Followers

Friday, October 25, 2013

PENGURUSAN PUSAT-PUSAT PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

JENIS-JENIS PROGRAM PERKEMBANGAN KANAK-KANAK
oleh: Zailani Zakaria, Universiti Kebangsaan Malaysia, 2013.


1.0       PENGENALAN
Kanak-kanak merupakan sebahagian daripada masyarakat yang amat penting dan menjadi aset negara serta penyambung nadi pembangunan negara pada masa hadapan. Setiap kanak-kanak perlu mendapat pendidikan yang sewajarnya selaras dengan keupayaan dan tahap perkembangan mereka. Pusat-pusat perkembangan kanak-kanak yang wujud haruslah menyediakan asas kepada pembangunan potensi yang seimbang dan optimum berlandaskan acuan tersendiri dengan mengambil kira nilai-nilai tempatan dan amalan bijak antarabangsa. Menurut Hearron dan Hildebrand (2006), antara persamaan yang biasanya dilihat pada pusat-pusat perkembangan kanak-kanak ialah menyediakan perkhidmatan kepada kanak-kanak di luar rumah kurang daripada 24 jam sehari, dan pusat tersebut hendaklah dikendalikan oleh seorang pengetua yang sesuai bertujuan melindungi kanak-kanak dan menyediakan perkhidmatan yang berkualiti.
2.0       Jenis-jenis Program Perkembangan Kanak-kanak
Terdapat 5 jenis program perkembangan kanak-kanak yang disediakan kepada ibu bapa untuk anak-anak mereka iaitu:
1.         Pelaburan Modal Insan
2.         Tambahan kepada Penjagaan dan Pendidikan yang disediakan Keluarga
3.         Perkhidmatan Kebajikan dan Pemulihan
4.         Pusat Penyediaan Guru dan Penyelidikan
5.         Perkhidmatan Pengguna kepada Ibu Bapa Bekerja


2.1       Jenis 1: Pelaburan Modal Insan
           
            Kemahiran, bakat, pengetahuan, dan kebolehan adalah merupakan modal insan bagi setiap manusia. Apabila ibu bapa mendaftarkan anak-anak mereka ke pusat perkembangan kanak-kanak dengan matlamat dapat meningkatkan kebolehan atau modal insan kanak-kanak, mereka juga  mengharapkan dengan  pelaburan yang telah dibuat agar anak-anak mereka dapat menunjukkan prestasi yang lebih baik semasa di sekolah dan mendapat pekerjaan yang baik apabila tamat persekolahan. Program-program kanak-kanak di kebanyakan sekolah-sekolah awam seperti tadika dan prasekolah telah mendapat sokongan kerana dipercayai bahawa pelaburan dalam pendidikan kanak-kanak memberi ganjaran pada masa depan.
           
            Salah satu contoh pelaburan kepada modal insan kanak-kanak ialah Program Head Start yang diperkenalkan oleh Kerajaan Amerika Syarikat pada tahun 1965. Head Start dibentuk untuk kanak-kanak yang kurang bernasib baik sebagai sebahagian daripada program membasmi kemiskinan oleh Presiden Lyndon Johnson. Penekanan yang diberikan dalam Program Head Start ini adalah untuk memastikan kanak-kanak yang kurang bernasib baik mendapat pendidikan yang sama seperti kanak-kanak bernasib baik. Projek Head Start ini bermula dari peringkat prasekolah dengan berorientasikan pendidikan serta dapat mengurangkan kadar keciciran kanak-kanak  dan seterusnya mengurangkan bilangan kanak-kanak yang memasuki pendidikan khas.
           
            Menurut Ryan (1974), hasil kajian ke atas Program Head Start menunjukkan bahawa harapan yang ingin dicapai oleh pengasas program tidak menjadi kenyataan. Hasil daripada analisis kajian yang dijalankan dari masa ke semasa mendapati bahawa kanak-kanak dari keluarga berpendapatan rendah dan mendapat pengalaman di peringkat awal sekolah rendah kemungkinan untuk mereka ditempatkan dalam kumpulan pendidikan khas adalah lebih rendah berbanding dengan kanak-kanak daripada latar belakang yang sama tetapi tidak mempunyai pendidikan awal. Lantaran itu, dalam usaha untuk menjayakan program ini, pengurus-pengurus pusat perkembangan Head Start akan mendapatkan sokongan daripada agensi-agensi awam, organisasi swasta, ibu bapa dan orang awam ini.


2.2       Jenis 2: Tambahan kepada Pendidikan dan Penjagaan yang disediakan Keluarga

Hearron dan Hildebrand (2006) berpendapat bahawa semua penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak boleh dianggap sebagai perkhidmatan sokongan untuk keluarga. Pusat penjagaan tambahan ini dilihat dapat mengasuh dan mendidik anak-anak yang ditinggalkan ibu bapa sepanjang mereka berada di tempat  kerja. Jika penyedia pusat jagaan kanak-kanak betul-betul memahami dan memberi asuhan sebagaimana yang dilakukan ibu bapa di rumah kepada anak-anak mereka, maka sudah tentulah mereka akan sedaya upaya bertindak sebagai badan yang menyokong sistem kekeluargaan.
Sumber: America's Children: Key National Indicators of Well-Being 2005, http://www.childstats.gov/americaschildren/tables/pop8b.asp

            Rajah di atas menunjukkan kadar penyertaan kanak-kanak berusia 0-4 tahun dalam program penjagaan kanak-kanak. Berdasarkan petunjuk, jelas menunjukkan keperluan kepada penjagaan tambahan kepada kanak-kanak mula wujud semenjak beberapa dekad yang lalu seiring dengan pertambahan golongan wanita dalam bidang pekerjaan. Antara tahun 1977 hingga 1985, kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun yang dijaga oleh pusat asuhan meningkat secara berganda daripada 13% ke 23%.
            Pusat-pusat jagaan kanak-kanak dibina di Amerika Syarikat dan Eropah bermula awal tahun 1800 sebelum masihi untuk melindungi kanak-kanak semasa ibu dan saudara-mara mereka bekerja di kilang-kilang. Pusat jagaan ini hanya terhad kepada penjagaan fizikal sahaja. Kanak-kanak menghabiskan masa sehingga 10 jam sehari dan 260-300 hari setahun di pusat-pusat jagaan berbanding lebih kurang 3 jam setiap hari selama 80 hari setahun di tadika atau program prasekolah.

            Sebagai perkhidmatan tambahan kepada keluarga, pusat-pusat jagaan kanak-kanak terus berkembang untuk memenuhi keperluan keluarga, termasuklah memanjangkan masa operasi kepada golongan pekerja yang bekerja mengikut 'shift' sebagai tempat untuk meninggalkan anak-anak mereka dalam tempoh masa tertentu sahaja (drop-in), atau bila-bila masa apabila perlu keluar bekerja (irregular). Terdapat juga pusat jagaan yang menyediakan penjagaan kepada kanak-kanak sekolah seperti penjagaan separuh hari iaitu penjagaan selepas waktu sekolah, semasa cuti musim panas dan semasa cuti musim sejuk.

            Selain itu, terdapat juga perkhidmatan bagi menjaga anak-anak yang sakit kerana ibu bapa mereka perlu keluar bekerja. Akta Cuti Sakit dan Keluarga 1993 yang dilaksanakan di Amerika Syarikat boleh mengurangkan keperluan terhadap penjagaan jenis tambahan ini dan ia juga melibatkan penjagaan bayi. Di bawah akta ini, seseorang pekerja boleh mengambil cuti tapa gaji sehingga 12 minggu setahun untuk menjaga anak-anak yang sakit, yang baru lahir, atau mengambil bayi angkat dan mereka tetap di bawah perlindungan insurans dan faedah sebagai pekerja masih diambil kira (Hildebrand et al., 2000).

            Satu lagi penjagaan kanak-kanak yang popular dalam kalangan bu bapa di Amerika Syarikat ialah 'Family Child-Care Homes' iaitu pusat jagaan yang beroperasi di rumah. Selalunya, pusat jagaan di rumah berada dalam lingkungan kejiranan di mana sesebuah keluarga itu tinggal. Jenis penjagaan ini menjadi pilihan kerana ada antara ibu bapa lebih suka anak-anak mereka dijaga dalam kelompok bilangan kanak-kanak yang kecil, dalam suasana seperti di rumah dan boleh memberi keselesaan kepada kanak-kanak.


2.3       Jenis 3: Perkhidmatan Kebajikan dan Pemulihan

            Terdapat sesetengah pusat jagaan mengambil kanak-kanak untuk tujuan kebajikan dan pemulihan bergantung pada tahap kesukaran yang dimiliki kanak-kanak itu. Program ini asalnya bermula daripada sekolah-sekolah khas untuk kanak-kanak pekak, bisu, atau mengalami kecacatan fizikal pada abad ke-19 (Bailey & Wolery, 1984). Program ini juga dikhaskan kepada kanak-kanak yang kurang bernasib baik dari segi ekonomi semasa perang ke atas kemiskinan yang dijalankan pada tahun 1960-an.

2.4       Jenis 4: Penyelidikan dan Latihan Guru

            Terdapat juga pusat-pusat jagaan yang dijadikan makmal penyelidikan untuk mengkaji perkembangan, psikologi dan pendidikan awal kepada sekumpulan kanak-kanak.Dalam masa yang sama pusat-pusat ini juga menyediakan program persediaan guru kepada pelajar-pelajar universiti mempelajari pelbagai kemahiran yang sesuai untuk berinteraksi dengan kanak-kanak. Walaupun pusat-pusat ini memberi perkhidmatan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka, matlamat asasnya adalah penyelidikan dan penyediaan guru. Perkhidmatan ini mewujudkan beberapa implikasi yang boleh memberi kebaikan dan keburukan kepada keluarga yang mendapatkan perkhidmatan ini ( McBride & Hicks, 1999).

2.5       Jenis 5: Perkhidmatan Pengguna

            Jenis pusat jagaan ini lebih merujuk kepada perkhidmatan yang disediakan oleh pihak swasta atau persendirian. Oleh sebab keluarga merupakan pelanggan kepada pusat  jagaan kanak-kanak persendirian, maka amatlah wajar ia dikenali sebagai satu perkhidmatan pengguna. Sebagai contoh, ibu bapa membayar perkhidmatan kepada tadika dan prasekolah swasta digunakan sebagai pusat jagaan dan pendidikan anak-anak mereka. Rata-rata ibu bapa dari kalangan golongan pertengahan melihat program persekolahan sebagai satu pelaburan untuk anak-anak mereka berjaya dalam pelajaran pada masa hadapan. Mereka berasa seronok untuk melibatkan diri dan memberikan kerjasama dalam kelas dan lembaga pengarah sekolah.

3.0       Pembiayaan Program Perkembangan Kanak-kanak

            Sumber kewangan merupakan suatu perkara yang penting dalam pengurusan sesebuah pusat program perkembangan kanak-kanak. Kebanyakan program perkembangan kanak-kanak dibiayai melalui pelbagai kaedah pembiayaan. Secara asasnya perkhidmatan perkembangan kanak-kanak boleh dibiayai melalui tiga cara iaitu:
            3.1       Sokongan kewangan ditanggung sepenuhnya oleh keluarga kanak-kanak yang                                menggunakan perkhidmatan.
            3.2       Melalui perkongsian dengan agensi-agensi sosial selaku penaja program dan                                    badan-badan korporat yang berminat untuk memberi sumbangan.
            3.3       Sokongan kewangan daripada persatuan-persatuan melalui cukai yang dikenakan                           oleh kerajaan.

            Lally (2005) menyatakan bahawa pelbagai kaedah pembiayaan mencerminkan perbezaan pandangan mengenai tanggungjawab sosial dan hak ke atas kanak-kanak. Beliau menggunakan istilah rasionalisme ekonomi untuk melihat beberapa ciri yang terdapat pada ibu bapa yang memikul tanggungjawab terhadap anak-anak mereka. Pandangan lain pula ialah instrumentalism di mana terdapat persatuan-persatuan tertentu turut berminat menyumbang kepada program penjagaan kanak-kanak untuk menangani kemungkinan terdapat kanak-kanak yang didera atau kanak-kanak miskin yang akan membesar sehingga menjadi beban dalam masyarakat. Berdasarkan pandangan-pandangan yang dikemukakan Lally dalam perspektif pengayaan sosial, telah menjadi garis panduan kepada beberapa negara seperti Eropah, Australia dan New Zealand dalam membentuk polisi penjagaan kanak-kanak.

3.1       Bayaran oleh Keluarga Sebagai Upah Penjagaan Kanak-kanak
           
            Boleh dikatakan logik sekiranya program perkembangan kanak-kanak memperolehi sumber kewangan daripada bayaran atau caj yang dikenakan ke atas perkhidmatan penjagaan kanak-kanak daripada keluarga yang menggunakan perkhidmatan ini. Oleh sebab itu, adalah wajar program perkembangan kanak-kanak untuk mengenakan yuran perkhidmatan yang agak tinggi bagi menyokong kos sara hidup kakitangannya.
3.2       Program-program Tajaan

            Hakikat menunjukkan bahawa dalam mengiktiraf keperluan untuk perkhidmatan kanak-kanak didapati bahawa terdapat sesetengah keluarga terutamanya keluarga miskin tidak mampu untuk menanggung sepenuhnya kos perkhidmatan tersebut. Maka, terdapat pertubuhan agama dan sivik yang akan menyediakan atau menanggung kos program (Rose, 1999). Antaranya ialah Program-program berasaskan keagamaan yang dibiayai oleh gereja, Program-program penjagaan kanak-kanak yang disokong oleh badan-badan korporat, universiti dan kolej, hospital, dan tentera Amerika Syarikat.

            Semenjak tahun 1830-an lagi, institusi kebajikan telah menyediakan banyak pusat penjagaan kanak-kanak di Amerika Syarikat (Neugebauer, 2006). Pusat ini biasanya ditaja oleh individu-individu dan pertubuhan perniagaan. Pada tahun 1907, sekumpulan usahawan Rome telah menaja pusat jagaan kanak-kanak yang diasaskan Maria Montessori iaitu pelopor awal dalam bidang pendidikan kanak-kanak di Rome, Itali dan dikenali sebagai Casa dei Bambini (Rumah Kanak-kanak) bertujuan untuk melindungi kanak-kanak yang kurang bernasib baik. Sehingga kini, Casa dei Bambini (Rumah Kanak-kanak) telah menjadi model kepada ribuan sekolah di seluruh dunia (Goffin & Wilson, 2001). Penajaan daripada syarikat-syarikat korporat dilihat bukn sahaja memberi faedah dan kebaikan kepada syarikat terbabit malahan turut memberi kebaikan kepada perkhidmatan keluarga dan kanak-kanak.

3.2.1    Penajaan Program Berasaskan Keagamaan oleh Gereja

            Dalam tahun 1997 sehinggalah tahun 2000, bilangan program penjagaan kanak-kanak di gereja bertambah sebanyak 26 peratus iaitu menunjukkan kadar pertumbuhan melebihi keperluan (14%). Bagi menggalakkan pertumbuhan pusat-pusat yang mengendalikan program-program perkembangan kanak-kanak, kerajaan persekutuan membuat dasar-dasar baru dengan memberi dana inisiatif kepada gereja-gereja untuk membuka pusat-pusat jagaan kanak-kanak. Beberapa negeri telah memberi pengecualian daripada peraturan-peraturan perlesenan bagi menggalakkan program-program agama bergabung mengendalikan pusat-pusat jagaan ini dan seterusnya meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap program yang disarankan kerajaan.

            Pada tahun 2001, Presiden Amerika Syarikat ketika itu iaitu George W. Bush telah menubuhkan pejabat pengurusan di White House yang mengendalikan program-program berasaskan keagamaan dan memberi inisiatif komuniti bertujuan menggalakkan pertumbuhan program perkembangan kanak-kanak.

3.2.2    Sokongan Badan-badan Korporat kepada Program Penjagaan Kanak-kanak

            Badan-badan korporat telah lama menunjukkan sokongan kepada program-program penjagaan kanak-kanak iaitu semenjak Perang Dunia Kedua lagi apabila undang-undang persekutuan melalui Akta Lanham, membiayai pusat yang menyediakan perkhidmatan penjagaan anak-anak kepada wanita yang diperlukan dalam industri perang. Pusat-pusat ini kebanyakannya dikenali sebagai 'Lanham Act Nursery School'. Penasihat-penasihat bagi pihak kerajaan kepada sekolah-sekolah ini adalah dalam kalangan mereka yang berkemahiran dalam bidang tersebut.

            Inisiatif kerajaan dalam penjagaan kanak-kanak kepada majikan  mula berkembang semula pada sekitar tahun 1970-an dan 1980-an apabila berlaku ledakan kelahiran bayi dan sebilangan besar kaum wanita yang melahirkan anak terlibat dengan sektor pekerjaan. Kebanyakan program-program penjagaan ini melibatkan kerjasama antara kesatuan pekerja dan pekerja daripada sektor awam dan swasta (Hildebrand, 1993). Terdapat beberapa faktor yang mendorong kerajaan memperkenalkan inisitif ini kepada golongan pekerja iaitu:

3.2.2.1 Pengekalan-    
           
            Memastikan pekerja-pekerja yang penting dapat dikekalkan, terutamanya pengurusan tertinggi, para saintis, wanita yang merupakan golongan minoriti juga merupakan matlamat utama untuk dikekalkan dalam perkhidmatan oleh pihak majikan.




3.2.2.2 Perhubungan Awam- 
           
            Syarikat mendapati bahawa keluarga kakitangan mereka menunjukkan gambaran imej yang baik kepada syarikat mereka. Justeru itu, peruntukan-peruntukan untuk program penjagaan kanak-kanak yang ditawarkan boleh menarik minat media terhadap syarikat mereka dan dalam masa yang sama dapat meningkatkan imej syarikat di mata masyarkat.

3.2.2.3 Produktiviti-

            Satu kajian yang dijalankan oleh Lowa State University pada tahun 2005 menunjukkan bahawa Dasar Pusat Keluarga memberi manfaat kepada ekonomi negara dengan menyumbang produktiviti kepada kedua-dua tenaga kerja semasa dan masa akan datang sekiranya majikan dapat menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak yang berkualiti tinggi. Dalam tempoh jangka masa pendek, kebimbangan berkaitan tempat penjagaan anak dikaitkan dengan tekanan, kurang tumpuan dan tidak semangat dalam kalangan ibu bapa semasa berada di tempat kerja. Dalam tempoh jangka panjang pula, penjagaan yang tidak berkualiti akan menyebabkan perkembangan kognitif dan emosi kanak-kanak terjejas dan memberi kesan kesan kepada mereka apabila mereka pula menjadi pekerja. Dengan kata lain, majikan hendaklah mengambil berat dengan menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak yang berkualiti tinggi kepada pekerja-pekerja mereka.

3.2.2.4 Perolehan-

            Pekerja yang dilatih untuk sesebuah syarikat merupakan aset yang mampu memberi pulangan kewangan. Oleh itu, amat wajar bagi majikan untk mengekalkan pekerjanya yang telah dilatih dan mampu memberi keuntungan kepada syarikat.

3.2.2.5 Ponteng/Ketidakhadiran Bekerja-

            Ponteng atau ketidakhadiran bekerja dapat dikurangkan dengan bantuan program jagaan kanak-kanak. Penjagaan di tempat kerja, penjagaan untuk kanak-kanak yang sakit, dan lain-lain adalah sangat membantu ibu bapa yang bekerja. Sekiranya tidak terdapat perkhidmatan penjagaan kanak-kanak sebelum dan selepas waktu persekolahan, ibu bapa perlu mencari alternatif lain sama ada anak-anak dijaga oleh jiran atau adik-beradik yang lebih besar malahan akan lebih teruk lagi jika kanak-kanak itu terpaksa dibiarkan bersendirian di rumah. Tempoh antara pukul 3 hingga 6 petang merupakan masa yang menimbulkan kebimbangan kepada ibu bapa sekiranya anak-anak ditinggalkan bersendirian di rumah.

3.2.2.6 Semangat-

            Pekerja dan majikan menyatakan bahawa semangat semasa berada di tempat kerja memberikan lebih kemesraan kepada ibu bapa dan anak-anak. Kajian menunjukkan kesukaran mengurus penjagaan anak-anak menyebabkan pekerja mengalami tekanan      dan akan memberi kesan kepada kesihatan dan pekerjaannya.

3.3       Sokongan Kerajaan untuk Program Penjagaan Kanak-kanak

            Kerajaan di Amerika Syarikat memberikan subsidi kepada kos penjagaan kanak-kanak dengan memberi pengurangan  cukai yang dikenakan ke atas keluarga yang bekerja. Selain itu, kerajaan turut menyediakan pembiayaan kepada program-program perkembangan kanak-kanak melalui Tabung Perkembangan dan Penjagaan Kanak-kanak melalui grant berjumlah $750 juta pada tahun 1991. Pada Tahun 2003, jumlah ini bertambah kepada $4.8 billion. Melalui dana ini, kanak-kanak berusia di bawah 5 tahun mendapat makanan tengah hari secara percuma.

4.0       Kerjasama antara Institusi

            Kebanyakan perkhidmatan awal kanak-kanak bekerjasama untuk mengurangkan pertindihan dan memberi pulangan yang maksimum kepada pelaburan masyrakat. Zigler dan Lang (1991) mencadangkan agar menjadikan model kolaborasi Sekolah abad ke-21 sebagai pusat sekolah awam di seluruh awam. Sekolah pertama dalam abad ke-21 mula ditubuhkan di Missouri pada tahun 1988. Sejak itu, lebih daripada 500 program ini ditubuhkan di seluruh negara bagi memastikan program-program pendidikan awal ini berkembang dan seterusnya memberi manfaat yang besar kepada masyarakat.

5.0       Kesimpulan
            Bab ini menggariskan beberapa jenis pusat perkembangan kanak-kanak termasuklah pelaburan modal insan, penjagaan tambahan, kebajikan dan pemulihan, penyelidikan dan penyediaan guru, serta perkhidmatan pengguna.Program persendirian biasanya akan menyediakan dua atau lebih jenis perkhidmatan yang tersebut. Model pembiayaan kepada program-program perkembangan kanak-kanak bergantung semata-mata dengan yuran daripada ibu bapa yang membayar perkhidmatan sehinggalah sumbangan daripada badan-badan korporat dan subsidi daripada kerajaan. Kesimpulannya, dengan adanya sokongan daripada pelbagai pihak diharapkan program perkembangan kanak-kanak akan terus berkembang maju dan berkualiti.


RUJUKAN

Hearron, F. & Hildebrand, V. 2006. Management of Child Development Centers. Edisi ke-6. New York: Pearson Merill/Prentice Hall.


No comments:

Post a Comment

Note: Only a member of this blog may post a comment.