Followers

Sunday, February 12, 2012

Piramid Makanan Jadi Panduan



Pengambilan makanan harian mengikut keperluan dan bukannya berasaskan selera.


PEMAKANAN yang baik semasa kanak-kanak penting untuk menyokong keperluan anak anda yang sedang membesar. Di samping menambahkan ketinggian dan berat badan, anak-anak juga sangat aktif secara fizikal. Mereka memerlukan tenaga dan nutrien yang mencukupi untuk tumbesaran, memelihara fungsi tubuh dan kesihatan keseluruhan.


Apabila anak anda berinteraksi secara aktif dengan persekitaran dan orang ramai, mereka terdedah kepada pelbagai ancaman kesihatan seperti jangkitan bakteria dan virus. Pemakanan yang baik dapat membantu mengekalkan sistem imun yang kuat serta menggalakkan pemulihan lebih cepat jika jatuh sakit.


Pemakanan yang baik juga penting untuk perkembangan mental kanak-kanak. Otak dan sistem saraf anak anda memerlukan nutrien mencukupi untuk berfungsi secara optimum. Dengan sokongan pemakanan yang baik, anak anda akan lebih bersedia untuk belajar dan cemerlang di dalam akademik.


Bagi mencapai tumbesaran dan perkembangan optimum, anak anda memerlukan pelbagai nutrien untuk pelbagai fungsi, yang boleh didapati daripada diet hariannya.


Karbohidrat

Sumber tenaga terbaik untuk tubuh.


Karbohidrat (seperti kanji, gula) akan dipecahkan kepada glukosa serta digunakan untuk menggerakkan fungsi tubuh dan membekalkan tenaga. Glukosa adalah satu-satunya sumber tenaga untuk otak anak anda.


Sumber karbohidrat kompleks yang baik termasuk beras, gandum, oat, barli dan produk-produk yang diperbuat daripada bahan-bahan ini (seperti mihun, kuetiau, roti, biskut dan bijirin sarapan), dan juga ubi seperti kentang, keledek dan keladi.


Protein

Asas binaan tulang, darah dan otot.


Membaiki, mengganti dan menghasilkan tisu untuk memastikan tumbesaran optimum.
Protein diperbuat daripada asid-asid amino. Tubuh memerlukan 22 asid amino: 14 boleh dihasilkan di dalam tubuh dan lapan mesti diambil daripada makanan (asid amino perlu).


Protein daripada sumber haiwan (seperti ikan, ayam itik, daging, telur, susu dan produk tenusu) dan sumber tumbuh-tumbuhan (seperti kekacang, kacang pea dan lentil).


Lemak

Membekalkan tenaga, vitamin-vitamin larut lemak dan asid-asid lemak penting yang hanya boleh didapati daripada makanan.


Mengekalkan suhu tubuh dan menghasilkan hormon serta sel-sel dalam tubuh.


Sumber lazim adalah minyak masak (seperti minyak sawit, minyak kacang soya). Lemak-lemak tak tepu, seperti daripada ikan, legum, kekacang dan biji-bijian merupakan sumber lemak diet yang baik. Kurangkan pengambilan lemak tepu daripada sumber haiwan seperti ghee, lemak khinzir dan juga kelapa.


Vitamin dan mineral

Mengekalkan tumbesaran dan kesihatan keseluruhan, kerana kedua-duanya menjalankan fungsi-fungsi penting di dalam tubuh.


Diperlukan dalam kuantiti kecil, tidak boleh dihasilkan dalam tubuh dan hanya boleh didapati daripada makanan.


Keperluan boleh dipenuhi dengan memakan pelbagai jenis makanan daripada lima kumpulan makanan dalam piramid makanan.


Air

Mengekalkan keseimbangan cecair tubuh.


Menyerap haba metabolik di dalam tubuh. Berfungsi sebagai medium pengangkutan di dalam tubuh (seperti menghantar nutrien ke organ-organ di dalam tubuh dan menyingkirkan bahan kumuh daripada tubuh).


Amalkan asas pemakanan sihat

Hanya anda yang boleh memastikan anak anda menerima yang terbaik dari segi pemakanan. Anda beruntung kerana ia bukanlah sesuatu yang sukar. Prinsipnya mudah - bekalkan makanan yang betul, pada masa yang betul, serta dalam jumlah yang betul.


Jadikan Piramid Makanan Malaysia sebagai panduan apabila membuat pilihan makanan. Hidangkan makanan daripada kelima-lima kumpulan makanan di dalam piramid tersebut mengikut bilangan hidangan yang disarankan. Jangan lupa untuk mempelbagaikan makanan yang disediakan setiap hari kerana tiada satu jenis makanan yang boleh memenuhi kesemua keperluan pemakanan anak anda. Sentiasa berikan alternatif yang berkhasiat untuk makanan yang anak anda tidak gemari. Contohnya, hidangkan kangkung jika dia tidak gemarkan bayam; berikan ayam jika dia enggan makan ikan. Paling penting adalah memberinya gabungan makanan-makanan berkhasiat yang membekalkan pelbagai nutrien untuk menyokong keperluannya.


Berikut beberapa tip tabiat diet yang baik untuk ibu bapa amalkan di rumah:



  • Pastikan anak anda makan sarapan pagi sebelum ke sekolah. Sarapan yang berkhasiat akan memberinya permulaan hari yang baik, menggerakkan metabolismenya, serta memberikan tenaga untuknya belajar dan bermain di sekolah. Anak anda boleh pilih sarapan pagi yang ringkas seperti segelas susu bersama semangkuk bijirin sarapan atau sandwich tuna. Bagi ibu bapa yang sentiasa terburu-buru pada waktu pagi, cuba rancang dan sediakan bahan ramuan pada malam sebelumnya.



  • Pastikan anak anda mempunyai tiga waktu makan utama dan dua snek setiap hari. Makan snek antara waktu makan akan membantu anak anda bertenaga sepanjang hari. Pilih snek yang berkhasiat, seperti kraker biasa, buah-buahan dan yogurt. Bagaimanapun, jangan ganti waktu makan utama dengan snek. Jangan beri snek kepada anak anda dua jam sebelum waktu makan utama bagi mengelakkan anak anda hilang selera semasa waktu makan utamanya.



  • Sediakan bekalan snek yang berkhasiat (seperti sandwic, buah-buahan potong) untuk anak anda bawa ke tadika atau sekolah. Ini merupakan satu cara memastikan dia makan secara sihat walaupun di luar rumah.



  • Kurangkan menggoreng dalam minyak yang banyak, guna kaedah masak yang sihat seperti stim, kacau goreng, bakar dan panggang. Had penggunaan lemak, gula, garam dan perasa dalam masakan.



  • Beri anak minum susu setiap hari. Jangan berhenti hanya kerana dia telah bersekolah. Galakkan dia minum 6-8 gelas air kosong sehari. Anda juga boleh memberi anak anda sumber cecair lain seperti sup dan jus, sebaik- baik-nya yang rendah lemak dan gula.


Pemakanan yang baik bukan sekadar boleh mencegah masalah berlebihan berat atau kurang berat dalam kalangan kanak-kanak. Ia adalah asas ke arah membentuk kesihatan mereka untuk jangka masa panjang. Jadi tanamlah tabiat makan secara sihat di dalam anak anda daripada kecil, supaya dia akan menikmati tumbesaran dan perkembangan yang optimum, dan juga kesihatan yang baik pada masa hadapan.


PENULIS ialah Pengerusi Ahli Jawatankuasa Pemandu Kebangsaan Bulan Nutrisi Malaysia (NMM).

Sumber: Utusan Malaysia Online 17 April 2011