Dari Perspektif Teori
PENGENALAN
Kebanyakan sistem pendidikan di dunia menekankan kepentingan membina minda yang kreatif dalam kalangan pelajarnya. Hari ini, kreativiti dan pemikiran asal dikenali sebagai salah satu faktor penggerak sesebuah negara untuk bersaing di arena antarabangsa. Sistem pendidikan ini mengenali kepentingan kreativiti dipupuk dari masa kanak-kanak masih kecil lagi kerana minda mereka belum dibentuk sepenuhnya oleh persekitaran melalui norma masyarakat dan pembelajaran formal. Kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka.A. Teori Jean Piaget
Jean Piaget (Rajah 1.1) ialah ahli psikologi dan pendidik. Beliau telah dilahirkan di Neuchatel, Switzerland pada 9 Ogos 1896 dan telah meninggal dunia pada tahun 1980. Piaget berminat dalam bidang biologi. Sepanjang hidupnya beliau suka membaca subjek falsafah, sosiologi dan teologi. Akhirnya beliau telah memilih bidang psikologi, khususnya mengkaji tingkah laku kanak-kanak.
Rajah 1.1: Jean Piaget
Sumber: bp0.blogger.com/.../5-WZnWd5MH0/   s320/piaget.gif
Menurut Piaget, perkembangan intelektual kanak-kanak  tidak  bergantung kepada pengajaran secara langsung orang dewasa. Sebaliknya,   perkembangan kanak-kanak bergantung kepada interaksi antara dua faktor  utama  iaitu faktor keturunan (baka) dan faktor persekitaran.  Kanak-kanak lahir dengan  kebolehan mental semula jadi untuk belajar.
Piaget percaya bahawa kanak-kanak belajar melalui aksi. Interaksi mereka dengan persekitaran semasa membesar membantu mereka mencipta dengan sendiri tanpa pertolongan orang dewasa, pengetahuan atau skema. Pengetahuan baru sentiasa menggantikan skema yang lama dalam proses yang dikenali sebagai asimilasi, akomodasi dan ekuiliberasi. Piaget juga menekankan bahawa perkembangan intelektual menguasai semua aspek perkembangan yang lain seperti emosi, sosial dan moral.
Piaget paling dikenali untuk hujah beliau yang mengatakan bahawa kematangan dari segi biologi mendahului kebolehan pembelajaran mereka. Ini bermakna, kanak-kanak harus ada kesediaan dari segi kematangan (biologi) mereka sebelum mereka boleh melakukan operasi mental. Menurut Piaget, perkembangan kognitif kanak-kanak dari bayi hingga dewasa adalah melalui empat peringkat konsekutif iaitu:
- Peringkat Sensorimotor: 0-2 tahun
 - Peringkat Praoperasi: 2- 7 tahun
 - Peringkat Operasi Konkrit: 7- 11 tahun
 - Peringkat Operasi Formal: 11 - 15 tahun
 
Implikasi Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran
Oleh kerana Piaget menyarankan bahawa kanak-kanak belajar melalui pengalaman dan melakukan aktiviti secara hands-on, penyediaan persekitaran yang menarik dan merangsang pembelajaran adalah penting. Persekitaran yang kondusif adalah penting untuk membolehkan kanak-kanak mencipta pengetahuan secara tidak langsung. Untuk tujuan ini, penggunaan makmal, bengkel dan teknologi yang interaktif sangat berguna bagi menggalakkan perkembangan kreatif kanak-kanak. Sebaliknya, penghafalan maklumat dan pembelajaran bahasa secara latih-tubi ditolak sama sekali oleh Piaget.
Jelasnya, ramai pakar pendidikan psikologi menganggap teori perkembangan Piaget sebagai hampir sempurna kepada sistem perkembangan kognitif manusia. Banyak pandangannya yang bersangkut paut dengan pemprosesan maklumat di dalam otak manusia. Melalui model pemprosesan maklumat Piaget menjelaskan bahawa penerimaan maklumat bergantung pada pemprosesan dan penterjemahan data sensori dan menukar data itu ke dalam bentuk yang boleh disimpan dan diguna semula apabila diperlukan. Dengan mempelajari bagaimana otak manusia memproses maklumat, kita dapat melihat dan mengkaji bagaimana manusia mampu berfikir, berpersepsi, menterjemah dan mempercayai. Jean Piaget memandang kecerdikan itu sebagai dasar kepada proses yang aktif di mana manusia dapat memperoleh maklumat melalui interaksi dengan pelbagai objek, idea dan pergaulan dengan orang lain di persekitarannya.
B.Teori Vygotsky
Lev S. Vygotsky (Rajah 1.2) ialah seorang pakar  psikologi Russia  yang meninggalkan andaian yang jelas tentang perkembangan  bahasa. Idea  utama Lev Vygotsky ialah kemahiran perkembangan kognitif berlaku  di  dalam konteks sosiobudaya dan berkembang di dalam interaksi sosial  kanak-kanak.
Rajah 1.2: Lev S. Vygotsky
Sumber:  http://en.wikipedia.org/wiki/Lev_Vygotsky
Lev S. Vygotsky ialah pengkritik terawal kepada andaian-andaian yang diketengahkan oleh Piaget. Vygotsky memberi pandangan tentang perkembangan kognitif kanak-kanak yang cukup berlainan dengan pendapat Jean Piaget. Vygotsky menyatakan bahawa perkembangan kanak-kanak tidak mengikut tahap-tahap perkembangan. Sebaliknya, Vygotsky menegaskan bahawa setiap fungsi dalam perkembangan budaya kanak-kanak muncul dalam dua aras iaitu pada aras sosial dan pada aras individu.
Teori budaya-sosial (socio-cultural) menyatakan bahawa kanak-kanak belajar melalui interaksi sosial dan budaya. Budaya dan masyarakat memainkan peranan sangat penting di dalam teori Vygotsky. Menurutnya, pengalaman sosial dan budaya mempengaruhi cara berfikir, dan perkara yang difikirkan. Kanak-kanak berinteraksi menggunakan bahasa atau dialog dengan ahli-ahli yang lain dalam masyarakatnya untuk belajar tentang nilai budaya. Kanak-kanak mengembangkan bahasa mereka melalui interaksi dengan ibu bapa serta rakan-rakan di dalam budaya mereka.
Beberapa ciri penting teori ini dijelaskan  seperti berikut:
- Tahap pembelajaran atau kematangan  mental seseorang kanak-kanak  boleh ditingkatkan melalui scaffolding. Scaffolding merupakan   pertolongan atau bimbingan yang diberi oleh orang yang lebih  berpengalaman  untuk meningkatkan tahap pembelajaran atau pemikiran  kanak-kanak.
 - Vygotsky percaya semua orang  mempunyai Zone Of Proximal  Development (ZPD) iaitu potensi kognitif pada tahap yang lebih  tinggi. Potensi ini hanya  mampu dicapai melalui proses scaffolding.
 - Bahasa merupakan alat untuk berfikir dan alat yang digunakan oleh  orang  dewasa untuk memindahkan pengetahuan kepada kanak-kanak.
 - Alat-alat yang digunakan dalam sesuatu budaya atau cultural  tools (seperti bahasa, media, televisyen atau komputer) adalah   sangat penting untuk meningkatkan komunikasi, pembelajaran dan  pemprosesan  pemikiran ke tahap yang lebih tinggi.
 
Implikasi  Terhadap Pengajaran Dan Pembelajaran
Dari segi pengajaran dan pembelajaran, seseorang  guru yang  mengamalkan prinsip-prinsip teori Vygotsky akan mendapati proses   pembelajaran yang sangat aktif. Guru akan menggunakan teknik scaffolding  dengan membimbing dan  memberi tindak balas tentang pembelajaran  isi kandungan baru. Guru juga akan  menyediakan alat-alat pembelajaran  yang bersesuaian dan mencukupi untuk  mencapai objektif pengajatan yang  efektif.
Vygotsky mengutarakan cadangan supaya perkembangan kanak-kanak didasarkan kepada keupayaan mereka menggunakan perantaraan bahasa, sistem nombor dan peta bagi perkembangan kognitif. Keupayaan mereka pula bergantung kepada pendedahan mereka kepada pembantu dan persekitaran orang dewasa yang kebiasaannya terdiri daripada guru-guru dan pengasuh. Ini sangat bermakna terhadap perkembangan kreativiti, kognitif, sosial dan kemahiran mengawal perasaan.
Pendekatan Teori Perkembangan Kanak-kanak Piaget dan Vygotsky terhadap Konsep Kreativiti
Walaupun pendekatan teori Piaget dan Vygotsky terhadap pengajaran dan pembelajaran berbeza, namun kedua-dua teori ini bersetuju akan kepentingan pembelajaran melalui discovery learning. Piaget menyarankan pembelajaran penemuan di mana guru kurang membimbing. Vygotsky pula menekankan bimbingan guru sebagai faktor utama.
Dalam konteks perkembangan kreativiti, Piaget dan Vygotsky bersetuju berkenaan kebaikan bermain dalam mengembangkan kreativiti kanak-kanak. Kreativiti boleh dirangsang melalui aktiviti bermain. Bagi kanak-kanak, masa bermain merupakan masa yang penuh dengan keseronokan dan cabaran. Justeru, rangsangan melalui permainan berbentuk akademik juga perlu diwujudkan. Sebagai contoh, guru boleh menggalakkan aktiviti seperti aktiviti melukis, menconteng, membuat kolaj, “sandplay” dan sebagainya.
Apabila bermain, kanak-kanak menggunakan daya imaginasi ketika bermain. Menurut Piaget dan Vygotsky, imaginasi terikat kepada cara bagaimana kanak-kanak memahami dunia persekitarannya dan perkara-perkara yang berlaku di sekeliling mereka. Murid juga seharusnya diberikan peluang untuk memilih bahan dan alatan yang boleh digunakan untuk pelbagai aktiviti bermain dan aktiviti seni.
Oleh itu, dalam pengajaran dan pembelajaran, adalah berfaedah jika guru menyediakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk permainan untuk mengembangkan kreativiti kanak-kanak.
Rajah 1.3: Erik Erikson
 Sumber: http://en.wikipedia.org/wiki/Image:Erik_Erikson.png
Erik Erikson (Rajah 1.3) ialah seorang ahli psikososial yang banyak menumpukan kajian kepada perkembangan sosial dan emosi kanak-kanak. Erikson mengatakan bahawa semua individu melalui lapan peringkat perkembangan yang bersiri dari hari pertama dilahirkan hingga dewasa. Pada setiap peringkat terdapat krisis-krisis yang perlu diselesaikan sebelum boleh berkembang ke peringkat seterusnya. Jika krisis-krisis ini tidak ditangani dengan baik, seseorang individu akan mengalami kesukaran menangani krisis pada peringkat-peringkat yang berikutnya.
Peringkat perkembangan emosi kanak-kanak  menurut Erikson adalah  seperti berikut:
- Percaya lawan Tidak Percaya (trust vs mistrust)
Dalam lingkungan usia 0 hingga 18 bulan. Erikson merujuk kepada peringkat ini sebagai peringkat oral-sensori di mana bayi dipengaruhi oleh deria visual dan sentuhan. Perkembangan emosi kanak-kanak bergantung kepada orang dewasa terutamanya ibu bapa untuk memenuhi keperluan fizikal dan emosi. Peringkat ini dianggap peringkat paling penting kerana ia akan mempengaruhi perkembangan bayi melalui pengalamannya. Peringkat rasa kepercayaan ini dibina dalam tahun pertama dan kanak-kanak membina rasa kepercayaan secara berperingkat. Kanak-kanak akan membina rasa ketidakpercayaan jika keperluannya tidak dapat dipenuhi.
Kepercayaan akan memudahkan seorang kanak-kanak menghadapi serta mengatasi masalah dalam hidup. Rasa percaya akan terus dipupuk jika kanak-kanak itu sentiasa berasa selamat disayangi serta diberi perhatian oleh ibu bapa. Sebaliknya, jika keperluan asas pada peringkat ini tidak dirasai, ketidakpercayaan akan menghalang atau melemahkan bayi dalam mengatasi kesulitan hidup dan kanak-kanak akan membesar dengan rasa kecewa, tidak percaya dan ragu-ragu kepada semua orang disekelilingnya.
 - Otonomi  lawan Rasa Malu (autonomy vs shame) 
Dalam lingkungan usia 18 bulan hingga 3 tahun. Pada ketika kanak-kanak berumur 18 bulan, konsep kendiri kanak-kanak mula bertambah. Kanak-kanak mula mengetahui apa yang disebut. Pada peringkat ini kanak-kanak meningkatkan kemahiran berdikari dari segi belajar berjalan, bercakap, makan dan menggunakan tandas. Mereka membina konsep kendiri dan autonomi melalui kemahiran mengawal pergerakan motor kasar. Kebolehan membezakan perlakuan yang betul dan salah juga turut berkembang. Keinginan memiliki kuasa dan keinginan untuk melakukan sesuatu dengan daya usaha sendiri juga turut berkembang. Kanak-kanak akan berasa malu jika tidak diberi kuasa atau merasakan dirinya kurang cekap. Sebaliknya, keyakinan kanak-kanak akan dapat dipupuk apabila dipuji.
Pada peringkat umur ini, kanak-kanak akan merasa takut jika melakukan kesalahan. Tingkah laku yang tidak diingini hendaklah dikawal supaya kanak-kanak tidak merasa malu. Tingkah laku yang positif dan yang diingini juga patut dipuji. Cara ini akan membantu kanak-kanak mengenal dan membezakan jenis-jenis tingkah laku yang digalakkan dan yang perlu dielakkan.
Pada peringkat ini, jika kanak-kanak dimalukan atau dihalang daripada melakukan aktiviti, perasaan malu akan timbul. Rasa malu ini boleh membuatkan kanak-kanak meragui kebolehannya sendiri, dan mengakibatkan wujud konsep kendiri yang rendah. - Inisiatif lawan Rasa Bersalah (initiative vs  guilt)
Dalam lingkungan usia 3 hingga 5 tahun. Peringkat ini dipanggil peringkat bermain di mana kanak-kanak cuba meniru tingkah laku orang dewasa melalui proses bermain. Kanak-kanak menggunakan inisiatif dan imaginasi mereka untuk mencipta pelbagai situasi permainan dan memainkan peranan sebagai orang dewasa. Dengan cara ini kanak-kanak belajar berbagai kemahiran yang menunjukkan keupayaan menggunakan imaginasi seperti bekerjasama dan memimpin.
Proses ini juga menggalakkan perkembangan kemahiran menyelesaikan masalah, mencari maklumat baru dan membentuk konsep yang berkaitan dengan peranan jantina. Pada peringkat ini, jika kanak-kanak sentiasa diperlakukan supaya rasa bersalah, mereka akan rasa kecewa, takut dan terlalu bergantung kepada orang dewasa. Ini akan mewujudkan keadaan yang kurang membina kemahiran kreativiti, bermain dan aktiviti yang melibatkan imaginasi. 
Oleh itu Erikson menegaskan bahawa kanak-kanak perlu digalakkan menjelajah, beraksi dan melakukan aktiviti untuk mendapatkan kepuasan emosi. Jelasnya, kanak-kanak dilahirkan dengan mempunyai sifat yang dinamik serta berkembang mengikut fitrah semula jadi proses tumbesaran mereka. Pada peringkat 1 hingga 3 tahun kanak-kanak gemarkan aktiviti melukis dan mewarna. Ini kerana aktiviti ini dapat memberikan kepuasan kepada kanak-kanak dalam meluahkan apa yang dilihat lalu dipindahkan semula dalam bentuk dan rupa imej yang unik mengikut tahap pemahaman mereka. Melalui aktiviti melukis, kanak-kanak dapat meningkatkan daya sensitiviti pancaindera dan lukisan yang dihasilkan berfungsi sebagai alat komunikasi dan merupakan refleksi pemikiran kanak-kanak.
D. TEORI KECERDASAN PELBAGAI
Howard Gardner (1983), merupakan  orang yang bertanggungjawab  mengasaskan  teori kecerdasan pelbagai. Beliau merupakan  seorang ahli  psikologi Jerman terkenal dan   berpengaruh dari Universiti Havard.  Gardner (1983) menyatakan bahawa  manusia mempunyai sekurang-kurangnya  lapan kecerdasan dan pada tahun 1999  Gardner menyatakan bahawa semua  ada satu lagi kecerdasan iaitu Kecerdasan  Spiritual.
Rajah  1.4: Howard Garder 
 Sumber: http://www.weac.org/graphics/conven97/gardner.jpg
Rajah 1.5 Menerangkan teori kecerdasan menurut Gardner.
Rajah  1.5: Sembilan Jenis  Kecerdasan Menurut Gardner
Gardner percaya semua jenis kecerdasan ini bekerjasama secara kompleks, berkembang melalui pendidikan, pengalaman dan persekitaran yang bermakna dan kecerdasan tersebut boleh dipelajari, dibentuk, ditingkatkan dan sentiasa berubah sepanjang hayat.
Beberapa prinsip penting Teori Kecerdasan Pelbagai ialah seperti berikut:
- Kecerdasan pada asasnya adalah  diwarisi turun temurun tetapi  boleh ditingkatkan melalui pembelajaran dan pengajaran.
 -   Setiap individu mempunyai  kombinasi 9 kecerdasan yang dipanggil  profil kecerdasan   yang berbeza bagi setiap individu.
 - Setiap individu mempunyai  kebolehan membangunkan kesemua  kecerdasannya dengan adanya galakan, pengayaan  dan pengajaran yang  sesuai.
 - Semua kecerdasan adalah bersifat  dinamik yang boleh dikenal pasti  dan dinyatakan dengan jelas jika setiap  individu mendapat peluang  untuk mengenal dan  membangunkan  kepelbagaian kecerdasannya.
 - Latar belakang peribadi menjadi  faktor penting dalam membentuk  dan mengembangkan  pengetahuan,  kepercayaan dan kemahiran dalam semua  jenis kecerdasan.
Setiap individu mempunyai adunan kecerdasan yang unik, sentiasa berubah, kecerdasan antara individu itu adalah berbeza dari segi perkembangannya. 
Teori Kecerdasan Pelbagai Dan Perkembangan Kreativiti Kanak-kanak
Gardner (1993) menganggap semua kanak-kanak berpotensi berfikir secara kreatif. Pada peringkat awal, kanak-kanak sentiasa melintasi sempadan-sempadan norma ketika asyik bermain atau apabila tekun melakukan sesuatu aktiviti.
Menurut Gardner (1999), kreativiti kanak-kanak boleh ditingkatkan melalui cara-cara berikut:
- Pendedahan awal kepada individu lain yang selesa mengambil risiko dan yang tidak mudah mengalah.
 - Memberi peluang untuk cemerlang dalam sekurang-kurangnya satu aktiviti atau bidang yang diceburi.
 - Menyediakan persekitaran yang sentiasa mencabar supaya murid sentiasa berada pada tahap kecemerlangan.
 - Membentuk hubungan dengan rakan sebaya yang rela diuji dan tidak takut gagal.
 - Menyediakan persekitaran keluarga yang menggalakkan atau mewujudkan hubungan toleransi terhadap sifat kanak-kanak yang gemar mencabar autoriti.
 
Aktiviti Kreativiti Dan Estetika Yang Membantu Perkembangan Kecerdasan Pelbagai
Unsur-unsur Kreativiti Dan Estetika adalah terdiri daripada elemen asas yang penting dalam menghasilkan sesuatu yang mempunyai unsur kreatif. Guru boleh melaksanakan aktiviti berikut untuk mengembangkan pelbagai kecerdasan murid.
- Membentuk Garisan
Garisan ialah cantuman dari satu titik ke titik yang lain dengan mempunyai jarak-jarak tertentu. Aplikasi berbagai jenis garisan dapat mencipta rupa, jalinan, ton, corak serta menimbulkan gambaran bentuk, ruang dan gerakan dalam seni visual (lihat Rajah 1.6). - Melakar bentuk atau rupa
Rupa mesti mempunyai garisan luar (outline) dan sempadan yang mengelilinginya. Ianya dapat dikategorikan kepada rupa geometri dan organik. Rupa geometri lebih kepada rupa yang mempunyai sudut dan penjuru. Rupa organik pula yang mempunyai rupa bebas dan tidak terikat pada bentuk yang khusus. Rupa ialah sesuatu kawasan yang berbeza dari ruang di sekeliling dan bersifat 2-D (tidak berjisim). Merupakan hasil pertemuan antara penghujung garisan dan permulaannya. - Membentuk 
Bentuk lazimnya merujuk kepada struktur jisim dan isi padu. Terdapat dua jenis bentuk iaitu bentuk konkrit dan bentuk ilusi. Bentuk dapat dihasilkan melalui lukisan, catan, arca, komputer dan kraf tradisi. Bentuk konkrit ialah bentuk sebenar yang bersifat tiga dimensi. Bentuk ilusi ialah bentuk yang dilihat melalui gambar atau ilustrasi. Ianya bersifat rata dan boleh dihasilkan melalui lakaran, catan dan lukisan berkomputer 3 dimensi. - Jalinan 
Jalinan merujuk kepada kesan yang terdapat pada permukaan sesuatu objek. Ia dapat menunjukkan kesan rasa dan ekspresi sesuatu objek kepada kita. Jalinan terbahagi kepada dua iaitu; jalinan sentuh dan jalinan tampak. Jalinan sentuh ialah jalinan yang dapat dirasai melalui sentuhan, contohnya kulit buah durian (alam semula jadi) dan jahitan sulaman (alam buatan manusia). Jalinan tampak pula jenis jalinan yang hanya dapat dilihat tetapi tidak dapat dirasai melalui sentuhan. Ruang merupakan kawasan yang dikelilingi oleh garisan, atau kawasan kosong di sekeliling objek, atau jarak antara dua objek. - Warna 
Warna ialah pigmen pewarna kimia yang bertindak balas pada sesuatu permukaan. Warna terbahagi kepada tiga kumpulan utama iaitu warna asas, warna sekunder dan warna tertier. Warna asas terdiri daripada warna biru, merah dan kuning; dan ianya boleh menghasilkan warna sekunder dan warna tertier. Warna sekunder pula terdiri daripada warna hijau, jingga dan ungu; dan dapat dihasilkan daripada campuran dua warna asas. Sementara itu, warna tertier terhasil daripada percampuran warna asas dan sekunder. 
  
Rajah 1.6: Contoh aktiviti membentuk garisan
 Sumber:  http://www.dafko.com/Colorins/connect%20the%20dots%202.jpg 
  |    ||||||||||||||||
  |      ||||||||||||||||