Followers

Sunday, March 22, 2009

Susu dan Prestasi Mental Kanak-kanak

SUSU telah sekian lama diketahui mempunyai nutrien penting untuk pembesaran badan dan minda kanak-kanak dan juga sebagai satu sumber kalsium untuk tulang.

Susu juga menjadi sumber nutrien asas yang lengkap dari ibu kepada anak, untuk pelbagai spesies hidupan.

Susu (terutamanya susu ibu) turut diperakui memberi perlindungan imuniti melalui pemindahan antibodi dan komponen-komponen lain.

Dari segi komersial, susu juga banyak digunakan dalam menghasilkan bermacam produk termasuklah keju, yogurt, aiskrim dan coklat.

Bagaimanapun, tidak banyak penyelidikan dijalankan terhadap fungsi nutrien susu secara menyeluruh dalam pembesaran fizikal dan mental.

* Penyelidikan

Dalam usaha memahami dan mengesahkan kesan pengambilan susu kepada perkembangan mental dan fizikal kanak-kanak, Dutch Lady Milk Industries (M) Berhad (Dutch Lady Malaysia) dan Fakulti Sains Perubatan dan Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM) akan bekerjasama dalam satu penyelidikan yang dijangka mengambil masa antara enam hingga lapan bulan.

Dengan kos kira-kira RM500,000, kajian ini akan bertumpu kepada perkembangan mental kanak-kanak prasekolah Malaysia yang berumur sekitar lima tahun.

Prestasi mental adalah satu istilah bagi mendefinisikan memori lisan, memori ruang, waktu reaksi, kebolehan mengingati nombor dan gambar, serta kebolehan memfokus atau menumpukan perhatian.

Bagi kanak-kanak berumur lima tahun, kebolehan-kebolehan tersebut dikira sebagai sesuatu yang penting bagi membantu perkembangan memori dan mempraktikkan apa yang diajar atau dikatakan sebelum itu.

Kajian berkenaan akan dijalankan menggunakan alatan perisian khas yang direka oleh Cognitive Drug Research, sebuah institusi penyelidikan antarabangsa terkemuka di United Kingdom, dan dikendalikan Jabatan Nutrisi dan Ilmu Kaji Diet UPM.

Hasil kajian itu kelak akan dijadikan satu sumber asas maklumat saintifik tempatan yang dapat menunjukkan kesan dan perbezaan perkembangan mental berbanding negara lain, hasil pengambilan nutrien susu.


* Keutamaan nutrisi

Pengarah Urusan Dutch Lady Malaysia, Hans Laarakker menegaskan syarikat berkenaan bukan hanya menumpukan kepada pengeluaran produk tenusu malahan sebagai usaha meningkatkan kepakaran keperluan nutrisi kanak-kanak.

"Produk kami berkisar sekitar kesihatan dan juga nutrisi. Oleh itu, penekanan diberikan untuk menyampaikan nutrien lengkap untuk pembangunan mental dan fizikal kanak-kanak.

"Bagi menggariskan komitmen kami kepada pengguna, produk yang dikeluarkan adalah untuk perkembangan yang menyeluruh pengguna, dengan sihat dan kuat," katanya.

Menurut beliau, kerjasama dengan UPM itu diharapkan dapat mencapai komitmen kepakaran nutrisi Dutch Lady Malaysia selepas lebih 50 tahun bertapak di Malaysia.

Selain mementingkan kebersihan produk tenusu di pasaran, kajian nutrisi produk terbabit dilihat sebagai sesuatu yang penting dalam memastikan kanak-kanak dibekalkan dengan sumber nutrien yang cukup dan lengkap sepanjang tempoh pembesaran mental dan fizikal mereka.

Laarakker berharap hasil kajian berkenaan dapat membantu meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan nutrisi, terutamanya untuk kanak-kanak yang sedang membesar.

"Sebelum ini kita banyak bergantung kepada penemuan penyelidikan di Barat yang mungkin kurang sesuai untuk diambil kira untuk senario tempatan.

"Ianya juga bagi memenuhi tanggungjawab kami dalam menyediakan fakta nutrisi, nilai kesihatan dan keselamatan produk yang dipasarkan," tegas beliau.

Dengan itu katanya, pengguna akan mendapat kepastian maklumat yang disampaikan bukan atas dasar dakwaan kosong tetapi hasil fakta penyelidikan saintifik yang boleh dipercayai.

Penyelidikan dalam persekitaran tempatan ini diharapkan dapat meningkatkan pemahaman orang ramai mengenai kesan pengambilan susu terhadap perkembangan minda kanak-kanak.

Selain itu, maklumat yang diperolehi diharap dapat memberi pilihan kepada ibu bapa dalam memberikan sumber nutrien yang seimbang, lengkap dan selamat untuk tempoh pembesaran anak-anak mereka kelak.

Sumber: Mingguan Malaysia: Kesihatan ( Ahad, 22 Mac 2009 )

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.