Oleh ROHANI IBRAHIM
rencana@utusan.com.my 
   
  | 
|   Guru-guru  yang mengajar di  pedalaman menaiki bot penambang ketika berbelanja di bandar dan pulang  dari bercuti ke sekolah masing-masing di pedalaman Hulu Tembeling,  Jerantut baru-baru ini.     | 
 GURU merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam  masyarakat sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan.
 Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan guru kekal penting  seiring dengan pembangunan negara sehinggalah ke hari ini.
 Pengiktirafan kepada golongan pendidik, dapat dilihat menerusi  peruntukan besar untuk sektor pelajaran negara dalam bajet yang  diumumkan pada setiap tahun.
 Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan golongan guru  seperti kenaikan gaji serta pangkat, isu mengajar di pedalaman dan yang  terbaru penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru yang  kini di peringkat akhir. 
 Namun, suara warga pendidik yang tidak berpuas hati masih tetap  kedengaran. Rasa tidak puas hati golongan ini dapat diketahui melalui  surat yang dihantar kepada ruangan Forum Utusan Malaysia atau  kenyataan yang dikeluarkan kesatuan guru. 
 Rungutan yang sering dibangkitkan oleh golongan guru ini pernah juga  ditegur oleh pihak lain supaya bersyukur dengan jawatan dan faedah yang  diberikan. 
 Itu antara senario profesion perguruan negara, warga pendidik sering  membangkitkan masalah sementara golongan ibu bapa mahukan anak-anak  mereka menerima pendidikan berkualiti di sekolah.
 Pada 16 Mei ini, negara menyambut Hari Guru bagi menghargai peranan  golongan ini dalam pembangunan negara. 
 Tema bagi sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Pembina  Negara Bangsa.' 
 Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956  Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative  Council) menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the  Education Committee) sebagai dasar pelajaran negara.
 Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi  Dasar Pelajaran Kebangsaan. 
 Sejak 16 Mei 1972, Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai  penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan.
 Sambutan berkenaan juga bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan para  guru dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjasa kepada  bangsa dan negara. 
 Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri  Muhyiddin Yassin berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru  merupakan satu tugas yang mulia.
 ''Saya mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu' di atas segala usaha dan  kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan  memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik  merupakan satu tugas yang berat dan mencabar.
 ''Jasa dan pengorbanan para guru akan terpahat dalam ingatan dan akan  tetap dikenang sepanjang hayat," katanya dalam perutusan Hari Guru 2010  yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini. 
 Jelas Muhyiddin, warga pendidik tidak harus berpuas hati dengan apa  yang telah dicapai tetapi perlu meningkatkan usaha untuk melonjakkan  sistem pendidikan negara supaya setanding dengan negara maju dan  bertaraf dunia.
 ''Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan  kejayaan murid. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru  turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan,  semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta  membentuk akhlak dan jatidiri murid," katanya. 
 Tambah beliau, guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri  pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya  inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid. 
 ''Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang  diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan  perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita  sentiasa dinilai oleh masyarakat.
 ''Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya terus  dihormati dan menjadi model kepada masyarakat. Kerajaan akan terus  memartabatkan profesion keguruan melalui Pelan Penambahbaikan Sekolah  dan insentif di bawah Sistem Tawaran Baru kepada kepimpinan sekolah dan  guru-guru," jelas Muhyiddin. 
 Sementara Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula  menyarankan supaya, golongan pendidik melakukan muhasabah diri sempena  sambutan Hari Guru yang ke-39 pada tahun ini. 
 ''Saya berharap warga pendidik dapat melihat kembali sumbangan yang  diberikan kepada negara dan mengukuhkan azam untuk meningkatkan  prestasi. Semangat ini perlu dimiliki oleh para guru supaya pendidikan  negara mampu menjadi lebih cemerlang dalam memacu Malaysia menjadi  sebuah negara maju," katanya. 
 Alimuddin berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Sambutan Hari  Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya  baru-baru ini. 
 Jelas beliau, sumbangan para guru pada hari ini adalah sangat  bermakna kepada pembangunan negara tidak kiralah di mana seseorang guru  itu bertugas sama ada di sekolah-sekolah bandar mahupun di kawasan  pedalaman.
 ''Guru diperlukan di mana-mana tidak kira di pedalaman atau luar  bandar. Ini kerana pendidikan adalah untuk semua pelajar di seluruh  negara. 
 ''Walau di mana pun seorang guru itu bertugas mereka perlu memberikan  khidmat pendidikan yang berkualiti dan yang terbaik kepada pelajarnya,"  katanya. 
 Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini mampu menyuntik semangat  kepada warga pendidik untuk lebih komited dalam melahirkan modal insan  cemerlang dan menyemai sifat positif kepada bakal pemimpin negara tanpa  mengira tempat dan cabaran yang perlu diharungi.