Followers

Wednesday, March 11, 2009

Peningkatan Status Kelayakan Guru Prasekolah di Kementerian Pelajaran Malaysia


Kejayaan program pendidikan prasekolah banyak bergantung kepada penghayatan, kemahiran dan sikap guru. Peranan guru prasekolah adalah kompleks kerana dari semasa ke semasa tuntutan mengenai keperluan peranan guru prasekolah berubah dan bertambah. Peranan guru prasekolah sebagai pendidik adalah penting sebagai pembina insan yang bakal menerajui negara di masa akan datang. 

          Perkhidmatan keguruan telah banyak mengalami perubahan sejak zaman sebelum merdeka sehinggalah kini. Kelayakan seseorang guru dalam sistem pendidikan formal adalah selari dengan peredaran zaman. Jika diimbas kembali, kita dapat melihat perkembangan kelayakan asas akademik guru yang mengajar di sekolah di negara kita berubah dengan begitu cepat. Dalam sistem pendidikan di negara kita, selain daripada kelayakan akademik terdapat pengkhususan dalam bidang pengajaran. Guru-guru di Malaysia dilatih untuk mengajar dalam bidang-bidang tertentu di sekolah. Pengkhususan bidang ini termasuklah bidang pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah. Latar belakang akademik yang dimiliki oleh seseorang guru dapat membantu meningkatkan kecemerlangan pendidikan di Malaysia.
 
         Pada peringkat awal penubuhan prasekolah ‘Annex’ di Kementerian Pelajaran pada Disember tahun 1991, sebanyak 986 kelas prasekolah berjaya dilaksanakan di beberapa buah sekolah rendah Kementerian Pelajaran Malaysia. Guru-guru yang mengajar di kelas prasekolah pada masa itu adalah guru-guru berkelulusan sijil perguruan asas yang mendapat latihan di Maktab-maktab perguruan. Mereka dilatih dan diberi kursus dalam perkhidmatan selama 14 minggu terlebih dahulu dalam bidang prasekolah sebelum dibenarkan mengajar di prasekolah. Pada Disember 1993, guru-guru terlatih kumpulan pertama yang memiliki pengkhususan sijil perguruan asas yang mendapat latihan selama dua tahun setengah dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak mula mengajar di kelas-kelas prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia.
 
         Pada tahun 1997, Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran Malaysia mula melatih guru-guru pelatih untuk mendapatkan diploma pendidikan prasekolah. Guru-guru kumpulan pertama diploma pendidikan perguruan ini mula ditempatkan di sekolah pada Julai 2000. Pada tahun 2002, guru prasekolah berijazah mula ditempatkan di prasekolah. Pada masa itu, kebanyakan guru prasekolah berijazah terdiri daripada guru yang memiliki Sijil Perguruan Asas yang melanjutkan pelajaran di Universiti Malaya. Pada pandangan saya, mereka merupakan pelopor kepada pensiswazahan guru prasekolah. Dengan adanya senario ini, sebenarnya telah membuka mata banyak pihak bahawa pendidikan prasekolah merupakan pendidikan yang penting dan memerlukan guru yang berkelayakan untuk mendidik kanak-kanak di peringkat prasekolah. Sebagaimana kelas prasekolah di luar negara seperti United Kingdom, Amerika Syarikat, Itali, dan lain-lain guru prasekolah adalah terdiri daripada mereka yang mempunyai kelayakan sekurang-kurangnya ijazah pertama malahan ramai yang sudah memiliki ijazah kedoktoran.
 
           Perkembangan positif ini membuktikan bahawa kerajaan memandang kepentingan pendidikan prasekolah di Malaysia. Kerajaan juga sedar kepentingan pendidikan prasekolah bagi membentuk asas jati diri dan sahsiah kanak-kanak dalam pembangunan masa depan negara. Oleh itu, menjadi dasar Kementerian Pelajaran untuk memastikan guru-guru yang mengajar kelas prasekolah terdiri daripada guru-guru yang berkelayakan, berkemahiran dan terlatih dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak atau prasekolah.
 
      Justeru itu, Kerajaan sentiasa mempertingkatkan kelayakan pendidikan guru sehinggalah sekarang sudah ada guru prasekolah yang mempunyai kelayakan ijazah pertama dan ijazah kedua mengajar di kelas-kelas prasekolah Kementerian Pelajaran Malaysia. Meningkatnya status kelayakan guru prasekolah bermakna semakin mendalam ilmu yang dimiliki oleh seseorang guru prasekolah. Pengetahuan atau kemahiran yang diperolehi oleh guru itu membolehkan seseorang guru menggunakan ilmu yang dipelajari untuk mempelbagaikan kaedah dan gaya penyampaian dalam pengajarannya. Oleh itu, murid akan memahami pengajaran yang disampaikan dengan lebih mudah. Hal ini adalah kerana dalam pendidikan prasekolah, guru hendaklah kreatif dalam mempelbagaikan pendekatan, kaedah, serta teknik pengajaran dan pembelajaran agar dapat membantu kanak-kanak memperkembangkan diri, keupayaan, bakat, dan minat kanak-kanak.

Sumber: Tugasan Cikgu Ani bagi memenuhi keperluan Kursus Sarjana Muda Pengajaran Pendidikan Prasekolah KPM-OUM.

No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.