Followers

Thursday, January 12, 2012

Jadual Waktu Prasekolah 2012 (Semester 1)

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera kepada semua pengunjung blog ini. Ini adalah jadual waktu yang saya gunakan di kelas saya.Apa yang saya rancang adalah jadual waktu yang bersesuaian dengan persekitaran P&P saya, lokasi sekolah saya dan yang paling penting ia juga bersesuaian dengan anak-anak di prasekolah saya. Mungkin apa yang saya kongsikan di sini tidak sama dengan apa yang anda semua fikirkan.Penting juga dalam pembinaan jadual waktu di prasekolah adalah pembahagian masa bagi penggunaan Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris dalam pengajaran dan pembelajaran di prasekolah adalah 600 minit : 600 minit.Andai anda rasa bersesuaian dan untuk dijadikan rujukan, dipersilakan.


Wednesday, December 07, 2011

Festival Kesenian Kanak-kanak Antarabangsa

Festival himpun bakat kanak-kanak 9 negara

Kosmo Online: 30/11/2011 

KUALA LUMPUR — Program Permata akan melancarkan Festival Kesenian Kanak-Kanak Antarabangsa melibatkan 411 peserta dari sembilan negara termasuk Malaysia bertempat di Istana Budaya antara 8 dan 11 Dis. ini.
Penaung Program Permata Seni Negara, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, festival itu akan mengetengahkan bakat kanak-kanak dalam persembahan muzik, tarian dan nyanyian.
“Sudah pasti persembahan yang dibuat dapat memberi keharmonian yang boleh dirasai para penonton melalui irama, melodi dan pergerakan sepanjang festival ini berlangsung,” katanya pada sidang media mengenai penganjuran festival tersebut dan Ekspo Permata 2011, di sini hari ini.”
Rosmah, isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, festival itu akan dimeriahkan dengan tiga acara khas iaitu persembahan Malam Negara Peserta dan Malam Gala di Istana Budaya selain persembahan setempat di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). — Bernama

Wednesday, November 30, 2011

Galak graduan jadi guru prasekolah

KUALA LUMPUR: Satu usaha lebih serius perlu dirangka di negara ini bagi menggalakkan penyertaan graduan lepasan ijazah dalam bidang perguruan untuk menjadi pendidik kepada kanak-kanak sejak di peringkat prasekolah.

Ketua Program Pendidikan Awal Kanak-kanak Universiti Help, Dr Francis Lee, berkata ketika ini, hanya segelintir guru prasekolah mahupun sekolah rendah di Malaysia mempunyai kelulusan itu dan situasi terbabit agak membimbangkan berikutan ia dikhuatiri mengganggu perkembangan minda dan pembelajaran kanak-kanak.

Menurutnya, penyaluran ilmu daripada graduan yang juga individu berpendidikan tinggi tidak sepatutnya dihadkan hanya kepada sekolah menengah dan ke atas kerana ia adalah proses sama yang perlu diberi perhatian apatah lagi ketika golongan itu (kanak-kanak) membesar.
“Berbanding orang dewasa serta remaja, kanak-kanak sebenarnya lebih mudah menerima ilmu yang disampaikan malah mereka jauh lebih cepat menangkap perkara yang berlaku dan dibincangkan di sekeliling.

“Statistik tahun ini sendiri menunjukkan lebih dua juta kanak-kanak di negara ini tidak mengikuti prasekolah sedangkan pembelajaran di peringkat itu membuka laluan pertumbuhan minda mereka. Justeru, guru berkelulusan tinggi perlu menjadi pendorong sekali gus mengatasi masalah ini,” katanya pada Persidangan Kanak-kanak Kebangsaan 2011 di Pusat Konvensyen Pameran Matrade di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi Kementerian Pengajian Tinggi, Prof Datin Dr Siti Hamsiah Tapsir, Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Dr Zakaria Kasa dan Naib Canselor Universiti Help, Datuk Dr Paul Chan.

Sumber: Harian Metro Online, 30 November 2011.

Tuesday, November 29, 2011

Prasekolah diingat patuhi standard piawaian menu makanan

Posted on October 27, 2011, Thursday: Borneopost Online.


KUCHING: Ketua atau penyelia prasekolah (tadika mahupun tabika) di negeri ini diingatkan agar mengambil iktibar serta prihatin terhadap Laporan Audit Negara berhubung standard piawaian menu makanan yang disediakan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di tadika di negeri ini.


Antara Laporan Audit Negara yang dibentangkan baru-baru ini termasuk lebih daripada separuh tadika di Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah tidak patuh kepada menu yang disedia-kan oleh kerajaan.

“Jadi ia merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian kerana kalau dilihat dari segi pendidikan awal kanak-kanak, pertamanya antara yang perlu diteliti bukan sahaja standard kualiti bangunan premisnya tetapi piawaian standard dari segi pemakanan,” katanya.

Menurut Fatimah setiap menu di tadika dan tabika seharusnya perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Kesihatan, yang sudah menjadi prosedur oleh setiap taska sebelum diberi sijil atau lesen beroperasi.

Bagaimanapun kata beliau, ia tidak terhenti di situ sahaja kerana agensi-agensi yang menawarkan pendidikan awal kanak-kanak perlu melakukan pemantauan tahap menu yang diadakan.


Sehubungan itu beliau memberitahu di Sarawak sendiri antara penekanan yang diambil kira di bawah Majlis Pendidikan Awal Kanak-kanak adalah pematuhan standard kualiti.


“Ia bukan sahaja kepada tadika swasta tetapi tadika kerajaan seperti KEMAS, Jabatan Pelajaran serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Tabika Perpaduan),” katanya.


Fatimah menegaskan meskipun perkara itu tidak berlaku di negeri ini tetapi ia harus di-ambil kira.


Laporan Audit Negara itu menyatakan tadika terbabit memberikan ‘doughnut’ kepada kanak-kanak yang sepatutnya diberikan mihun goreng selain dijamu nasi lemak kosong tanpa kacang dan telur.


Selain itu laporan turut mendedahkan Tadika KEMAS di Kedah didapati menjadikan tandas sebagai stor menyimpan makanan.

Read more: http://www.theborneopost.com/2011/10/27/prasekolah-diingat-patuhi-standard-piawaian-menu-makanan/#ixzz1edTJxGOD

Monday, November 21, 2011

Aktif bersenam pintar matematik

KANAK-KANAK aktif memiliki IQ yang lebih tinggi.


BIJAK dalam subjek Matematik menjadi salah satu kelebihan kanak-kanak yang aktif khususnya mereka yang mengalami obesiti.
Senaman biasa boleh menambah kemampuan kanak-kanak obes, yang biasanya hanya duduk diam, untuk berfikir, membuat pelbagai rancangan, bahkan bertambah baik dalam Matematik.
Demikian penemuan oleh pengkaji di Universiti Sains Kesihatan Georgia, Amerika Syarikat (AS).
Mengapa mata pelajaran Matematik? Tidak dijelaskan sebabnya, namun alasan utama kerana Matematik adalah subjek yang memiliki tahap kesukaran yang lebih tinggi berbanding mata pelajaran lain.
Para pengkaji juga berharap agar bukan kanak-kanak obes sahaja yang perlu bersenam setiap hari, bahkan mereka yang bertubuh normal. Penyelidikan tersebut didasarkan pada kajian ke atas 171 orang kanak-kanak terlebih berat badan berusia antara tujuh hingga 11 tahun di AS.
Setelah melakukan senaman setiap hari, terdapat perkembangan yang sangat signifikan dari segi kecergasan dan penguasaan mereka dalam matematik. Menurut laman web Pysch Central, selepas dilakukan imbasan MRI terhadap otak kanak-kanak tersebut, terdapat peningkatan aktiviti otak di korteks prefrontal iaitu kawasan yang digunakan untuk berfikir.
MATEMATIK memerlukan tumpuan yang lebih untuk menguasainya.


Selain itu, kecerdasan otak (IQ) turut bertambah. Semakin kerap mereka bersenam, semakin tinggi IQ mereka. Rata-rata berlaku peningkatan sebanyak 3.8 mata untuk mereka yang bersenam selama 40 minit sehari selama tiga bulan.
Senaman yang dilakukan adalah pelbagai. Ini termasuk berlari, lompat tali dan bersenam.
Semua aktiviti itu juga merangsang otak. Ini memandangkan senaman membuatkan aliran darah serta oksigen ke otak berjalan lancar.
Faktanya, seseorang tidak mungkin boleh bergerak jika otaknya tidak aktif. Untuk aktif, oksigen diperlukan sekali gus menjadikan kedua-dua aktiviti dan oksigen saling berkait.

Sunday, November 13, 2011

Pendedahan seni bantu pembinaan personaliti

SEREMBAN 27 Sept. - Pendedahan seni dalam kalangan murid di peringkat prasekolah perlu diberikan keutamaan sekali gus dapat membantu proses pembinaan personaliti dan perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.
Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata, mata pelajaran seni dan muzik yang diajar di prasekolah ketika ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada murid mengenai seni dan muzik namun ia tidak dijalankan secara intensif.

Malah katanya, terdapat prasekolah yang tidak mempunyai peralatan dan kemudahan yang mencukupi untuk memastikan pengajaran seni dan muzik dapat disampaikan dengan lebih berkesan kepada murid-murid.
''Mengikut kajian yang dilakukan oleh Stanford University, Amerika Syarikat, ia mendapati bahawa bidang seni mendidik kanak-kanak dalam membuat penilaian dan perhitungan, penyelesaian masalah dan memupuk aspek pemikiran kreatif.

''Justeru, sekiranya aspek seni diberikan penekanan dalam pendidikan awal kanak-kanak, saya percaya kita mampu membentuk sebuah bangsa Malaysia yang cemerlang, kreatif dan berketerampilan," katanya.
Rosmah yang juga Penaung Permata Negara Malaysia berkata demikian ketika berucap pada program Kasih Dititip Budi Bersemi anjuran Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Malaysia daerah (PBPPPM) dan Jabatan Pelajaran Negeri Sembilan (JPNS) di Auditorium Tunku Puan Chik, Pusat Penyiaran Tuanku Muhamad (RTM), Sungai Gadut dekat sini hari ini.

Hadir sama, isteri Menteri Besar, Raja Datin Seri Salbiah Tengku Nujumudin dan Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malek dan Persatuan Bekas Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PBPPPM), Datuk Sudin Kamari.

Dalam pada itu, Rosmah memberitahu, Program Permata Seni yang dianggotai seramai 150 orang setakat ini telah menunjukkan keberkesanannya dengan pencapaian yang amat membanggakan walaupun kewujudan program itu tidak sampai dua tahun.

''Mereka telah berjaya membuat persembahan di Konsert Permata Seni pada tahun lalu di samping menjayakan pelbagai persembahan lain.

''Insya-Allah pada hujung tahun ini, kami akan mengadakan Festival Seni Kanak-Kanak yang akan disertai oleh lapan buah negara meliputi, Singapura, Filipina, India, China, Jepun, Korea Selatan, Sri Lanka dan Malaysia sendiri," katanya.



Utusan Malaysia: 28 September 2011

Semua guru tabika Kemas miliki diploma 2015

Utusan Malaysia: 30 Oktober 2011

KOTA KINABALU 29 Okt. - Dalam usaha meningkatkan tahap pendidikan prasekolah, kerajaan menyasarkan kesemua guru taman bimbingan kanak-kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di seluruh negara memiliki diploma menjelang 2015.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, setakat ini seramai kira-kira 2,000 daripada 9,824 guru Tabika Kemas telah berjaya menamatkan pengajian di peringkat diploma.

"Dalam hubungan ini kita bekerjasama dengan Kementerian Pelajaran untuk mempastikan tenaga guru kita dapat ditingkatkan keupayaannya.

"Jadi untuk murid-murid tabika mendapat ilmu pengetahuan mencukupi, kita perlu mempunyai tenaga guru berkebolehan dan berkeupayaan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2010 Jabatan Kemas Negeri Sabah di Dewan Saadah Wisma Majlis Ugama Islam (MUIS) di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah Kemas, Hassan Mohd. Amin dan Pengarah Kemas Negeri, Anisah Saidin.
Pada majlis itu, seramai 94 warga kerja Kemas Sabah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.

Menurutnya, pada masa ini guru-guru Tabika Kemas dihantar menjalani kursus dalam cuti di institusi perguruan di seluruh negara.

Dalam pada itu beliau berkata, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) pendidikan prasekolah kementerian itu telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan.

"Pada tahun ini sasaran 9,816 kelas Tabika Kemas telah berjaya dicapai sejak Julai lalu dengan bilangan kanak-kanak seramai 215,834 orang.

"Selain itu, menjelang 2015 kesemua guru-guru tabika dijangka bergred S27," ujarnya.