Followers

Tuesday, November 03, 2009

4,194 kelas baru

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kementerian Pelajaran menjangkakan penyertaan murid berusia lima tahun untuk mengikuti pendidikan prasekolah meningkat kepada hampir setengah juta dan merancang membina 4,194 kelas prasekolah baru menjelang 2012.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin , berkata kadar penyertaan kanak-kanak kohort berusia lima tahun dalam prasekolah kerajaan dan swasta tahun ini 67 peratus.

“Menjelang 2012 Kementerian Pelajaran mensasarkan kadar penyertaan akan meningkat kepada 87 peratus iaitu peningkatan 20 peratus.

“Dari segi bilangan murid, dijangkakan seramai 447,556 murid akan mengikuti prasekolah pada 2012 berbanding 342,706 murid pada 2009 iaitu peningkatan sebanyak 104,850 murid,” katanya, ketika menjawab soalan lisan Abd Rahman Bakri (BN-Sabak Bernam) mengenai langkah diambil kerajaan untuk menjadikan prasekolah sebagai sebahagian daripada sistem pendidikan negara, di Dewan Rakyat, di sini, semalam.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran, berkata Akta Pendidikan 1996 menjelaskan prasekolah adalah sebahagian daripada sistem pendidikan kebangsaan dan kerajaan melaksanakan pelbagai langkah menjadikan sistem pendidikan terus relevan dan mencapai matlamat.

Katanya, di samping pendidikan memberi pengalaman pembelajaran yang holistik dalam aspek intelek, rohani, jasmani dan emosi seperti termaktub dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan, tumpuan juga untuk memantapkan kemahiran berbahasa serta pembentukan sahsiah positif kanak-kanak.

“Bagi mencapai hasrat terbabit, semua prasekolah sama ada tajaan kerajaan atau swasta diwajib menggunakan satu kurikulum yang sama iaitu Kurikulum Prasekolah Kebangsaan yang dikuatkuasa sejak 2003,” katanya.

Menurutnya, bagi mencapai sasaran dan matlamat itu, beberapa strategi menyeluruh dirancang untuk dilaksanakan, termasuk menambahbaik kurikulum prasekolah sedia ada dan cadangan waktu interaksi dalam bahasa Inggeris sebanyak 50 peratus.

“Menjelang 2012 sebanyak 4,194 kelas prasekolah baru akan dibina; latihan kepada guru Kementerian Pelajaran dan swasta melalui pelbagai kaedah latihan seperti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan Kursus Peningkatan Profesionalisme berterusan,” katanya.

Sumber: http://www.hmetro.com.my/Current_News/myMetro/Tuesday/Setempat/20091103073837/Article/index_html

Harian Metro Online: 3 November 2009

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.