ALOR GAJAH 13 Mei – Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Ke-39 yang disambut Ahad ini membawa makna tersendiri kepada seorang bekas guru, Sharifah Hashim. Sharifah, 75, boleh berbangga kerana salah seorang murid yang dididiknya semasa mula menjadi guru pada usia 15 tahun kini menjadi pemimpin di negeri ini.
Ketika menjadi guru kelas 1B, Sekolah Umum Bukit Rambai (kini Sekolah Kebangsaan Bukit Rambai) pada 1957, salah seorang anak muridnya ialah Yaakub Md. Amin yang kini bergelar Datuk dan berjawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Sains dan Teknologi dan Sumber Manusia negeri.
Sharifah berkata, sebagai seorang guru tiada perkara yang lebih menggembirakan selain melihat kejayaan anak-anak didiknya.
Mengimbau kembali kenangan mengajar pada tahun negara mencapai kemerdekaan itu, Sharifah berkata, Yaakub, 60, yang mesra dengan panggilan Akub merupakan pelajar pintar di dalam kelasnya.
“Walaupun dia bertubuh paling kecil di dalam kelas, Akub seorang murid yang pintar dan sering mendapat pujian guru-guru.
“Saya menjadi guru kelasnya yang pertama ketika darjah satu dan Akub memang selalu mendapat nombor satu sehinggalah darjah lima sebelum berpindah ke sekolah lain ketika darjah enam,” katanya.
Sharifah ditemui selepas menerima kunjungan Yaakub di rumahnya di Kampung Permatang, Kuala Sungai Baru di sini hari ini.
Turut menyertai lawatan itu ialah Pegawai Pelajaran Daerah Alor Gajah, Kasim Mohamad; timbalannya, Abu Bakar Awang dan Ketua Unit Perhubungan Pendaftaran Jabatan Pelajaran negeri, Zubir Mohd. Noor.
Menariknya pada kunjungan itu, Yaakub membawa bersama Buku Kenyataan Murid Sekolah Umum Bukit Rambai yang disimpannya sejak 53 tahun lalu dan mempunyai komen Sharifah yang menjadi guru kelas pertamanya.
Sambil membelek buku tersebut, Sharifah yang kali terakhir mengajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tengah sebelum pencen pada 1989, kelihatan terharu sehingga hampir menitiskan air mata kegembiraan.
“Saya tidak sangka ia masih ada dalam simpanan dan sungguh berbangga mempunyai anak didik yang berjaya dan dapat berbakti kepada masyarakat,” katanya gembira.
Puad Zakashi (dua dari kiri) hadir pada Majlis bacaan Yassin dan solat hajat bagi sambutan hari guru ke-39 peringkat kebangsaan di Masjid Negara, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR 13 Mei - Kementerian Pelajaran malam ini buat pertama kalinya mengadakan majlis solat hajat, bacaan Yasin dan tahlil sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 Ahad ini.
Majlis yang diadakan di Masjid Negara itu dihadiri oleh Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi dan Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom.
Turut hadir 1,000 orang yang terdiri daripada pegawai kanan kementerian dan guru sekitar Lembah Klang.
Majlis tersebut dimulakan dengan solat Maghrib secara berjemaah yang diimamkan oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad dan diikuti solat Hajat, bacaan Yasin dan tahlil.
Para jemaah kemudiannya mendengar ucapan Alimuddin dan juga bacaan ayat-ayat suci al-Quran yang disampaikan oleh Qari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Mujahidin Syahid Nasrudin sebelum menunaikan solat Isyak.
Alimuddin dalam ucapannya, melahirkan penghargaan kepada semua kakitangan kementerian yang menghadiri majlis tersebut.
Beliau juga berharap majlis terbabit dapat dijadikan sebagai acara tahunan.
Hari Guru disambut pada setiap 16 Mei dan sambutan kali ke-39 tahun ini akan diadakan di Universiti Malaysia Pahang, Kuantan, Pahang.
Ia akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Tema Hari Guru pada tahun ini ialah Guru Pembina Negara Bangsa.
Guru-guru yang mengajar di pedalaman menaiki bot penambang ketika berbelanja di bandar dan pulang dari bercuti ke sekolah masing-masing di pedalaman Hulu Tembeling, Jerantut baru-baru ini.
GURU merupakan golongan yang memainkan peranan penting dalam masyarakat sejak zaman memperjuangkan kemerdekaan.
Selepas negara mencapai kemerdekaan, peranan guru kekal penting seiring dengan pembangunan negara sehinggalah ke hari ini.
Pengiktirafan kepada golongan pendidik, dapat dilihat menerusi peruntukan besar untuk sektor pelajaran negara dalam bajet yang diumumkan pada setiap tahun.
Kerajaan sentiasa memberikan perhatian kepada kebajikan golongan guru seperti kenaikan gaji serta pangkat, isu mengajar di pedalaman dan yang terbaru penubuhan jawatankuasa untuk mengkaji beban tugas guru yang kini di peringkat akhir.
Namun, suara warga pendidik yang tidak berpuas hati masih tetap kedengaran. Rasa tidak puas hati golongan ini dapat diketahui melalui surat yang dihantar kepada ruangan Forum Utusan Malaysia atau kenyataan yang dikeluarkan kesatuan guru.
Rungutan yang sering dibangkitkan oleh golongan guru ini pernah juga ditegur oleh pihak lain supaya bersyukur dengan jawatan dan faedah yang diberikan.
Itu antara senario profesion perguruan negara, warga pendidik sering membangkitkan masalah sementara golongan ibu bapa mahukan anak-anak mereka menerima pendidikan berkualiti di sekolah.
Pada 16 Mei ini, negara menyambut Hari Guru bagi menghargai peranan golongan ini dalam pembangunan negara.
Tema bagi sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah 'Guru Pembina Negara Bangsa.'
Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada 16 Mei 1956 Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) menerima cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran negara.
Dokumen yang dikenali sebagai Laporan Razak itu kemudiannya menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan.
Sejak 16 Mei 1972, Hari Guru disambut di seluruh negara sebagai penghormatan dan pengiktirafan kepada profesion perguruan.
Sambutan berkenaan juga bertujuan mengenang jasa dan pengorbanan para guru dalam mendidik anak-anak untuk menjadi insan yang berjasa kepada bangsa dan negara.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tugas dan tanggungjawab sebagai seorang guru merupakan satu tugas yang mulia.
''Saya mengucapkan 'Terima Kasih Cikgu' di atas segala usaha dan kesungguhan yang telah diberikan dalam melaksanakan tanggungjawab dan memikul amanah rakyat. Saya amat memahami bahawa tugas mendidik merupakan satu tugas yang berat dan mencabar.
''Jasa dan pengorbanan para guru akan terpahat dalam ingatan dan akan tetap dikenang sepanjang hayat," katanya dalam perutusan Hari Guru 2010 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran baru-baru ini.
Jelas Muhyiddin, warga pendidik tidak harus berpuas hati dengan apa yang telah dicapai tetapi perlu meningkatkan usaha untuk melonjakkan sistem pendidikan negara supaya setanding dengan negara maju dan bertaraf dunia.
''Guru-guru perlu memberikan komitmen yang tinggi dalam memastikan kejayaan murid. Selain bertanggungjawab mengajar dan mendidik, guru turut berada di saf hadapan untuk menyemai dan memupuk perpaduan, semangat patriotisme, menyampaikan ilmu pengetahuan dan kemahiran serta membentuk akhlak dan jatidiri murid," katanya.
Tambah beliau, guru-guru perlu berupaya mewujudkan ciri-ciri pengajaran dan pembelajaran yang kreatif dan inovatif supaya budaya inovasi dan kreativiti dapat dipupuk dalam diri murid-murid.
''Guru-guru perlu sentiasa meningkatkan ilmu dan kemahiran yang diperlukan sebagai seorang guru untuk membolehkan mereka memberikan perkhidmatan yang bermutu setiap masa. Ingatlah bahawa peranan kita sentiasa dinilai oleh masyarakat.
''Guru juga perlu memelihara akhlak dan budi pekerti supaya terus dihormati dan menjadi model kepada masyarakat. Kerajaan akan terus memartabatkan profesion keguruan melalui Pelan Penambahbaikan Sekolah dan insentif di bawah Sistem Tawaran Baru kepada kepimpinan sekolah dan guru-guru," jelas Muhyiddin.
Sementara Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom pula menyarankan supaya, golongan pendidik melakukan muhasabah diri sempena sambutan Hari Guru yang ke-39 pada tahun ini.
''Saya berharap warga pendidik dapat melihat kembali sumbangan yang diberikan kepada negara dan mengukuhkan azam untuk meningkatkan prestasi. Semangat ini perlu dimiliki oleh para guru supaya pendidikan negara mampu menjadi lebih cemerlang dalam memacu Malaysia menjadi sebuah negara maju," katanya.
Alimuddin berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan 2010 di Kementerian Pelajaran, Putrajaya baru-baru ini.
Jelas beliau, sumbangan para guru pada hari ini adalah sangat bermakna kepada pembangunan negara tidak kiralah di mana seseorang guru itu bertugas sama ada di sekolah-sekolah bandar mahupun di kawasan pedalaman.
''Guru diperlukan di mana-mana tidak kira di pedalaman atau luar bandar. Ini kerana pendidikan adalah untuk semua pelajar di seluruh negara.
''Walau di mana pun seorang guru itu bertugas mereka perlu memberikan khidmat pendidikan yang berkualiti dan yang terbaik kepada pelajarnya," katanya.
Semoga sambutan Hari Guru pada tahun ini mampu menyuntik semangat kepada warga pendidik untuk lebih komited dalam melahirkan modal insan cemerlang dan menyemai sifat positif kepada bakal pemimpin negara tanpa mengira tempat dan cabaran yang perlu diharungi.
KUALA LUMPUR 4 April - Jawatankuasa khas yang ditubuhkan bagi mengkaji beban guru di seluruh negara masih lagi di peringkat perbincangan bagi menentukan anggota dan bidang kuasanya.
Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom yang mempengerusikan jawatankuasa tersebut berkata, selepas perkara itu diputuskan, pihaknya akan membentangkan kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Kita akan tentukan dahulu siapa anggota jawatankuasa tersebut, bidang kuasanya serta perangkaan kasar tindakan yang diambil kepada menteri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Penubuhan dan Mesyuarat Agung Pertama Koperasi Yayasan Guru Malaysia Berhad di sini hari ini.
Majlis perasmian itu disempurnakan oleh Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Wilayah Persekutuan, Abdullah Mahmood.
Rabu lalu, Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata, jawatankuasa khas akan ditubuhkan bagi mengkaji beban tugas berlebihan yang ditanggung oleh guru di seluruh negara.
Menurut beliau, keputusan itu dibuat selepas kementerian mendapati aduan tersebut berasas kerana terdapat guru di beberapa buah negeri kini menghadapi beban tugas berlebihan sehingga menjejaskan tumpuan untuk mengajar.
Dalam pada itu, Alimuddin yang juga Pengerusi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Guru Malaysia Berhad berkata, penubuhan koperasi tersebut membolehkan organisasi itu terus membela kebajikan 129,124 orang ahlinya.
KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata keberkesanan kurikulum baru sekolah akan banyak bergantung kepada keupayaan guru meningkatkan amalan pendidikan dalam kelas.
Beliau berkata strategi pengajaran dan pembelajaran perlu menggunakan pendekatan proses penyelidikan secara membina, pembelajaran mengikut konteks, penguasaan pembelajaran yang menggabungkan pelbagai teknik fokus kepada pelajar.
"Ini termasuk uji kaji, perbincangan rakan sebaya, rangsangan, lawatan lapangan dan aktiviti menyelesai masalah yang membolehkan aplikasi sumber di dalam dan di luar bilik darjah.
"Saya berharap dengan pelaksanaan kurikulum baru ini, para guru kita akan menjadi lebih inovatif dalam cara mengajar dan menggunakan pendekatan baru untuk merangsang pemikiran kreatif dan memupuk potensi inovasi pelajar," katanya semasa menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pendidikan Malaysia 2010 di Pusat Konvensyen Sunway Piramid di sini hari ini.
Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran berkata kurikulum baru itu akan menggabungkan elemen kreativiti, inovasi dan kemahiran hidup dalam proses pengajaran dan pembelajaran, membabitkan semua mata pelajaran, adalah sebahagian agenda kerajaan untuk menyediakan pendidikan berkualiti untuk semua.
Beliau berkata kurikulum baru itu akan membuka ruang kepada pelajar untuk menerokai dan menggunakan kaedah baru dalam pembelajaran melalui uji kaji, reka cipta dan penyelidikan.
"Pendekatan baru ini bukan sahaja diguna pakai dalam mata pelajaran sains tetapi juga kemahiran hidup dan keusahawanan," katanya.
Muhyiddin berkata usaha untuk menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan negara tidak akan sempurna tanpa dimasukkan peranan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Beliau berkata penggunaan ICT dalam proses pengajaran dan pembelajaran telah membolehkan pembelajaran interaktif, yang lebih berkesan dan merangsang minda.
Usaha untuk mendorong kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan, katanya juga memerlukan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta, ahli akademik dan industri, pakar dan pengamal pendidikan untuk mengusahakan dan merangsang proses pemupukan itu dan meningkatkan potensi inovasi pelajar melalui pendidikan berkualiti.
"Pendek kata, kita perlu menjana pemikiran kreatif dan memupuk budaya inovasi dalam setiap perkara yang kita lakukan. Dan kita perlu lakukan ini sebagai sebuah komuniti pendidik yang kreatif dan inovatif," katanya.
Muhyiddin berkata menyedari hakikat ekonomi baru dan pelbagai cabaran yang menanti, kerajaan perlu menilai semula model pembangunan modal insan Malaysia.
Katanya sistem pendidikan negara, daripada peringkat prasekolah hingga pengajian tinggi, perlu ditumpukan untuk mengeluarkan individu berwibawa dan tenaga kerja yang kompetitif di masa depan.
"Kita perlu menyediakan persekitaran yang sesuai untuk memupuk kreativiti dan inovasi yang akan membolehkan transformasi lebih besar terhadap ekonomi dan sosial negara kita. Jika berbuat sebaliknya, kita akan merisikokan keupayaan daya saing dan kemakmuran ekonomi kita," katanya.
Oleh yang demikian, katanya di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, fokus kerajaan ialah menambah baik model pembangunan modal insan negara dengan menggabungkan lebih banyak aspek kreativiti dan inovasi dalam sistem pendidikan. - BERNAMA
Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1 Malaysia.
Y.Bhg Tan Sri Dr Zulkurnain Hj Awang
Y. Bhg Tan Sri Alimuddin bin Hj Mohd Dom
Pegawai-pegawai Kanan Kementerian Pelajaran,
Puan Sharipah bt. Hamzah, Pengusaha Tadika Wawasan Gemilang, dan
Para hadirin sekalian,
1.Alhamdullillah, marilah kita memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah S.W. T. kerana dengan izin dan kurniaNya, kita dapat berhimpun dalam satu majlis yang bersejarah ini. Sesungguhnya, majlis pada pagi ini merupakan satu lagi inisiatif kerajaan dalam merealisasikan Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) Pendidikan iaitu Sub NKRA Prasekolah. Saya berasa gembira dalam tempoh empat bulan pertama sahaja, dua daripada empat sub NKRA Pendidikan telah berjaya dilancarkan. Ini menunjukkan komitmen Kerajaan dalam mengkotakan apa yang telah dirancang dalam Program Transformasi Kerajaan, dengan penekanan kepada Gagasan 1 Malaysia, Rakyat didahulukan dan Pencapaian diutamakan.
2.Seperti pepatah Melayu, untuk melentur buluh biarlah dari rebungnya, pepatah ini membawa pengertian yang amat jelas bahawa pendidikan awal kanak-kanak memainkan peranan yang penting dalam perkembangan dan pembangunan seseorang kanak-kanak. Sekiranya seorang kanak-kanak mendapat pendidikan asas yang berkualiti, maka diyakini kanak-kanak tersebut akan terus berjaya dalam pendidikan yang akan dilalui pada peringkat yang lebih tinggi.
3.Menyedari kepentingan di peringkat awal kanak-kanak, maka Prasekolah telah dijadikan salah satu sub NKRA dalam bidang pendidikan. Harus diingat, walau pun Malaysia telah berjaya mencapai kadar enrolmen prasekolah yang boleh dibanggakan berdasarkan laporan UNESCO 2008 : International Pre-school Enrolment Rate, iaitu berada dikedudukkan ketujuh diperingkat antarabangsa namun didapati taburan lokasi kanak-kanak yang mengikuti kelas prasekolah ini masih tidak seimbang, contohnya di kawasan miskin bandar maupun di kawasan pedalaman, masih terdapat kanak-kanak yang belum mendapat pendidikan prasekolah. Dalam sub NKRA ini, sasaran utamanya adalah untuk meningkatkan kadar enrolmen kanak-kanak prasekolah yang berumur 4+ dan 5+ tahun kepada 87 peratus menjelang tahun 2012 dengan memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan miskin bandar, luar bandar dan pedalaman.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
4.Seperti yang tuan-tuan dan puan-puan sedia maklum, terdapat empat agensi utama yang menjalankan pendidikan prasekolah iaitu Kementerian Pelajaran sendiri, pihak KEMAS di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah serta Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasioanl di bawah Jabatan Perdana Menteri, serta pihak swasta. Dari segi statistik didapati sehingga kini, KPM telah menyediakan sebanyak 7511 kelas prasekolah, KEMAS sebanyak 8,525, JPNIN 1643 dan prasekolah swasta yang berdaftar sebanyak 6378 Ini menunjukkan bahawa terdapat peningkatan sebanyak lebih kurang 2.9 peratus (69.9%) daripada kadar enrolmen pada tahun 2009 iaitu 67 peratus.
5. Saya berbangga dengan peningkatan kadar ini, namun pada masa yang sama kita tidak boleh hanya berbangga dengan kuantiti, oleh itu dalam inisiatif NKRA Pendidkan, KPM telah menegaskan semua agensi yang melaksanakan pendidikan prasekolah perlulah memberikan pendidikan prasekolah yang berkualiti, kerana kita tidak mahu masa depan kanak-kanak ini terjejas sekiranya pendidikan prasekolah hanyalah dikatakan prasekolah makan sahaja...pergi sekolah untuk makan, dan apabila melangkah ke Tahun 1, ...A, B, C pun masih belum kenal.
6.Dalam Sub NKRA Prasekolah, sebanyak 7 strategi telahpun dirancang bagi memastikan kualiti pendidikan prasekolah dapat ditingkatkan, bukan saja untuk prasekolah KPM, tetapi juga prasekolah yang dilaksanakan oleh agensi-agensi lain. Antaranya strategi utama yang telah diperkenalkan adalah penggunaan Kurikulum Standard Prasekolah Kebangsaan (KSPK). Dalam kurikulum ini, penekanan diberikan kepada Bahasa Malaysia dan juga Bahasa Inggeris. Kalau sebelum ini, di prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN hanya menekankan penggunaaan Bahasa Malaysia untuk mendidik anak-anak kita, tetapi dengan KSPK ini, pemberatan penggunaan bahasa ialah 50 peratus Bahasa Malaysia dan 50 peratus Bahasa Inggeris. Perkara ini akan dapat mendedahkan kanak-kanak prasekolah kepada Bahasa Inggeris dengan lebih awal dan diharapkan dengan cara ini, anak-anak dapat menguasai Bahasa Inggeris pada peringkat ini. Tuan-Tuan dan hadirin sekalian,
7.Saya yakin dengan kualiti guru-guru prasekolah KPM terdiri daripada guru-guru siswazah terlatih, namun di luar sana masih terdapat ramai guru prasekolah yang tidak mendapat latihan yang sewajarnya. Maka di bawah NKRA ini, saya telah bersetuju dan memutuskan pihak KPM memberi latihan kepada guru-guru prasekolah sama ada agensi Kerajaan yang lain maupun swasta serta mencadangkan kelayakan minima guru prasekolah pada masa akan datang supaya setara dengan kelayakan guru prasekolah KPM. Harapan saya, dengan kriteria minima dan latihan yang diberikan ini akan dapat memastikan bahawa pendidikan prasekolah berkualiti dapat diberikan kepada rakyat.
8.Bukan itu saja yang disediakan oleh pihak kerajaan kepada pendidikan prasekolah. Perlu saya tekankan di sini, dari segi geran per kapita yang disediakan kepada kanak-kanak prasekolah agensi kerajaan juga akan diseragamkan sebanyak RM100 seorang kanak-kanak setahun. Dan pada masa yang sama, pihak Kementerian sedang berusaha untuk meningkatkan kadar bantuan makanan kanak-kanak prasekolah daripada RM1.50 sedia ada kepada kadar yang lebih tinggi di semua agensi kerajaan di seluruh negara.
Tuan-tuan dan Puan-puan,
9. Saya sering gusar dengan data yang tidak konsisten, maka saya juga berbangga Kementerian saya telah pun berjaya menyediakan Sistem Maklumat Prasekolah Kebangsaan, dengan satu klik saja saya boleh akses kepada maklumat prasekolah semua agensi kerajaan dan swasta di seluruh negara. Syabas kepada semua pihak yang sama-sma telah membangunkan sistem ini, walaupun, masih dalam peringkat ujian rintis tapi ini merupakan satu inovasi dalam pendidikan prasekolah. Data yang tepat ini membolehkan kita merancang strategi yang lebih berkesan terutamanya perancangan peluasan prasekolah kerana didapati prasekolah masih diperlukan di kawasan luar bandar, pedalaman dan tidak ketinggalan kawasan miskin bandar.
10. Selain itu, saya juga difahamkan bahawa satu Jawatankuasa Penyelarasan Prasekolah Kebangsaan juga akan ditubuhkan bagi memantau dan menyelaras semua dasar dan pelaksanaan prasekolah Kerajaan dan Swasta yang dipengerusikan sendiri oleh Ketua Pengarah Pelajaran dan dianggotai oleh Ketua Pengarah KEMAS dan JPNIN serta pihak swasta. Kalau selama ini, prasekolah KPM, KEMAS dan JPNIN bergerak secara bersendirian, tetapi dengan adanya jawatankuasa ini, maka semua dasar-dasar berkaitan prasekolah dapat diselaraskan.
PERKONGSIAN PINTAR KERAJAAN-SWASTA
Para hadirin sekalian,
11.Peluasan akses kepada pendidikan berkualiti tidak seharusnya diletakkan di atas pihak kerajaan sahaja. Strategi seterusnya, saya rasakan begitu penting sekali adalah meningkatkan perkongsian pintar kerajaan dan pihak swasta dalam pembangunan pendidikan pada semua peringkat daripada prasekolah sehinggalah ke peringkat menengah. Strategi ini selaras dengan Model Ekonomi Baru yang inginkan penglibatan pihak swasta untuk menerajui pertumbuhan ekonomi negara. Dengan cara ini, akses kepada pendidikan khususnya pendidikan prasekolah dapat diperluaskan.
12.Dalam usaha meningkatkan perkongsian pintar kerajaan dan swasta supaya lebih banyak pendidikan prasekolah ditubuhkan, beberapa pendekatan baru telah diwujudkan, antaranya mempercepatkan tempoh kelulusan daripada agensi-agensi seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Jabatan Kesihatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat untuk penubuhan prasekolah swasta daripada 40 hari kepada 7 hari sahaja. Dengan mempermudahkan proses ini, harapan kerajaan lebih banyak lagi pihak swasta akan menubuhkan prasekolah khususnya di kawasan berkeperluan tinggi. Dan sekali lagi, saya tegaskan mana-mana guru prasekolah swasta yang belum pernah mengikuti latihan atau tiada sijil pendidikan prasekolah akan diberikan kursus latihan secara percuma,
Tuan-tuan dan puan-puan,
13.Satu inisiatif baru yang Kerajaan perkenalkan sebagai galakan kepada penubuhan prasekolah oleh pihak swasta adalah pemberian geran permulaan dalam bentuk kewangan kepada pengusaha prasekolah yang mula beroperasi pada tahun ini serta memenuhi kriteria yang telah ditetapkan. Geran permulaan ini diharap akan membantu pengusaha baru prasekolah membuka lebih banyak prasekolah terutamanya di kawasan-kawasan miskin bandar dan luar bandar yang mana kawasan – kawasan ini tidak dicapai oleh pihak kerajaan.
14.Pada majlis ini, saya amat berbesar hati memaklumkan bahawa geran sebanyak RM10,000 diberikan kepada setiap prasekolah yang layak, dan sehingga hari ini sebanyak 426 prasekolah swasta layak menerimanya. Pada tahun ini sahaja Kerajaan akan memperuntukkan sebanyak anggaran RM4.9 juta untuk tujuan ini dan seterusnya pada tahun yang akan datang, jumlah ini dijangka akan terus meningkat kepada RM5 juta setahun. Tahniah kepada semua penerima geran ini dan saya berharap dengan pemberian geran ini, akan meningkatkan usaha Tuan/Puan dalam meningkatkan kualiti pendidikan prasekolah yang disediakan.
15.Saya akur mungkin akan ada tohmahan pihak-pihak tertentu, dalam keadaan kegawatan ekonomi, mengapa kerajaan sanggup memberi geran kepada prasekolah swasta, dengan tegas dan telus saya nyatakan bahawa ini bukannya gimik pilihraya tetapi ini adalah komitmen Kerajaan di bawah NKRA Pendidikan untuk memberi pendidikan berkualiti untuk semua seperti yang terdapat dalam Pelan Hala Tuju Transformasi Kerajaan yang telahpun dilancarkan pada Januari lepas. Saya yakin perkongsian pintar swasta–kerajaan ini, akan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak. Pada masa yang sama juga, Kerajaan juga akan berusaha untuk memberi bantuan yuran prasekolah kepada murid-murid yang ibu bapanya telah berdaftar dengan e-Kasih serta ingin belajar di prasekolah swasta.
16.Tidak ada jalan mudah ‘no short cut’ untuk mencapai kejayaan. Kita mahu melihat agar anak didik warga Malaysia akan terbela tak kira dari apa golongan sosio ekonomi. Kerajaan akan sentiasa membantu namun pihak yang bertanggungjawab hendaklah sentiasa berusaha untuk memajukan dirinya. Kepada penerima geran, anggaplah pemberian geran permulaan merupakan satu tanggungjawab memberikan yang terbaik kepada anak didik anda warga Malaysia. Berikanlah peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan untuk belajar dengan kualiti terbaik dengan yuran yang berkemampuan.
17.Saya juga ingin menasihatkan agar penerima geran permulaan prasekolah swasta pada hari ini, untuk terus berusaha mempertingkatkan usaha murni mendidik warga Malaysia dengan pendidikan yang berkualiti.
18.Akhir sekali, saya ingin mengucapkan syabas dan terima kasih kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini, khususnya Tadika Wawasan Gemilang ini yang sudi menjadi tuan rumah dan Kementerian Pelajaran Malaysia dalam menjayakan majlis ini.
19.Dengan lafaz Bismillah-ir Rahman-ir Rahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Pemberian Geran Permulaan Prasekolah Swasta.
Pencabulan hak kanak-kanak bukan sekadar mendera, menyakiti atau mencederakan mereka. Ibu bapa yang memaksa anak belajar sehingga tiada masa bermain atau terbabit dalam aktiviti rekreasi juga sebenarnya secara tidak langsung mencabul hak kanak-kanak.
Kehidupan seharian kebanyakan kanak-kanak: sekolah dari pagi hingga petang, malam pula ke kelas tambahan. Beginilah rutin setiap hari, lima hari seminggu.
Bagi kanak-kanak lebih malang, kelas tambahan diteruskan pada hujung minggu (Sabtu dan Ahad) sama ada untuk belajar muzik, seni atau kemahiran lain.
Keinginan ibu bapa mempunyai anak cemerlang dan bijak sejak kecil membuatkan mereka sanggup memenuhi setiap masa anak dengan ‘aktiviti pendidikan’.
Dalam keghairahan ini ramai tidak sedar mereka sebenarnya merampas hak anak yang masih dalam peringkat kanak-kanak (sekurang-kurangnya sehingga umur 12 tahun) untuk bermain.
Mereka tidak sedar, sebahagian daripada dunia sebenar kanak-kanak lenyap begitu saja. Mungkin ramai ibu bapa tidak tahu bahawa bermain, bermain dan bermain adalah dunia sebenar kanak-kanak.
Malah, ada yang menganggap bermain hanya membuang masa. Tanggapan ini tidak benar kerana melalui bermainlah kanak-kanak belajar banyak kemahiran hidup seperti berinteraksi, bersosial, berkongsi, bertolak ansur dan bersedia menerima kekalahan.
Bermain adalah cara terbaik untuk mengelak kanak-kanak tertekan. Tahukah anda, keinginan ibu bapa yang mahu melihat atau meletakkan sasaran tertentu untuk dicapai anak mereka sebenarnya memberi tekanan kepada anak?
Itu mungkin keinginan anda, bukan anak anda. Tugas ibu bapa hanya membimbing mereka ke arah hidup yang baik dan bukan menentukan kehidupan mereka.
Pendidikan tidak hanya terhad dalam bilik darjah kerana ada banyak kemahiran yang tidak boleh disampaikan di dalam kelas.
Saya kasihan melihat kanak-kanak yang hidupnya hanya dipenuhi dengan belajar secara formal, terutama mereka yang dimasukkan ke kelas tambahan khas sejak umur tiga atau empat tahun.
Memang tidak salah memberi anak pendidikan tetapi biarlah ia berlangsung mengikut perkembangan umur mereka walaupun ramai menganggap kanak-kanak seperti ini bertuah.
Namun, ramai juga tidak sedar mereka kehilangan peluang untuk menikmati keseronokan zaman kanak-kanak.
Selain itu ibu bapa juga perlu sedar, tidak memberi rawatan diperlukan juga sebenarnya merampas hak kanak-kanak. Contoh paling senang ialah imunisasi.
Setiap kanak-kanak yang lahir di negara ini ada hak untuk diberi suntikan imunisasi secara percuma dalam program Imunisasi Kebangsaan yang disediakan Kementerian Kesihatan bagi melindungi kanak-kanak daripada penyakit berbahaya.
Kegagalan membawa anak mendapatkan perlindungan ini seolah-olah sengaja mendedahkan anak kepada agen penyakit, terutama penyakit berjangkit akibat serangan virus dan bakteria. Ini adalah langkah pertama, paling mudah dan murah untuk memberi perlindungan terbaik kepada anak.
Hak kanak-kanak sudah lama diiktiraf dan sambutannya berbeza di seluruh dunia. Hari Kanak-kanak Antarabangsa disambut pada 1 Jun setiap tahun manakala Hari Kanak-kanak Universal pula pada 20 November.
Di Malaysia, kita meraikannya Sabtu ketiga setiap Oktober. Di negara lain, mereka menyambutnya pada tarikh berbeza mengikut kesesuaian masing-masing.
Di negara kita Hari Kanak-kanak mula dirai sejak 1959 dan kini lebih 150 negara di dunia menyambutnya. Tidak kira bila, sambutan ini adalah tanda penghargaan dan penghormatan kepada kanak-kanak dan golongan muda di bawah 18 tahun.
Ia bertujuan meningkatkan kesedaran terhadap tanggungjawab keluarga dan semua anggota masyarakat, terutama ibu bapa serta agensi kerajaan dan swasta untuk melindungi hak dan masa depan kanak-kanak.
Ini juga membolehkan masyarakat menghargai keperluan mempertahankan hak dan menegakkan keadilan untuk kanak-kanak berdasarkan Konvensyen Hak Kanak-kanak.
Seperti orang dewasa, semua kanak-kanak, termasuk remaja di bawah umur 18 tahun mempunyai hak asasi sama tidak kira bangsa, agama, kedudukan dan negara.
Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) 1995 menetapkan setiap kanak-kanak perlu diiktiraf sebagai individu yang mempunyai pemikiran dan hak untuk hidup selamat dan gembira tanpa diskriminasi.
Setiap kanak-kanak berhak mendapat empat keperluan asas iaitu:
Hak kelangsungan hidup — termasuk mutu hidup dan peluang untuk mendapat rawatan
Hak perkembangan — termasuk pendidikan, mendapat maklumat, bermain, aktiviti rekreasi dan budaya; bebas untuk berfikir dan beragama
Hak perlindungan — meliputi semua aspek eksploitasi, kekejaman, perpisahan daripada keluarga dan penderaan
Hak dalam penyertaan sebagai anggota masyarakat — termasuk kebebasan bersuara (memberi pendapat) dan mempunyai hak bercakap dalam isu yang membabitkan hidup mereka. Walaupun masih kecil, pandangan mereka perlu diambil dan dipertimbangkan kerana seperti orang dewasa, mereka juga ada pemikiran tersendiri yang sesuai dengan perkembangan dan perubahan pada zaman ini.
DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran ‘comel’ atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.
DENGKURAN kanak-kanak mungkin kedengaran ‘comel’ atau lucu tetapi tabiat berdengkur di kalangan kanak-kanak boleh menyumbang kepada pelbagai masalah daripada kencing malam kepada kelembapan belajar di dalam bilik darjah.
Memang ramai kanak-kanak berdengkur yang membabitkan antara tiga hingga 12 peratus kanak-kanak prasekolah. Walaupun berdengkur, tetapi secara umumnya kebanyakan kanak-kanak ini sihat dan tidak mengalami gejala lain.
Kajian menunjukkan masalah berdengkur membabitkan 11 hingga 12 peratus kanak-kanak di seluruh dunia berumur antara satu hingga sembilan tahun. Kanak-kanak berdengkur sekurang-kurangnya tiga hingga empat kali seminggu dan bunyinya cukup kuat untuk disedari ibu bapa.
Namun dianggarkan dua peratus daripada kanak-kanak yang berdengkur ini mengalami masalah kerap terjaga ketika tidur (apnea tidur); iaitu satu keadaan yang dianggap antara penyumbang penting kepada masalah kelakuan di kalangan kanak-kanak.
Bagaimana untuk mengetahui sama ada dengkuran anak anda adalah dengkuran biasa atau apnea tidur? Kanak-kanak yang berdengkur dan tidak mengalami apnea tidur sepatutnya sihat, cergas, tidak mengantuk pada siang hari dan mempunyai corak tidur yang normal. Sebaliknya apnea tidur menyebabkan tidur anak anda terganggu — nafasnya terhenti, mendengus atau tercungap ketika tidur.
Kanak-kanak yang ada masalah ini mungkin mengalami masalah tingkah laku, mengantuk pada siang hari dan sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah.
Punca
Dengkuran pada kanak-kanak boleh disebabkan tiga perkara iaitu:
Bentuk anatomi — seperti rahang mulut yang kecil atau kanak-kanak berkenaan dilahirkan dengan saluran pernafasan yang kecil.
Otot dan saraf yang mengawal otot pada saluran pernafasan tidak bergerak seiringan ketika tidur dan menyebabkan saluran pernafasan tidak terbuka sepenuhnya.
Tonsil dan adenoid bengkak (punca paling lazim)
Mengapa ibu bapa perlu risau jika anak mereka berdengkur?
Dengkuran boleh menjejaskan kualiti tidur anak anda dan lain-lain keadaan yang membabitkan otak dan jantung. Malangnya ada ibu bapa tidak kisah anak mereka berdengkur, malah ‘bangga’ kerana anak mereka ‘seperti orang dewasa kecil yang berdengkur seperti ahli keluarga’.
Dengkuran pada kanak-kanak bukan perkara lucu. Ia menandakan kanak-kanak berkenaan mempunyai masalah dan dengkuran mereka perlu diperiksa.
Bagaimana dengkuran pada kanak-kanak berbeza dengan orang dewasa?
Prinsip dengkur pada kanak-kanak hampir sama dengan orang dewasa. Dengkuran adalah bunyi pernafasan yang kuat disebabkan getaran udara yang memasuki saluran pernafasan atas. Secara umumnya ia hanya bunyi. Namun ia juga menandakan adanya rintangan pada saluran pernafasan atas yang bermakna rintangan udara untuk melalui saluran ini adalah tinggi.
Ketika tidur, otot juga berehat sedikit dan ia menyebabkan saluran udara menjadi kecil dan sempit. Namun jumlah udara yang masuk adalah sama, sama ada ketika tidur atau jaga.
Berdengkur juga boleh menjadi petanda kepada masalah lebih serius seperti apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan atas. Kira-kira tiga peratus kanak-kanak berumur satu hingga sembilan tahun mengalami masalah ini yang boleh menyebabkan pelbagai keadaan lain.
Perbezaan antara apnea tidur dan sindrom rintangan saluran pernafasan atas
Kanak-kanak yang ada masalah sindrom rintangan saluran pernafasan atas kadangkala terjaga kerana dengkuran terlalu kuat atau dengkuran itu menggunakan banyak tenaga mereka. Namun tahap oksigen dan karbon dioksida dalam darah atau tisu kanak-kanak ini tetap sama seperti orang lain.
Bagi apnea tidur, saluran pernafasan ini kadangkala ‘runtuh’ sehingga menutup saluran pernafasan dan tidak terbuka. Kanak-kanak biasanya terpaksa ‘berjuang’ untuk bernafas kerana udara tidak masuk.
Akibatnya paras gas oksigen berkurang dan karbon dioksida meningkat yang menyebabkan kanak-kanak terjaga untuk bernafas. Ada kanak-kanak yang terjaga 500 hingga 600 kali semalam hanya untuk bernafas dan kembali tidur.
Adakah dengkuran yang kronik pada kanak-kanak berbahaya?
Pakar kesihatan tidak pasti mengenai perkara ini. Berdengkur bukan perkara normal tetapi ia tidak semestinya memerlukan rawatan. Yang pasti, jika anak anda kerap terjaga malam kerana berdengkur, ia menunjukkan dia mengalami masalah apnea tidur atau sindrom rintangan saluran pernafasan yang perlu dirawat.
Risiko apnea tidur
Obesiti adalah faktor risiko paling utama. Jika anda baring dan banyak lemak pada leher, ia menambah tekanan pada tisu yang sudah berehat dan membuatkan saluran pernafasan menjadi lebih kecil.
Kanak-kanak dilahirkan dalam keluarga yang mempunyai risiko apnea tidur mempunyai risiko lebih tinggi. Selain itu kanak-kanak Sindrom Down, ada masalah hipotonia (otot lemah) dan mengalami penyakit neuromuskular lebih berisiko tinggi mendapat apnea tidur berbanding kanak-kanak lain.
Pada kanak-kanak alahan, lapisan dalaman hidung akan membengkak menyebabkan adenoid membesar, menyempitkan saluran udara dan menyukarkan mereka bernafas melalui hidung. Sesetengah kanak-kanak asma mengalami masalah ini. Dua masalah boleh berlaku serentak walaupun mempunyai mekanisma berbeza. Bagaimanapun, kanak-kanak yang mempunyai ibu bapa perokok juga berisiko tinggi untuk berdengkur.
Kesan berdengkur
Dengkur boleh mendatangkan kesan jangka pendek yang menyebabkan anak anda berasa letih selepas bangun tidur. Daya tumpuannya terhad, sukar menumpukan perhatian, berasa resah gelisah pada waktu pagi dan kerap mengantuk.
Mereka juga mungkin kencing di tilam kerana bagi mereka yang lebih penting ialah keinginan untuk tidur. Ada juga kanak-kanak yang bermimpi buruk.
Oleh kerana tidur mereka terganggu, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian di dalam bilik darjah seolah-olah seperti kanak-kanak yang alami gangguan tumpuan dan hiperaktif. Contohnya kanak-kanak yang melawan rasa mengantuk akan berkelakuan hiperaktif, mula mengacau orang lain dan akhirnya meragam.
Keesokan harinya, kanak-kanak ini sukar menumpukan perhatian dan duduk diam di dalam bilik darjah. Jika diberi rawatan, masalah hiperaktif ini akan hilang.
Apnea tidur juga menjejaskan pelajaran. Jika tidak cukup tidur, otak tidak mendapat cukup oksigen dan anak anda kehilangan sel otaknya. Dalam tempoh pembangunan minda, keupayaan kognitif kanak-kanak ini akan terjejas.
Dalam kajian beberapa tahun lalu mendapati kanak-kanak yang tidak cukup tidur kurang cemerlang di sekolah. Kajian juga mengesahkan kesan kekurangan tidur ini boleh berlarutan sepanjang hayat kerana IQ kanak-kanak menjadi rendah.
Selain itu paras oksigen rendah juga boleh memberi kesan kepada sistem saraf dan menyebabkan tekanan pada jantung. Lama kelamaan ia mengubah tekanan darah sehingga membuatkan kanak-kanak mengalami tekanan darah tinggi. Pada orang dewasa, keadaan biasanya lebih serius.
Kekurangan tidur juga boleh mempengaruhi tabiat makan seseorang. Jika kurang tidur, anda cenderung untuk makan lebih banyak keesokan harinya (terutama makanan mengandungi banyak lemak dan gula).
Jika penat dan tidak bersenam, anda menjadi lebih gemuk dan menyebabkan masalah apnea tidur lebih serius. Ini akhirnya menjadi perangsang kepada masalah kolesterol tinggi, kencing manis dan risiko sakit jantung pada usia yang lebih muda.
Rawatan
Rawatan untuk kanak-kanak berbeza sedikit daripada orang dewasa. Pada orang dewasa, oleh kerana masalah dengkur disebabkan obesiti, rawatan menggunakan mesin CPAP (tekanan saluran udara positif berlarutan) boleh membantu.
Oleh kerana masalah dengkur kanak-kanak berpunca daripada tonsil dan adenoid yang besar, rawatan terbaik ialah menghantar mereka berjumpa pakar bedah telinga, hidung dan tekak. Kira-kira 85 hingga 90 peratus kes berjaya diselesaikan.
Bagaimanapun masalah ini boleh berulang semula apabila mereka dewasa. Kanak-kanak yang jalani pembedahan akan dipantau 24 jam di hospital.
Jika pembedahan tidak berjaya (10 peratus terutama pada kanak-kanak obes), mereka boleh diberi rawatan CPAP atau BIPAP (tekanan positif saluran pernafasan dua paras).