Followers

Monday, December 07, 2009

Kementerian Pelajaran teliti sesi persekolahan 2010

PUTRAJAYA 30 Nov. - Kementerian Pelajaran melakukan penelitian secara dekat membabitkan persiapan menghadapi sesi baru persekolahan pada tahun depan.

Ini bagi memastikan semua isu berhubung penggal persekolahan dapat ditangani sebelum sesi persekolahan 2010 bermula.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Penggal Persekolahan 2010 dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Menteri Pelajaran di sini hari ini

Menurut kementerian itu, jawatankuasa tersebut memperincikan semua isu berkaitan persekolahan dan mengambil tindakan proaktif bagi menyelesaikannya.

"Segala isu melibatkan pelbagai aspek seperti infrastruktur, perabot, peralatan, penempatan guru, bayaran tambahan dan banjir.

"Komitmen kementerian adalah memastikan kemudahan asas untuk setiap murid iaitu satu set meja dan kerusi serta sat set buku teks bantuan disediakan pada hari pertama persekolahan," kata kenyataan yang dikeluarkan pada mesyuarat berkenaan di sini.

Sesi persekolahan tahun depan bermula pada 3 dan 4 Januari 2010.

Hadir sama pada mesyuarat tersebut ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom, Pengarah-Pengarah Pelajaran Negeri dan ketua-ketua jabatan di kementerian itu.

Kenyataan itu menyebut, isu-isu yang mungkin timbul semasa sesi persekolahan 2010 dikenalpasti oleh Jawatankuasa Petugas Khas Penggal Persekolahan yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Operasi Pendidikan), Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim.

"Jawatankuasa itu telah mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu atau boleh diambil bagi mengatasi dan mengurangkan masalah yang mungkin timbul pada hari pertama persekolahan.

"Ini mengunakan instrumen Pangkalan Data Laporan Akhir Tahun (dBLAT)," katanya.

Sumber: Utusan Malaysia Online 1/12/2009

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.