Followers

Thursday, January 14, 2016

7 TIP UNTUK MENDIDIK AMALAN KEBERSIHAN DIRI KEPADA ANAK ANDA

Tiada ibu bapa di dunia ini inginkan anaknya mempunyai reputasi sebagai seorang yang kotor, apatah lagi dia mempunyai bau badan yang busuk. Bau badan menggambarkan tabiat anak anda yang tidak mengamalkan kebersihan diri. Orang lain mungkin mempunyai persepsi negatif terhadap kebolehan anda membimbing anak anda kerana dia sering jatuh sakit akibat tidak menjaga kebersihan dirinya. Seorang kanak-kanak yang mempunyai bau badan merupakan satu permulaan ke arah mendapat jangkitan akibat tidak menjaga kebersihan diri. Oleh itu, sebagai ibu bapa yang penyayang, anda memainkan peranan penting untuk menggalakkan anak anda mengamalkan kebersihan diri.

Berikut adalah 7 tip cara mendidik anak anda tentang kebersihan diri yang baik.

1. Menjadi contoh yang baik.
Amalan menjaga kebersihan diri yang baik bermula dari rumah. Sebagai ibu bapa, anda patut mengamalkan kebersihan diri untuk menunjukkan contoh yang baik kepada anak anda. Anda perlu sentiasa ingat bahawa minda anak anda umpama span kerana dia mungkin mengikut perlakuan anda melalui pemerhatiannya. Tambahan pula, jika anda mula mengajar anak anda tentang kepentingan kebersihan pada usia yang muda, ia akan lebih mudah mengamalkannya apabila dia semakin membesar.

2. Kuman 101.
Gunakan unsur hiburan dalam proses pengajaran tentang kebersihan diri supaya dapat menarik minat anak anda. Sediakan papan cerita yang berwarna-warni, termasuk lukisan kuman yang comel dan objek yang selalu disentuh untuk menggambarkan bagaimana mudahnya kuman boleh merebak dari tangan ke objek dan sebaliknya. Didik anak anda untuk tidak berkongsi alatan mandi, tuala, dan peralatan makanan. Cara ini boleh mendidik kepada anak anda sambil menghiburkannya dan pada masa yang sama.

3. Membasuh tangan.
Sesetengah kanak-kanak agak cuai apabila membasuh tangan mereka. Oleh itu, ingatkan anak anda untuk membasuh tangan sebelum dan selepas makan, selepas balik dari sekolah, bermain dengan permainan dan menggunakan tandas. Pastikan anda menyediakan sabun dan bahan cecair pembersih tangan (hand sanitiser) yang baik. Selalu mengingatkan anak anda supaya mengeringkan tangannya selepas membasuh kerana kuman mudah merebak pada tangan yang lembab. Jika anak anda berada di luar dan tiada sumber air;  galakkan dia menggunakan tisu basah atau bahan cecair pembersih tangan untuk membersihkan tangannya.

4. Tiada tisu adalah satu isu.
Galakkan anak anda untuk menutup hidung dan mulutnya dengan tisu apabila dia batuk atau bersin. Tisu akan menghalang kuman yang terdapat pada air liurnya dari merebak ke udara. Pastikan dia membuang tisu ke dalam tong sampah dan membasuh tangannya selepas itu. Ibu bapa boleh memupuk sikap mementingkan tabiat ini dengan meletakkan kotak tisu dan tong sampah dalam setiap bilik di rumah.

5. Tukar pakaiannya setiap hari.
Mulakan tabiat menukar baju anak anda setiap hari. Jika dia tidak membenarkan anda membasuhnya, terangkan kepada anak anda bahawa pakaiannya tidak bersih kerana bakteria dan peluh. Bakteria dan peluh yang terkumpul pada pakaiannya boleh membuatkan badannya berbau dan menyebabkan dia kehilangan kawan.

6. Anak anda adalah magnet kuman.
Pastikan dia mandi dengan kerap! Mandikan anak anda sekurang-kurangnya dua kali sehari dengan menggunakan sabun, terutamanya bila dia diselaputi dengan kotoran dari lapangan permainan. Jangan lupa untuk membasuh di belakang telinganya dan mengeringkannya.

7. Ucapkan selamat tinggal kepada nafas berbau dan sakit gigi.
Pastikan anak anda memberus giginya sekurang-kurangnya dua kali sehari terutamanya selepas makan. Memberus gigi dengan kerap boleh mengurangkan sakit gigi dan kos rawatan pergigian. Beritahu anak anda bahawa membersihkan gigi akan membuatkan dia mempunyai senyuman yang lebih cantik dan gembira. Ajar dia memberus lidah untuk membuang sisa-sisa makanan, tempat di mana bakteria membiak. Ini boleh mengurangkan nafas berbau dan perbualan anda dengannya pasti lebih menggembirakan.

sumber: http://www.basmi.my/bm/mendidik-amalan-kebersihan.html

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.