukan menyerahkan wang bayaran ke tangan juru wang? Apa perasaan anda jika anda di tempat juruwang berkenaan?

Apabila anda membuat panggilan telefon, khususnya ke talian rumah, adakah ia dimulakan dengan ucap salam atau terus bertanyakan orang anda cari ada atau tidak.

Lebih buruk jika anda bertanya ‘awak siapa’ atau ‘siapa ni?’ kepada orang yang menjawab panggilan dan bukan memperkenalkan diri anda terlebih dulu.

Selain itu, berapa ramai terus memutuskan talian tanpa meminta maaf apabila tersilap membuat panggilan?

Ini antara serpihan contoh sikap kurang sopan di kalangan masyarakat kita. Kalau masuk bab kebiadaban di jalan raya, lagi panjang isunya.

Budi bahasa dan kesopanan tidak diwarisi, sebaliknya ia perlu dipelajari dan dijadikan amalan sepanjang hayat, kata Perunding Psikologi Pusat Perubatan Pantai, Dr Khairi Rahman.

Secara umumnya, orang kita memang miskin dan kedekut untuk meluahkan kata pujian atau penghargaan bukan saja untuk orang sekeliling, bahkan kepada ahli keluarga sendiri.

Ibu bapa yang kedekut dengan kata-kata penghargaan secara tidak langsung melahirkan anak kurang sopan dan tidak pandai menghargai orang lain.

“Bagi saya, orang Malaysia pandai menyesuaikan diri mengikut persekitaran. Apabila ada di satu-satu negara, kita berkelakuan seperti orang di sana.

“Jika penduduk di sana bersopan santun, kita terikut cara mereka. Cuma masalahnya apabila di negara sendiri, nilai berkenaan tidak diteruskan.

“Budaya masyarakat turut mempengaruhi perkara ini kerana bagi masyarakat Barat, perkataan yang dianggap ‘terlalu mesra’ di sini seperti ‘love, dear dan honey’ adalah biasa yang boleh digunakan kepada sesiapa saja sebagai pengganti nama.

“Bahkan, ada berpendapat isu bahasa seperti perkataan ‘please’ yang diterjemah kepada ‘tolong’ seolah-olah kita mengharapkan pertolongan orang.

“Memang tidak dapat dinafikan, budaya murni dan budi bahasa boleh hilang dengan pengaruh persekitaran atau apabila ada dalam komuniti baru.

“Contohnya di kalangan remaja; walaupun sejak kecil dididik dengan baik tetapi apabila bercampur dengan rakan sebaya, seseorang itu terikut cara rakan supaya dia dapat diterima dalam kumpulan berkenaan.

“Bagaimanapun dalam soal budi bahasa, tugas utama dipikul ibu bapa untuk dipupuk pada anak sejak kecil. Ia perlu dijadikan cara hidup kerana anak daripada keluarga yang cantik budi bahasanya dan pertuturannya menjadi individu lebih baik,” katanya.

Dr Khairi berkata, satu perkara yang kadangkala orang terlepas pandang ialah penggunaan bahasa di kalangan ibu bapa atau individu dewasa. Usah mengharapkan anak menggunakan perkataan baik dan sopan jika anda sebagai ibu bapa bercakap kasar.

Kanak-kanak umpama span yang menyerap segala perkara yang mereka lihat dan dengar. Yang menyedihkan, tabiat buruk itu lebih mudah diikut berbanding tabiat baik.

Jika sejak lahir terdedah kepada bahasa kasar, mereka menganggapnya sebagai perkara normal dan bahasa sama boleh digunakan apabila bercakap dengan orang lain.

“Sesetengah ibu bapa menggunakan perkataan ‘aku’ dan ‘engkau’ ketika bercakap dengan anak tanpa menyedari ia perkataan ganti diri yang kasar.

“Ia memberi kesan negatif kepada anak kerana mereka juga menggunakan perkataan ‘aku’ dan ‘engkau’ di kalangan adik beradik dan rakan.

“Cara terbaik ialah menggunakan perkataan ‘saya’ dan ‘awak’ atau nama sendiri. Bagi ibu bapa, mereka boleh gunakan perkataan ‘ibu’ atau ‘ayah’ apabila bercakap dengan anak.

“Ini secara tidak langsung mengajar anak menggunakan ganti nama diri yang sopan selain meletakkan mereka sebagai individu yang perlu dihormati,” katanya.



Sekolah peradaban

Semua masyarakat ada kesopanan tersendiri dan sejak berabad lalu ia menjadi antara perkara utama dalam hidup, khususnya di kalangan keluarga diraja dan golongan bangsawan.

Ini sebabnya golongan bangsawan Barat dulu menghantar anak mereka ke sekolah peradaban yang mengajar mereka menjadi individu beradab.

Ia tidak hanya memberi penekanan terhadap pertuturan, tetapi mereka turut diajar tata tertib di meja makan, termasuk cara mengunyah makanan!

Penulis tidak pasti sama ada sekolah seumpama ini wujud di Malaysia tetapi menurut Dr Khairi, jika ibu bapa menjadikan adab sopan sebagai cara hidup seperti dituntut agama, anak akan mempunyai akhlak baik dan terpuji dengan hanya dididik di rumah sendiri.

“Jangan sayang untuk menghukum anak jika mereka menunjukkan perlakuan biadap. Ibu bapa boleh mengamalkan sistem ‘ganjaran’ dan ‘hukuman’ untuk merangsang sikap baik pada anak.

“Ganjaran boleh dalam bentuk pujian, pelukan atau memberi peluang anak membuat satu-satu pilihan, tetapi elak memberi mereka wang.

“Mulakan pembentukan akhlak ini ketika anak masih kecil kerana sikap biadab sukar dikikis apabila mereka remaja,” katanya.

Ada yang mengaitkan kekurangan adab sopan dengan kemiskinan. Dr Khairi berkata, hidup susah dan kemiskinan memang boleh mempengaruhi bahasa digunakan ibu bapa.

Perasaan kecewa, sedih dan tertekan kadangkala membuatkan seseorang hilang kewarasan dalam memilih perkataan baik walaupun mereka tidak bermaksud untuk bercakap kasar.

Kurang kemahiran berkomunikasi dan pendidikan juga boleh menyumbang kepada perkara ini. Memang diakui tidak ramai ibu bapa membuat persediaan awal untuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi sebelum mempunyai anak.

Ramai beranggapan kemahiran menjadi ibu bapa wujud secara automatik selepas mempunyai anak, sedangkan semuanya perlu dipelajari.

Benarkah kanak-kanak yang datang daripada keluarga kasar berkemungkinan menjadi pembuli? Ya. Buli tidak hanya melalui perlakuan, tetapi ia boleh ditunjukkan melalui percakapan.

Bagaimanapun, si pembuli kanak-kanak mungkin tidak tahu ia satu kesalahan jika dia dibesarkan dalam keluarga yang tidak sunyi daripada cercaan, maki, marah dan bercakap menggunakan perkataan tidak elok.

Malah, tidak mustahil individu yang dibesarkan dalam persekitaran negatif juga ‘menurunkan’ persekitaran sama kepada isteri dan anak mereka. Jadi, masalah kurang ajar dan tidak bersopan berterusan dalam keluarga.

Ada orang dibesarkan dalam suasana sangat negatif iaitu menjadi mangsa untuk dipersalahkan bagi setiap keadaan, malah ibu bapa menganggap mereka sebagai pembawa malang.

Persekitaran begini menyebabkan si anak tidak yakin pada diri sendiri kerana percaya mereka tidak berguna dan hanya membawa malang kepada keluarga.

“Anak yang dibesarkan dalam persekitaran begini mungkin tidak menjadi insan biadab tetapi biasanya bersikap sarkastik iaitu percakapan mereka sentiasa menyakitkan hati.

“Mereka boleh membuktikan perkara sebaliknya jika dapat lari daripada persekitaran yang negatif ini seperti belajar di sekolah berasrama, masuk ke universiti atau bekerja di tempat lain. Bagaimanapun, tidak ramai berpeluang lari ke persekitaran baru.

“Pada masa sama, mereka boleh menjadi individu narsisisme iaitu bersikap mengagumi diri sendiri dengan berkata ‘aku buat itu dan ini, demi engkau aku bersusah payah ....’ Ini sikap tidak normal ditunjukkan seseorang yang kurang mendapat pengiktirafan positif.

“Kadangkala rasa ego mendorong seseorang itu menjadi narsisisme sebagai cara meluahkan apa yang terbuku dalam hatinya,” kata Dr Khairi.

Sebaliknya, anak yang dibesarkan dengan penuh kasih sayang boleh berubah menjadi individu kurang ajar disebabkan pengaruh persekitaran.

Ini sebabnya ibu bapa perlu sentiasa memantau dan menegur anak hingga mereka besar dengan cara berhemah tanpa memalukan mereka.



Kesan bersikap biadap

Biasanya kesan negatif hanya dirasai orang di keliling individu berkenaan yang membuatkan mereka rasa sakit hati, geram, hilang ‘mood’ untuk bekerja atau marah. Pada si pelaku, mereka tidak merasai apa-apa kerana sikap itu menjadi sebahagian daripada dirinya.

Jika si pelaku adalah kanak-kanak, ibu bapa menerima tempiasnya kerana ia jelas memberitahu masyarakat bahawa ibu bapa itu tiada budi bahasa. Ini kerana kanak-kanak adalah cermin kepada perlakuan ibu bapa dan ahli keluarga di rumah.

“Individu kurang ajar tidak sedar mereka banyak melukakan hati orang lain. Pun begitu, mereka sebenarnya boleh ‘diajar’. Jika mereka bersikap sarkastik, perlu ada orang mampu mematahkan percakapan mereka; seperti pepatah Melayu ‘bertemu buku dengan ruas’.

“Bukan bertujuan menjadi biadap, tetapi untuk menyedarkan mereka. Namun ia bukan mudah, justeru ramai akan menghindarkan diri daripada individu kurang ajar begini dan hanya berkomunikasi apabila perlu.

“Bagaimanapun, mereka boleh berubah menjadi individu bersopan santun dalam keadaan tertentu seperti ketika bercinta bagi memberi imej positif kepada pasangan.

“Perubahan ini tidak kekal kerana ia dilakukan bukan tujuan mahu berubah, sebaliknya untuk memiliki sesuatu. Biasanya mereka kembali ke perangai asal selepas berkahwin,” katanya.

Individu kurang sopan juga sangat sukar mengungkapkan perkataan maaf. Meminta maaf tandanya mengakui anda silap dan mahu menjernihkan keadaan.

Penyelidik percaya jika anda sanggup meminta maaf dengan ikhlas, sama ada permohonan maaf anda tidak diterima tetapi anda masih menerima manfaatnya. Selepas meminta maaf, jiwa dan fikiran anda berasa lebih tenang.

“Setiap orang perlu sentiasa menilai diri sendiri dari semasa ke semasa, terutama apabila usia meningkat. Hanya dengan cara ini kita boleh berubah.

“Ibu bapa perlu menerima hakikat bahawa anak sekarang mempunyai lebih pengetahuan. Malangnya, ada ibu bapa sukar menerima perubahan walaupun tahu ia membabitkan perkara baik.

“Dalam hal ini anak boleh menunjukkan teladan baik melalui cucu, banyakkan berdoa kepada Allah atau bawa ibu bapa berjumpa kaunselor mahupun pakar psikologi.

“Ada kala mereka memerlukan pihak ketiga untuk berubah. Jangan harapkan perubahan berlaku sekelip mata kerana adab sopan adalah ilmu dan kemahiran yang perlu dipelajari sepanjang hayat.

“Tidak salah kita meniru budaya baik kaum lain. Contohnya, orang Jepun diajar untuk bersikap baik dan manis bukan saja kepada orang lain, tetapi diri sendiri. Begitu juga penduduk Thailand. Apabila kita mampu menghargai diri sendiri, kita juga lebih mudah menghormati orang lain,” katanya.

Menurutnya, tiada istilah terlewat untuk berubah. Usaha ini lebih mudah pada pasangan muda yang ada anak kecil selagi mereka mengamalkan ajaran agama dan tidak jemu untuk belajar menjadi ibu bapa yang lebih baik berbanding ibu bapa mereka.

Banyak ayat al-Quran yang menitikberatkan persoalan pembinaan akhlak yang baik, antaranya firman Allah dalam surah al-Ahzab ayat 21 yang bermaksud: “Sesungguhnya pada diri Rasullullah itu contoh teladan yang baik bagi kamu (iaitu) bagi orang yang berharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari akhirat dan dia banyak mengingati Allah.”

Pada ibu bapa yang tua, belajar untuk menerima perubahan secara berperingkat. Kita tidak rugi jika melakukan perubahan positif, malah ia antara langkah untuk menjadi datuk dan nenek yang lebih disayangi cucu.

Bak kata imam al-Ghazali, kita mesti belajar untuk hidup beradab, bukan menjadi biadab.

1 comment:

Note: Only a member of this blog may post a comment.