Followers

Saturday, June 15, 2013

KERTAS KONSEPTUAL

STRATEGI PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA
KEPADA KANAK-KANAK PRASEKOLAH



Oleh:
Zailani Zakaria, Mohd Zafaren Zakaria, Zuraydah Zainal, Siti Hajar Saaidah & Hamidah Misdar 
Latihan Ilmiah untuk Program Sarjana Pendidikan Prasekolah
Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor (2012)


ABSTRAK
Kertas konseptual ini membincangkan beberapa strategi pengajaran kemahiran membaca kepada kanak-kanak prasekolah. Memandangkan isu ketidakbolehbacaan dalam kalangan kanak-kanak prasekolah tidak pernah selesai, maka wajarlah isu ini dibincangkan secara lebih mendalam bagi menambah baik stategi pengajaran yang sedia ada. Dua isu yang diutarakan dalam kertas konseptual ini ialah berkenaan murid yang tidak minat mempelajari kemahiran membaca dan masalah murid yang boleh membaca tetapi tidak memahami maksudnya.  Tiga strategi pengajaran kemahiran membaca turut dibincangkan iaitu mengajar membaca melalui kaedah fonik, mengajar membaca melalui teori kecerdasan pelbagai, dan mengajar membaca melalui penggunaan perisian multimedia. Sehubungan itu, beberapa implikasi dan cadangan diutarakan bagi membantu para guru, ibu bapa dan golongan yang terbabit dengan dunia awal kanak-kanak sebagai satu usaha membantu mereka memilih strategi yang sesuai dan berkesan untuk mengajar kemahiran membaca kepada kanak-kanak prasekolah.

Kata kunci: Strategi pengajaran, kanak-kanak prasekolah, kemahiran membaca.


Abstract

This conceptual paper discusses a few strategies pertaining to the teaching of reading skills among preschoolers. Since the issue of illiteracy among these students has not been resolved, this issue should be further discussed to improve the teaching and learning strategies. Two main issues are discusses in this conceptual paper. The first one is regarding the pupils who have no interest in learning how to read and the other is the problem of not understanding what is read.  Three teaching strategies pertaining to reading are discussed, which are; teaching reading through phonics, teaching reading through multiple intelligence and teaching reading through multimedia courseware. In connection with this, a few implications and ideas have been proposed in this paper to help teachers, parents and those who are involved in early childhood education. It is hoped that this paper would shed some light on how to go about teaching reading skills to the preschoolers.

Keywords: Teaching Strategies, Preschool Children, Reading Skill.


PENGENALAN

Membaca merupakan aktiviti penting dalam kehidupan manusia. Maklumat yang diperolehi melalui pembacaan dapat digunakan sebagai panduan dalam pelbagai aspek kehidupan mereka (Tamam Timbang et al. 2010). Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada aspek yang diberi tumpuan utama dalam Tunjang Komunikasi dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan 2010 dan perlu dikuasai kanak-kanak sebelum mereka menamatkan pendidikan prasekolah. Husin Fateh Din & Nazariyah Sani (2012) juga menerangkan Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pembelajaran bahasa dan merupakan lanjutan daripada kemahiran asas mendengar dan bertutur. Yahya, Roselan & Naffi (2009) dalam Yahya Othman et al. (2012) menyatakan bahawa belajar membaca merupakan asas penting dalam penguasaan kognitif dan persekitaran sosial manusia.
Oleh kerana itu, setiap kanak-kanak prasekolah mesti menguasai kemahiran membaca sebelum mereka melangkah ke alam pendidikan formal. Khairuddin Mohamad (2011) berpendapat kemampuan murid membaca dan memahami sesuatu bahan sangat berkait dengan kejayaan dan keberkesanan sistem pendidikan kita masa kini. Namun demikian, isu membaca tidak pernah lapuk untuk diperkatakan biarpun masyarakat kita mengalami arus perubahan dalam dunia globalisasi, serta bergelumang dengan dunia teknologi maklumat dan perkomputeran, namun hakikat kepentingan membaca tidak boleh diabaikan Mohd Sofee (2007) dalam Tamam Timbang et al. (2010). Menurut Khairuddin Mohamad (2011), masalah ketidakupayaan kanak-kanak menguasai kemahiran membaca kini menjadi antara agenda besar negara dalam Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan. Sebanyak 93 peratus rakyat Malaysia celik huruf namun begitu negara masih berdepan dengan masalah literasi apabila pada tahun 2008 terdapat 13 peratus daripada enrolmen murid tahun satu belum menguasai kemahiran literasi.
Justeru itu, strategi pengajaran berkesan yang bersesuaian dengan tahap perkembangan kanak-kanak hendaklah diaplikasikan semasa mengajar kanak-kanak membaca. Menurut Yahya Othman et al. (2012), kemahiran membaca yang dikuasai di sekolah membantu pelajar membaca dengan berkesan. Beliau juga menyatakan untuk mencapai matlamat tersebut, kaedah mengajar yang sesuai perlu diamalkan oleh guru agar proses penguasaan kemahiran tersebut dapat berlaku dengan mudah dan berkesan. Untuk mencapai objektif agar semua murid mampu membaca dengan berkesan, maka pada peringkat awal persekolahan kaedah membaca yang digunakan perlu sesuai dengan kemampuan dan minat murid agar memberikan impak kepada proses pembelajaran. Menurut Yahya Othman (2012) dalam kajiannya, kaedah fonik merupakan salah satu kaedah mengajar asas membaca yang sesuai diaplikasikan pada peringkat prasekolah dengan harapan memudahkan lagi penguasaan asas membaca dalam kalangan kanak-kanak prasekolah.

MENGAJAR MEMBACA MELALUI KAEDAH FONIK

Isahak Haron (1979)  telah memperkenalkan kaedah gabungan bunyi kata. Perkataan bunyi kata mutakhir ini kemudiannya telah ditukar kepada fonik.  Dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, kaedah  ini dijalankan secara rintis di beberapa buah sekolah. Melalui kaedah ini secara amnya, kanak-kanak terus diperkenalkan kepada bunyian suku kata seperti “ba, bi, bu” (Sabrina Abdul Rahim 2010).  Kaedah ini juga telah mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Brunei Darussalam dan  diguna pakai di seluruh prasekolah di negara tersebut. Guru-guru yang terlibat menyatakan lebih berminat menggunakan kaedah tersebut berbanding kaedah abjad.
Bahasa Malaysia mempunyai banyak perkataan yang terbahagi kepada suku kata tersendiri yang tidak menggunakan “blending”. Oleh itu, ramai guru dan pengkaji menyarankan penggunaan kaedah bunyi suku kata untuk mengajar membaca di peringkat awal (Isahak. 1979; Nooraihan. 1984; Nik Eliani. 1997; Sabrina Abdul Rahim. 2010; Sheerman et al. 2006; Howard P. Parette et al. 2009). Melalui kaedah ini, kanak-kanak akan  lebih mudah mengenal huruf dan suku kata yang tersebut. Menurut Ishak Haron (1976), kanak-kanak diperkenalkan kepada abjad sebelum diajar bunyian kepada abjad tersebut. Kemudian mereka diajar bunyi kepada cara mengeja bagi hampir setiap suku kata yang boleh dibentuk dari abjad tersebut. Seterusnya, barulah murid diperkenalkan kepada perkataan yang menggunakan kombinasi ejaan suku kata tersebut, seperti “buku, kaki, kubu” (Sabrina Abdul Rahim 2010) dan (Yahya Othman et al. 2012).
Kaedah fonik digunakan untuk melatih murid mengenal huruf melalui padanan huruf dengan bunyi. Kaedah ini baru sahaja diperkenalkan dalam sistem guruan. Namun, kaedah ini telah lama diperkenalkan dalam pengajaran bacaan bahasa Inggeris. Terdapat pelbagai pendapat mengenai cara pelaksanaan pengajaran membaca menggunakan kaedah fonik. Antaranya yang dikemukakan oleh Hasnah dan Habibah (2010), Othman dan Nik Eliani (2009), Bielby (1999), Heilman (1993), Goswani dan Byrant (1990) dan Gunning (1988). Hasnah dan Habibah (2010) menyenaraikan beberapa langkah pelaksanaan kaedah fonik seperti berikut:
1.      Pada asasnya kaedah ini adalah untuk mengajar murid-murid melihat hubungan
antara simbol (huruf) dan bunyi (hubungan fonem-grafem) supaya mereka dapat membaca (membunyikan) perkataan-perkataan baharu yang mereka hadapi.
2.      Murid diperkenalkan dengan bunyi huruf dan bukan nama huruf.
3.      Jadi, lambang huruf terus dikaitkan dengan bunyinya. Misalnya ‘a’ dibunyikan
     ‘aa...’, ‘t’ - ‘teh’, ‘s’ - ‘ss’. ‘u’ - ‘uu...’, ‘z’ - ‘zz...’ dan sebagainya. Murid-murid
     akan dilatih membunyikan huruf secara terasing dan kemudiannya   
     menggabungkan dengan bunyi-bunyi huruf yang lain bagi membentuk suku kata
     dan perkataan.
4.      Apabila mereka sudah mengetahui hubungan tiap-tiap huruf dengan bunyinya, suku kata pula dibina. Misalnya, ‘ba’, ‘da’, ‘tu’, ‘ka’, ‘lu’, ‘mi’ dan sebagai.
5.      Contoh lain seperti huruf “a” tidak dieja tetapi terus dibunyikan sebagai [a], dan begitulah bagi huruf-huruf dan suku kata yang lain. Sebagai contoh, ba + ta terus disebut sebagai [ba] + [ta] dan seterusnya disebut sebagai [bata].
6.      Kemudian baru digabung suku-suku kata ini menjadi perkataan-perkataan - ‘dada’, ‘batu’, ‘kata’, ‘lalu’ dan sebagainya. (Yahya Othman et al. 2012).
Menurut Othman dan Nik Eliani (2009), terdapat beberapa langkah asas mengajar bunyi huruf. Langkah asas berasaskan objektif yang berkaitan. Objektif pertama pengajaran ialah murid boleh menyebut bunyi dan mengenal pasti huruf berkaitan. Bagi mencapai objektif tersebut beberapa aktiviti wajib telah dicadangkan untuk dilaksanakan, antaranya ialah:
1.      Perkenalkan bunyi huruf yang akan diajar (tanpa menunjukkan simbol/huruf
tersebut). Sebut bunyi dengan jelas beberapa kali.
2.      Tanyakan murid bunyi yang didengar dan minta murid menyebut bunyi dengan betul. Ulang sebut bunyi sehingga mantap.
3.      Perkenalkan simbol/huruf  yang diajar sambil menyebut: “Ini bunyi…”. Jangan guna perkataan ‘huruf’.
4.   Ulang sebut bunyi sambil menunjukkan simbol beberapa kali.
5.  Melakonkan aksi asas latihan asosiasi. Pastikan satu bunyi untuk satu aksi (Yahya
     Othman et al. 2012) dan (Traci M. Cihon 2008)
Selain itu, aktiviti pilihan juga turut dicadangkan Traci M. Cihon (2008) dan  Howard P. Parette et al. (2009). Mereka menyarankan agar guru melakukan aktiviti latihan asosiasi secara praktikal (bermain) dan rangsang pendengaran dengan gambar-gambar bermula dengan bunyi yang diajarkan. Manakala dalam objektif kedua pula diharapkan murid dapat mengecam bentuk huruf. Aktiviti wajib yang dicadangkan adalah seperti berikut; sentuh huruf berpasir mengikut cara huruf ditulis, dan bentuk huruf menggunakan plastisin, Manakala aktiviti pilihan pula seperti mewarna huruf, membuat kolaj – gunting huruf mengikut bentuk, membuat mozek – menampal kertas warna atas huruf, mengecat menggunakan jari, dan menulis. Kajian ini disokong oleh kajian Yahya Othman et al. (2012) dan Mr Barry Sheerman Et al. (2006). Bagi objektif ketiga, murid diharapkan dapat menggabung bunyi huruf. Antara aktiviti wajib yang dicadangkan adalah: menunjukkan konsep gabungan huruf konsonan dan vokal, minta murid gabung huruf secara praktikal melalui aktiviti lihat dan buat, dengar dan buat serta lihat dan baca (Mr Barry Sheerman et al. 2006) dan (Noraidah Farah et al. 2010).
Bielby (1999) dalam kajiannya menyatakan semua guru perlu berbincang dengan murid tentang cara menyesuaikan bunyi huruf dengan perkataan. Istilah ‘mengajar fonik’ digunakan secara umum untuk mengajar murid-murid di peringkat awal secara bersistematik bagi membunyikan huruf secara rutin untuk mengekod perkataan. Murid diajar membunyikan huruf secara lantang kemudian menggabungkan bunyi. Guru mendengar apa yang dibunyikan oleh murid. Pendekatan ini membolehkan murid membunyikan huruf baharu dengan mudah dan cepat. Menurut beliau lagi, fonik memberikan cara yang positif dalam mengenal pasti bunyi huruf baharu dan boleh mengembangluaskan kecekapan grafafonik. Kaedah fonik ini boleh diguna pakai dalam jangka masa panjang. Kajian ini turut disokong oleh Yahya Othman et al. (2012).
Heilman (1993) dalam kajiannya  menyatakan bahawa belajar untuk mengenal pasti perkataan merupakan satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah mengenal huruf. Oleh yang demikian, murid perlu mempelajari hubungan antara kiu visual (huruf) dan bunyi yang diungkapkan (hubungan fonem-grafem). Setelah melalui latihan berulang kali, maka perkataan pun dikenal pasti. Perkataan yang sudah dikenal pasti ini tidak lagi memerlukan usaha murid untuk membuat pengecaman. Tahap ini disebut sebagai belajar membaca. Belajar untuk membaca adalah tugas sukar kerana mempelajari gabungan bunyi dan huruf sangat asing pada pengalaman lalu murid (Yahya Othman et al. 2012).
Goswani dan Byrant (1990) dalam kajian Campbell (1995) mengenai kesedaran fonemik, menyimpulkan bahawa kemajuan dalam belajar membaca mungkin merupakan faktor utama dalam menyedari fonem. Oleh yang demikian, kegiatan membaca dan menulis menjadi penting. Murid pula boleh secara aktif membina pengetahuan mereka tentang kaitan huruf dan bunyi (Yahya Othman et al. 2012).

MENGAJAR MEMBACA MELALUI TEORI KECERDASAN PELBAGAI 

Menurut teori  kecerdasan pelbagai yang diperkenalkan oleh Howard Gardner, setiap individu mempunyai kecerdasan yang berlainan. Menurut Howard Gardner (1983), kecerdasan adalah kebolehan menyelesaikan masalah atau mencipta produk yang dihargai oleh sesuatu budaya. Menurutnya setiap individu mempunyai sekurang-kurangnya tujuh kebolehan mental yang berasingan atau bebas iaitu kecerdasan. Sehingga kini beliau mengenal pasti sembilan jenis kecerdasan yang antaranya ialah, kecerdasan pertuturan atau linguistik, kecerdasan logikal atau matematik, kecerdasan ‘visual’ atau ‘spatial’, kecerdasan  muzikal atau irama, kecerdasan ‘bodily’ atau kinestetik, kecerdasan interpersonal, kecerdasan intrapersonal, kecerdasan  ‘naturalist’ dan kecerdasan ‘existentialist’ (Zainiah Mohammed Isa  2004) dan (Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd  2008).
Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd (2008) dalam kajiannya menyatakan Friedrich Froebel (1782-1852) telah mengasaskan program ’taman asuhan kanak-kanak’ kerana percaya bahawa pembelajaran yang paling berkesan adalah sesuatu yang berlaku dalam keadaan yang menggembirakan. Froebel menyatakan bahawa kanak-kanak akan merasa gembira dan lebih mudah untuk belajar sekiranya mereka belajar sambil bermain. Melalui aktiviti yang disediakan, secara tidak langsung kanak-kanak berpeluang melatih kemahiran yang sedang berkembang. Ini membuktikan corak aktiviti yang dijalankan kepada kanak-kanak boleh membantu mereka memahami dan memperolehi sesuatu kemahiran tertentu daripada persekitaran mereka. Melalui cara yang sedemikian, potensi kanak-kanak akan dapat dipupuk sama ada dari aspek kognitif, psikomotor, afektif dan nilai-nilai kerohanian. Kenyataan ini di sokong oleh kajian Zulkifli Mohamed Irpow (2003 ).
Bagi menerapkan kecerdasan pelbagai ini dalam kaedah mengajar membaca, guru perlu mengetahui jenis kecerdasan yang cenderung dikuasai oleh kanak-kanak dan menyediakan kaedah pengajaran yang berasaskan kecenderungan kanak-kanak tersebut. Perkara ini disokong oleh kajian Spiegal (1998) dan Zainiah Mohammed Isa (2004) bahawa program literasi yang seimbang ialah guru memilih cara dan tugasan yang sesuai untuk setiap kanak-kanak serta fleksibel terhadap keperluan kanak-kanak.

Kecerdasan Linguistik

Menurut Gardner (1980) dan Zainiah Mohamamed Isa (2004), kanak-kanak yang kekuatannya terletak kepada linguistik, kebolehan mereka adalah menggunakan bahasa untuk melahirkan idea atau pendapat dan menghargai serta memahami bahasa yang indah. Guru boleh menggalakkan kanak-kanak menulis buku ceritanya atau jurnalnya sendiri. kanak-kanak boleh membawa gambar atau melukis gambar pada sehelai kertas bagi tujuan penceritaan. Guru akan menuliskan apa yang diperkatakan oleh kanak-kanak mengenai gambar tersebut jika kanak-kanak belum boleh menulis. Sudah tentu bahan yang  dihasilkan sendiri seperti ini akan merangsang kanak-kanak untuk belajar membaca hasil karyanya dan jika bahan tersebut dipamerkan di bilik darjah akan menggalakkan kanak-kanak lain untuk turut membaca.

Kecerdasan Visual Spatial

Menurut Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd (1980), kanak-kanak yang cenderung kepada visual spatial berkebolehan melihat, menggambarkan atau membayangkan sesuatu gambar dan objek. Mereka lebih mudah mengingati gambaran objek dalam pemikiran mereka (Zainiah Mohammed Isa 2004).Bagi kanak-kanak visual spatial ini pengajaran huruf menggunakan kad imbasan boleh dilaksanakan. Bagi kaedah abjad yang mempamerkan benda-benda yang bermula dengan sesuatu abjad tertentu serta kaedah pandang dan sebut di mana gambar tersebut akan dilabelkan dengan ejaan bagi membolehkan kanak-kanak membayangkan huruf dan objek tersebut di layar ingatan mereka.
Gambar-gambar yang dilabelkan sepatutnya sentiasa dipamerkan di bilik darjah kerana  ini dapat membantu kanak-kanak membaca. Begitu juga perabut dan alat-alat di dalam bilik darjah dilebalkan dengan terang dan mudah dilihat pada aras mata kanak-kanak akan menggalakkan pembelajaran bacaan yang spontan (Zainiah Mohammed Isa 2004). Persekitaran yang kaya dengan percetakan ini patut digalakkan sehingga ke peringkat rendah dan menengah kerana ini amat membantu kanak-kanak spatial untuk mempelajari sesuatu.
Begitu juga buku-buku bergambar yang menggunakan warna yang menarik perlu disediakan di peringkat awal bagi menarik minat kanak-kanak terhadap pembacaan. Teknik ‘rebus’ di mana gambar kecil akan diletakkan di atas perkataan bagi memberi akan mempercepatkan pembacaan. Teknik ‘rebus’ ini juga turut dinyatakan dalam kajian Howard P. Parette et al. ( 2009) tetapi dengan nama yang lain. Selain dari itu, penggunaan buku-buku bersifat interaktif dapat menggalakkan kanak-kanak belajar membaca secara berdikari kerana program-program ini mampu membimbing kanak-kanak untuk membaca secara berdikari.

Kecerdasan Kinestetik

Menurut Gardner (1980) dan Zainiah Mohammed Isa (2004), kanak-kanak yang berkecerdasan kinestetik boleh memanipulasi objek dan berkebolehan menggunakan pelbagai kemahiran fizikal.  Kanak-kanak ini belajar dengan mudah melalui membuat dan suka menggunakan anggota badannya untuk melakukan sesuatu. Bagi memenuhi keperluan kanak-kanak berkecerdasan kinestetik ini,bilik darjah sepatutnya menyediakan banyak bahan-bahan yang bersifat terbuka untuk dimanipulasikan oleh kanak-kanak seperti bahan menulis, melukis, bahan kraf dan playdoh, blok mainan dan juga alat-alat manipulatif yang lain.
Penggunaan setiap anggota badan dan deria semasa melakukan aktiviti-aktiviti akan menambahkan pemahaman dan menyebabkan proses pembelajaran akan lebih menarik. Kanak-kanak boleh diminta membentuk huruf menggunakan anggota badan mereka. Belajar mengingati bahasa berirama dan lagu sambil melakukan aksi-aksi pastinya menarik dan bermakna kepada mereka. Aktiviti melakonkan semula cerita dalam bahasa isyarat dan penggunaan bahasa badan amat berkesan kepada kanak-kanak kinestetik. (Howard P. Parette et al. 2009). Begitu juga aktiviti-aktiviti pergerakan seperti tarian, pergerakan berirama, senaman dan sukan juga perlu diberi keutamaan. Aktiviti-aktiviti permainan yang melibatkan kanak-kanak bergerak di dalam bilik darjah seperti mencari huruf tersembunyi, mencari objek yang bermula dengan sesuatu huruf dan sebagainya juga amat menyeronokkan kanak-kanak.
Tidak ketinggalan latihan menulis semula ejaan  tertentu akan  mengukuhkan ingatan kanak-kanak kinestetik terhadap ejaan seperti kajian yang dijalankan oleh Edwards L.(2003), mendapati kanak-kanak tahun satu yang diajar ejaan melalui latihan menulis perkataan-perkataan dapat mengeja lebih banyak perkataan dengan betul berbanding kanak-kanak yang berlatih menyusun huruf atau kanak-kanak yang berlatih mengeja dengan menaip di komputer.” (Zainiah Mohammed Isa 2004). Cara ini berkesan kerana kanak-kanak menggunakan anggota badannya untuk mempelajari sesuatu atau dikatakan sebagai belajar dengan melakukan.

Kecerdasan Muzikal
Kanak-kanak berkecerdasan muzikal atau irama pula peka kepada muzik, suka menyanyi dan bermain alat muzik (Gardner 1980; Zainiah Mohammed Isa 2004). Bagi kanak-kanak yang berkecenderungan kecerdasan muzikal ini, penggunaan pantun-pantun tradisional dan bahasa berirama akan mendapat perhatian mereka. Mereka sepatutnya digalakkan mencipta lagu-lagu mereka sendiri dan tuliskan lagu-lagu tersebut untuk dibaca oleh mereka. Guru perlu menyediakan buku-buku yang mengandungi bahasa berirama untuk dibaca oleh kanak-kanak di masa lapang mereka.
Koleksi rakaman pantun-pantun, lagu-lagu ataupun bahasa berirama boleh disediakan kepada kanak-kanak untuk dimainkan di dalam kelas. Aktiviti nyanyian dan bahasa berirama akan merangsang kanak-kanak untuk membaca bahan bercetak yang berkenaan. Kanak-kanak muzikal juga amat gemar bermain alat-alat muzik dan mencipta irama dan lagu mereka sendiri. Mereka sepatutnya diberikan  galakan untuk mencipta irama dan lagu mereka sendiri. Ini akan memberi kepuasan bagi mereka kerana memberi peluang kepada kanak-kanak ini untuk melahirkan idea dan kreativiti mereka (Zainiah Mohammed Isa 2004).

Kecerdasan Matematikal 
 Kanak-kanak yang bercerdasan matematikal suka melakukan kajian, menyelesaikan masalah, bertanyakan soalan, meneroka corak geometri dan berkebolehan menggunakan serta mengaplikasikan nombor (Gardner 1980; Zainiah Mohammed Isa 2004).
Armstrong (1994) dan Zainiah Mohammed Isa (2004) menyatakan, kanak-kanak bercerdasan matematikal menyukai buku yang mengandungi pengulangan dan persamaan. Bagi kanak-kanak seperti ini pengulangan perkataan yang sama atau penggunaan perkataan yang boleh ditekannya akan menggalakkan pembacaan. Begitu juga penggunaan gambar yang menjadi petunjuk atau pembayang bagi cerita amat baik untuk menggalakkan pembacaan kanak-kanak.
            Oleh sebab kanak-kanak logikal matematikal gemar meneka dan menyelesaikan masalah, teknik bacaan yang berasaskan phonetik boleh diperkenalkan bagi kanak-kanak ini. Kanak-kanak ini ini akan gemar mencantumkan konsonan dan vokal bagi membentuk perkataan. Pengulangan dan penambahan daripada huruf serta perkataan yang telah biasa dipelajari memudahkan kanak-kanak membentuk perkataan serta ayat yang akan mempercepatkan pembelajaran bacaan mereka (Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd 2008).
Program komputer yang menyediakan latihan mengeja serta memperkenalkan huruf dan perkataan dapat menarik minat minat kanak-kanak ini untuk belajar membaca. Mereka memang sukakan cabaran dan biasanya program tersebut disediakan secara bertahap-tahap yang mampu mencabar kebolehan kanak-kanak dan pada masa yang sama memberikan rasa kejayaan pada kanak-kanak tersebut. Pernyataan ini disokong oleh kajian Rohaty Majzub dan  Kamisah Buang (2010). Seterusnya permainan huruf seperti teka silang kata, ‘Sahiba’ dan lain-lain permainan bahasa juga akan menarik minat kanak-kanak yang logikal matematikal ini.

Kecerdasan Interpersonal
 Kanak-kanak yang mempunyai kecerdasan interpersonal boleh memahami dan berinteraksi secara berkesan dengan orang lain. (Gardner 1980) dan (Zainiah Mohammed Isa 2004). Oleh itu,  membaca bagi kanak-kanak interpersonal lebih merupakan aktiviti pergaulan sosial. Mereka lebih gemar membaca bersama-sama rakan atau mengajar kanak-kanak yang lain membaca perkataan yang mereka tahu. Menurut Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd (2008), kanak-kanak ini hendaklah digalakkan membaca bersama rakan yang lain atau tugaskan mereka membaca dengan kanak-kanak yang masih lemah dalam pembacaan. Mereka akan gembira melakukan tugasan yang diberi ini. Melalui  program ini sipembaca akan mendapat  manafaat daripada pembacaaan  manakala yang mendengar bacaan pula berasa lebih selesa membaca dengan rakan dan lebih mudah belajar membaca melalui rakan mereka.
Dengan memberi kebebasan menggunakan alat-alat penulisan pula, kanak-kanak interpersonal ini akan suka menulis pesanan dan bertukar-tukar nota dengan rakan. Satu sudut di papan kenyataan boleh digunakan sebagai tempat kanak-kanak meninggalkan pesan atau mendapat maklumat mengenai apa-apa peristiwa yang berlaku kepada rakan-rakan didalam kelas seperti harijadi, rakan-rakan yang tidak sihat, dan kejayaan-kejayaan kanak-kanak di dalam kelas. Ini sudah tentu akan memeriahkan suasana disamping menggalakkan komunikasi dan pembacaan (Zainiah Mohammed Isa 2004).

Kecerdasan Intrapersonal 
Menurut  Gardner (1980) dan Zainiah Mohammed Isa (2004), kanak-kanak intrapersonal boleh memahami diri dan pemikirannya sendiri dan menggunakan pengetahuan ini dalam merancang dan menentukan halatuju dirinya sendiri.Bagi kanak-kanak yang intrapersonal pula, guru hendaklah menyediakan bahan-bahan bacaan yang mereka minati dan tempat yang agak tersorok dan senyap bagi mereka membaca. Biarkan mereka membaca secara selesa mengikut tahap kebolehan mereka sendiri dan bantu mereka dengan perkataan yang agak sukar apabila diminta. Dengan kebebasan yang diberi kanak-kanak intrapersonal biasanya boleh mengajar diri mereka sendiri membaca (Armstrong 1994).
            Begitu juga faktor pemilihan buku yang sesuai dan menarik minat kanak-kanak adalah kunci bagi menggalakkan pembacaan kanak-kanak intrapersonal khasnya, dan kepada semua kanak-kanak amnya. Buku-buku yang sesuai dan menarik minat ini juga dapat menyemaikan nilai-nilai estetik dalam diri kanak-kanak dan seterusnya menanamkan minat kanak-kanak kepada buku serta tabiat membaca yang berterusan ( Johari Bin Hassan dan Nur Aimi Binti Mohd. 2008).

MENGAJAR MEMBACA MELALUI PENGGUNAAN PERISIAN MULTIMEDIA.

Menurut Auzar (2012), penggunaan komputer dalam pembelajaran membaca menunjukkan keberkesanan yang signifikan berbanding dengan pembelajaran membaca secara tradisional. Penggunaan perisian dalam pembelajaran membaca juga berjaya meningkatkan kemahiran membaca murid-murid secara signifikan. Menurut Zamri Mahamod dan Nur Aisyah Mohamad Noor (2011), strategi pengajaran menggunakan perisian multimedia dapat membantu pelajar  menguasai pembelajaran secara dua hala tanpa bergantung sepenuhnya kepada guru. Dengan bantuan media, pelajar mampu belajar secara aktif, kendiri dan anjal. Melalui strategi pembelajaran aktif, proses pengajaran menggalakkan penglibatan aktif pelajar melalui hubungan dua hala dengan perisian. Hal ini kerana pelajar terlibat secara aktif melalui aktiviti membaca, menyelesaikan masalah dan penaakulan.
                 Zoraini Wati Abas (1993) menyatakan bahawa kaedah pembelajaran berbantukan komputer berorientasikan penggunaan aplikasi multimedia guruan berpotensi untuk merangsang dan menarik minat murid untuk mendekati sesuatu mata pelajaran. Murid bukan sahaja terpegun kepada kecanggihan pembinaan komputer itu sendiri, malah tertarik kepada paparan grafik, interaktif, warna, persembahan dan kesan bunyi yangmengasyikkan. Pelbagai kajian di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kigdom telah menunjukkan bahawa pengajaran berbantukan komputer atau Computer Assisted Learning (CAL) dan Computer Language Learning (CALL) telah membantu dalam menarik minat kanak-kanak dalam pembelajaran literasi (Chapelle 1997; Chun 1997; Ehsani 1998; Hegelheimer & Chapelle 2000; Kramsch 1999; Zehapi 1993).

                  Howard P. Parette et al (2009) menyatakan dalam  kajiannya bahawa guru juga boleh menghasilkan perisian sendiri. Antara perisian yang paling sering digunakan oleh guru ialah ‘Microsofft Power Point’. Ini adalah kerana ia dapat mempersembahkan pengajaran dalam keadaan menarik melalui paparan grafik yang boleh ditambah dengan kesan bunyi dan aktiviti yang interaktif (Jewitt 2009). Langkah perisian yang dicadangkan oleh Howard P. Parette  adalah  seperti berikut:
1.      Guru hendaklah mengajarkan perkataan dengan menggunakan bantuan gambar yang sesuai. Pemilihan gambar mestilah tepat dan biasa dilihat oleh kanak-kanak agar boleh membantu mereka mempelajari perkataan baru.
2.      Paparan slaid pertama sepatutnya hanyalah perkataan yang ingin diperkenalkan. Contohnya, slaid memaparkan perkataan “ ibu”. Guru akan menyebut, “ini perkataan ibu”
3.      Kemudian dalam slaid yang sama, di bawah perkataan “ibu” akan muncul gambar ibu secara perlahan-lahan.
4.      Seterusnya,  guru akan berkata “ semua murid lihat di sini…” pada slaid ke-2, langkah 3 akan diulang sekali lagi.
5.      Seterusnya,  pada slaid ke-3, perkataan “ ibu” dan gambar ibu akan muncul serentak. Guru akan menyebut, “ini perkataan ibu”
6.      Slaid ke-4, perkataan “ ibu” dan gambar ibu akan muncul serentak tetapi gambar ibu semakin kabur. Guru akan menyebut, “ini perkataan ibu”
7.      Slaid ke-5,  perkataan “ ibu” dan gambar ibu akan muncul serentak tetapi gambar ibu semakin lebih kabur. Guru akan menyebut, “ini perkataan ibu”
8.      Slaid ke-6, hanya perkataan “ ibu” sahaja yang  muncul dan tiada gambar ibu. Guru akan menyebut, “ini perkataan ibu”
9.      Pada slaid ke-7, guru akan mengulang langkah 3.
10.  Seterusnya guru akan berkata “ sekarang giliran kamu pula, cuba sebut ini perkataan apa?”, slaid ke-8 ini memaparkan perkataan “ibu” dan gambar ibu yang kabur tetapi masih boleh dilihat oleh kanak-kanak.
11.  Apabila kanak-kanak dapat menjawab dengan betul, guru hendaklah berkata “ betul, ini perkataan ibu” sambil memberikan pujian. Untuk kanak-kanak yang tidak dapat menjawab dengan betul, guru hendaklah berkata “ ini perkataan ibu”
12.  Seterusnya, slaid ke-9 memaparkan perkataan “ibu” dan gambar ibu yang terang. Guru akan bertanya sekali lagi, “ ini perkataan apa?”. Seterusnya langkah 11 akan diulang oleh guru.
13.  Pada slaid ke -10, hanya paparan perkataan ibu tanpa gambar ibu. Guru akan berkata  “ ini perkataan apa?”. Sekiranya murid dapat menjawab dengan betul, pujian hendaklah diberikan.
14.  Seterusnya, guru bolehlah meneruskan dengan mengajar perkataan yang hampir serupa seperti “ ubi” dan “abu”. Ini membolehkan kanak-kanak membezakan perkataan dan mengenalpasti perbezaannya.

                 Pada akhir sesi pembelajaran, penilaian ke atas kanak-kanak perlu dilakukan. Perkataan “ibu”, “ubi” dan “abu” akan di paparkan tanpa gambar pada slaid. Guru akan bertanya “ yang mana satukah perkataan ibu?”.  Murid akan memilih perkataan yang ditanya dengan menunjukkan menggunakan jari pada slaid. Pujian hendaklah diberikan untuk jawapan yang betul dan guru akan meminta murid menyebut perkataan yang ditunjukkan.
       Paivio (1986) menyatakan bahawa kanak-kanak yang diajar dengan menggunakan perisian multimedia sebenarnya telah didedahkan kepada  dua mod pembelajaran iaitu melalui visual dan verbal. Mod ini akan dapat meningkatkan ingatan dan kefahaman kanak-kanak. Ini kerana kanak-kanak telah diberi peluang membina makna apa yang dibaca menerusi penghasilan gambaran visual. Namun demikian menurut Weinstein dan Mayer (1986) dan Carreker (2002), kanak-kanak tidak berupaya secara efektif menghasilkan gambaran visual jika tidak dibantu oleh guru menerusi galakkan atau pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.

ISU-ISU DALAM PENGAJARAN KEMAHIRAN MEMBACA

Membaca adalah suatu medan ilmu yang perlu dikuasai untuk memenuhi keperluan pembelajaran kanak-kanak. Menurut Husen Fateh Din et al. (2011), Murid-murid yang boleh membaca sebelum menjejakkan kaki ke alam persekolahan lagi selalunya dianggap sebagai bijak. Sebenarnya kebolehan ini bukan petanda awal tentang kebijaksanaan kanak-kanak itu. Namun persepsi masyarakat selalunya begitu. Mampu membaca dan mahir membaca merupakan perkara yang berbeza. Noraidah Farah Sazuanee Awang (2010) pula menyatakan, membaca membawa maksud membunyikan huruf-huruf yang ditulis  serta melihat dan memahami apa-apa yang tertulis. kemahiran membaca adalah merujuk kepada keupayaan seseorang membaca dengan sebutan, intonasi, jeda dan kelancaran yang betul. Secara ringkasnya tujuan utama seseorang kanak-kanak perlu menguasai kemahiran membaca supaya mereka dapat mengenal dan membezakan setiap huruf dan perkataan seterusnya dapat membaca serta memahami pelbagai bahan bacaan yang dibaca (Husen Fateh Din et al. (2010).

Isu pertama: Apakah cara untuk mengatasi masalah kanak-kanak tidak minat belajar membaca?
McGee dan Richgels (1990) dalam Rahimi Md Saad (2006) menyatakan bahawa membaca dan menulis adalah kemahiran sukar dikuasai dan bukan semulajadi untuk dipelajari. Proses membaca memerlukan kesediaan untuk mempelajarinya. Isunya di sini, disebabkan proses membaca dilihat sebagai aktiviti yang sukar oleh kanak-kanak, maka bagaimanakah cara untuk mengatasi masalah kanak-kanak tidak minat untuk belajar membaca?
            IRA & NAEYC (1998) menyatakan,
            “ ........kebanyakan  cara mengajar membaca di peringkat awal adalah tidak bersesuaian dengan tahap umur dan perkembangan kanak-kanak tadika, malah cara yang digunakan lebih sesuai untuk mengajar kanak-kanak yang lebih tua ataupun orang dewasa yang semestinya tidak memberi kesan kepada kanak-kanak di peringkat awal”

Perkara ini turut disokong oleh Stanford, P.( 2003)  seperti berikut,
            “ Di dalam bilik darjah yang tradisional, guru-guru berdiri mengajar di depan kelas, menulis di papan hitam, menyoal murid-murid mengenai kerja-kerja yang diberikan dan menunggu murid-murid menyiapkan kerja-kerja bertulis mereka”
Zainiah Mohamed Isa (2004) dalam kajiannya menyatakan penggunaan  kaedah pengajaran yang tidak sesuai kepada kanak-kanak, akan menimbulkan rasa bosan, tertekan dan seterusnya hilang keyakinan diri. Sebaliknya, sekira kanak-kanak merasa seronok dengan proses pengajaran yang dijalankan, mereka akan meneruskan aktiviti kerana merasa yakin dengan kejayaan diri sendiri dan ini tentunya akan memudahkan proses pembelajaran berlaku. Dengan ini, kaedah pengajaran yang digunakan terhadap kanak-kanak mestilah bersesuaian dengan tahap umur, perkembangan serta tahap kebolehan individu. Gardner (1983) menyatakan keperluan individu yang berlainan dari segi tahap perkembangan dan kecenderungan perlu diambil kira dalam membuat perancangan pengajaran. Menurutnya lagi, setiap individu mempunyai kecenderungan kecerdasan yang berbeza. Stanford, P. (2003) pula menyatakan  pengajaran menggunakan kecerdasan pelbagai menyediakan pelbagai peluang untuk kanak-kanak untuk belajar. Jika hanya satu kaedah pengajaran digunakan untuk membaca, maka kita telah menyekat kanak-kanak belajar mengunakan kaedah-kaedah yang mereka telah mahir dan ini amat merugikan.
Tidak dapat dinafikan penggunaan teori kecerdasan pelbagai sesuai untuk digunakan mengajar membaca di dalam bilik darjah dan ianya memberi kesan yang mendalam terhadap proses pembelajaran kanak-kanak. Ini bersesuaian dengan kenyataan Amstrong (1987),
            “ Apabila kanak-kanak melalui pengalaman yang menyeronokkan yang melibatkan rasa kejayaan semasa peringkat awal belajar membaca, mereka juga turut memperolehi kejayaan dalam akademik yang berterusan dalam kehidupan mereka” .
              Oleh yang demikian, adalah penting bagi guru mengambil kira kecenderungan  kecerdasan kanak-kanak di dalam perancangan kurikulum bagi pengajaran membaca. Kaedah belajar sepatutnya datang dari kanak-kanak dan bukan guru yang menentukan sesuatu kaedah.
           

Isu kedua :  bagaimanakah cara  mengatasi murid yang boleh membaca perkataan, namun tidak memahami maksud  perkataan tersebut?

Goodman (1981), Linda B Gambrell, Cathy Collin Block dan Michael Pressley (2002) menyatakan bahawa matlamat akhir pengajaran dan pembelajaran membaca yang utama ialah kefahaman. Laporan kajian Belize Development Trust (2002) menunjukkan 92% kanak-kanak boleh membaca tetapi 50% atau lebih daripadanya kurang faham dengan apa yang dibaca. Keadaan ini disahkan pula dengan laporan Snow Catherine E (2002) yang menyatakan salah satu masalah yang kini dipandang serius dan menjadi topik perbincangan di kalangan penyelidik di Amerika ialah pelajar sekolah rendah, menengah dan peringkat tertinggi tidak mempunyai kemahiran atau kecenderungan membaca dengan faham terhadap bahan yang mereka pelajari. Berikutan itu kajian terbaru (ibid) dalam pengajaran membaca menunjukkan secara signifikan bahawa keadaan ini boleh diperbaiki semasa pengajaran awal kanak-kanak dan didapati pengajaran membaca faham perlu diajar kepada kanak-kanak bagi membekalkan mereka dengan pengetahuan asas membaca-faham.
Rio Sumarni et al ( 2003) menyatakan dalam kajiannya bahawa keupayaan membaca-faham jelasnya memang memerlukan kemahiran yang pelbagai. Faktor yang menyumbang kepada membaca-faham dapatlah diringkaskan kepada beberapa komponen yang besar seperti keupayaan kognitif (memori, tumpuan dan keupayaan visualisasi), kemampuan linguistik (perbendaharaan kata, pengetahuan sedia, strategi pembelajaran, keupayaan memahami bahasa pertuturan dan mentafsir perkataan), motivasi dan kaedah pengajaran. Kesemua faktor yang tersebut sukar untuk diatasi kerana beberapa perkara berikut:
1.      pengajaran dan pembelajaran membaca di kalangan kanak-kanak prasekolah tidak menekankan aspek pemahaman berlaku kerana bagi guru apa yang penting ialah kanak-kanak di prasekolah boleh membaca dengan lancar. Hakikat ini disokong oleh Sally Rings (1994) yang menyatakan bahawa pendekatan behavioristik dalam pembelajaran membaca di sekolah adalah merupakan pedagogi yang terlalu dominan.
2.      Pengajaran dan pembelajaran membaca secara tradisi yang sedang berlaku di bilik darjah hari ini juga mengabaikan keupayaan membentuk gambaran visual di kalangan kanak-kanak dan sebaliknya menekankan pembelajaran mengenal simbol dan kemahiran membaca mengikut urutan. Oleh kerana kanak-kanak tidak didedahkan dengan penggunaan strategi pembelajaran membaca secara gambaran visual ini maka hasil pembelajaran membaca di prasekolah hanya mampu membaca dengan lancar dan tidak faham. 
              Rio Sumarni et al. (2003) dalam kajiannya, penggunaan perisian multimedia dilihat boleh mengatasi atau sekurang-kurangnya dapat memperbaiki faktor penyumbang masalah keupayaan membaca dan memahami perkataan. Membaca dan memahami perkataan  boleh dibantu menerusi multimedia kerana bahan dipersembahkan bukan sahaja dalam bentuk teks tetapi juga dalam bentuk visual (input visual) atau audiotori (input verbal) atau kombinasi antara keduanya. Hubungan di antara teks dan imej sebagai elemen dalam proses membaca yang diketengahkan oleh teori dual koding. Paivio (1986) memberi penjelasan bahawa kanak-kanak yang didedahkan dengan dua mod pembelajaran (melalui visual dan verbal) akan dapat meningkatkan ingatan dan kefahaman. Kanak-kanak yang diberi peluang membina makna apa yang dibaca menerusi penghasilan gambaran visual. Namun demikian menurut Weinstein dan Mayer (1986) dan Carreker (2002) kanak-kanak tidak berupaya secara efektif menghasilkan gambaran visual jika tidak dibantu oleh guru menerusi galakan atau pendedahan menggunakan strategi pembelajaran ini.

IMPLIKASI
Kemahiran membaca sangat penting dikuasai oleh kanak-kanak kerana melalui pembacaan mereka dapat meningkatkan pencapaian mereka dalam pelajaran, meluaskan pengetahuan, mencari dan mengumpul maklumat-maklumat yang diperlukan dan lain-lain lagi (Howard P. Parette 2010). Faktor yang mempengaruhi kemahiran membaca adalah dengan meningkatkan kemahiran kognitif dan juga umur kanak-kanak mula belajar membaca. Ini kerana pendedahan  awal kanak-kanak tentang kemahiran komunikasi dan literasi memberi kesan terhadap kesediaan kanak-kanak untuk belajar membaca (Mr Barry Sheerman et al. 2005).
          Antara kaedah yang berjaya meningkatkan kemahiran membaca adalah kaedah fonik (Mr Barry Sheerman et al. 2005;  Traci M. Cihon 2008; Sabrina Abdul Rahim 2010; Yahya Othman et al 2012),  kaedah mengajar kecerdasan pelbagai, (Spiegal 1998; Zainiah Mohammed Isa 2004; Johari Bin Hassan 2008)  dan mengajar menggunakan perisian multimedia (Rio Sumarni et al 2003;  Rohaty Majzub &  Kamisah Buang 2010;  Howard P. Parette et al 2009).
            Guru memainkan peranan penting dalam  meningkatkan tahap kemahiran membaca kanak-kanak  prasekolah. Oleh itu,  guru perlu mempelbagaikan  kaedah dan teknik pengajaran bacaan supaya kemahiran membaca dapat dikuasai dengan baik. Spiegal (1998) dan Zainiah Mohammed Isa (2004) menyatakan bahawa program literasi yang seimbang ialah guru memilih cara dan tugasan yang sesuai untuk setiap kanak-kanak serta fleksibel terhadap keperluan kanak-kanak tersebut. Justeru, guru perlu mengenal pasti jenis kecerdasan yang cenderung dimiliki oleh kanak-kanak dan menyediakan kaedah pengajaran berasaskan kecenderungan kanak-kanak tersebut. Ini kerana dengan mengambil kira kecenderungan murid, bermakna guru telah menyediakan pembelajaran mengikut  kebolehan dan keupayaan murid yang pelbagai.  Dengan pengajaran yang kreatif dan menarik, sesuai dengan keperluan murid serta bantuan bahan yang bersesuaian  pembelajaran akan menjadi lebis berkesan.  

CADANGAN

Amstrong (1987) menyatakan bahawa apabila kanak-kanak melalui pengalaman yang menyeronokkan yang melibatkan rasa kejayaan semasa peringkat awal belajar membaca, mereka juga turut memperolehi kejayaan dalam akademik yang berterusan dalam kehidupan mereka. Justeru, kanak-kanak mestilah didedahkan dengan cara pengajaran dan pembelajaran yang sesuai dan berkesan dengan mengambil kira kemampuan dan kecenderungan mereka. Hasil analisis daripada kajian lepas, terdapat tiga strategi pengajaran kemahiran membaca  yang dilihat sesuai digunakan untuk mengajar murid prasekolah iaitu kaedah fonik, kaedah teori kecerdasan pelbagai dan penggunaan perisian multimedia.
              Barry Sheerman et al. (2006) menjelaskan bahawa fonik ialah satu kaedah yang penting dalam pengajaran membaca kanak-kanak. Yahya Othman et al. (2012) pula menegaskan tahap kemahiran mengajar kaedah fonik bagi guru-guru peringkat prasekolah perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.  Walau bagaimanapun, guru masih perlu untuk mempelbagaikan gaya pengajaran seperti corak interaksi dalam kalangan kanak-kanak. Rohaty Majzub dan Kamisah Buang (2010), Noraida Farah Sazuanee (2010) dan Sabrina Abdul Rahim (2010), pula menjelaskan perisian “Bacaan Mudah” seharusnya digunakan kepada kanak-kanak yang berada pada peringkat permulaan dan pengenalan dalam pembacaan.  Kanak-kanak juga boleh dilibatkan dalam proses pembinaan bahan yang ingin diguna pakai dalam usaha meningkatkan kemahiran membaca dalam kalangan mereka. Adalah penting bagi guru untuk mengambilkira kecenderungan kecerdasan kanak-kanak dalam perancangan kurikulum bagi pengajaran membaca. Menurut Zainiah Mohamed Isa (2004), kecerdasan pelbagai bukan sahaja memberikan cara-cara yang menarik untuk kanak-kanak belajar mengikut kecenderungan masing-masing bahkan kanak-kanak akan turut mendapat keyakinan diri dan keberanian untuk mencuba sesuatu yang baru. Kajian oleh Johari Bin Hassan (2008), mendapati  rata-rata guru mengajar kemahiran membaca menggunakan kaedah kecerdasan pelbagai.

KESIMPULAN
Berdasarkan kajian yang dijalankan didapati  strategi-strategi pengajaran yang dibincangkan dalam kertas konseptual ini memberi gambaran yang jelas bahawa golongan pendidik awal kanak-kanak hendaklah bijak memilih strategi pengajaran berkesan yang boleh membantu kanak-kanak prasekolah menguasai kemahiran membaca sebelum melangkah ke alam pendidikan yang lebih formal. Yahya Othman et al. (2010) menyatakan bahawa kaedah fonik yang dilaksanakan oleh guru Bahasa Melayu dalam pengajaran membaca dalam kalangan kanak-kanak prasekolah didapati sangat berkesan.Menurutnya lagi, kaedah ini juga didapati berupaya mempercepatkan proses kemahiran membaca berbanding penggunaan kaedah suku kata  dan seterusnya meningkatkan motivasi dan minat murid untuk membaca pelbagai jenis bahan bacaan.
                  Dari Aspek pandangan Zainiah Mohamed Isa (2004), adalah penting bagi guru untuk mengambilkira kecenderungan kecerdasan kanak-kanak di dalam perancangan kurikulum bagi pengajaran membaca. Menurutnya lagi, kecerdasan pelbagai bukan sahaja memberikan cara-cara yang menarik untuk kanak-kanak belajar mengikut kecenderungan masing-masing bahkan kanak-kanak akan turut mendapat keyakinan diri dan keberanian  untuk mencuba sesuatu yang baru. Prose pembelajaran juga menjadi lebih menarik dan berkesan bagi menyediakan kanak-kanak untuk mencapai potensi diri masing-masing.
                  Rohaty Majzub dan Kamisah Buang (2010), merumuskan pengajaran menggunakan  modul bacaan berasaskan multimedia boleh membantu meningkatkan penguasaan dalam kemahiran membaca dengan lebih cepat berbanding belajar membaca tanpa menggunakan modul bacaan yang khusus. Kementerian Pendidikan Malaysia melalui transformasi kurikulum dalam Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan  2010 menyatakan bahawa bahan yang digunakan dalam pengajaran kemahiran bahasa perlu bersesuaian dengan peringkat perkembangan kanak-kanak.  Justeru itu, guru perlulah bijak dan kreatif dalam memilih strategi pengajaran yang berkesan dan mampu menarik minat untuk mempelajari kemahiran membaca. Kesimpulannya, apa-apa  juga kaedah yang digunakan untuk mengajar kanak-kanak membaca, perlulah memberi inspirasi berkekalan dan membaca juga harus menjadi satu matlamat utama dalam pengajaran di sekolah (Mr Barry Sheerman, 2006).


RUJUKAN

Husin Fateh Din & Nazariyah Sani. 2012. Bahasa Melayu II Akademik. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

Husin Fateh Din, Nazariyah Sani, Mastura Mohamed Barawi & Siti Hajar Idrus. 2012. Literasi Bahasa Melayu. Puchong: Penerbitan Multimedia Sdn. Bhd.

House Of Common Education And Skills Committee. 2005. Teaching Children to Read. Eighth Report of Session 2004-2005. London: The Stationery Office Limited.

Howard P. Parette, Howard P. Parette,  Craig Blum, Nichole M. Boeckmann,   Emily H. Watts. 2009. Teaching word recognition to young children who are at risk using microsoft powerpoint TM coupled with direct instruction.  Early Childhood Education  Journal  36(5): 393-401.

Johari Bin Hassan. 2008.  Kecerdasan pelbagai di  kalangan kanak-kanak prasekolah serta strategi pengajaran yang digunakan untuk mengajar kanak-kanak prasekolah. Suatu kajian kes. Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor.

Kementerian Pelajaran Malaysia. 2010. Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan.

Khairuddin Mohamad. 2011. Literasi Bahasa Melayu. Shah Alam: Oxford Fajar Sdn. Bhd.

Noraidah Farah Sazuanee binti Awang. 2010. Meningkatkan kebolehan membaca dalam
kalangan kanak-kanak melalui pendekatan kaedah fonik menggunakan perisian
"bacaan mudah“. Prosiding Kajian Tindakan Prasekolah 2010, hlm.34 - 43.

Rio Sumarni Shariffudin, Abdul Hafidz Hj. Omar, Dayang Hjh. Tiawa Awang Hj. Hamid. 2003. Reka Bentuk dan Keberkesanan Perisian Multimedia Membaca-Faham Berasaskan Gambaran Visual bagi Kanak-kanak Prasekolah. Prosiding Seminar Memperkasakan Sistem Pendidikan. (Unpublished).

Rohaty Majzub & Kamisah Buang. 2010. The  development and testing of  preschool bahasa Malaysia reading intervention module using multimedia. Prosiding World Conference on Learning, Teaching and Administration, hlm. 595 – 598.

Sabrina Abdul Rahim. 2010. Keberkesanan kaedah gabungan bunyi dan kata dalam meningkatkan kemahiran membaca kanak-kanak prasekolah. Prosiding Kajian Tindakan Prasekolah 2010,  hlm. 148-157.

Shahariah Zainal. 2011. Pendekatan bermain dalam kemahiran mengenal huruf  kecil bagi pendidikan prasekolah. Kertas Konseptual. Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor Darul Ehsan.

Tamam Timbang, Zamri Mahamod, Nik Mohd. Rahimi Yusoff & Jamaludin Badushah. 2010. Masalah membaca murid-murid sekolah rendah kerajaan di Brunei Darussalam: Satu kajian kes. Jurnal Pendidikan Malaysia 35 (2): 77-85.

Traci M. Cihon. 2008. Using visual phonics as a strategic intervention to increase literacy behaviors for kindergarten participants at-risk for reading failure. Journal of Early and Intensive Behavior Intervention 5(3): 138-155.

Yahya Othman, Aisah Md Daud, Azmey Othman, Dk.Siti Ardiah Pg.Mohiddin & Maszuraimah Muizz Sulaiman. 2012. Pelaksanaan pengajaran membaca menggunakan kaedah fonik peringkat prasekolah di Brunei Darussalam. Jurnal Pendidikan Bahasa Melayu 2(1): 93-109.

Zainiah Mohamed Isa. 2004. Mengajar membaca bagi peringkat awal kanak-kanak melalui
teori kecerdasan pelbagai. Prosiding Seminar Antarabangsa UPSI dan UPI. http://www.scribd.com/doc/55872978/Mengajar-Membaca-Bagi-Peringkat-Awal-Kanak-kanak-Melalui-Teori-Kecerdasan-Pelbagai [23 Mac 2012].