Dari Perspektif Teori
PENGENALAN
 Kebanyakan sistem pendidikan di dunia  menekankan kepentingan membina  minda yang kreatif dalam kalangan pelajarnya.  Hari ini, kreativiti dan  pemikiran asal dikenali sebagai salah satu faktor  penggerak sesebuah  negara untuk bersaing di arena antarabangsa. Sistem  pendidikan ini  mengenali kepentingan kreativiti dipupuk dari masa kanak-kanak  masih  kecil lagi kerana minda mereka belum dibentuk sepenuhnya oleh   persekitaran melalui norma masyarakat dan pembelajaran formal.  Kanak-kanak  dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta  berkembang mengikut fitrah  semula jadi proses tumbesaran mereka.
A. Teori Jean Piaget
Jean Piaget (Rajah 1.1) ialah ahli  psikologi dan pendidik.  Beliau  telah  dilahirkan di Neuchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896 dan telah  meninggal dunia  pada tahun 1980.  Piaget berminat dalam  bidang  biologi. Sepanjang hidupnya beliau suka membaca subjek falsafah,   sosiologi dan teologi.  Akhirnya beliau  telah memilih bidang psikologi,  khususnya mengkaji tingkah laku kanak-kanak.
 
Rajah 1.1: Jean Piaget
Sumber: bp0.blogger.com/.../5-WZnWd5MH0/   s320/piaget.gif
 Menurut Piaget, perkembangan intelektual kanak-kanak  tidak  bergantung kepada pengajaran secara langsung orang dewasa. Sebaliknya,   perkembangan kanak-kanak bergantung kepada interaksi antara dua faktor  utama  iaitu faktor keturunan (baka) dan faktor persekitaran.  Kanak-kanak lahir dengan  kebolehan mental semula jadi untuk belajar.
 Piaget percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui  aksi. Interaksi  mereka dengan persekitaran semasa membesar membantu mereka  mencipta  dengan sendiri tanpa pertolongan orang dewasa, pengetahuan atau skema.   Pengetahuan baru sentiasa menggantikan skema yang lama dalam proses yang   dikenali sebagai asimilasi, akomodasi dan ekuiliberasi. Piaget juga  menekankan  bahawa perkembangan intelektual menguasai semua aspek  perkembangan yang lain  seperti emosi, sosial dan moral.
 Piaget paling dikenali untuk hujah beliau yang  mengatakan bahawa  kematangan dari segi biologi mendahului kebolehan  pembelajaran mereka.  Ini bermakna, kanak-kanak harus ada kesediaan dari segi  kematangan  (biologi) mereka sebelum mereka boleh melakukan operasi mental.  Menurut  Piaget, perkembangan kognitif kanak-kanak dari bayi hingga dewasa   adalah melalui empat peringkat konsekutif iaitu:
- Peringkat Sensorimotor: 0-2 tahun
 - Peringkat Praoperasi: 2- 7 tahun
 - Peringkat Operasi Konkrit: 7- 11 tahun
 - Peringkat Operasi Formal: 11 - 15 tahun
 
Implikasi  Terhadap Pengajaran Dan PembelajaranOleh kerana Piaget menyarankan bahawa kanak-kanak  belajar melalui  pengalaman dan melakukan aktiviti secara 
hands-on, penyediaan  persekitaran yang menarik dan merangsang  pembelajaran adalah penting.  Persekitaran yang kondusif adalah penting untuk  membolehkan kanak-kanak  mencipta pengetahuan secara tidak langsung. Untuk  tujuan ini,  penggunaan makmal, bengkel dan teknologi yang interaktif sangat  berguna  bagi menggalakkan perkembangan kreatif kanak-kanak. Sebaliknya,   penghafalan maklumat dan pembelajaran bahasa secara latih-tubi ditolak  sama  sekali oleh Piaget. 
Jelasnya, ramai pakar pendidikan psikologi  menganggap teori  perkembangan Piaget sebagai hampir sempurna kepada sistem  perkembangan  kognitif manusia. Banyak pandangannya yang bersangkut paut dengan   pemprosesan maklumat di dalam otak manusia. Melalui model pemprosesan  maklumat  Piaget menjelaskan bahawa penerimaan maklumat bergantung pada  pemprosesan dan  penterjemahan data sensori dan menukar data itu ke  dalam bentuk yang boleh  disimpan dan diguna semula apabila diperlukan.  Dengan mempelajari bagaimana  otak manusia memproses maklumat, kita  dapat melihat dan mengkaji bagaimana  manusia mampu berfikir,  berpersepsi, menterjemah dan mempercayai. Jean Piaget  memandang  kecerdikan itu sebagai dasar kepada proses yang aktif di mana manusia   dapat memperoleh maklumat melalui interaksi dengan pelbagai objek, idea  dan  pergaulan dengan orang lain di persekitarannya.
B.Teori Vygotsky
 Lev S. Vygotsky (Rajah 1.2) ialah seorang pakar  psikologi Russia  yang meninggalkan andaian yang jelas tentang perkembangan  bahasa. Idea  utama Lev Vygotsky ialah kemahiran perkembangan kognitif berlaku  di  dalam konteks sosiobudaya dan berkembang di dalam interaksi sosial  kanak-kanak.
 
Rajah 1.2: Lev S. Vygotsky
Sumber:  http://en.wikipedia.org/wiki/Lev_Vygotsky
 Lev S. Vygotsky ialah pengkritik terawal kepada  andaian-andaian yang  diketengahkan oleh Piaget. Vygotsky memberi pandangan  tentang  perkembangan kognitif kanak-kanak yang cukup berlainan dengan pendapat   Jean Piaget. Vygotsky menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak tidak  mengikut  tahap-tahap perkembangan. Sebaliknya, Vygotsky menegaskan  bahawa setiap fungsi  dalam perkembangan budaya kanak-kanak muncul dalam  dua aras iaitu pada aras  sosial dan pada aras individu.
 Teori budaya-sosial (socio-cultural) menyatakan bahawa  kanak-kanak belajar melalui  interaksi sosial dan budaya. Budaya dan  masyarakat memainkan peranan sangat  penting di dalam teori Vygotsky.  Menurutnya, pengalaman sosial dan budaya  mempengaruhi cara berfikir,  dan perkara yang difikirkan.  Kanak-kanak berinteraksi menggunakan  bahasa  atau dialog dengan ahli-ahli yang lain dalam masyarakatnya untuk  belajar  tentang nilai budaya. Kanak-kanak mengembangkan bahasa mereka  melalui interaksi  dengan ibu bapa serta rakan-rakan di dalam budaya  mereka. 
 Beberapa ciri penting teori ini dijelaskan  seperti berikut:
 - Tahap pembelajaran atau kematangan  mental seseorang kanak-kanak  boleh ditingkatkan melalui scaffolding. Scaffolding merupakan   pertolongan atau bimbingan yang diberi oleh orang yang lebih  berpengalaman  untuk meningkatkan tahap pembelajaran atau pemikiran  kanak-kanak.
 - Vygotsky percaya semua orang  mempunyai Zone Of Proximal  Development (ZPD) iaitu potensi kognitif pada tahap yang lebih  tinggi. Potensi ini hanya  mampu dicapai melalui proses scaffolding.
 - Bahasa merupakan alat untuk berfikir dan alat yang digunakan oleh  orang  dewasa untuk memindahkan pengetahuan kepada kanak-kanak.
 - Alat-alat yang digunakan dalam sesuatu budaya atau cultural  tools (seperti bahasa, media, televisyen atau komputer) adalah   sangat penting untuk meningkatkan komunikasi, pembelajaran dan  pemprosesan  pemikiran ke tahap yang lebih tinggi.
 
 
Implikasi  Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran
Dari segi pengajaran dan pembelajaran, seseorang  guru yang  mengamalkan prinsip-prinsip teori Vygotsky akan mendapati proses   pembelajaran yang sangat aktif. Guru akan menggunakan teknik scaffolding  dengan membimbing dan  memberi tindak balas tentang pembelajaran  isi kandungan baru. Guru juga akan  menyediakan alat-alat pembelajaran  yang bersesuaian dan mencukupi untuk  mencapai objektif pengajatan yang  efektif.
 Vygotsky mengutarakan cadangan supaya perkembangan  kanak-kanak  didasarkan kepada keupayaan mereka menggunakan perantaraan bahasa,   sistem nombor dan peta bagi perkembangan kognitif. Keupayaan mereka pula   bergantung kepada pendedahan mereka kepada pembantu dan persekitaran  orang  dewasa yang kebiasaannya terdiri daripada guru-guru dan pengasuh.  Ini sangat  bermakna terhadap perkembangan kreativiti, kognitif, sosial  dan kemahiran  mengawal perasaan.
Pendekatan Teori Perkembangan Kanak-kanak Piaget dan Vygotsky  terhadap Konsep Kreativiti 
 Walaupun pendekatan teori Piaget dan Vygotsky  terhadap pengajaran  dan pembelajaran berbeza, namun kedua-dua teori ini  bersetuju akan  kepentingan pembelajaran melalui discovery learning. Piaget  menyarankan pembelajaran penemuan di  mana guru kurang membimbing.  Vygotsky pula menekankan bimbingan guru sebagai  faktor utama.
 Dalam konteks perkembangan kreativiti, Piaget  dan Vygotsky bersetuju  berkenaan kebaikan bermain dalam mengembangkan  kreativiti kanak-kanak.  Kreativiti boleh dirangsang melalui aktiviti bermain.  Bagi  kanak-kanak, masa bermain merupakan masa yang penuh dengan keseronokan  dan  cabaran. Justeru, rangsangan melalui permainan berbentuk akademik  juga perlu  diwujudkan. Sebagai contoh, guru boleh menggalakkan aktiviti  seperti aktiviti  melukis, menconteng, membuat kolaj, “sandplay” dan  sebagainya. 
 Apabila  bermain, kanak-kanak menggunakan daya imaginasi ketika  bermain. Menurut Piaget  dan Vygotsky, imaginasi terikat kepada cara  bagaimana kanak-kanak memahami  dunia persekitarannya dan  perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka.  Murid juga  seharusnya diberikan peluang untuk memilih bahan dan alatan yang  boleh  digunakan untuk pelbagai aktiviti bermain dan aktiviti seni.
 Oleh  itu, dalam pengajaran dan pembelajaran, adalah berfaedah jika  guru menyediakan  aktiviti-aktiviti yang berbentuk permainan untuk  mengembangkan kreativiti  kanak-kanak.
 C. TEORI PERKEMBANGAN EMOSI MENURUT  ERIKSON
 
Rajah 1.3: Erik Erikson
 Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Image:Erik_Erikson.png
 Erik Erikson (Rajah 1.3) ialah  seorang ahli psikososial yang banyak  menumpukan kajian kepada perkembangan  sosial dan emosi kanak-kanak.  Erikson mengatakan bahawa semua individu melalui  lapan peringkat  perkembangan yang bersiri dari hari pertama dilahirkan hingga  dewasa.  Pada setiap peringkat terdapat krisis-krisis yang perlu diselesaikan   sebelum boleh berkembang ke peringkat seterusnya. Jika krisis-krisis ini  tidak  ditangani dengan baik, seseorang individu akan mengalami  kesukaran menangani  krisis pada peringkat-peringkat yang berikutnya. 
 Peringkat perkembangan emosi kanak-kanak  menurut Erikson adalah  seperti berikut:
 - Percaya lawan Tidak Percaya (trust vs mistrust)
 Dalam lingkungan usia 0 hingga 18 bulan.  Erikson merujuk kepada  peringkat ini sebagai peringkat oral-sensori di mana  bayi dipengaruhi  oleh deria visual dan sentuhan. Perkembangan emosi kanak-kanak   bergantung kepada orang dewasa terutamanya ibu bapa untuk memenuhi  keperluan  fizikal dan emosi. Peringkat ini dianggap peringkat paling  penting kerana ia  akan mempengaruhi perkembangan bayi melalui  pengalamannya.  Peringkat rasa kepercayaan ini dibina dalam  tahun  pertama dan kanak-kanak membina rasa kepercayaan secara berperingkat.   Kanak-kanak akan membina rasa ketidakpercayaan jika keperluannya tidak  dapat  dipenuhi.
 Kepercayaan akan memudahkan seorang  kanak-kanak menghadapi serta  mengatasi masalah dalam hidup. Rasa percaya akan  terus dipupuk jika  kanak-kanak itu sentiasa berasa selamat disayangi serta  diberi  perhatian oleh ibu bapa. Sebaliknya, jika keperluan asas pada peringkat   ini tidak dirasai, ketidakpercayaan akan menghalang atau melemahkan  bayi dalam  mengatasi kesulitan hidup dan kanak-kanak akan membesar  dengan rasa kecewa,  tidak percaya dan ragu-ragu kepada semua orang  disekelilingnya.
 
    - Otonomi  lawan Rasa Malu (autonomy vs shame) 
 Dalam  lingkungan usia 18 bulan hingga 3 tahun. Pada ketika  kanak-kanak berumur 18  bulan, konsep kendiri kanak-kanak mula  bertambah. Kanak-kanak mula mengetahui  apa yang disebut. Pada peringkat  ini kanak-kanak meningkatkan kemahiran  berdikari dari segi belajar  berjalan, bercakap, makan dan menggunakan tandas.  Mereka membina konsep  kendiri dan autonomi melalui kemahiran mengawal  pergerakan motor  kasar. Kebolehan membezakan perlakuan yang betul dan salah  juga turut  berkembang. Keinginan memiliki kuasa dan keinginan untuk melakukan   sesuatu dengan daya usaha sendiri juga turut berkembang. Kanak-kanak  akan  berasa malu jika tidak diberi kuasa atau merasakan dirinya kurang  cekap.  Sebaliknya, keyakinan kanak-kanak akan dapat dipupuk apabila  dipuji.
 Pada peringkat umur ini, kanak-kanak akan  merasa takut jika  melakukan kesalahan. Tingkah laku yang tidak diingini  hendaklah dikawal  supaya kanak-kanak tidak merasa malu. Tingkah laku yang  positif dan  yang diingini juga patut dipuji. Cara ini akan membantu kanak-kanak   mengenal dan membezakan jenis-jenis tingkah laku yang digalakkan dan  yang perlu  dielakkan.
 Pada peringkat ini, jika kanak-kanak  dimalukan atau dihalang  daripada melakukan aktiviti, perasaan malu akan timbul.  Rasa malu ini  boleh membuatkan kanak-kanak meragui kebolehannya sendiri, dan   mengakibatkan wujud konsep kendiri yang rendah.
 - Inisiatif lawan Rasa Bersalah (initiative vs  guilt)
 Dalam lingkungan usia 3 hingga 5 tahun.  Peringkat ini dipanggil  peringkat bermain di mana kanak-kanak cuba meniru  tingkah laku orang  dewasa melalui proses bermain.  Kanak-kanak menggunakan inisiatif dan   imaginasi mereka untuk mencipta pelbagai situasi permainan dan memainkan   peranan sebagai orang dewasa. Dengan cara ini kanak-kanak belajar  berbagai  kemahiran yang menunjukkan keupayaan menggunakan imaginasi  seperti bekerjasama  dan memimpin.
 Proses ini juga  menggalakkan perkembangan kemahiran menyelesaikan  masalah, mencari maklumat  baru dan membentuk konsep yang berkaitan  dengan peranan jantina. Pada peringkat  ini, jika kanak-kanak sentiasa  diperlakukan supaya rasa bersalah, mereka akan  rasa kecewa, takut dan  terlalu bergantung kepada orang dewasa. Ini akan  mewujudkan keadaan  yang kurang membina kemahiran kreativiti, bermain dan  aktiviti yang  melibatkan  imaginasi.  
 Oleh itu Erikson menegaskan bahawa kanak-kanak  perlu digalakkan  menjelajah, beraksi dan melakukan aktiviti untuk mendapatkan  kepuasan  emosi. Jelasnya, kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang   dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran  mereka.  Pada peringkat 1 hingga 3 tahun kanak-kanak gemarkan aktiviti  melukis dan  mewarna. Ini kerana aktiviti ini dapat memberikan kepuasan  kepada kanak-kanak  dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan  semula dalam bentuk dan rupa  imej yang unik mengikut tahap pemahaman  mereka. Melalui aktiviti melukis,  kanak-kanak dapat meningkatkan daya  sensitiviti pancaindera dan  lukisan yang dihasilkan berfungsi sebagai   alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak.
D. TEORI KECERDASAN PELBAGAI
 Howard Gardner (1983), merupakan  orang yang bertanggungjawab  mengasaskan  teori kecerdasan pelbagai. Beliau merupakan  seorang ahli  psikologi Jerman terkenal dan   berpengaruh dari Universiti Havard.  Gardner (1983) menyatakan bahawa  manusia mempunyai sekurang-kurangnya  lapan kecerdasan dan pada tahun 1999  Gardner menyatakan bahawa semua  ada satu lagi kecerdasan iaitu Kecerdasan  Spiritual.
 
Rajah  1.4: Howard Garder 
 Sumber: http://www.weac.org/graphics/conven97/gardner.jpg
 Rajah 1.5 Menerangkan teori kecerdasan menurut Gardner.
 
Rajah  1.5: Sembilan Jenis  Kecerdasan Menurut Gardner
 Gardner percaya semua jenis kecerdasan ini   bekerjasama secara kompleks, berkembang melalui pendidikan, pengalaman  dan  persekitaran yang bermakna dan kecerdasan tersebut boleh  dipelajari, dibentuk,  ditingkatkan dan sentiasa berubah sepanjang  hayat.
 Beberapa prinsip penting Teori Kecerdasan Pelbagai ialah seperti   berikut:
 - Kecerdasan pada asasnya adalah  diwarisi turun temurun tetapi  boleh ditingkatkan melalui pembelajaran dan pengajaran.
 -   Setiap individu mempunyai  kombinasi 9 kecerdasan yang dipanggil  profil kecerdasan   yang berbeza bagi setiap individu.
 - Setiap individu mempunyai  kebolehan membangunkan kesemua  kecerdasannya dengan adanya galakan, pengayaan  dan pengajaran yang  sesuai.
 - Semua kecerdasan adalah bersifat  dinamik yang boleh dikenal pasti  dan dinyatakan dengan jelas jika setiap  individu mendapat peluang  untuk mengenal dan  membangunkan  kepelbagaian kecerdasannya.
 - Latar belakang peribadi menjadi  faktor penting dalam membentuk  dan mengembangkan  pengetahuan,  kepercayaan dan kemahiran dalam semua  jenis kecerdasan.
 Setiap individu mempunyai adunan  kecerdasan yang unik, sentiasa  berubah, kecerdasan antara individu itu adalah  berbeza dari segi  perkembangannya. 
Teori Kecerdasan Pelbagai Dan Perkembangan  Kreativiti Kanak-kanak
 Gardner (1993) menganggap semua kanak-kanak  berpotensi berfikir  secara kreatif. Pada peringkat awal, kanak-kanak sentiasa  melintasi  sempadan-sempadan norma ketika asyik bermain atau apabila tekun   melakukan sesuatu aktiviti. 
 Menurut Gardner (1999), kreativiti kanak-kanak  boleh ditingkatkan  melalui cara-cara berikut:
 - Pendedahan awal  kepada individu lain yang selesa mengambil risiko  dan yang tidak mudah  mengalah.
 - Memberi peluang  untuk cemerlang dalam sekurang-kurangnya satu  aktiviti atau bidang yang  diceburi.
 - Menyediakan  persekitaran yang sentiasa mencabar   supaya murid  sentiasa berada pada tahap kecemerlangan.
 - Membentuk  hubungan dengan rakan sebaya yang rela diuji dan tidak  takut gagal.
 - Menyediakan  persekitaran keluarga yang menggalakkan atau  mewujudkan hubungan toleransi  terhadap sifat kanak-kanak yang gemar   mencabar autoriti.
 
Aktiviti Kreativiti Dan Estetika Yang Membantu  Perkembangan  Kecerdasan Pelbagai
 Unsur-unsur Kreativiti Dan Estetika adalah  terdiri daripada  elemen  asas yang  penting dalam menghasilkan sesuatu yang mempunyai unsur  kreatif. Guru boleh  melaksanakan aktiviti berikut untuk mengembangkan  pelbagai kecerdasan murid.
 - Membentuk Garisan
Garisan ialah cantuman dari satu titik ke  titik yang lain  dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis  garisan  dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran   bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual (lihat Rajah 1.6).
 - Melakar bentuk atau rupa
 Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline)  dan sempadan  yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa  geometri  dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan   penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat  pada  bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari  ruang di  sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil  pertemuan antara  penghujung garisan dan permulaannya.
 - Membentuk 
Bentuk lazimnya merujuk kepada struktur  jisim dan isi padu. Terdapat  dua jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan bentuk  ilusi. Bentuk dapat  dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf  tradisi.  Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat tiga dimensi. Bentuk   ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya  bersifat  rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan lukisan  berkomputer 3  dimensi.
 - Jalinan 
Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada  permukaan  sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi  sesuatu objek  kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan  sentuh dan jalinan  tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat  dirasai melalui sentuhan,  contohnya kulit buah durian (alam semula  jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan  manusia). Jalinan tampak pula  jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi  tidak dapat dirasai  melalui sentuhan. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi  oleh  garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua   objek.
 - Warna 
 Warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu   permukaan. Warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas,  warna  sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna  biru, merah dan  kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan  warna tertier. Warna  sekunder pula terdiri daripada warna hijau,  jingga dan ungu; dan dapat  dihasilkan daripada campuran dua warna asas.  Sementara itu, warna tertier  terhasil daripada percampuran warna asas  dan sekunder.
 
   
Rajah 1.6: Contoh aktiviti membentuk garisan
 Sumber:  http://www.dafko.com/Colorins/connect%20the%20dots%202.jpg 
  |    
        
  |                      •  |          Teori  perkembangan intelektual  memberi inspirasi dan panduan berguna kepada pendidik  kerana  memberikan gambaran yang menakjubkan berkenaan dunia pemikiran murid.   |                         •  |          Sekiranya  guru dapat mengesan  dan membantu murid untuk mengatasi kekurangan atau  kelemahan di dalam  perkembangan pemikiran mereka, maka proses pengajaran dan pembelajaran   menjadi lebih berkesan.  |                         •  |          Teori  ini juga penting untuk  membantu guru mengembangkan konsep pemprosesan maklumat  kerana  perkembangan kognitif individu dapat digambarkan sebagai suatu proses   perkembangan yang berterusan dalam sistem pemprosesan maklumat.   |                         •  |          Proses  kognitif adalah  termasuk persepsi, perhatian, ingatan dan menguji hipotesis  yang saling  berkait di dalam proses pengembangan bahasa khususnya kemahiran   membaca.   |                         •  |          Kecemerlangan  kognitif  kanak-kanak bukan sahaja dapat dilihat dalam bentuk hitungan nombor   sahaja, malah tetap diperlukan di dalam bidang sastera, budaya dan  sosial serta  lebih banyak berkaitan dengan kreativiti.   |                         •  |          Kanak-kanak  sangat berminat  dengan aktiviti seni dan kreatif. Aktiviti seni dan kreatif  memberi  peluang kepada kanak-kanak untuk merealisasikan imaginasi mereka di   dalam pelbagai cara. Ini termasuklah aktiviti seni seperti melukis,  mewarna,  kraf tangan, muzik, nyanyian, drama, puisi, membentuk arca dan  sebagainya.   |                         •  |          Kanak-kanak  seronok melibatkan  diri dalam aktiviti-aktiviti kreatif dan estetika, yang  paling penting  guru haruslah sentiasa bersedia dan membuat perancangan yang  teliti  terutamanya dalam menyediakan bahan yang ingin digunakan untuk sesuatu   aktiviti kerana perancangan yang baik membantu kelancaran pengajaran dan  pembelajaran.   |                |      
  |    
        
  |      
  |      
  |