Saya Suka Blog ini

Tuesday, March 01, 2011

Berita Harian Online | Jadual kerja anjal guru elak beban tugas lebih

Oleh Syuhada Choo Abdullah


2011/02/28

KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran melaksanakan waktu persekolahan satu sesi dari jam 8 pagi hingga 4 petang dengan memperkenalkan jadual kerja anjal untuk guru supaya tidak menanggung beban kerja berlebihan.

Pengerusi Panel Penasihat Sekolah Kluster Kecemerlangan, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, berkata jadual persekolahan selama lapan jam itu dapat memenuhi waktu harian pelajar secara berkualiti, selain mengelakkan mereka daripada terjebak dengan gejala sosial.
Melalui pelaksanaan itu, beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, pentadbiran sekolah boleh menyusun pelbagai aktiviti berfaedah untuk mengisi jadual waktu petang setiap hari tanpa membebankan pelajar dengan pembelajaran akademik semata-mata.“Antaranya, pelajar boleh menjalani aktiviti sukan dan kokurikulum, menyiapkan kerja rumah di bawah bimbingan dan pemantauan guru, mengikuti kelas tambahan bagi melonjakkan prestasi pencapaian mereka atau memasuki kelas pemulihan untuk mereka yang memerlukan bantuan.

“Malah, pihak sekolah juga boleh mengadakan pelbagai aktiviti kemahiran menarik pada sebelah petang seperti kelas seni untuk pelajar dalam aliran sains bagi menggalakkan lagi daya kreativiti.

“Dari segi jadual kerja anjal untuk guru, disarankan sebahagian daripada mereka bertugas mulai jam 8 pagi hingga 1 tengah hari, manakala bakinya dari jam 11 pagi hingga 4 petang ,” katanya selepas menghadiri Forum Pendidikan Nasional bertema ‘Transformasi Pendidikan Nasional Hadapi Cabaran Pembangunan Ekonomi dan Perubahan Politik’ anjuran Majlis Perundingan Melayu (MPM) di sini, semalam.

Abdul Rahman berkata, 70 peratus sekolah di negara ini sudah menjalankan sekolah satu sesi tetapi waktu persekolahan hanya dari jam 7.30 pagi hingga 1.30 tengah hari menyebabkan ada pelajar mengambil kesempatan ruang masa selepas itu terjebak dengan gejala sosial kerana ibu bapa bekerja.
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan supaya guru permulaan diberi tempoh percubaan selama enam bulan di sekolah bagi memastikan kesesuaian sebenar mereka untuk menjadi pendidik dan jika tidak, wajar dicadangkan mereka mencari kerja lain.

No comments:

Share it

Related Posts with Thumbnails