KUALA  LUMPUR, 1 Julai (Bernama) -- Pendidikan prasekolah perlu  mengalami anjakan supaya kekal relevan dan menjadi pemangkin  perkembangan kanak-kanak, bangsa dan keperluan negara, kata Timbalan  Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.
 Beliau berkata pendidikan prasekolah perlu bersifat futuristik seiring  dengan aspirasi negara untuk membina masyarakat madani yang berpegang  kepada teras keimanan, mempunyai ketahanan diri, memiliki identiti  bangsa Malaysia, berpandangan jauh, berdisiplin dan mengamalkan cara  hidup yang cemerlang seiring dengan penghayatan semangat 1Malaysia.
 "Hakikat ini dapat diterjemahkan melalui sistem pendidikan prasekolah  yang bersifat holistik, tidak terlalu akademik dan sentiasa mendepani  keperluan dan aspek perkembangan kanak-kanak itu sendiri," katanya  ketika berucap merasmikan Persidangan Pendidikan Prasekolah Kebangsaan  2010 di sini Khamis.
 Persidangan selama empat hari bertemakan "Menerokai Amalan Terbaik  Dalam Pelaksanaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan" itu turut  dihadiri Ketua Setiausaha kementerian Tan Sri Dr Zulkurnain Awang, Ketua  Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom dan Timbalan Ketua  Pengarah Pelajaran Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.
 Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata guru prasekolah juga  perlu dilatih supaya dapat menyediakan peluang pembelajaran yang  menyeronokkan dan bermakna kepada kanak-kanak serta tidak membosankan  mereka untuk terus ke sekolah.
 "Peranan guru amat penting di sini, guru prasekolah merupakan orang  pertama yang mengajar anak-anak kita mengenal huruf dan numerasi,  berkomunikasi dan bersosial secara formal.
 "Guru-guru prasekolah perlu mampu menyemai asas pendidikan yang kukuh  bagi memastikan anak-anak kita akan terus berjaya dalam pendidikan,"  katanya.
 Beliau berkata sehingga akhir Mei, enrolmen prasekolah telah berjaya  ditingkatkan kepada 70.4 peratus daripada 67 peratus pada tahun  sebelumnya.
 "Saya pasti dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pihak  sasaran 72 peratus pada tahun 2010 akan mampu dicapai," katanya.
 Beliau juga bangga kerana terdapat prasekolah-prasekolah yang sebelum  ini enggan berdaftar dengan pihak kerajaan, telah mula menunjukkan minat  untuk berdaftar dengan kerajaan.
  -- BERNAMA.COM