Followers

Friday, January 11, 2013

PENDEKATAN WALDORF DALAM PENDIDIKAN AWAL KANAK-KANAK

Oleh: Zailani Binti Zakaria
Pendahuluan

Pada masa kini semakin ramai guru dan ibu bapa yang menyedari akan pendidikan Waldorf. Sebagaimana Montessori dan Reggio, Wardolf yang berakar umbi di Eropah telah pun berkembang ke seluruh dunia. Ramai yang tertarik dengan pendekatan ini kerana mereka melihatnya sebagai alternatif kepada pendidikan tradisional dan sebagai ilham untuk meningkatkan mutu pendidikan (Edwards, 2002). Model Pendidikan Waldorf berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak yang bertujuan untuk menggalakkan persekitaran pembelajaran yang sihat kepada kanak-kanak, pembelajaran yang tidak tergesa-gesa dan menyediakan persekitaran pembelajaran yang menggalakkan perkembangan kanak-kanak. Pendidikan Awal Kanak-kanak mengikut Pendekatan Waldorf menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah pusat jagaan kanak-kanak di rumah, kumpulan ibu bapa dan kanak-kanak, program sokongan untuk ibu bapa, dan tadika yang menyediakan program  untuk kanak-kanak berusia antara 3 hingga 7 tahun (Oldfield, 2001). Pendekatan Waldorf diasaskan oleh Rudolf Steiner dan pertama kali dilaksanakan di Jerman.  

Rudolf Steiner dan Falsafah Antropologi

Rudolf Steiner dilahirkan di Austria pada tahun 1861 dan merupakan anak kepada seorang pegawai stesen kereta api. Beliau menghabiskan masa kecilnya di sebuah perkampungan petani di Austria. Rudolf mempelajari matematik, fizik, dan kimia dalam pengajian ijazah pertamanya di sebuah universiti di Vienna dan kemudian menyambung pengajian doktor falsafah di University Rostock.
   Selepas Perang Dunia Pertama, beliau memulakan usaha membangunkan dan mengembangkan ideanya berkenaan ketenteraman sosial di mana usaha gigihnya mendapat sambutan menggalakkan daripada semua pihak. Berdasarkan konsep yang diperkenalkan ini, beliau berpendapat bahawa masyarakat yang sihat perlu saling bergantung dalam  bidang ekonomi yang berkaitan dengan pengeluaran, penerbitan, serta penggunaan tenaga dan perkhidmatan. Dalam bidang politik pula, perkara yang diambil kira ialah mengenai hubungan sosial sesama manusia manakala dalam bidang kerohanian pula pandangannya lebih kepada aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengan kemenjadian manusia. Ketiga-tiga bidang ini saling berkait antara satu sama lain dan yang paling penting ada tolak ansur demi mewujudkan perpaduan dalam masyarakat (Childs, 1991a).
     Malangnya, pada masa itu tiada  sokongan sepenuhnya diberikan  kepada Steiner untuk mengubah cara pemikiran tradisional di Jerman menyebabkan hasrat Steiner terbantut. Walau bagaimanapun, idea-idea beliau dimanifestasikan ke dalam bidang-bidang yang lain. Steiner juga menulis lebih daripada 50 buah buku dan menyampaikan lebih daripada 6000 syarahan yang mewakili dirinya sebagai saintis terkenal, pelukis, ahli falsafah, arkitek, dan pendidik sebelum meninggal dunia pada tahun 1925. Boleh dikatakan, peninggalan beliau  yang paling hebat ialah model pendidikan yang direkabentuk berdasarkan kepada pandangan  falsafah beliau dan teori perkembangan kanak-kanak (Richard, 1980; Steiner, 1982).
        Apa sahaja gambaran daripada falsafah Steiner adalah bermula daripada falsafah antropologi dari Greek; antro bermaksud lelaki dan sophia yang bermaksud kebijaksanaan.Ramai yang berpendapat bahawa antropologi ialah kajian mengenai kombinasi antara kemanusiaan dan kerohanian. Matlamat ilmu antropologi ini ialah untuk menunjukkan kebenaran atau pengetahuan baru, dan bukannya dihasilkan mengikut mana-mana prinsip tertentu yang membuatnya menjadi ortodoks. Keutamaannya adalah untuk mengetahui kebenaran tentang hal-hal kerohanian (Wilkinson, 1996).
           Komponen kedua dalam kajian kemanusiaan sebagaimana yang dikehendaki oleh Steine ialah mengenali diri sendiri iaitu setiap individu itu harus membina kekuatan diri dalam pelbagai bidang. Melalui kajian dan penerokaan mengenai  hal-hal intelektual, usaha-usaha artistik, kraf dan kemahiran tenaga buruh dan meditasi kerohanian, seseorang itu boleh meningkatkan kekuatan dan semangat dalam diri mereka. Sifat semula jadi manusia yang tidak dapat lari daripada menghadapi pengalaman di dunia, tetapi mereka mesti meletakkan diri dalam situasi sebenar dalam satu kedudukan pengasingan  dan tidak menguasai diri mereka (Wilkinson, 1996, p.53). Steiner merasakan bahawa melalui falsafah dan ilmu kemanusiaan, nilai kerohanian, jiwa dan tubuh badan untuk sebuah kehidupan dapat disediakan dan direalisasikan untuk pertumbuhan dan pembelajaran yang berterusan.

Teori Steiner mengenai Perkembangan Kanak-kanak

Steiner sentiasa konsisten dengan kepercayaannya dalam bidang antropologi,  seterusnya mencipta teorinya sendiri berkenaan dengan perkembangan kanak-kanak. Beliau mencadangkan 7 tahun kitaran yang merangkumi aspek perkembangan fizikal dan kerohanian. Dalam tempoh 7 tahun pertama kehidupan, Steiner merasakan bahawa perkembangan kanak-kanak lebih tertumpu pada bentuk fizikal tubuh badan. Mereka meniru orang-orang  dewasa di persekitaran mereka untuk mengenali dunia. Mereka juga melatih diri dengan pekerjaan sebenar melalui bermain dan projek-projek kraf tangan. Serentak dengan itu, perkembangan kerohanian sepatutnya baik berasakan konsep boleh yang digarap oleh Steiner dan dipupuk melalui drama atau simulasi. Tempoh masa tujuh tahun pertama inilah merupakan masa yang penting bagi kanak-kanak untuk meneroka alam fantasi dan imaginasinya.  Pada tahap ini, Steiner berpendapat bahawa pengajaran secara formal sangat tidak sesuai bagi kanak-kanak.
            Dalam kitaran tujuh tahun kedua iaitu lingkungan umur 7 hingga 14 tahun kanak-kanak Kanak-kanak mula sedar tentang dunia sekeliling mereka dan mula memahami arahan serta boleh belajar secara formal . Pada peringkat ini, kanak-kanak mulai memahami akan perasaan dan konsep kerohanian. Hubungan sesama insan juga mulai berkembang pada peringkat ini.
            Peringkat umur 14 hingga 21 tahun yang merupakan kitaran 7 tahun ketiga, manusia  telah mula mencapai tahap akil baligh dalam kehidupan mereka. Mereka mula menggabungkan kepintaran mereka mula berfikir secara abstrak. Perasaan untuk bebas dan berdikari mulai berkembang pada tahap ini dirasai dan pelajar mula meneroka dan berhubungan secara sendirian. Steiner menggariskan 7 tahun kitaran dan karektor-karektor yang bersesuaian mengikut susur galur kehidupan sehinggalah mencapai usia 85 tahun (Wilkinson, 1996).
            Kesimpulannya, bersandarkan kepada teori perkembangan ini menunjukkan Steiner percaya kepada pendidikan. Beliau merasakan bahawa kanak-kanak mesti berkembang secara menyeluruh dari aspek fizikal tubuh badan, jiwa dan kerohanian. Tumpuan hendaklah diberikan kepada mendidik semua kanak-kanak kerana membangunkan kebolehan kanak-kanak adalah lebih penting daripada mengajar kanak-kanak memahami pelajaran. Ini bermakna bahawa mengajar kanak-kanak memahami dan mengenali diri mereka adalah lebih baik daripada  mengajar mereka tentang fakta dan ilmu daripada buku. Steiner juga percaya bahawa pembelajaran yang sesuai  terutamanya untuk peringkat menengah adalah mengikut tahap umur dan peringkat yang telah ditetapkan.

Pendidikan Waldorf mengikut Konteks Sejarah

Steiner akhirnya berpeluang menyampaikan sendiri teori perkembangan dan pandangannya dalam pendidikan pada akhir Perang Dunia Pertama. Selepas Steiner menyampaikan syarahannya di Waldorf-Astoria Cigarette Factory, pemilik kilang tersebut iaitu Emil Molt mula tertarik dengan idea-idea Steiner dan mencadangkan Steiner membuka sebuah sekolah kepada anak-anak pekerja di kilangnya. Steiner menyahut cabaran itu dengan memberikan beberapa syarat iaitu:
  • Sekolah mestilah diuruskan oleh guru dan bukannya pihak pentadbir.
  • Kurikulumnya mestilah berasaskan impian dan cita-cita yang tinggi.
  • Pentingnya untuk mempunyai impian, kebenaran, dan perasaan tanggung jawab terhadap tiga aspek perkembangan sosial.
  • Guru-guru hendaklah dipilih oleh Steiner dan dilatih mereka melalui syarahan dan meditasi kendaliannya.
           Sekolah Waldorf yang pertama dibuka pada tahun 1919 apabila pemilik kilang itu, Emil Molt menerima syarat-syarat yang ditetapkan Steiner. Emil Molt juga menyediakan pembiayaan dan tempat untuk sekolah itu. Sambutan amat menggalakkan selepas beberapa bulan sekolah ini dibuka. Dalam tempoh 20 tahun, lebih daripada 6 buah sekolah Waldorf dibuka di Jerman, 7 buah lagi di negara-negara lain di seluruh dunia. Apabila rejim Nazi menguasai Jerman pada tahun 1939, kerajaan menutup semua sekolah-sekolah Waldorf kerana menganggap sekolah-sekolah tersebut mengajar kanak-kanak diajar berfikir tentang diri mereka sendiri. Sebaik sahaja rejim Nazi  lumpuh, sekolah-sekolah itu dibuka semula dengan semangat baru dan semakin maju.
       Sekolah-sekolah Waldorf adalah berdasarkan kepada budaya Jerman dan berpusatkan murid daripada idea-idea Steiner yang merangkumi 3 bidang pengurusan utama iaitu politik, kerohanian, dan ekonomi. Jerman Selatan secara dasarnya berminat dengan idea-idea Steiner mengenai kebebasan, kesamaan dan persaudaraan. Idea-idea Steiner bukan sahaja menjadi daya tarikan kepada negara Jerman sahaja malahan turut menarik minat kepada pendidik-pendidik di seluruh dunia. Kini, lebih daripada 800 buah sekolah Waldorf dibina di lebih 40 buah negara di seluruh dunia dan lebih daripada 150 buah daripada sekolah-sekolah itu dibina di Amerika Utara. Sebilangan sekolah-sekolah Waldorf ini hanyalah menyediakan pendidikan di peringkat tadika sahaja, dan ada juga yang menyambung pendidikan dari tadika sehingga peringkat gred ke-12 atau gred ke-13.
           
Tadika Waldorf

Tadika Waldorf berbeza dengan tadika-tadika yang biasa kita lihat. Tadika Waldorf menyediakan pendidikan kepada kanak-kanak yang berusia antara tiga hingga enam tahun bersesuaian dengan kitaran 7 tahun pertama sebagaimana yang dinyatakan dalam teori perkembangan Steiner. Kurikulum meliputi permainan imaginatif, cerita-cerita dongeng, cerita rakyat dan cerita-cerita teladan, peniruan, aktiviti-aktiviti seni, aktiviti yang menunjukkan pekerjaan sebenar seperti menjahit, membuat roti, bermain alat muzik, menari, drama dan kesedaran tentang alam semula jadi, serta musim dan kitarannya.
        Steiner berpendapat kanak-kanak pada tahap tadika sedang berusaha mengembangkan fizikal tubuh badan dan apa yang  mereka kehendaki. Oleh itu, aktiviti yang dijalankan tidak memerlukan suasana akademik dan lebih kepada hands-on. Menurut Steiner, Banyak peluang akan wujud semasa aktiviti dijalankan di tadika dan beliau percaya itu akan mengembangkan lagi kehendak kanak-kanak. Alat mainan di tadika juga hendaklah dalam bentuk yang biasa  'open ended' bagi menggalakkan imaginasi kanak-kanak berkembang dengan sempurna. Selain itu, objek di dalam kelas kebanyakannya bahan semula jadi seperti buah labu, ranting, "pinecones & pebbles' dan sebagainya.
     Tadika Waldorf tidak mengamalkan pengajaran formal dan  dibentuk supaya ada kesinambungan dengan suasana di rumah. Apa yang lebih penting ialah kurikulum yang dibina adalah dapat menyediakan asas perkembangan yang baik dan menyumbang kepada kegembiraan dan kesihatan jangka panjang dan lebih-lebih lagi kepada perkembangan kanak-kanak secara menyeluruh.

Sekolah Bergred Waldorf

Setelah berusia 7 tahun, kanak-kanak akan meneruskan tahap persekolahan  di gred dua hingga lapan. Dalam tempoh masa kitaran 7 tahun kedua ini kanak-kanak masih lagi bersama guru dan rakan-rakan pelajar dari kelas yang sama. Tujuannya adalah untuk memberikan kanak-kanak hubungan  yang berkekalan dan membentuk persekolahan yang konsisten kepada kanak-kanak. Ia juga sebagai salah satu cara bagi mengelakkan guru menjadi lembap atau pasif. Maka, guru dan murid akan bersama-sama dalam tempoh tujuh tahun kedua sehinggalah murid itu melalui peringkat tumbesaran.
            Berdasarkan kepada teori Steiner, Kanak-kanak pada tahap kedua ini telah bersedia untuk belajar subjek-subjek akademik. Mereka telah mempunyai asas-asas pendidikan yang cukup daripada pengalaman mereka di tadika sebelum ini. Kesedaran mereka mengenai dunia luar juga telah berkembang dengan baik. Nilai-nilai kerohanian dan perasaan juga telah berkembang dengan baik. Bidang-bidang akademik yang biasa seperti  membaca, menulis, kemahiran-kemahiran bahasa, matematik, geografi, sejarah dan sains akan diajar oleh guru supaya  kanak-kanak dapat menerokai ilmu dan  mahir dalam bidang-bidang tersebut.
            Mengikut jadual harian di sekolah Waldorf, setiap pagi guru akan menyambut kedatangan murid dan  memberi ucap selamat dan kata-kata pujian supaya murid-murid bersemangat untuk meneruskan pembelajaran. Kemudian semua kelas akan berkumpul untuk menjalankan sesi pagi. Pembelajaran utama bermula dalam tempoh masa 2 jam. Kelas ini akan menggunakan pelbagai pendekatan bukan setakat syarahan sahaja tetapi juga  pelbagai aktiviti yang sesuai dengan jadual kurikulum pada hari tersebut akan dijalankan. Pada waktu tengah hari kanak-kanak diberi peluang untuk menyertai aktiviti yang kurang akademik seperti seni, muzik dan aktiviti praktikal. Mata pelajaran yang sama mungkin akan diterokai selama 3 – 4 minggu sebelum mata pelajaran  baru diperkenalkan.

Latihan Guru Waldorf

Oleh sebab falsafah Waldorf diuruskan dengan baik dan kandungannya juga merangkumi pelbagai komponen terancang, maka guru-guru Waldorf perlu dilatih agar memahami  falsafah dan teori bagaimana cara  untuk mengaplikasikan  idea-idea tersebut dengan cara yang betul di dalam kelas.Kini terdapat lebih 50 sekolah latihan sepenuh masa di seluruh dunia di mana sekurang-kurangnya 8 daripadanya di Amerika Syarikat. Salah satu Kolej Latihan Rudolf Steiner terletak di California, Amerika Syarikat. Kolej ini menawarkan pelbagai program dan kursus-kursus untuk melatih  guru, pendidik guru, pengikut-pengikutnya, dan sesiapa sahaja yang berminat dengan Steiner dan  teorinya.

Ciri-ciri Program Waldorf
Mewujudkan  Masyarakat Penyayang dalam Kalangan Pelajar
Pendekatan Waldorf  dalam pendidikan awal kanak-kanak mengandungi unsur-unsur kemasyarakatan. Rudolf Steiner telah membincangkan secara terperinci perkara-perkara penting mengenai persekitaran fizikal, kumpulan umur, perancangan aktiviti, jadual dan hubungan sosial dalam program ini. Antara elemen-elemen yang terdapat di Tadika Waldorf ialah:
  •  Kepekaan kanak-kanak kepada persekitaran.
  •  Kepentingan bermain dan peniruan.
  •  Faedah daripada kumpulan pelbagai umur.
  •  Mewujudkan ritma dan rutin.
               Kelas Waldorf dibentuk seperti di rumah sebagai kesinambungan antara sekolah dan rumah. Menurut Waldorf, kanak-kanak sangat sensitif dengan persekitarannya. Mereka berupaya menyerap semua pengalaman pembelajaran melalui lima deria. Oleh itu, guru mestilah bijak melakukan susun atur dan reka bentuk dalam dan luar kelas yang akan digunakan oleh kanak-kanak. Selain itu, keindahan dan keceriaan  di dalam kelas juga  memainkan peranan untuk menarik minat kanak-kanak. Warna memainkan peranan yang amat penting, contohnya warna yang garang akan memberikan rangsangan yang terlebih manakala warna yang lembut akan memberikan rasa selesa dan tenang. Oleh kerana itu, Steiner mencadangkan supaya kelas bagi kanak-kanak perlulah dengan warna kosong yang lembut tanpa dihiasi dengan sebarang tampalan kertas dinding. Suasana menarik yang ringkas seperti perabot kayu dengan warna asli, langsir daripada natural fiber dan mainan buatan tangan menjadi keutamaan. Keadaan ini bagi membolehkan kanak-kanak meningkatkan imaginasi dengan keadaan yang tenang dan selesa. 

Pengajaran untuk Mempertingkatkan Perkembangan dan Pembelajaran
Terdapat beberapa kepercayaan  yang didokong oleh guru-guru Waldorf berkaitan dengan pendidikan awal kanak-kanak iaitu:
  • Hormat-menghormati, keterujaan dan dilindungi. 
  • Menghormati dan memandang tinggi kepada kanak-kanak.
  • Menyediakan persekitaran yang menarik dan responsif.
  • Hubungan kanak-kanak dengan pengalaman deria.
  • Kerjasama sesama rakan sebaya.
  • Kanak-kanak belajar melalui pengalaman.
  • Sikap bertanggung jawab dan menjaga keselamatan diri.
      
     Membina Kurikulum yang Sepadan dan Sesuai 
  • Memupuk  pemikiran kanak-kanak bermula dari minda, hati,  sosial, emosi, kerohanian, moral,fizikal dan intelektual kanak-kanak.
  • Mempertingkatkan perkembangan secara holistik dari aspek:
    • Perkembangan kerohanian
    • Perkembangan fizikal
    • Perkembangan intelektual
    • Mengekalkan integriti intelektual.
  • Menggabungkan pelbagai variasi dalam aspek disiplin  
  • Merangkumi kepelbagaian budaya
Menaksir Pembelajaran Kanak-kanak
  • Tiada lagi pendekatan tradisional dalam  penaksiran.
  • Membina hubungan yang baik sesama ahli keluarga.
  • Kebebasan untuk melangkah ke hadapan.
  • Melihat kanak-kanak sebagai individu yang bernilai.
  • Pemerhatian untuk melihat perkembangan kanak-kanak. 

Sumber Rujukan:


Roopnarine, J.L. & Johnson, J.E. 2005. Approaches to Early Chilhood Education. 4th edition. Ohio: Prentice Hall.