Followers

Sunday, November 22, 2009

Lebih 3 peratus kanak-kanak tidak dapat pendidikan formal

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unicef) mendapati, tiga hingga empat peratus kanak-kanak di negara ini tidak mendapat pendidikan formal di sekolah.

Wakil Unicef ke Malaysia, Yousouff Oomar berkata, pihaknya tidak mengetahui punca kanak-kanak berkenaan tidak mendapat hak untuk menikmati alam persekolahan.

Pada masa sama, pihaknya juga tidak pasti golongan atau kaum mana yang paling banyak menghadapi masalah tersebut.

"Apa yang saya fikirkan, tiga hingga empat peratus ini mungkin daripada golongan Orang Asli atau penduduk di kawasan pedalaman yang tiada kemudahan asas.

"Kanak-kanak yang tiada status kerakyatan juga menghadapi masalah sama kerana sukar untuk mendapatkan surat beranak dan mendaftarkan diri di sekolah," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri forum sempena ulang tahun ke-20 Konvensyen Hak Kanak-Kanak yang dirasmikan isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali di sini hari ini.

Aktivis masyarakat, Datin Paduka Marina Mahathir; Presiden Majlis Peguam Negara, Ragunath Kesavan dan Yousouff menjadi penceramah pada majlis tersebut.

Malaysia mempunyai kira-kira 40 peratus kanak-kanak daripada jumlah keseluruhan penduduk.

Yousouff menambah, pihaknya sedang mengenal pasti punca-punca keciciran kanak-kanak terbabit dan bekerjasama dengan Majlis Peguam bagi membanteras masalah berkaitan.

Dalam pada itu, Marina berkata, Kementerian Pelajaran harus memberi fokus kepada usaha memberi hak pendidikan sama rata kepada semua kanak-kanak di Malaysia.

"Kita harus terpanggil membantu kanak-kanak untuk mendapatkan hak mereka demi mengharungi masa depan yang penuh cabaran," katanya.

Dalam pada itu, Emi Eriza Jasut, 16, daripada keluarga Orang Asli yang ditemui dalam forum tersebut berkata, dia sangat bernasib baik kerana berpeluang bersekolah walaupun lahir dalam keluarga Orang Asli.

Menurutnya, dia bercita-cita menjadi doktor haiwan atau memegang jawatan tinggi dalam kerajaan dan ingin mengubah corak kehidupan Orang Asli.

"Kebanyakan masyarakat Orang Asli masih tidak peka mengenai kepentingan pelajaran.

"Saya dan adik beradik sangat bertuah kerana bapa kami sangat mementingkan pelajaran demi masa depan kami," katanya.

Sementara itu, Faezlan Angah, 13, juga daripada keluarga Orang Asli berkata, dia bercita-cita menjadi doktor untuk memberi rawatan percuma kepada masyarakat Orang Asli.

Katanya, dia juga akan memberi pendedahan mengenai kepentingan pendidikan kepada golongan itu pada suatu hari nanti.

Utusan Malaysia: 21 November 2009