Followers

Tuesday, April 21, 2009

Program PERMATA

Setiap Anak Permata Negara

PENGENALAN:-

Kajian menunjukkan yang perkembangan otak manusia berlaku paling cepat semasa awal tahun pertama hingga tahun ke lima dalam kehidupan mereka.

Atas dasar ini, keistimewaan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA ialah, ia merupakan satu program yang menekankan program pembelajaran yang holistik dan berbeza dari corak pembelajaran sedia ada. Diadaptasi dari konsep ‘learning is fun through play’ dari Pen Green Centre, Corby, England, anak-anak PERMATA ditekankan untuk belajar melalui eksperimentasi, eksplorasi dan pengalaman di Pusat Anak PERMATA Negara.

Kurikulum Pusat Anak PERMATA Negara (PAPN) disesuaikan mengikut acuan dan keperluan kanak-kanak di negara ini walaupun konsep asalnya berpandukan amalan pusat asuhan di luar negara; dengan memberi penekanan kepada modul pendidikan yang sesuai dengan perkembangan minda kanak-kanak Malaysia.

PERMATA mengamalkan konsep asuhan dan didikan yang bersepadu merangkumi aspek pemakanan, kesihatan, penglibatan ibu bapa dan komuniti

Ini adalah bersesuaian untuk membentuk personaliti anak yang seimbang, yakin diri,. bijak bergaul dan ini juga adalah penting untuk pembangunan modal insan yang cemerlang, sekaligus mengelakkan anak-anak dari terjebak ke dalam kancah gejala sosial apabila mereka dewasa.


Falsafah, Fokus dan Rasional kami:-


Bagi kami, pendekatan yang menekankan konsep setiap anak adalah individu yang berbeza.

Oleh itu, kami berpegang pada falsafah bahawa:-
• Setiap anak permata negara
• Setiap anak amat berharga
• Setiap anak adalah modal insan Negara.
• Pendidikan awal kanak-kanak penting dalam perkembangan intelek, emosi
, kognitif dan komunikasi mereka.

Oleh itu melalui falsafah ini kami berusaha untuk mencapai objektif PERMATA bagi menghasilkan modal insan Negara yang cemerlang, gemilang, terbilang dalam menuju wawasan sebagai Negara maju di masa hadapan.

Dalam usaha merealisasikan objektif program PERMATA, kami memfokuskan pada kumpulan sasaran atau segmen tertentu dimana kumpulan sasaran PERMATA ialah kanak-kanak berumur antara 1 hingga 4 tahun dengan tumpuan di kawasan bandar dan luar bandar.

Ini dikira rasional berdasarkan bukti dari kajian neurosains yang menunjukkan bahawa 3 tahun pertama adalah amat penting dalam perkembangan otak kanak-kanak.

Hubungan emosi dan sosial yang dibina dengan mereka memainkan peranan penting ke arah pembentukan personaliti mereka yang tenang, aman dan penyayang.

Maka sekiranya rangsangan yang betul diberikan dalam keadaan ceria dan gembira, otak akan berkembang segar.

Oleh itu, kurikulum PERMATA digubal berbeza dari kurikulum asuhan dan didikan awal kanak-kanak yang ada di Negara ini.


kurikulum permata

Kurikulum PERMATA berbeza kerana ianya member penekanan kepada pembangunan kanak-kanak secara holistik dalam aspek kemahiran kognitif, sosio-emosi, komunikasi dan fizikal. Antara ciri-ciri penting dalam kurikulum PERMATA:-



Teknik pembelajaran PERMATA ialah dengan merangsang minda kanak-kanak dengan kaedah meneroka, mencuba dan mengalami melalui aktiviti permainan. Kaedah ini mewujudkan persekitaran yang sesuai dan menyeronokkan bagi kanak-kanak melalui teknik-teknik berikut:-
- Kasih sayang dan belaian
- Interaksi dan komunikasi
- Pemikiran dan bacaan
- Memberi kuasa kepada kanak-kanak melalui pembelajaran secara bebas
- Mendorong kebolehan dan potensi kanak-kanak
- Belajar melalui bermain
- Menghayati muzik dan seni, nyanyian dan pantun, tarian dan lakonan

Atas dasar ini, teknik pembelajaran PERMATA digubal dengan mengambil kira aspek-aspek seperti:-
- Pembinaan Hubungan Emosi, Kasih Sayang, Rasa Selamat dan Yakin Diri
* Melalui sentuhan dan belaian
* Melalui berkawan dan sosial
- Belajar Melalui Percubaan dan Penerokaan
- Membina minat membaca dan berfikir sejak awal
- Merangsang kemahiran matematik dan pemikiran secara logic


sejarah permata

Segalanya bermula pada suatu hari, hampir tiga tahun yang lalu, apabila peningkatan kadar jenayah dan masalah sosial menjadi semakin ketara di Negara ini. Datin Paduka Seri Rosmah cuba memikirkan jalan penyelesaian kepada masalah-masalah itu.

Pada pandangan bekas pelajar jurusan sosiologi ini, semestinya masalah berkenaan berakar daripada didikan semasa usia kanak-kanak.

Kerana begitu ‘terganggu’, beliau tidak boleh berhenti memikirkan bahawa ada sesuatu yang tidak kena. Barangkali ada sesuatu yang hilang semasa dalam proses membesar.

Itulah yang membawa kepada tercetus idea untuk pelaksanaan Program Asuhan dan Didikan Awal Kanak-kanak PERMATA.

Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Dasar PERMATA Negara, apabila idea itu datang, beliau tidak teragak-agak untuk melaksanakannya, satu kerana matlamatnya ialah mahu melahirkan modal insan terbaik kepada negara dan satu lagi kerana tidak mahu lagi ‘terganggu’ dengan laporan-laporan jenayah disiarkan hampir saban hari.

Lantas, 25 individu profesional dalam pelbagai bidang, kepakaran dan latar belakang dicari untuk sama-sama mengumpul, mencari idea selain membantu merealisasikan hasrat murni berkenaan. Kumpulan profesional ini bukan calang-calang orang dan mereka juga senada bahawa pembentukan insan akan menjadi lebih berkesan sekiranya dimulakan lebih awal lagi

Kumpulan ini terdiri daripada mereka yang mempunyai kepelbagaian kepakaran, latar belakang, pendidikan dan pengalaman antaranya pakar kanak- kanak, ahli akademik, aktivis wanita dan aktivis masyarakat memulakan usaha ini dengan mengadakan kajian dan penyelidikan secara sukarela dan dapatannya lantas dijadikan input bagi pembangunan konsep pendidikan sedemikian.

Dan bagi menjayakan konsep pendidikan sedemikian, ia memerlukan satu pendekatan bersepadu yang melibatkan pelbagai pihak seperti ibu bapa, masyarakat setempat, pihak berkuasa tempatan dan ahli-ahli politik dapat dimanfaatkan bagi menjadikan kanak-kanak setempat yang agak mundur kepada yang lebih berjaya dan membanggakan.

Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI) pula diberi tanggungjawab untuk menyediakan modul pembelajaran dan teknik pengajaran serta kursus penjagaan kanak-kanak kepada pendidik-pendidik di Pusat Anak PERMATA Negara.


HASIL KAJIAN:-


Dapatan ke atas hasil kajian penyelidikan yang dijalankan oleh NCDRC, UPSI adalah seperti berikut:-

  • Perkembangan emosi :
    - 84% kanak-kanak PERMATA mencapai perkembangan emosi yang baik berbanding 42% kanak-kanak Bukan PERMATA. Program PERMATA didapati berjaya membentuk personaliti kanak-kanak yang tenang dan terkawal, stabil, ceria, mesra, penyayang dan berkeyakinan diri;

  • Perkembangan bahasa dan Komunikasi :
    - 80% kanak-kanak PERMATA boleh menggunakan ayat penuh dan betul berbanding 51% kanak-kanak Bukan PERMATA;

  • Kemahiran berkomunikasi :
    -
    72% kanak-kanak PERMATA boleh menggunakan bahasa ekspresi dan bercerita mengatasi 60% kanak-kanak Bukan PERMATA;

  • Perkembangan sosial :
    -
    80% kanak-kanak PERMATA bersifat mesra, mudah bergaul/berkawan, berkongsi mainan, mengikut arahan dan menunggu giliran berbanding kanak-kanak Bukan PERMATA;

  • Pengurusan Diri :
    - 85% kanak-kanak PERMATA lebih pandai mengurus diri sendiri berbanding 60% kanak-kanak Bukan PERMATA;

  • Perkembangan intelek :
    - 85% kanak-kanak PERMATA mencapai kemahiran pra-sains berbanding 50% kanak-kanak Bukan PERMATA; dan

  • Perkembangan rohani :
    - kanak-kanak PERMATA lebih berdisiplin dan suka bersalam berbanding kanak-kanak Bukan PERMATA.
Sumber:http://www.permata.jpm.my/