Followers

Wednesday, March 11, 2009

Pemakanan Kanak-kanak

Menurut Prof. Madya Norhashimah Hashim (2004), amalan pemakanan berkhasiat penting untuk kanak-kanak prasekolah kerana kualiti pemakanan mempunyai kesan langsung ke atas pertumbuhan dan perkembangan serta kesihatan kanak-kanak pada masa depan. Peranan guru prasekolah bagi menggalakkan amalan pemakanan yang sihat di kalangan kanak-kanak adalah sangat penting. Hal ini adalah kerana, kanak-kanak perlu mendapat makanan yang berkhasiat, bermutu tinggi dan seimbang. Makanan yang tidak berkualiti akan menjejaskan perkembangan kanak-kanak.


Menurut Saayah Abu, Surayah Zaidon, dan Siti Saleha samsuri (2006), Objektif program nutrien kanak-kanak adalah merancang khidmat makanan. Ia melibatkan penyediaan dan kelengkapan makanan berat dan ringan yang berkhasiat. Kanak-kanak perlu didedahkan kepada kepelbagaian makanan yang disajikan. Kanak-kanak yang dibekalkan dengan makanan yang berkhasiat, bermutu tinggi dan seimbang didapati mempunyai IQ atau darjah kecerdasan yang tinggi.


Oleh itu, peranan tadika amat penting dalam penyediaan diet yang mengandungi nutrient yang secukupnya. Kanak-kanak patut disediakan makanan yang seimbang kerana kanak-kanak yang sedang membesar amat memerlukan tenaga dalam aktiviti seharian mereka. Tambahan pula, pemakanan seimbang dapat membantu ketahanan badan bagi mengelakkan daripada jangkitan penyakit serta membantu pertumbuhan fizikal dan perkembangan otak yang sihat. Lantaran itu, menu untuk kanak-kanak di tadika hendaklah dirancang terlebih dahulu demi menjaga kualiti makanan yang disediakan dan dihidangkan oleh penyedia makanan.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.