Sunday, November 13, 2011
Semua guru tabika Kemas miliki diploma 2015
Friday, February 11, 2011
Guru Tua sanggah Mokhtar Sabah
SAYA ingin memberi reaksi berdasarkan tulisan Mokhtar Sabah dalam Utusan Malaysia bertarikh 8 Februari 2011. Saya ingin memberi pendapat berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang pendidikan. Saya rasa ramai guru yang terkejut dengan tulisannya. Di sini ingin saya menyangkal beberapa pandangannya.
Siapa guru yang diberi tanggungjawab mengajar enam waktu seminggu? Hanya Guru Besar yang diwajibkan mengajar enam waktu seminggu kerana beban tanggungjawab yang digalas. Guru mana yang purata mengajar 16 waktu seminggu? Rata-rata guru biasa di sekolah saya mengajar 32 waktu seminggu dengan beban tugas lain. Itu belum ganti guru bersalin yang tiada pengganti.
Contohnya Cikgu A.
- Masa mengajar 32 waktu x 30 minit seminggu.
- Guru Kelas
- Guru Data SDM
- Guru Disiplin
- Pengerusi Teknik Zon
- Guru Bertugas Mingguan
- Setiausaha Kelab Guru
- Penolong Ketua Rumah Sukan
(Banyak lagi tugas yang perlu diselesaikan seperti mengisi Data Sistem Maklumat Murid (SMM) yang berubah-ubah setiap tahun, majlis persaraan, Hari Kantin, Hari Sukan dan lain-lain.)
Kami tersinggung dengan kenyataan Cikgu Mokhtar yang menyatakan guru mengajar lapan jam seminggu bersamaan dengan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.
Wahai, Mokhtar Sabah, keluarlah dari bawah tempurung. Tugas guru bukan hanya mengajar di dalam kelas, tetapi mendidik murid dari lepas subuh sampai sebelum maghrib. Malahan ada guru yang ikhlas menabur bakti hingga 10 malam. Di padang waktu petang, kalau bukan guru, siapa agaknya?
Mokhtar Sabah menyatakan seorang guru diberi satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Lihatlah contoh Cikgu A di atas. Hanya guru bermasalah yang memegang jawatan minimum. Kalau cikgu tersebut seorang yang bagus, maka makin banyak beban kerja terletak di bahunya.
Kami tidak pernah mengeluh tentang tugas hakiki menanda buku kerja pelajar, kertas ujian dan menyediakan soalan. Kami tahu tanggungjawab kami. Cuma yang kami bincangkan kerja-kerja lain yang membebankan seperti mengisi data yang sepatutnya bukan kerja kami.
Agaknya Mokhtar Sabah tidak pernah bertugas seminggu selepas cuti dan seminggu sebelum naik sekolah semasa cuti sekolah hujung tahun. Cuti kami diambil, tapi kami akur dengan arahan tersebut.
Wahai Mokhtar Sabah, kalau murid sekolah cikgu tak ramai, bolehlah cakap besar. Cubalah mengajar di sekolah yang muridnya lebih 2,000 orang. Agaknya Cikgu Mokhtar datang sekolah bila jam berbunyi 7.20 pagi dan balik 12.50 tengah hari. Cikgu Mokhtar tak bertugas untuk mengawal disiplin murid awal pagi, waktu rehat dan waktu balik? Ingat ya, tugas guru bukan mengajar di kelas sahaja!
Hanya guru yang memahami masalah yang dihadapi oleh guru. Mokhtar Sabah, marilah datang ke Semenanjung, tukar angin untuk merasai apa yang kami rasa. Jangan dijolok sarang tebuan! Walaupun kami terbeban dengan tugas yang banyak, kami laksanakan dengan jayanya. Kami berjaya mengawal emosi dan tak perlu jumpa doktor sakit jiwa!
GURU TUA
Johor Bahru, Johor
Sumber: Forum Utusan Malaysia Online
Forum Utusan: Guru Tidak Terbeban Kerja
SAYA ingin memberi reaksi kepada pandangan saudara Norhisyam Mohamad dari Kuala Kedah di ruangan ini pada 3 Februari 2011 mengenai Jawatankuasa Khas mengkaji beban tugas guru.
Masyarakat Malaysia sering kali diperdengarkan dengan keluh-kesah warga guru yang mengatakan mereka banyak kerja, kerja sampai ke rumah, waktu cuti pun dipanggil bekerja dan seribu macam lagi. Namun tidak ada statistik sebenar yang menunjukkan bahawa warga guru ini adalah benar-benar dalam keadaan tertekan.
Saya telah berkhidmat sebagai guru mulai Disember 1992 sehingga kini. Saya berasa malu dan bersalah jika mengaku terbeban dengan kerja mendidik. Rasionalnya:
* Hampir setiap guru hanya akan diberikan tanggungjawab mengajar minimum dengan enam waktu seminggu dan maksimum 25 waktu seminggu. Secara purata ramai daripada di kalangan guru hanya diberi waktu mengajar 16 waktu seminggu. Satu waktu bersamaan 30 minit atau paling lama 40 minit. Secara purata kebanyakan sekolah rendah atau pun menengah menggunakan satu waktu bersamaan dengan 30 minit sahaja. Purata waktu mengajar guru ialah 16 waktu X 30 min= 480 minit atau lapan jam seminggu iaitu bersamaan satu hari bekerja penjawat awam yang lain.
* Tugas-tugas khas selain daripada kurikulum akan diberikan dengan agihan saksama. Berdasarkan pengalaman saya sebagai pengurusan sekolah, seorang guru akan diberikan satu tugas khas dan satu tugas kokurikulum. Misalnya, jika seorang guru diberikan tanggungjawab guru kelas atau tingkatan, ketua rumah sukan, ketua persatuan atau kelab dan jawatan berupa tanggungjawab ketua, maka guru tersebut tidak akan diberi tanggungjawab lain kecuali sekolah kekurangan guru.
* Tugas menanda buku kerja pelajar, menanda kertas ujian atau peperiksaan dan menyediakan kertas soalan adalah tugas hakiki guru.
* Guru-guru wajar mengetahui dengan jelas tugas hakiki mereka. Jika tidak mengetahui, sila rujuk kepada SPP [Panduan tugas hakiki Pegawai Perkhidmatan Pendidikan].Tolong rujuk Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Guru, Visi, Misi dan Objektif Kementerian Pelajaran. Lihat juga Tonggak 12 dan semua jenis Perintah Am, Pekeliling Perkhidmatan dan panduan-panduan perkhidmatan guru yang lain.
Guru sebenarnya tidak terbeban dengan tugas hakiki yang ada kecuali mereka sendiri yang membebankan diri mereka. Alasan saya:
* Ramai guru yang terlibat dengan pelbagai aktiviti ekonomi seperti jualan langsung, insurans, jualan runcit (kain tudung, baju, kain pasang, tuisyen, kedai burger dan seribu macam lagi). Cuba rujuk laman sesawang seperti Facebook, kita akan jumpa kebanyakan penjawat awam termasuk guru menguar-uarkan produk jualan mereka dalam Facebook.
* Masa mengajar bukanlah berterusan. Pihak pengurusan sekolah tidak akan berlaku kejam. Setiap guru ada masa senggang. Misalnya, jika guru A telah mengajar tiga waktu sebelah pagi, maka pada waktu empat dan lima, lazimnya beliau akan rehat. Ada juga yang tidak mengajar seharian.
* Guru teknik, guru vokasional dan guru Kemahiran Hidup mempunyai masa mengajar yang lebih senggang. Ada di kalangan mereka yang mengajar tiga hari sahaja dan dua hari akan bercuti daripada mengajar. Purata mereka mengajar tidak lebih daripada 14 waktu seminggu kecuali guru yang mengajar Kemahiran Hidup. Ada yang sempat mengambil projek membuat pagar, membaiki kenderaan luar, mengecat kereta luar, membuat pendawaian rumah dan bermacam kerja lagi dalam waktu kerja.
* Ustaz-ustaz juga tidak ketinggalan menyampaikan ceramah berbayar di merata tempat tetapi tugas hakiki mendidik pelajar terabai. Kalau tidak masakan ada pelajar yang masih tidak mengenal huruf jawi dan tidak boleh membaca al-Quran.
* Guru-guru juga sibuk dengan kejohanan sukan diri sendiri, bukan untuk pelajar. Ada yang terlibat dengan kejohanan sehingga semingu lamanya, sedangkan ia hanya peringkat dalaman sahaja. Jika peringkat kebangsaan hanya setakat itu sahaja kerana tidak ada kejohanan sukan dunia untuk warga pendidik. Masalahnya anak murid yang terabai maka berlakulah guru tidak habis silibus.
Saya meminta mana-mana pihak, terutama golongan guru, agar memberi dan menunjukkan bukti imperikal bahawa mereka (lebih kurang 126,171 guru lelaki dan 279,545 guru perempuan) adalah dalam keadaan tertekan. Tunjukkan juga berapa ramai guru yang dirujuk kepada Lembaga Perubatan kerana masalah mental disebabkan ‘Beban Tugas’.
Saya menyeru semua warga pendidik iaitu guru, Pensyarah Guru, Pensyarah IPTA & IPTS agar menilai diri dan memahami fungsi kita sebagai pendidik. Jika kita tidak boleh, maka ada pekeliling yang dikeluarkan oleh kerajaan untuk kita melepaskan jawatan kita dan carilah kerja yang sesuai dengan kita.
Mokhtar Sabah
Keningau, Sabah.
Sumber: Utusan Malaysia Online arkib 08.02.2011
Monday, November 08, 2010
MEKAR GAGASAN – SUMPAH GURU 1MALAYSIA
Disampaikan di Perhimpunan Kebangsaan Guru 1Malaysia
di Stadium Putra, Bukit Jalil pada 16 Oktober, 2010.
Aduhai, bangsa Malaysiaku
Benarlah, kata sang pujangga
Ilmu itu ibarat pelita, guru itu bagaikan lilin
Rela membakar diri, menebar ilmu
Jasa dan bakti dicurah tanpa jemu
Cahaya melimpah di segenap penjuru.
Aduhai, bangsaku, bangsa Malaysia
Benarlah kata Sasterawan Negara
Guru...Dialah bapa, dialah sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Guru adalah pemimpin, ditauliahkan segala umat
seribu katanya menjadi hikmat.
Seorang Raja yang memerintah negara
Seorang Perdana Menteri yang memimpin bangsa
Seorang Ulama yang menjaga hal ehwal agama
Seorang Peguam yang mengendali bicara
Seorang Jurutera yang merencana pembangunan nusa
Hatta, seorang Tukang Sapu yang kecil pendapatannya, juga
Sejarahnya adalah dimulakan dari seorang guru biasa.
Kami , Guru Malaysia
Teruja pada sebuah ingatan para warga
Menyulam bangga, pabila generasi masih menghargai
Berjasa dan berbakti
Mendidik dan memimpin pada pertiwi
Secebis keringat, namun bekasnya bersemi
Citra dan cita murni profesion kami
Ikrar dan janji sampai ke mati.
Aduhai, bangsaku, bangsa Malaysia
Pelan Induk Pembangunan Pendidikan langkah bemula
Kini melonjak Keberhasilan Kualiti Pendidikan negara
Tranformasi Pendidikan, satu rangka membina bangsa berjaya
Modal insan berperibadi mulia harapan utama
Niat murni, mengangkasa bangsa, dilaksana
Pendidikan Negara Bertaraf Dunia cita-cita bersama.
Aduhai, Guruku, Guru Malaysia
Marilah...! Kita bangkit dari lena yang panjang
Memimpin dan mencipta, bangsa merdeka
Demi Malaysia tanah air tercinta
Bumi merdeka – negara nan berdaulat
Keamanan, kemakmuran, kita harumkan.
Bersatu aku di bawah payung Malaysia
Berdiri kami di bawah pohon Malaysia
Berfikir semua sebagai anak Malaysia
Perpaduan Kebangsaan kita semaikan
Menuai hasil berisi, penuh restu di telapak tangan.
Wawasan pemimpin - 1 Malaysia, harapan mulia
‘ Rakyat didahulukan, Pencapaian diutamakan ’
Menyentuh kalbu, bertaut kasih pada rindu
Bangsa Malaysia bangkit menjadi bangsa peneraju.
Mari ... ! Mari ...! Kita sebarkan
Agenda Pendidikan negara berteras 1Malaysia
Guru 1Malaysia - Penjana Modal Insan Cemerlang
Guru 1Malaysia - Pembina Negara Bangsa Gemilang
Guru 1Malaysia - Pemangkin Pendidikan Terbilang.
Guru 1Malaysia
Tidak rela, rumah Malaysia nan harmoni ini
Hancur lebur, dek rapuhnya patriotisme bangsa
Mekarnya gagasan 1Malaysia
Perpaduan bangsa, kami ajarkan
Pada anak didik , generasi penerus warisan.
Aduhai, Guru 1Malaysia
Marilah, kita kotakan apa yang dikata
Membulatkan harapan menuju puncak jaya
Menyambung tangan, merealisasikan integrasi bangsa
Kualiti pendidikan kita, menjulang, menyinar di segenap benua.
Sejahteralah negaraku Malaysia, negara berdaulat
Sejahteralah bangsaku Malaysia, bangsa merdeka
1 Malaysia – 1 Semangat - 1 Harapan
Malaysia negaraku berjaya di pentas dunia.
Ini sumpah, Guru Malaysia !
Sederap - serentak, seirama melangkah
Mekarnya gagasan, negaraku Malaysia nan tercinta
Mengotakan janji, menggapai cita-cita.
Terima kasih...
Y.A.B Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak
Pemimpin tersohor negara - Perdana Menteri dikasihi
Tajam akal menembus kebajikan rakyatnya
Sejarah melakar, memacu anjung pendidikan
Mengukir semangat rasa cintanya pada warga guru
Pendidikan anak bangsa, ditulis pada baris pertama
Profesion keguruan menjadi sanjungan mulia
Memeta wawasan bangsa 1Malaysia.
Terima Kasih...
Y.A.B Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin bin Haji Mohd Yassin
Pemimpin nombor dua negara - Menteri Pelajaran disayang
Panglima yang bijak pada tugasnya - Panglima yang setia pada ketuanya
Berpencak, bersilat, turun ke padang
Sehalus kekangan , sulaman santunan menjadi tikar
Tranformasi pendidikan dipastikan melonjak ke hadapan
Pemodenan pendidikan melestarikan wawasan.
Perjuanganmu...wira negara
Bersama semangat kibaran, Sang Saka Bangsa
Bersama semangat kilauan, Keris Panca Warisan
Bersama gerak tindak dan tingkah yang sekata
Tidakpun pernah kalah pada gertak pemusnah nusa
Pengorbanan sejati demi tanah air tercinta.
Terima Kasih...Wira cemerlang pada akal dan budi
Ketulusan, keikhlasan, terpancar bagaikan mentari
Keyakinan, keberanian tersebar di genggaman tangan sakti
Pendidikan 1Malaysia, menjana tranformasi.
Wahai, Guru Malaysia !
Panggilan keramat ‘Cikgu’
menggamit rindu, pada kita yang pernah berguru
Budimu yang diapungkan di dulang ilmu
Dikenang dan diingati selalu
Segunung Budimu , Selaut Kasihku.
‘Cikgu’ ! Jasa dan budimu bagai gemilang kilauan permata biru
Walaupun terbenam di sebalik pepasir membeku
Namun namamu tetap berseri, di sudut sanubariku.
Terima Kasih, Cikgu !
Nukilan:
Cg. HJ.MEGAT MD.SALEH MD ARSHAD
Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK)
Kementerian Pelajaran Malaysia , Putrajaya
Sunday, May 16, 2010
Lebih 100,000 mohon jawatan guru
utusanpahang@utusan.com.my
![]() |
Adnan Yaakob memotong reben pelancaran ruangan edisi Pahang akhbar Utusan Malaysia sambil diperhatikan oleh Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin (dua dari kiri) dan Alimuddin Mohd. Dom di Kuantan, semalam. |
KUANTAN 15 Mei - Profesion perguruan dianggap antara kerjaya paling popular apabila Kementerian Pelajaran menerima lebih 100,000 permohonan kemasukan ke maktab-maktab perguruan di seluruh negara.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom bagaimanapun berkata, maktab-maktab perguruan sedia ada hanya mampu menampung kemasukan kira-kira 4,000 penuntut.
Katanya, kewujudan 27 institusi pendidikan dan universiti awam yang berupaya melahirkan guru berkualiti juga dapat menyelesaikan masalah kekurangan guru yang mungkin berlaku di sesuatu tempat atau sekolah dengan kadar segera.
"Profesion guru memang cukup popular, lebih 100,000 orang memohon untuk memasuki maktab perguruan yang hanya boleh diisi lebih kurang 4,000 orang.
"Jadi, dari segi pemilihan bakal guru yang berkualiti tiada masalah, kita banyak pilihan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau ditemui pada majlis pelancaran Festival Hari Guru 2010 peringkat kebangsaan yang dirasmikan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini.
Turut hadir, Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin, Pengarah Eksekutif Kumpulan, Kumpulan Utusan, Mohd. Nasir Ali dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Othman Mohamad.
Mengulas lanjut, Alimuddin berkata, bagi melahirkan pendidik berkualiti, setiap bakal guru perlu melalui tiga tapisan iaitu memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) tidak kurang 2.75, lulus ujian bertulis dan temuduga.
"Jadi, kita akan mendapat guru yang berkualiti," katanya.
Mengenai penempatan di pedalaman, Alimuddin menjelaskan, masalah itu tidak timbul kerana setiap guru yang ditempatkan di kawasan itu diberi elaun sebanyak RM1,500.
Bagaimanapun katanya, pihak kementerian sentiasa memberi pertimbangan kepada guru yang memohon untuk dipindahkan atas faktor-faktor tertentu seperti kesihatan.
Mengenai masalah kekurangan guru di Pahang seperti dilaporkan baru-baru ini, beliau menjelaskan, perkara tersebut telah diatasi sepenuhnya.
Friday, May 14, 2010
Biarlah kehadiran anda dirasai!
Pendidikan@utusan.com.my
HARI guru pada tahun ini disambut dalam suasana yang cukup berhemah. Sambutan besar-besaran di peringkat sekolah mungkin tidak perlu - tetapi ia tetap perlu diadakan juga. Masih ada murid yang mahu meraikan dan menghargai jasa anda. Sekurang-kurangnya anda perlu membuat sesuatu supaya kewujudan dan kerja anda dirasai.
Al-Mukadimah, banyak cabaran yang menanti guru bagi yang mengikuti perkembangan pendidikan semasa. Harapan yang diletakkan di bahu guru bukan sahaja daripada kelompok pelanggan iaitu ibu bapa, tetapi juga pembuat dasar, iaitu kerajaan.
Bagi yang telah memenuhi tuntutan Bai'ah, anda bolehlah tersenyum pada Hari Guru ini.
Maka, pada Hari Guru tahun ini, apa sahaja pengumuman - sama ada ia tokok tambah kepada gaji atau imbuhan lain - maka ia perlu disusuli dengan rasa insaf bahawa tanggungjawab mendatang bukan kepalang beratnya. Guru di bandar, pedalaman, di kampung atau di sektor-sektor khas lain perlulah dapat merasai bahawa Hari Guru 2010 ialah titik tolak kepada perubahan yang bakal mereka galas.
Perlu juga dibangkitkan di sini, kepada lebih 100 guru pedalaman yang telah diberi tunjuk sebab kerana ponteng dan pelbagai masalah lain, anda fikirlah sendiri. Jawablah surat tersebut kalau masih berstamina menjadi guru.
Yang mereka perlu sedar juga ialah tindak tanduk dan output kerja mereka kini diperhatikan secara kuantitatif dan kualitatif. Hal ini senang sahaja dilaksanakan kerana di bawah Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) pendidikan yang menjadi dasar Program Transformasi Kerajaan (GTP), maka KPI keberhasilan dan KPI tindakan akan menjadi petunjuk kepada pencapaian kuantitatif dan kualitatif masing-masing.
Rakyatlah yang memerhatikan KPI kita kelak. Sedarlah wahai guru, bahawa ibu bapa pada hari ini sudah pintar dan malah ada yang cukup arif tentang makna dan rubrik penilaian KPI. Mungkin selepas ini laporan kertas kerja berkajang-kajang kepada ketua jabatan terhadap apa yang kita buat tidak penting lagi, tetapi produk yang akan menentukan cara dan hala tuju kita.
Jadi, berhenti daripada terus cuba bermain dengan sentimen simpati terhadap diri sendiri, sebaliknya bekerja keraslah di bawah bidang tugasan di mana kita diletakkan. Kalau kita benar-benar mengakui apa yang kita lakukan demi the national duty, maka nawaitu kita selepas ini akan dipamerkan melalui keputusan atau output kerja masing-masing.
Kita bukanlah hebat sangat sehingga boleh diletakkan sebagai yang terbaik di dunia. Malah di peringkat Asia pun bukan. Indeks pencapaian pendidikan kita secara umumnya pun makin merosot (lihat laporan TIMMS dua tiga tahun kebelakangan ini) berbanding negara kecil Singapura dan Hong Kong. Nampaknya, semakin banyak dasar baru yang diperkenalkan, kesannya ialah antagonis. Apa sudah berlaku dan di mana ketirisan berlaku? Tepuk dada, tanyalah selera.
Dunia mungkin telah berubah, dan kita juga sebenarnya mesti berubah.
Pelbagai mekanisme dan enjin diperkenalkan dalam sistem kita. Kita ialah pengamal carrot and stick yang handal. Terlalu banyak carrot menyebabkan kita karat.
Pelbagai usaha dilakukan. Paling terbaru, Kementerian Pelajaran Malaysia mahu membantu sekolah dengan memperkenalkan apa yang disifatkan sebagai Program Peningkatan Prestasi Sekolah (PPPS). Program ini begitu cantik tetapi sejauh mana ia akan tercapai terletak di tangan guru. Satu hal lagi ialah sejauh mana guru mahu membuka pintu dan pemikirannya terhadap perubahan yang hendak dibawa oleh PPPS.
Sekolah akan menerima lagi pelbagai bentuk sokongan dan bantuan di bawah PPPS. Program berbentuk bottom-up ini akan berfokus terus ke sekolah, dengan menolak terus konsep one size fits all.
Begitu juga terdapat cadangan supaya guru diberikan sijil profesional. Lesen ini perlu diperbaharui melalui pemantauan dan program tertentu yang mereka perlu ikuti dari semasa ke semasa.
Di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 usaha besar-besaran akan dilakukan untuk mensiswazahkan hampir 100,000 guru yang masih belum memegang ijazah. Jumlah itu besar berbanding jumlah guru pada hari ini yang berjumlah 4000,000 orang.
Bagi pihak Utusan Malaysia, kami mengucapkan selamat Hari Guru 2010, semoga kita semua berada dalam sihat sejahtera dan mendapat keberkatan Allah dalam setiap tindak tanduk kita. Sebagai penganjur bersama festival Hari Guru, Utusan Malaysia menjemput semua guru dari seluruh negara ke Festival Hari Guru di East Coast Mall Kuantan bermula 13 hingga 16 Mei. Banyak ilmu menanti anda.
Kira raikan Hari Guru 2010.
Insentif sempena Hari Guru
PUTRAJAYA 12 Mei - Para pengetua, guru besar dan guru akan menikmati insentif menarik yang bakal diumumkan kerajaan pada sambutan Hari Guru, Ahad ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, insentif tersebut merupakan pengiktirafan kepada mereka yang berjaya meningkatkan prestasi sekolah tanpa mengira latar belakang sekolah berkenaan.
"Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan umumkan insentif tersebut yang merupakan salah satu sub Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara.
"Maklumat lanjut mengenai perkara tersebut akan diumumkan pada hari sambutan tersebut," katanya pada di sini hari ini.
Pengiktirafan itu bertujuan memastikan agar tidak ada sekolah-sekolah terutama di pedalaman dan luar bandar yang berasa terasing dan terpinggir.
PM tanda tangan kad ucapan Hari Guru
![]() |
NAJIB Tun Razak menandatangani kad ucapan Hari Guru di pejabatnya di Putrajaya, semalam dengan disaksikan oleh timbalannya, Muhyiddin Yassin dan anggota Kabinet. |
PUTRAJAYA 12 Mei - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menandatangani kad ucapan sempena sambutan Hari Guru, Ahad ini, di pejabatnya di sini.
Turut menandatangani kad itu ialah timbalannya yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan jemaah menteri yang lain pada pukul 9.30 pagi sebelum mesyuarat mingguan Kabinet bermula.
Acara menandatangani kad ucapan berukuran 24x16 inci itu dibuat sebagai tanda terima kasih Perdana Menteri bersama timbalannya dan menteri-menteri Kabinet terhadap khidmat bakti guru-guru di seluruh negara.
Sebaik sahaja menandatanganinya, Najib bersama Muhyiddin serta menteri-menteri Kabinet menyampaikan ucapan ringkas "Selamat Hari Guru, cikgu!".
Kad yang ditandatangani itu akan disampaikan oleh Muhyiddin kepada wakil guru ketika sambutan Hari Guru Ke-39 pada Ahad ini yang akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang. - BERNAMA
Festival Hari Guru 2010 dijangka terima lebih 10,000 pengunjung
KUANTAN 13 Mei – Festival Hari Guru 2010 yang berlangsung di pusat beli-belah East Coast Mall (ECM) di sini bermula hari ini hingga 16 Mei nanti, dijangka menarik kedatangan lebih 10,000 pengunjung.
Pengarah Pelajaran Pahang, Datuk Abdul Aziz Abdul Latiff berkata, sebanyak 200 gerai pameran membabitkan pelbagai agensi pendidikan awam dan swasta disediakan di ruang legar dan pekarangan kompleks tersebut.
Beliau berkata, ini kali kedua Kuantan menjadi tuan rumah sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan selepas menganjurkannya buat kali pertama 13 tahun lalu.
Katanya, pelbagai acara dan program diatur oleh Kementerian Pelajaran dengan kerjasama Kumpulan Utusan sepanjang festival dan sambutan Hari Guru Ke-39 pada tahun ini.
“Kita juga telah mendapat komitmen tinggi daripada kerajaan negeri yang akan menyediakan jamuan makan malam negeri Selera Inderapura di Dewan Jubli Sultan Ahmad Shah pada Sabtu ini.
“Jamuan itu yang bakal mengetengahkan menu-menu tradisional Pahang dijangka dihadiri oleh 2,000 jemputan,” katanya kepada pemberita di ECM di sini hari ini.
Abdul Aziz berkata, pada majlis jamuan itu juga, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang merupakan tetamu kehormat akan melancarkan buku Pahit Manis Di Bumi Tok Gajah hasil karya bekas-bekas guru yang pernah berkhidmat di negeri ini.
Buku laporan murid 1957 tanda kenangan Hari Guru
ALOR GAJAH 13 Mei – Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-39 yang disambut Ahad ini membawa makna tersendiri kepada seorang bekas guru, Sharifah Hashim. Sharifah, 75, boleh berbangga kerana salah seorang murid yang dididiknya semasa mula menjadi guru pada usia 15 tahun kini menjadi pemimpin di negeri ini.
Ketika menjadi guru kelas 1B, Sekolah Umum Bukit Rambai (kini Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai) pada 1957, salah seorang anak muridnya ialah Yaakub Md. Amin yang kini bergelar Datuk dan berjawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri.
Sharifah berkata, sebagai seorang guru tiada perkara yang lebih menggembirakan selain melihat kejayaan anak-anak didiknya.
Mengimbau kembali kenangan mengajar pada tahun negara mencapai kemerdekaan itu, Sharifah berkata, Yaakub, 60, yang mesra dengan panggilan Akub merupakan pelajar pintar di dalam kelasnya.
“Walaupun dia bertubuh paling kecil di dalam kelas, Akub seorang murid yang pintar dan sering mendapat pujian guru-guru.
“Saya menjadi guru kelasnya yang pertama ketika darjah satu dan Akub memang selalu mendapat nombor satu sehinggalah darjah lima sebelum berpindah ke sekolah lain ketika darjah enam,” katanya.
Sharifah ditemui selepas menerima kunjungan Yaakub di rumahnya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Turut menyertai lawatan itu ialah Pegawai Pelajaran Daerah Alor Gajah, Kasim Mohamad; timbalannya, Abu Bakar Awang dan Ketua Unit Perhubungan Pendaftaran Jabatan Pelajaran negeri, Zubir Mohd. Noor.
Menariknya pada kunjungan itu, Yaakub membawa bersama Buku Kenyataan Murid Sekolah Umum Bukit Rambai yang disimpannya sejak 53 tahun lalu dan mempunyai komen Sharifah yang menjadi guru kelas pertamanya.
Sambil membelek buku tersebut, Sharifah yang kali terakhir mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah sebelum pencen pada 1989, kelihatan terharu sehingga hampir menitiskan air mata kegembiraan.
“Saya tidak sangka ia masih ada dalam simpanan dan sungguh berbangga mempunyai anak didik yang berjaya dan dapat berbakti kepada masyarakat,” katanya gembira.
Bacaan Yasin, tahlil sempena Hari Guru
![]() |
Puad Zakashi (dua dari kiri) hadir pada Majlis bacaan Yassin dan solat hajat bagi sambutan hari guru ke-39 peringkat kebangsaan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam. |
Majlis yang diadakan di Masjid Negara itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.
Turut hadir 1,000 orang yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan guru sekitar Lembah Klang.
Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan diikuti solat Hajat, bacaan Yasin dan tahlil.
Para jemaah kemudiannya mendengar ucapan Alimuddin dan juga bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Qari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mujahidin Syahid Nasrudin sebelum menunaikan solat Isyak.
Alimuddin dalam ucapannya, melahirkan penghargaan kepada semua kakitangan kementerian yang menghadiri majlis tersebut.
Beliau juga berharap majlis terbabit dapat dijadikan sebagai acara tahunan.
Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei dan sambutan kali ke-39 tahun ini akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.
Ia akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Pembina Negara Bangsa.
Terima kasih cikgu
rencana@utusan.com.my
![]() |
Guru-guru yang mengajar di pedalaman menaiki bot penambang ketika berbelanja di bandar dan pulang dari bercuti ke sekolah masing-masing di pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini. |
GURU merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan.
Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan guru kekal penting seiring dengan pembangunan negara sehinggalah ke hari ini.
Pengiktirafan kepada golongan pendidik, dapat dilihat menerusi peruntukan besar untuk sektor pelajaran negara dalam bajet yang diumumkan pada setiap tahun.
Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan golongan guru seperti kenaikan gaji serta pangkat, isu mengajar di pedalaman dan yang terbaru penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru yang kini di peringkat akhir.
Namun, suara warga pendidik yang tidak berpuas hati masih tetap kedengaran. Rasa tidak puas hati golongan ini dapat diketahui melalui surat yang dihantar kepada ruangan Forum Utusan Malaysia atau kenyataan yang dikeluarkan kesatuan guru.
Rungutan yang sering dibangkitkan oleh golongan guru ini pernah juga ditegur oleh pihak lain supaya bersyukur dengan jawatan dan faedah yang diberikan.
Itu antara senario profesion perguruan negara, warga pendidik sering membangkitkan masalah sementara golongan ibu bapa mahukan anak-anak mereka menerima pendidikan berkualiti di sekolah.
Pada 16 Mei ini, negara menyambut Hari Guru bagi menghargai peranan golongan ini dalam pembangunan negara.
Tema bagi sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Pembina Negara Bangsa.'
Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran negara.
Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Sejak 16 Mei 1972, Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan.
Sambutan berkenaan juga bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru merupakan satu tugas yang mulia.
''Saya mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu' di atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan satu tugas yang berat dan mencabar.
''Jasa dan pengorbanan para guru akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat," katanya dalam perutusan Hari Guru 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini.
Jelas Muhyiddin, warga pendidik tidak harus berpuas hati dengan apa yang telah dicapai tetapi perlu meningkatkan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara supaya setanding dengan negara maju dan bertaraf dunia.
''Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kejayaan murid. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jatidiri murid," katanya.
Tambah beliau, guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid.
''Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat.
''Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya terus dihormati dan menjadi model kepada masyarakat. Kerajaan akan terus memartabatkan profesion keguruan melalui Pelan Penambahbaikan Sekolah dan insentif di bawah Sistem Tawaran Baru kepada kepimpinan sekolah dan guru-guru," jelas Muhyiddin.
Sementara Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula menyarankan supaya, golongan pendidik melakukan muhasabah diri sempena sambutan Hari Guru yang ke-39 pada tahun ini.
''Saya berharap warga pendidik dapat melihat kembali sumbangan yang diberikan kepada negara dan mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi. Semangat ini perlu dimiliki oleh para guru supaya pendidikan negara mampu menjadi lebih cemerlang dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju," katanya.
Alimuddin berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya baru-baru ini.
Jelas beliau, sumbangan para guru pada hari ini adalah sangat bermakna kepada pembangunan negara tidak kiralah di mana seseorang guru itu bertugas sama ada di sekolah-sekolah bandar mahupun di kawasan pedalaman.
''Guru diperlukan di mana-mana tidak kira di pedalaman atau luar bandar. Ini kerana pendidikan adalah untuk semua pelajar di seluruh negara.
''Walau di mana pun seorang guru itu bertugas mereka perlu memberikan khidmat pendidikan yang berkualiti dan yang terbaik kepada pelajarnya," katanya.
Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini mampu menyuntik semangat kepada warga pendidik untuk lebih komited dalam melahirkan modal insan cemerlang dan menyemai sifat positif kepada bakal pemimpin negara tanpa mengira tempat dan cabaran yang perlu diharungi.
Wednesday, April 14, 2010
Bidang kuasa beban guru dibincang
KUALA LUMPUR 4 April - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji beban guru di seluruh negara masih lagi di peringkat perbincangan bagi menentukan anggota dan bidang kuasanya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata, selepas perkara itu diputuskan, pihaknya akan membentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kita akan tentukan dahulu siapa anggota jawatankuasa tersebut, bidang kuasanya serta perangkaan kasar tindakan yang diambil kepada menteri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Yayasan Guru Malaysia Berhad di sini hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan, Abdullah Mahmood.
Rabu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.
Dalam pada itu, Alimuddin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata, penubuhan koperasi tersebut membolehkan organisasi itu terus membela kebajikan 129,124 orang ahlinya.
Monday, December 07, 2009
Erti sebenar guru cemerlang
SAYA merujuk kepada kenyataan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, yang menyarankan agar guru-guru menerima sahaja tugasan yang diberi kerana ia akan membentuk sikap bertanggungjawab dan dedikasi kepada tugas sebagai pendidik.
Sebagai guru, saya percaya semua guru bersetuju dengan pandangan beliau. Pendedahan kepada pelbagai bidang tugas memang satu nilai tambah kepada modal insan guru.
Namun begitu, saya berpendapat, sebagai Ketua Pengarah Pelajaran, beliau patut sudah mengetahui tentang bebanan tugas guru yang sudah menyebabkan hampir 80 peratus guru hilang fokus, masa dan tenaga yang sepatutnya ditumpukan kepada tugasan sebenar, iaitu mengajar di dalam kelas. Perkara ini jika berlarutan, kalau ditambah bilangan guru 10 kali ganda pun, tapi kalau semuanya hendak buat kerja pentadbiran, memang tidak berubah keadaan sekolah-sekolah kita.
Inilah yang menimbulkan rungutan guru-guru. Apabila proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) terganggu, murid ketinggalan dalam akademik dan menimbulkan masalah disiplin. Kemudian ibu bapa pula merungut. Padahal sebagai guru, kita sudah melakukan apa yang termampu dengan masa dan tenaga yang terhad.
Tugas perkeranian ini bukan sahaja sudah menyebabkan tumpuan kepada bidang akademik terganggu, malah ia telah mengelabui mata para pentadbir dalam bidang pendidikan juga, bermula dari pentadbir sekolah, sehinggalah ke peringkat jabatan pelajaran negeri-negeri.
Malah, pada pendapat saya, pelantikan Ketua Pengarah Pelajaran dari kalangan guru yang merupakan orang akademik (yang akhirnya terpaksa duduk di pejabat membuat tugasan pentadbiran) ialah bukti bagaimana fokus kepada akademik telah dilonggarkan, kerana tuntutan kerja-kerja pentadbiran. Bayangkanlah kalau seseorang pada tahap kematangan dan pengalaman yang ada pada Alimuddin, duduk di dalam kelas untuk mengajar. Beliau barangkali boleh menghasilkan beratus-ratus lagi anak bangsa yang bakal menyumbang kepada negara. Tapi akhirnya beliau diletakkan di pejabat.
Kenapa tidak kita berikan kerja pentadbiran kepada orang pentadbiran, dan kita orang akademik, buatlah kerja akademik. Kenapa guru yang sudah berpengalaman bertahun-tahun akhirnya disuruh membuat kerja pentadbiran? Bukankah pengalaman dan pengetahuan mereka boleh membantu lebih ramai murid menjadi cemerlang? Adakah menjadi orang akademik terhebat masih rendah tarafnya berbanding orang pentadbiran yang duduk di pejabat?
Lihatlah bagaimana pemberian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, prestasi melintang (sudah tidak akan diamalkan lagi) pelantikan guru pakar, guru bestari dan guru cemerlang. Adakah mereka yang diberi semua penghargaan ini dilantik di kalangan guru yang anak murid mereka menunjukkan peningkatan prestasi akademik? Tidak!
Kebanyakan penerima anugerah dan pentadbir-pentadbir sekolah, pejabat pelajaran daerah dan jabatan pelajaran negeri dilantik di kalangan orang yang menonjol di bidang pentadbiran semata-mata. Sebab itulah kita lihat masih ada murid yang gagal subjek-subjek tertentu walaupun diajar oleh guru pakar, guru cemerlang dan guru bestari. Ini kerana yang ‘bestari’, ‘cemerlang’ dan ‘pakar’ ialah kerja pentadbiran guru itu, bukan teknik P&Pnya. Sekarang ini dengan peperiksaan PTK, guru yang malas masuk kelas pun boleh dapat kenaikan gaji dan pangkat.
Malah, saya sendiri pernah melihat seorang guru yang sangat konsisten. Guru ini setiap tahun (selama hampir 18 tahun) mencatatkan peratus lulus subjek Sains melebihi 95 peratus di semua kelas yang diajarnya, walau pun saban tahun mendapat kelas paling hujung, walaupun mengajar murid yang buta huruf, walaupun format peperiksaan kerap bertukar.
Beratus-ratus muridnya daripada tidak mengenal huruf, akhirnya mendapat A dalam subjek Sains SPM. Tetapi guru ini tidak pernah diberi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, hanya kerana guru ini tidak mempunyai hubungan baik dengan pentadbir sekolah yang hanya mementingkan kerja pentadbiran. Guru ini pula memang menolak kerja pentadbiran kerana kerja pentadbiran akan menyebabkan dia mengabaikan murid-muridnya, sesuatu yang guru ini enggan lakukan.
Bagi saya, sekalipun guru ini dilihat ‘melawan ketua’, tetapi komuniti kecil guru-guru dan murid-murid sekolah menyanjung dan menghormati guru ini kerana keberaniannya meletakkan fokus pada apa yang berhak, iaitu murid-murid. Guru ini juga tidak lokek membantu guru-guru muda dari segi memberi bimbingan tentang teknik P&P yang berkesan. Bagi guru muda seperti saya, inilah guru dalam erti kata sebenar.
Bagaimana boleh berlaku, dalam Kementerian Pelajaran Malaysia, guru yang pandai mengajar diketepikan berbanding guru yang hanya pandai menaip dan mengemas fail? Di manakah profesionalisme guru? Bagi saya, seorang guru itu profesional jika dia pandai mengajar kerana itulah sebenarnya tugas hakiki seorang guru. Tapi hari ini, guru yang membuat kerja yang betul tidak diberi penghargaan sepatutnya, dan guru yang tidak pandai mengajar pula yang diletakkan di tempat tinggi, diberi elaun, kuasa dan jawatan. Bagaimanakah guru-guru yang setiap hari berhempas-pulas dengan murid di dalam kelas hendak menghormati pentadbir mereka yang tidak pandai mengajar pun?
Malah, pentadbir itu pula yang akan duduk di belakang kelas menilai sama ada guru lain pandai mengajar atau tidak. Hanya kerana mereka pentadbir, mereka ada kuasa memberi markah. Tapi mereka menjadi pentadbir bukan kerana mereka pandai mengajar, tapi pandai membuat kerja lain selain mengajar. Bagaimanakah pentadbir sekolah seperti ini layak menuntut penghormatan daripada warga guru? Saya pernah melihat seorang pengetua sekolah yang diletakkan mengajar hanya dua waktu seminggu, terpaksa meminta guru lain mengambil alih kelasnya kerana dia terlalu kerap keluar dan tidak ada di sekolah.
Jika hari ini masyarakat melihat guru sebagai tidak professional, itu ialah kerana hampir semua guru terpaksa membuat kerja menaip dan mengemas fail, suatu kerja yang boleh dibuat oleh budak lepasan SPM.
Jika hari ini masyarakat melihat guru tidak berilmu, ia adalah kerana guru asyik mengisi borang, bukan mengisi dada dengan ilmu.
Kuala Lumpur">
Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) ingin merujuk kepada Surat Pembaca dalam ruangan Surat Kepada Pengarang dalam akhbar Utusan Malaysia bertarikh 3 Disember 2009 – Fokus pada mengajar murid-murid, bukan buat kerja pentadbiran : Erti Sebenar Guru Cemerlang.
Kenyataan “guru-guru baru hendaklah bersedia menerima sebarang tanggungjawab yang diberikan oleh pengetua/guru besar mereka”, adalah ucapan saya semasa perasmian konvensyen guru baru, IPGM yang berjumlah lebih daripada 500 orang di Putrajaya pada minggu lalu.
Pada umumnya, profesion perguruan memerlukan komitmen yang tinggi daripada semua pendidik. Ini bagi memastikan generasi pewaris negara iaitu anak didik diberikan pendidikan yang tidak berbelah bagi. Kenyataan En. Akmal Fairuz dalam Utusan Malaysia pada 3 Disember 2009 tentang tugas profesional guru dan tugas pentadbiran masih boleh dipersoalkan. Sebenarnya tugas-tugas seperti menulis buku rekod mengajar, memeriksa buku latihan murid dan surat makluman kepada ibu bapa/penjaga adalah sebahagian daripada tugas profesional guru.
Semua guru bertanggungjawab untuk mengenal pasti dan prihatin terhadap kemajuan dan kelemahan setiap anak didik mereka. Makluman ini bukan sahaja untuk pengetahuan guru bahkan untuk disampaikan kepada ibu bapa/penjaga. Oleh itu, tugas-tugas yang dikatakan tugas perkeranian itu sebenarnya adalah sebahagian daripada tugas guru untuk mendidik setiap individu murid bagi mencapai objektif pendidikan.
Dalam melaksanakan tugas sebagai seorang pendidik, pengajaran dan pembelajaran (P&P) tidak hanya berlaku dalam bilik darjah malah guru perlu mempunyai kreativiti dan inisiatif untuk melaksanakan P&P melalui aktiviti di luar bilik darjah. Seorang guru perlu berusaha untuk membentuk kemahiran berfikir kritis dan kreatif murid-murid belajar melalui pengalaman secara terus (kontektualisme dan konstruktivisme) seperti gerak kerja luar bilik darjah, lawatan sambil belajar dan aktiviti kemasyarakatan yang bersesuaian dengan keperluan murid. Usaha ini melibatkan pembentukan nilai-nilai murni, sahsiah, peribadi mulia serta kemahiran insaniah melalui aktiviti pasukan beruniform, kelab, sukan dan permainan dan lain-lain aktiviti luar darjah.
Y.A.B. Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran berhasrat untuk memperkasakan sukan dan permainan di sekolah bagi tujuan melahirkan atlit muda. Hal ini sudah tentulah memerlukan komitmen para guru sebagai orang di barisan hadapan untuk melatih dan mengenal pasti bakat murid-murid. Oleh itu, latihan-latihan sebegini merupakan juga tugas profesional seorang guru. Ini juga selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan iaitu untuk melahirkan murid yang seimbang dari segi intelek, jasmani, emosi dan rohani.
Seorang pentadbir sekolah perlu dilantik dalam kalangan profesional (guru) kerana berasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman, pengetua/guru besar berupaya untuk memastikan semua dasar yang berkaitan dengan pembangunan kemanusiaan dapat dilaksanakan selain daripada urusan pentadbiran yang biasa. Guru mempunyai kelebihan dari aspek pengetahuan ilmu psikologi kanak-kanak/remaja dan kepakaran dalam pedagogi.
Maka semua guru sebagai seorang profesional perlu merebut peluang menimba pengalaman dengan melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti sebagai langkah menyediakan diri untuk menjadi seorang pengurus dan pentadbiran profesional kelak.
Berkaitan dengan pandangan En. Akmal Fairuz, guru-guru hanya memberi tumpuan kepada P&P di bilik darjah sahaja tidak begitu tepat. Pengurusan pendidikan dilaksanakan oleh orang-orang profesional. Ini disebabkan mereka lebih arif dan berpengalaman tentang perkara yang melibatkan pendidikan dan melahirkan modal insan. Tidak salah guru-guru yang berpengalaman dilantik sebagai pentadbir seperti menjadi Pengetua/Guru Besar, pegawai PPD/JPN hinggalah ke peringkat kementerian. Ini juga menjadi amalan di kebanyakan negara maju.
Adalah menjadi harapan saya, semua guru melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan amanah bagi memartabatkan profesion perguruan dan meningkatkan kualiti perkhidmatan pendidikan yang diberikan kepada rakyat selaras dengan gagasan “1 Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.
TAN SRI DATO’ HJ. ALIMUDDIN BIN HJ. MOHD. DOM
Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia
Kementerian Pelajaran Malaysia
Dikeluarkan oleh:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA
4 DISEMBER 2009
Sumber: http://www.moe.gov.my/?id=168&aid=470
Bakal guru wajib akujanji?
pengarang@utusan.com.my
PUTRAJAYA 24 Nov. - Bakal guru mungkin diwajibkan menandatangani akujanji sanggup mengajar di kawasan pedalaman untuk tempoh sekurang-kurangnya lima tahun.
Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Puad Zarkashi berkata, syarat yang sedang dipertimbangkan itu bertujuan memastikan guru-guru yang baru berkhidmat di pedalaman tidak merayu untuk berpindah.
''Sebagai contoh, kebanyakan guru dari Kelantan dan Terengganu yang baru berkhidmat empat bulan dan dihantar ke pedalaman sudah minta berpindah.
''Ini benar, di Kelantan ada 54 kekosongan, yang mohon hendak balik 1,312 orang, jadi bila ada rungutan oleh guru yang sudah 10 tahun mengajar di Sarawak, sudah tentu tiada kekosongan di negeri itu," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas menghadiri Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPG) di sini hari ini.
Puad menegaskan, dalam situasi sekarang, tempoh perkhidmatan tidak lagi diambil kira sebaliknya faktor kekosongan dan keperluan di sesebuah negeri menjadi keutamaan.
''Sekarang ini kita cadangkan letak syarat akujanji, kalau sanggup baru kita ambil bekerja, jangan nanti tak sampai enam bulan sudah merayu-rayu, kita juga yang susah.
''Jadi, selepas ini kalau sudah turunkan tandatangan, tetapi kemudian minta tukar, kita tak akan layan kecuali kes kritikal seperti faktor kesihatan," katanya.
Menurutnya, akujanji tersebut bukan bertujuan memberi tekanan kepada para guru tetapi menuntut mereka memahami bidang tugas dan tanggung jawab dari perspektif masyarakat tanpa memikirkan kepentingan diri semata-mata.
Sementara itu, dalam perkembangan lain Puad menasihatkan ibu bapa yang anak mereka memperoleh keputusan cemerlang 5A tetapi gagal memasuki sekolah berasrama penuh agar tidak kecewa.
Ini kerana anak-anak mereka masih berpeluang memasuki kelas khas di sekolah kluster, sekolah cemerlang dan sekolah harian.
''Mereka akan mendapat suasana pembelajaran yang sama dengan asrama penuh, cuma bezanya tidak tinggal di asrama dan yang penting kekalkan semangat dan kecemerlangan akademik," katanya.
Pada tahun ini seramai 48,171 calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) memperoleh 5A sedangkan kekosongan yang ditawarkan di sekolah berasrama penuh termasuk di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sekitar 12,000 tempat.
Sumber: Utusan Malaysia Online:25/11/2009
Lebih banyak guru berkualiti di pedalaman - Muhyiddin
Timbalan Perdana Menteri berkata, ia selaras dengan perkembangan pendidikan di peringkat global, keperluan semasa serta gagasan 1Malaysia demi merealisasikan apa yang digariskan dalam Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pelajaran.
"Justeru, satu dasar penempatan guru yang responsif kepada keperluan rakyat perlu disediakan," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Kajian Semula Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) di sini hari ini.
Muhyiddin berkata, selain guru, kualiti pemimpin sekolah juga perlu dimantapkan kerana sudah tiba masanya pemilihan para pemimpin sekolah dilakukan tanpa terlalu berlandaskan kekananan.
Tegasnya, ia juga harus dibuat melalui proses yang lebih telus dengan memilih yang terbaik, berbakat serta mempunyai kualiti kepimpinan dinamik.
"Pemimpin sekolah perlu seorang yang bijak mentafsir dan memahami tugasan yang diberi, cemerlang dan komited di samping berupaya meningkatkan ilmu pengetahuan agar dapat menterjemahkan dasar pendidikan dalam tugas seharian.
"Ini nanti diyakini mampu memberikan didikan terbaik kepada murid," katanya.
Muhyiddin turut mencadangkan agar usaha diteruskan dalam melahirkan modal insan yang berpengetahuan, produktif, kreatif dan inovatif.
Beliau berkata, tumpuan utama perlu diberikan kepada usaha melahirkan pelajar yang holistik serta mempunyai kemahiran yang tinggi dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris.
"Pada masa sama, kementerian perlu meneruskan pembangunan infrastruktur memandangkan masih terdapat sekolah yang daif dan usang, tidak mempunyai bekalan elektrik dan air bersih.
"Akhirnya nanti kita perlu memupuk perpaduan dalam kalangan murid dan warga pendidik dengan mewujudkan Kem 1Malaysia pada setiap tahun," katanya.
Sementara itu, Muhyiddin berkata, walaupun penyertaan dalam pendidikan rendah adalah tinggi, namun masih terdapat lebih 125,000 kanak-kanak di negara ini yang mencapai umur persekolahan peringkat rendah masih tidak mengikuti alam persekolahan.
"Kebanyakan mereka tinggal di kawasan pedalaman," ujarnya.
Sumber: Portal Pendidikan Utusan: Ruangan Isu Semasa
Sunday, December 06, 2009
Guru tuntut imbuhan
ALIMUDDIN MOHD DOM
Bayaran Imbuhan Subjek Penting (BISP) untuk guru mata pelajaran Bahasa Malaysia pula dituntut oleh golongan guru semasa sesi dialog sempena majlis Perhimpunan Warga Pendidik di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), baru-baru ini.
Cadangan itu dibuat dengan alasan bahawa dalam usaha memartabatkan bahasa Malaysia dan memperkukuhkan bahasa Inggeris (MBMMBI), peranan penting guru mata pelajaran bahasa Malaysia tidak boleh dipinggirkan apatah lagi mereka mengajar bahasa yang merupakan bahasa rasmi negara ini.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom ketika ditanya berhubung perkara tersebut berjanji untuk menimbang dan mengadakan perbincangan mengenai perkara tersebut.
Namun kata beliau, pada masa ini kerajaan telah membelanjakan ratusan juta ringgit untuk bagi membayar BISP kepada guru-guru yang lain.
Pada masa ini guru-guru yang menerima BISP ialah guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik.
``Kita juga perlu memikirkan kewajarannya dan nanti ada pula guru-guru mata pelajaran lain yang turut menuntut perkara yang sama,’’ katanya.
Sesi dialog bersama Ketua Pengarah Pelajaran tersebut merupakan lanjutan daripada sesi penerangan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dihadiri lebih 1,000 warga pendidik dari seluruh negara.
Sesi dialog yang berlangsung selama kira-kira satu jam itu turut mendengar pelbagai masalah lain termasuk masalah kekurangan guru mata pelajaran bahasa Inggeris di sekolah-sekolah luar bandar.
Seorang guru besar dari Selangor mempersoalkan tentang tempoh perpindahan yang singkat guru bahasa Inggeris dari kawasan bandar ke luar bandar.
``Guru bahasa Inggeris dari bandar ini cantik, ada kereta besar, suami pangkat besar tetapi tidak lama di sekolah luar bandar kerana telah minta ditukarkan ke sekolah bandar,’’ katanya.
Justeru beliau mencadangkan agar pihak kementerian mengambil guru dari kawasan luar bandar untuk mengajar mata pelajaran tersebut kerana hanya guru-guru sedemikian yang boleh memahami dan menerima keadaan persekitaran itu.
``Hanya orang luar bandar sahaja yang boleh membantu pelajar luar bandar,’’ katanya.
Pada sesi dialog tersebut pelbagai cadangan turut dikemukakan oleh golongan guru termasuk mengenai tempoh mengajar yang lebih lama untuk mata pelajaran bahasa Inggeris dan tempoh mengajar yang singkat untuk mata pelajaran lain.
Turut ditanya ialah mengenai kegagalan pelajar bukan Melayu untuk menguasai bahasa Malaysia dan penggunaan sama ada bahasa Malaysia atau bahasa Melayu untuk mata pelajaran tersebut.
Selain itu turut dipersoalkan ialah kewajaran memberi BISP secara wang tunai kepada guru-guru terbabit sebaliknya mencadangkan agar pemberian baucar buku kepada mereka.
Dalam pada itu Alimuddin berkata, semua pandangan dan cadangan yang dilontarkan oleh golongan pendidik akan diberi pertimbangan yang serius.
Berhubung pelbagai isu yang berbangkit mengenai perkara baru yang diperkenalkan selepas pemansuhan Pengajaran dan Pembelajaran mata pelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) beliau berkata, kementerian mempunyai tempoh dua tahun lagi yang membolehkan pelbagai cadangan dikaji untuk manfaat warga pendidikan semua.
Sumber: Portal Pendidikan Utusan: Ruangan Isu Semasa
Wednesday, November 25, 2009
11 000 Pembantu Guru diperlukan
Oleh Mohd Azis Ngah
azis@bharian.com.my
Laksana tugas perkeranian, kokurikulum
KUALA LUMPUR: Kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan bagi meringankan beban guru yang terpaksa menjalankan 'kerja sosial' di luar tugasan seperti mengemas kini rekod, logistik, kegiatan kokurikulum dan ada antaranya menjalankan kerja penyelenggaraan bangunan sekolah.
Ketika ini, 380,000 guru dikatakan tidak mampu fokus kepada pengajaran di kelas disebabkan terpaksa menjalankan kerja luar tugasan yang dianggap beban tambahan.
Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan, berkata jika cadangan itu dilaksanakan, pekerja am ini mengurangkan beban guru serta sebagai persiapan awal menjayakan rancangan program penilaian prestasi sekolah yang dijangka pada 2010 atau 2011.
Katanya, kini sudah ada pembantu guru tetapi cuma disediakan untuk kelas pendidikan khas di sekolah tertentu, sedangkan pembantu itu patut disediakan pada semua 10,000 sekolah di seluruh negara.
"Jika ini dilaksanakan, setiap sekolah akan menerima pembantu guru mengikut jumlah murid.
"Guru tidak lagi perlu memikirkan soal 'kerja sosial' dan boleh fokus kepada pengajaran di dalam kelas dan tidak perlu habiskan banyak masa jalankan tugas di luar bidang kerja.
"Tugas mengajar yang lebih penting, tiada guru yang mahu muridnya gagal, tetapi jika terlalu banyak beban, mereka akan kepenatan dan hilang fokus.
"Bagaimana nak mengajar, sudah tentu kualitinya merosot," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Turut hadir Setiausaha Agung NUTP, Lok Yim Peng dan pemimpin kanan NUTP. Sebelum itu, beliau menghadiri Seminar Pendidikan NUTP yang membincangkan mengenai Penilaian berasaskan sekolah dan Transformasi Pendidikan.
Pembantu guru paling ideal atau minimum diperlukan ialah nisbah 500 (murid): 1 (pembantu) dan berdasarkan jumlah murid serta pelajar mencecah 5.5 juta orang, pembantu guru diperlukan ialah 11,000.
Hashim berkata, pembantu guru tidak mencampuri tugas mengajar, cuma membantu guru dari aspek lain termasuk kegiatan kokurikulum seperti urusan mengendalikan latihan, pertandingan sukan atau aktiviti persatuan.
"Jika tugas itu dijalankan pembantu, tidak timbul masalah kelas ditunda atau digantikan guru lain yang semestinya tidak mengajar di kelas ganti kerana berlainan subjek," katanya.
NUTP juga meminta kerajaan menangguhkan sementara cadangan mewajibkan pelajar lulus subjek Bahasa Inggeris sebagai syarat mendapatkan sijil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kerana menyifatkan guru tidak mencukupi dan belum tiba masanya untuk dilaksanakan.
"Kena kaji masalah guru di luar bandar. Kita perlukan guru pengkhususan Bahasa Inggeris, bukan setakat tangkap muat. Ini tidak menjamin kualiti, bagaimana ajar murid sedangkan guru pun tak cukup bagus, " katanya.
Wujud Jawatan Pembantu Guru
KUALA LUMPUR 21 Jun - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan jawatan pembantu guru di sekolah-sekolah bagi menjalankan tugas sosial terhadap pelajar yang sebelum ini terpaksa dilaksanakan guru-guru sendiri.
Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata, langkah itu bagi memastikan guru-guru dapat memberi perhatian kepada tugas-tugas mengajar sahaja.
''Sebelum ini mereka terpaksa menguruskan hal-hal sosial pelajar seperti kokurikulum, urusan dokumen pelajar dan aspek luar kelas yang lain, jadi dengan adanya pembantu, mereka tidak dibebankan lagi dengan tugas seperti itu,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Seminar Penilaian Berasaskan Sekolah dan Transformasi Pendidikan anjuran NUTP di sini hari ini.
Hashim berkata, buat masa sekarang, jawatan tersebut sudahpun diwujudkan sejak lima tahun lalu namun hanya untuk guru-guru kelas pemulihan khas.
Katanya, kira-kira 11,000 pembantu guru diperlukan di sekolah-sekolah dengan nisbah seorang pembantu guru bagi 500 pelajar.
''Langkah ini akan menjamin kualiti pengajaran guru-guru dapat dipertingkatkan terutama apabila kerajaan kini mahu memberi perhatian untuk memperkukuhkan beberapa mata pelajaran seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu di kalangan pelajar.
''Langkah mewujudkan jawatan ini juga penting apabila berlaku transformasi pendidikan termasuk apabila kerajaan melaksanakan penilaian berdasarkan sekolah kelak,'' katanya.
Menyentuh mengenai cadangan mewajibkan calon SPM lulus mata pelajaran Bahasa Inggeris, Hashim berkata, NUTP menyokong penuh jika ia dilaksanakan kelak.
Namun, katanya, kementerian perlu mencari mekanisme yang boleh menjamin bahawa langkah tersebut tidak akan menjejaskan pelajar itu sendiri jika gagal menguasai bahasa itu dengan baik.
Utusan Malaysia Online: 22 Jun 2009Fokus: Bebanan Tugas Guru
Oleh Basir Zahrom
basir@bharian.com.my
|
Kementerian perlu lantik pembantu guru selesaikan kerja perkeranian
TANGGUNGJAWAB hakiki guru adalah menjalankan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) dengan sempurna, bagaimanapun perkhidmatan mereka dikatakan terjejas kerana sebahagian masa digunakan untuk menyelesaikan tugas perkeranian.
Isi guru sarat dengan beban sampingan bukan perkara baru kerana ia pernah dibangkit dan dibincangkan sebelum ini, malah turut dikatakan sebagai antara faktor menyebabkan ada guru mengalami stres.
Berikutan itu, pelbagai cadangan dikemukakan bagi mengatasi masalah itu, antaranya meminta kementerian mewujudkan jawatan pembantu guru, antara lain bertanggungjawab membantu tugas guru di bilik darjah.
Presiden Kesatuan Guru-guru Melayu Malaysia Barat, Mohamed Sabri Mohd Arshad, berkata 25 persatuan dan kesatuan guru pernah berbincang mengenai cadangan itu dengan Kementerian Pelajaran, September lalu.
"Bekas Timbalan Menteri Pelajaran, Allahyarham Datuk Razali Ismail menyatakan jawatan pembantu guru akan dipertimbangkan, namun selepas pemergian beliau, ia seolah-olah tiada kesinambungan dan kami masih menunggu jawapan hingga kini.
SEKOLAH Pendidikan Khas lebih memerlukan khidmat pembantu guru berbanding sekolah lain. |
"Jika jawatan itu diwujudkan, ia akan dapat memantapkan lagi persiapan guru untuk mengajar, selain tumpuannya fokus terhadap perkembangan pelajar.
"Sekarang, jika ditanya atau mempersoal mutu P&P, pelbagai alasan guru berikan antaranya faktor masa tidak mencukupi kerana sebahagian masa dihabiskan membuat tugas perkeranian," katanya kepada Berita Harian, baru-baru ini.
Beliau berkata, nisbah ideal seorang pembantu guru mengelolakan dua kelas dan jika perlu ia berdasarkan kapasiti sebenar sesebuah sekolah.
Dalam nada sama, Pengetua Sekolah Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan), Setapak, Che Fatimah Che Abdullah, berkata melantik pembantu guru perlu disegerakan kerana sudah terlalu lama ia diuar-uarkan tetapi tiada sebarang keputusan.
Penerima Anugerah Pengetua Cemerlang 2008 itu berkata, jika jawatan itu diwujudkan, jumlahnya perlu mencukupi terutama di sekolah pendidikan khas untuk membantu guru mengajar pelajar kurang upaya.
"Berbeza dengan sekolah biasa, penyediaan bahan peperiksaan di sekolah khas cacat penglihatan perlu dibuat satu persatu kerana menggunakan tulisan 'braille' dan jika ada gambar rajah, guru perlu buat sendiri.
"Proses ini memakan masa sehingga ada guru terpaksa menyelesaikannya hingga larut malam dan mengorbankan hari minggu untuk menghasilkannya, selain tugas menjalankan tugas rutin.
Seorang guru di selatan tanah air yang hanya mahu dikenali sebagai Akila berkata, tugas perkeranian seperti pengurusan fail peribadi pelajar, rekod masalah ponteng, persediaan peperiksaan, pengurusan buku kokurikulum, tugas menaip minit mesyuarat serta laporan aktiviti sekolah, membersihkan bengkel, pemfailan bank soalan perlu diserahkan kepada petugas lain.
Selain itu, tugas pendaftaran, urusan kewangan (pungutan yuran) juga perlu dilakukan pembantu supaya guru benar-benar dapat menumpukan perhatian terhadap proses P&P.
Tanpa pelbagai perkara remeh yang memerlukan masa untuk diselesaikan itu, katanya, guru tiada lagi alasan untuk tidak memberikan komitmen penuh terhadap kualiti penyampaian masing-masing.
Sementara itu, seorang guru Sains di sebuah sekolah di Klang yang enggan namanya disiarkan berkata, kerja perkeranian kini seolah-olah tugasan rutin guru, sedangkan tanggungjawab sebenar menjalankan proses P&P.
Walaupun kerja perkeranian mudah, katanya, ia kadangkala terpaksa dibuat sewaktu mengajar, contohnya melengkapkan urusan kesihatan serta pelbagai rekod berkaitan pelajar.
"Ada ketika berlaku kecemasan, pembelajaran terhenti kerana guru perlu menyelesaikannya. Jika ada pembantu, kelas dapat diteruskan dan ini tidak merugikan pelajar.
"Contoh lain, apabila ada sesuatu dasar baru dilaksanakan, guru juga perlu membuat penilaian dan laporan terhadap setiap pelajar, ia memerlukan masa untuk mengumpul semua data. Ini mengganggu tumpuan terhadap proses P&P," katanya.