Followers

Showing posts with label Artikel Prasekolah. Show all posts
Showing posts with label Artikel Prasekolah. Show all posts

Sunday, November 13, 2011

Pendedahan seni bantu pembinaan personaliti

SEREMBAN 27 Sept. - Pendedahan seni dalam kalangan murid di peringkat prasekolah perlu diberikan keutamaan sekali gus dapat membantu proses pembinaan personaliti dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, mata pelajaran seni dan muzik yang diajar di prasekolah ketika ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid mengenai seni dan muzik namun ia tidak dijalankan secara intensif.

Malah katanya, terdapat prasekolah yang tidak mempunyai peralatan dan kemudahan yang mencukupi untuk memastikan pengajaran seni dan muzik dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada murid-murid.
''Mengikut kajian yang dilakukan oleh Stanford University, Amerika Syarikat, ia mendapati bahawa bidang seni mendidik kanak-kanak dalam membuat penilaian dan perhitungan, penyelesaian masalah dan memupuk aspek pemikiran kreatif.

''Justeru, sekiranya aspek seni diberikan penekanan dalam pendidikan awal kanak-kanak, saya percaya kita mampu membentuk sebuah bangsa Malaysia yang cemerlang, kreatif dan berketerampilan," katanya.
Rosmah yang juga Penaung Permata Negara Malaysia berkata demikian ketika berucap pada program Kasih Dititip Budi Bersemi anjuran Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia daerah (PBPPPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) di Auditorium Tunku Puan Chik, Pusat Penyiaran Tuanku Muhamad (RTM), Sungai Gadut dekat sini hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek dan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPPM), Datuk Sudin Kamari.

Dalam pada itu, Rosmah memberitahu, Program Permata Seni yang dianggotai seramai 150 orang setakat ini telah menunjukkan keberkesanannya dengan pencapaian yang amat membanggakan walaupun kewujudan program itu tidak sampai dua tahun.

''Mereka telah berjaya membuat persembahan di Konsert Permata Seni pada tahun lalu di samping menjayakan pelbagai persembahan lain.

''Insya-Allah pada hujung tahun ini, kami akan mengadakan Festival Seni Kanak-Kanak yang akan disertai oleh lapan buah negara meliputi, Singapura, Filipina, India, China, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Malaysia sendiri," katanya.



Utusan Malaysia: 28 September 2011

Guru memupuk kreativiti si kecil



Guru memainkan perangan penting dalam memupuk kreativiti kanak-kanak.



SETIAP kanak-kanak sebenarnya berpotensi menjadi seorang yang kreatif. Bagaimanapun ia turut bergantung kepada pembimbing mereka terutama guru untuk mencungkil daya kreativiti tersebut.

''Sebaiknya usaha ini kena dilakukan oleh guru ketika kanak-kanak berada di peringkat prasekolah lagi,'' kata Pensyarah Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puan Sri Prof. Dr. Rohaty Mohd Majzub.

Beliau memberitahu dua perkara yang perlu diutamakan dalam usaha untuk merangsangkan kreativiti kanak-kanak.

Pertama, ia harus dimulakan pada peringkat prasekolah kerana itu merupakan masa yang cukup sesuai bagi menggalakkan pembangunan kanak-kanak.

Katanya, di situlah letaknya cabaran kepada guru mahupun pengasuh dan ibu bapa untuk menggalakkan kanak-kanak ini melalui pengalaman yang membantu mengembangkan daya kreativiti.

''Keduanya, kumpulan pemikir juga perlu merancang untuk membangunkan modal insan menjelangnya Wawasan 2020 dan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) bermula peringkat prasekolah lagi,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucaptama pada Bengkel dan Seminar Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

Bengkel sehari itu dianjurkan Fakulti Pendidikan Sains Sosial, Universiti Tun Abdul Razak (UTAR) Kuala Lumpur baru-baru ini.

Dr. Rohaty berkata, biasanya guru akan tertekan dengan bebanan kurikulum akademik sehingga tidak mempunyai masa untuk membangunkan kreativiti kanak-kanak.

'Tambahan pula tekanan daripada ibu bapa sendiri yang mengharapkan anak-anak mereka lulus cemerlang dalam bidang akademik,'' katanya.

Selain itu, katanya, guru-guru juga menghadapi tekanan masa bagi menyelesaikan tugas-tugas pentadbiran.

Bagaimanapun kata Dr. Rohaty, masih terdapat pelbagai cara untuk guru-guru menggalakkan kreativiti di kalangan kanak-kanak.

''Sediakan satu persekitaran kelas yang membolehkan yang anak-anak muda ini meneroka dan bermain melalui aktiviti kurikulum,'' katanya.

Selain itu katanya, guru-guru perlu bersedia supaya dapat menyesuaikan diri untuk menerima idea yang akan diberikan oleh kanak-kanak.

Guru-guru juga tidak boleh memaksa kanak-kanak untuk menerima idea yang diberikan oleh mereka.

Jelasnya, suasana itu akan dapat merangsang kanak-kanak melaksanakan idea itu dengan lebih seronok tanpa halangan.

"Guru hanya perlu memberikan bimbingan dan jangan cuba untuk menyekat idea itu supaya kanak-kanak ini merasa lebih bebas tanpa rasa tertekan.

''Guru juga tidak boleh terlalu bergantung kepada sukatan pelajaran, bahan bacaan bercetak dan latihan semata-mata,'' katanya.

Katanya, guru sepatutnya menunjukkan yang dia juga seorang aktif berfikir dan bersemangat 
mahu mempelajari sesuatu yang baru.

''Guru juga perlu memberikan lebih masa untuk membolehkan kanak-kanak ini meneruskan projek yang sedang dilakukan sekalipun telah melebihi jadual,'' katanya.

Selain itu katanya, guru juga tidak perlu terikut dengan sukatan pelajaran, bahan bacaan dan latihan kerana ini tidak akan memberi peluang untuk kanak-kanak itu merasai sendiri pengalaman termasuk menggunakan tangannya.

''Guru perlu mengenal pasti perbezaan individu dalam pembelajaran dengan mengambil kira jenis pelajar dan kebolehan mereka,'' tambahnya.

Jelasnya, apa yang penting guru-guru prasekolah sepatutnya memberi peluang kepada kanak-kanak untuk menggunakan sepenuhnya ruang bilik darjah bagi menerap dan memupuk kreativiti mereka.

Sumber: Utusan Malaysia 20 Oktober 2011.

Sunday, May 22, 2011

Pakar UKM reka program pembelajaran untuk kanak-kanak pra sekolah melalui MEL

Oleh Kuah Guan Oo

BANGI, 13 Sept 2010 – Sekumpulan lima orang pakar pendidikan dan penyelidik Universti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mereka satu program interaktif yang menyeronokkan bagi menggalak kanak-kanak pra-sekolah membaca dan belajar.


Digelar “MEL” atau “Mari mEmbaca Lagi”, pakej bahan pelajaran yang digubah berasakan penyelididikan itu mengandungi 30 cekera padat (CD), 30 judul cerita dalam buku bercetak (60 judul semuanya) bersama satu buku panduan. Ia dihasilkan oleh pensyarah UKM yang berpengalaman lebih daripada 25 tahun dalam bidang pendidikan.


Pakej MEL untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 8 tahun itu telah menarik minat Oxford Fajar, cawangan Oxford University Press di Malaysia, untuk menyediakan lukisan dan illustrasi untuk buku-buku cerita itu.


Ketua projek MEL, Prof Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman berkata beliau dan beberapa orang rakannya di UKM telah berbincang mengenai kekurangan buku di pasaran untuk kanak-kanak mula belajar membaca dari usia 2 tahun.


Ini telah mengilhamkannya untuk menyediakan bahan bacaan itu dan hasilnya MEL direka dan diterbitkan.


Rakan-rakannya yang terlibat ialah Prof Madya Dr Azlina Ahmad dan Dr Muriati Mukthar, pensyarah kanan di Fakulti Teknologi dan Sains Matlumat (FTSM) UKM, Prof Datin Dr Siti Rahayah Ariffin, dekan Fakulti Pendidikan UKM dan Prof Dr Tengku Mohd Tengku Sembok (kini bertugas di Fakulti Sains dan Teknologi Maritim, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia).


Prof Halimah, seorang professor di FTSM, berkata mereka memperolehi satu geran dari Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (kini Kementarian Sains, Teknologi dan Innovasi) untuk menghasilkan bahan itu.


Walaupun geran itu diberi di bawah Rancangan Malaysia ke-7, mereka telah selesai pakej MEL yang mengaplikasikan penggabungan hibrid antara penggunaan bahan elektronik dan bahan cetak, tahun ini, ditengah-tengah kesibukan kuliah dan tugas lain masing-masing.



Walaupun lambat, hasilnya cukup berkesan seperti yang dibuktikan oleh pelajar Sarjana dan doctor falsasah mereka yang telah menjalankan ujian menggunakan MEL. Ia menunjukkan bahawa kanak-kanak di Tadika dan Taska boleh membaca selepas dua bulan mengikuti pajek itu.


“Apa yabg berbeza dengan MEL ialah ia menarik minat kanak-kanak yang seronok dicabar untuk merasa, tengok, berfikir dan berinteraksi dengan guru, rakan-rakan dan persekitaran mereka,” katanya.


Bagi para guru Taska dan Tadika, pakej MEL merupkan satu cabaran yang besar dalam menyediakan bahan yang dapat mengubah budaya pembelajaran dari pembelajaran hanya secara hafalan fakta kepada budaya berfikir, berkreatif, inovatif dan penyayang.



Pakej MEL dengan CDs dan buku itu adalah fleksibel untuk para guru menggunapakaikan semua bahan pembelajaran dalam lingkungan setahun.


“MEL memperkenalkan konsep pembacaan dan pelajaran awal yang holistic untuk membentuk kanak-kanak dengan identiti Malaysia yang unik dan konsep ini boleh digunapakai di mana-mana di dunia,” ujar Prof Halimah.


Beliau berkata untuk mempastikan pajek MEL itu holistic, beliau dan rakan-rakannya telah menerapkan 5 daripada 8 domain perkembangan generik kanak-kanak berdasarkan Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF) iaitu, pengetahuan, etika dan nilai, kesedaran persekitaran, komunikasi dan pembelajaran seumur hidup.


Berasaskan kemahiran-kemahiran tersebut, bahan mempelajaran itu direka dan disusun untuk menitikberatkan perkembangan sosial, kognitif, affektif atau emosi, pisikal atau psikomotor, daya kreatif serta innovasi.


Rancangan mengajar merangkumi pelbagai aktiviti pra membaca, pra menulis, pra matematik dan sains berasaskan domain kognitif seperti bahasa, sains, matematik, muzik, seni kreatif, seni lukis serta kraf tangan berdasarkan tema dan sub-tema mengikut kurikulum pra sekolah Negara.


Buku panduan itu akan membantu para guru, ibu-bapa atau penjaga memahami, mendorong serta melibatkan diri bersama kanak-kanak (konsep keterangkuman ataupun inclusiveness) dalam proses pertumbuhan literasi awal kanak-kanak yang boleh dilanjutkan sehingga kanak-kanak itu menjejak kaki ke dunia pendidikan formal.


“Jadi, tujuan kami adalah menyediakan sebuah panduan berasakan kontinum pertumbuhan literasi awal kanak-kanak yang bermula daripada usaha awal mereka membaca, menulis, mengira, berfikir secara logik, berfikiran saintifik dan berkomunikasi hingga ke peringkat rendah,” kata Prof Dr Halimah.


Oleh sebab cerita selalu menggemarkan kanak-kanak, buku-buku MEL akan membawa mereka ke muzium dan Masjid Kristal atau mereka boleh mengikuti telatah Jojo, Si Tupai Dusun. Mereka juga boleh mengetahui tentang air dan warna yang menceriakan alam sekitar mereka menerusi CDs.


Pakej MEL dimana bahan elektroniknya adalah perisian kursus multimedia dan Internet, dibahagikan ke tiga peringkat. Peringkat pertama adalah untuk kanak-kanak berusia 2 hingga 4 tahun, peringkat kedua untuk kanak-kanak berusia 4 hingga 5 tahun dan peringkat ketiga untuk mereka berusia 5 hingga 7.


Prof Dr Halimah berkata tempoh yang paling sesuai bagi para guru, ibu-bapa dan penjaga untuk menghabiskan pengajaran silibus MEL ialah setahun.


Untuk mengetahui kemajuan kanak-kanak dalam mempelajaran mereka, MEL menyediakan satu checklist bagi para guru, ibu-bapa atau penjaga memantau perkembangan dan kemajuan kanak-kanak itu.



Walaupun Prof Halimah merupakan seorang saintis dan pakar ICT, beliau tidak menjejak kaki ke dunia pendidikan pra sekolah tanpa sebarang pengalaman.


Khuatir tentang anak bongsunya, Riza, yang enggan membaca semasa berusia 4 atau 5 tahun, si-ibu itu mengilham dan merekakan cerita khas seperti kereta biru Riza dan sebagainya untuk menarik minat anak kesayangannya membaca.


Apabila kisah kereta biru yang menjadikan Riza sebagai watak utama, kanak-kanak itu pun mula berminat membaca dan akhirnya beliau dengan bangga melihat anaknya itu menerima ijazah Sarjananya baru-baru ini.


Tetapi, dalam proses mendorong dan mengajar anaknya sendiri Prof Halimah telah mewujudkan satu seri bahan mempelajaran pra sekolah baru yang digelar Bawal pada tahun 1994/5 yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).


Apa yang menyedihkannya Bawal telah diciplak dan dijual di pasaran. Walaupun beliau telah melaporkan kepada DBP, beliau tidak nampak terdapat apa-apa hasil darinya.


“Ada seorang datang menjual Bawal ciplak kepada saya suatu hari, dan apabila saya memintanya periksa nama saya dengan nama yang tercatit di buku Bawal itu, beliau terkejut!” katanya.


Walaupun beliau rugi kerana perbuatan ciplak itu, Prof Halimah amat berpuas hati apabila beliau diberitahu oleh seorang pemudi di suatu persidangan di UKM, “Professor, I membesar dengan Bawal!”


“Cuba anda bayangkan, saya terjumpa seorang pemudi yang membesar dengan Bawal saya!” ketawa beliau.


Prof Dato’ Dr Halimah Badioze Zaman boleh dihubungi di:
hbz@ftsm.ukm.my
Tel: 603 2891 6349

Sumber: http://www.ukm.my/news/index.php/ms/berita-penyelidikan/457-ukm-experts-make-it-fun-for-pre-school-children-to-learn.html

Friday, August 13, 2010

KANAK-KANAK DAN SENI TIGA DIMENSI ( 3-D)

PENGENALAN

Apabila kanak-kanak menggunakan media tiga dimensi, mereka membentuk kerja seni yang mempunyai kedalaman, ketinggian dan kepejalan, warna dan bentuk.Penggunaan seni tiga dimensi ini merangkumi membentuk “playdough” atau plastesin, kolaj dan kerja kayu. Playdough boleh disediakan dengan menggunakan bahan seperti tepung, minyak masak dan dimasak. Ia juga boleh didapati di pasaran. Melalui playdough ini, kanak-kanak berpengalaman menggentel, menguling atau meleper. Dalam ertikata lain, mereka dapat memaksimumkan kemahiran motor halus mereka.

MEMBENTUK DAN MENGUKIR

Bermain dengan playdough ini, kanak-kanak berpeluang menghasilkan bentuk-bentuk yang mereka inginkan dengan penuh kreatif dengan cara mereka tersendiri.

Kanak-kanak sedang bermain playdough

Selain dari playdough, kolaj adalah gabungan bahan-bahan seperti kertas tisu, butang, kulit cengkerang dan lain-lain disatukan pada bahan untuk binaan seperti kotak tisu, tin minuman dan kotak susu. Melalui kolaj ini, kanak-kanak berpeluang menghasilkan satu rekaan yang menarik dan tersendiri Beberapa perkara yang harus diberi perhatian sebelum memulakan aktiviti. Ia juga merupakan kombinasi bahan-bahan secara kreatif yang dilekat bersama-sama dengan menggunakan glu atau gam. Kanak-kanak yang mencipta kolaj dapat meneguhkan kesedaran mencipta bentuk, tekstur bahan dan juga warna.

Wood working” atau kerja kayu, memerlukan alat-alat yang berkualiti, pengajaran yang tepat dan sangat mementingkan keselamatan. Selain dari itu, penyeliaan yang rapi perlu dititikberatkan agar semua peraturan-peraturan dipatuhi (Rajah 5.3). Bagi aktiviti ini, kayu dari jenis yang lembut dan paku yang berkepala besar boleh digunakan bagi membolehkan kanak-kanak melakukan kerja kayu.

Bagi kanak-kanak yang lebih kecil, adalah lebih baik jika digantikan kayu dengan styrofoam yang tebal bagi supaya mereka mudah melakukan kerja-kerja gergaji dan ia lebih lembut.Kanak-kanak ini sedang membuat aktiviti pertukangan kayu dan mereka ini harus diawasi


TAHAP UMUR

Menurut Shirrmacker (1998), terdapat empat peringkat pengalaman yang dilalui oleh kanak-kanak apabila bermain dengan playdough:

a.


Peringkat 1 (dua tahun).



Bertanya soalan apakah playdough ini dan akan meneroka dan memegang dan merasa bentuknya samada lembut atau keras, sama ada boleh dileperkan atau dicubit-cubit dan dileperkan dan sebagainya.

b.


Peringkat 2 (tiga tahun).



Bertanya soalan apakah yang boleh dibuat dengan playdough ini dan memulakan proses mengguling, meleper dan menguli.

c.


Peringkat 3 (empat tahun).



Akan menunjukkan apa yang telah dibentukkan walaupun bentuk yang dihasilkan dengan secara tidak sengaja.

d.


Peringkat 4 (lima tahun).



Pasti dengan tentang apa yang akan dibentukkan.

Bahan dan Peralatan

Kanak-kanak belajar melalui kehidupan harian dan persekitaran di tadika. Bahan dan peralatan yang disediakan perlu dirancang dan direkabentuk bagi membantu pertumbuhan dan perkembangan serta meningkatkan kreativiti kanak-kanak.

Keperluan menyediakan sesuatu yang kreatif, baru dan pelbagai dapt meransang kanak-kanak untuk mencuba dan menghasilkan sesuatu rekaan.

Bahan-bahan terbuang, bahan kitar semula, bahan berkos rendah dan bahan semulajadi boleh digunakan bagi menambah hasil yang kreatif. Dengan bahan-bahan yang pelbagai ini, kanak-kanak akan terdorong untuk menyampaikan idea mereka dengan tersendiri.

Peranan Guru

Guru perlu menghargai idea kanak-kanak sebagai sesuatu yang bernilai. Ini adalah kerana orang dewasa kerap tidak mengindahkan atau mengenepikan idea kanak-kanak. Guru patut banyak memberi peluang dan kebebasan kepada kanak-kanak mencuba sesuatu, merekacipta atau membuat projek. Seseorang guru yang kreatif atau cenderung menjadi kreatif boleh memupuk atau meningkatkan daya kretiviti kanak-kanak dalam pemikiran. Oleh itu, seseorang guru yang kreatif akan bertindak sebagai fasilitator dalam proses pembelajaran di samping pemberi motivasi dalam pembelajaran bagi kanak-kanak.

Guru perlu menghormati idea kanak-kanak walupun ia luar biasa, aneh atau berbeza. Guru juga perlu menggunakan penyelesaian masalah secara kreatif dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di samping menggalakkan mereka berfikir. Mereka perlu diberi masa untuk berfikir dan elakkan dari memberi jawapan kepada semua permasalahan.

Selain dari itu, guru juga boleh menggalakkan kanak-kanak berfikir dengan bertanyakan soalan–soalan seperti:

  • “Apa yang anda buat?"
  • “Mengapa anda buat begitu?”
  • “Kenapa tidak anda buat begini?”

Pelbagai jawapan yang akan diberikan oleh kanak-kanak dan guru harus bijak melayan kerenah mereka.

AMALAN YANG BERSESUAIAN

Dalam konteks DAP (Developmental Appropriate Practise), seni tiga dimensi ini adalah sesuatu yang konkrit yang dapat memberi gambaran yang kukuh terhadap sesuatu yang dipelajari. Oleh itu, sebagai guru prasekolah haruslah menjalankan amalan yang sesuai bagi memberangsangkan minda serta dapat meningkatkan prestasi serta kebolehan kanak-kanak.

Kesediaan Kanak-kanak

Terdapat 3 peringkat yang dikemukakan oleh Eva Essa dalam Early Childhood Curriculum, menyatakan bahawa kanak-kanak akan melukis apa yang mereka ketahui dan lukisan mereka akan menggambarkan sesuatu peringkat. Terdapat 3 peringkat iaitu:

  1. Peringkat menconteng di mana kanak-kanak 2 hingga 4 tahun akan membuat contengan dan tanda-tanda yang mewakili sesuatu, contoh bentuk bulat mewakili buah, segi empat mewakili kereta dan sebagainya;
  2. Peringkat preskematik di mana kanak-kanak berusia 4 hingga 7 tahun melukis sesuatu yang ada dalam ingatan mereka tetapi tidak begitu tepat, contoh alat permainan di padang permainan; dan
  3. Peringkat skematik di mana kanak-kanak berumur 7 tahun akan melukis sesuatu yang lebih tepat seperti gambar rumah saya.

Sumber : Kreativiti dan Pembelajaran Kanak-kanak, Modul OUM.

Monday, June 21, 2010

PERKEMBANGAN KREATIVITI DAN PEMBELAJARAN KANAK-KANAK

Dari Perspektif Teori

PENGENALAN

Kebanyakan sistem pendidikan di dunia menekankan kepentingan membina minda yang kreatif dalam kalangan pelajarnya. Hari ini, kreativiti dan pemikiran asal dikenali sebagai salah satu faktor penggerak sesebuah negara untuk bersaing di arena antarabangsa. Sistem pendidikan ini mengenali kepentingan kreativiti dipupuk dari masa kanak-kanak masih kecil lagi kerana minda mereka belum dibentuk sepenuhnya oleh persekitaran melalui norma masyarakat dan pembelajaran formal. Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka.


A. Teori Jean Piaget

Jean Piaget (Rajah 1.1) ialah ahli psikologi dan pendidik. Beliau telah dilahirkan di Neuchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896 dan telah meninggal dunia pada tahun 1980. Piaget berminat dalam bidang biologi. Sepanjang hidupnya beliau suka membaca subjek falsafah, sosiologi dan teologi. Akhirnya beliau telah memilih bidang psikologi, khususnya mengkaji tingkah laku kanak-kanak.



Rajah 1.1:
Jean Piaget
Sumber: bp0.blogger.com/.../5-WZnWd5MH0/ s320/piaget.gif

Menurut Piaget, perkembangan intelektual kanak-kanak tidak bergantung kepada pengajaran secara langsung orang dewasa. Sebaliknya, perkembangan kanak-kanak bergantung kepada interaksi antara dua faktor utama iaitu faktor keturunan (baka) dan faktor persekitaran. Kanak-kanak lahir dengan kebolehan mental semula jadi untuk belajar.

Piaget percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui aksi. Interaksi mereka dengan persekitaran semasa membesar membantu mereka mencipta dengan sendiri tanpa pertolongan orang dewasa, pengetahuan atau skema. Pengetahuan baru sentiasa menggantikan skema yang lama dalam proses yang dikenali sebagai asimilasi, akomodasi dan ekuiliberasi. Piaget juga menekankan bahawa perkembangan intelektual menguasai semua aspek perkembangan yang lain seperti emosi, sosial dan moral.

Piaget paling dikenali untuk hujah beliau yang mengatakan bahawa kematangan dari segi biologi mendahului kebolehan pembelajaran mereka. Ini bermakna, kanak-kanak harus ada kesediaan dari segi kematangan (biologi) mereka sebelum mereka boleh melakukan operasi mental. Menurut Piaget, perkembangan kognitif kanak-kanak dari bayi hingga dewasa adalah melalui empat peringkat konsekutif iaitu:

  1. Peringkat Sensorimotor: 0-2 tahun
  2. Peringkat Praoperasi: 2- 7 tahun
  3. Peringkat Operasi Konkrit: 7- 11 tahun
  4. Peringkat Operasi Formal: 11 - 15 tahun

Implikasi Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran


Oleh kerana Piaget menyarankan bahawa kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan melakukan aktiviti secara hands-on, penyediaan persekitaran yang menarik dan merangsang pembelajaran adalah penting. Persekitaran yang kondusif adalah penting untuk membolehkan kanak-kanak mencipta pengetahuan secara tidak langsung. Untuk tujuan ini, penggunaan makmal, bengkel dan teknologi yang interaktif sangat berguna bagi menggalakkan perkembangan kreatif kanak-kanak. Sebaliknya, penghafalan maklumat dan pembelajaran bahasa secara latih-tubi ditolak sama sekali oleh Piaget.

Jelasnya, ramai pakar pendidikan psikologi menganggap teori perkembangan Piaget sebagai hampir sempurna kepada sistem perkembangan kognitif manusia. Banyak pandangannya yang bersangkut paut dengan pemprosesan maklumat di dalam otak manusia. Melalui model pemprosesan maklumat Piaget menjelaskan bahawa penerimaan maklumat bergantung pada pemprosesan dan penterjemahan data sensori dan menukar data itu ke dalam bentuk yang boleh disimpan dan diguna semula apabila diperlukan. Dengan mempelajari bagaimana otak manusia memproses maklumat, kita dapat melihat dan mengkaji bagaimana manusia mampu berfikir, berpersepsi, menterjemah dan mempercayai. Jean Piaget memandang kecerdikan itu sebagai dasar kepada proses yang aktif di mana manusia dapat memperoleh maklumat melalui interaksi dengan pelbagai objek, idea dan pergaulan dengan orang lain di persekitarannya.


B.Teori Vygotsky

Lev S. Vygotsky (Rajah 1.2) ialah seorang pakar psikologi Russia yang meninggalkan andaian yang jelas tentang perkembangan bahasa. Idea utama Lev Vygotsky ialah kemahiran perkembangan kognitif berlaku di dalam konteks sosiobudaya dan berkembang di dalam interaksi sosial kanak-kanak.



Rajah 1.2
: Lev S. Vygotsky
Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Lev_Vygotsky

Lev S. Vygotsky ialah pengkritik terawal kepada andaian-andaian yang diketengahkan oleh Piaget. Vygotsky memberi pandangan tentang perkembangan kognitif kanak-kanak yang cukup berlainan dengan pendapat Jean Piaget. Vygotsky menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak tidak mengikut tahap-tahap perkembangan. Sebaliknya, Vygotsky menegaskan bahawa setiap fungsi dalam perkembangan budaya kanak-kanak muncul dalam dua aras iaitu pada aras sosial dan pada aras individu.

Teori budaya-sosial (socio-cultural) menyatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui interaksi sosial dan budaya. Budaya dan masyarakat memainkan peranan sangat penting di dalam teori Vygotsky. Menurutnya, pengalaman sosial dan budaya mempengaruhi cara berfikir, dan perkara yang difikirkan. Kanak-kanak berinteraksi menggunakan bahasa atau dialog dengan ahli-ahli yang lain dalam masyarakatnya untuk belajar tentang nilai budaya. Kanak-kanak mengembangkan bahasa mereka melalui interaksi dengan ibu bapa serta rakan-rakan di dalam budaya mereka.

Beberapa ciri penting teori ini dijelaskan seperti berikut:

  1. Tahap pembelajaran atau kematangan mental seseorang kanak-kanak boleh ditingkatkan melalui scaffolding. Scaffolding merupakan pertolongan atau bimbingan yang diberi oleh orang yang lebih berpengalaman untuk meningkatkan tahap pembelajaran atau pemikiran kanak-kanak.
  2. Vygotsky percaya semua orang mempunyai Zone Of Proximal Development (ZPD) iaitu potensi kognitif pada tahap yang lebih tinggi. Potensi ini hanya mampu dicapai melalui proses scaffolding.
  3. Bahasa merupakan alat untuk berfikir dan alat yang digunakan oleh orang dewasa untuk memindahkan pengetahuan kepada kanak-kanak.
  4. Alat-alat yang digunakan dalam sesuatu budaya atau cultural tools (seperti bahasa, media, televisyen atau komputer) adalah sangat penting untuk meningkatkan komunikasi, pembelajaran dan pemprosesan pemikiran ke tahap yang lebih tinggi.


Implikasi Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran
Dari segi pengajaran dan pembelajaran, seseorang guru yang mengamalkan prinsip-prinsip teori Vygotsky akan mendapati proses pembelajaran yang sangat aktif. Guru akan menggunakan teknik scaffolding dengan membimbing dan memberi tindak balas tentang pembelajaran isi kandungan baru. Guru juga akan menyediakan alat-alat pembelajaran yang bersesuaian dan mencukupi untuk mencapai objektif pengajatan yang efektif.

Vygotsky mengutarakan cadangan supaya perkembangan kanak-kanak didasarkan kepada keupayaan mereka menggunakan perantaraan bahasa, sistem nombor dan peta bagi perkembangan kognitif. Keupayaan mereka pula bergantung kepada pendedahan mereka kepada pembantu dan persekitaran orang dewasa yang kebiasaannya terdiri daripada guru-guru dan pengasuh. Ini sangat bermakna terhadap perkembangan kreativiti, kognitif, sosial dan kemahiran mengawal perasaan.


Pendekatan Teori Perkembangan Kanak-kanak Piaget dan Vygotsky terhadap Konsep Kreativiti

Walaupun pendekatan teori Piaget dan Vygotsky terhadap pengajaran dan pembelajaran berbeza, namun kedua-dua teori ini bersetuju akan kepentingan pembelajaran melalui discovery learning. Piaget menyarankan pembelajaran penemuan di mana guru kurang membimbing. Vygotsky pula menekankan bimbingan guru sebagai faktor utama.

Dalam konteks perkembangan kreativiti, Piaget dan Vygotsky bersetuju berkenaan kebaikan bermain dalam mengembangkan kreativiti kanak-kanak. Kreativiti boleh dirangsang melalui aktiviti bermain. Bagi kanak-kanak, masa bermain merupakan masa yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Justeru, rangsangan melalui permainan berbentuk akademik juga perlu diwujudkan. Sebagai contoh, guru boleh menggalakkan aktiviti seperti aktiviti melukis, menconteng, membuat kolaj, “sandplay” dan sebagainya.

Apabila bermain, kanak-kanak menggunakan daya imaginasi ketika bermain. Menurut Piaget dan Vygotsky, imaginasi terikat kepada cara bagaimana kanak-kanak memahami dunia persekitarannya dan perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Murid juga seharusnya diberikan peluang untuk memilih bahan dan alatan yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti bermain dan aktiviti seni.

Oleh itu, dalam pengajaran dan pembelajaran, adalah berfaedah jika guru menyediakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk permainan untuk mengembangkan kreativiti kanak-kanak.


C. TEORI PERKEMBANGAN EMOSI MENURUT ERIKSON



Rajah 1.3
: Erik Erikson
Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Image:Erik_Erikson.png

Erik Erikson (Rajah 1.3) ialah seorang ahli psikososial yang banyak menumpukan kajian kepada perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Erikson mengatakan bahawa semua individu melalui lapan peringkat perkembangan yang bersiri dari hari pertama dilahirkan hingga dewasa. Pada setiap peringkat terdapat krisis-krisis yang perlu diselesaikan sebelum boleh berkembang ke peringkat seterusnya. Jika krisis-krisis ini tidak ditangani dengan baik, seseorang individu akan mengalami kesukaran menangani krisis pada peringkat-peringkat yang berikutnya.

Peringkat perkembangan emosi kanak-kanak menurut Erikson adalah seperti berikut:

  1. Percaya lawan Tidak Percaya (trust vs mistrust)
    Dalam lingkungan usia 0 hingga 18 bulan. Erikson merujuk kepada peringkat ini sebagai peringkat oral-sensori di mana bayi dipengaruhi oleh deria visual dan sentuhan. Perkembangan emosi kanak-kanak bergantung kepada orang dewasa terutamanya ibu bapa untuk memenuhi keperluan fizikal dan emosi. Peringkat ini dianggap peringkat paling penting kerana ia akan mempengaruhi perkembangan bayi melalui pengalamannya. Peringkat rasa kepercayaan ini dibina dalam tahun pertama dan kanak-kanak membina rasa kepercayaan secara berperingkat. Kanak-kanak akan membina rasa ketidakpercayaan jika keperluannya tidak dapat dipenuhi.

    Kepercayaan akan memudahkan seorang kanak-kanak menghadapi serta mengatasi masalah dalam hidup. Rasa percaya akan terus dipupuk jika kanak-kanak itu sentiasa berasa selamat disayangi serta diberi perhatian oleh ibu bapa. Sebaliknya, jika keperluan asas pada peringkat ini tidak dirasai, ketidakpercayaan akan menghalang atau melemahkan bayi dalam mengatasi kesulitan hidup dan kanak-kanak akan membesar dengan rasa kecewa, tidak percaya dan ragu-ragu kepada semua orang disekelilingnya.

  2. Otonomi lawan Rasa Malu (autonomy vs shame)
    Dalam lingkungan usia 18 bulan hingga 3 tahun. Pada ketika kanak-kanak berumur 18 bulan, konsep kendiri kanak-kanak mula bertambah. Kanak-kanak mula mengetahui apa yang disebut. Pada peringkat ini kanak-kanak meningkatkan kemahiran berdikari dari segi belajar berjalan, bercakap, makan dan menggunakan tandas. Mereka membina konsep kendiri dan autonomi melalui kemahiran mengawal pergerakan motor kasar. Kebolehan membezakan perlakuan yang betul dan salah juga turut berkembang. Keinginan memiliki kuasa dan keinginan untuk melakukan sesuatu dengan daya usaha sendiri juga turut berkembang. Kanak-kanak akan berasa malu jika tidak diberi kuasa atau merasakan dirinya kurang cekap. Sebaliknya, keyakinan kanak-kanak akan dapat dipupuk apabila dipuji.

    Pada peringkat umur ini, kanak-kanak akan merasa takut jika melakukan kesalahan. Tingkah laku yang tidak diingini hendaklah dikawal supaya kanak-kanak tidak merasa malu. Tingkah laku yang positif dan yang diingini juga patut dipuji. Cara ini akan membantu kanak-kanak mengenal dan membezakan jenis-jenis tingkah laku yang digalakkan dan yang perlu dielakkan.

    Pada peringkat ini, jika kanak-kanak dimalukan atau dihalang daripada melakukan aktiviti, perasaan malu akan timbul. Rasa malu ini boleh membuatkan kanak-kanak meragui kebolehannya sendiri, dan mengakibatkan wujud konsep kendiri yang rendah.

  3. Inisiatif lawan Rasa Bersalah (initiative vs guilt)
    Dalam lingkungan usia 3 hingga 5 tahun. Peringkat ini dipanggil peringkat bermain di mana kanak-kanak cuba meniru tingkah laku orang dewasa melalui proses bermain. Kanak-kanak menggunakan inisiatif dan imaginasi mereka untuk mencipta pelbagai situasi permainan dan memainkan peranan sebagai orang dewasa. Dengan cara ini kanak-kanak belajar berbagai kemahiran yang menunjukkan keupayaan menggunakan imaginasi seperti bekerjasama dan memimpin.

    Proses ini juga menggalakkan perkembangan kemahiran menyelesaikan masalah, mencari maklumat baru dan membentuk konsep yang berkaitan dengan peranan jantina. Pada peringkat ini, jika kanak-kanak sentiasa diperlakukan supaya rasa bersalah, mereka akan rasa kecewa, takut dan terlalu bergantung kepada orang dewasa. Ini akan mewujudkan keadaan yang kurang membina kemahiran kreativiti, bermain dan aktiviti yang melibatkan imaginasi.

Oleh itu Erikson menegaskan bahawa kanak-kanak perlu digalakkan menjelajah, beraksi dan melakukan aktiviti untuk mendapatkan kepuasan emosi. Jelasnya, kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka. Pada peringkat 1 hingga 3 tahun kanak-kanak gemarkan aktiviti melukis dan mewarna. Ini kerana aktiviti ini dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera dan lukisan yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak.


D. TEORI KECERDASAN PELBAGAI

Howard Gardner (1983), merupakan orang yang bertanggungjawab mengasaskan teori kecerdasan pelbagai. Beliau merupakan seorang ahli psikologi Jerman terkenal dan berpengaruh dari Universiti Havard. Gardner (1983) menyatakan bahawa manusia mempunyai sekurang-kurangnya lapan kecerdasan dan pada tahun 1999 Gardner menyatakan bahawa semua ada satu lagi kecerdasan iaitu Kecerdasan Spiritual.



Rajah 1.4:
Howard Garder
Sumber: http://www.weac.org/graphics/conven97/gardner.jpg

Rajah 1.5 Menerangkan teori kecerdasan menurut Gardner.



Rajah 1.5
: Sembilan Jenis Kecerdasan Menurut Gardner

Gardner percaya semua jenis kecerdasan ini bekerjasama secara kompleks, berkembang melalui pendidikan, pengalaman dan persekitaran yang bermakna dan kecerdasan tersebut boleh dipelajari, dibentuk, ditingkatkan dan sentiasa berubah sepanjang hayat.

Beberapa prinsip penting Teori Kecerdasan Pelbagai ialah seperti berikut:

  1. Kecerdasan pada asasnya adalah diwarisi turun temurun tetapi boleh ditingkatkan melalui pembelajaran dan pengajaran.
  2. Setiap individu mempunyai kombinasi 9 kecerdasan yang dipanggil profil kecerdasan yang berbeza bagi setiap individu.
  3. Setiap individu mempunyai kebolehan membangunkan kesemua kecerdasannya dengan adanya galakan, pengayaan dan pengajaran yang sesuai.
  4. Semua kecerdasan adalah bersifat dinamik yang boleh dikenal pasti dan dinyatakan dengan jelas jika setiap individu mendapat peluang untuk mengenal dan membangunkan kepelbagaian kecerdasannya.
  5. Latar belakang peribadi menjadi faktor penting dalam membentuk dan mengembangkan pengetahuan, kepercayaan dan kemahiran dalam semua jenis kecerdasan.
    Setiap individu mempunyai adunan kecerdasan yang unik, sentiasa berubah, kecerdasan antara individu itu adalah berbeza dari segi perkembangannya.

Teori Kecerdasan Pelbagai Dan Perkembangan Kreativiti Kanak-kanak

Gardner (1993) menganggap semua kanak-kanak berpotensi berfikir secara kreatif. Pada peringkat awal, kanak-kanak sentiasa melintasi sempadan-sempadan norma ketika asyik bermain atau apabila tekun melakukan sesuatu aktiviti.

Menurut Gardner (1999), kreativiti kanak-kanak boleh ditingkatkan melalui cara-cara berikut:

  1. Pendedahan awal kepada individu lain yang selesa mengambil risiko dan yang tidak mudah mengalah.
  2. Memberi peluang untuk cemerlang dalam sekurang-kurangnya satu aktiviti atau bidang yang diceburi.
  3. Menyediakan persekitaran yang sentiasa mencabar supaya murid sentiasa berada pada tahap kecemerlangan.
  4. Membentuk hubungan dengan rakan sebaya yang rela diuji dan tidak takut gagal.
  5. Menyediakan persekitaran keluarga yang menggalakkan atau mewujudkan hubungan toleransi terhadap sifat kanak-kanak yang gemar mencabar autoriti.

Aktiviti Kreativiti Dan Estetika Yang Membantu Perkembangan Kecerdasan Pelbagai

Unsur-unsur Kreativiti Dan Estetika adalah terdiri daripada elemen asas yang penting dalam menghasilkan sesuatu yang mempunyai unsur kreatif. Guru boleh melaksanakan aktiviti berikut untuk mengembangkan pelbagai kecerdasan murid.

  1. Membentuk Garisan
    Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual (lihat Rajah 1.6).

  2. Melakar bentuk atau rupa
    Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya.

  3. Membentuk
    Bentuk lazimnya merujuk kepada struktur jisim dan isi padu. Terdapat dua jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi. Bentuk dapat dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf tradisi. Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat tiga dimensi. Bentuk ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya bersifat rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan lukisan berkomputer 3 dimensi.

  4. Jalinan
    Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasai melalui sentuhan. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek.

  5. Warna
    Warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. Warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder.


Rajah 1.6
: Contoh aktiviti membentuk garisan
Sumber: http://www.dafko.com/Colorins/connect%20the%20dots%202.jpg


RUMUSAN



Teori perkembangan intelektual memberi inspirasi dan panduan berguna kepada pendidik kerana memberikan gambaran yang menakjubkan berkenaan dunia pemikiran murid.

Sekiranya guru dapat mengesan dan membantu murid untuk mengatasi kekurangan atau kelemahan di dalam perkembangan pemikiran mereka, maka proses pengajaran dan pembelajaran menjadi lebih berkesan.

Teori ini juga penting untuk membantu guru mengembangkan konsep pemprosesan maklumat kerana perkembangan kognitif individu dapat digambarkan sebagai suatu proses perkembangan yang berterusan dalam sistem pemprosesan maklumat.

Proses kognitif adalah termasuk persepsi, perhatian, ingatan dan menguji hipotesis yang saling berkait di dalam proses pengembangan bahasa khususnya kemahiran membaca.

Kecemerlangan kognitif kanak-kanak bukan sahaja dapat dilihat dalam bentuk hitungan nombor sahaja, malah tetap diperlukan di dalam bidang sastera, budaya dan sosial serta lebih banyak berkaitan dengan kreativiti.

Kanak-kanak sangat berminat dengan aktiviti seni dan kreatif. Aktiviti seni dan kreatif memberi peluang kepada kanak-kanak untuk merealisasikan imaginasi mereka di dalam pelbagai cara. Ini termasuklah aktiviti seni seperti melukis, mewarna, kraf tangan, muzik, nyanyian, drama, puisi, membentuk arca dan sebagainya.

Kanak-kanak seronok melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti kreatif dan estetika, yang paling penting guru haruslah sentiasa bersedia dan membuat perancangan yang teliti terutamanya dalam menyediakan bahan yang ingin digunakan untuk sesuatu aktiviti kerana perancangan yang baik membantu kelancaran pengajaran dan pembelajaran.





Tuesday, April 13, 2010

Ucapan TPM sempena Majlis Pelancaran Pemberian Geran Permulaan Prasekolah Swasta Di Bawah NKRA Pendidikan di Rawang pada 12 April 2010

TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
MAJLIS PELANCARAN
PEMBERIAN GERAN PERMULAAN PRASEKOLAH SWASTA
DI BAWAH BIDANG KEBERHASILAN UTAMA NASIONAL (NKRA) PENDIDIKAN
BERTEMPAT DI TADIKA WAWASAN GEMILANG, SUNGAI BUAYA, RAWANG, HULU SELANGOR
PADA 12 APRIL 2010 JAM 10.00 PAGI
__________________________________________________________
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.
Y.Bhg Tan Sri Dr Zulkurnain Hj Awang
Y. Bhg Tan Sri Alimuddin bin Hj Mohd Dom
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pelajaran,
Puan Sharipah bt. Hamzah, Pengusaha Tadika Wawasan Gemilang, dan
Para hadirin sekalian,
1. Alhamdullillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W. T. kerana dengan izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam satu majlis yang bersejarah ini. Sesungguhnya, majlis pada pagi ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Pendidikan iaitu Sub NKRA Prasekolah. Saya berasa gembira dalam tempoh empat bulan pertama sahaja, dua daripada empat sub NKRA Pendidikan telah berjaya dilancarkan. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam mengkotakan apa yang telah dirancang dalam Program Transformasi Kerajaan, dengan penekanan kepada Gagasan 1 Malaysia, Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan.
2. Seperti pepatah Melayu, untuk melentur buluh biarlah dari rebungnya, pepatah ini membawa pengertian yang amat jelas bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi.
3. Menyedari kepentingan di peringkat awal kanak-kanak, maka Prasekolah telah dijadikan salah satu sub NKRA dalam bidang pendidikan. Harus diingat, walau pun Malaysia telah berjaya mencapai kadar enrolmen prasekolah yang boleh dibanggakan berdasarkan laporan UNESCO 2008 : International Pre-school Enrolment Rate, iaitu berada dikedudukkan ketujuh diperingkat antarabangsa namun didapati taburan lokasi kanak-kanak yang mengikuti kelas prasekolah ini masih tidak seimbang, contohnya di kawasan miskin bandar maupun di kawasan pedalaman, masih terdapat kanak-kanak yang belum mendapat pendidikan prasekolah. Dalam sub NKRA ini, sasaran utamanya adalah untuk meningkatkan kadar enrolmen kanak-kanak prasekolah yang berumur 4+ dan 5+ tahun kepada 87 peratus menjelang tahun 2012 dengan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4. Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, terdapat empat agensi utama yang menjalankan pendidikan prasekolah iaitu Kementerian Pelajaran sendiri, pihak KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasioanl di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta pihak swasta. Dari segi statistik didapati sehingga kini, KPM telah menyediakan sebanyak 7511 kelas prasekolah, KEMAS sebanyak 8,525, JPNIN 1643 dan prasekolah swasta yang berdaftar sebanyak 6378 Ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak lebih kurang 2.9 peratus (69.9%) daripada kadar enrolmen pada tahun 2009 iaitu 67 peratus.
5. Saya berbangga dengan peningkatan kadar ini, namun pada masa yang sama kita tidak boleh hanya berbangga dengan kuantiti, oleh itu dalam inisiatif NKRA Pendidkan, KPM telah menegaskan semua agensi yang melaksanakan pendidikan prasekolah perlulah memberikan pendidikan prasekolah yang berkualiti, kerana kita tidak mahu masa depan kanak-kanak ini terjejas sekiranya pendidikan prasekolah hanyalah dikatakan prasekolah makan sahaja...pergi sekolah untuk makan, dan apabila melangkah ke Tahun 1, ...A, B, C pun masih belum kenal.
6. Dalam Sub NKRA Prasekolah, sebanyak 7 strategi telahpun dirancang bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dapat ditingkatkan, bukan saja untuk prasekolah KPM, tetapi juga prasekolah yang dilaksanakan oleh agensi-agensi lain. Antaranya strategi utama yang telah diperkenalkan adalah penggunaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Dalam kurikulum ini, penekanan diberikan kepada Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris. Kalau sebelum ini, di prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN hanya menekankan penggunaaan Bahasa Malaysia untuk mendidik anak-anak kita, tetapi dengan KSPK ini, pemberatan penggunaan bahasa ialah 50 peratus Bahasa Malaysia dan 50 peratus Bahasa Inggeris. Perkara ini akan dapat mendedahkan kanak-kanak prasekolah kepada Bahasa Inggeris dengan lebih awal dan diharapkan dengan cara ini, anak-anak dapat menguasai Bahasa Inggeris pada peringkat ini.

Tuan-Tuan dan hadirin sekalian,
7. Saya yakin dengan kualiti guru-guru prasekolah KPM terdiri daripada guru-guru siswazah terlatih, namun di luar sana masih terdapat ramai guru prasekolah yang tidak mendapat latihan yang sewajarnya. Maka di bawah NKRA ini, saya telah bersetuju dan memutuskan pihak KPM memberi latihan kepada guru-guru prasekolah sama ada agensi Kerajaan yang lain maupun swasta serta mencadangkan kelayakan minima guru prasekolah pada masa akan datang supaya setara dengan kelayakan guru prasekolah KPM. Harapan saya, dengan kriteria minima dan latihan yang diberikan ini akan dapat memastikan bahawa pendidikan prasekolah berkualiti dapat diberikan kepada rakyat.
8. Bukan itu saja yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada pendidikan prasekolah. Perlu saya tekankan di sini, dari segi geran per kapita yang disediakan kepada kanak-kanak prasekolah agensi kerajaan juga akan diseragamkan sebanyak RM100 seorang kanak-kanak setahun. Dan pada masa yang sama, pihak Kementerian sedang berusaha untuk meningkatkan kadar bantuan makanan kanak-kanak prasekolah daripada RM1.50 sedia ada kepada kadar yang lebih tinggi di semua agensi kerajaan di seluruh negara.


Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Saya sering gusar dengan data yang tidak konsisten, maka saya juga berbangga Kementerian saya telah pun berjaya menyediakan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan, dengan satu klik saja saya boleh akses kepada maklumat prasekolah semua agensi kerajaan dan swasta di seluruh negara. Syabas kepada semua pihak yang sama-sma telah membangunkan sistem ini, walaupun, masih dalam peringkat ujian rintis tapi ini merupakan satu inovasi dalam pendidikan prasekolah. Data yang tepat ini membolehkan kita merancang strategi yang lebih berkesan terutamanya perancangan peluasan prasekolah kerana didapati prasekolah masih diperlukan di kawasan luar bandar, pedalaman dan tidak ketinggalan kawasan miskin bandar.
10. Selain itu, saya juga difahamkan bahawa satu Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan juga akan ditubuhkan bagi memantau dan menyelaras semua dasar dan pelaksanaan prasekolah Kerajaan dan Swasta yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran dan dianggotai oleh Ketua Pengarah KEMAS dan JPNIN serta pihak swasta. Kalau selama ini, prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN bergerak secara bersendirian, tetapi dengan adanya jawatankuasa ini, maka semua dasar-dasar berkaitan prasekolah dapat diselaraskan.

PERKONGSIAN PINTAR KERAJAAN-SWASTA
Para hadirin sekalian,
11. Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti tidak seharusnya diletakkan di atas pihak kerajaan sahaja. Strategi seterusnya, saya rasakan begitu penting sekali adalah meningkatkan perkongsian pintar kerajaan dan pihak swasta dalam pembangunan pendidikan pada semua peringkat daripada prasekolah sehinggalah ke peringkat menengah. Strategi ini selaras dengan Model Ekonomi Baru yang inginkan penglibatan pihak swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Dengan cara ini, akses kepada pendidikan khususnya pendidikan prasekolah dapat diperluaskan.
12. Dalam usaha meningkatkan perkongsian pintar kerajaan dan swasta supaya lebih banyak pendidikan prasekolah ditubuhkan, beberapa pendekatan baru telah diwujudkan, antaranya mempercepatkan tempoh kelulusan daripada agensi-agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk penubuhan prasekolah swasta daripada 40 hari kepada 7 hari sahaja. Dengan mempermudahkan proses ini, harapan kerajaan lebih banyak lagi pihak swasta akan menubuhkan prasekolah khususnya di kawasan berkeperluan tinggi. Dan sekali lagi, saya tegaskan mana-mana guru prasekolah swasta yang belum pernah mengikuti latihan atau tiada sijil pendidikan prasekolah akan diberikan kursus latihan secara percuma,
Tuan-tuan dan puan-puan,
13. Satu inisiatif baru yang Kerajaan perkenalkan sebagai galakan kepada penubuhan prasekolah oleh pihak swasta adalah pemberian geran permulaan dalam bentuk kewangan kepada pengusaha prasekolah yang mula beroperasi pada tahun ini serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Geran permulaan ini diharap akan membantu pengusaha baru prasekolah membuka lebih banyak prasekolah terutamanya di kawasan-kawasan miskin bandar dan luar bandar yang mana kawasan – kawasan ini tidak dicapai oleh pihak kerajaan.
14. Pada majlis ini, saya amat berbesar hati memaklumkan bahawa geran sebanyak RM10,000 diberikan kepada setiap prasekolah yang layak, dan sehingga hari ini sebanyak 426 prasekolah swasta layak menerimanya. Pada tahun ini sahaja Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak anggaran RM4.9 juta untuk tujuan ini dan seterusnya pada tahun yang akan datang, jumlah ini dijangka akan terus meningkat kepada RM5 juta setahun. Tahniah kepada semua penerima geran ini dan saya berharap dengan pemberian geran ini, akan meningkatkan usaha Tuan/Puan dalam meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah yang disediakan.
15. Saya akur mungkin akan ada tohmahan pihak-pihak tertentu, dalam keadaan kegawatan ekonomi, mengapa kerajaan sanggup memberi geran kepada prasekolah swasta, dengan tegas dan telus saya nyatakan bahawa ini bukannya gimik pilihraya tetapi ini adalah komitmen Kerajaan di bawah NKRA Pendidikan untuk memberi pendidikan berkualiti untuk semua seperti yang terdapat dalam Pelan Hala Tuju Transformasi Kerajaan yang telahpun dilancarkan pada Januari lepas. Saya yakin perkongsian pintar swasta–kerajaan ini, akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak. Pada masa yang sama juga, Kerajaan juga akan berusaha untuk memberi bantuan yuran prasekolah kepada murid-murid yang ibu bapanya telah berdaftar dengan e-Kasih serta ingin belajar di prasekolah swasta.
16. Tidak ada jalan mudah ‘no short cut’ untuk mencapai kejayaan. Kita mahu melihat agar anak didik warga Malaysia akan terbela tak kira dari apa golongan sosio ekonomi. Kerajaan akan sentiasa membantu namun pihak yang bertanggungjawab hendaklah sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya. Kepada penerima geran, anggaplah pemberian geran permulaan merupakan satu tanggungjawab memberikan yang terbaik kepada anak didik anda warga Malaysia. Berikanlah peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk belajar dengan kualiti terbaik dengan yuran yang berkemampuan.
17. Saya juga ingin menasihatkan agar penerima geran permulaan prasekolah swasta pada hari ini, untuk terus berusaha mempertingkatkan usaha murni mendidik warga Malaysia dengan pendidikan yang berkualiti.
18. Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini, khususnya Tadika Wawasan Gemilang ini yang sudi menjadi tuan rumah dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menjayakan majlis ini.
19. Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Pemberian Geran Permulaan Prasekolah Swasta.
Wabillahi Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sumber: http://www.moe.gov.my/?id=25&aid=815