Followers

Friday, January 01, 2010

Asrama Prasekolah Pertama Negara Di Semporna

SEMPORNA, 12 Sept (Bernama) -- Sebuah asrama pendidikan prasekolah bernilai RM2 juta untuk menempatkan murid miskin dari pulau-pulau sekitar Semporna akan dibina tahun depan, kata Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata apabila siap kelak, asrama berkenaan yang pertama seumpamanya di negara ini, akan menempatkan sehingga 80 murid prasekolah pada satu-satu masa.

"Penyediaan kemudahan asrama berkenaan adalah salah satu usaha bagi menyediakan peluang pendidikan kepada anak-anak pulau ini supaya mereka memperolehi pendidikan seperti rakan mereka di bandar.

"Kita tahu ramai ibu bapa sukar menghantar anak-anak mereka ke prasekolah kerana ada pulau yang agak jauh dan perlu menaiki bot serta mengambil masa agak lama untuk keluar dari pulau berkenaan.

"Untuk memudahkan anak-anak mereka mendapat pendidikan prasekolah, kita bina asrama ini yang bernilai RM2 juta. Kita melihat di sini ada keperluannya. Insya-Allah di tempat-tempat lain juga kita akan lihat sama ada wujud keperluannya, namun ini juga perlu diimbangi dengan kemampuan kita dari segi kewangan," katanya.

Shafie berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan bantuan kepada 175 ketua isi rumah miskin tegar melalui Program Tambahan Makanan Seimbang (PTMS) peringkat Daerah Semporna di sini pada hari Sabtu.

Menurutnya, asrama berkenaan akan berfungsi seperti asrama biasa dengan menyediakan pelbagai kemudahan seperti makanan, kemudahan pembelajaran serta kemudahan tuisyen kepada penghuninya.

Katanya ibu bapa murid yang ditempatkan di asrama yang dilengkapi dengan penjaga berkenaan, digalakan melawat anak-anak mereka setiap minggu untuk mengetahui perkembangan anak masing-masing.

Shafie juga berkata Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) yang terletak di bawah kementeriannya akan mewujudkan Pusat Infodesa di Semporna bagi memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak luar bandar terhadap Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Katanya kos pembinaan pusat yang bakal dibekalkan dengan 25 unit komputer itu ialah sebanyak RM1 juta dan apabila beroperasi kelak, ia akan memudahkan kanak-kanak luar bandar untuk mengakses dengan kemudahan berkenaan.

Mengenai PTMS, Shafie berkata ia merupakan satu program untuk membekalkan makanan berzat kepada kanak-kanak luar bandar yang ibu bapa mereka terdiri daripada golongan miskin tegar.

Katanya di Sabah, kementeriananya memperuntukan RM1.9 juta tahun ini untuk membekalkan makanan berzat kepada 2,775 penerima yang layak.

-- BERNAMA

Sumber: BERNAMA.COM, 12 September, 2009 21:46 PM

1 comment:

  1. Hebat tul.. budak2 pra dah duduk asrama. Fuh.. berat tugas warden tu.

    ReplyDelete

Note: Only a member of this blog may post a comment.