TEKS UCAPAN 
    YAB TAN SRI DATO’  MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN 
    TIMBALAN PERDANA  MENTERI 
    MERANGKAP MENTERI  PELAJARAN MALAYSIA 
   MAJLIS PELANCARAN 
    PEMBERIAN GERAN  PERMULAAN PRASEKOLAH SWASTA 
    DI BAWAH BIDANG  KEBERHASILAN UTAMA NASIONAL (NKRA) PENDIDIKAN  
  BERTEMPAT DI TADIKA  WAWASAN GEMILANG, SUNGAI BUAYA, RAWANG, HULU SELANGOR 
    PADA 12 APRIL  2010 JAM 10.00 PAGI
    __________________________________________________________
  Assalamualaikum  warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.
  Y.Bhg Tan  Sri Dr Zulkurnain Hj Awang
  Y. Bhg Tan  Sri Alimuddin bin Hj Mohd Dom
 Pegawai-pegawai  Kanan Kementerian Pelajaran, 
 Puan  Sharipah bt. Hamzah, Pengusaha Tadika Wawasan Gemilang, dan  
 Para hadirin  sekalian,
 1.           Alhamdullillah, marilah kita memanjatkan  kesyukuran ke hadrat Allah S.W. T. kerana dengan izin dan kurniaNya,  kita dapat berhimpun dalam satu majlis yang bersejarah ini.  Sesungguhnya, majlis pada pagi ini merupakan satu        lagi inisiatif  kerajaan dalam merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA)  Pendidikan iaitu Sub NKRA Prasekolah. Saya berasa gembira dalam tempoh  empat bulan pertama sahaja, dua daripada empat sub NKRA Pendidikan telah  berjaya dilancarkan.  Ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam  mengkotakan apa yang telah dirancang dalam Program Transformasi  Kerajaan, dengan penekanan kepada Gagasan 1 Malaysia, Rakyat didahulukan  dan Pencapaian diutamakan.
 2.           Seperti pepatah Melayu, untuk melentur buluh  biarlah dari rebungnya, pepatah ini membawa pengertian yang amat jelas  bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam  perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Sekiranya seorang  kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini  kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan  dilalui pada  peringkat yang lebih tinggi.
 3.           Menyedari kepentingan di peringkat awal  kanak-kanak, maka Prasekolah telah dijadikan salah satu sub NKRA dalam  bidang pendidikan. Harus diingat, walau pun Malaysia telah berjaya  mencapai kadar enrolmen prasekolah yang boleh dibanggakan berdasarkan  laporan UNESCO 2008 : International Pre-school Enrolment Rate,  iaitu berada dikedudukkan ketujuh  diperingkat antarabangsa namun  didapati taburan lokasi kanak-kanak yang mengikuti kelas prasekolah ini  masih tidak seimbang, contohnya di kawasan miskin bandar maupun di  kawasan pedalaman, masih terdapat kanak-kanak yang belum mendapat  pendidikan prasekolah. Dalam sub NKRA ini, sasaran utamanya adalah untuk  meningkatkan kadar enrolmen kanak-kanak prasekolah yang berumur 4+ dan  5+ tahun kepada 87 peratus menjelang tahun 2012 dengan memberi tumpuan  kepada kawasan-kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman. 
              Tuan-tuan dan Puan-puan,
 4.           Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia  maklum, terdapat empat agensi utama yang menjalankan pendidikan  prasekolah iaitu Kementerian Pelajaran sendiri, pihak KEMAS di bawah  Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Perpaduan  Negara dan Integrasi Nasioanl di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta  pihak swasta.  Dari segi statistik didapati sehingga kini, KPM telah  menyediakan sebanyak 7511 kelas prasekolah,   KEMAS sebanyak 8,525,  JPNIN 1643 dan prasekolah swasta yang berdaftar sebanyak  6378  Ini  menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak lebih kurang 2.9  peratus (69.9%)  daripada kadar enrolmen pada tahun 2009 iaitu 67  peratus. 
 5.            Saya berbangga dengan peningkatan kadar  ini, namun pada masa yang sama kita tidak boleh hanya berbangga dengan  kuantiti, oleh itu dalam inisiatif NKRA Pendidkan, KPM telah menegaskan  semua agensi yang melaksanakan pendidikan prasekolah perlulah memberikan  pendidikan prasekolah yang berkualiti, kerana kita tidak mahu masa  depan kanak-kanak ini terjejas sekiranya pendidikan prasekolah hanyalah  dikatakan prasekolah makan sahaja...pergi sekolah untuk makan, dan  apabila melangkah ke Tahun 1, ...A, B, C pun masih belum kenal.
 6.           Dalam Sub NKRA Prasekolah, sebanyak 7  strategi telahpun dirancang bagi memastikan kualiti pendidikan  prasekolah dapat ditingkatkan, bukan saja untuk prasekolah KPM, tetapi  juga prasekolah yang dilaksanakan oleh agensi-agensi lain. Antaranya  strategi utama yang telah diperkenalkan adalah penggunaan Kurikulum  Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Dalam kurikulum ini,  penekanan diberikan kepada Bahasa Malaysia dan juga Bahasa  Inggeris. Kalau sebelum ini, di prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN  hanya  menekankan penggunaaan Bahasa Malaysia untuk mendidik anak-anak kita,  tetapi dengan KSPK ini, pemberatan penggunaan bahasa ialah 50 peratus  Bahasa Malaysia dan 50 peratus Bahasa Inggeris.   Perkara ini akan dapat  mendedahkan kanak-kanak prasekolah kepada Bahasa Inggeris dengan lebih  awal dan diharapkan dengan cara ini, anak-anak dapat menguasai Bahasa  Inggeris pada peringkat ini.
Tuan-Tuan dan hadirin sekalian,
 Tuan-Tuan dan hadirin sekalian,
7.           Saya yakin dengan kualiti guru-guru  prasekolah KPM terdiri daripada guru-guru siswazah terlatih, namun di  luar sana masih terdapat ramai guru prasekolah yang tidak mendapat  latihan yang sewajarnya. Maka di bawah NKRA ini, saya telah bersetuju  dan memutuskan pihak KPM memberi latihan kepada guru-guru prasekolah  sama ada agensi Kerajaan yang lain maupun swasta serta mencadangkan  kelayakan minima guru prasekolah pada masa akan datang supaya setara  dengan kelayakan guru prasekolah KPM. Harapan saya, dengan kriteria  minima dan latihan yang diberikan ini akan dapat memastikan bahawa  pendidikan prasekolah berkualiti dapat diberikan kepada rakyat. 
 8.           Bukan itu saja yang disediakan oleh pihak  kerajaan kepada pendidikan prasekolah. Perlu saya tekankan di sini, dari  segi geran per kapita yang disediakan kepada kanak-kanak prasekolah  agensi kerajaan juga akan diseragamkan sebanyak RM100 seorang  kanak-kanak setahun. Dan pada masa yang sama, pihak Kementerian  sedang  berusaha untuk meningkatkan kadar bantuan makanan kanak-kanak prasekolah  daripada RM1.50 sedia ada kepada kadar yang lebih tinggi di semua  agensi kerajaan di seluruh negara.   
 Tuan-tuan dan Puan-puan,
 9.             Saya sering gusar dengan data yang tidak  konsisten, maka saya juga berbangga Kementerian saya telah pun berjaya menyediakan  Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan, dengan satu klik saja saya  boleh akses kepada maklumat prasekolah semua agensi kerajaan dan swasta  di seluruh negara. Syabas kepada semua pihak yang sama-sma telah  membangunkan sistem ini, walaupun, masih dalam peringkat ujian rintis  tapi ini merupakan satu inovasi dalam pendidikan prasekolah. Data yang  tepat ini membolehkan kita merancang strategi yang lebih berkesan  terutamanya perancangan peluasan prasekolah kerana didapati prasekolah  masih diperlukan di kawasan luar bandar, pedalaman dan tidak ketinggalan  kawasan miskin bandar.
 10.         Selain itu, saya juga difahamkan bahawa  satu Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan juga akan  ditubuhkan bagi memantau dan menyelaras semua dasar dan pelaksanaan  prasekolah Kerajaan dan Swasta yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua  Pengarah Pelajaran dan dianggotai oleh Ketua Pengarah KEMAS dan JPNIN  serta pihak swasta. Kalau selama ini, prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN  bergerak secara bersendirian, tetapi dengan adanya jawatankuasa ini,  maka semua dasar-dasar berkaitan prasekolah dapat diselaraskan.
 PERKONGSIAN PINTAR KERAJAAN-SWASTA 
  Para hadirin  sekalian,
 11.       Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti  tidak seharusnya diletakkan di atas pihak kerajaan sahaja. Strategi  seterusnya, saya rasakan begitu penting sekali adalah meningkatkan  perkongsian pintar kerajaan dan pihak swasta dalam pembangunan  pendidikan pada semua peringkat daripada prasekolah sehinggalah ke  peringkat menengah. Strategi ini selaras dengan Model Ekonomi Baru yang  inginkan penglibatan pihak swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi  negara. Dengan cara ini,  akses kepada pendidikan khususnya pendidikan  prasekolah dapat diperluaskan.
 12.       Dalam usaha meningkatkan perkongsian pintar  kerajaan dan swasta supaya lebih banyak pendidikan prasekolah  ditubuhkan, beberapa pendekatan baru telah diwujudkan,  antaranya mempercepatkan tempoh kelulusan daripada agensi-agensi seperti  Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan  Penyelamat untuk penubuhan prasekolah swasta daripada 40 hari kepada 7  hari sahaja. Dengan mempermudahkan proses ini, harapan kerajaan lebih  banyak lagi pihak swasta akan menubuhkan prasekolah khususnya di kawasan  berkeperluan tinggi.   Dan sekali lagi, saya tegaskan mana-mana guru  prasekolah swasta yang belum pernah mengikuti latihan atau tiada sijil  pendidikan prasekolah akan diberikan kursus latihan secara percuma,
 Tuan-tuan dan  puan-puan, 
 13.       Satu inisiatif baru yang Kerajaan  perkenalkan sebagai galakan kepada penubuhan prasekolah oleh pihak  swasta adalah pemberian geran permulaan dalam bentuk kewangan kepada  pengusaha prasekolah yang mula beroperasi pada tahun ini serta memenuhi  kriteria yang telah ditetapkan. Geran permulaan ini diharap akan  membantu pengusaha baru prasekolah membuka lebih banyak prasekolah  terutamanya di kawasan-kawasan miskin bandar dan luar bandar yang mana  kawasan – kawasan ini tidak dicapai oleh pihak kerajaan. 
 14.       Pada majlis ini, saya amat berbesar hati  memaklumkan bahawa geran sebanyak RM10,000 diberikan kepada setiap  prasekolah yang layak, dan sehingga hari ini sebanyak 426 prasekolah  swasta layak menerimanya.  Pada tahun ini  sahaja Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak anggaran RM4.9 juta untuk  tujuan ini dan seterusnya pada tahun yang akan datang, jumlah ini  dijangka akan terus meningkat kepada RM5 juta setahun. Tahniah  kepada semua penerima geran ini dan saya berharap dengan pemberian geran  ini, akan meningkatkan usaha Tuan/Puan dalam meningkatkan kualiti  pendidikan prasekolah yang disediakan.
 15.       Saya akur mungkin akan ada tohmahan  pihak-pihak tertentu, dalam keadaan kegawatan ekonomi, mengapa kerajaan  sanggup memberi geran kepada prasekolah swasta, dengan tegas dan telus  saya nyatakan bahawa ini bukannya gimik pilihraya tetapi ini adalah  komitmen Kerajaan di bawah NKRA Pendidikan untuk memberi pendidikan  berkualiti untuk semua seperti yang terdapat dalam Pelan Hala Tuju  Transformasi Kerajaan yang telahpun dilancarkan pada Januari lepas. Saya  yakin perkongsian pintar swasta–kerajaan ini, akan memberi keuntungan  kepada kedua-dua pihak. Pada masa yang sama juga, Kerajaan juga akan  berusaha untuk memberi  bantuan yuran prasekolah kepada murid-murid yang  ibu bapanya telah berdaftar dengan e-Kasih serta ingin belajar  di prasekolah swasta.
 16.       Tidak ada jalan mudah ‘no short cut’ untuk  mencapai kejayaan. Kita mahu melihat agar anak didik warga Malaysia  akan terbela tak kira dari apa golongan sosio ekonomi. Kerajaan akan  sentiasa membantu namun pihak yang bertanggungjawab hendaklah sentiasa  berusaha untuk memajukan dirinya. Kepada penerima geran, anggaplah  pemberian geran permulaan merupakan satu tanggungjawab memberikan yang  terbaik kepada anak didik anda warga Malaysia. Berikanlah peluang kepada  mereka yang kurang berkemampuan untuk belajar dengan kualiti terbaik  dengan yuran yang berkemampuan. 
 17.       Saya juga ingin menasihatkan agar penerima  geran permulaan prasekolah swasta pada hari ini, untuk terus berusaha  mempertingkatkan usaha murni mendidik warga Malaysia dengan pendidikan  yang berkualiti. 
 18.       Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas  dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini,  khususnya Tadika Wawasan Gemilang ini yang sudi menjadi tuan rumah dan  Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menjayakan majlis ini.   
 19.       Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim,  saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Pemberian Geran  Permulaan Prasekolah Swasta. 
 Wabillahi  Taufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.
Sumber: http://www.moe.gov.my/?id=25&aid=815