Sunday, March 22, 2009
Tema: Anggota Badan
lembaran kerja untuk tema anggota badan.
Tema: Makanan & Minuman
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
Sepak tunggul inai
Berdarah ibu kaki
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
Sepak tunggul inai
Berdarah ibu kaki
Semangkuk jerluk
Sepinggan dagang
Tak cukup pulut
Tambah nasi dagang
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
Jong jong inai
Mak ipong waja wali
Sikap pemalu kanak-kanak normal
Oleh Hafizah Iszahanid
hafiza@bharian.com.my
Jika terlalu malu mereka perlu dibantu kerana masalah itu boleh ganggu pembesaran dan pembelajaran merekaANAK kecil yang terlalu pemalu ada kalanya merunsingkan ibu bapa. Biasanya kanak-kanak ini tidak mahu berenggang jauh dengan ibu bapa dan sukar bergaul dengan rakan sebaya.
Kanak-kanak yang pemalu memang normal, malah sikap pemalu itu boleh dikesan sejak kecil. Biasanya antara 15 hingga 20 peratus kanak-kanak bersikap sedemikian. Bagaimanapun, ia tidak akan mengganggu pembesaran dan pembelajaran mereka seandainya sikap malu itu tidak terlalu ekstrem.
Jika sikap itu mengehadkan pembelajaran, peluang dan pengalaman hingga tidak mahu ke sekolah, anda perlu membantunya. Ia kerana kanak-kanak yang terlalu malu sukar mendapat kawan, tidak banyak bercakap dan tidak didengari di kalangan rakan sebaya.
Kerap kali, kanak-kanak yang pemalu mengambil masa lama untuk menyesuaikan diri dengan situasi baru berbanding kanak-kanak lain. Namun, sebagai ibu bapa, pastikan anda membantunya untuk menyesuaikan diri dengan keadaan baru dan berinteraksi dengan kawan-kawan baru.
Perasaan malu adalah rasa tidak selesa dan takut dalam menghadapi situasi sosial. Selalunya, kanak-kanak begini tidak bertindak balas dengan perkara baru dalam hidup mereka misalnya makanan baru, tempat atau bertemu orang baru.
Kanak-kanak yang yakin
pada dirinya dapat
mengawal rasa malu.
Mereka hanya memerhati orang lain tetapi tidak mahu bercakap atau menyertai kumpulan kawan baru walaupun dijemput. Selalunya mereka lebih selesa ditemani ibu bapa walaupun pada usia pra sekolah. Malah, ada yang terpaksa ditemani ibu bapa hingga ke bilik darjah. Mereka tidak mahu kehadiran mereka disedari, tidak mahu menyertai sebarang aktiviti dan tidak mahu perhatian.
Tidak jelas mengapa sesetengah kanak-kanak bersikap pemalu dan sesetengah tidak, tetapi selalunya ia dikaitkan dengan sikap ibu bapa sendiri yang mungkin pemalu atau mereka sering dibuli atau dikritik. Kadang kala sikap pemalu itu disebabkan perasaan takut pada persekitaran baru, misalnya memulakan hari pertama di sekolah atau menaiki bas sekolah buat pertama kali. Selain itu, kanak-kanak itu pemalu kerana rasa rendah diri yang keterlaluan.
Ada kalanya, anak itu malu pada situasi baru dan kawan-kawan baru tetapi perlahan-lahan boleh menyertai mereka tidak lama selepas itu. Mungkin juga mereka tidak selesa dalam kumpulan yang besar tetapi selesa apabila bersama kumpulan kecil. Dia juga boleh memulakan persahabatan dengan orang lain tetapi sedikit sukar.
Di kalangan kanak-kanak, rasa malu menjadi semakin tebal pada usia antara empat hingga lima tahun dan pada usia 12 tahun. Kadang kala kanak-kanak berasakan dia berbeza daripada orang lain (misalnya kulitnya hitam berbanding kawan-kawannya berkulit putih) menjadikannya malu atau tertekan.
Sesetengah kanak-kanak lahir dengan rasa malu atau terlebih sensitif. Malah, bayi pun ada rasa malu. Mungkin anda menyedarinya, terutama apabila dia kerap menyorok mukanya bila bertemu orang lain atau malu bertemu orang lain.
Bagaimanapun, sikap pemalu itu tidak bermakna mereka tidak normal. Ia tidak menjadi sebarang masalah hinggalah ia mengganggu pelajarannya. Misalnya tidak mahu ke sekolah, malu bergaul dengan rakan sebaya dan bercakap dengan guru.
Cara membantu anak yang pemalu
Sumber: Berita Harian: Ahad 22 Mac 2009
Susu dan Prestasi Mental Kanak-kanak
SUSU telah sekian lama diketahui mempunyai nutrien penting untuk pembesaran badan dan minda kanak-kanak dan juga sebagai satu sumber kalsium untuk tulang.
Susu juga menjadi sumber nutrien asas yang lengkap dari ibu kepada anak, untuk pelbagai spesies hidupan.
Susu (terutamanya susu ibu) turut diperakui memberi perlindungan imuniti melalui pemindahan antibodi dan komponen-komponen lain.
Dari segi komersial, susu juga banyak digunakan dalam menghasilkan bermacam produk termasuklah keju, yogurt, aiskrim dan coklat.
Bagaimanapun, tidak banyak penyelidikan dijalankan terhadap fungsi nutrien susu secara menyeluruh dalam pembesaran fizikal dan mental.
* Penyelidikan
Dalam usaha memahami dan mengesahkan kesan pengambilan susu kepada perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak, Dutch Lady Milk Industries (M) Berhad (Dutch Lady Malaysia) dan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan bekerjasama dalam satu penyelidikan yang dijangka mengambil masa antara enam hingga lapan bulan.
Dengan kos kira-kira RM500,000, kajian ini akan bertumpu kepada perkembangan mental kanak-kanak prasekolah Malaysia yang berumur sekitar lima tahun.
Prestasi mental adalah satu istilah bagi mendefinisikan memori lisan, memori ruang, waktu reaksi, kebolehan mengingati nombor dan gambar, serta kebolehan memfokus atau menumpukan perhatian.
Bagi kanak-kanak berumur lima tahun, kebolehan-kebolehan tersebut dikira sebagai sesuatu yang penting bagi membantu perkembangan memori dan mempraktikkan apa yang diajar atau dikatakan sebelum itu.
Kajian berkenaan akan dijalankan menggunakan alatan perisian khas yang direka oleh Cognitive Drug Research, sebuah institusi penyelidikan antarabangsa terkemuka di United Kingdom, dan dikendalikan Jabatan Nutrisi dan Ilmu Kaji Diet UPM.
Hasil kajian itu kelak akan dijadikan satu sumber asas maklumat saintifik tempatan yang dapat menunjukkan kesan dan perbezaan perkembangan mental berbanding negara lain, hasil pengambilan nutrien susu.
* Keutamaan nutrisi
Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Hans Laarakker menegaskan syarikat berkenaan bukan hanya menumpukan kepada pengeluaran produk tenusu malahan sebagai usaha meningkatkan kepakaran keperluan nutrisi kanak-kanak.
"Produk kami berkisar sekitar kesihatan dan juga nutrisi. Oleh itu, penekanan diberikan untuk menyampaikan nutrien lengkap untuk pembangunan mental dan fizikal kanak-kanak.
"Bagi menggariskan komitmen kami kepada pengguna, produk yang dikeluarkan adalah untuk perkembangan yang menyeluruh pengguna, dengan sihat dan kuat," katanya.
Menurut beliau, kerjasama dengan UPM itu diharapkan dapat mencapai komitmen kepakaran nutrisi Dutch Lady Malaysia selepas lebih 50 tahun bertapak di Malaysia.
Selain mementingkan kebersihan produk tenusu di pasaran, kajian nutrisi produk terbabit dilihat sebagai sesuatu yang penting dalam memastikan kanak-kanak dibekalkan dengan sumber nutrien yang cukup dan lengkap sepanjang tempoh pembesaran mental dan fizikal mereka.
Laarakker berharap hasil kajian berkenaan dapat membantu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan nutrisi, terutamanya untuk kanak-kanak yang sedang membesar.
"Sebelum ini kita banyak bergantung kepada penemuan penyelidikan di Barat yang mungkin kurang sesuai untuk diambil kira untuk senario tempatan.
"Ianya juga bagi memenuhi tanggungjawab kami dalam menyediakan fakta nutrisi, nilai kesihatan dan keselamatan produk yang dipasarkan," tegas beliau.
Dengan itu katanya, pengguna akan mendapat kepastian maklumat yang disampaikan bukan atas dasar dakwaan kosong tetapi hasil fakta penyelidikan saintifik yang boleh dipercayai.
Penyelidikan dalam persekitaran tempatan ini diharapkan dapat meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai kesan pengambilan susu terhadap perkembangan minda kanak-kanak.
Selain itu, maklumat yang diperolehi diharap dapat memberi pilihan kepada ibu bapa dalam memberikan sumber nutrien yang seimbang, lengkap dan selamat untuk tempoh pembesaran anak-anak mereka kelak.
Sumber: Mingguan Malaysia: Kesihatan ( Ahad, 22 Mac 2009 )Pemakanan Kanak-kanak
Pemakanan untuk si manja
Persatuan Dietitian Malaysia
BADAN anak anda memerlukan pelbagai nutrien. Kebanyakan nutrien ini iaitu karbohidrat, protein, lemak, vitamin dan mineral, diperolehi daripada makanan yang berlainan. Itulah sebabnya anda perlu memastikan diet si manja mengandungi pelbagai jenis makanan.
Anak anda juga memerlukan nutrien berkenaan dalam jumlah yang betul untuk membolehkan mereka membesar dengan sihat dan sempurna. Pengambilan terlalu banyak atau terlalu sedikit nutrien tertentu boleh membawa kepada masalah kurang berat badan, anemia atau obesiti.
Piramid Kumpulan Makanan untuk Kanak-Kanak
Bukan susah untuk memastikan si manja mendapat pelbagai nutrien yang diperlukan dalam jumlah yang betul. Anda boleh merujuk kepada Piramid Panduan Makanan untuk Kanak-Kanak sebagai panduan terbaik memastikan anak anda mendapat khasiat pemakanan secukupnya.
Piramid Panduan Makanan menunjukkan dengan jelas jenis dan jumlah makanan yang perlu diambil setiap hari. Sebagaimana yang dilihat daripada bentuknya, makanan di bahagian bawah sekali atau tahap 1 adalah yang ‘perlu diambil paling banyak’. Pengambilan makanan di bahagian atas piramid pula hendaklah semakin dikurangkan sementara pengambilan makanan di puncak Piramid adalah yang ‘paling sedikit’. Piramid ini juga memaparkan jumlah makanan yang berlainan dalam setiap kumpulan makanan. Jadi, anda boleh memilih dan pelbagaikan rasa, tekstur dan bentuknya dalam setiap sajian!
Panduan Piramid Makanan
Marilah kita tumpukan perhatian kepada Piramid dan lihat apa yang boleh anda berikan kepada si manja.
l Tahap 1 - Makan Paling Banyak
Makanan dengan karbohidrat kompleks yang disenaraikan di bahagian bawah sekali adalah sumber tenaga yang diperlukan badan si manja. Karbohidrat kompleks dipecahkan menjadi glukosa, untuk menggerakkan fungsi badan dan memberi si manja tenaga yang diperlukan. Makanan ini juga mengandungi serat, iaitu karbohidrat tidak hadam yang membolehkan sistem penghadaman berfungsi dengan sihat.
l Tahap 2 - Makan Lebih
Buah-buahan dan sayuran membekalkan vitamin (seperti vitamin A, E, C dan B), mineral (seperti zat besi, kalsium, zink) dan serat. Buah-buahan dan sayur-sayuran juga mengandungi bahan yang sihat dinamakan fitokimia. Kebanyakan fitokimia adalah antioksidan yang dipercayai dapat membantu menentang penyakit. Walaupun diletakkan di tahap yang sama dalam Piramid, anda tidak boleh memberi si manja buah-buahan atau sayur-sayuran semata-mata. Si manja memerlukan kedua-duanya!
l Tahap 3 - Makan Secara Sederhana
Makanan dalam tahap ini termasuk ikan, ayam, daging, telur, pelbagai produk kekacang dan juga susu serta produk tenusu. Makanan ini kaya dengan protein, yang merupakan blok binaan asas untuk tisu badan. Ia perlu untuk membaiki, mengganti dan membuat tisu, serta memastikan pertumbuhan optimum. Protein diperbuat daripada asid amino. Badan memerlukan 22 asid amino, dengan 8 daripadanya mesti dibekalkan oleh makanan harian (asid amino perlu). Susu dan produk tenusu juga bukan sahaja kaya dengan kalsium, tetapi juga pelbagai vitamin dan mineral.
l Tahap 4 - Makan Paling Sedikit
Makanan di hujung Piramid adalah lemak, gula dan garam. Si manja perlukan lemak sebagai sebahagian daripada nutrien. Lemak membekalkan tenaga, vitamin larut lemak dan asid lemak perlu. Bagaimanapun, badan si manja hanya memerlukan sedikit lemak. Jadi, pengambilan lemak secara berlebihan boleh menyebabkan berat badannya meningkat. Tetapi jangan sama sekali memilih diet rendah lemak atau tanpa lemak untuk si manja! Sebaliknya, berikan makanan berlemak secara sederhana agar si manja lebih sihat dan cergas.
Gula hendaklah diberikan secara berhemat, manakala garam dihadkan pada jumlah yang sangat kecil.
*Tambah Lebih Khasiat Kebaikan. Piramid Panduan Makanan sekadar memberi idea mengenai jenis makanan dan jumlah yang wajar diberikan kepada si manja. Idea berikut sedikit sebanyak dapat membantu anda menambah khasiat kebaikan di dalam diet si manja.
*Cuba gaya masakan yang berlainan. Sesetengah cara masakan adalah lebih sihat daripada yang lain. Sebaik-baiknya, utamakan cara yang lebih sihat seperti membakar, mengukus dan memanggang.
*Utamakan makanan, buah dan sayur segar. Makanan segar adalah lebih sihat. Lebihkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar dalam diet si manja. Sebaik-baiknya, beli lebih banyak bahan makanan segar daripada makanan diproses atau makanan berbungkus (dalam tin).
Baca label pemakanan (ramuan). Semak label makanan yang diproses untuk memastikan kandungan dan khasiatnya, seperti vitamin, mineral dan serat, selain jumlah lemak, gula dan garam. Senarai ramuan akan menunjukkan sama ada ia ditambah gula (disenaraikan di bawah pelbagai nama seperti maltosa, dektrosa), pengawet, pewarna tiruan, dan pemanis, yang kesemuanya tidak menambah nilai pemakanan.
*Masakan di rumah adalah yang terbaik. Makanan yang dimasak di rumah selalunya lebih sihat dan berkhasiat kerana anda boleh menambah sayur serta buah, di samping mengurangkan minyak dan lemak. Anda juga boleh memesan sajian yang disediakan dengan cara lebih sihat ketika makan di luar.
Bagaimanapun, pemakanan yang baik tidak terbatas kepada pengambilan makanan yang disyorkan dalam Piramid, tetapi juga meliputi amalan dan tabiat makan yang sihat dan betul. Selain menyediakan makanan yang bersih dan selamat, anda juga perlu memastikan si manja makan mengikut masa, dan tidak terkurang ataupun terlebih makan.
Rencana ketiga kami akan menjelaskan bagaimana kadar tumbesaran si manja mempengaruhi pengambilan makanan, mengapa si manja kadang-kala enggan makan, dan bagaimana untuk menyelesaikan masalah ini dengan menjadikan makanannya lebih menarik dan masa makan yang lebih menceriakan!
Untuk mendapatkan bahan pendidikan tentang panduan pemakanan kanak-kanak dan mengetahui aktiviti lain yang dianjurkan oleh program Bulan Pemakanan Sihat Malaysia 2009, layarilah laman web www.nutriweb.org.my atau datang beramai-ramai ke karnival di Mid Valley Exhibition Centre pada 4 dan 5 April ini untuk menyertai aktiviti-aktiviti yang menyeronokkan bersama seisi keluarga, mulai jam 10 pagi.
Sumber: Mingguan Malaysia: Kesihatan ( Ahad, 22 Mac 2009)