Followers

Wednesday, March 11, 2009

Guru Prasekolah Berijazah Kesan Kepada Kanak-kanak dan Negara.

Profesion keguruan sememangnya bidang kerjaya yang bukan sahaja mengajar atau mendidik anak bangsa malah lebih dari itu. Guru adalah agen kepada keberkesanan pendidikan. Sejarah telah membuktikan betapa golongan pendidik memainkan peranan yang penting dalam menentukan jatuh bangunnya sesebuah bangsa dan negara. Seseorang guru perlu serba tahu baik dari segi mengajar, mendidik, memimpin malahan juga mengurus. Lantaran itu, sekiranya guru yang mengajar di prasekolah memiliki ijazah sudah tentu akan memberi kesan yang besar kepada kanak-kanak prasekolah dan negara amnya.

1. Kesan Kepada Kanak-kanak

Guru prasekolah berijazah sudah tentu mempunyai pengetahuan yang lebih tinggi daripada guru yang tidak memiliki ijazah terutamanya dari segi ilmu dan teori-teori pembelajaran. Guru yang baik sahsiah, sudah tentu memberi kesan kepada kanak-kanak. Mereka menjadi contoh kepada kanak-kanak kerana guru berperanan sebagai pembentuk watak dalam proses penyesuaian diri kanak-kanak di prasekolah.

Guru prasekolah hendaklah mengetahui peranan mereka dalam mempelbagaikan aktiviti yang boleh mendatangkan manfaat kepada kanak-kanak di kelas prasekolah. Guru juga berperanan sebagai pendorong yang menggalakkan pembelajaran kanak-kanak. Kanak-kanak belajar melalui permainan atau aktiviti tidak formal. Guru yang berpengetahuan akan berusaha menyediakan aktiviti pembelajaran yang menggembirakan dengan melibatkan kanak-kanak secara aktif. Aktiviti yang dirancang guru itu membolehkan kanak-kanak mencapai kejayaan di peringkat kebolehan mereka. Guru pula seharusnya tidak lokek memberi pujian kepada kanak-kanak yang berjaya mencuba. Dengan cara ini, akan dapat membantu kanak-kanak membina konsep diri yang positif. Di samping itu, dengan adanya aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang menarik memberi kesan kepada diri kanak-kanak kerana ianya secara tidak langsung menarik minat kanak-kanak ke sekolah setiap hari.


Guru yang berpengetahuan juga mempunyai pengaruh yang penting dalam kehidupan kanak-kanak. Sikap dan sahsiah yang dimiliki seseorang guru menjadi contoh kepada kanak-kanak. Secara tidak langsung, kanak-kanak akan memerhati dan seterusnya meniru kelakuan guru itu. Sebagai guru hendaklah menggunakan peluang untuk menunjukkan teladan yang baik serta menerapkan nilai-nilai positif kepada kanak-kanak. Kesannya amat besar kepada kanak-kanak sehingga boleh mempengaruhi tingkah laku hingga dewasa.


2. Kesan Kepada Negara

Guru adalah profesion yang bertanggungjawab mendidik dan memimpin masyarakat. Tidak dinafikan, sehingga hari ini, guru banyak menyumbang khidmat bakti dalam pembangunan bangsa dan negara lebih-lebih lagi dalam membentuk sahsiah pelajar.

Sebagai usaha memastikan guru di negara ini dapat berperanan seperti diharapkan, kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran Malaysia menggariskan empat strategi utama untuk memartabatkan profesion perguruan. Pertama, memantapkan aspek pemilihan bakal guru dan latihan. Kedua, memantapkan karier keguruan. Ketiga, memperbaiki persekitaran kerja guru dan keempat, meningkatkan keyakinan dan rasa bangga guru terhadap profesion keguruan. Strategi pertama dan kedua bersesuaian dengan topik yang dibincangkan di sini.

Kehadiran guru-guru berijazah mengajar di prasekolah memberikan kesan yang besar kepada negara kerana guru-guru berijazah mempunyai ilmu yang tinggi dari aspek pedagogi dan psikologi. Kanak-kanak di peringkat ini menerima sahaja apa yang diajar oleh guru-guru mereka tanpa ada rasa jelik. Justeru itu, ia akan membentuk akhlak yang baik apabila mereka dewasa kelak. Hal ini bersesuaian denga peribahasa ‘ melentur aur biarlah dari rebungnya’. Demikian antara peranan guru pada ketika ini. Mereka bukan saja menjadi contoh terbaik kepada masyarakat, bahkan peranan mereka lebih terbukti apabila negara hari ini berjaya melahirkan sumber tenaga manusia dalam pelbagai bidang.

Peningkatan Status Kelayakan Guru Prasekolah di Kementerian Pelajaran Malaysia


Kejayaan program pendidikan prasekolah banyak bergantung kepada penghayatan, kemahiran dan sikap guru. Peranan guru prasekolah adalah kompleks kerana dari semasa ke semasa tuntutan mengenai keperluan peranan guru prasekolah berubah dan bertambah. Peranan guru prasekolah sebagai pendidik adalah penting sebagai pembina insan yang bakal menerajui negara di masa akan datang. 

          Perkhidmatan keguruan telah banyak mengalami perubahan sejak zaman sebelum merdeka sehinggalah kini. Kelayakan seseorang guru dalam sistem pendidikan formal adalah selari dengan peredaran zaman. Jika diimbas kembali, kita dapat melihat perkembangan kelayakan asas akademik guru yang mengajar di sekolah di negara kita berubah dengan begitu cepat. Dalam sistem pendidikan di negara kita, selain daripada kelayakan akademik terdapat pengkhususan dalam bidang pengajaran. Guru-guru di Malaysia dilatih untuk mengajar dalam bidang-bidang tertentu di sekolah. Pengkhususan bidang ini termasuklah bidang pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah. Latar belakang akademik yang dimiliki oleh seseorang guru dapat membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Malaysia.
 
         Pada peringkat awal penubuhan prasekolah ‘Annex’ di Kementerian Pelajaran pada Disember tahun 1991, sebanyak 986 kelas prasekolah berjaya dilaksanakan di beberapa buah sekolah rendah Kementerian Pelajaran Malaysia. Guru-guru yang mengajar di kelas prasekolah pada masa itu adalah guru-guru berkelulusan sijil perguruan asas yang mendapat latihan di Maktab-maktab perguruan. Mereka dilatih dan diberi kursus dalam perkhidmatan selama 14 minggu terlebih dahulu dalam bidang prasekolah sebelum dibenarkan mengajar di prasekolah. Pada Disember 1993, guru-guru terlatih kumpulan pertama yang memiliki pengkhususan sijil perguruan asas yang mendapat latihan selama dua tahun setengah dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak mula mengajar di kelas-kelas prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia.
 
         Pada tahun 1997, Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia mula melatih guru-guru pelatih untuk mendapatkan diploma pendidikan prasekolah. Guru-guru kumpulan pertama diploma pendidikan perguruan ini mula ditempatkan di sekolah pada Julai 2000. Pada tahun 2002, guru prasekolah berijazah mula ditempatkan di prasekolah. Pada masa itu, kebanyakan guru prasekolah berijazah terdiri daripada guru yang memiliki Sijil Perguruan Asas yang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Pada pandangan saya, mereka merupakan pelopor kepada pensiswazahan guru prasekolah. Dengan adanya senario ini, sebenarnya telah membuka mata banyak pihak bahawa pendidikan prasekolah merupakan pendidikan yang penting dan memerlukan guru yang berkelayakan untuk mendidik kanak-kanak di peringkat prasekolah. Sebagaimana kelas prasekolah di luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Itali, dan lain-lain guru prasekolah adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya ijazah pertama malahan ramai yang sudah memiliki ijazah kedoktoran.
 
           Perkembangan positif ini membuktikan bahawa kerajaan memandang kepentingan pendidikan prasekolah di Malaysia. Kerajaan juga sedar kepentingan pendidikan prasekolah bagi membentuk asas jati diri dan sahsiah kanak-kanak dalam pembangunan masa depan negara. Oleh itu, menjadi dasar Kementerian Pelajaran untuk memastikan guru-guru yang mengajar kelas prasekolah terdiri daripada guru-guru yang berkelayakan, berkemahiran dan terlatih dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah.
 
      Justeru itu, Kerajaan sentiasa mempertingkatkan kelayakan pendidikan guru sehinggalah sekarang sudah ada guru prasekolah yang mempunyai kelayakan ijazah pertama dan ijazah kedua mengajar di kelas-kelas prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Meningkatnya status kelayakan guru prasekolah bermakna semakin mendalam ilmu yang dimiliki oleh seseorang guru prasekolah. Pengetahuan atau kemahiran yang diperolehi oleh guru itu membolehkan seseorang guru menggunakan ilmu yang dipelajari untuk mempelbagaikan kaedah dan gaya penyampaian dalam pengajarannya. Oleh itu, murid akan memahami pengajaran yang disampaikan dengan lebih mudah. Hal ini adalah kerana dalam pendidikan prasekolah, guru hendaklah kreatif dalam mempelbagaikan pendekatan, kaedah, serta teknik pengajaran dan pembelajaran agar dapat membantu kanak-kanak memperkembangkan diri, keupayaan, bakat, dan minat kanak-kanak.

Sumber: Tugasan Cikgu Ani bagi memenuhi keperluan Kursus Sarjana Muda Pengajaran Pendidikan Prasekolah KPM-OUM.

Ruang-ruang di Rumah








ruang makan








dapur







ruang tamu









bilik tidur










bilik air

Tema: Rumah Saya

Jenis-Jenis Rumah









Kondominium









Rumah Panjang









Rumah Rakit








Rumah Kampung







Rumah Teres Setingkat







Rumah Teres Dua Tingkat







Rumah Banglo







Pangsapuri

Tempoh P&P di kelas-kelas prasekolah

Seperti yang dinyatakan di dalam Buku Huraian Kurikulum Prasekolah Kebangsaan, peruntukan waktu minimum mengikut Peraturan-Peraturan Pendidikan (Peraturan Prasekolah Kebangsaan) 2002 mengikut Seksyen 24 Akta Pendidikan 1996 ialah tempoh pengajaran dan pembelajaran secara rasmi di kelas prasekolah adalah pada kadar tidak kurang daripada tiga jam sehari selama lima hari seminggu dan jumlah jam seminggu adalah tidak kurang daripada lima belas jam. Perhatian utama hendaklah diberi kepada pelaksanaan Kurikulum Prasekolah seperti yang berikut:


BIL

PERKARA

PERUNTUKAN MASA

1.

Bahasa Melayu bagi kelas prasekolah yang bahasa pengantar bukan Bahasa Kebangsaan

Sekurang-kurangnya dua (2) jam seminggu.

2.

English Language bagi kelas prasekolah yang bahasa pengantar Bahasa Kebangsaan

Sekurang-kurangnya dua (2) jam seminggu.

3.

English Language bagi kelas prasekolah yang bahasa pengantar selain daripada Bahasa Kebangsaan

Sekurang-kurangnya satu (1) jam seminggu.

4.

Pendidikan Islam untuk murid Islam sahaja dan Pendidikan Moral untuk murid bukan beragama Islam

  • Jika di dalam sesuatu prasekolah terdapat lima orang murid atau lebih yang menganut agama Islam, maka murid-murid itu hendaklah diberikan pengajaran agama Islam oleh guru yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Negeri.

  • Jika di dalam sesuatu prasekolah terdapat lima orang murid atau lebih yang bukan beragama Islam, maka murid-murid itu hendaklah diberikan pengajaran Pend.Moral sekurang-kurangnya 2 jam seminggu.

Sekurang-kurangnya dua (2) jam seminggu.



Pemakanan Kanak-kanak

Menurut Prof. Madya Norhashimah Hashim (2004), amalan pemakanan berkhasiat penting untuk kanak-kanak prasekolah kerana kualiti pemakanan mempunyai kesan langsung ke atas pertumbuhan dan perkembangan serta kesihatan kanak-kanak pada masa depan. Peranan guru prasekolah bagi menggalakkan amalan pemakanan yang sihat di kalangan kanak-kanak adalah sangat penting. Hal ini adalah kerana, kanak-kanak perlu mendapat makanan yang berkhasiat, bermutu tinggi dan seimbang. Makanan yang tidak berkualiti akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak.


Menurut Saayah Abu, Surayah Zaidon, dan Siti Saleha samsuri (2006), Objektif program nutrien kanak-kanak adalah merancang khidmat makanan. Ia melibatkan penyediaan dan kelengkapan makanan berat dan ringan yang berkhasiat. Kanak-kanak perlu didedahkan kepada kepelbagaian makanan yang disajikan. Kanak-kanak yang dibekalkan dengan makanan yang berkhasiat, bermutu tinggi dan seimbang didapati mempunyai IQ atau darjah kecerdasan yang tinggi.


Oleh itu, peranan tadika amat penting dalam penyediaan diet yang mengandungi nutrient yang secukupnya. Kanak-kanak patut disediakan makanan yang seimbang kerana kanak-kanak yang sedang membesar amat memerlukan tenaga dalam aktiviti seharian mereka. Tambahan pula, pemakanan seimbang dapat membantu ketahanan badan bagi mengelakkan daripada jangkitan penyakit serta membantu pertumbuhan fizikal dan perkembangan otak yang sihat. Lantaran itu, menu untuk kanak-kanak di tadika hendaklah dirancang terlebih dahulu demi menjaga kualiti makanan yang disediakan dan dihidangkan oleh penyedia makanan.