Followers

Tuesday, November 29, 2011

Prasekolah diingat patuhi standard piawaian menu makanan

Posted on October 27, 2011, Thursday: Borneopost Online.


KUCHING: Ketua atau penyelia prasekolah (tadika mahupun tabika) di negeri ini diingatkan agar mengambil iktibar serta prihatin terhadap Laporan Audit Negara berhubung standard piawaian menu makanan yang disediakan.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah berkata ia bagi mengelakkan perkara yang sama berlaku di tadika di negeri ini.


Antara Laporan Audit Negara yang dibentangkan baru-baru ini termasuk lebih daripada separuh tadika di Johor, Kelantan, Kedah dan Sabah tidak patuh kepada menu yang disedia-kan oleh kerajaan.

“Jadi ia merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian kerana kalau dilihat dari segi pendidikan awal kanak-kanak, pertamanya antara yang perlu diteliti bukan sahaja standard kualiti bangunan premisnya tetapi piawaian standard dari segi pemakanan,” katanya.

Menurut Fatimah setiap menu di tadika dan tabika seharusnya perlu mendapat kelulusan daripada Jabatan Kesihatan, yang sudah menjadi prosedur oleh setiap taska sebelum diberi sijil atau lesen beroperasi.

Bagaimanapun kata beliau, ia tidak terhenti di situ sahaja kerana agensi-agensi yang menawarkan pendidikan awal kanak-kanak perlu melakukan pemantauan tahap menu yang diadakan.


Sehubungan itu beliau memberitahu di Sarawak sendiri antara penekanan yang diambil kira di bawah Majlis Pendidikan Awal Kanak-kanak adalah pematuhan standard kualiti.


“Ia bukan sahaja kepada tadika swasta tetapi tadika kerajaan seperti KEMAS, Jabatan Pelajaran serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (Tabika Perpaduan),” katanya.


Fatimah menegaskan meskipun perkara itu tidak berlaku di negeri ini tetapi ia harus di-ambil kira.


Laporan Audit Negara itu menyatakan tadika terbabit memberikan ‘doughnut’ kepada kanak-kanak yang sepatutnya diberikan mihun goreng selain dijamu nasi lemak kosong tanpa kacang dan telur.


Selain itu laporan turut mendedahkan Tadika KEMAS di Kedah didapati menjadikan tandas sebagai stor menyimpan makanan.

Read more: http://www.theborneopost.com/2011/10/27/prasekolah-diingat-patuhi-standard-piawaian-menu-makanan/#ixzz1edTJxGOD